Blog Sabree Hussin

Bagaimana Cara Dapatkan Pembaca Blog Yang Ramai

Anda nak dapatkan pembaca yang ramai untuk baca blog anda?

 

Kalau anda mempunyai blog anda sendiri, saya percaya anda juga pasti mahukan pembaca yang ramai untuk baca blog yang anda tulis.

 

Melainkan kalau anda memang set blog anda kepada private dan memang tak nak orang lain baca blog anda. Maka posting disini mungkin kurang relevan untuk anda.

 

Walaubagaimanapun, jika anda menjadikan blog anda sebagai salah satu daripada alat untuk kerja-kerja pemasaran, maka anda tentunya memerlukan pembaca yang ramai.

 

Ini secara tak langsung akan dapat memberikan manfaat dan kebarangkalian yang lebih tinggi untuk membantu anda menghasilkan jualan.


Saya menerima soalan dari pembaca blog saya mengenai topik ini.

 

Biasanya orang akan tanya macam mana nak dapatkan trafik yang tinggi ke blog, tapi beliau bertanya macam mana nak dapatkan pembaca yang ramai.

 

Good question.

 

Kalau blog kita ada banyak trafik, tapi mereka ini semua tak baca apa yang kita tulis, saya kira ianya bukanlah suatu perkara yang sihat.

 

Lazimnya, hanya mereka yang membaca apa yang kita tulis akan tahu

1. Apa point yang kita cuba sampaikan melalui blogpost

2. Apa tawaran yang kita sediakan

3. Apa produk atau perkhidmatan yang kita promosikan

4. Apa solution bagi masalah yang kita bincangkan

 

Strategi blog commenting

Salah satu strategi pemasaran khusus untuk blog yang kita boleh amalkan ialah dengan memberi komen pada artikel blog milik penulis blog lain.

 

Kaedah ini juga dikenali dengan nama blogwalking, yang mana kita akan kunjungi blog milik penulis lain dan akan meninggalkan komen pada artikel yang mereka siarkan.

 

Suatu masa dulu, saya boleh katakan aktiviti blogwalking ini adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan. Pada masa tersebut, ada banyak penulis blog yang aktif menghasilkan artikel baru dan membuat kunjungan balas kepada blog kita.

 

Kemudian, tak lama selepas itu, kita melalui fasa dimana media sosial mula mendapat tempat dan perhatian.

Tak lama lepas tu, konten video pula mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna internet.

 

Satu per satu, mereka yang dulunya aktif dalam bidang penulisan blog, mula meninggalkan dan mengabaikan blog milik mereka. Ada blog yang terus hilang dan sudah tak lagi diperbaharui langganan domain dan hosting.

 

Boleh jadi sebab blog tersebut sudah tak lagi menguntungkan pemiliknya?

Maka timbul pertanyaan, adakah blog masih lagi relevan?

 

Kalau tanya pada saya, saya mungkin sedikit bias dan akan kata, ya sudah tentu blog masih lagi relevan.

Cuma formula dan kaedah penulisan kita tu, perlu disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan semasa.

Baca juga: Adakah aktiviti blogging masih lagi relevan?

 

Kalau nak tulis blog macam menulis di media sosial, dengan bahasa yang ringkas dan santai, sebaik-baiknya fokus sahaja untuk bangunkan channel atau page di media sosial.

 

Audiens disana, lebih suka penulisan yang santai dan ringkas.

Tapi, kalau nak fokus main blog, yang itu kita perlu bersedia untuk hasilkan karya penulisan yang bersifat all out, atau yang sehabis baik.

 

Biarlah kalau ada yang kata, penulisan dekat blog ini terlalu panjang, too long didn’t read.

 

Pada pandangan saya, asalkan apa yang kita tulis itu benar-benar isi yang penting dan berguna, nak tak nak, pelawat blog kita itu nanti akan terpaksa baca dari mula sampai habis juga.

 

Sudah tentu, ini semua bergantung kepada kita, si penulis, sama ada kita benar-benar menulis dengan panjang lebar disebabkan ingin menyampaikan sesuatu atau sekadar ingin meleret-leret dalam penulisan.

 

Kita kembali kepada perbincangan mengenai strategi blog commenting atau blog walking.

Menerusi strategi ini, apa yang kita akan lakukan adalah

 

1. Kenalpasti blog yang kita akan komen

Mula-mula sekali kita pilih dulu blog yang sesuai dengan niche kita, untuk kita follow dan tinggalkan komen.

 

Anda perlu tahu bukan semua blog yang ada diluar sana sesuai untuk kita komen.

 

Malahan ada juga pemilik blog yang menutup fungsi komen.

 

2. Baca dan fahamkan konten yang ditulis

Ini merupakan langkah yang penting untuk dilakukan. Anda perlu baca dan pastikan anda faham konteks artikel yang ditulis oleh blogger tersebut.

 

Bila anda faham konteks, barulah anda boleh nyatakan sama ada anda bersetuju atau tidak dengan pendapat penulis.

 

3. Tinggalkan komen yang memberi tambah nilai

Berikan komen yang memberi nilai tambah pada kandungan artikel yang disiarkan.

 

Kalau boleh wujudkan perbincangan lanjut melalui ruangan komen, itu juga bagus.

 

4. Guna nama sebenar atau nama blog anda

Memandangkan kita mahu diri kita dikenali, maka kita gunakanlah nama sebenar, nama pena atau mungkin nama blog kita.

 

5. Elakkan kelihatan terlalu membuat promosi

Ruangan komen bukannya tempat untuk anda buat promosi. Walaupun ada orang lain yang buat perkara ini, tak bermakna anda perlu ikut.

 

Komen berbentuk promosi ini selalunya akan dianggap sebagai spam dan pemilik blog selalunya akan delete komen sedemikian.

 

6. Balas komen pembaca lain

Kalau anda tak ada idea nak tulis komen apa, mungkin anda boleh balas komen pembaca lain yang meninggalkan komen berbentuk pertanyaan.

 

7. Baca dan semak sebelum siarkan komen

Bahagian ini juga sebenarnya sangat penting. Baca beberapa kali sebelum anda siarkan komen anda. Ini bagi mengelakkan pemilik blog dan pembaca lain tersalah faham dengan apa yang anda cuba sampaikan melalui komen yang anda tulis.

 

Adakah kaedah blog commenting ini mampu untuk membuatkan blog kita menerima ramai pembaca?

Boleh.

 

Namun pada pandangan saya, kaedah blog commenting ini memakan masa yang agak lama untuk dilakukan dan impaknya juga tidaklah begitu besar.

 

Ia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor seperti

 

1. Populariti blog yang bakal kita komen

Blog yang popular biasanya akan ada banyak trafik dan pembaca. Bila kita rajin menulis komen, kita sebenarnya cuba menarik perhatian pembaca lain untuk turut membaca blog yang kita tulis.

 

Tapi kalau blog yang kurang popular, trafik pun macam ada macam tak ada.. biasanya strategi ini tak memberikan sebarang impak yang signifikan.

 

2. Komen kita disiarkan oleh pemilik blog

Ada juga penulis blog yang jenis malas nak approve komen bagi disiarkan pada artikel yang ditulis. Anda dah tulis komen panjang-panjang, tapi pemilik blog tak approve lagi komen tersebut.

 

Mungkin ada sebab-sebab tertentu, pemilik blog belum bersedia untuk approve komen yang anda tulis.

 

3. Kualiti komen yang kita berikan 

Kalau kita menulis komen ala kadar, misalnya komen seperti

nice sharing

good post

setuju

 

Biasanya komen-komen seperti ini kalau kena delete pun tak rugi apa-apa. Komen sedemikian, walaupun ianya kelihatan memuji-muji, namun sebenarnya ia beri gambaran bahawa orang yang tulis komen tu sebenarnya tak baca pun apa yang ditulis oleh blogger tersebut.

 

Saya berpendapat, kalau anda masih lagi ingin gunakan kaedah ini, mungkin boleh luangkan masa dalam 20 – 30 minit sahaja dalam seminggu. Ataupun, kalau anda ada duit lebih, outsource sahaja kerja-kerja blog commenting ini kepada orang lain.

 

Namun anda perlu pastikan individu tersebut akan buat seperti yang anda terangkan.

Cara untuk dapatkan pembaca blog yang ramai

Kita akan terokai dan kenalpasti beberapa cara atau strategi lain, yang kita boleh gunakan bagi tujuan mendapatkan pembaca blog.

 

Kalau satu cara kurang berkesan, kita masih ada kaedah lain yang mungkin dapat memberikan impak yang lebih berkesan.

 

(1) Seni menghasilkan konten berkualiti tinggi

Ini merupakan perkara yang sangat penting dalam memastikan blog kita menerima banyak pembaca.

 

Artikel yang kita hasilkan mestilah betul-betul berkualiti tinggi.

 

Artikel yang berkualiti tinggi ini lazimnya

1. Kajian dibuat sebelum menghasilkan konten

2. Sarat dengan informasi berguna

3. Memberi nilai tambah kepada pembaca

4. Memberi jawapan kepada persoalan

5. Menyelesaikan masalah

6. Memberi hiburan kepada pembaca

Baca juga: Cara menghasilkan artikel yang berkualiti

 

(2) Penggunaan tajuk yang menarik

Tajuk artikel adalah perkara pertama yang akan dibaca.

 

Kalau artikel dah bagus, penggunaan tajuk juga mestilah perlu menarik. Cuba buat tajuk yang menimbulkan rasa ingin tahu dan menggalakkan pembaca untuk tekan klik dan teruskan pembacaan.

 

Kalau artikel bagus tapi tajuk kurang menarik, ia berisiko untuk tidak dibaca.

 

(3) Search Engine Optimization

Penulisan di blog mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aspek search engine optimisation.

 

Penulis blog yang faham, bagaimana peraturan SEO berfungsi, berpeluang untuk menerima limpahan trafik yang banyak dari halaman search engine.

 

Alang-alang menulis artikel blog, cuba usahakan supaya artikel kita tu berjaya masuk ke halaman pertama Google bagi kata kunci yang kita sasarkan.

 

(4) Database marketing

Bina database mereka yang pernah menjadi pembaca blog anda.

 

Cuba tawarkan mereka untuk join, sama ada

1. Mailing list (sistem autoresponder)

2. Group whatsapp

3. Group Telegram

4. Follow di media sosial

 

Kemudian dari masa ke masa, anda kongsi artikel terbaru yang anda siarkan diblog anda kepada mereka.

 

Sekiranya perkongsian anda masih lagi relevan dengan apa yang mereka minat, In Shaa Allah mereka ini akan kembali dan baca blog anda lagi.

 

(5) Analisa Data

Buat analisis terhadap prestasi blog anda dari masa ke masa.

 

Gunakan tools seperti Google Analytic dan juga Google Search Console bagi melihat perkembangan ataupun kelemahan yang mungkin ada pada blog yang anda bina.

 

Tools seperti yang disebutkan ini akan memberikan anda data yang berguna dan seterusnya terpulang kepada anda untuk menggunakan data tersebut.

 

(6) Upgrade konten

Kadang-kadang sampai satu tahap, kita akan dapati trafik blog kita mula menurun.

Artikel yang sebelum ini kita pernah tulis dengan susah payahnya, tiba-tiba sudah tak lagi menerima pembaca.

 

Bagaimana kalau situasi ini berlaku kepada anda?

Apa yang patut anda lakukan?

 

Sudah tentu, mula-mula sekali, kita perlu bertenang dan cuba cari, apakah punca masalah tersebut.

Kenapa dengan tak semena-mena, artikel kita yang dulunya ada ramai orang baca, tiba-tiba kehilangan pembaca.

Sebenarnya perkara ini bukanlah berlaku secara tiba-tiba.

Mungkin pada waktu tersebut anda terlalu sibuk menghasilkan konten baru, hingga anda tak perasan ada artikel lama pada blog anda yang sudah tak menerima sebarang trafik atau pembaca.

 

Kenapa artikel lama blog anda sudah tak menerima trafik dan pembaca?

Biasanya ia berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, contohnya seperti

 

1. Info yang anda pernah tulis sebelum ini sudah tidak relevan

Kali pertama anda menulis topik tersebut adalah pada tahun 2014. Katakanlah, sekarang kita berada di tahun 2023. Bermakna 9 tahun sudah berlalu.

 

Tak kan dalam masa 9 tahun ini, tak ada benda baru yang terjadi yang berkaitan dengan topik tersebut.

 

2. Ada blog lain yang boleh berikan info yang lebih lengkap

Biasanya, kita bukanlah satu-satunya penulis blog atau content creator yang akan bercakap mengenai sesuatu topik. Diluar sana, pasti ada orang lain yang turut membincangkan topik yang lebih kurang sama dengan kita.

 

Tak kiralah sama ada mereka ini menulis di blog, buat konten di media sosial ataupun buat video di platform perkongsian video. Asalkan ada orang lain yang buat konten yang lebih baik dan lebih lengkap dari yang kita hasilkan, satu masa nanti, konten kita pasti akan tenggelam dan orang sudah tak perlu baca apa yang kita tulis.

 

3. Ada blog lain yang mampu berikan maklumat terkini

Pembaca akan sentiasa memerlukan maklumat yang paling terkini.

 

Melainkan kalau pembaca tersebut berminat dengan sejarah. Mungkin dia nak tahu, apakah yang berlaku pada masa lampau.

 

Situasi akan jadi lebih buruk, sekiranya kebanyakkan konten dalam blog anda adalah tentang isu semasa atau perihal yang sedang viral. Nanti apabila perkara tersebut sudah tak relevan, ia pasti akan memberi impak negatif dari segi jumlah trafik.

 

Sebenarnya perkara ini bukan hanya terjadi kepada blog.

 

Platform lain juga akan melalui hal yang sama.

 

Sampai satu masa, orang dah tak perlukan lagi konten yang kita hasilkan sebabnya maklumat tersebut sudah kurang relevan.

 

Oleh yang demikian, kita perlu peka dengan sebarang perubahan yang berlaku, dan kita perlu pastikan konten yang kita siarkan sentiasa dikemaskini.

 

Setiap kali ada pertambahan maklumat baru, kita kemaskini artikel lama yang ada dalam blog kita dan masukkan input terbaru tersebut.

 

Jadi dekat sini, saya ingin menarik perhatian content creator yang lebih suka menghasilkan konten yang sedang viral atau menunggang isu yang sedang panas.

 

Saya bukan nak kata apa yang kalian buat itu salah.

Apa yang saya nak beritahu ialah, sampai satu masa, orang dah tak perlukan konten sedemikian.

 

Anda pula akan sentiasa perlu buat konten baru dan menunggang isu semasa.

Tak rasa ke benda ini memenatkan?

 

Jadi, apa kata pelbagaikan juga dengan menghasilkan konten yang ada potensi untuk jadi konten evergreen. Suatu konten yang orang akan tetap cari atau baca, walaupun masa telah berlalu 5 ke 10 tahun.

 

Apabila anda mempunyai banyak konten yang bersifat evergreen, setidak-tidaknya kalau anda tak hasilkan konten baru sekalipun, pendapatan anda dari konten tersebut tak akan berhenti secara tiba-tiba.

Yes, we are talking about pendapatan pasif yang disumbangkan menerusi aktiviti penulisan blog.

 

(7) Pelbagaikan format konten anda

Selain konten dalam bentuk artikel, anda boleh pelbagaikan bentuk konten anda.

 

Pada asasnya, anda sudah mempunyai idea konten. Justeru, apa yang perlu anda lakukan adalah persembahkan dalam bentuk yang berbeza, sama ada dalam bentuk rakaman audio (podcast) atau persembahkan ia dalam bentuk video.

 

Video ini kemudiannya anda boleh upload di platform perkongsian video seperti Youtube ataupun Tiktok.

 

Sudah tentu, matlamat asalnya adalah untuk memperkenalkan blog anda dan menarik trafik dari platform tersebut untuk masuk ke blog anda pula.

 

(8) Strategi media sosial

Kongsi link artikel blog anda di media sosial bagi mendapatkan perhatian para pengguna akaun media sosial. Kalau anda mempunyai pengikut di media sosial, bolehlah buat begini untuk beritahu mereka yang ada telah menyiarkan artikel baru.

 

Pada pandangan saya, media sosial yang sesuai untuk kita share link artikel adalah

1. Facebook Fanpage & Personal

2. LinkedIn

3. X (Twitter)

 

(9) Guna iklan berbayar

Apa kata anda pertimbangkan untuk guna kaedah iklan berbayar, bagi mempromosikan blog anda kepada kelompok audience yang mungkin sebelum ini tak pernah tahu mengenai kewujudan blog anda.

 

Walaubagaimanapun, anda perlu perhatikan prestasi iklan dan hanya berbelanja setakat mana yang anda sedia untuk habiskan. Boleh jadi, daripada kerja-kerja pengiklanan berbayar yang anda lakukan, ia langsung tak menyumbangkan sebarang hasil.

 

Jadi, gunakanlah duit yang anda bersedia untuk kehilangannya.

 

Penutup

Bagaimana cara untuk mendapatkan pembaca yang ramai untuk membaca blog kita?

Saya harap semoga persoalan tersebut sudahpun terjawab, melalui perkongsian disini.

 

Kita telahpun bincangkan 1 + 9 cara untuk mendapatkan pembaca yang ramai untuk baca blog kita.

 

Secara peribadi, saya juga tidaklah menggunakan kesemua cara yang dibincangkan dalam posting ini.

Ada kaedah yang saya rasa agak memerlukan masa yang banyak, dan saya sudah tak lagi menggunakan kaedah tersebut.

 

Sebaliknya, saya lebih fokus kepada kaedah seperti

1. Membina artikel yang berkualiti

2. Menggunakan tajuk yang meningkatkan rasa ingin tahu

3. Search Engine Optimization (SEO)

4. Upgrade konten secara kerap

5. Strategi tarik trafik di media sosial

 

Mendapatkan pembaca yang ramai adalah suatu usaha yang perlu dilakukan secara berterusan. Ia memerlukan masa yang agak lama untuk kita dapat melihat hasilnya.

 

Terutama sekali apabila kita ingin menghasilkan artikel yang benar-benar mempunyai kualiti yang tinggi.

 

Sebenarnya kita tak sepatutnya berkompromi terhadap aspek penghasilan artikel yang berkualiti.

 

Artikel yang dibina dengan separuh hati, dengan tiada langsung kajian dilakukan sebelum menyediakan artikel tersebut, ia bukan sahaja menyukarkan kita untuk mendapatkan pembaca, malahan pembaca sedia ada juga akan mula menjauhkan diri dari membaca blog kita.

 

Akhir kata,

Menulis artikel blog yang akan dibaca oleh semua orang adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Menulis sesuatu topik yang tak relevan dengan kategori pembaca yang kita sasarkan adalah sesuatu yang sia-sia.

Menulis topik yang hanya kita sahaja yang minat dengan topik tersebut, tidak akan menarik perhatian pembaca.

 

Oleh itu, rancang strategi dan jenis konten yang ingin kita tulis dan siarkan.

 

Kita fikirkan, apakah kategori pembaca yang kita mahukan untuk membaca blog kita.

Kemudian, kita tulis topik yang relevan dengan kategori pembaca yang kita sasarkan.

Buat artikel yang berkualiti, bernilai dan bermanfaat.

 

In Shaa Allah pembaca akan datang ke blog anda dan membaca perkongsian yang anda lakukan.

 

Disamping itu, anda juga perlu lakukan kerja-kerja pemasaran (blog marketing) bagi mendapatkan pembaca. Kalau betul tak ada masa untuk buat kerja marketing sekalipun, setidak-tidaknya tulislah artikel tersebut mengikut peraturan dan formula search engine optimization (SEO).

 

Setidak-tidaknya, anda akan masih ada peluang untuk dapatkan pembaca yang berpunca dari halaman search engine.

 

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.

 

Exit mobile version