Blog Sabree Hussin

Apa sebenarnya bidang kerja seorang blogger?

Ada ke pembaca dan pelawat blog ni yang baru merancang nak jadi seorang penulis blog? Kalau ada yang baru nak jadi penulis blog, mungkin boleh luangkan sikit masa untuk baca perkongsian saya ini.

 

Kerja sebagai seorang penulis blog, atau blogger, tidaklah begitu popular. Cabaran yang paling besar, untuk jadi seorang penulis blog sepenuh masa, adalah untuk mengekalkan semangat, motivasi dan stamina untuk terus menulis dalam blognya.

Ya, menjadi penulis blog, memerlukan tenaga dan stamina yang banyak. Disebalik kejayaan sesebuah blog, ada banyak perkara yang perlu dikorbankan atau yang perlu dilakukan oleh pemiliknya. Jika blog tersebut merupakan blog personal, lagi besar cabarannya untuk bersaing dengan blog-blog yang ada di alam maya dan kekal relevan dengan selera pembaca.

 

Menjadi orang baru dalam industri, memang akan ada banyak perkara yang kita tak tau dan tak pasti. Macam mana saya boleh tahu benda ni? Simple… dulu pun saya pernah jadi orang baru. Saya buat apa yang saya rasa betul, dan tak semua yang saya buat tu menjadi.

 

Oleh sebab saya dah beberapa kali menerima pertanyaan daripada pembaca blog ni, yang juga minat nak jadi seorang blogger, jadi saya rasa ada baiknya saya hasilkan artikel ini sebagai rujukan. Jadi lepas ni, tak perlulah saya asyik nak jawab soalan yang sama berulang-ulang kali.

 

Sebenarnya saya ingatkan bila dah masuk tahun 2018 ni, dah tak ada orang yang minat nak jadi blogger. Maklumlah… sekarang ni kan zaman Instagram, FB, twitter dan lain-lain social media. Siapalah yang nak pandang pada blog?

 

Ternyata saya tersilap.

 

Apa sebenarnya bidang tugas seorang penulis blog?

Tugas utama seorang blogger, adalah menulis artikel.

 

Individu yang tak minat menulis, mungkin akan dapati kerja sebagai seorang blogger ni susah dan membosankan. Susah nak cari idea, susah nak update blog, susah nak beri komitmen kepada kerjanya.

 

Setakat hari ini, saya masih belum pernah jumpa lagi mana-mana syarikat, yang mengambil pekerja untuk jadi seorang blogger sepenuh masa di syarikatnya. Tetapi, kalau syarikat yang membayar upah kepada blogger sepenuh masa, untuk menulis tentang syarikat dan perniagaannya, itu biasa saya jumpa.

 

Kebanyakkan blogger yang saya kenal, adalah seorang freelancer, atau pekerja bebas. Mereka tidak terikat untuk bekerja hanya dengan sebuah syarikat sahaja. Oleh itu, kalau kita cerita dari aspek pendapatan, seseorang blogger tu boleh mempunyai pendapatan yang sangat lumayan, boleh juga langsung tidak ada sebarang pendapatan, ataupun berada di peringkat pertengahan. Ada pendapatan tapi tak terlalu banyak dan tidak juga terlalu sedikit.

 

(1) Menulis artikel

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, tugas hakiki seorang penulis blog adalah menulis artikel. Artikel tersebut, boleh jadi artikel yang panjang, sederhana atau pendek.

 

Kadangkala, dalam artikel boleh dimuatkan juga dengan penggunaan imej atau video. Ikutlah kepada kesesuaian dan matlamat artikel tersebut. Untuk tidak menjadikan blognya terlalu bosan, boleh pelbagaikan cara penyampaian.

 

Artikel ini pula ada pelbagai jenis.

 

Boleh jadi artikel dalam bentuk cerita. Artikel seperti ini mudah untuk dilakukan. Kita boleh bercerita tentang pengalaman kita, pengalaman kita menggunakan sesuatu produk atau servis, cerita tentang apa yang berlaku pada hari tertentu, ataupun kita bercerita tentang manusia yang kita kenali sama ada secara langsung atau tak langsung.

 

Artikel dalam bentuk berita. Kita menulis dengan gaya untuk melaporkan tentang sesuatu perkara yang terjadi. Rumah dimasukki ular. Berlaku banjir ditempat tertentu. Kemalangan jalan raya dan sebagainya.

 

Artikel berbentuk rencana. Artikel seperti ini, biasanya ditulis dengan pendekatan yang agak ilmiah. Untuk menghasilkan artikel seperti ini, biasanya blogger itu sendiri perlu mempunyai pengetahuan tentang topik tersebut.

 

Artikel fiksyen. Artikel jenis ini, lebih kepada artikel jenis cerita, namun ia adalah cerita rekaan semata-mata. Mungkin anda menulis tentang cerita-cerita seram, cerita ganas, thriller dan sebagainya.

 

Itu benda pertama yang kita kena buat. Menulis. Selagi kita tak mula menulis, selagi itu, apa yang ada dalam kepala kita, tak beri sebarang manfaat pada kita. Kadang-kadang saya pun ada masalah macam ni, ada terlalu banyak yang saya nak tulis, sampaikan saya jadi tak tau, nak tulis yang mana satu dulu.

 

Kalau perkara yang sama terjadi pada anda, saranan saya, tulislah one article at a time. In Shaa Allah lepas ni blog anda akan mempunyai banyak artikel.

 

(2) Membaca

Seorang blogger juga perlu jadi seorang yang suka membaca. Mereka perlu cakna dengan isu-isu yang berlaku disekitarnya.

 

Bacalah semua jenis bahan bacaan yang boleh diperolehi, sama ada buku, ebook, ataupun artikel-artikel yang terdapat diinternet. Semua ini, akan dapat dijadikan sumber dan cetusan idea untuk kita hasilkan artikel baru bagi dimuatkan dalam blog kita.

 

Andai kata pada satu hari nanti, anda mengalami sindrom Writer’s Block, boleh jadi ini berlaku disebabkan anda kurang membaca.

 

(3) Mendapatkan pembaca baru dan mengekalkan pembaca sedia ada

Apalah gunanya kita menulis, jika tak ada yang minat nak membaca hasil penulisan kita. Sudah tentu, bila kita menulis, kita mahukan hasil karya kita itu dibaca oleh golongan yang kita sasarkan.

 

Mungkin anda mempunyai idea yang sangat bernas yang membincangkan sesuatu topik, dan idea tersebut mampu mengubah nasib seseorang, dari yang tak berapa baik kepada yang lebih baik. Atau boleh jadi anda ada idea yang dapat membantu golongan tertentu menambahkan pendapatannya.

 

Artikel yang telah anda hasilkan, wajar ada pembacanya. Maka tugas seterusnya adalah untuk mendapatkan pembaca bagi membaca hasil tulisan anda. Disamping anda berusaha untuk mendapatkan pembaca yang baru, pada masa yang sama, anda juga perlu kekalkan pembaca sedia ada, supaya mereka menjadi pembaca setia blog anda.

 

Satu yang anda perlu tahu, dari kalangan pembaca dan pelawat yang masuk ke blog anda tu nanti, akan ada diantaranya yang

  1. Menekan klik pada iklan-iklan yang anda siarkan lalu memberi anda pendapatan
  2. Membeli produk yang anda promosikan lalu memberi anda komisen
  3. Melanggan servis yang anda tawarkan dan memberi anda job

 

Hargai setiap pembaca dan pelawat yang masuk ke blog kita tu ya.

 

(4) Membuat kerja-kerja promosi blog dan artikel

Kalau kita biar je blog kita, tanpa ada sebarang aktiviti promosi, biasanya memang susah untuk orang kenali blog kita. Setidak-tidaknya, kita mesti promosikan blog kita, walaupun hanya dengan menggunakan cara percuma.

 

Cara percuma yang saya maksudkan adalah seperti buat blogwalking (atau blog commenting), kongsi artikel di social media. Bagi memastikan trafik yang masuk ke blog kita sentiasa tinggi, maka kerja-kerja pemasaran ni jangan diabaikan.

 

(5) Menjual

Inilah sumber pendapatan bagi blog kita. Menulis blog tu memang seronok. Kita dapat mengekspresikan diri kita, berkongsi idea, meluahkan pendapat, dan bercerita tentang kisah-kisah menarik yang terjadi disekitar kita.

 

Tetapi, sekiranya anda ingin menjadikan blogging itu sebagai satu kerjaya, maka anda juga perlu memikarkan juga bagaimana anda ingin jadikan kerjaya ini satu kerjaya yang dapat memberikan anda pendapatan. Ada bil yang kena bayar, ada mulut yang perlu disuapkan dengan makanan, dan ada keperluan asas yang perlu disediakan.

 

Sambil kita buat apa yang kita suka dengan menjadi penulis blog, pada masa yang sama, kena fikirkan juga, bagaimana cara untuk menjana pendapatan dengan blog kita tu.

 

Saya sendiri, telah mencuba beberapa kaedah, antaranya menawarkan servis penulisan artikel, menjual produk fizikal dan digital sebagai ejen affiliate, serta menyertai program pengiklanan. Alhamdulillah, semua ini sememangnya telah menyumbangkan pendapatan kepada saya.

 

(6) Mendominasi muka surat pertama enjin carian google

Bagi memastikan, anda akan dapat jumlah pembaca yang sentiasa ramai, pendapatan dari kerja-kerja penulisan blog yang stabil, maka anda perlu pastikan yang artikel yang telah ditulis sebelum ini, berjaya masuk ke halaman pertama google bagi keyword tertentu yang anda sasarkan.

 

Contohnya, kalau blog yang anda tulis, adalah tentang bisnes homestay, maka anda perlu pastikan apabila ada pengguna internet yang mencari maklumat tentang bisnes homestay menerusi laman carian google, blog anda adalah antara blog yang akan tersenarai di muka surat pertama.

 

Walaupun ada sesetengah penulis blog yang tak begitu ambil pusing tentang aspek mendominasi enjin carian google, namun pada saya, ini juga adalah satu langkah yang penting. Saya percaya, anda pasti tak mahu asyik copy paste link url blog anda di social media setiap masa.

 

Apa kata anda dapatkan pelawat yang masuk ke blog anda secara organik! Ini boleh dicapai apabila anda menggunakan teknik pemasaran Search Engine Optimization untuk blog anda.

 

(7) Pergi ke event dan membuat liputan tentang peristiwa

Ini satu lagi perkara yang anda mungkin akan perlu lakukan di masa akan datang. Bila blog anda mula dikenali dan ada banyak syarikat diluar sana yang nampak potensi beriklan di blog anda, pada masa itu anda akan mula mendapat banyak jemputan untuk ke pelbagai acara.

 

Sama ada acara pelancaran produk baru, sambutan hari lahir, konsert dan sebagainya.

Program-program macam ni memang seronok kalau kita dapat join. Setidak-tidaknya, boleh dapat kenal dengan kawan-kawan baru, sometime kita dapat enjoy makan yang sedap-sedap, dan kita ada peluang untuk menulis sesuatu cerita dengan lebih baik, sebab kita berada ditempat ianya berlaku.

 

Walaubagaimanapun, sesetengah event, kita dijemput secara percuma sahaja, dan penganjur mengharapkan kita menulis tentang program mereka juga tanpa sebarang bayaran. Apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini, anda sendiri tentukan, sama ada ingin sertai ataupun tidak.

 

Kalau rasa macam ianya tak berbaloi, maka tak perlulah buat. Tapi kalau rasa ianya akan memberi impak kepada kerja anda sebagai seorang blogger di masa akan datang, maka bolehlah join.

 

Pada asasnya, 7 perkara ini, adalah antara perkara yang perlu dilakukan oleh seorang blogger. Setiap hari. Dalam banyak-banyak ni, apa yang paling susah?

 

Saya rasa, yang paling susah adalah membaca. Bila saya sedang sibuk menulis, tiba-tiba saya rasa saya nak membaca, kemudian bila saya sedang khusyuk membaca, tiba-tiba saya rasa nak menulis sekarang juga. Ha… macam tu la.

 

Apa pun, setiap orang ada kaedah dan cara penulisan dia sendiri. Tujuh perkara yang saya sebutkan dalam ini, adalah perkara yang memang saya sendiri amalkan. Anda boleh ikuti cara saya ini, jika sesuai dengan anda. Jika anda rasa ianya kurang sesuai, tak perlu khuatir, sebaliknya anda carilah satu cara yang paling kena dengan jiwa anda!

 

 

Exit mobile version