Blog Sabree Hussin

Perniagaan Anda Tidak Disenaraikan Di Laman Web Google?

iklan-advertorial-native-ads

Dalam era digital ini, tidak ada yang lebih penting daripada memastikan perniagaan anda dikenali dan mudah untuk ditemui oleh pengguna internet.

 

Salah satu cara yang efektif dalam memastikan perniagaan anda senang ditemui oleh para pengguna internet yang berpotensi untuk menjadi pelanggan anda kelak, adalah dengan memastikan maklumat atau laman web yang mewakili perniagaan anda tersenarai di halaman Google Search Engine Results Pages (SERP).

 

Bukan sekadar tersenarai, sebaik-baiknya ia mesti tersenarai di muka surat pertama page tersebut.

Jika perniagaan yang anda jalankan tidak dapat ditemui oleh bakal pelanggan apabila mereka melayari internet, ini bermakna perniagaan anda TIDAK WUJUD pada perspektif mereka.

 

Dalam perbincangan kali ini, kita akan terokai beberapa kaedah yang anda boleh praktikkan untuk memastikan bisnes anda mudah untuk ditemui oleh pengguna internet dan seterusnya boleh mendapat pelanggan secara organik dari platform Google.

 

Pertama sekali, pernah tak terlintas difikiran anda, bagaimana sebenarnya proses pencarian maklumat dilakukan pada era internet seperti sekarang ini?

 

Kalau seseorang itu ada persoalan tertentu, dan dia mahukan jawapan atau penyelesaian yang cepat, apa yang dia akan lakukan?

 

Besar kemungkinan dia akan buat carian menggunakan laman web enjin carian.

Laman enjin carian ini pula ada beberapa yang popular, iaitu

1. Google

2. Bing.com

3. Yahoo

 

Sekiranya individu tersebut inginkan penerangan dalam bentuk video, dia boleh buat carian melalui platform

1. Youtube

2. Tiktok

 

Adakah platform media sosial sesuai dijadikan tempat untuk mencari maklumat?

Ia bergantung kepada keadaan.

 

Seperti kita sedia maklum, media sosial ini kebanyakkan konten yang dihasilkan adalah konten berbentuk luahan rasa dan coretan peribadi.

 

Namun, saya tak nafikan, adakalanya topik yang kita nak cari tu, kita boleh temui di Facebook, dengan syarat, memang ada orang yang pernah tulis mengenai perkara tersebut.

 

Anda boleh buat carian menggunakan fungsi carian yang disediakan oleh platform media sosial seperti Facebook.

Kalau kebetulan, maklumat yang anda perlukan pernah ada orang tulis sebelum ini, anda pasti akan temui maklumat tersebut.

 

Kita tinggalkan sejenak platform media sosial.

Kita lupakan dulu platform perkongsian video seperti Youtube dan juga Tiktok.

Kita nak fokus kepada halaman enjin carian Google sahaja dulu.

 

Justeru, apa yang saya akan kongsikan dibawah ini adalah perkara yang anda boleh dan patut lakukan, bagi tujuan mengetengahkan perniagaan yang anda lakukan di halaman Google.

 

(1) Cipta halaman Google My Business

Kalau sebelum ini, anda masih belum pernah cipta halaman ini, saya kira ini adalah masanya untuk anda mula menghasilkan halaman tersebut. Jangan risau, kerana tiada sebarang kos dikenakan untuk mencipta halaman ini.

 

Ikuti langkah yang dibincangkan dibawah ini.

 

Langkah 1: Daftar masuk menggunakan akaun Google atau gmail.

Kalau anda masih belum ada akaun dengan google, sila dapatkan akaun tersebut dengan membuat pendaftaran di gmail.com

 

Langkah 2: Layari laman web Google My Business

Halaman ini boleh dicapai menerusi pautan https://www.google.com/business/

 

Paparan seperti dibawah akan kelihatan.

Klik pada butang Manage Now untuk mula menghasilkan halaman perniagaan anda.

 

Langkah 3 – Masukkan nama perniagaan anda

Selepas anda tekan klik pada Manage Now, anda akan dibawa ke halaman untuk memasukkan nama perniagaan anda.

 

Paparan seperti dibawah ini akan kelihatan.

Masukkan nama perniagaan anda dan seterusnya tekan butang continue.

 

Langkah 4 – Masukkan jenis perniagaan anda

Pilih jenis bisnes yang betul yang mewakili perniagaan anda.

 

Lihat paparan dibawah.

Anda perlu tandakan sama ada perniagaan yang anda jalankan ini sebenarnya adalah

i. Online Retail

Pelanggan boleh membuat pembelian produk atau perkhidmatan anda melalui laman web.

 

ii. Local Store

Pelanggan perlu datang ke premis perniagaan anda untuk berurusan dengan anda. Biasanya perniagaan seperti ini adalah seperti restoran, homestay ataupun kedai serbaneka

 

iii. Service Business

Jenis perniagaan ini merujuk kepada perkhidmatan yang datang ke tempat pelanggan. Sebagai contoh, pest control, perkhidmatan potong rumput, perkhidmatan mengurut dan sebagainya.

 

Anda pilihlah jenis yang mana satu yang menepati ciri perniagaan anda.

 

Langkah 5 – Masukkan kategori perniagaan anda

Pilih kategori yang paling dekat yang menggambarkan perniagaan yang anda jalankan. Pastikan anda pilih kategori yang tepat.

 

Bila anda tekan pada petak yang kosong, nanti akan muncul banyak cadangan kategori bisnes.

Kalau dalam contoh ini, saya saja letakkan kategori bisnes saya adalah homestay.

 

Ini hanya untuk tujuan penerangan, dan saya sebenarnya tak berniat pun nak bina halaman ini untuk bisnes saya. Pada masa yang sama, saya juga tak ada menjalankan bisnes homestay ini.

 

Langkah 6 – Isikan maklumat lokasi perniagaan anda

Setelah anda menetapkan kategori yang betul bagi perniagaan anda, seterusnya anda perlu memberikan maklumat berkaitan dengan lokasi perniagaan anda.

 

Isikan maklumat dengan lengkap dan tepat.

Pada bahagian ini anda perlu masukkan alamat dimana perniagaan anda beroperasi. Ini khusus untuk perniagaan yang memerlukan pelanggan untuk walk in ke premis perniagaan.

 

Oleh kerana saya tak memiliki alamat perniagaan, saya tak dapat teruskan ke langkah seterusnya. Jadi, untuk langkah seterusnya saya tak menyediakan screenshot.

 

Langkah 7 – Masukkan area perkhidmatan

Langkah ini sebenarnya adalah optional.

 

Jika jenis perniagaan anda adalah dari jenis yang memerlukan anda datang ke tempat pelanggan, anda perlu nyatakan, dikawasan mana yang anda boleh berikan perkhidmatan.

Baca juga: Perniagaan berasaskan perkhidmatan – apa yang anda perlu tahu?

 

Langkah 8 – Masukkan maklumat perhubungan

Pada langkah ini anda perlu masukkan nombor telefon untuk dihubungi dan juga laman web anda.

 

Masukkan link url laman web anda bagi memudahkan pelanggan anda melihat tawaran produk dan perkhidmatan anda.

 

Ruang yang disediakan dalam pembinaan Google Page ini sebenarnya agak terhad dan ianya kurang menarik. Jadi, ada baiknya anda pertimbangkan untuk memiliki laman web anda sendiri.

 

Kos untuk membina laman web juga sebenarnya tidaklah terlalu mahal.

 

Jika laman web yang anda bina itu ada fungsi yang membolehkan ia menerima dan memproses tempahan, anda mungkin akan dapat pelanggan secara automatik melalui cara ini.

 

Langkah 9 – Pilih kaedah untuk pengesahan

Pihak Google memerlukan tindakan anda untuk mengesahkan bahawa anda adalah pemilik bagi perniagaan yang didaftarkan.

 

Terdapat beberapa cara yang boleh anda pilih bagi tujuan pengesahan dilakukan, antaranya

1. Poskad

2. Panggilan Telefon

3. Email

4. Pengesahan segera (jika fungsi ini disediakan)

 

Langkah 10 – Lengkapkan profil perniagaan anda

Setelah proses verifikasi selesai dilakukan, anda boleh ke langkah seterusnya iaitu melengkapkan profil anda.

 

Anda boleh masukkan gambar berkaitan dengan perniagaan anda, seperti gambar kedai, gambar produk, gambar anda sedang memberi perkhidmatan yang anda lakukan dan sebagainya.

 

Selain memasukkan gambar, anda juga boleh memasukkan keterangan mengenai perniagaan yang anda lakukan.

 

Langkah 11 – Tetapkan masa perniagaan

Tuliskan dengan jelas, masa perniagaan anda.

 

Anda akan buka perniagaan dari jam berapa hingga jam berapa.

Pada hari apa anda akan cuti.

 

Ada pelanggan yang memang menggunakan sepenuhnya maklumat yang diperolehi menerusi halaman Google Page ini.

 

Jadi sila pastikan maklumat yang anda tulis disitu tepat, bagi tidak mengecewakan bakal pelanggan anda.

 

Ada pemilik bisnes yang tulis perniagaan mereka Always Open. Tapi bila pelanggan datang, kedai tak buka pun.

 

Langkah 12 – Uruskan ulasan dan feedback dengan baik

Kalau perniagaan anda masih belum ada sebarang review, usahakan untuk dapatkan review yang positif dari pelanggan anda.

 

Sesetengah pelanggan ini, mereka hanya akan beri review jika diminta.

Kalau satu hari nanti anda menerima review negatif, belajarlah dari kesilapan.

 

Tak perlu nak siarkan review negatif itu pun tak ada masalah. Hak anda untuk buang review yang negatif, cuma selepas buang tu pastikan anda tingkatkan kualiti perkhidmatan.

 

Langkah 13 – Siarkan listing anda

Setelah profil anda siap, dan anda telah puas hati dengan hasilnya, tibalah masanya untuk anda siarkan profil tersebut.

 

Buat semakan di halaman google, bagi memastikan profil perniagaan anda telahpun muncul.

Minta kenalan anda untuk semak sekali.

 

Itu sahaja prosesnya untuk membina halaman Google My Business. Ianya tak sesukar mana. Saya syorkan anda cuba dulu ya.

 

(2) Optimasikan laman web untuk local SEO

Pertama sekali, anda perlu mempunyai laman web perniagaan anda sendiri untuk menggunakan kaedah ini.

 

Kalau sebelum ini, kita membina halaman perniagaan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak Google sendiri.

 

Namun, pada pandangan saya, kita tak seharusnya bergantung sepenuhnya dengan servis percuma yang ditawarkan oleh Google. Memandangkan servis tersebut adalah percuma, kita tak mempunyai kawalan penuh terhadap halaman tersebut.

 

Pada bila-bila masa, Google selaku tuan rumah, boleh memadam halaman yang kita bina.

 

Saya bukanlah nak kata Google ni jahat sangat, sampai nak hilangkan laman web yang anda bina, namun apa yang saya cuba nak sampaikan ialah selagi ianya adalah percuma, pemilik servis boleh lakukan apa yang mereka rasa perlu dilakukan.

 

Kita kembali kepada topik mengenai local SEO.

 

Local SEO ini merujuk kepada satu proses dimana kita mengoptimasikan kandungan website kita supaya ianya menepati keperluan masyarakat setempat.

 

Ia juga berkaitan dengan lokasi sesebuah tempat yang kita sasarkan.

 

Katakanlah, anda menjalankan bisnes homestay di Kota Bharu .

Dalam konteks Local SEO, anda akan bina kandungan laman web yang mensasarkan kata kunci berkaitan dengan lokasi dimana anda menjalankan bisnes tersebut.

 

Sebagai contoh, anda akan sasarkan kata kunci berikut

1. Homestay murah di Kota Bharu

2. Homestay selesa di Kota Bharu

3. Homestay 4 bilik di Kota Bharu

4. Homestay tepi pantai Kota Bharu

5. Homestay ada swimming pool Kota Bharu

 

Oleh kerana Kota Bharu ini sebenarnya luas, mungkin anda akan hasilkan kandungan lain yang lebih spesifik, misalnya

1. Homestay murah di Wakaf Che Yeh

2. Homestay selesa di Wakaf Che Yeh

3. Homestay 4 bilik di Wakaf Che Yeh

4. Homestay tepi pantai Wakaf Che Yeh

5. Homestay ada swimming pool Wakaf Che Yeh

 

Itulah yang dimaksudkan dengan optimasikan dengan Local SEO.

 

Anda membina kandungan, dan kandungan tersebut perlu disesuaikan dengan keperluan masyarakat setempat, atau keperluan bakal pelanggan yang bakal mengunjungi lokasi tertentu.

 

(3) Halaman web anda mesra mobile view

Pastikan laman web yang anda bina mesra mobile view.

 

Saya rasa ini tak menjadi masalah, kerana kebanyakkan website sekarang ini memang dicipta untuk mesra paparan mobile.

 

(4) Tingkatkan kelajuan laman web

Seterusnya adalah kelajuan web.

 

Pastikan website atau blog anda mempunyai kelajuan yang baik. Sesetengah pengguna internet ini cukup tak suka apabila perlu tunggu lama, untuk melihat kandungan website.

 

(5) Cipta kandungan web yang berkualiti tinggi

Memiliki sebuah website perniagaan masih belum cukup baik, sekiranya anda tak mempunyai konten yang bagus untuk dimuatkan dalam website milik anda.

 

Persoalannya ialah, bagaimana cara untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti tinggi?

Saya pernah bincangkan perkara tersebut sebelum ini.

Anda boleh baca disini: Cara menulis konten yang berkualiti dan disukai pembaca

 

Saya ringkaskan disini, caranya adalah

1. Buat kajian kata kunci

2. Tulis artikel untuk pembaca yang kita sasarkan

3. Hasilkan karya yang Original

4. Cipta karya yang lebih baik berbanding karya penulis lain

5. Pastikan karya penulisan anda bermanfaat

6. Gunakan headline (tajuk) yang memukau

7. Gaya bahasa sesuaikan dengan pembaca

8. Fahamkan apa yang pembaca cari

9. Hasilkan artikel dengan panjang yang sesuai

10. Gunakan perenggan

11. Masukkan imej dan grafik

12. Jadikan penulisan mempunyai gaya peribadi anda

13. Tulis hal yang anda memang pakar

14. Nyatakan sumber rujukan

15. Pelawa pembaca untuk sertai perbincangan

16. Berikan suatu nilai pada penulisan anda

 

Actually penerangan yang saya pernah tulis tentang poin ini sebenarnya agak panjang. Kalau anda ada masa nak baca penerangan yang versi panjang lebar, jemputlah baca artikel tersebut ya.

 

(6) Optimasikan kata kunci yang berkaitan dengan bisnes

Tak kira apa jenis perniagaan yang anda jalankan, pasti ada beberapa kata kunci yang sebenarnya related dan relevan dengan bisnes anda.

 

Kata kunci ini adalah merujuk kepada “frasa” atau “ayat” yang digunakan oleh pengguna internet dalam mencari maklumat.

 

Untuk mengenalpasti, apakah kata kunci yang relevan dan related dengan perniagaan yang anda jalankan, anda boleh gunakan perkhidmatan yang disediakan oleh beberapa laman web.

 

Antaranya

1. Google Keyword Planner (https://ads.google.com/home/tools/keyword-planner/)

2. Keywordtool (https://keywordtool.io/)

3. Ubersuggest (https://neilpatel.com/ubersuggest/)

 

Selepas anda mengetahui, apakah kata kunci yang berkaitan dengan bisnes anda, anda juga perlu mengetahui apakah intention (atau niat, user intent) disebalik penggunaan kata kunci tersebut.

 

Apa benda sebenarnya user intent ini?

Kalau kita terjemah dalam bahasa Melayu, ia membawa maksud “niat pengguna” atau “hasrat pengguna”.

 

User intent ini sebenarnya merujuk kepada matlamat atau tujuan sebenar disebalik tindakan seseorang pengguna internet ketika membuat carian menggunakan kata kunci tertentu menerusi halaman search engine seperti Google, Bing, Yahoo dan sebagainya.

 

Perkara ini penting untuk anda ambil tahu, kerana ia sangat membantu dalam proses menghasilkan konten yang betul-betul relevan dengan keperluan dan kemahuan pengguna internet.

 

Ada 4 jenis user intent yang kita perlu tahu.

1. Informational intent

Pengguna seperti ini membuat carian kerana ingin mendapatkan sesuatu maklumat ataupun informasi berkenaan dengan sesuatu perkara.

 

Mereka ini mungkin ingin

a. Belajar sesuatu perkara yang sebelum ini mereka tak tahu

b. Mereka ingin menyelesaikan masalah tertentu

c. Mereka ingin buat keputusan

d. Mereka mencari fakta, sama ada saintifik atau sejarah berhubung sesuatu perkara

e. Mereka ingin kefahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu isu

 

Matlamat mereka membuat carian dan pembacaan adalah semata-mata untuk mendapatkan informasi.

Contoh keyword: Kelebihan buat iklan advertorial

 

2. Navigational intent

Pengguna yang memiliki navigational intent ini sebenarnya sudah tahu laman web atau blog apa yang mereka ingin cari.

 

Laman web tersebut mungkin adalah laman web yang mereka pernah layari sebelum ini. Namun disebabkan mereka terlupa nama dan alamat url website tersebut, maka dia perlu buat carian semula menggunakan enjin carian.

Contoh keyword: arkib blog sabreehussin

 

3. Commercial intent

Pengguna yang mempunyai commercial intent ini sebenarnya bercadang untuk membeli sesuatu produk. Tapi mereka ini masih belum buat keputusan untuk beli produk yang mana satu, memandangkan diluar sana terdapat terlalu banyak pilihan.

 

Jadi, apa yang dia lakukan adalah dia membuat perbandingan harga, membaca review, mencari maklumat tambahan berkenaan dengan jenama serta model produk tertentu dan sebagainya.

Contoh keyword: Review jam tangan G-Shock

 

4. Transactional intent

Pengguna yang mempunyai transactional intent ini adalah mereka yang sudah buat keputusan untuk membuat pembelian.

Contoh keyword: Beli jam G-Shock

 

Apabila anda ingin menghasilkan konten untuk laman web anda, cuba tanya pada diri anda terlebih dahulu, konten yang bakal anda hasilkan ini sebenarnya memuaskan pengguna yang berada di fasa yang mana satu?

 

Informational intent? Navigational intent? Commercial intent? Atau transactional intent?

 

(7) Sasarkan kata kunci yang panjang

Kata kunci yang panjang atau istilahnya long tail keywords.

 

Kata kunci yang pendek ini biasanya mempunyai dua patah perkataan.

Contohnya, kata kunci insurans hayat, takaful terbaik, kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, kereta sewa

 

Masalah dengan kata kunci yang pendek seperti itu ialah, dari segi persaingan yang sangat sengit.

 

Memang tak salah kalau anda juga ingin mensasarkan kata kunci yang pendek, namun cabarannya agak besar dan anda mungkin akan perlukan masa yang lama untuk melihat laman web anda muncul di muka surat pertama bagi kata kunci tersebut.

 

Penyelesaian bagi isu ini adalah, sasarkan kata kunci yang panjang.

Contohnya, insurans hayat dengan harga murah, pelan takaful dengan harga terendah, kad kredit patuh syariah, dan sebagainya.

 

Kata kunci yang lebih panjang ini selalunya lebih mudah untuk kita sasarkan, dan ianya juga lebih dekat dengan user intent yang kita patut sasarkan.

 

(8) Dapatkan backlinks atau referral links

Kebiasaannya, anda akan memperolehi backlink apabila konten yang anda siarkan cukup bagus, dan ada pemilik laman web lain yang mengesyorkan pembaca mereka untuk turut membaca atau melihat konten anda.

 

(9) Bina internal linking

Backlink atau referral link adalah sesuatu yang agak sukar kita jangkakan. Ia bergantung kepada pihak ketiga, yang menilai kita sama ada kita menghasilkan kandungan yang cukup baik dan bermanfaat atau tidak.

 

Tapi untuk diri kita sendiri, kita boleh bina internal link.

 

Internal link ini peranannya adalah untuk kita buat cross promotion artikel terbaru dengan artikel terdahulu yang pernah kita hasilkan.

 

Pada asalnya, pelawat hanya berminat untuk baca artikel A.

Tapi dalam artikel A, anda ada mencadangkan pelawat tersebut untuk baca artikel B, C  dan juga D.

 

Jika artikel tersebut memang berkaitan dengan topik yang dicari, besar kemungkinan pelawat ini akan baca juga artikel anda yang lain.

 

Ini akan membolehkan pelawat tersebut meluangkan lebih banyak masa di laman web milik anda.

 

Seperti yang anda boleh lihat, saya juga menyelitkan internal link dalam penulisan artikel ini.

 

(10) Optimasikan penggunaan imej

Gambar adalah merupakan komponen yang penting dalam pembinaan sesebuah laman web.

 

Ada suatu ungkapan yang berbunyi

“A picture is worth a thousand words…” 

Penggunaan gambar yang bersesuaian dapat meningkatkan kepercayaan bakal pelanggan terhadap perniagaan yang anda lakukan.

 

Walaubagaimanapun, sebelum nak masukkan sebarang gambar dalam laman web anda, kena perhatikan beberapa perkara.

 

Antaranya

1. Pastikan gambar tersebut ada kaitan dengan perniagaan yang anda jalankan

2. Gambar tersebut jelas

3. Pastikan juga anda resize atau kecilkan saiz gambar tersebut. Kalau saiz gambar tersebut 10MB cuba kecilkan jadi 200KB.

4. Tukar nama gambar tersebut kepada kata kunci yang berkaitan dengan perniagaan anda

 

Apabila anda rename nama pada gambar yang anda gunakan daripada nama asal seperti IMG_20200628_192555 kepada pemandangan-menarik-di-sawah-padi, ini akan memberi kesan dari segi search engine optimization (SEO) juga.

 

Imej tersebut ada peluang untuk tersenarai di muka surat pertama Google untuk carian dalam bentuk imej.

 

Seterusnya, pengguna yang menekan klik pada gambar tersebut, akan berpeluang untuk menemui laman web perniagaan anda.

 

(11) Aktifkan diri di media sosial

Walaupun perbincangan ini adalah mengenai cara untuk mendapatkan kedudukan yang baik di platform enjin carian Google, namun anda juga perlu beri perhatian terhadap platform media sosial.

 

Pada pandangan saya, anda tak perlu berada di semua platform media sosial.

Cukup sekadar anda berada di platform media sosial yang mempunyai ramai pengguna, seperti Facebook.

 

Bakal pelanggan anda juga sebenarnya ada ramai yang bersosial di platform tersebut. Sebahagian dari mereka lebih selesa dan yakin untuk berurusan melalui Facebook berbanding berurusan melalui laman web jualan.

 

Apabila anda aktif di media sosial dan selalu mempromosikan laman web anda, ini juga sebenarnya boleh memberi impak positif terhadap laman web anda.

 

Kemasukkan trafik dari media sosial ke laman web persendirian, memberi signal bahawa laman web tersebut mempunyai kualiti yang baik dan boleh diberikan kedudukan yang tinggi di search engine.

 

(12) Galakkan review dari pelanggan

Review dan feedback dari pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan dari anda sebenarnya sangat penting, dalam memastikan perniagaan anda mudah untuk dikenali dan diyakini.

Baca juga: Penulisan review untuk meningkatkan jualan produk dan servis

 

Terdapat beberapa cara untuk anda mengumpul review dari pelanggan.

 

Cara pertama, anda kumpul melalui halaman Google My Business, seperti yang kita bincangkan dalam point yang pertama.

Cara kedua, anda boleh juga kumpul review melalui platform media sosial. Biasanya adalah melalui platform Facebook. Anda bina Facebook Fanpage dan kumpulkan follower melalui page tersebut.

 

Dekat FB Fanpage ini juga ada ruangan untuk pelanggan memberikan review.

 

Cara ketiga, anda dapatkan review dalam bentuk artikel review dari penulis blog.

 

Kenalpasti penulis blog yang anda yakin boleh bekerjasama dengan anda untuk menulis review tentang perniagaan yang anda jalankan. Artikel review dari blogger ini akan memberi impak dari segi kedudukan anda di halaman Google Search Engine Results Pages (SERP).

 

Sebarang link yang dimuatkan dalam artikel review itu juga akan dianggap sebagai backlink.

 

Cara keempat, anda kumpulkan review melalui platform jualan yang anda gunakan.

Platform jualan disini adalah bergantung kepada perniagaan yang anda jalankan.

 

Kalau anda menjual produk fizikal, anda mungkin menggunakan platform jualan sama ada seperti Lazada, Shopee, PG Mall dan sebagainya.

Dekat platform seperti ini memang ada fungsi yang membolehkan pelanggan untuk menulis review setelah mereka buat pembelian.

 

Kalau anda menjalankan bisnes seperti tempat penginapan, maka platform jualan yang anda bakal gunakan mungkin adalah platform online travel agent (OTA).

Baca juga: Apa itu platform Online Travel Agent?

 

(13) Blog dan strategi content marketing

Seterusnya, bila bercerita tentang topik search engine optimization atau pemasaran di search engine, tak lengkap rasanya kalau saya tak selitkan juga topik mengenai pemasaran menerusi blog.

 

Tahukah anda, apakah sebabnya penulis blog bersungguh-sungguh untuk mengemaskini blog miliknya dan masukkan konten-konten yang terkini di blognya?

Jawapannya ada kaitan dengan topik SEO ini.

 

Blog yang selalu dikemaskini dengan konten yang berkualiti biasanya akan berpeluang untuk tersenarai di muka surat pertama Google dan seterusnya akan menerima limpahan trafik secara organik melalui search engine.

 

Berkenaan topik ini, saya syorkan anda baca juga perkongsian saya sebelum ini, iaitu

i. Apa fungsi blog?

ii. Apa itu content marketing

 

Bukan apa, kalau saya tulis juga dekat sini, alamatnya jadi makin panjang pula artikel ini.

 

(14) Bina content dalam bentuk video

Konten dalam bentuk video juga semakin mendapat perhatian para pengguna internet.

 

Secara peribadi, mana satu yang lebih anda gemari?

Membaca karya penulisan, atau menonton video?

 

Kita andaikan kedua-duanya bercerita topik yang sama.

Adakah anda lebih suka membaca, atau lebih suka konten dalam bentuk video?

 

Soalan ini, kalau ditanyakan pada saya, saya akan jawab bergantung pada keadaan.

Saya lebih suka membaca, jadi saya akan pilih konten dalam bentuk artikel.

 

Tapi saya tak nafikan, ada konten yang lebih bagus kalau dipersembahkan dalam bentuk video.

Maka dekat sini, anda buatlah keputusan yang sesuai dengan anda.

 

Sama ada nak hasilkan konten dalam bentuk artikel sahaja.

Atau anda hasilkan konten dalam bentuk video semata.

Atau kombinasi kedua-duanya.

 

(15) Pastikan website anda memiliki SSL Certificate

Apa beza antara website yang memiliki SSL Certificate dengan yang tak memilikinya?

 

Kalau website yang tak mempunyai SSL Certificate, link url website tersebut akan berbentuk seperti ini http://www.sabreehussin.com/

 

Manakala website yang ada SSL Certificare, link url website tersebut adalah seperti ini https://www.sabreehussin.com/

 

Bezanya adalah dari segi http dengan https

Huruf s merujuk kepada secure atau sambungan internet yang selamat.

 

Sekarang ini kebanyakan syarikat hosting memang menyediakan khidmat SSL Certificate. Jadi ia bukan isu yang besar.

 

(16) Pantau dan analisa prestasi anda

Akhir sekali, pantau dan analisa prestasi dan perkembangan kempen pemasaran anda.

 

Jika anda menggunakan blog, seperti blog yang menggunakan platform wordpress self hosted, anda boleh buat analisa berapa banyak trafik yang masuk ke laman web anda.

 

Selain dari itu, anda juga patut buat pemantauan, dari banyak-banyak keyword yang anda sasarkan, berapa banyak yang berjaya masuk ke halaman pertama Google.

 

Jika kempen yang anda lancarkan ini, tidak memberikan hasil seperti yang anda harapkan, cuba semak semula apa sebenarnya yang kurang.

 

Kemudian, cari masa untuk perbetulkan dan improve mana-mana bahagian yang kurang bagus.

 

Penutup

Pastikan bisnes anda mudah untuk ditemui oleh bakal pelanggan anda.

 

Ini mesej UTAMA yang saya ingin sampaikan.

 

Jangan lupakan segmen pelanggan yang berasal dari laman carian seperti Google, Yahoo, Bing.com dan sebagainya. Bakal pelanggan yang datang dari platform seperti ini, lazimnya mempunyai kebarangkalian yang agak tinggi untuk menjadi pembeli anda.

Kaedah pemasaran atau pengiklanan seperti ini juga sebenarnya bersifat long term. Selagi mana artikel promosi tersebut masih wujud, dan masiih berada di kedudukan pertama platform Google, maka sampai bila-bilalah artikel tersebut akan menyumbangkan prospek kepada perniagaan anda.

 

Saya faham, sebahagian daripada perkara yang saya kongsikan disini, prosesnya agak leceh untuk anda lakukan sendiri. Maklumlah, anda buat bisnes, bukannya untuk jadi content creator atau penulis blog dengan kepakaran search engine optimization.

 

Perkara-perkara ini mungkin diluar bidang dan kepakaran anda.

Jadi, sebelum anda terus reject idea ini, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk mengupah freelancer untuk bantu anda lakukan kerja-kerja pemasaran seperti ini.

 

Anda tak tahu nak berurusan dengan siapa?

Aiii penat saya tulis artikel ini… sudah tentulah saya nak bagitahu, yang anda juga boleh dapatkan khidmat penulisan artikel dari saya.

 

Hubungi saya kalau anda berminat untuk dapatkan khidmat dari saya ya.

 

Semoga perkongsian saya ini dapat anda fahami dan ada maklumat yang saya kongsikan disini berguna untuk anda.

 

 

Exit mobile version