Blog Sabree Hussin

Tips menjalankan bisnes kedai runcit yang berjaya

Adakah anda berminat untuk membuka perniagaan kedai runcit anda sendiri?

Jika jawapan anda adalah ya, perkongsian tentang tips menjalankan bisnes kedai runcit ini memang saya tulis untuk anda.

 

Bisnes kedai runcit adalah salah satu bisnes yang tidak terlalu sukar untuk dijalankan. Ia merupakan satu bentuk perniagaan yang cukup popular dalam kalangan mereka yang ingin mengorak langkah menjadi seorang usahawan.

 

Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh lakukan bisnes ini.

Bisnes kedai runcit bukanlah sebuah perniagaan yang terlalu rumit. Konsepnya juga agak ringkas. Kita beli barang secara borong atau secara pukal dalam kuantiti yang besar, kemudian kita jual semula sedikit-sedikit.

 

Asalkan anda mempunyai modal yang mencukupi dan minat dalam menjalankan bisnes ini, anda juga boleh memulakan bisnes kedai runcit anda sendiri. Peringkat permulaan, mungkin anda boleh memulakan bisnes ini dalam skala yang kecil, jika anda tidak mempunyai modal yang besar.

 

 

Kemudian, dari keuntungan yang anda perolehi, boleh digunakan semula sebagai modal pusingan yang seterusnya membolehkan anda menambahkan barang jualan dan membesarkan perniagaan kedai runcit anda.

 

Walaubagaimanapun, mengusahakan perniagaan runcit sendiri mungkin tidak semudah yang disangkakan. Ia memerlukan perancangan yang rapi, dedikasi dan semangat yang tinggi.

 

Tahun pertama anda menjalankan bisnes ini, mungkin ianya cukup menyeronokkan dan sangat mengujakan.

 

Tapi, setelah berlalu beberapa tahun, adakah semangat tersebut masih ada, ataupun pada waktu tersebut anda mula merasakan bisnes ini menyekat kebebasan dan menyukarkan anda untuk bergerak ke mana-mana.

 

Pada waktu tersebut, mungkin anda mula mempersoalkan diri sendiri.

“Adakah aku buat keputusan yang betul, untuk mulakan bisnes kedai runcit? Atau sebenarnya aku patut buka bisnes lain?”

 

Orang yang dapat bersabar, In Shaa Allah mampu mewariskan bisnes ini kepada generasi seterusnya. Segala penat lelah dan usaha anda membangunkan bisnes ini, dapat dimanfaatkan bukan hanya untuk anda malahan kepada generasi selepas anda.

 

Ia boleh dijadikan bisnes turun temurun. Ya, family business!

 

Dalam blog ini, saya akan hasilkan seberapa banyak perkongsian yang berkaitan dengan perniagaan kedai runcit untuk rujukan dan pembacaan anda.

 

Walaubagaimanapun, sebelum anda teruskan pembacaan, saya kira ada baiknya saya berikan serba-sedikit disclaimer (penafian) terlebih dahulu.

 

Pertama sekali, apa yang anda bakal baca didalam posting ini, atau dalam lain-lain posting berkaitan dengan topik bisnes kedai runcit ini,  mungkin adalah sesuatu yang common sense.

 

Kebanyakkan apa yang saya tulis dalam posting saya ada perkara-perkara yang anda mungkin dah tahu.

 

Kedua, mungkin ada perkara yang saya sebutkan disini, mustahil untuk anda lakukan.

Mustahil untuk anda lakukan mungkin sebab konsep tak sama, tipsnya tak berapa relevan dengan perniagaan yang anda jalankan, atau boleh jadi anda sebenarnya tak ada kepakaran untuk buat seperti yang saya syorkan.

 

Jadi, kalau dah faham, barulah teruskan pembacaan.

Saya harap anda tak letakkan expectation yang terlalu tinggi. Saya bukan pakar dalam bisnes ini, sebaliknya saya hanya kongsikan apa yang saya tahu.

 

Kalau ada informasi yang anda perlukan, tapi tak ditulis dalam blog ini, anggap sahaja yang saya juga tak tahu tentang perkara tersebut ya.

 

Baiklah, jadi tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita bincangkan topik posting pada kali ini iaitu tentang tips untuk menjalankan bisnes kedai runcit sehingga berjaya!

 

(1) Pilih lokasi yang bagus

Pemilihan lokasi yang tepat adalah merupakan faktor yang sangat penting dalam memastikan kejayaan perniagaan kedai runcit yang bakal anda jalankan.

 

Oleh kerana bisnes ini memerlukan anda untuk mempunyai premis perniagaan, maka anda perlu sangat cermat dan berhati-hati dalam memilih lokasi yang tepat untuk memulakan perniagaan anda.

 

Untuk tips bisnes kedai runcit yang pertama ini, kita mulakan dengan bercerita tentang bab pemilihan lokasi yang strategik dulu ya.

 

Bagaimana yang dikatakan sebagai lokasi yang bagus?

Apabila kita katakan yang kedai runcit ini perlu dibuka dilokasi yang bagus dan strategik, ianya kenyataan yang agak umum. Betul tak?

 

Bagi sesetengah orang yang agak baru dalam dunia bisnes, mungkin ada pemahaman yang berbeza, mengenai istilah lokasi strategik disini. Silap-silap, apa yang dia fikirkan sebagai strategik, sebenarnya tak betul.

 

Jom kita bincangkan apakah yang dikatakan sebagai lokasi yang bagus atau strategik khusus bagi bisnes kedai runcit.

 

Berikut adalah antara ciri-ciri yang kita boleh katakan sebagai bagus dan juga strategik.

 

1.1 Trafik

Kedai runcit anda sepatutnya dibuka dikawasan yang sibuk dengan banyak orang yang lalu-lalang.

 

Setiap hari dan setiap masa, pasti akan ada orang yang akan melalui kawasan tersebut. Sebahagian daripada mereka yang lalu kawasan tersebut, pasti akan singgah dan beli sesuatu dari kedai anda.

 

1.2 Visibility

Kedai yang bakal anda buka nanti sepatutnya mudah untuk dilihat dari jalan raya. Tujuannya supaya pelanggan yang memandu kenderaan sendiri boleh nampak kedai anda walaupun dari jauh.

Kadang-kadang memang ada pengguna jalan raya yang sambil memandu, sambil melihat kawasan sekeliling, untuk mengetahui apa yang ada disitu.

 

Terutama sekali, kalau ini merupakan kali pertama dia sampai ke tempat tersebut.

 

1.3 Akses yang mudah

Tempat anda berniaga sepatutnya mudah untuk dikunjungi oleh pelanggan yang memandu kenderaan sendiri, pelanggan yang menggunakan pengangkutan awam termasuklah mereka yang berjalan kaki.

 

Bagi pelanggan yang membawa kenderaan sendiri, sepatutnya mereka mudah untuk mencari tempat untuk parking kenderaan dengan selamat.

 

1.4 Persaingan yang kurang

Elakkan membuka kedai runcit dilokasi yang berdekatan dengan kedai runcit lain. Kalau kawasan tersebut sudah ada beberapa kedai runcit lain, mungkin anda patut elakkan dari membuka kedai anda disitu.

 

Ada kalanya, tak berbaloi untuk bersaing dikawasan yang sama.

 

Kadang-kadang kita dah jumpa lokasi yang bagus yang kurang persaingan. Tapi selepas 3 atau 4 tahun berniaga, tiba-tiba ada orang lain pula nak masuk berniaga dan buka kedai runcit dikawasan yang sama.

 

1.5 Kos menjalankan perniagaan

Faktor kos juga perlu diberikan perhatian.

 

Kos disini merangkumi kos sewa premis perniagaan, kos penggunaan utiliti, kos pekerja, kos untuk anda datang ke premis perniagaan anda dan sebagainya.

 

Kalau kos terlalu tinggi, ia mungkin akan menyebabkan margin keuntungan anda semakin mengecil.

 

1.6 Lokasi berdekatan dengan kawasan perumahan

Jika anda menemui premis yang berdekatan dengan kawasan perumahan juga itu merupakan satu lokasi yang baik. Pelanggan yang bakal anda perolehi adalah terdiri dari penduduk yang tinggal dikawasan kejiranan.

 

Sebaik-baiknya, kedai yang berada dikawasan ini boleh dikunjungi oleh pelanggan secara berjalan kaki.

 

1.7 Lokasi berdekatan dengan kawasan perniagaan, bangunan pejabat dan kilang 

Kedai runcit anda berdekatan dengan pejabat, restoran, kedai menjual pakaian, stesen minyak, kilang dan lain-lain premis perniagaan yang dikunjungi oleh pelanggan.

 

Sebahagian dari mereka ini akan ada yang datang dan singgah beli barang di kedai anda sebaik sahaja urusan mereka selesai.

 

1.8 Lokasi di tempat tumpuan pelancongan atau percutian

Tempat tumpuan percutian selalunya akan menerima pengunjung yang ramai terutama sekali ketika hari cuti. Kawasan seperti ini juga lazimnya ada homestay, hotel dan resort berhampiran.

 

Pelancong yang datang bercuti biasanya tak membawa barang yang banyak kerana mereka expect untuk beli di kedai runcit atau pasaraya yang berhampiran.

 

Anda rasa, kalau buka bisnes kedai runcit dekat kawasan percutian, sesuai ke nak jual barangan basah seperti ikan, udang, sotong, dan sayur-sayuran?

 

Sebenarnya pada lokasi yang berbeza, pelanggan yang bakal anda perolehi juga adalah dari latar belakang yang berbeza-beza. Sebab tu kadang-kadang tips bisnes kedai runcit yang kita baca dari orang lain, ada yang kita tak boleh nak apply dalam bisnes kita sendiri.

 

(2) Bina kertas rancangan perniagaan

Tips kedua untuk bina perniagaan kedai runcit yang berjaya adalah dengan menulis kertas rancangan perniagaan atau nama lainnya business plan.

 

Business plan ini sebenarnya memang sangat penting untuk disediakan bagi setiap perniagaan yang anda jalankan. Kegunaan business plan adalah sebagai panduan untuk anda jalankan bisnes anda dengan lancar.

 

Apabila semuanya sudah ada atas kertas, maka lebih mudah untuk anda menguruskan perniagaan anda kelak. Jangan tunggu ada masalah, baru nak fikirkan perjalanan dan masa depan bisnes anda.

 

Rangka perjalanan bisnes anda atas kertas terlebih dahulu, dan jika atas kertas pun anda tak nampak yang bisnes tu boleh pergi jauh, maka tak perlu nak ambil risiko dengan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk modal perniagaan.

Sebaliknya, jika perancangan diatas kertas nampak seperti meyakinkan, maka barulah anda buat keputusan sama ada nak teruskan atau tidak.

 

Kalau dalam konteks bisnes kedai runcit ini, business plan yang perlu anda bina perlu merangkumi item seperti

 

2.1 Executive summary

Penerangan secara ringkas mengenai idea, matlamat, misi, visi, kekuatan perniagaan anda, sasaran pelanggan, analisis persaingan, unjuran kewangan dan pembiayaan yang diperlukan.

 

2.2 Keterangan perniagaan

Konsep bisnes kedai runcit yang anda sedang atau akan jalankan, lokasi, saiz, susun atur, reka bentuk, produk dan perkhidmatan, strategi penetapan harga, masa operasi, hak milik, pasukan pengurusan dan sebagainya.

 

2.3 Analisa pasaran

Analisa secara lengkap atau komprehensif mengenai perniagaan kedai runcit yang bakal anda jalankan dikawasan pilihan anda. Ia merangkumi aspek seperti saiz perniagaan, potensi keuntungan, trend, peluang, ancaman, segemen pelanggan, demografik, psikografik, pola pembelian pelanggan.

 

Setelah anda kenalpasti, dimana lokasi yang bakal anda jalankan bisnes kedai runcit anda, anda patut tahu membezakan corak ataupun profil pelanggan yang bakal anda temui.

 

Bergantung kepada lokasi yang bakal anda pilih, sama ada

a. Kedai runcit di kawasan kediaman atau perumahan

b. Kedai runcit dikawasan bandar atau pekan

c. Kedai runcit di kawasan tempat peranginan

d. Kedai runcit dikawasan kampung

 

Lokasi yang berbeza pasti akan dapat profil pelanggan yang berbeza.

Justeru, keperluan bakal pelanggan juga tak sama.

 

2.4 Analisa persaingan

Kenalpasti siapakah pesaing yang berada disekitar anda. Pesaing ini boleh jadi adalah mereka yang memberikan persaingan secara langsung atau tak langsung kepada perniagaan kedai runcit anda.

 

Persaingan secara langsung ini contohnya adalah seperti kedai runcit lain yang sudah sedia ada, pasaraya, mall, food panda dan sebagainya.

 

Persaingan tak langsung ini merujuk kepada perniagaan yang bukan kedai runcit tetapi ada menjual produk yang anda jual juga, misalnya seperti pasar malam, pasar pagi, restoran dan sebagainya.

 

2.5 Strategi pemasaran

Strategi yang bakal anda gunakan dalam aspek pemasaran. Pastikan strategi tersebut jelas, dan menyerlahkan keunikkan perniagaan kedai runcit anda berbanding perniagaan lain yang beroperasi disekitar anda.

 

Dalam bahagian strategi pemasaran ini juga, anda perlu perhalusi aspek seperti

2.5a Apakah jenis produk yang bakal anda fokuskan?

Adakah barangan keperluan harian? Barangan basah seperti lauk-pauk dan sayur-sayuran, atau barangan kering sahaja.

 

2.5b Strategi penetapan harga

Berapa peratus keuntungan yang anda ingin tetapkan untuk setiap barangan yang dijual.

Barang apa yang anda ingin jual sama dengan harga pasaran?

Barang apa yang anda ingin jual dengan harga kos?

Barang apa yang anda boleh buat untung paling besar dan sebagainya.

 

2.5c Pemilihan lokasi

Senaraikan sebab kenapa lokasi yang anda pilih ini benar-benar lokasi yang terbaik dan dapat memberikan anda pendapatan yang bagus.

 

2.6 Aktiviti pemasaran

Apakah bentuk promosi yang anda bakal jalankan bagi tujuan mendapatkan pelanggan. Adakah anda akan fokus kepada pelanggan yang walk in sahaja, atau anda juga akan bina kedai online?

 

Sebagai contoh, anda juga mungkin ingin bina kedai online menerusi platform marketplace sama ada melalui Shopee, Lazada ataupun mungkin melalui PG Mall.

 

Sekarang ini saya perhatikan ada banyak juga seller yang menjual produk seperti barangan keperluan harian di platform online. Lihat contohnya dibawah ini.

Ada 10 barang berbeza dipakejkan dalam satu kotak.

 

Melalui cara ini, seller tersebut tak perlu hanya bergantung harap pada pelanggan yang datang ke kedai sahaja untuk buat jualan. Malahan, dia ada peluang untuk jual barangan kedai runcit miliknya di seluruh Malaysia.

2.7 Bajet pemasaran

Adakah anda akan memperuntukkan sejumlah bajet tertentu bagi tujuan pemasaran? Jika ada, berapa yang anda sanggup peruntukkan dan aktiviti pemasaran atau pengiklanan yang bagaimana yang anda akan buat.

 

Mungkin anda akan jalankan kempen dalam bentuk peraduan beli dan menang, program kesetiaan, dan sebagainya.

 

Kalau anda perlukan maklumat yang lebih terperinci mengenai cara membina kertas kerja perniagaan dengan kaedah yang betul, saya syorkan anda baca artikel saya yang terdahulu.

Baca disini: Langkah demi langkah cara menulis kertas kerja rancangan perniagaan dengan format yang betul

 

(3) Penuhkan kedai dengan pelbagai jenis barang

Apa yang membuatkan sesebuah kedai runcit itu lebih istimewa dan menarik berbanding kedai runcit lain?

Kalau tanya saya, jawapannya adalah pilihan pelbagai barangan yang dijual dikedai tersebut. Itu yang menjadikan sesebuah kedai runcit itu menarik dan seronok untuk dikunjungi.

3.1 Barang yang banyak akan menarik perhatian pelanggan.

Pelanggan akan jadi tertarik untuk masuk dan berbelanja dikedai anda, apabila mereka lihat ada banyak barang yang anda jual.

 

3.2 Kalau boleh jangan ada rak yang kosong.

Pelanggan akan rasa hilang minat untuk berbelanja kalau mereka melihat ada ruang yang kosong pada rak.

 

3.3 Ini secara tak langsung akan meningkatkan jualan.

Kedai yang penuh dengan barang akan membuatkan pelanggan jadi seronok untuk membeli. Mereka akan ambil apa sahaja barang yang mereka perlukan.

 

3.4 Kedai runcit anda akan jadi lebih memudahkan pelanggan.

Cuba tetapkan matlamat untuk jadi kedai yang serba lengkap. Atau sekurang-kurangnya setiap apa yang pelanggan anda mahukan, anda mampu tawarkan.

 

Catat setiap kali pelanggan bertanya tentang barang yang mereka perlukan tapi anda tak jual barangan tersebut. Kemudian usahakan untuk masukkan barangan tersebut sebagai sebahagian dari barang jualan.

 

3.5 Pastikan anda menjual barangan yang elok.

Susun barang mengikut susunan yang anda ingin jual terlebih dahuulu. Ini bagi mengelakkan ada stok lama yang tak terjual. Pastikan stok yang baru disusun dibelakang stok yang sedia ada.

 

3.6 Kalau ada barangan yang hampir tarikh luput, keluarkan dari rak.

Anda guna untuk kegunaan sendiri sahaja.

 

Apa jenis barangan yang anda perlu ada dalam kedai runcit anda?

Ada beberapa barangan yang saya boleh cadangkan, misalnya

 

a. Makanan ringan

Snek, ais krim, keropok, biskut

 

b. Minuman

Air kotak, air tin, air dalam botol, air mineral

 

c. Makanan

Roti, sandwich, makanan frozen

 

d. Kelengkapan dalam rumah

Plastik sampah, kertas tisu, pencuci lantai, span basuh pinggan,

 

e. Keperluan memasak

Barangan seperti tepung, gula, garam, minyak masak dan sebagainya.

 

f. Penjagaan peribadi

Barangan penjagaan peribadi ini adalah seperti pisau pencukur, berus gigi, ubat gigi, sabun mandi, sabun basuh, syampu dan sebagainya.

 

g. Barangan elektronik

Bateri pelbagai saiz

 

h. Perkhidmatan tambah nilai

Topup kredit handphone

 

i. Keperluan sekolah dan pejabat

Alat tulis, kertas kajang, kertas A4

 

Untuk menentukan apakah barangan yang perlu ada dalam kedai runcit anda, sebenarnya ianya tidaklah begitu sukar. Anda boleh tiru sahaja senarai barangan yang dijual di kedai runcit orang lain, atau dipasaraya besar.

 

Usahakan supaya barangan yang dijual ditempat lain, turut boleh diperolehi di kedai runcit anda.

 

Selain itu, anda juga perlu beri perhatian apakah barangan yang selalu dibeli oleh pelanggan.

 

Apa barangan yang pelanggan nak beli, tapi anda tak jual barang tersebut. Buat catatan, dan usahakan untuk jual barangan tersebut di masa akan datang.

 

(4) Tawarkan harga yang berpatutan

Harga barangan yang dijual memainkan peranan yang penting dalam menarik pelanggan untuk terus berbelanja dikedai runcit kita.

 

Anda tak perlu menjadi kedai yang sentiasa menawarkan harga paling murah. Namun anda perlu pastikan harga barangan yang anda jual agak kompetitif dan mungkin ada beberapa barangan yang dijual dikedai anda lebih murah berbanding ditempat lain.

 

Kenapa perlu peka dalam bab harga? Ada beberapa sebab, antaranya

 

4.1 Harga yang kompetitif dapat menarik lebih ramai pelanggan.

Pelanggan akan sentiasa membuat perbandingan harga, sama ada secara teliti atau secara anggaran.

 

Kadang kita boleh rasa, bila beli barang kat sesuatu tempat tu, harganya agak mahal.

 

4.2 Lebih ramai pelanggan datang, lagi tinggi jualan

Matlamat kita adalah untuk tingkatkan jualan di kedai runcit kita. Kita nak pelanggan rasa senang hati bila berbelanja dikedai kita.

 

4.3 Kedai anda akan jadi pilihan pelanggan

Kalau ditempat anda berniaga, ada kedai lain, anda akan jadi kedai pilihan.

 

4.4 Jual dengan harga kos atau harga rugi.

Ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu strategi dalam penetapan harga.

 

Tujuannya adalah untuk menarik lebih ramai peelanggan untuuk datang berbelanja dikedai, dan kita rela tak untung pada produk A asalkan kita boleh untung pada produk B, C dan lain-lain.

 

Biasanya memang agak jarang pelanggan datang hanya untuk beli satu barang semata-mata.

 

Walaubagaimanapun, strategi ini perlu dijalankan dengan teliti dan pastikan anda peka dengan harga kos setiap barang yang dijual. Strategi ini mungkin sesuai dilakukan untuk tempoh tertentu, yang biasa kita namakan sebagai tempoh promosi sahaja. Selepas itu, kita naikkan semula harga kepada harga yang sepatutnya.

 

Memang seronok bila dapat jual dengan harga murah.

Terutama sekali bila kita tengok pelanggan kita gembira sebab dapat beli dengan harga yang lebih murah berbanding di tempat lain.

 

Selain bab harga, cuba pelbagaikan kaedah untuk menerima bayaran dari pelanggan.

Zaman sekarang ini dah ramai pelanggan yang lebih suka buat bayaran menggunakan kad debit, kad kredit atau menggunakan sistem e-wallet.

 

(5) Khidmat layanan pelanggan yang terbaik

Memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan yang melangkah masuk ke kedai juga adalah suatu yang penting.

 

Buatkan pelanggan rasa selesa dan seronok apabila datang ke kedai milik anda.

 

Bagi pelanggan yang memang biasa datang berbelanja dikedai anda, cuba anda berbual kosong dengan mereka. Kalau boleh tanya nama pun satu usaha yang baik.

 

Kalau anda rasa janggal untuk tanya nama pelanggan anda, mungkin anda boleh anjurkan program kesetiaan atau mungkin peraduan tertentu, yang memerlukan pelanggan anda mengisi butiran peribadi mereka seperti nama dan nombor telefon.

 

Lain kali bila pelanggan yang sama datang berbelanja, anda boleh sapa mereka dengan menggunakan nama mereka. Ini secara tak langsung dapat memupuk hubungan yang baik dengan anda.

 

(6) Jaga kebersihan serta kekemasan kedai

Kebersihan kedai perlu diberi perhatian yang serius.

 

Kedai yang kurang bersih, berisiko untuk mengundang kehadiran makhluk perosak seperti tikus, lipas dan sebagainya.

 

Selain itu, ia juga akan mengeluarkan bau-bauan yang kurang menyenangkan jika keadaan terlalu kotor.

Pelanggan anda akan rasa kurang selesa, dan mungkin akan mengelak untuk datang lagi ke kedai anda, melainkan kalau terpaksa dan tak ada pilihan lain.

 

Apa yang perlu anda buat untuk menjaga keberishan kedai.

1. Pastikan anda sapu sampah dan mop kedai setiap hari.

Sebelum buka kedai, boleh mop dulu seluruh kedai, ataupun mop kedai sebelum tutup kedai. Kemudian kalau ada pelanggan yang kotorkan kedai, segera mop.

 

2. Sapu habuk-habuk yang berkumpul di rak

Habuk yang terdapat pada barang-barang yang jarang diusik perlu sentiasa dibersihkan.

 

3. Kalau kedai anda ada tandas, pastikan ianya sentiasa bersih.

Tandas yang kotor akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Pastikan ada pewangi dalam tandas dan lagi penting, kebersihan dalam tandas perlu sentiasa dijaga.

 

4. Jangan kumpul sampah terlalu lama hingga banyak.

Jangan tunggu sampah dah terlalu banyak baru nak buang. Ini akan memberikan pemandangan yang kurang elok dan mungkin akan keluar bau yang kurang menyenangkan.

 

5. Letakkan label pada produk

Label ini untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat tentang produk. Biasanya produk yang kita paketkan semula ini perlu ada label.

 

6. Pastikan produk ada tanda harga untuk memudahkan pelanggan.

Pelanggan akan mudah untuk buat keputusan apabila ada tanda harga.

Mesin untuk label harga pun murah sahaja, boleh dapatkan disini.

 

7. Sentiasa pastikan produk yang berada atas rak tersusun rapi.

Ada pelanggan yang kurang cermat akan buatkan susunan barangan atas rak jadi kurang menarik. Bila ada kesempatan, segera kemaskan semula susunan produk tu.

 

8. Jika ada sebarang kerosakkan, baiki dengan segera.

Kerosakkan pada pintu, lantai, dinding, lampu dan sebagainya. Semua ini perlu dibaiki dengan segera.

 

(7) Program kesetiaan

Program kesetiaan atau loyalty program merupakan satu cara yang bagus untuk memastikan pelanggan yang sama datang berulang-ulang kali untuk berbelanja di kedai anda.

 

Program kesetiaan ini, sesuai dijalankan pada awal-awal pembukaan kedai. Kemudian, boleh teruskan jika ia memberi manfaat kepada bisnes anda.

 

Kebiasaannya program seumpama ini boleh dihentikan apabila pelanggan sudah tahu kewujudan perniagaan kedai runcit anda.

Atau ketika program kesetiaan sudah tak memberi sebarang kesan terhadap peningkatan jualan kedai runcit anda.

 

(8) Promosikan kedai runcit anda

Kedai runcit yang baru dibuka, biasanya memang perlukan masa untuk orang disekeliling tau dan sedar kewujudan kedai tersebut. Namun begitu, sebagai pemilik kedai, kita tak bolehlah berdiam diri dan hanya menunggu pelanggan yang kita sasarkan akan tahu dengan sendirinya bahawa ada kedai yang baru dibuka.

 

Kalau kita tak buat apa-apa usaha, samalah seperti kita hanya mengharapkan pelanggan akan tahu sendiri kewujudan bisnes kita.

 

Dari perspektif bisnes, ini bukanlah satu tindakan yang tepat. Kita juga perlu ingat, setiap hari ada kos yang perlu kita bayar untuk menjalankan perniagaan kedai runcit tersebut. Kita ada kos sewa, bil utiliti, gaji pekerja dan sebagainya.

 

Justeru, langkah yang lebih baik untuk kita lakukan adalah dengan melakukan kerja-kerja pemasaran.

 

Apa contoh aktiviti pemasaran yang boleh anda lakukan, untuk memperkenalkan perniagaan yang anda jalankan?

Ada beberapa yang saya boleh cadangkan antaranya.

 

1. Join group komuniti di Facebook

Bergantung kepada lokasi dimana perniagaan anda dijalankan, saya percaya pasti ada group komuniti yang anda boleh sertai di Facebook.

 

Kalau dalam contoh ini, saya dapati ada beberapa group komuniti yang saya boleh sertai khusus untuk penduduk setempat.

Group komuniti ini sesuai dan relevan untuk mereka yang tinggal berdekatan dengan Bandar Mahkota Cheras atau kawasan sekitarnya, misalnya seperti Bandar Tun Hussein On, Cheras Selatan dan sebagainya.

 

Cuba anda cari dulu group komuniti untuk kawasan dimana lokasi kedai anda beroperasi dan join group tersebut.

 

Biasanya dalam group seperti ini, anda boleh hubungi pihak admin atau pemilik group dan minta izin dari mereka untuk mewar-warkan kedai yang baru anda buka dikawasan tersebut.

 

Kalau group tersebut memang aktif dengan perbincangan, pastikan anda juga selalu munculkan diri dan join dalam perbincangan yang berlaku.

 

2. Edar fliers di kawasan kejiranan

Cara ini juga boleh dilakukan iaitu edar fliers dan masukkan dalam peti surat dari rumah ke rumah.

 

3. Anjurkan jamuan makan 

Kaedah ini sesuai digunakan sekiranya anda memang mempunyai bajet yang besar. Anda anjurkan jamuan makan tengahari dan jemput penduduk sekitar untuk datang makan sempena acara pembukaan perniagaan anda.

 

(9) Peka dengan trend semasa

Setuju tak kalau saya katakan, bisnes kedai runcit pada hari ini banyak yang sudah berubah kalau nak dibandingkan dengan satu masa dulu.

 

Pada hari ini, pelanggan kedai runcit mungkin mengharapkan kita menjual bukan sekadar barang keperluan didapur, tapi lebih dari itu. Mereka mahukan kedai runcit menjadi one stop center, yang mampu menawarkan khidmat seperti

1. Pembayaran bil

2. Menyediakan set sarapan pagi dan makan tengahari

3. Boleh menerima bayaran menggunakan kad kredit atau debit

4. Pelanggan boleh beli barang tanpa keluar dari rumah

 

Jika anda masih tetap dengan cara lama, anda mungkin akan terlepas peluang untuk hasilkan lebih banyak jualan.

 

(10) Pengurusan kewangan yang berhemah

Aspek pengurusan kewangan ini melibatkan proses seperti merancang, mengatur dan mengawal perjalanan keluar masuk kewangan sesebuah perniagaan.

 

Ia merupakan suatu proses yang sangat penting untuk mana-mana perniagaan, dan kalau dalam konteks bisnes kedai runcit ini, ia tersangat penting.

 

Bisnes kedai runcitt lazimnya mempunyai pusingan stok yang agak cepat, namun margin keuntungan yang agak kecil. Justeru, amat penting untuk anda mempunyai disiplin yang ketat dalam menguruskan aspek kewangan.

 

Dalam aspek pengurusan kewangan untuk bisnes runcit, ini adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

 

10.1 Buat bajet

Fungsi bajet ini adalah untuk merancang perbelanjaan yang bakal anda lakukan untuk perniagaan anda. Sangat penting untuk anda  menyediakan bajet dan menjejaki perbelanjaan yang anda lakukan untuk kedai runcit anda secara berkala.

 

Ini juga bagi mengelakkan anda terlebih berbelanja, yang boleh menyebab aliran tunai bisnes anda terganggu.

 

10.2 Pengurusan stok

Pengurusan stok ini merupakan proses membuat pesanan barangan, penyimpanan dan penjualan produk.

 

Sebagai pemilik bisnes kedai runcit, adalah penting untuk anda mempunyai stok produk yang mencukupi untuk dijual bagi memenuhi keperluan pelanggan anda.

 

Jika stok produk terlalu banyak, ia akan menyebabkan pembaziran dan peningkatan kos untuk simpanan, sebaliknya bila stok terlalu sedikit, ia menyebabkan anda terlepas peluang untuk dapatkan jualan.

 

10.3 Sistem pembayaran gaji

Jika anda ada mengambil pekerja, anda perlu peka terhadap gaji. Anda juga sepatutnya ambil gaji dan dianggap bekerja untuk bisnes anda.

 

Cuma biasanya, pemilik bisnes ini, pada peringkat awal tak ambil gaji atau ambil sekadar untuk makan sahaja. Selebihnya diniagakan semula sebagai modal pusingan.

 

10.4 Insurans

Bisnes anda juga perlukan perlindungan insurans yang secukupnya, bagi mengelakkan kerugian yang besar akibat daripada musibah.

 

10.5 Cukai

Bisnes kedai runcit juga perlu peka dengan undang-undang percukaian. Jika anda kurang arif mengenai aspek percukaian, dapatkan nasihat dari perunding kewangan bertauliah yang boleh memberi nasihat berkenaan dengan undang-undang cukai.

 

(11) Siap sedia dengan musibah

Dalam bisnes ini, bukan semua perkara akan berjalan seperti mana yang kita harapkan.

 

Kadang-kadang musibah boleh berlaku.

Apa yang kita boleh lakukan adalah bersedia dengan sebarang kemungkinan, dan sekiranya ia benar-benar berlaku, kita telahpun bersedia.

 

11.1 Musibah banjir

Banjir ini adalah masalah yang agak menyusahkan dan boleh menyebabkan kerugian besar. Sebaik-baiknya sebelum kita buat keputusan untuk buat bisnes ini, kita dapatkan dulu maklumat adakah kawasan tersebut merupakan kawasan banjir.

 

Jika kawasan tersebut biasa berlaku banjir, anda perlu adakan tempat khas yang tinggi untuk penyimpanan stok barangan jualan.

 

11.2 Pecah masuk dan kecurian

Pasang kamera keselamatan untuk memantau pergerakkan dan aktiviti yang berlaku dalam kedai.

 

11.3 Kebakaran

Sediakan alat pemadam api untuk kebakaran kecil.

 

11.4 Kecederaan

Kemalangan boleh berlaku semasa menguruskan bisnes.

Apa yang boleh anda lakukan adalah menyediakan peti atau kit pertolongan cemas untuk kes-kes kecederaan ringan.

 

(12) Berseronoklah!

Bisnes kedai runcit ini sebenarnya bukanlah satu perniagaan yang terlalu susah atau rumit untuk dijalankan. Kalau kita perhalusi, ia sebenarnya bisnes yang agak straight forward.

 

Kita beli barangan secara borong atau secara pukal, kemudian kita jual semula satu per satu.

 

Bisnes kedai runcit ini akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan bila kita betul-betul minat dengan konsep perniagaan ini. Ianya bukan mudah, tapi pada masa yang sama, ia juga bukannya terlalu sukar.

 

Setiap hari adalah hari yang baru.

Kita juga akan menempuh pengalaman baru.

 

Kita mungkin akan jumpa pelanggan yang sama setiap hari. Mereka ini adalah pelanggan tetap yang hari-hari akan berbelanja di kedai kita.

 

Kalau kita suka dengan bisnes ini, kita akan rasa seronok bila dapat berjumpa dengan pelanggan tersebut.

 

Keseronokkan ini bukan semata-mata sebab kita boleh buat duit.

 

Sebaliknya kita seronok sebab

1. Kita boleh berkenalan dengan lebih ramai pelanggan.

2. Kita boleh memenuhi keperluan mereka.

3. Kita boleh memudahkan urusan orang lain mendapatkan barang keperluan.

4. Kita boleh cipta peluang pekerjaan.

 

Penutup

Menguruskan sebuah perniagaan kedai runcit sehingga ia menjadi perniagaan yang berjaya bukanlah suatu tugasan yang mudah.

 

Ada banyak cabaran dan halangan yang perlu kita tempuhi. Walaubagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

 

Anda juga boleh berjaya dalam bisnes kedai runcit, apabila anda mempunyai rancangan perniagaan yang jelas, rajin dan penuh dedikasi.

 

Tips yang saya kongsikan dalam posting ini mungkin sebahagiannya membantu, dan sebahagiannya lagi kurang relevan dengan situasi anda. Saya juga sedar akan kemungkinan tersebut.

 

Sekiranya anda merasakan tips bisnes kedai runcit yang saya kongsikan ini tak berapa relevan dengan situasi anda, anda boleh anggap ia sebagai satu perbincangan akademik sahaja. Ya, anggaplah ia sebagai teori semata-mata.

 

Tapi kalau ada mana-mana bahagian dalam posting ini yang berguna dan bermanfaat untuk anda, silalah gunakan untuk perniagaan kedai runcit anda.

 

 

Exit mobile version