Blog Sabree Hussin

Idea untuk menjalankan perniagaan yang MUDAH dan MENGUNTUNGKAN

“Boleh tak cadangkan pada saya, apa-apa contoh perniagaan yang mudah dan menguntungkan?”

 

Orang kita memang macam ni. Pertama, kalau nak berniaga, mesti nak pilih perniagaan yang mudah-mudah sahaja. Kedua, dah la nak perniagaan yang mudah je, lepas tu nak yang menguntungkan.

Kalau boleh cuma nak goyang kaki je lepas tu duit masuk sendiri.

 

Wujud ke perniagaan yang mudah dan menguntungkan ni? …dan kalau betul wujud perniagaan seumpama ini, apa pulak contoh perniagaan yang tergolong dalam dua kategori tersebut?

 

Disebabkan terlalu mengejar pendapatan yang mudah, ramai orang kita yang tertipu dan akhirnya terjebak dalam skim-skim cepat kaya. Tiada skim cepat kaya yang mengaku dirinya adalah skim cepat kaya. Hanya dengan ilmu, kita dapat bezakan dan dapat menghidu sama ada sesuatu skim atau program itu bermasalah atau sebaliknya.

 

Saya suka untuk mengajak anda untuk membaca buku tulisan Azizi Ali yang berjudul Mencari Maut. Dalam buku ini, ada diterangkan cara-cara untuk mengenali sama ada sesuatu skim itu adalah skim yang benar atau skim yang menipu.

Baca juga: Mencari Maut: Bagaimana untuk melindungi diri anda daripada penyelewengan, skim cepat kaya dan lain-lain pelaburan durjana

 

Salah ke kalau seseorang tu lebih selesa nak pilih perniagaan yang mudah-mudah sahaja tetapi menguntungkan?

Dah tentulah jawapannya tak salah. Tak ada masalah dan ianya terpulang kepada anda. Asalkan anda tahu apa yang anda lakukan, itu dah cukup baik.

 

Kalau saya sendiri, diberi pilihan sama ada nak buat bisnes yang susah dan complicated, atau nak pilih bisnes yang mudah-mudah sahaja, saya sendiri akan pilih bisnes yang mudah untuk dijalankan.

 

Saya sedia maklum, pelawat dan pembaca yang melayari laman blog ni, bukan semua ada bisnes sendiri. Mungkin tak salah kot kalau saya katakan, majoriti adalah golongan yang bekerja dengan majikan secara full time dan tidak mempunyai perniagaan sendiri.

 

Dalam post ini, saya nak cadangkan 5 contoh bisnes yang anda boleh jalankan dan claim ia sebagai bisnes anda sendiri. Jangan bimbang, sebabnya saya akan kongsikan contoh-contoh perniagaan yang mudah-mudah sahaja, dan In Shaa Allah, jika dibuat dengan betul, perniagaan tersebut juga akan dapat menyumbangkan keuntungan kepada anda.

 

Banyak atau sikit? Itu bergantung kepada rezeki dan usaha masing-masing. Buat je dulu, dan jika anda cuma dapat hasilkan keuntungan RM100 sahaja sebulan, saya rasa itu masih lagi cukup baik berbanding sebelum ini yang mana anda mungkin tak pernah lakukan sebarang bisnes.

 

Apa dia contoh perniagaan yang mudah dan menguntungkan tu?

Saya nak mulakan dengan contoh perniagaan kegemaran saya dulu, iaitu

(1) Jual produk orang lain dan ambil komisen

Ini benda yang saya buat sekarang ini. Malahan saya dah buat benda ni dari beberapa tahun yang sudah. Bila dilihat sekali imbas, nampak macam saya ni jual macam-macam jenis produk. Namun hakikatnya, kesemua produk yang saya syorkan dalam blog ini, adalah produk milik orang lain.

 

Saya hanya bertindak sebagai ejen yang menghebahkan tentang kewujudan dan kelebihan sesuatu produk. Sekiranya ada pembaca yang berminat dengan produk tersebut, lalu membuat pembelian, maka saya akan menerima bayaran komisen.

 

Komisen adalah berbeza-beza mengikut jenis produk. Sekiranya produk tersebut adalah produk digital, komisen yang boleh saya perolehi adalah antara 40% – 70% untuk satu produk. Manakala untuk produk fizikal, komisen yang boleh saya perolehi adalah sekitar 6% – 12%.

 

Sekiranya anda berminat untuk menjadi ejen jualan seperti saya, saya syorkan anda sertai program affiliate seperti program affiliate Lazada dan juga program affiliate Involve Asia.

Baca juga:

1. Program Affiliate Lazada: Bagaimana cara daftar sebagai ejen affiliate?

2. Cara MUDAH buat duit dengan Involve Asia?

 

Konsep affiliate sebenarnya mula dipraktikkan oleh syarikat-syarikat besar secara lebih meluas sejak akhir-akhir ini. Segalanya terpulang pada kita, sama ada nak ambil bahagian dan rebut peluang ini untuk buat duit dengan memulakan perniagaan anda sendiri sebagai ejen affiliate atau sekadar nak tunggu dan lihat.

 

Saya tak nafikan, memang ada individu yang berjaya jana pendapatan sampai  4 – 5 angka dengan affiliate. Namun ia bukan mudah dan hampir mustahil untuk mereka yang baru bermula untuk capai tahap kejayaan yang sama. Akan tetapi, jika sasaran anda adalah sekitar RM100 – RM200 setiap bulan, ianya adalah suatu jumlah yang tidak mustahil untuk dicapai.

 

(2) Jual produk orang lain menggunakan konsep dropship

Sekiranya anda merasakan komisen sebagai ejen affiliate sangat rendah dan merasakan seolah-olah ianya kurang berbaloi, maka ubahlah pendekatan. Gunakan kaedah dropship.

Selalunya, komisen yang boleh anda perolehi menerusi program dropship adalah lebih tinggi berbanding komisen jika anda bertindak selaku ejen affiliate sahaja.

 

(3) Jual kemahiran yang anda miliki

Apa kata anda jual kemahiran yang anda miliki dengan memulakan bisnes jenis perkhidmatan. Saya sendiri menjual kemahiran yang saya miliki dan menawarkan perkhidmatan kepada golongan sasaran yang mungkin perlukan khidmat saya.

 

Apa perkhidmatan yang saya jual? Saya jual perkhidmatan menulis artikel iklan dan sebagai pakej saya juga bantu mempromosikan iklan yang saya tulis itu di laman media sosial milik saya dan juga di mailing list.

Boleh lihat dengan lebih lanjut disini: Perkhidmatan Iklan

 

Anda juga boleh lakukan seperti mana yang saya lakukan. Sekiranya anda tidak tahu bagaimana nak bermula dan tidak tahu dimana tempat yang sesuai untuk mula jualkan kemahiran yang anda miliki, mungkin saya boleh syorkan anda untuk mula berniaga di portal iLancee.

Baca lagi: Kerja dari rumah dengan iLancee

Menerusi laman web iLancee ini, anda boleh menyenaraikan semua jenis perkhidmatan yang anda mampu tawarkan kepada bakal pelanggan yang mungkin memerlukan kemahiran yang anda miliki. Antara kelebihan memulakan perniagaan dalam bidang perkhidmatan ialah, ianya tidak memerlukan anda mengeluarkan modal mahupun menyimpan sebarang stok untuk dijual.

 

Dengan kemahiran yang anda miliki, anda sudah boleh memulakan perniagaan anda yang pasti menguntungkan.

 

(4) Jual kepakaran yang anda ada

Pada waktu catatan ni saya tulis, saya sedang baca buku berjudul The Management Consultant : Mastering the Art of Consultancy.

 

Anda boleh lihat info lanjut tentang buku ini di laman web Kinokuniya Malaysia ini.

 

Sepanjang anda hidup ini, pasti ada satu atau dua kepakaran yang anda miliki. Pasti ada pengalaman yang anda lalui sepanjang anda berkhidmat dengan syarikat yang anda kerja sekarang ini atau sebelumnya.

 

Anda juga mungkin mempunyai senarai kenalan atau networking yang pada anda mungkin biasa-biasa sahaja, tetapi bagi orang lain, ianya sangat berharga.

 

Perkara yang saya sebutkan itu semua ada nilainya, dan jika anda pakejkan semuanya dengan betul, anda boleh jual kemahiran, pengalaman dan networking yang anda miliki. Jadilah seorang konsultan. Penerangan lebih lanjut tentang kerjaya seorang konsultan ini, mungkin saya akan tulis dilain masa.

 

Buat masa ini, kalau anda minat nak tau bagaimana memulakan kerjaya sebagai seorang konsultan, bolehlah saya cadangkan anda baca buku ini.

 

(5) Jadi seorang tenaga pengajar

Saya terjumpa beberapa quote yang agak menarik tentang menjadi tenaga pengajar.

“He who can, does. He who cannot, teaches.”

“Those who can’t do, teach.”

 

Saya tersenyum sendiri apabila terbaca kedua-dua quote tersebut yang membawa maksud yang lebih kurang sama. Sesiapa yang tak pandai melakukan sesuatu perkara, maka boleh pilih untuk jadi tenaga pengajar (cikgu).

 

Dulu, saya selalu beranggapan, sebagai seorang cikgu, dia mesti mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk lakukan apa yang diajarkannya. Saya ambil contoh, seorang pensyarah yang mengajar di fakulti pengurusan perniagaan. Saya selalu membayangkan pensyarah bisnes ni mesti pakar dalam bisnes dan jika buat bisnes, mesti dia boleh dapat untung juta-juta.

 

Sebenarnya, ia tak semestinya berlaku seperti itu. Ada orang, kepakarannya adalah untuk menjadi pengajar, dan jika dia diminta untuk buat benda yang diajar, belum tentu dia boleh buat.

 

Kini, saya berpendapat, untuk jadi seorang tenaga pengajar, dia tak perlu mempunyai kemahiran tersebut. Dia tak mampu nak buat seperti yang diajarkan pun tak ada masalah. Apa yang lebih penting pada saya ialah, dia mampu untuk mengajar dan mampu untuk buatkan anak murid faham dan akhirnya anak murid tersebut boleh buat apa yang sebelum ini dia tak mampu buat.

 

Bisnes sebagai tenaga pengajar ni, boleh jadi dalam bentuk kelas, seminar, bengkel, dan juga personal coaching.

 

Dari pengalaman saya sendiri, saya pernah jumpa orang yang cukup pakar dalam bisnes atau dalam bidangnya, tapi tak pandai nak mengajar. Bila dia buka mulut, orang tak faham dan semua audience mengantuk. Saya juga pernah jumpa individu yang tak adalah pandai sangat dalam bidangnya, namun bila dia mula mengajar, memang senang nak faham dan semua murid boleh dapat manfaat.

 

Jika diberi pilihan, saya lebih suka untuk belajar dari guru yang boleh bantu saya faham, berbanding guru yang hebat dalam bidangnya, tapi susah betul nak faham benda yang dia ajar tu.

 

Baiklah, inilah dia lima contoh perniagaan yang anda boleh lakukan sendiri lepas ni. Ianya tidaklah begitu susah, walaupun tidak begitu mudah.

 

Apa yang penting ialah, kena usaha. In Shaa Allah, orang yang usaha pasti akan berjaya.

 

 

Exit mobile version