Blog Sabree Hussin

Bagaimana mengumpul modal untuk memulakan perniagaan pertama anda?

“Saya nak buka bisnes kedai runcit tapi saya tak ada modal…”

“Saya dah lama merancang nak buka perniagaan kedai dobi, tapi sayang… modal saya tak ada…”

 

Kalaulah faktor modal bukannya menjadi faktor penghalang UTAMA, saya kira pasti dah ramai bakal-bakal usahawan yang lahir di bumi Malaysia ini. Bidang perniagaan pasti bukan hanya terhad kepada individu-individu yang ada modal sahaja, sebaliknya semua orang boleh mula berniaga.

 

Akan tetapi, realitinya tak begitu. Ada banyak perniagaan, yang tak berjaya dilancarkan atas faktor modal. Ada kedai runcit yang tak jadi dibuka dan kekal diatas kertas kerana tak ada modal. Ada perusahaan dobi yang tak berpeluang untuk berkhidmat kepada masyarakat, juga kerana ketiadaan modal.


Imej: Perniagaan dobi milik Dobi EZ Smart Laundry

 

“Saya dah cuba macam-macam untuk dapatkan modal untuk perniagaan yang bakal saya buka ni… semuanya tak berjaya. Saya dah cuba buat pinjaman dari TEKUN, Amanah Ikhtiar, dan SME Bank pun dah pernah mintak. Semua tak berjaya. Semuanya mintak saya berikan sekurang-kurangnya 6 bulan penyata akaun..! Tolonglah saya…” 

 

Kita tukar kepada mode acadamic sekejap. Izinkan saya berkongsi tentang salah satu topik yang saya pelajari dalam subjek Banking & Financial Institution semasa di UiTM Shah Alam dulu. Saya rasa anda perlu tahu perkara ini, supaya anda tak cepat kecewa kalau permohonan loan anda kena reject dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan pinjaman dan pembiayaan.

 

Konsep 5 C ketika memohon atau memberi pinjaman untuk perniagaan atau apa-apa tujuan

(1) Capacity. Merujuk kepada keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik hutang yang dipinjam. Jika hutang untuk tujuan perniagaan, pihak pemberi hutang ingin lihat bagaimana anda ingin bayar semula jumlah yang dipinjam itu tadi.

 

Pihak bank ingin lihat cash flow daripada perniagaan yang anda jalankan. Dari situ mereka dapat lihat sama ada anda akan ada keupayaan untuk bayar balik atau tidak. Selain itu, pihak bank juga akan lihat sejarah hidup anda dalam berhutang. Pernah tak anda ada masalah bayar hutang sebelum ini, jika pernah maka bank agak susah untuk beri anda hutang.

 

(2) Capital. Merujuk kepada modal sendiri yang anda keluarkan. Sebagai contoh, kalau anda ingin buka perniagaan kedai dobi dan perniagaan tu pula memerlukan modal sebanyak RM50,000.

 

Daripada RM50,000 yang diperlukan tu tadi, berapa banyak dari duit sendiri yang anda keluarkan? Jika modal sendiri ialah sebanyak RM40,000 dan pembiayaan dari bank ialah RM10,000 maka anda mempunyai kebarangkalian yang lebih cerah untuk dapat pinjaman, bergantung kepada pertimbangan pihak bank.

 

Yang jadi masalah adalah apabila, bisnes perlu modal RM50,000 dan anda pun buat pinjaman RM50,000 jugak. Bisnes anda 100% dimulakan dengan berhutang dengan pihak bank, ini adalah satu risiko yang begitu besar kepada pihak bank. Saya tak pelik kalau permohonan anda ditolak.

 

(3) Collateral. Merujuk kepada cagaran sekiranya bisnes anda ada masalah. Bank tak peduli pun sama ada bisnes anda akan maju atau lingkup. Apa yang dia nak tau, anda boleh bayar balik hutang, itu sahaja.

 

Katakanlah, anda hutang sebanyak RM10,000 dan bisnes anda lingkup. Tak ada pelanggan. Disebabkan sebelum ini anda pernah keluar modal sendiri sebanyak RM40,000 dan pastinya daripada RM40,000 tu, anda ada beli barang-barang yang boleh dijual semula dan ada nilai, maka, bank akan lihat perkara ini sebagai jaminan yang anda pasti boleh bayar semula baki pinjaman anda.

 

Contoh, untuk perniagaan runcit, barang-barang seperti rak kedai, chiller, peti ais, mesin penimbang, komputer dan sebagainya, semua ini boleh dijual semula secara second hand untuk memperoleh cash. Duit cash tu boleh bayar kembali loan.

 

(4) Conditions. Merujuk kepada apa tujuan loan tersebut diminta. Untuk besarkan kedai, untuk beli mesin basuh yang baru supaya dapat proses lebih banyak tempahan, untuk buka cawangan baru dan sebagainya.

 

Akan tetapi, kalau tujuan loan adalah untuk start a new business, yang tak tentu lagi nak berjaya, memang agak sukar untuk diluluskan.

 

(5) Characters. Merujuk kepada diri anda sendiri selaku pemohon. Adakah anda adalah jenis yang boleh dipercayai untuk bayar balik hutang yang dipinjam tu nanti? Agak sukar untuk menilai keperibadian seseorang, sama ada dia betul-betul akan bertanggungjawab untuk bayar balik hutangnya ataupun tidak.

 

Sebab itu, sesetengah loan ambil masa yang panjang untuk diluluskan. Permohonan ditolak berulang kali, akhirnya buat permohonan yang kali ke sebelas, barulah diterima.

 

Seseorang pernah menasihati saya, kalau nak jumpa pegawai yang incharge bahagian loan, kena pakai lawa-lawa, kemas-kemas. Pakailah macam nak pergi ke pejabat, berbaju kemeja, siap bertali leher, walaupun anda nak buat loan untuk perniagaan membela kambing sekalipun.

 

Ok dah. Jadi, ringkasnya, tujuan pihak bank mintak macam-macam dokumen, minta penyata akaun 6 bulan misalnya, adalah semata-mata untuk memastikan yang anda adalah individu yang boleh dipercayai dan memiliki kemampuan untuk bayar semula hutang. Let’s move on.

 

 

“Kalau macam ni, susahlah saya nak mula meniaga! Macam mana saya nak dapatkan modal kalau bank tak nak bagi pinjam.. tak ada cara lain ke?”

 

Apa yang saya nak kongsikan dengan anda lepas ni, iaitu strategi-strategi untuk kumpul modal bagi menjalankan perniagaan adalah cetusan idea semata-mata. Ya, mungkin akan ada satu dua idea yang nampak bodoh dan langsung tak sesuai dengan anda.

 

Jadi, saranan saya, anda ikutlah mana-mana satu yang sesuai dan relevan dengan situasi anda. Sedia? Ok jom kita lihat apa lagi pilihan yang anda ada.

 

(1) Terus kerja dengan majikan dan kumpul modal dari duit gaji

Ya, asingkan sebahagian daripada duit gaji anda untuk dimasukkan ke dalam tabung modal perniagaan. Jika anda merasakan gaji anda terlalu rendah untuk tujuan ini, cubalah berbincang dengan majikan anda untuk dapatkan kenaikkan gaji. Ataupun, anda pindah sahaja kerja lain yang boleh berikan anda gaji yang lebih baik.

Baca juga: Lahirnya Seorang Jutawan: Bagaimana untuk kekal sebagai pekerja dan menjadi jutawan

 

(2) Buat kerja tambahan khusus untuk kumpul modal

Ok… kenaikkan gaji selalunya hanya akan kita perolehi setahun sekali. Jarang berlaku, kita jumpa majikan, bincang-bincang sekejap terus dapat persetujuan untuk kenaikkan gaji.

 

Jadi nampaknya, anda perlu buat kerja tambahan. Kalau anda pandai dalam hal-hal berkaitan dengan online, mungkin saya boleh cadangkan untuk anda jadi seorang freelancer dan boleh belajar macam mana nak jadi seorang freelancer disini.

 

(3) Buat bisnes lain dulu yang tak memerlukan modal yang besar untuk dijadikan modal perniagaan utama anda

Sebenarnya, tak ada sebarang paksaan dan bukannya jadi satu kewajipan pun untuk anda jalankan bisnes anda tu sekarang juga. Betul?

 

Apa kata, anda mulakan bisnes lain dulu yang tak memerlukan modal yang begitu besar. Bisnes yang anda boleh mulakan dengan menggunakan duit anda sendiri sebagai modal. Tak perlu nak pinjam sampai puluhan ribu dari pihak bank.

 

Antaranya

(i) Bisnes jual ais krim

(ii) Bisnes jual simkad Tone Excel

(iii) Bisnes jual simkad ONEXOX

 

 

(4) Buat pinjaman peribadi semasa anda mempunyai slip gaji

Jika gaji anda sekitar RM3,000 dan keatas, besar kemungkinan anda layak untuk buat pinjaman peribadi sehingga RM20,000++

 

Ini anda kena rujuk pada pihak bank. Dokumen yang diperlukan adalah slip gaji, slip caruman KWSP. Ataupun, anda pergi sahaja ke mana-mana kiosk RHB Easy untuk lihat berapa banyak yang anda layak untuk buat pinjaman peribadi. Kiosk seperti ini ada di stesen-stesen LRT terpilih, di shopping mall dan sebagainya.

 

Bila dah tau, berapa banyak yang anda layak meminjam, bolehlah anda teruskan dengan langkah seterusnya, sama ada nak pinjam atau tidak. Tak wajib untuk terima dan anda boleh tolak kalau tak mahu.

 

Saya pun selalu buat macam ni dulu. Sengaja nak semak berapa banyak saya layak buat pinjaman peribadi. Pegawai tu pun biasanya tak ada masalah nak layan kita, walaupun kita bukan nak buat pinjaman. Nampak sangat diorang ni pun tengah bosan sebenarnya.

 

(5) Buat kad kredit

Kad kredit ni, kalau anda pandai guna ia akan jadi senjata yang sangat berguna untuk anda. Bergantung kepada tangga gaji anda, anda boleh miliki sehingga 2 kad kredit.

 

Katakanlah, setiap satu mempunyai kredit limit sebanyak RM5,000. Dua kad kredit, anda dah ada RM10,000. Kad kredit ni bagusnya ialah, kalau anda tak pakai, anda tak perlu bayar.

 

(6) Tuntut semula hutang-hutang yang anda pernah berikan

Anda pernah pinjamkan duit anda kepada sesiapa sebelum ni? Ini masanya untuk anda mintak balik. Anda lebih memerlukan duit tu pada waktu ini.

 

(7) Buat perkongsian perniagaan

Berkongsilah. Kalau anda rasakan kesemua kaedah yang saya katakan kat atas ni terlalu berisiko untuk anda. Ya la… nak buat pinjaman, nak urus perniagaan sendiri-sendiri sangatlah berisiko. Aha… sekarang anda bercakap mengenai risiko. Bank pun mempunyai pendapat yang sama, iaitu RISIKO, sebab tu mereka meletakkan macam-macam syarat.

 

Ajaklah dua, tiga orang untuk sama-sama tanam modal dalam perniagaan anda itu. Draf satu perjanjian dengan mereka, para pelabur untuk kebaikkan bersama.

 

Tak perlu letak nama mereka sebagai pemilik syarikat pun tak apa. Yang penting, anda berjanji untuk berkongsi hasil perniagaan secara adil dan saksama.

 

(8) Buat pinjaman bank selepas 6 – 12 bulan beroperasi untuk beli semula share rakan niaga 

Sekarang syarikat dan perniagaan anda telah pun berjalan. Anda dah pun memiliki sebuah perniagaan yang cemerlang, dan perasan tak, anda kini dah pun mempunyai penyata bank yang mempunyai cash flow yang sangat cantik!

 

Mungkin ini masa untuk anda cuba sekali lagi untuk buat pinjaman bank! Lulus je pinjaman tu, anda gunakan ia untuk beli balik (buy back) share rakan-rakan niaga anda.

 

(9) Guna konsep consignment

Konsep consignment ni lebih kurang macam kat pasaraya-pasaraya besar seperti Aeon misalnya. Dalam satu bumbung, ada banyak vendor yang mewakili pelbagai jenama. Kalau sesuai, buatlah kaedah seperti ini.

 

(10) Meniagalah secara online sahaja

Ini cara perniagaan zaman sekarang. Orang berniaga secara online sahaja. Persoalannya sekarang, pernah tak anda fikirkan, bagaimana nak menjadikan perniagaan yang bakal anda jalankan tu sebagai suatu perniagaan yang boleh dijalankan secara online sahaja? Kedai runcit online misalnya.

 

Contohnya macam laman web Lazada dan juga laman web bookcafe ini. Mungkin ada sesuatu yang anda boleh pelajari dari sudut pengoperasian perniagaan secara dalam talian sahaja.

 

(11) Anda ada barang kemas?

Oh hampir saya terlupa. Jika anda mempunyai simpanan barang kemas, ya inilah masanya untuk mengunjungi Ar Rahnu berhampiran anda untuk mendapatkan pembiayaan segera. Anda boleh dapat pinjaman sehingga 70% daripada nilai barang kemas tersebut.

 

Ia mungkin tak cukup, namun sangat membantu. Tapi jangan lupa untuk tebus semula!

 

(12) Lain-lain daripada ini… Anda ada pendapat lain yang boleh dikongsikan?

Apa yang saya kongsikan dalam ni, lebih menjurus kepada apa yang saya sendiri lakukan untuk memastikan apa yang saya rancang, dan apa yang saya impikan menjadi kenyataan. Ya, ia bukan yang terbaik, namun ianya membantu saya merealisasikan matlamat dan impian saya untuk memiliki perniagaan sendiri.

 

Anda mungkin ada idea dan pandangan yang lebih baik dari ini. Apa kata anda pula kongsikan pendapat anda di ruangan komen dibawah.

 

Terima kasih kerana membaca, dan semoga bermanfaat.

 

 

Exit mobile version