Blog Sabree Hussin

Bagaimana cara menghasilkan blog yang mempunyai ramai pengunjung dan trafik yang tinggi?

Bagi pemilik blog dan juga laman web, mempunyai trafik yang tinggi merupakan sesuatu yang SANGAT PENTING.

 

Anda nak buat duit dengan blog yang anda miliki? Maka perkara yang perlu anda ambil perhatian serius adalah tentang trafik. Berapa banyak trafik yang masuk ke laman blog anda dalam sehari? Dari trafik yang keluar masuk inilah, akan ada diantaranya yang akan menyumbangkan pendapatan kepada anda.

Kita tak boleh nampak trafik blog kita. Tapi, kita boleh gunakan sistem tracking untuk melihat sebanyak mana trafik yang masuk ke website kita. Kebiasaannya, platform blogging mempunyai sistem yang boleh dijadikan sistem tracking untuk kita tahu berapa banyak trafik blog kita.

 

Bagi pengguna wordpress, boleh pasang plugin Jetpack manakala pengguna blogspot, boleh semak traffik menerusi sistem statistik yang disediakan secara percuma sahaja.

 

Blog ini, pernah menerima limpahan trafik sekitar 3,000 – 5,000 pelawat setiap hari. Saya kata PERNAH, sebab ia berlaku satu ketika dulu. Saya cukup seronok ketika itu. Trafik yang banyak sepatutnya memberi rezeki yang banyak juga. Saya teringat kata-kata, tetamu (trafik) itu perlu diraikan sebabnya mereka ni bawa rezeki.

 

Itulah yang saya alami.

 

Walaubagaimanapun, trafik yang terlalu banyak menyebabkan blog ini kehabisan bandwidth lebih cepat. Saya beberapa kali terpaksa topup bandwidth, dan oleh kerana selalu sangat berlaku peningkatan trafik, saya terpaksa upgrade pakej hosting yang saya langgan dari Netkl.

 

Kemudian pada satu hari, seingat saya mungkin selepas beberapa bulan saya upgrade pakej hosting, saya dapati trafik blog ini jatuh dengan mendadak. Daripada 3,000++ jatuh terus kepada 1,000++ sahaja! Apa sudah jadi?

 

Saya menjangkakan trafik blog ini akan meningkat sehingga 5,000++ konsisten setiap hari… sampailah satu masa nanti, ia akan capai 10,000++ trafik dalam sehari. Rupanya sangkaan saya meleset! Trafik blog ni makin jatuh, aduhai…

 

Saya cuba dapatkan jawapan, apa sebenarnya yang berlaku, dan saya akhirnya come out with beberapa teori.

 

Teori pertama – Google ada update algorithma

Setiap kali google update algorithma, akan ada beberapa perubahan yang akan saya alami. Misalnya, artikel saya yang sebelum ni berada di muka surat pertama google, ada yang tercampak ke muka surat belakang. Ini menyebabkan saya kehilangan potential traffic.

 

Pengguna internet tak suka nak cari maklumat sampai ke muka surat ketiga, empat dan seterusnya.

 

Teori kedua – Ini adalah kesan pemasangan plugin security

Apabila blog ini makin berkembang, makin banyak trafik, saya makin risaukan bab keselamatan. Sebelum berlaku sebarang hal-hal yang tak diingini, lebih baik saya ambil langkah berjaga-jaga.

 

Saya juga telah menambah plugin khusus untuk meningkatkan tahap keselamatan blog ini. Menggunakan plugin Wordfence Security, saya telah block banyak IP address yang berasal dari luar negara dan IP adress yang saya rasa ianya mencurigakan. Kesannya, jika pengguna internet berada di lokasi yang telah saya blocked IP Adressnya, mereka tak akan dapat baca blog saya.

 

Memang saya akan kehilangan pelawat dari lokasi tersebut, tetapi saya rasa itu lebih baik, daripada saya biar mereka masuk ke blog saya dan seterusnya mereka buat komen spam banyak-banyak.

 

Teori ketiga – Topik yang saya pernah tulis sebelum ini sudah tak diminati

Dulu saya suka tulis tentang peluang perniagaan dalam bisnes simkad Tone Excel. Sasaran pembaca blog ini juga adalah mereka yang buat bisnes Tone Excel.

 

Oleh kerana sekarang ni, bisnes Tone Excel dah mula stagnant, ada juga ahli yang dah stop terus promosikan simkad ini, jadi secara tak langsung, pembaca saya yang terdiri dari penggiat bisnes ni juga akan terhenti. Jadi saya kehilangan pembaca disitu.

 

Itu sebab pemilihan topik juga merupakan satu aspek yang penting dalam pembangunan sesebuah blog. Anda boleh fokus untuk tulis

i. Topik Viral – Tapi viral ini sekejap sahaja. Lepas tu orang akan mula fokus kepada perkara viral yang lain.

ii. Topik Semasa – Setiap hari akan ada berita baru, dan berita semasa hari ini, akan jadi sejarah di hari esok.

iii. Topik Evergreen – Topik yang sentiasa ada pembaca. Mungkin pembacanya tak ramai, tetapi topik seperti ini akan sentiasa dicari-cari.

 

Anda pilihlah mana-mana satu topik yang menepati citarasa anda. Kalau trafik bukan satu perkara yang menjadi prioriti kepada anda, boleh tulis ikut suka. Eventually blog anda akan menerima pengunjung juga.

 

Jadi kat sini, saya nak kongsikan beberapa tips untuk anda perhatikan dan ambil tindakan jika perlu. In Shaa Allah tips disini dapat bantu anda hasilkan blog yang ada banyak trafik.

 

Tips 1 – Sentiasa alert dengan perubahan algorithma Google

Daripada ketiga-tiga teori yang saya sebutkan sebelum ini, saya rasa, yang menyebabkan blog ini kehilangan trafik yang banyak adalah disebabkan oleh google telah mengubah algorithma mereka.

 

Perubahan-perubahan yang google lakukan, kebiasaannya adalah bagi tujuan memastikan pengguna internet, yang selalu mencari maklumat menggunakan google search, akan mendapat hasil carian yang lebih baik.

Kalau sebelum ini, mungkin anda pernah buat carian maklumat di google, dan hasilnya anda asyik dapat senarai laman web yang entah apa-apa, mungkin sekarang ini, laman web yang dipaparkan oleh google lebih berguna.

 

Saya banyak main SEO sebelum ini. Artikel yang saya siarkan tu pula, kebanyakkannya adalah artikel khusus untuk jual barang atau promosi produk affiliate. Artikel jenis ini, tak begitu disukai oleh google. Google lebih suka kalau artikel yang dihasilkan penuh dengan informasi, dan bukannya semata-mata nak jual barang atau promosikan produk.

 

Jadi apa yang saya buat? Saya edit semula artikel-artikel lama yang ada dalam blog ni. Mana yang terlalu pendek, saya jadikan ia lebih panjang. Kalau sebelum ini artikel lama dalam blog ni cuma ada 300 patah perkataan, saya edit bagi jadi 2,000 – 3,000 patah perkataan.

 

Mana-mana artikel yang terlalu hard sell, saya jadikan ianya soft sell.

 

Dalam situasi ini, saya mementingkan aspek user experience. Saya nak pembaca atau pelawat blog ini, meluangkan masa yang lama dalam blog ini, untuk baca apa yang saya tulis. Kiranya, saya ingin jadikan blog ini sebagai blog yang informatif.

 

Apabila ini terjadi, secara tak langsung artikel-artikel lama, yang sebelum ini cukup susah nak masuk ke halaman pertama google, dapat masuk ke halaman pertama dengan lebih mudah.

 

Tips 2 – Teknik Search Engine Optimization

Kalau tak pandai SEO? Pergi belajar. Beli buku, ebook dan kalau perlu cari guru, pergi cari guru. Kita belajar teknik SEO, bukan semata-mata sebab nak pastikan artikel kita berjaya masuk ke page pertama google, sebaliknya kita nak buat sales, nak dapatkan komisen dan sebagainya.

 

Walaupun sekarang ni, kita juga boleh tarik trafik dari laman media social, namun teknik SEO juga masih lagi penting dan relevan. Selagi mana pengguna internet masih lagi menggunakan search engine untuk mencari maklumat di internet, maka selagi itu teknik SEO akan sentiasa berguna.

Baca juga: Panduan SEO untuk blog

 

Lagi satu, bila dah susah payah belajar SEO, susah payah dapatkan kedudukan yang bagus di halaman carian google, kena belajar juga teknik penulisan dan copywriting. Teknik copywriting ini, jika digunakan dengan betul, akan membuat pembaca lebih yakin untuk beli barang kita, percaya apa yang kita cerita, dan mendapatkan khidmat servis dari kita.

 

Tips 3 – Kajian kata kunci

Setiap kata kunci ada kelebihan dan kegunaannya yang tersendiri. Terpulang pada kita untuk pilih dan kenalpasti, keyword apa yang kita nak sasarkan.

 

Setiap pengguna internet, akan menaip kata kunci (atau keyword) tertentu apabila mereka nak cari maklumat. Misalnya, kata kunci seperti dibawah.

 

Tutorial Sun Mobile Legends Bang Bang – Orang yang main game Mobile Legends, dan yang minat nak guna watak Sun adalah orang yang paling tinggi kemungkinannya akan guna keyword ini. Apakah keyword ini bakal beri keuntungan kepada anda?

 

Cara sembuhkan buasir dalam masa cepat – Orang yang ada buasir biasanya akan buat carian guna kata kunci ini. Kata kunci ini menunjukkan orang yang cari maklumat ini ada masalah dan dia mahukan penyelesaian yang pantas. Jika anda boleh tunjukkan apa penyelesaiannya, sama ada menggunakan ubat atau kaedah tradisional, maka potensi untuk buat duit itu memang ada.

 

Cakap tentang keyword, salah satu tools yang saya suka guna adalah Google Keyword Planner. Lihat screenshot dibawah.

Kata kunci “kerja dari rumah” ada carian purata sebanyak 6,600. Jika blog kita berjaya masuk ke page pertama Google untuk keyword tersebut, 6,600 itu adalah potensi trafik yang bakal masuk ke blog kita.

 

Mudah bukan konsep dia?

 

Apabila kita rujuk pada data yang disediakan oleh google, kita dah boleh anggarkan, berapa banyak pengunjung dan trafik blog yang bakal kita dapat dalam satu-satu masa. Tak perlu lagi nak berteka-teki sendiri, dan mengharap ada yang akan masuk ke blog kita secara automatik.

 

Boleh jadi, masalah blog yang tak ada trafik atau kurang trafik ni berpunca daripada penulis blog tu sendiri yang terlalu seronok menulis topik atau perkara-perkara yang pengguna internet tak berminat nak tahu.

 

Tips 4 – Blog commenting

Ini salah satu cara paling senang, tapi leceh, kalau nak dapatkan trafik ke blog kita. Pergi buat blog commenting. Masuk ke blog orang lain, tinggalkan komen yang menarik, bernas, unik, provokasi, dan selepas itu, tunggulah kunjungan balas dari pemilik blog tersebut.

 

Kalau nak buat kaedah ini, cuba anda buat satu senarai dulu. Kumpulkan sekurang-kurangnya 100 buah blog yang ada di Malaysia. Pastikan blog tersebut memang aktif, selalu dikemaskinikan dan ada ramai pembaca. Rajin-rajinkan diri anda untuk komen di blog tersebut.

 

Saya juga ada senarai lebih kurang 200 buah blog. Kalau ada masa, baru saya buat blog commenting, dan kalau tak ada masa, memang saya akan tinggalkan sahaja teknik ini. Teknik ini berkesan, namun ianya time consuming.

 

Bila nak komen dekat blog orang tu pun kena ada kaedahnya juga. Bukannya boleh komen yang merapu-rapu, atau setakat komen

Baguslah artikel ni…

Terima kasih kerana tulis artikel ni…

Saya setuju dengan semua hujah penulis…

 

Komen sedemikian, walaupun nampak memuji-muji, namun ia lebih kepada satu kaedah spam sahaja. Kalau nak komen tu biarlah bersesuaian dengan artikel yang dihasilkan. Macam mana? Kenalah baca dulu artikel yang ditulis oleh blogger tersebut, dan bila nak komen tu, komen something yang memberi nilai tambah, mungkin boleh bagi pendapat, ataupun menyatakan sama ada anda setuju atau tak setuju. Jika setuju kenapa, dan kalau tak setuju, kenapa?

 

Dari komen ini, barulah ianya akan dapat perhatian penulis blog tersebut dan juga pembaca setia blog itu.

 

Tips 5 – Jadi penulis jemputan di blog milik orang lain

Kaedah ini banyak diamalkan oleh penulis blog luar negara, terutamanya di US. Kalau di Malaysia, juga ada diamalkan, cuma ianya tak begitu meluas.

 

Mungkin sebab trend penulisan blog kat negara kita ni, pemilik blog kalau boleh nak kekalkan identiti blog miliknya. Lebih-lebih lagi kalau blog tu adalah blog personal. Kalau blog personal, tiba-tiba ada guestpost dari orang lain, dibimbangi ia akan menyebabkan suara atau identiti blog tersebut akan sedikit berubah.

 

Saya sebelum ini pernah juga aktif buat benda ni. Jadi penulis jemputan di blog milik orang lain. Ada artikel yang saya tulis, telah dipadam, dan ada juga artikel yang saya pernah tulis, telah di edit oleh pemilik blog tersebut. Pemilik blog tersebut tak beri kredit langsung, dengan mengatakan artikel tersebut ditulis oleh saya.

 

Awal-awal dulu, ada la juga diletakkan ayat kredit “… artikel ini ditulis oleh penulis jemputan saudara Sabree Hussin”. Sekarang ni, ayat tu dah kena buang dah. Seolah-olah macam artikel tersebut ditulis oleh pemilik blog tu.

 

Dari pengalaman saya yang lepas, kaedah guestpost ini memang beri impak untuk naikkan trafik, cuma kaedah ini saya dah tak amalkan sekarang ni. Dulu saya tak ada banyak blog macam sekarang ni, jadi bolehlah buat. Sekarang ni, saya ada beberapa blog yang saya perlu jaga, jadi macam tak cukup masa nak jadi penulis jemputan kat blog orang lain.

 

Tips 6 – FOKUS pada pembangunan satu blog dalam satu-satu masa

Bila kita cuma ada satu blog sahaja yang perlu dijaga, kita dapat berikan 100% tumpuan. Tetapi, kalau kita ada dua blog dan blog tersebut dalam niche yang berbeza, pada masa tu kita perlu bahagikan fokus kita, sama ada ikut nisbah 50-50, 60-40 atau mungkin 70-30.

 

Biasanya, kalau blog yang masih baru, kita tak akan berikan tumpuan sangat. Lebih baik bagi tumpuan yang lebih kepada blog yang lebih lama, dan lagi satu, blog yang lebih berusia selalunya akan berikan pulangan yang lebih baik.

 

Masalah sukar nak fokus ini juga berlaku kepada blogger yang lebih berpengalaman. Lagi banyak pengalaman dalam bidang ni, pada waktu tu, kita akan nampak betapa banyaknya ruang-ruang yang kita boleh masuk untuk hasilkan pendapatan.

Sedar-sedar, dalam satu-satu masa, kita ada lebih daripada 20 buah projek dengan 20 buah blog yang berbeza. Kalau kesemua 20 buah projek ini berjaya dan menyumbangkan pendapatan, ok la juga. Macam mana kalau dari 20 buah projek ni, cuma 2 atau 3 sahaja yang perform? Akhirnya projek-projek ini hanya mengambil masa kita, tanpa beri sebarang pulangan atau hasil.

 

Kalau anda nak buat banyak blog dalam satu masa juga tak ada masalah. Apa yang penting sekali ialah anda tahu bagaimana nak bahagikan kerja, dan kalau boleh cuba buat supaya setiap blog saling mempromosikan blog-blog yang anda ada.

 

Konsep ini dipanggil satellite blog.

Baca juga: Jika anda seorang Blogger, anda patut pernah dengar istilah “Satellite Blog”

 

Apa yang saya perasan, selepas saya menggunakan teknik satellite blog ni, bukan sahaja trafik blog saya yang makin bertambah, malahan pendapatan saya menerusi program affiliate juga menunjukkan adanya peningkatan. Kerjanya memang agak banyak, tapi hasilnya memang cukup menggembirakan.

 

Hasilkan konten sebanyak mungkin!

Konten atau pengisian blog adalah perkara yang akan dilihat oleh pembaca. Kita andaikan setiap satu artikel yang anda tulis, akan memberi seorang pembaca. Justeru, kalau anda mahukan ribu-ribu pembaca, berapa banyak artikel yang anda perlu hasilkan?

 

Jawapannya? Ribu-ribu artikel juga! Ini bukan formula sebenar. Saya saja reka-reka formula ini. Hakikatnya, selepas beberapa tahun menulis di blog, rupa-rupanya saya dah menerbitkan lebih 1,000 artikel di internet. Artikel tersebut saya siarkan dalam blog ini, dan juga di blog-blog lain yang saya miliki.

 

(ada juga blog saya, saya tidak menggunakan nama sebenar)

 

Sekiranya anda ada beribu-ribu artikel, sudah tentu, anda juga akan dapat beribu-ribu orang pembaca yang masuk ke blog anda.

 

Tips 7 – Sediakan TO-DO-LIST atau senarai perkara yang ingin dicapai

Tahukah anda, apa sebenarnya tugas seorang blogger? Saya pernah tulis tentang kerja seorang blogger dalam entri berjudul “Apa sebenarnya bidang kerja seorang blogger?

 

Kerja UTAMA adalah untuk menulis. Selain daripada kerja-kerja utama ini, ada perkara-perkara lain juga yang perlu dilakukan. Saya dah tulis dengan agak panjang dalam artikel tersebut.

 

Selain menulis, blogger juga perlu lakukan kerja-kerja pemasaran dan kerja-kerja yang boleh membawa masuk pembaca atau trafik dalam blog. Misalnya buat blog commenting, update social media dan sebagainya. Benda ni sebenarnya adalah salah satu perkara rutin yang perlu dilakukan oleh penulis blog, kalau serius nak ada banyak trafik masuk dalam blog.

 

Oleh sebab ianya perkara rutin, kadang-kadang kita rasa malas nak buat. Kemudian kita mula bertangguh, dan satu hari kita terlupa terus nak buat perkara-perkara tu semua. Jadi, untuk elakkan jadi perkara macam ni, kita siapkan senarai to-do-list untuk kita buat setiap hari.

 

Mulakan dengan sikit, kemudian tambah setiap hari, dan konsisten pada satu angka. Setiap hari akan tinggalkan komen pada 20 buah blog. Esok tambah kepada 21, esoknya jadi 22, 25, dan seterusnya. Kalau rasa macam malas, pastikan tak kurang dari satu nombor. 15 buah blog adalah angka wajib buat. Itu contoh sahaja. Anda boleh tukar dan sesuaikan dengan cara anda sendiri.

 

Tips yang saya kongsikan ini, sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai bajet untuk tujuan pengiklanan. Akan tetapi, kalau anda ada bajet untuk tujuan iklan, dan tak kisah untuk berbelanja bagi tujuan iklan, guna sahaja teknik berbayar.

 

Youtube Ads, Google Ads, FBAds, dan sebagainya. Ada terlalu banyak yang anda boleh gunakan. Semua ini boleh berikan anda trafik dengan segera, namun kena pastikanlah setiap sen yang dibelanjakan tu berbaloi dan pulang modal.

 

Oleh sebab saya ni agak kedekut, jadi kerja-kerja tarik trafik, semua saya buat sendiri secara manual. Ya, ianya sangat mengambil masa, namun apa yang pasti, bila saya buat sendiri semua sekali, saya dapat belajar banyak benda dalam masa yang sama.

 

Selamat mencuba, dan In Shaa Allah, lepas ni blog anda pasti akan terima banyak trafik.

 

 

Exit mobile version