Blog Sabree Hussin

Adakah perniagaan berasaskan runcit menguntungkan?

Untung ke kalau buka bisnes kedai runcit ni?

 

Persoalan sama ada perniagaan berasaskan runcit ini menguntungkan atau tidak, adalah satu persoalan yang legit dan perlu diberikan perhatian yang serius.

 

Aspek untung rugi memang tak asing lagi dalam mana-mana perniagaan. Tak kiralah sama ada perniagaan tu perniagaan jenis runcit, borong ataupun perniagaan jenis trading.

Risiko perniagaan runcit

Buat bisnes memang ada risiko.

Asalkan namanya perniagaan, maka ia memang terdedah kepada risiko kerugian.

 

Kalau kita fikirkan semula, kerugian ini sebenarnya bukanlah risiko bagi sesuatu perniagaan. Sebaliknya, ia merupakan kesan, hasil atau result daripada kelalaian kita dalam mengendalikan risiko perniagaan.

 

Salah satu nasihat yang saya pernah dengar, berkaitan dengan pengurusan perniagaan ialah fokus kepada aspek pengurusan risiko. Elemen risiko memang tak boleh dipisahkan dalam mana-mana jenis perniagaan.

 

Justeru, apa yang kita buat ialah, kita uruskan risiko dengan sebaiknya, dan In Shaa Allah, apabila kita berjaya kawal risiko, perniagaan yang kita jalankan itu pasti akan menghasilkan keuntungan.

 

Berfikir melalui sudut pandang menguruskan risiko, kita akan jadi berminat untuk mengetahui jawapan bagi persoalan berikut

1. Apabila kita order stok barang, apa risiko yang kita bakal hadapi?

2. Apabila kita buka pintu untuk menerima pelanggan, apa risiko yang kita perlu tahu?

3. Apabila kita mengambil pekerja untuk bantu operasi perniagaan, apa risiko tindakan tersebut?

4. Apabila kita beri hutang kepada pelanggan, apa risiko yang kita perlu tanggung?

5. Apabila kita kurang berdisiplin dalam masa buka perniagaan, apa risiko kita?

6. Apabila kita ambil loan untuk besarkan saiz perniagaan, apa risiko yang kita bakal hadapi?

7. Apabila kita tak mempunyai sistem rekod yang jelas, apa pula risiko kita?

Bagaimana mengurangkan risiko dalam perniagaan runcit?

Pertama sekali, anda perlu tahu, apakah bahagian atau aspek dalam perniagaan yang mempunyai risiko.

 

Risiko ini bukan semata-mata tentang risiko kerugian sahaja. Bila bercakap soal risiko, ia perlu diperjelaskan dengan lebih spesifik.

 

Apa risiko apabila kita restock barang?

Ada beberapa antaranya

i. Dapat barang yang hampir tarikh luput

Kita perlu semak betul-betul dan pastikan kita dapat stok produk yang belum atau masih lambat lagi nak expired.

 

ii. Over stock barang yang lambat habis

Ini akan menyebabkan modal kerja kita terikat dalam bentuk stok.

 

iii. Barang jualan habis sebelum restock

Kita akan terlepas peluang untuk buat jualan. Bermakna kita akan kehilangan peluang untuk buat keuntungan.

 

Pelanggan ini selalunya tak akan sanggup tunggu kita. Dia akan beli ditempat lain.

 

Bila ada orang kata, risiko bisnes runcit ini adalah kerugian, ianya betul tapi kurang spesifik.

 

Mungkin dilain masa, saya akan tulis posting lain yang membincangkan secara spesifik, apa sebenarnya risiko berkaitan dengan bisnes runcit.

 

Apa yang membezakan antara usahawan yang berjaya dengan usahawan yang sering gagal?

Pada saya jawapannya adalah ilmu.

 

Ya saya tahu, jawapan ini agak klise dan agak kebudak-budakan. Tapi hakikatnya, memang itulah perbezaan yang paling ketara.

 

Jiwa usahawan, adakalanya penuh dengan kedegilan dan keegoan. Dia merasakan, hanya dirinya sahaja yang betul.

Orang lain? Orang lain mana faham apa yang kita fikirkan.

 

Tapi betul ke tanggapan sedemikian?

Bidang perniagaan sudah wujud sejak sekian lama.

 

Kalau kita rajin membaca sejarah dan sirah nabi, kita akan ketahui bahawa sejak beribu tahun yang lalu, manusia sudah terlibat dalam bidang perniagaan.

 

Ini bermakna, segala bentuk masalah, cabaran, strategi, dan taktikal yang berkaitan dengan bidang perniagaan, yang kita hadapi sekarang ini, besar kemungkinan orang terdahulu dari kita sudah lama tahu dan fikirkan.

 

Atas sebab itu, bila ada orang tegur,

“Encik @ Puan, benda ini tak betul. Sepatutnya buat sekian sekian…” 

 

Jangan cepat melenting.

Cuba dengarkan dulu, apa yang cuba disampaikan.

 

Bukan selalu ada orang cuba berikan nasihat berkaitan dengan perniagan kepada kita.

 

Ibarat macam kita sedang bersiar-siar di taman, kemudian dengan tak semena-mena, kita terjumpa duit atas tanah.

Benda ini jarang berlaku, tapi sesekali ia berlaku.

Sudah tentu, nilai duit yang kita jumpa itupun tak sama.

Paling besar saya pernah jumpa, duit atas lantai yang tak tahu siapa punya, nilainya ialah RM150.

 

Tapi pernah juga saya terjumpa duit siling 5 sen, 10 sen, 20 sen dan sebagainya.

Ataupun duit kertas RM1, RM5, dan RM10.

 

Nasihat yang kita dapat ini juga begitulah nilainya.

Ada nasihat yang bernilai ratusan ringgit. Ada nasihat bernilai 10 sen. Itu jika kita ingin letakkan nilai RM pada nasihat tersebut.

 

Now… bila anda jumpa duit atas tanah atau atas lantai yang tak tahu siapa pemiliknya… Apa tindakan anda seterusnya?

Biarkan sahaja duit tersebut? Atau ambil?

Walau apa sekalipun tindakan anda, ianya terpulang pada anda.

 

Apakah bisnes secara runcit itu menguntungkan?

Mari kita lihat dari segi konsep bisnes runcit itu terlebih dahulu.

 

Bisnes secara runcit merujuk kepada suatu konsep perusahaan yang mana operasi perniagaan mereka adalah menjual pelbagai jenis barangan secara terus kepada pengguna untuk kegunaan peribadi.

 

Bisnes secara runcit adalah merupakan check point terakhir dalam rantaian bekalan yang menghubungkan antara pengeluar atau pemborong kepada pengguna akhir.

 

Lazimnya, usahawan runcit akan membeli stok barangan secara pukal atau borong, dari pihak pengeluar, pengilang atau pemborong, sebelum mereka jualkan barangan tersebut secara sedikit demi sedikit dengan harga yang lebih tinggi bagi menghasilkan keuntungan.

 

Bila beli barang secara borong, kos satu unit barang mungkin akan jadi RM1 sahaja.

Tapi bila kita jual semula secara runcit, kita boleh jual dengan harga RM2 atau apa-apa harga yang disyorkan untuk jualan secara runcit (recommended retail price)

 

Jadi, apa yang saya cuba sampaikan?

Maksudnya, bisnes secara runcit ini sepatutnya memang menguntungkanlah!

 

Adakah ianya semudah itu?

Sudah tentulah jawapannya adalah tidak.

 

Mari kita bincangkan, apakah dia faktor yang mempengaruhi keuntungan sebuah perniagaan kedai runcit?

 

Mungkin dari situ, kita boleh dapatkan gambaran yang lebih jelas, sama ada bisnes ini nanti bakal memberikan pulangan yang anda harapkan atau sebaliknya.

 

Faktor keuntungan bisnes kedai runcit

Apakah terdapat faktor atau perkara-perkara yang boleh mempengaruhi keuntungan bisnes runcit?

Jawapannya sudah tentulah ada.

 

(1) Kawasan tumpuan

Bisnes kedai runcit akan menerima manfaat yang besar sekiranya beroperasi dikawasan yang menjadi tumpuan dan laluan orang ramai.

 

Sebagai contoh kedai yang terletak dilokasi dimana terdapat banyak orang akan lalu-lalang. Ia mungkin terletak dilaluan utama dimana orang ramai akan menaiki pengangkutan awam, seperti bas, kereta api dan sebagainya.

 

Kedai tersebut juga perlu berada di kedudukan yang memudahkan bakal pelanggan untuk datang.

 

Mereka yang mempunyai kenderaan sendiri mudah untuk dapatkan parking atau berhenti dengan selamat.

 

(2) Waktu operasi yang lebih panjang

Kedai runcit ini sebenarnya ada kelebihan untuk beroperasi lebih lama berbanding mini market atau pasaraya.

 

Sesetengah pasaraya hanya akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga ke 10 malam.

 

Tapi kalau kedai runcit, anda boleh beroperasi seawal jam 6.30 pagi hingga ke jam 1.00 pagi.

 

Ataupun kalau nak beroperasi 24 jam sekalipun tidak menjadi masalah. Jika isu keselamatan yang menjadi kerisauan, mungkin selepas jam 10.00 malam, anda hanya berurusan melalui tingkap sahaja.

 

Sudah tentu, kamera cctv juga perlu sentiasa dipasang untuk merakam sebarang kejadian yang tak diingini.

 

(3) Barangan keperluan

Bisnes kedai runcit dapat mengaut keuntungan yang lebih banyak dengan mempelbagaikan barangan yang dijual.

 

Ada barangan keperluan harian.

Ini merujuk kepada barangan yang pelanggan akan guna setiap hari. Biasanya untung tak besar mana, tapi produk dalam kategori ini laju terjual.

 

Ada barangan yang memikat kemahuan pelanggan.

Barangan jenis ini adalah seperti makanan ringan, minuman ringan dan sebagainya.

 

(4) Barangan mengikut musim

Boleh juga jual barangan yang bermusim.

 

Sebagai contoh, anda turut sediakan khidmat tempahan biskut raya, lontong, ketupat, rendang dan sebagainya terutama sekali di musim perayaan.

 

(5) Persaingan yang hampir tiada

Faktor persaingan dapat memberi kesan terhadap keuntungan perniagaan runcit.

 

Namun demikian, ada lokasi tertentu yang mana persaingan adalah sangat kurang atau hampir tiada.

 

(6) Pelanggan setia

Bisnes anda terletak dilokasi yang strategik dan barangan yang dijual sentiasa cukup untuk memenuhi keperluan dan kemahuan bakal pelanggan.

 

Ini adalah ramuan untuk mendapatkan pelanggan setia, yang akan berbelanja ditempat anda hampir setiap hari.

 

Jika bisnes anda mempunyai pelanggan setia, mereka ini akan berbelanja ditempat anda hampir setiap hari dan akan menyumbangkan keuntungan kepada anda.

 

Jaga mereka ini dengan baik, dan pastikan setiap keperluan dan kemahuan mereka, anda dapat penuhi.

 

Rasanya tak salah kalau sesekali anda tanya pada mereka, apa barangan yang mereka nak anda jual dikedai anda.

 

(7) Kos operasi yang murah

Ada juga usahawan runcit yang dapat menjalankan perniagaan mereka dengan kos operasi yang murah.

 

Sebagai contoh,

1. Tak perlu bayar sewa kedai 

Kedai dibina atas tanah sendiri.

 

2. Tak perlu upah pekerja 

Pekerja adalah diri sendiri, isteri dan anak-anak.

 

3. Bil air dan elektrik bayar secara kongsi 

Guna meter yang sama untuk kegunaan kediaman.

 

Situasi yang saya gambarkan diatas memang tak semua orang akan lalui, tapi ini bukan bermakna situasi ini tak berlaku. Kalau anda tak percaya, boleh cuba lihat bisnes kedai runcit yang dijalankan dikawasan kampung-kampung.

 

(8) Pengurusan stok yang cekap

Pengurusan stok yang cekap juga dapat menyumbang kepada keuntungan.

 

Stok sentiasa ada untuk memenuhi keperluan bakal pelanggan.

 

Tiada produk yang perlu disimpan lama hingga melewati tarikh luput atau barang tersebut rosak.

 

(9) Stok harga murah

Anda mempunyai hubungan yang baik dengan pembekal, dan mereka tak mempunyai masalah untuk tawarkan harga yang lebih rendah.

 

Kos pembelian stok murah, boleh memberikan keuntungan yang lebih tinggi.

 

Anda boleh tawarkan harga yang sama murah seperti yang ditawarkan oleh pasaraya besar, jika anda mempunyai pembekal yang boleh berikan anda harga yang rendah.

 

(10) Servis penghantaran

Pelanggan boleh membeli dari anda, walaupun mereka tak datang ke kedai anda.

 

Cuba cari peluang untuk wujudkan suatu sistem tempahan yang membolehkan pelanggan buat pembelian walaupun mereka tak datang ke kedai.

Ada kedai yang menggunakan khidmat grab untuk memudahkan pelanggan mereka membuat pesanan tanpa mereka perlu keluar dari rumah.

 

(11) Penggunaan teknologi

Ada banyak perkara yang kita boleh bincangkan dibawah poin penggunaan teknologi ini.

 

1. Pelbagaikan kaedah untuk menerima bayaran

Mudahkan pelanggan untuk buat bayaran dengan mempelbagaikan kaedah untuk terima duit pelanggan.

 

Sekarang sudah semakin ramai pelanggan yang mula menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai.

Sama ada mereka membuat bayaran menggunakan kad debit, kad kredit, e-wallet ataupun QR Pay.

 

2. Jual produk secara atas talian

Dengan teknologi yang kita ada sekarang ini juga, kita tak lagi dihadkan untuk menjual kepada pelanggan yang berada disekeliling kita sahaja.

 

Malahan, kita boleh menjual kepada pelanggan seluruh Malaysia, dengan bantuan platform jualan seperti Shopee, Lazada dan sebagainya.

Lihat buktinya dibawah.

Memang sudah ada usahawan yang mula menjual barangan mereka melalui Shopee.

Boleh lihat disini.

 

Cuma perlukan sedikit kreativiti dan anda juga boleh lakukan hal yang sama.

 

3. Gunakan sistem POS

Sistem point of sales ini sangat penting terutama sekali dalam aspek pengurusan inventori.

 

Ia dapat meningkatkan kecekapan anda menguruskan stok dan untuk jangka masa panjang, anda boleh buat ramalan keuntungan yang bakal anda perolehi berdasarkan kepada data jualan terdahulu.

 

Modal besar maka untung juga besar?

Berapa modal yang perlu ada untuk buka bisnes kedai runcit?

Sebenarnya tak ada satu jawapan yang boleh memuaskan hati semua orang.

 

Anda perlu kira sendiri, apakah kos-kos yang mungkin terlibat untuk menjalankan perniagaan tersebut.

 

Saya pernah jumpa juga satu ketika dulu, ada yang beranggapan, kalau mereka ada modal yang besar untuk memulakan perniagaan runcit, situasi seperti dibawah ini pasti akan mereka lalui,

1. Dengan modal yang besar, maka lebih banyak produk yang boleh dijual di kedainya

2. Boleh beli stok secara borong dan dapat harga lebih rendah

3. Banyak barang jualan, akan memberi pelanggan lebih banyak pilihan untuk beli barangan dikedai mereka.

4. Lagi banyak produk yang dibeli oleh pelanggan, maka lagi banyaklah keuntungan yang boleh diraih.

Idea ini juga ada benarnya, kerana setiap produk yang dibeli oleh pelanggan, menyumbangkan keuntungan yang berbeza setiap satu. Ada produk yang menyumbang keuntungan sebanyak 50 sen, ada yang 10 sen, 20 sen dan sebagainya.

 

Jadi, bukankah ini bermakna, lagi banyak pilihan barangan yang kita jual, lagi banyak yang pelanggan beli, maka lagi banyaklah keuntungan yang boleh kita perolehi.

 

Orang tempatan takut berniaga

Di beberapa tempat yang saya pernah kunjungi, perniagaan kedai runcit dah mula dipelopori oleh bangsa asing. Yang saya maksudkan dengan bangsa asing ialah bangsa Aceh, Bangladesh dan juga Pakistan.

 

Ya…

 

Ketika anda sedang berkira-kira, sama ada perniagaan kedai runcit ini untung ataupun tidak, bangsa lain dah pun mula menguasai perniagaan ini.

 

Kita akan nampak kewujudan kedai runcit milik warga asing ini dibuka dikawasan yang ada banyak kaum mereka. Boleh jadi mereka buka bisnes ini bagi menjaga kebajikan dan memenuhi keperluan kaum mereka.

 

Mereka mengenakan harga yang adakalanya lebih mahal daripada harga biasa. Namun, apa pilihan yang anda ada? Lebih-lebih lagi ketika anda sedang terdesak nak dapatkan produk tertentu.

 

“Dah la jual mahal, lepas tu bayar kat orang asing pulak… kalau bayar kat orang kita sendiri, at least tak ada la marah sangat sebab kena bayar mahal tu…”

 

Duit yang kita bayar, dah tentu mereka akan salurkan kepada negara mereka. Kalau mereka gunakan semula untuk berbelanja di negara kita sendiri, itu tak ada isu sangat.

 

Tetapi, mereka akan kirimkan duit tu kepada keluarga mereka yang ada di kampung. Dah satu hal, aliran keluar matawang kita ke negara mereka akan beri kesan dari segi ekonomi. Ah… dah cerita bab ekonomi pulak. Walhal, tadi cuma nak cerita tentang untung atau tak perniagaan kedai runcit ni.

 

Adakah warga asing ini boleh memohon lesen dan membuka bisnes kedai runcit?

Kalau merujuk kepada berita bertarikh 8 Mac 2023 ini,

Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan kedai runcit, kedai makan dan di pasar awam.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata kelulusan sewaan tapak pasar awam dan pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja manakala warga asing yang bekerja dengan penyewa tapak pasar awam tersebut perlu mempunyai pas kerja yang sah.

 

Maksudnya, kalau kita nampak ada warga asing yang membuka kedai runcit ini, boleh jadi mereka sebenarnya

1. Gunakan nama orang tempatan untuk berniaga.

2. Sebenarnya berlakon sebagai pekerja di kedai tersebut.

3. Menyewa kedai tersebut dengan orang tempatan.

 

Adakalanya sebagai orang luar, kita sebenarnya boleh agak sama ada perniagaan runcit milik seseorang usahawan tu ada untung atau tak. Kita lihat dalam tempoh masa setahun ke dua tahun. Kalau barangan yang dijual makin bertambah, pelanggan makin ramai, ini tanda-tanda positif yang menunjukkan perniagaan tersebut memang untung.

 

Tetapi, kalau sebaliknya yang berlaku, boleh jadi perniagaan yang sedang mereka jalankan sebenarnya bermasalah dan sekarang ni tidaklah begitu menguntungkan.

 

Baca juga: Tips menjalankan bisnes kedai runcit yang berjaya

 

Cara yang saya sebutkan diatas ini, sebenarnya lebih kepada berdasarkan pemerhatian. Cara seperti ini, kebiasaannya tidak begitu tepat untuk kita ketahui kedudukan sebenar dan tahap kesihatan sesebuah perniagaan yang dijalankan.

 

Kaedah yang lebih baik, untuk mengetahui sama ada sesuatu bisnes itu menguntungkan ataupun tidak, adalah dengan melihat laporan kewangan syarikat. Biasanya kita akan lihat kepada akaun untung rugi atau profit & loss account.

 

Sebagai pemilik perniagaan, menjadi tanggungjawab kita untuk merekod semua transaksi yang kita lakukan untuk tujuan bisnes. Data-data ini kemudiannya akan disusun dalam satu format yang betul bagi membentuk akaun untung rugi dan dari situ, kita boleh buat analisis sama ada bisnes yang kita jalankan itu sedang berada dilandasan yang betul atau sedang diambang kerugian.

 

Kesimpulan

Adakah bisnes kedai runcit menguntungkan?

Saya percaya, jika pengurusannya betul-betul cekap, sudah pasti jawapannya ialah bisnes kedai runcit memang menguntungkan.

 

Walaubagaimanapun, situasi setiap orang adalah berbeza-beza.

Kadang-kadang apa yang membuatkan bisnes kita gagal, ianya tak ada kaitan secara langsung pun dengan apa yang berlaku dalam urusan sehari-hari perniagaan kita.

 

Sebagai contoh, kita dah buat bisnes kita dengan baik.

Satu hari kita diuji dengan masalah kesihatan, dan satu-satunya sumber kewangan yang kita ada, adalah dari bisnes kita.

 

Lalu kita terpaksa ambil keputusan yang cukup berat, iaitu untuk ambil wang dari bisnes kita bagi membiayai kos rawatan hingga akhirnya bisnes kita tak dapat berjalan dengan baik.

 

Kalau inilah situasi yang berlaku, ia bukan bermakna bisnes runcit itu tak menguntungkan.

Cuma keadaan yang memaksa ianya berlaku sedemikian.

 

Bagi sesetengah orang, mungkin mereka akan kata, tindakan kita ambil duit dari bisnes adalah tindakan yang kurang tepat.

Tapi kalau dah nama pun terdesak, dari mana lagi kita nak cari sumber duit? Betul tak?

Saya sedia maklum, bukan semua orang mempunyai kemahiran dalam bidang perakaunan. Justeru, buat pemilik bisnes yang kurang arif dalam bab perakaunan, bolehlah hubungi rakan saya Pn Diyana melalui nombor berikut 011-2720 4420. Ataupun boleh layari laman web syarikat beliau di https://realmanagementservices.com/

 

Pn Diyana ini menyediakan khidmat berkaitan dengan perakaunan, percukaian dan audit syarikat. Kalau selama ini anda jalankan bisnes tanpa ambil peduli aspek perakaunan, inilah masanya untuk anda berubah dan jalankan bisnes dengan kaedah yang lebih baik. In Shaa Allah beliau boleh bantu menyediakan akaun untuk syarikat anda.

 

 

Exit mobile version