Blog Sabree Hussin

Pengalaman pertama kali buka perniagaan kedai runcit

“Bro, boleh share pengalaman bro bukak bisnes kedai runcit tak? Kalau boleh saya nak jugak tips-tips terbaik untuk bisnes kedai runcit ni!”

 

Saya jadi sedikit tergamam. Saya nak share pengalaman saya berniaga kedai runcit, tapi ada ketikanya saya tertanya-tanya jugak, ada ke yang minat nak tau pengalaman saya ni? Lagipun, saya cuma buka kedai di kawasan kampung, yang dalam jarak kurang daripada 500 meter dari tempat saya, ada bisnes kedai runcit lain daripada pesaing.

 

Ya… bisnes kedai runcit orang Aceh. Mereka memang galak bukak kedai runcit. Tak tau kenapa, dalam banyak-banyak bisnes, bisnes kedai runcit jugak yang mereka pilih. Mungkin, ini strategi mereka, untuk kuasai ekonomi di bumi bertuah ni.

 

Kita yang orang tempatan, tak kan nak tengok dan biarkan je? Lawan tetap lawan beb… Bukannya lawan sampai kena keluar parang. Lawan untuk berikan servis dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan maksud saya. Jadi kali ini, saya ceritakan secara rawak ataupun random sahajalah ya pengalaman-pengalaman yang mungkin anda juga akan lalui bila berniaga kedai runcit nanti.

 

Modal permulaan untuk buka kedai runcit

Saya boleh tunggu sehingga saya ada modal RM100,000 untuk mula berniaga. Ataupun, saya boleh tunggu ketika saya ada modal sebanyak RM50,000 untuk mula berniaga. Tetapi tidak… kenapa perlu tunggu sedangkan bisnes ni boleh mula dengan whatever amount yang ada dalam tangan.

 

Khusus buat yang memang ada isu dengan modal untuk memulakan perniagaan, kita sebenarnya boleh start small dan build up from there. Setiap bulan tambah modal, dan duit untung perniagaan pusing balik untuk jadikan modal. In Shaa Allah, lama-lama besar la bisnes ni nanti.

 

Tapi, kalau anda jenis yang nak tunggu ada modal besar baru nak bermula… Hmm saya pun tak tau bila agaknya anda akan mula meniaga?

 

Tunggu betul-betul cukup ilmu baru nak mula meniaga

Dari segi konsep dan teori, sebaik-baiknya begitulah. Bila dah betul-betul cukup ilmu, barulah mula buka perniagaan. Barulah dapat kurangkan risiko kerugian.

 

Anda pernah dengar tak, syarikat besar pun alami kerugian? Adakah orang yang uruskan syarikat-syarikat besar ni tak cukup ilmu? Dalam perniagaan, risiko untuk mengalami kerugian itu akan selalu ada. Tak kiralah waktu tu, anda dah cukup ilmu atau sekadar suam-suam kuku.

 

Lebih baik, sambil anda belajar, sambil tu anda buka perniagaan anda dalam skala yang kecil. Untungnya kat sini, anda boleh belajar dari pengalaman. Saya melihat bisnes orang cina, yang turut menjalankan perniagaan runcit, mereka dilatih untuk berniaga sejak dari kecil lagi. Kecik-kecik lagi dah ada pendedahan macam mana nak uruskan perniagaan. Semua ni dipelajari daripada pengalaman, bukannya dari buku panduan.

 

Orang kita memang agak sukar nak berikan pendedahan yang sama kepada anak-anak, lebih-lebih lagi apabila kita sendiri tak ada perniagaan untuk di kongsikan dengan anak-anak.

 

Buka 24 jam, 12 jam atau hanya beberapa jam?

Masa awal-awal bukak kedai, saya pernah rancang untuk jadikan kedai ni kedai 24 jam. Ok idea ni kurang praktikal, sebabnya selepas jam 12 malam, jumlah orang yang lalu lalang dah makin kurang. Atas pukul 1 pagi, dah tak ada orang! Lalu saya kurangkan waktu berniaga kepada hingga jam 12 malam sahaja.

 

Dapat bertahan beberapa hari, kemudian terus saya ubah kembali maksimum sampai jam 10.30 malam sahaja. Kalau tunggu lama-lama tapi tak ada orang, buang masa je. Mungkin, kat tempat saya ni, orang kampung jenis yang tidur awal kot.

 

Jadi masa operasi saya tukarkan kepada dari jam 7.00 pagi hingga jam 10.30 malam. Ada waktunya, kita sendiri kena test kekuatan lokasi tempat perniagaan kita tu. Kalau atas pukul 12 pun masih ramai orang… rugi la kalau tutup awal.

 

Pelanggan mintak hutang

Wah wah… saya sendiri kena bayar cash kat supplier. Tiba-tiba pelanggan pulak nak mintak hutang. Saya rasa, ini betul-betul bunuh perniagaan kalau dilayan sangat pelanggan yang nak mintak hutang ni. Kalau setakat tak cukup duit, 10 sen, 20 sen, tu mungkin kita boleh tolong lagi. Tapi kalau sampai RM20++ sila cari kedai lain la.

 

Sebenarnya, yang hutang 10 sen, 20 sen tu pun, mereka awal-awal lagi dah makan untung bisnes kita. So jangan biasakan bagi hutang, dan jangan biasakan buat kerja-kerja write off sen sen tu. Maksudnya?

“Semua RM10.20 je. Tak apa, saya kira RM10 je…”

 

Pasaraya besar macam Giant, Tesco dan Jusco, 5 sen pun diorang berkira. Kita yang bukak kedai runcit, yang untung tak sebesar mana, patutnya kena lagi berkira.

 

Pelanggan ambil barang tapi tak bayar atau mencuri

Kadang-kadang dapat pelanggan yang kategori “tak siuman”. Dia ambik macam-macam. Ambik roti, jajan, gula-gula, air tin lepas dah masuk dalam plastik, dia lari macam orang gila! Dah nama pun tak siuman… apa lagi yang nak diharapkan dengan orang macam ni?

 

Tak ada tips yang special untuk handle orang macam ni. Kalau nampak dia, terus jangan bagi dia masuk. Ataupun, banyak-banyakkan bersedekah dan sucikan harta. Mungkin, kedai kita dimasukki orang gila sebab kita jarang bersedekah dan mensucikan harta yang kita dapat.

 

Pintu kedai kena kopak

Akhirnya perkara yang paling saya takut berlaku jugak. Kedai kena kopak. Yang hilang? Stok rokok. Waktu malam, memang saya tak simpan cash dalam kedai. Jadi, Alhamdulillah, selamat. Bermula dari hari tu, perlahan-lahan kami stop jual rokok terus.

 

Jadi Internet Marketer dari kedai runcit

Waktu pelanggan tak ramai, atau waktu pelanggan tak ada, saya memang akan jaga kedai sambil online. Sambil tu saya akan menulis dalam blog ni, dan buat marketing secara online. Alhamdulillah, dapat juga tambah-tambah pendapatan dengan program affiliate.

 

Bila ada masa terluang, saya sempat juga rekodkan segala teknik-teknik dan strategi pemasaran yang saya sendiri gunakan untuk membantu saya buat duit online dalam pemasaran affiliate.

 

Maka terhasillah, panduan Jurnal Pemasaran Affiliate. Bukanlah niat nak mengajar-ngajar, nak jadi cikgu atau nak jadi sifu. Saya cuma nak kongsikan, buat usahawan di luar sana yang ada masa terluang tu, manfaatkanlah ia untuk buat duit secara online. Boleh baca kat sini panduan ini.

 

Cari modal tambahan di Facebook

Satu hari masa hari raya dah nak dekat, antara produk yang memang hot ialah macam mercun, bunga api, air gas dan sebagainya. Saya nak jual semua barang-barang ni, tetapi modal sedia ada pulak tak mengizinkan. Nak tak nak, terpaksalah jadi lebih kreatif. Kumpul modal dari Facebook.

 

Macam mana caranya? Mudah sahaja. Saya hanya tawarkan pada rakan-rakan yang minat nak kongsi modal, dan kongsi keuntungan. Ataupun keluarkan modal 100% dan kongsi keuntungan. Mana-mana satu la, janji saya dapat jual barang tu, pelanggan happy, dan pemberi modal pun untung.

Gangguan makhluk halus?

Duit tiba-tiba hilang. Duit tiba-tiba bertambah. Duit syiling berterabur kat depan kedai tapi tak tau siapa pemilik. Jumpa segumpal rambut. Tiba-tiba bau wangi. Hmm… entahlah mungkin kebetulan je kot dan tak ada kena mengena sangat. Walaubagaimanapun, tak ada la pula saya menidakkan kewujudan makhluk-makhluk ini semua.

 

Kalau setakat dengar bunyi tapak kaki, dengar suara orang bagi salam, tapi bila tengok-tengok, tak ada orang pun datang kedai, ini pun perkara biasa kot.. Entah la.

 

Bila ada kesempatan, saya akan rujuk juga dengan mereka-mereka yang lebih pakar, termasuklah dengan para perawat dari pusat rawatan Islam Al-Qayyum. Saya pernah ke pusat rawatan ini sekali. Baca juga

Pengalaman rawatan di Pusat Rawatan Islam Al Qayyum

 

Apapun, semua ni saya anggap ia sebagai suatu cabaran dan pengalaman berharga untuk menyediakan diri saya menghadapi cabaran yang lebih besar lagi. Mungkin, satu hari nanti saya akan bukak kedai runcit yang kedua, ketiga pula. Siapa tahu kan… Terima kasih kerana membaca, semoga bermanfaat.

 

Rujukan tambahan:

1. Fail Sulit Bisnes Trading

2. Senarai Pembekal Seluruh Malaysia

3. Kertas Kerja Perniagaan

 

 

Exit mobile version