Adakah menulis artikel merupakan satu pekerjaan yang senang untuk dilakukan?
Pada pandangan saya, menulis artikel bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilakukan. Malahan, tak salah rasanya kalau saya katakan semua orang pasti mampu untuk lakukannya.
Lagipun, ilmu penulisan ini telahpun kita pelajari sejak dari bangku sekolah lagi.
Tapi ilmu penulisan yang kita pelajari pada waktu tu, adalah untuk dapatkan gred yang cemerlang dalam peperiksaan. Adakah ilmu yang sama, boleh dipraktikkan pada hari ini, kalau kita nak buat duit dengan menghasilkan karya penulisan?
Jom kita bincangkan.
Jika anda berminat nak tahu cara sebenar, bagaimana untuk menulis sebuah artikel yang berkualiti tinggi, bermanfaat dan diminati oleh pembaca… maka artikel ini memang saya tulis untuk anda.
Kalau anda merupakan seorang penulis, atau ada rancangan untuk jadi penulis, perkongsian ini untuk anda. Jangan risau, anda tak perlu nak follow seratus peratus apa yang saya muatkan disini. Mana-mana point yang anda rasakan kurang sesuai dengan gaya penulisan anda, itu anda boleh abaikan.
Jadi tanpa membuang lebih banyak masa, saya bentangkan pada anda, tips untuk menulis artikel yang berkualiti dan bermanfaat untuk pembaca anda.
(1) Kajian kata kunci
Saya cadangkan kita bermula dengan meluangkan sedikit masa bagi tujuan melakukan kajian kata kunci terlebih dahulu.
Kajian kata kunci (keyword research) ini merupakan satu proses untuk mencari dan menganalisis suatu kata kunci ataupun sebuah frasa, yang biasa digunakan oleh pengguna halaman enjin carian (search engine) untuk mencari sesuatu maklumat diinternet.
Kajian ini penting untuk dilakukan, bagi memudahkan kita untuk mengenalpasti perkara-perkara seperti
(1) Kata kunci yang popular dan kerap digunakan
Walaupun pengguna internet adalah orang yang berbeza, tapi mereka menggunakan kata kunci yang sama untuk membuat carian maklumat di laman search engine.
Sebagai contoh, jika ada seseorang yang mencari tempat penginapan jenis homestay di Kota Bharu, apakah kata kunci atau frasa yang akan ditaip di halaman search engine?
Besar kemungkinan dia akan mulakan carian dengan menaip kata kunci “homestay di Kota Bharu”.
Kemudian jika dia masih kurang berpuas hati dengan hasil carian, barulah dia akan mula menaip kata kunci yang lebih spesifik, mengikut kriteria yang menepati keperluan dia.
“homestay kota bharu 3 bilik tidur”
“homestay kota bharu ada kolam renang”
Jika anda merupakan seorang penulis, dan bakal menulis karya berkaitan dengan sebuah homestay yang terletak di Kota Bharu, anda perlu tahu, apakah kata kunci yang bakal digunakan oleh pengguna internet.
Semasa menulis, anda perlu tulis artikel berdasarkan kata kunci tersebut, bagi memudahkan pengguna itu tadi menemui artikel yang anda siarkan.
(2) Tahap persaingan sesuatu kata kunci atau frasa
Katakanlah, anda berjaya temui kata kunci yang ada potensi untuk memberikan pendapatan sama ada melalui perniagaan online ataupun melalui program pengiklanan.
Kata kunci yang ada potensi untuk berikan anda pendapatan yang baik, biasanya mempunyai jumlah carian setiap bulan yang agak besar. Lebih kurang 1,000 ke 10,000 jumlah carian. Syarat pertama, kita mahukan kata kunci yang ada banyak orang cari.
Kata kunci seperti ini, biasanya ada satu masalah yang agak ketara.
Jumlah persaingan biasanya juga agak tinggi.
Kalau anda temui satu kata kunci yang ada ramai orang cari, biasanya orang lain pun sedang memerhatikan kata kunci yang sama.
Kalau persaingan terlalu besar, ia akan membuatkan kerja-kerja merebut tempat pertama di search engine jadi lebih sukar.
Anda terpaksa usaha lebih keras untuk menang dalam persaingan merebut tempat pertama di halaman carian Google.
Situasi yang ideal ialah, kita mahukan kata kunci yang ada banyak orang cari tapi tak banyak persaingan antara laman web sedia ada.
Wujudkah kata kunci yang seperti ini?
Kalau nak tahu jawapannya, kenalah buat kajian kata kunci.
Adakah point ini hanya relevan untuk kerja-kerja penulisan melibatkan kaedah search engine optimization (SEO) sahaja?
Bagi penulis yang ingin menggunakan kaedah SEO sebagai kaedah pemasaran, mereka perlu berikan lebih banyak perhatian terhadap keyword research. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang tak berminat untuk menggunakan kaedah SEO?
Adakah peraturan ini masih terpakai untuk diri mereka?
Sebenarnya ia bergantung kepada apa platform yang bakal anda gunakan bagi tujuan menerbitkan artikel yang anda tulis.
Jika anda menulis di media sosial, sebagai contoh di platform Facebook, kajian kata kunci ini mungkin tak begitu relevan untuk anda. Kalau anda perasan, Google amat jarang menyenaraikan FB Page di halaman pertama untuk kata kunci yang dicari pengguna.
Adakah ini bermakna, tiada siapa yang menulis berkaitan topik tersebut di FB Fanpage mahupun di profile peribadi?
Tak semestinya.
Saya percaya, topik yang begitu popular seperti buat duit online, pelaburan emas, pelaburan saham dan sebagainya, ada banyak FB Fanpage yang menyiarkan artikel sedemikian.
Cuma apa yang saya boleh katakan, Google search engine lebih memberikan keutamaan kepada platform blog, dalam hasil carian untuk muncul di mukasurat pertama.
Boleh jadi sebab Google melihat platform facebook sebagai pesaing mereka.
Justeru, saya lebih menggalakkan penulis untuk menyiarkan karya mereka di platform seperti blog, supaya boleh dapat limpahan trafik atau pembaca yang datangnya dari halaman search engine.
Kalau boleh buat kedua-dua sekali, lebih baik. Maksud saya, terbitkan artikel di media sosial dan juga di laman blog.
(3) Menghasilkan tajuk yang catchy
Tajuk artikel merupakan perkara pertama yang akan dibaca.
Kalau tajuk menarik, ia dapat membangkitkan perasaan ingin tahu, dan menjawab persoalan yang bermain difikiran pembaca, besar kemungkinan artikel tersebut akan di klik dan dibaca.
Cuba buat perbandingan antara cara penulisan tajuk dibawah
i. Cara buat duit online yang terbukti berkesan dan mantap
ii. Cara buat RM4,319 minimum setiap bulan secara online part time
Mana satu yang lebih menarik?
Kalau saya, saya akan kata tajuk yang kedua itu lebih menarik.
(Cara buat RM4,319 minimum setiap bulan secara online part time)
Ia menarik bukan sebab tajuk yang lebih panjang, tetapi ia mengandungi elemen seperti
a. Tajuk yang spesifik dan straight to the point
Artikel ini membincangkan tentang satu cara untuk buat duit online
b. Ada menggunakan nombor (RM4,319)
Pembaca boleh membayangkan, berapa banyak jumlah yang bakal dia perolehi sekiranya dia mengikuti cara dan tips yang disarankan.
Kita lihat dari perspektif pembaca, agak-agaknya apa yang dia boleh beli, jika dia berjaya hasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM4,319 setiap bulan?
Kereta baru, beli rumah, bercuti, bersedekah dengan lebih banyak dan sebagainya.
Tapi bila kita tak letakkan nombor disitu, pembaca bebas untuk membayangkan berapa banyak income yang dia bakal perolehi. Afterall, RM1 extra setiap bulan masih lagi dikira berjaya jana pendapatan tambahan, setuju?
c. Ada keyword yang memang dicari oleh pembaca
Kata kunci yang ingin diketengahkan adalah “buat duit online”. Besar kemungkinan, keyword yang sama inilah juga yang digunakan di search engine.
Cara menjalankan kajian kata kunci
Proses untuk membuat kajian kata kunci ini sebenarnya sangat mudah. Terdapat beberapa tools yang anda boleh gunakan bagi tujuan tersebut.
Ini antara tools yang anda boleh gunakan.
i. Google keyword planner
Ini merupakan tools percuma yang disediakan oleh pihak Google.
Cara menggunakan tools ini juga mudah.
Anda hanya perlu masukkan frasa atau keyword yang anda ingin kaji potensinya.
Sebagai contoh, anda ingin tahu setakat mana potensi dan persaingan bagi kata kunci “buat duit online”.
Kita pergi ke halaman Google Keyword Planner dan masukkan kata kunci tersebut.
Lihat contoh dibawah.
Paparan seperti diatas akan kelihatan.
Kita pilih Discover new keywords.
Masukkan kata kunci “buat duit online” pada kotak carian seperti dibawah.
Tekan butang Get results untuk mengetahui hasil kajian.
Ini adalah hasilnya.
Dari hasil carian ini, kita boleh mengetahui beberapa maklumat, iaitu
i. Kata kunci “buat duit online” mempunyai jumlah carian yang besar setiap bulan iaitu 1,000 ke 10,000 carian.
ii. Persaingan untuk kata kunci tersebut adalah tinggi (high)
iii. Untuk buat iklan berbayar, yang mensasarkan kata kunci tersebut, kosnya adalah USD0.22 – USD1.10 per klik
Sekarang, apa nak buat dengan data yang kita ada?
Saya rasa ini merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh mereka yang agak baru dengan kerja-kerja keyword research. Mereka sudah tau cara nak cari data, tapi tak tahu macam mana nak gunakan data tersebut.
Sebenarnya, kalau anda tumpukan perhatian, jawapannya telahpun saya berikan. Data ini anda boleh gunakan untuk menghasilkan artikel yang berkualiti.
Ya, inilah skop perbincangan kali ini, iaitu cara menulis artikel yang berkualiti.
Sila teruskan pembacaan dengan penuh sabar, ok…
ii. Ubersuggest
Ini juga merupakan satu lagi tools yang anda boleh gunakan bagi tujuan membuat kajian kata kunci.
Saya tak bercadang untuk menerangkan secara terperinci, memandangkan idea tentang cara penggunaanya adalah lebih kurang sama dengan Google Keyword Planner.
Anda hanya perlu masukkan kata kunci yang anda ingin kaji, dan tekan butang search. Tunggu beberapa saat dan seterusnya akan muncul segala data yang berkaitan dengan kata kunci tersebut.
Ubersuggest didatangkan dengan versi percuma dan berbayar.
Versi percuma ada beberapa limitation dan jika anda merasakan anda lebih selesa menggunakan data yang dibekalkan oleh Ubersuggest, sila pertimbangkan untuk upgrade kepada versi berbayar.
iii. ahrefs
Cadangan tools seterusnya adalah ahrefs.
Kalau anda nak buat kajian kata kunci, nak dapatkan idea kata kunci baru yang berpotensi untuk memberi keuntungan, dan anda nak masukkan artikel anda di mukasurat pertama enjin carian Google, maka tools seperti ini akan membantu anda melakukan kerja-kerja tersebut.
(2) Tulis artikel untuk pembaca
Pada point sebelum ini, kita telah pun mengetahui maklumat berkaitan dengan apa kata kunci yang biasa dicari oleh pengguna internet.
Kita buat kajian kata kunci, bukan semata-mata sebab kita nak hasilkan satu artikel yang boleh mendapat ranking yang baik di search engine. Bukan begitu.
Sebaliknya, kita nak dapatkan maklumat seperti
1. Dalam dunia ini berapa ramai yang cari kata kunci tersebut.
2. Berapa sengit persaingan antara laman web yang mensasarkan kata kunci yang sama.
3. Adakah terdapat keyword yang sama erti yang kita boleh sasarkan
4. Setakat mana tahap kesukaran untuk bersaing merebut kedudukan yang baik untuk keyword tersebut
Biasanya, kalau ramai yang cari kata kunci tersebut, bermakna topik tersebut memang popular, dan kemungkinan artikel yang bakal kita tulis akan dibaca juga akan jadi lebih tinggi.
Langkah seterusnya kita akan mula menulis artikel yang mengandungi kata kunci tersebut.
Pada peringkat ini, anda perlu jelas, untuk siapa artikel ini ditulis?
Jawapannya, sudah tentulah untuk pembaca.
Pembaca anda ini pula adalah manusia, yang mempunyai emosi, perasaan, pendapat dan boleh memberi reaksi terhadap penulisan anda.
Apa rasionalnya soalan ini dikemukakan?
Cerita dia macam ni…
Lazimnya, individu yang biasa dengan kerja-kerja keyword research ini, ada satu kecenderungan untuk menulis bagi tujuan mendapatkan kedudukan yang baik di halaman carian Google.
Mereka ini akan menulis untuk search engine.
Mereka menulis supaya search engine menyenaraikan artikel yang telah siap itu tadi di muka surat pertama Google.
Saya tak pasti sama ada anda ada pengalaman berhadapan dengan situasi seperti ini atau tidak.
Anda buat carian kata kunci tertentu di Google. Kemudian anda tekan klik pada laman web yang tersenarai.
Tapi bila anda baca website tersebut, bahasanya agak pelik.
Bila baca, rasa seolah-olah artikel tersebut bukannya ditulis oleh seseorang yang memang mahir berbahasa Melayu.
Boleh jadi, artikel tersebut sebenarnya merupakan satu direct translation untuk artikel asal yang berbahasa Inggeris.
Atau kemungkinan kedua, artikel tersebut sebenarnya dihasilkan oleh robot (software) bagi tujuan mendapatkan kedudukan yang baik di enjin carian.
Artikel seperti itu selalunya akan mengulang-ulang penggunaan kata kunci tertentu, yang dia cuba dapatkan ranking yang baik di search engine.
Pernah satu ketika, enjin carian tak dapat membezakan antara artikel yang berkualiti dengan artikel yang ditulis secara cincai. Pada pandangan enjin carian, artikel tersebut layak untuk menduduki tempat pertama memandangkan dalam artikel tersebut ada mengandungi kata kunci yang dicari oleh pengguna.
Tapi hari ini, strategi seperti ini sudah tak berkesan lagi.
Mana-mana laman web atau blog, yang menggunakan kaedah ini, pasti akan di denda oleh pihak Google dan kesannya, artikel yang dihasilkan akan tercampak jauh ke belakang.
Pada hari ini, laman enjin carian seperti Google lebih mengutamakan laman blog yang penulisannya mesra pembaca, bukannya mesra robot.
(3) Cipta suatu karya yang belum pernah wujud
Hasilkan satu karya yang tak ada siapa pernah baca atau yang pernah ditulis dimana-mana.
Karya seperti ini saya namakan sebagai sebuah karya yang belum pernah wujud. Actually, ia sebenarnya merujuk kepada satu karya original.
Kalau artikel tersebut, anda tulis tanpa meniru mana-mana laman blog, sama ada laman blog tempatan mahupun luar negara, maka hasil kerja tersebut boleh kita klasifikasikan sebagai sebuah “karya yang belum pernah wujud”.
Menulis artikel yang original sebenarnya tidaklah sesukar mana. Anda juga boleh lakukannya.
Lazimnya artikel yang ditulis berdasarkan kepada pengalaman sebenar, hasil kajian sendiri, dan pendapat peribadi adalah artikel yang original.
(4) Cipta karya yang sedikit lebih baik berbanding sedia ada
Kita tak perlu jadi orang pertama yang menulis tentang sesuatu topik.
Malahan tak salah rasanya kalau saya katakan, kebanyakkan topik yang ada atas muka bumi ini, sebenarnya dah ada penulis lain yang pernah tulis topik tersebut.
Kalau kita cari info di laman enjin carian, kita akan jumpa maklumat yang lebih kurang sama.
Hanya cara penyampaian sahaja yang berbeza.
Tak percaya?
Cubalah cari maklumat seperti “cara buat duit online” di Google atau yahoo.
Di mukasurat pertama, akan keluar pelbagai hasil carian dari laman blog yang berbeza.
Baca apa yang ditulis oleh penulis terdahulu.
Anda akan dapati, cara dan kaedah yang dicadangkan sebenarnya lebih kurang sama sahaja. Apa yang membezakan, hanyalah dari segi gaya penyampaian.
Idea yang sama.
Cara penerangan yang berbeza.
Ada laman web yang menerangkan dengan lebih terperinci, dengan memasukkan beberapa maklumat tambahan seperti penerangan secara langkah demi langkah, data dari hasil kajian, contoh case study, bukti pendapatan, cadangan tambahan, review dan sebagainya.
Akhirnya terpulang pada pembaca. Mereka nak dapatkan maklumat dari sumber yang bagaimana?
Ada pembaca yang sudah berpuas hati dengan satu sumber.
Ada pembaca yang bila dia mula membaca sesuatu, dia ingin mengetahui dengan lebih lanjut, dan akan terus mencari bahan bacaan lain. Pembaca seperti ini, lazimnya ingin pemahaman yang lebih baik, berbanding hanya baca apa yang ada dipermukaan sahaja.
(5) Karya anda bermanfaat
Kalau nak tulis artikel yang berkualiti, kenalah pastikan artikel tersebut mempunyai manfaat!
Bagaimana cara untuk hasilkan sebuah artikel yang bermanfaat?
Sebenarnya ini merupakan salah satu topik penting yang saya nak bincangkan melalui artikel ini. Saya nak kongsikan bagaimana proses untuk menulis sebuah artikel berkualiti serta bermanfaat kepada pembaca. Tapi sebelum itu, ada beberapa perkara yang kita perlu faham terlebih dahulu.
Penulis yang berbeza mempunyai sebab dan motivasi yang berbeza apabila menulis sesuatu artikel.
Ada penulis yang menulis atas tujuan
i. Menyampaikan berita atau informasi
ii. Menyatakan pendirian ataupun pendapat tentang sesuatu isu
iii. Menulis atas tujuan hiburan
iv. Menulis untuk menjual produk atau perkhidmatan
v. Menulis untuk menyebarkan propaganda dan ideologi
Sebelum kita nak cop sesebuah penulisan itu bermanfaat atau sebaliknya, mungkin kita boleh berhenti sejenak dan fikir, adakah matlamat penulisan itu memang bertujuan untuk memberi manfaat?
Konten berbentuk hiburan jarang ada diselitkan sesuatu yang ada manfaat.
Tapi ini bukan bermakna semua konten hiburan tak bermanfaat.
Apabila kita mampu untuk membezakan apa matlamat utama seseorang penulis itu menghasilkan sesuatu artikel, kita boleh agak, sama ada hasil penulisan tersebut akan memberi manfaat atau sebaliknya.
Kadang keluar artikel dengan tajuk seperti, “Pengarah terkenal nafi dakwaan isteri telah bernikah satu lagi di negara jiran”.
Kemudian, ada pula pembaca yang komen… “ok apa manfaat artikel ini untuk kami ni?”
At the first place, artikel tu sendiri adalah dalam kolum hiburan. Penulis hanya melaporkan berita terkini yang berlaku dalam dunia hiburan. Kenapa ada pembaca nak trigger dan bertanya, apa manfaat dari penulisan tersebut?
Kalau betul nak manfaat, fokus sahajalah untuk baca artikel dalam kolum yang sepatutnya.
Yang sesat sampai ke kolum hiburan… untuk apa?
Bagaimana kita dapat menentukan sama ada sesuatu artikel itu bermanfaat atau tidak?
Jangan risau.
Saya tahu, ada kalangan pembaca yang masih tak dapat nak membezakan, antara artikel yang memberi manfaat dengan tidak.
Jadi dekat sini, mari kita kenalpasti, apakah ciri atau kriteria yang biasanya terdapat pada sebuah artikel yang berkualiti tinggi serta memberi manfaat kepada pembacanya.
(1) Target pembaca yang jelas
Sama ada sesebuah artikel itu bermanfaat atau tidak, ia berkait rapat dengan faktor siapakah target pembaca artikel tersebut.
Saya bagi contoh, kalau ada seorang penulis yang menulis tentang tips pelaburan hartanah.
Tips ini sebenarnya ditujukan kepada golongan berpendapatan tinggi.
Maka dalam artikel tersebut dimuatkan pelbagai contoh, cadangan, dan case studies yang menyokong setiap tips yang diberikan oleh penulis itu tadi.
Masalahnya, yang baca artikel tu adalah mereka yang berpendapatan rendah.
Mereka akan kata, oh… tips ini langsung tak boleh pakai.
Sebenarnya bukan tips tu yang bermasalah, tapi target pembaca yang tak betul.
Sebab tu, sebelum nak baca apa-apa artikel, buku dan sebarang bahan bacaan, kita sebagai pembaca ini kena fikirkan juga, adakah kita ini merupakan target audience penulis tersebut.
Kalau kita ini tak termasuk dalam target audience penulis tersebut, kita masih boleh baca tapi sekadar untuk tambahkan pengetahuan. Segala tips, nasihat dan strategi, mungkin banyak yang kita belum boleh praktikkan lagi. Nanti bila income kita dah naik, barulah tips tersebut kita boleh guna.
Ibarat kita menyuruh seorang yang menjalankan bisnes sendiri membaca buku bertajuk rahsia menjadi pekerja cemerlang dan disayangi majikan.
Saya sebagai seorang yang bekerja sendiri, sudah tentu tak akan baca buku tersebut.
(2) Topik yang spesifik
Hasilkan suatu karya penulisan yang fokus pada topik yang spesifik. Kalau seseorang itu ingin menulis topik mengenai “cara menghasilkan penulisan yang berkualiti” maka dia perlu fokus pada topik perbincangan itu sahaja.
Jangan campur adukkan dengan topik lain, seperti pengurusan kewangan, politik, dan sebagainya dalam satu artikel yang sama.
(3) Kajian yang mendalam
Artikel yang bagus, ianya bukan semata-mata terhasil daripada ilham sang penulis semata-mata.
Ada bahagian tertentu yang memerlukan kajian dan pembacaan tambahan, bagi menyokong sesuatu point.
(4) Penggunaan bahasa yang jelas dan mudah difahami
Suatu artikel yang berniat untuk memberi manfaat kepada pembacanya, akan ditulis dengan bahasa yang mudah difahami dengan mesej yang jelas.
Penulis tak akan menyuruh pembaca berfikir sendiri, atau seperti menyuruh pembaca menjawab soalan teka-teki.
Anda ada tak kawan yang minat dengan teori konspirasi? Saya ada.
Tapi kawan sekadar di media sosial. Saya perhatikan, ada masa-masa tertentu wall FB dia cukup aktif dengan posting yang penuh kontroversi.
Mereka ni akan mula dengan melontarkan satu pernyataan, dan bila kita minta penjelasan, dia tak akan jawab soalan kita, tapi dia akan suruh kita fikir sendiri. Ataupun, kalau nak nampak macam cerdik, dia akan jawab dengan cara macam ni.
“Bukalah mata, buka minda… sampai bila kita nak ditipu?”
“Jangan mudah terpedaya dan terpesona dengan apa yang nampak dimata. Lihatlah dengan mata hati…”
“Tak kan benda ini pun masih tak faham?”
“Sampai sekarang masih belum sedar lagi? Seronok ke kena tipu dengan musuh-musuh Islam?”
Saya rasa, ini bukan cara yang tepat untuk memberikan kesedaran kepada golongan yang kita sasarkan. Sebaliknya, ia hanya menambahkan kekeliruan.
Pembaca tak ada masa nak buat research sendiri. Melainkan kalau topik tersebut benar-benar menarik perhatian.
“Tak kan semua benda nak kena suap?”
“Jangan malas cari jawapan… semua benda dah ada depan mata.”
Itulah masalahnya.
Saudara menulis bagi tujuan memberi kesedaran, dengan niat menyedarkan satu bangsa yang masih tidur, yang lena diulit mimpi, yang sering tertipu dengan musuh-musuh… tapi bila diajukan pertanyaan, kita ni digelarkan pemalas, cuma nak disuap, dan sebagainya.
Kita sangka, dia ada semua jawapan.
Rupanya dia pun sama macam kita. Atau mungkin lebih teruk. Cuma acah-acah nampak pandai.
Biasanya topik apa yang geng konspirasi ini suka bincangkan? Kalau ikut pengalaman saya, mereka ini suka topik berkaitan dengan
i. Perubatan
ii. Sistem kewangan
iii. Teknologi
iv. Peristiwa akhir zaman
v. Bencana alam
Entahlah… saya susah nak percaya teori-teori mereka ini. Bila kita minta penjelasan, kita yang kena cari sendiri. Nak harap pada mereka ini, kita pula dikatanya masih tak buka mata, terlalu percaya membuta tuli dan macam-macam lagi.
(5) Penulisan yang tersusun
Penulis akan menyusun cara penulisan dengan baik. Ia bermula dengan
i. Ada headline
ii. Subheadline
iii. Pengenalan dan latar belakang
iv. Hujah atau isi penting
v. Penerangan terhadap hujah
vi. Ada disertakan contoh dan juga bukti
vii. Kesimpulan
Kalau kita cuba ikuti secara step by step, kita pun mudah untuk faham, apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh penulis.
Point ini memang berlawanan dengan cara penyampaian peminat teori konspirasi. Sepatutnya, makin kita follow, kita akan jadi makin faham, tapi sayang, dalam konteks geng konspirasi ini, makin kita follow, makin jauh dari kebenaran dan makin pening pula jadinya.
(6) Artikel tersebut mampu menyelesaikan masalah pembaca
Seterusnya kita lihat pula pada kriteria sama ada artikel tersebut mampu menyelesaikan masalah pembaca atau tidak. Ada kelompok pembaca yang sedang menghadapi masalah tertentu, dan mereka ini memerlukan idea atau jalan untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Jika artikel anda membincangkan tentang suatu permasalahan yang spesifik, beserta dengan jalan penyelesaiannya sekali, saya boleh katakan artikel yang anda tulis sememangnya bermanfaat.
(7) Artikel memberi jawapan kepada suatu persoalan
Ataupun jika anda tak dapat memberikan jalan penyelesaian sekalipun, sekurang-kurangnya artikel anda mampu menjawab persoalan yang bermain difikiran pembaca.
Ini merupakan antara kriteria yang anda perlu tahu bagi menulis artikel yang bermanfaat untuk pembaca.
Jadi selepas ini, sebelum nak terbitkan sesuatu karya penulisan, kita fikirkan juga, apakah manfaat yang kita nak berikan kepada pembaca?
(6) Gunakan tajuk yang menarik perhatian dan minat pembaca
Tajuk artikel merupakan perkara pertama yang akan dibaca oleh pembaca.
Tajuk yang menarik, akan membuatkan pembaca berhenti sejenak dan berfikir, “patut ke aku baca artikel ini?”
Katakanlah tajuk memang menarik.
Kemudian pembaca itu pun buat keputusan untuk membuat pembacaan.
Selepas tajuk menarik, kena pastikan perenggan pertama hingga ketiga juga menarik. Barulah pembaca akan pertimbangkan, sama ada berbaloi ataupun tidak untuk baca artikel yang ditulis itu dari mula sampai habis.
(7) Gunakan gaya bahasa yang bersesuaian dengan target pembaca
Penggunaan gaya bahasa perlu disesuaikan dengan kelompok audience anda.
Kalau anda menulis untuk pembaca kategori usia remaja, gaya bahasa perlu disesuaikan dengan kelompok ini.
Kalau anda mensasarkan golongan profesional, maka gaya bahasa juga perlu disesuaikan dengan golongan ini.
(8) Apa sebenarnya yang dicari oleh pembaca?
Mari kita buat sedikit ramalan.
Artikel yang kita hasilkan akan lebih bermakna sekiranya kita dapat membuat ramalan, apa sebenarnya yang dicari oleh pengguna internet.
Apakah niat, tujuan atau matlamat sebenar disebalik tindakan mereka membuat carian maklumat menggunakan kata kunci tertentu.
Setiap tindakan pengguna internet, ada sebab disebaliknya. Ia berlaku bukan secara kebetulan atau tanpa sebab.
Macam mana cara untuk kita ketahui apa niat sebenar pembaca kita?
Dalam keadaan ini, sebenarnya ada beberapa cara yang kita boleh jadikan sebagai rujukan, untuk mengetahui apa tujuan sebenar pembaca kita.
(1) Kita tanya terus kepada pembaca
Ini pentingnya kita bina kumpulan pengikut dan seterusnya kita berinteraksi dengan mereka.
Setidak-tidaknya kita boleh tanya pada mereka, apa sebenarnya yang mereka cari?
Maklumat yang bagaimana yang mereka perlukan dari kita?
Adakah kita telah membekalkan maklumat yang mereka perlukan dalam penulisan kita?
Jika jawapannya masih belum lengkap, atau pembaca masih belum dapat apa yang dia cari dari kita, maka kita perlulah tambah baik artikel yang telah kita siarkan sebelum ini.
(2) Kita melihat kepada kata kunci yang digunakan oleh pembaca sebelum menemui posting kita
Data ini saya perolehi dari laman web Google Search Console.
Menerusi laman web ini, saya boleh dapatkan maklumat mengenai bagaimana cara pembaca menemui laman blog saya.
Kebanyakkan pembaca yang membaca blog saya adalah mereka yang tak kenal saya. Mereka ini membuat carian menerusi kata kunci tertentu di Google, dan akhirnya menemui laman blog saya.
Kalau merujuk kepada data, ada yang menaip kata kunci
i. modal buka kedai runcit
ii. cara buka kedai runcit
iii. cara buat homestay
… dan sebagainya.
Memang saya ada menulis artikel-artikel yang berkaitan dengan kata kunci tersebut.
Sekarang, persoalannya ialah, bagi kumpulan pembaca yang membuat carian menggunakan kata kunci “modal buka kedai runcit”, apakah langkah seterusnya yang akan dia lakukan setelah dia mendapat maklumat tersebut?
Pada peringkat ini, kita perlu lakukan proses brainstorming dan berfikir seperti pembaca kita. Letakkan diri kita dalam kedudukan pembaca.
Katakanlah, selepas dia membuat pembacaan, dia dapati modal permulaan untuk buka kedai runcit adalah sebanyak RM200,000. Apakah tindakan beliau seterusnya?
Ini merupakan beberapa situasi yang saya dapat fikirkan
(1) Kalau dia ada duit sebanyak itu, dia boleh terus mulakan bisnes dia sendiri.
(2) Kalau dia tak ada duit sebanyak tu, dia mungkin minat nak tahu tentang pelan pembiayaan dan bantuan kewangan
(3) Dia juga mungkin berminat nak tahu, apakah pecahan perbelanjaan dari RM200,000 itu tadi
(4) Jika dia tak memiliki wang sebanyak itu, adakah boleh buka kedai dengan separuh dari modal tersebut
Bila kita boleh predict (ramal) apa yang mereka perlukan, ini dapat membuatkan pembaca lebih tertarik untuk terus membaca artikel yang kita tulis.
(9) Artikel panjang atau artikel pendek
Apa faktor yang mempengaruhi panjang atau pendek sesebuah artikel?
Saya perhatikan, ada banyak laman blog yang membincangkan tentang mana satu yang lebih baik, sama ada menulis artikel yang panjang atau pendek dalam menghasilkan sesebuah karya penulisan.
Satu pihak mengatakan, hasilkan artikel yang pendek, sebabnya pembaca tak suka baca artikel yang panjang.
Di pihak yang lain pula, mengesyorkan untuk hasilkan artikel yang lebih panjang, memandangkan Google lebih suka artikel yang panjang.
Mana satu yang betul?
Kita patut hasilkan penulisan yang panjang atau pendek?
Saya rasa kedua-dua betul. Kedua-dua ada hujahnya.
Ada masa kita perlu tulis panjang lebar. Ada masanya kita perlu tulis pendek sahaja.
Sebagai penulis, kita perlu berbalik kepada matlamat asal, kenapa kita menulis?
(1) Adakah untuk menyampaikan berita?
Artikel jenis berita selalunya pendek, dan padat. Ia hanya mengandungi maklumat-maklumat penting sahaja, tanpa disertakan dengan maklumat tambahan, penerangan dan sebagainya.
Artikel seperti ini hanya melaporkan apa yang telah berlaku.
(2) Bagi tujuan menyatakan pendapat, pandangan dan reaksi pada sesuatu isu
Bukan semua orang suka untuk dengar pendapat kita. Tapi, ini bukan bermakna, kita perlu simpan sahaja pendapat kita dalam hati.
Macam saya sendiri, saya suka menulis dan nyatakan pendapat saya melalui penulisan. Biarlah, orang nak baca atau tidak, nak bersetuju atau sebaliknya. Apa yang penting, saya dapat luahkan apa yang terbuku dihati.
Artikel seperti ini, boleh jadi panjang, jika setiap hujah yang saya berikan, disokong oleh data, statistik dan fakta tertentu.
(3) Berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran
Artikel perkongsian ilmu juga boleh jadi ditulis dengan agak panjang. Kita menulis untuk menyebarkan ilmu, supaya pembaca benar-benar faham apa yang ingin dibincangkan.
Ada penerangan yang perlu diberikan secara panjang lebar. Pada pandangan saya tak perlu takut untuk menerangkan dengan panjang lebar, jika penerangan tersebut memang perlu dilakukan.
(4) Untuk mendidik kelompok masyarakat
Sama juga keadaan dengan artikel yang bertujuan mendidik masyarakat. Jika perlu ditulis dengan panjang lebar, tulis sahaja. Apa yang penting, bukannya panjang atau pendek artikel tersebut, sebaliknya kita mahu melahirkan masyarakat yang terdidik.
Jika dengan menulis secara ringkas boleh mendidik suatu masyarakat, maka tulislah dengan ringkas.
(5) Untuk mengelak lupa
Ada sesetengah orang, dia suka upload gambar percutian bersama keluarga beserta dengan ayat panjang-panjang sebagai kenang-kenangan di masa akan datang. Kita boleh perasan, individu yang sama ini akan sertakan ayat seperti
i. “Simpan sini biar tak lupa”
ii. “Up sini untuk rujukan masa akan datang
Bila ada ayat-ayat macam tu, kita fahamlah yang tujuan penulis tu sebenarnya adalah untuk merekod kenangan dan pengalaman semata-mata.
Pada sesuatu keadaan, kita perlu menulis artikel yang lebih panjang, bergantung kepada beberapa sebab
i. Subjek penulisan
Ada topik yang kita boleh terangkan dengan ringkas, dan ada topik yang kita perlu berikan penerangan yang agak panjang lebar.
ii. Tujuan artikel dihasilkan
Tujuan artikel ditulis juga akan memberi kesan kepada panjang atau pendek artikel tersebut. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, apakah matlamat penulisan tersebut?
Artikel yang ditulis bagi tujuan mendidik masyarakat, dan berkongsi ilmu pengetahuan, selalunya ditulis dengan lebih panjang.
iii. Siapa sasaran pembaca
Ada sesetengah artikel yang kita tulis untuk bacaan mereka yang baru pertama kali mendengar sesuatu topik. Dalam keadaan ini, kita perlu menerangkan setiap terma dan istilah yang kita gunakan dalam artikel tersebut.
iv. Platform yang digunakan untuk penyiaran artikel
Dimanakah artikel tersebut bakal diterbitkan? Adakah di
a. Blog
b. Media sosial (twitter, Facebook, Instagram)
c. Surat khabar
Setiap platform ataupun portal yang berbeza mempunyai peraturan yang berbeza. Ada platform yang meletakkan had tertentu, jadi kita tak boleh menulis terlalu panjang. Contohnya dalam surat khabar atau majalah. Ruang yang diperuntukkan untuk kita mungkin sangat terhad, jadi kita perlu tulis dalam ruang lingkup yang diberikan sahaja.
v. Tahap kerumitan (complexity) sesebuah topik
Tak ramai yang suka menulis mengenai sesuatu topik yang agak kompleks. Topik seumpama ini lebih sesuai ditulis dalam bentuk buku, memandangkan buku selalunya boleh dimuatkan dengan penulisan yang panjang lebar.
Ada orang yang mampu menulis sesuatu topik yang rumit dalam gaya penyampaian yang mudah difahami.
Individu seperti ini, kita patut raikan dan berikan sokongan apabila dia menulis.
vi. Jumlah kajian yang dilakukan
Sesetengah topik memerlukan kita untuk buat kajian yang agak mendalam.
vii. Tahap perincian yang ingin kita persembahkan
Sekiranya kita menulis untuk pembaca yang baru kali pertama didedahkan dengan sesuatu topik, kita akan tulis dengan lebih terperinci. Kita mahu pembaca faham dengan setiap perkara yang kita kongsikan.
viii. Style dan cara penulisan
Cara penulis yang unik yang terdapat pada diri penulis itu juga akan mempengaruhi panjang atau pendek sesuatu artikel.
Tiada sebarang peraturan yang khusus, berapa patah perkataan yang mesti kita gunakan dalam menulis sesuatu artikel. Terutama sekali apabila kita nak menulis artikel yang bermanfaat.
Sebaik-baiknya, kita gunakan seberapa banyak patah perkataan yang diperlukan. Kalau perlu gunakan 10,000 patah perkataan sekalipun, gunalah. Apa yang penting, matlamat penulisan tersebut berjaya dicapai.
(10) Gunakan perenggan
Penggunaan perenggan ini sebenarnya bagi tujuan memudahkan pembacaan.
Kebiasaannya, kita akan menggunakan perenggan baru, apabila kita mengemukakan satu hujah. Satu hujah satu perenggan. Kemudian kita menggunakan perenggan baru, untuk menerangkan tentang hujah tersebut.
Dalam bidang penulisan ini, ada satu peraturan, yang mana setiap perenggan ini perlu berperanan untuk mengajak pembaca membaca perenggan seterusnya.
(11) Masukkan penggunaan imej dan grafik
Saya setuju, pendapat yang mengatakan penggunaan teks yang terlalu panjang, tanpa diselangi penggunaan imej, akan memenatkan mata pembaca.
Memang wujud kumpulan pembaca yang tak suka baca artikel yang panjang.
Walaubagaimanapun, ada ketikanya kita memang perlu menulis dengan panjang, terutama sekali apabila kita cuba menghasilkan suatu karya yang lengkap dan padat dengan informasi.
Oleh sebab itu, apa yang kita boleh lakukan adalah masukkan juga grafik dan imej yang menarik dalam artikel.
(12) Personal writing
Kita masukkan identiti kita dalam setiap penulisan yang kita hasilkan.
Kita menulis dalam gaya bahasa yang sama dengan cara kita bertutur. Ada satu pengajaran yang saya pernah lalui sendiri.
Waktu awal-awal saya menulis di blog dulu, saya lebih cenderung untuk menggunakan bahasa yang formal. Ibarat macam sedang menulis laporan akhbar. Ayat-ayat yang saya gunakan juga banyak yang menyamai ayat dalam buku teks.
Kemudian satu hari, saya perasan ada sesuatu yang pelik berlaku.
Artikel yang saya tulis telah pun di “copy & paste” ke dalam blog lain. Bukan semua artikel saya ditiru, sebaliknya hanya beberapa artikel.
Apa yang saya perhatikan, artikel yang jadi target untuk copy paste ini adalah artikel yang gaya bahasanya agak formal. Artikel lain, yang nadanya agak personal, nampaknya tak ditiru.
Dari kejadian tersebut, saya mula faham yang sebenarnya tukang copy paste ini tak berminat pada artikel yang mempunyai personaliti dan identiti penulis asal.
Untuk kerja-kerja copy paste, dia lebih suka artikel yang nampak formal.
Walaubagaimanapun, meletakkan identiti dan personaliti dalam penulisan, bukanlah satu jaminan yang artikel anda tak akan ditiru.
Lagipun dalam dunia maya ini, bukan semua orang pandai nak hormat karya penulisan orang lain.
(13) Tulis sesuatu yang anda PAKAR
Setiap orang ada kepakaran masing-masing. Itu memang satu fakta.
Saya suka menulis topik mengenai affiliate marketing, buat duit online, blogging, tips penulisan dan sebagainya. Sebabnya ialah, semua ini adalah termasuk dalam perkara yang saya ada pengetahuan dengan baik.
Saya kurang menulis topik mengenai pelaburan, pengurusan kewangan, percukaian, undang-undang dan sebagainya. Walaupun saya tahu, ini merupakan topik-topik yang mempunyai nilai yang agak tinggi.
Kalau nak menulis juga topik-topik sedemikian, saya perlu banyakkan membaca. Isunya ialah, bila saya gunakan banyak masa untuk membaca, saya akan kesuntukkan masa untuk menulis.
Oleh itu, jalan yang lebih selamat, adalah fokus untuk menulis artikel yang memang kita dah pakar. Bukannya habiskan banyak masa untuk menulis suatu topik yang kita kurang selesa.
Tapi ini bukanlah bermakna, kita kena fokus pada benda yang kita pakar sahaja.
Disamping kita menulis topik yang kita pakar, kita luangkan juga sedikit masa untuk explore bidang dan ilmu baru. Lama-kelamaan, bila kita dah banyak membaca, kita juga akan mula familiar dan bina kepakaran dalam topik baru tersebut.
(14) Nyatakan sumber
Bila kita menulis sesuatu perkara, nyatakan juga dari mana sumbernya.
Kalau sekadar pendapat, nyatakan ianya pendapat peribadi anda sahaja.
Kalau dari hasil pembacaan, beritahu info tersebut diambil dari buku atau laman web apa.
Ini merupakan satu disiplin yang patut kita ikuti.
Jangan sewenang-wenangnya memetik sesuatu cerita dari sumber yang tak ketahuan punca.
Kalau cerita rekaan, katakan ianya hanya rekaan semata-mata. Ia diceritakan bagi tujuan menerangkan sesuatu hujah. Bila tak disebutkan ianya merupakan cerita rekaan, bimbang akan ada orang yang kurang cerdik menganggap ianya cerita betul.
Kemudian cerita yang asalnya hanyalah rekaan semata-mata, dipanjangkan dan disebarkan kepada orang lain.
Bila kita nyatakan, dari mana sumber cerita, berita, fakta, data atau statistik yang kita petik, ia tak menjadikan kita seorang penulis yang lemah.
Sebaliknya ia menunjukkan bahawa anda adalah seorang yang teliti dan telah melakukan kajian serta pembacaan terlebih dahulu sebelum menghasilkan sebarang karya penulisan.
Pada masa yang sama, anda juga akan dilihat sebagai seorang yang mempunyai kredibiliti yang baik, memandangkan anda memetik dari sumber yang boleh dipercayai.
(15) Jemput pembaca untuk join perbincangan
Libatkan pembaca dalam perbincangan.
Kita tak tahu, siapa yang akan baca penulisan kita. Kadang-kadang ada pembaca yang mahukan idea dan pendapat mereka didengari, tapi mereka tak mempunyai platform untuk menyuarakan pendapat mereka.
Jadi, kalau ianya tak menjadi satu masalah kepada anda, jemputlah mereka untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.
(16) Letakkan satu “nilai” pada artikel yang anda hasilkan
Cuba bayangkan, ada seseorang yang bersedia untuk membayar anda sejumlah wang, untuk setiap artikel yang anda hasilkan. Namun, bayarannya adalah berbeza-beza.
Pada satu hari, individu tersebut meminta anda untuk menulis sebuah artikel dan dia akan bayar anda sebanyak RM200 untuk artikel tersebut.
Bagaimana agaknya artikel yang anda akan tulis nanti?
Kemudian, pada hari yang lain, individu ini meminta anda untuk tulis artikel lain, dan dia akan bayar anda RM5 untuk artikel tersebut.
Bagaimana agaknya bentuk artikel yang akan terhasil nanti?
Seterusnya, pada kesempatan yang lain, individu ini meminta anda menulis artikel baru, dan dia bersedia untuk membayar anda RM600 untuk artikel tersebut.
Dalam keadaan ini, bagaimana bentuk penulisan anda yang akan dihasilkan nanti?
Adakah anda akan hasilkan kualiti penulisan yang sama sahaja untuk setiap tugasan?
Sedangkan bayaran untuk setiap tugasan adalah berlainan, ada yang RM5, ada yang RM200 dan ada yang anda dibayar RM600.
Begitulah juga dengan kerja penulisan yang kita lakukan.
Walaupun tak ada siapa yang bayar, tapi bila kita bayangkan bahawa ada seseorang yang akan bayar kita sejumlah wang, kita pasti tak akan tergamak untuk tulis artikel yang terlalu ala kadar.
Kita bayangkan, ada seseorang akan bayar kita sebanyak RM600 untuk satu artikel, dengan syarat kita juga perlu hasilkan satu karya penulisan yang setara dengan nilai tersebut.
In Shaa Allah, pada masa itu anda juga pasti akan buat yang terbaik untuk menulis satu karya penulisan yang berkualiti tinggi.
Kesimpulan
Saya tak berniat untuk mengajar anda cara sebenar bagaimana menjadi seorang penulis.
Bukan itu matlamat saya.
Saya faham, setiap orang ada style, gaya dan ramuan tersendiri dalam menghasilkan bahan penulisan. Kerana resepi itulah yang menjadikan diri anda unik dimata pembaca dan pengikut anda.
Sebenarnya, melalui penulisan disini, saya ingin berbicara dengan bakal penulis yang masih belum menemui rentak dan gaya penulisan. Ya, artikel ini saya tulis untuk anda.
Jika anda merasakan bidang penulisan ini terlalu asing untuk anda, bermakna penulisan disini memang untuk anda.
Apa yang saya muatkan disini, adalah sedikit tips yang saya dapat kongsikan, sepanjang beberapa tahun saya berkecimpung dalam bidang penulisan. Manalah tahu, ada beberapa point yang saya highlight disini berguna untuk kalian.
Sebagai penutup, saya ingin simpulkan, bagi menulis artikel yang berkualiti, tips berikut bolehlah anda gunakan, iaitu
1. Mulakan dengan membuat kajian kata kunci
2. Tulis artikel untuk pembaca, bukan untuk robot search engine
3. Hasilkan karya yang belum pernah wujud
4. Cipta karya yang sedikit lebih baik daripada yang sedia ada
5. Tulis suatu karya yang bermanfaat
6. Gunakan tajuk yang memukau
7. Sesuaikan penggunaan gaya bahasa dengan target pembaca
8. Ramalkan apa yang pembaca mahukan
9. Panjang artikel yang bersesuaian
10. Pastikan artikel anda ada perenggan
11. Masukkan imej dan grafik dalam artikel
12. Masukkan identiti dan personaliti anda dalam penulisan
13. Menulis dalam topik yang anda memang pakar
14. Beritahu dimana sumber informasi diambil
15. Ajak pembaca untuk memberi respons
16. Letakkan suatu nilai pada artikel anda
Akhir kata, saya harapkan semoga perkongsian ini berguna untuk anda.
Jika ada sebarang cadangan, komen dan sebagainya, boleh kongsikan dibawah ya.