Blog Sabree Hussin

Apa Fungsi Blog dan Manfaatnya Kepada Individu serta Pemilik Bisnes

Apakah fungsi sebuah blog?

Pernah tak anda terfikir, apakah sebenarnya fungsi sebuah blog?

 

Boleh jadi ada terlintas difikiran anda, sama ada blog masih lagi relevan ataupun tidak. Memandangkan trend dan tingkah laku pengguna internet telah banyak berubah sejajar dengan berkembangnya platform media sosial dan juga platform perkongsian video.

 

Aktiviti blogging merupakan satu cara yang cukup popular bagi individu dan juga pemilik bisnes untuk berkongsi maklumat, menunjukkan kepakaran dalam sesuatu bidang dan untuk berhubung dengan audiens.

Walaubagaimanapun, masih terdapat segelintir yang masih kurang yakin dengan fungsi dan kelebihan yang boleh dimainkan oleh platform blog. Maklumlah, dekat luar sana ada banyak pilihan platform yang tersedia didepan mata.

 

Pada hari ini, kita ada pilihan sama ada ingin membangunkan channel Youtube, Facebook Fanpage, Instagram, Twitter ataupun channel Tiktok.

 

Kalau dulu mungkin kita tak banyak pilihan. Saya merujuk kepada senario pada tahun 2010 ketika saya baru mula nak aktif menulis diblog.

 

Sebenarnya persoalan mengenai fungsi blog memang wajar untuk diketengahkan. Sudah tentu, kita tak nak buang masa untuk bangunkan suatu platform yang akhirnya tak memberikan hasil seperti yang kita harap-harapkan.

 

Posting kali ini, kita akan bincangkan topik mengenai fungsi platform blog, kelebihan dan kekurangannya dan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada individu dan juga pemilik bisnes.

Bagaimana cara anda menggunakan dan membangunkan platform ini, akan memberi kesan yang berbeza kepada pemiliknya dimasa akan datang.

 

Kalau cara anda bina dan membangunkan blog anda betul, saya percaya anda juga pasti akan dapat menuai hasil yang baik. Tapi kalau anda buat secara ala kadar, tak ada strategi, seperti tak ada hala tuju, ia mungkin akan jadi tak lebih sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang semata.

 

Yang bermasalah itu bukannya blog, tapi… (anda pasti tahu siapa yang saya maksudkan)

 

Fungsi blog

Kita lihat apakah antara fungsi dan peranan yang boleh dimainkan oleh platform blog.

 

(1) Kongsi informasi dan pengetahuan

Blog merupakan platform yang sangat baik untuk berkongsi idea, pandangan, pendapat, dan pengalaman terhadap sesuatu topik ataupun isu.

 

Melalui platform blog, kita bebas untuk menghasilkan karya mengikut kreativiti kita. Kita boleh masukkan imej yang bersesuaian dalam artikel yang ditulis, boleh masukkan video, info-grafik dan sebagainya.

Ruang untuk mempersembahkan karya kita mengikut bentuk yang kita suka sangat terbuka luas, dan ciri ini tak terdapat pada kebanyakkan platform media sosial.

 

Malahan ada platform media sosial yang meletakkan had jumlah bilangan patah perkataan. Kalau anda nak tulis ayat panjang-panjang, anda perlu langgan servis berbayar yang mereka tawarkan.

 

Selain itu, perkongsian di blog ini juga biasanya lebih selamat berbanding posting di media sosial. Sebagai contoh, kalau posting yang kita buat di media sosial, ada menyinggung perasaan sesetengah kelompok, posting tersebut boleh di report dan akaun media sosial kita juga boleh disekat.

 

Namun, hal yang sama tak berlaku di platform blog, dengan syarat kita gunakan nama domain dan perkhidmatan hosting berbayar.

 

Kalau anda guna khidmat percuma dari blogspot atau wordpress.com, anda masih lagi terdedah dengan risiko posting dan blog anda disekat atau diremove.

Contohnya macam blog dekat atas ini.

 

Biasanya perkara ini berlaku sebab pemilik blog ada melanggar terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak penyedia perkhidmatan, iaitu pihak blogger.com.

 

(2) Memperlihatkan kepakaran dan autoriti

Adakah hanya dengan memiliki blog anda sendiri, anda sudah boleh dilihat sebagai seorang yang pakar dan mempunyai autoriti dalam bidang tertentu?

 

Sudah tentulah jawapannya belum lagi.

 

Untuk dilihat sebagai seorang yang pakar, anda perlu hasilkan konten dan memberi ulasan yang menunjukkan anda benar-benar pakar dalam bidang tersebut.

 

Dalam penulisan yang bakal anda hasilkan, mungkin anda ingin sertakan maklumat tambahan seperti hasil kajian, data, graf dan sebagainya.

 

Sebenarnya dalam aspek menonjolkan kepakaran ini, saya berpandangan mana-mana individu yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang patut menyumbangkan kepakaran yang dimiliki dan memberi ulasan terhadap sesuatu isu yang ditimbulkan.

Diluar sana, terlalu banyak individu yang berlagak pakar, sedangkan pengetahuan yang dia ada hanyalah setakat apa yang dia baca di media sosial, hasil pembacaan di google, menonton video di Youtube dan sebagainya.

 

Lalu dia menyebarkan propaganda dan maklumat yang salah kepada orang ramai.

 

Saya betul-betul mengharapkan orang yang memang betul-betul pakar dalam bidangnya, untuk munculkan diri dan banyakkan membuat perkongsian, supaya mereka yang berlagak pakar ini tak terus menerus mengelirukan orang awam.

 

Tolonglah… kalau anda ada kepakaran dalam bidang tertentu, bangkit dan lawanlah individu yang acah-acah pakar ini. Hentikan mereka ini dari terus menerus menyebarkan kerosakkan demi kepentingan peribadi mereka sendiri.

 

(3) Bina komuniti dan networking

Melalui blog, anda juga berpeluang untuk menemui individu lain yang mempunyai minat yang sama dengan anda.

 

Kali pertama anda bertemu dengan mereka, mungkin hubungan yang terjalin adalah hubungan sebagai penulis – pembaca sahaja.

 

Tapi kalau anda membuka ruang, untuk mengenali mereka dengan lebih dekat, contohnya dengan menjemput mereka untuk join Group Facebook, Group Whatsapp atau Channel Telegram misalnya, hubungan yang dibentuk ini boleh jadi lebih akrab.

 

(4) Kedudukan yang baik di Search Engine

Artikel atau konten yang disiarkan di platform blog mempunyai peluang yang tinggi untuk tersenarai di halaman search engine popular seperti Google, Yahoo dan juga Bing untuk kata kunci tertentu.

Pengguna yang mencari maklumat tertentu melalui halaman search engine, biasanya hanya berminat dengan maklumat yang dipaparkan dimuka surat pertama, kedua dan ketiga sahaja.

 

Adakalanya mereka hanya fokus pada maklumat yang tersenarai dimuka surat pertama dan abaikan lain-lain laman web.

 

Cuba bayangkan kalau blog anda tersenarai di muka surat ke 8 misalnya. Apa akan jadi dengan blog anda?

Ya… ianya akan diabaikan dan tak dihiraukan.

 

Kalau anda perasan, kebiasaannya hasil carian yang dipaparkan dimukasurat pertama adalah dari laman blog. Bukannya dari platform media sosial, walaupun kadang-kadang ada, tapi ia jarang-jarang berlaku melainkan kalau kata kunci tersebut kurang dari segi persaingan.

 

Justeru, kalau anda mahukan trafik dari platform search engine, anda kena laburkan sedikit masa dan tenaga untuk bina blog anda.

 

(5) Dapatkan prospek dan buat jualan

Jika anda merupakan pemilik perniagaan, tak kiralah sama ada anda pemilik bisnes homestay, bisnes menjual buku atau apa-apa bisnes sekalipun, mempunyai blog anda sendiri boleh memberikan impak positif terhadap perniagaan anda.

 

Ini dapat terhasil menerusi kegiatan menghasilkan konten secara konsisten yang memenuhi citarasa audiens yang anda sasarkan.

 

Pembaca setia dan pelawat blog anda ada potensi untuk menjadi pelanggan anda, apabila mereka benar-benar yakin dengan tawaran yang anda berikan.

 

(6) Wujudkan kesedaran terhadap jenama perniagaan

Platform blog juga dapat memainkan peranan yang penting dalam mewar-warkan dan mewujudkan kesedaran terhadap jenama perniagaan anda.

 

Macam mana orang nak berurusniaga dengan anda, kalau mereka tak tahu kewujudan perniagaan anda, betul tak?

 

Dalam keadaan ini, blog yang anda bina itu nanti boleh mainkan peranan sebagai alat pemasaran untuk memberikan hasil seperti yang anda sasarkan.

 

(7) Meningkatkan kualiti khidmat pelanggan dan sokongan pelanggan

Jika anda membeli sesuatu produk dan anda dapati anda tak tahu cara untuk menggunakan produk tersebut, apakah perkara pertama yang anda akan lakukan?

 

Setiap orang mungkin akan mengambil langkah yang berbeza. Ada orang yang akan

i. Rujuk kepada manual pengguna

Kalau pelanggan tersebut masih simpan manual pengguna, dia mungkin boleh rujuk panduan terlebih dahulu.

 

ii. Hubungi talian khidmat pelanggan untuk dapatkan bantuan 

Ini juga cara yang biasa digunakan, untuk selesaikan masalah. Walaubagaimanapun, cara ini adakalanya mengambil masa yang lama, kalau talian khidmat pelanggan selalu sibuk.

 

iii. Buat carian di Google dengan kata kunci “cara untuk …”

Buka google dan buat carian disitu.

Mungkin ada laman web atau blog yang pernah menulis topik yang anda sedang cari.

 

Kalau anda menjalankan perniagaan dan menjual produk tertentu, anda boleh berikan alamat url blog anda kepada pelanggan.

“Puan, kalau ada sebarang masalah puan boleh layari blog ini. Dekat blog ini ada macam-macam posting yang berkaitan dengan produk yang puan beli…” 

 

Besar kemungkinan pembeli ini tak menghadapi sebarang masalah langsung.

Tapi kalau dia ada masalah sekalipun, dia boleh rujuk posting di blog terlebih dahulu.

 

Kalau masalah masih belum selesai, dia boleh cuba hubungi talian khidmat pelanggan untuk dapatkan bantuan.

Sekiranya isu yang dihadapi adalah isu yang tidak terlalu rumit, ia mungkin boleh diselesaikan hanya dengan merujuk kepada posting di blog yang anda hasilkan.

 

Ini secara tak langsung boleh mengelakkan talian khidmat pelanggan anda menjadi sibuk.

 

Kadang-kadang pelanggan yang hubungi pusat panggilan, mereka menghadapi isu yang remeh dan mudah untuk diselesaikan.

 

Kalau isu yang kecil dan mudah diselesaikan, pelanggan boleh rujuk pada posting di blog sahaja.

 

(8) Memperagakan bakat dan kreativiti dalam bidang anda

Anda boleh jadikan blog sebagai sebuah portfolio yang menunjukkan bakat dan kreativiti anda. Tak kiralah sama ada bakat anda adalah dalam bidang penulisan, fotografi, lakonan, modeling dan sebagainya.

 

Semua ini anda boleh tonjolkan dalam blog milik anda.

 

Katakanlah dimasa akan datang, ada individu atau perniagaan yang berpotensi untuk jadi klien anda dan mereka ingin melihat hasil kerja anda, anda boleh berikan link blog anda untuk mereka lakukan penilaian.

 

(9) Ruang untuk berkongsi pandangan dan meluahkan perasaan

Anda ingin menjadikan blog sebagai medan untuk anda meluahkan perasaan dan melontarkan pandangan terhadap isu yang berlaku disekeliling anda?

 

Boleh.

Tak ada masalah.

 

Sesetengah orang kurang selesa untuk berkongsi di platform media sosial. Ini kita mengambil kira kewujudan banyak pengguna media sosial yang mempunyai ciri manusia toksik.

 

Manusia toksik ini

i. Suka kecam orang

ii. Suka troll orang

iii. Guna fake account semata-mata nak buat orang lain sakit hati

Mereka ini adalah makhluk tak berguna yang berkeliaran di platform media sosial, dan suka membuat huru-hara serta kekacauan. Bagi mereka, menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain adalah satu hiburan.

 

Membuatkan orang lain “koyak” adalah satu kemenangan.

 

Dekat mana-mana platform pun ada orang seperti ini. Kita gelarkan mereka ini sebagai haters. Kadang-kadang kita tak buat salah apa pun, tapi dia muncul entah dari mana-mana, dan sebar kebencian.

 

Cara menghadapi makhluk tak berguna seperti ini, adalah dengan mengabaikan kewujudan mereka.

Kalau mereka komen, kita delete sahaja komen mereka.

Kalau boleh block mereka, itu lebih baik.

 

Mereka ini hanya mahukan perhatian.

Berinteraksi dengan individu seperti ini, tak baik untuk kesihatan mental kita.

Sewajarnya, kita humban sahaja mereka ini ke lautan paling dalam dan gelap.

Bukannya kita berikan perhatian.

 

(10) Peluang untuk jana pendapatan online

Melalui blog, anda boleh hasilkan pendapatan aktif dan juga pendapatan pasif.

 

Pendapatan aktif ini adalah pendapatan yang kita perolehi melalui usaha kita menyiapkan sesuatu pekerjaan.

 

Kalau dalam konteks penulis blog, kita akan perolehi pendapatan aktif dalam bentuk bayaran upah, apabila ada orang yang berminat untuk dapatkan khidmat penulisan dari kita.

Manakala pendapat pasif kita perolehi melalui program pengiklanan, program affiliate dan sebagainya.

Baca juga: Pendapatan pasif melalui penulisan blog

 

Kadang-kadang kita juga boleh mendapat jualan melalui artikel-artikel lama yang kita pernah terbitkan dalam blog kita, terutama sekali artikel lama yang masih lagi dibaca hingga ke hari ini.

 

Sebab itulah pentingnya untuk kita menulis topik yang evergreen dan yang akan terus dibaca walaupun telah berlalu beberapa tahun.

 

Kelebihan dan kekurangan platform blog

Setelah kita bincangkan tentang fungsi blog, saya ingin menarik perhatian anda untuk memahami apakah kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada platform blog.

 

Kelebihan platform blog

Kita mulakan perbincangan ini dengan menyenaraikan kelebihan yang ada pada platform blog terlebih dahulu.

 

(1) Kos permulaan yang rendah dan mudah untuk dibangunkan

Anda ada pilihan sama ada ingin membina blog menggunakan perkhidmatan percuma, seperti yang ditawarkan oleh platform blogspot atau wordpress.com

 

Selain itu, anda juga boleh membina blog anda menggunakan perkhidmatan berbayar, dimana anda akan membeli domain dan menyewa hosting dengan syarikat hosting.

Kos untuk membina blog

Kos untuk membeli nama domain adalah RM55 setahun.

Manakala kos untuk melanggan perkhidmatan hosting pula adalah bermula dari RM60 setahun.

Jumlah = RM115 langganan untuk setahun

 

Kos ini adalah merujuk kepada sebut harga yang ditawarkan oleh syarikat hosting NetKL Network.

Saya juga merupakan pengguna dan pelanggan syarikat hosting ini.

 

Dengan kos permulaan yang begini rendah, atau tanpa sebarang kos, sesiapa sahaja boleh membina dan membangunkan blog mereka sendiri.

 

(2) Konten boleh diakses oleh pembaca dari seluruh dunia

Setiap konten yang anda terbitkan di platform blog anda, boleh diakses dan dibaca oleh pengguna dari seluruh dunia.

 

Sekiranya anda mahir dengan teknik Search Engine Optimization (SEO), artikel blog anda ada peluang untuk berada dikedudukan muka surat pertama Google untuk kata kunci yang anda sasarkan.

 

Ini juga meningkatkan peluang anda untuk mendapat lebih ramai pembaca secara automatik dan konsisten setiap hari.

 

Cuba anda luangkan masa sejenak untuk melihat dan menganalisa statistik blog anda. Jika blog anda tak menerima pelawat secara konsisten, dan ada banyak konten-konten terdahulu yang sudah tak dibaca oleh pelawat blog, bermakna blog anda ada masalah dari segi SEO.

 

(3) Platform blog membolehkan anda menyiarkan konten dalam pelbagai format

Konten yang anda boleh siarkan dalam blog anda tak terhad kepada konten dalam bentuk artikel semata-mata.

 

Anda boleh siarkan konten dalam bentuk imej, video, podcast dan sebagainya.

 

(4) Anda bebas untuk menggunakan kreativiti dalam menghasilkan konten

Platform blogging ini juga terbuka luas kepada individu untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

 

Anda dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mempamerkan hasil kerja dan karya-karya yang pernah anda hasilkan sebelum ini.

 

(5) Peluang untuk berkolaborasi dengan individu atau pemilik perniagaan

Hasilkan konten yang berkualiti diblog anda secara konsisten.

 

Sampai satu tahap, apabila blog anda menunjukkan prestasi yang baik, anda ada peluang untuk berkolaborasi dengan individu lain dan juga pemilik perniagaan.

 

Nak dapatkan percutian yang ditaja?

Nak dapatkan produk secara percuma?

Semua ini boleh berlaku pada anda.

 

Kekurangan platform blog

Blog juga ada kekurangannya. Antaranya adalah seperti berikut.

 

(1) Memerlukan masa dan usaha untuk maintain dan update

Aktiviti blogging memerlukan masa yang lama dan usaha yang konsisten untuk menghasilkan dan menyiarkan konten yang berkualiti.

 

Kalau anda betul-betul nak hasilkan kejayaan dalam bidang penulisan blog ini, anda memerlukan stamina yang tinggi, selain minat yang mendalam dalam bidang penulisan.

 

Sepanjang beberapa tahun saya bergiat dalam bidang penulisan ini, saya dah banyak jumpa pemilik blog yang hanya semangat sekitar 2 – 3 tahun sahaja. Masuk tahun kelima, dia sudah tak pedulikan blognya lagi atas alasan sudah tak ada masa.

 

(2) Perlu hasilkan konten yang berkualiti secara konsisten

Tak kiralah sama ada matlamat asal anda menulis blog adalah

i. Nak buat duit

ii. Nak bina jenama perniagaan

iii. Nak tarik trafik dari search engine

iv. Nak bina strategi content marketing

 

Anda perlu ingat satu perkara.

Pembaca akan datang melayari laman blog anda jika mereka merasakan blog anda mempunyai konten yang berkualiti.

 

Atau setidak-tidaknya berkualiti mengikut sudut pandang dan penilaian pembaca blog anda.

 

(3) Persaingan sengit dalam topik atau niche tertentu

Topik atau niche yang bakal kita pilih, boleh jadi sudah ada penulis lain yang lebih awal lagi telah menulis topik yang sama. Lagi memburukkan keadaan lagi apabila ada terlalu banyak orang yang menulis topik yang sama.

 

Persaingan untuk menulis berkenaan sesuatu topik itu adalah lumrah dalam bidang penulisan.

 

Kadang-kadang sesuatu isu yang hangat, orang berebut-rebut nak jadi yang terawal untuk tulis topik tersebut.

 

(4) Isu teknikal dan keselamatan

Anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu-isu keselamatan dan sebarang isu berkaitan dengan perkara teknikal.

 

Kadang-kadang laman web yang popular seperti Facebook pun ada ketikanya akan mengalami gangguan, seperti kena godam, server down dan sebagainya. Namun, mereka mempunyai pasukan yang akan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

 

Tapi kalau blog anda menghadapi masalah, anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jika masalah tersebut boleh diselesaikan dengan bantuan pihak penyedia hosting, mereka akan bantu setakat yang termampu.

 

Jika isu-isu lain, anda perlu dapatkan khidmat pakar dari luar dan sebarang kos terlibat, anda perlu tanggung sendiri.

 

(5) Teknikal blog dan skil penulisan

Membina blog memerlukan sedikit kepakaran dalam bab teknikal, seperti

i. Pemasangan (install blog)

ii. Pemasangan plugin

iii. Setup untuk SEO

iv. Design dan lay out blog

 

Selain bab teknikal, pemilik blog juga perlukan kemahiran dan skil penulisan seperti

i. Skil copywriting

ii. Strategi content marketing

iii. Minat yang mendalam dalam bidang content creation

 

Platform blog lebih sinonim dengan content dalam bentuk penulisan. Justeru, tak salah kalau saya katakan pemilik blog perlu ada minat yang mendalam dalam bidang penulisan.

 

Sampai satu tahap, anda perlu jadi seorang yang sangat obses dengan kegiatan penulisan.

Anda perlu menulis, menulis dan terus menulis tanpa rasa jemu.

 

Satu hari nanti, pasti akan ada pembaca anda yang akan rasa jemu dengan penulisan anda.

Mereka ini akhirnya akan berhenti mengikuti perkongsian dari anda.

 

Itu perkara yang normal.

Manusia akan melalui perubahan dari segi citarasa apabila mereka meningkat usia.

 

Tapi walau apa pun yang terjadi disekeliling anda, anda TAK BOLEH  jemu dengan penulisan anda sendiri.

Kalau anda mula merasa demikian, maka akan tamatlah perjalanan anda sebagai penulis blog.

Pembaca yang sudah tak minat dengan cara penulisan anda, biarkan dia berlalu pergi. Kita ucapkan selamat jalan kepada mereka dan terima kasih kerana pernah menjadi pembaca setia.

 

Kita fokus sahaja kepada pembaca yang masih setia membaca penulisan kita, dan pembaca yang baru nak mula mengikuti penulisan kita.

 

Hargai apa yang kita masih ada dan belajar sebanyak mungkin dari pengalaman kehilangan sesuatu.

 

Manfaat blog dari perspektif Individu

Setelah kita tahu apa kelebihan dan kekurangan blog, saya nak fokuskan pula kepada topik manfaat yang boleh diperolehi jika kita mempunyai blog kita sendiri.

 

Saya akan mula dengan manfaat blog kepada individu.

 

(1) Sebagai platform untuk meluahkan isi hati

Anda boleh berkongsi dan luahkan apa sahaja yang terbuku dihati anda melalui platform blog yang anda miliki.

 

Terpulang pada anda, sama ada nak hasilkan konten dalam bentuk penulisan, berkongsi hasil fotografi atau membuat rakaman video.

 

Semua ini boleh dilakukan melalui medium blog.

 

(2) Membantu membina komuniti dan berkenalan dengan mereka yang sama minat

Blog yang anda hasilkan akan menarik kategori pembaca yang mempunyai minat yang sama dengan anda.

 

Mereka ini adalah orang-orang yang mungkin anda boleh jadikan sahabat dan bina networking untuk masa hadapan.

 

(3) Sangat membantu dalam pembangunan diri

Untuk menghasilkan artikel yang berkualiti tinggi, anda perlu membuat banyak kajian dan pembacaan.

 

Setiap kajian yang anda lakukan dan setiap buku-buku yang anda baca bagi tujuan untuk menghasilkan konten yang berkualiti tinggi, semua ini akan memberi impak positif terhadap pembangunan diri dan pembentukkan sahsiah diri anda.

 

Anda juga akan cenderung untuk jadi seorang yang serba tahu, kerana anda akan jadi seorang yang peka terhadap isu semasa.

 

Orang sekeliling akan lebih senang berbual dengan anda, sebabnya anda faham banyak perkara dan tahu hampir semua benda. Lebih-lebih lagi kalau topik perbualan tersebut adalah topik yang anda pernah tulis dalam blog anda.

 

Walaubagaimanapun, saya syorkan anda bersikap merendah diri.

 

Walaupun anda tahu banyak perkara dan pernah tulis macam-macam topik, lebih wajar anda jadi seorang pendengar yang baik, daripada mengambil pendekatan suka mengajar dan memperbetulkan orang sekeliling anda… melainkan kalau pendapat anda memang diperlukan.

 

(4) Peluang membina networking dan kolaborasi

Satu hari nanti, blog anda pasti akan berkembang hingga ke satu tahap dimana ada banyak pemilik bisnes yang merasakan blog anda ada potensi untuk memberi manfaat kepada bisnes yang mereka jalankan.

 

Pada waktu itu, tak mustahil untuk mereka menawarkan peluang untuk berkolaborasi.

Mereka minat untuk beriklan di blog anda.

Mereka mahu anda hasilkan advertorial diblog anda.

Mereka akan taja percutian anda.

 

Manfaat blog dari perspektif perniagaan

Melihat peranan blog dari perspektif perniagaan, saya boleh kongsikan beberapa manfaat yang anda boleh perolehi.

 

(1) Membina kredibiliti dan menonjolkan kepakaran anda

Perkara ini dapat dicapai melalui konten-konten yang dihasilkan secara konsisten.

 

Kalau anda ingin diilihat sebagai seorang yang ada kepakaran dalam sesuatu bidang, anda boleh menunjukkan kepakaran tersebut melalui strategi content marketing yang betul.

 

Sekadar ada blog rasmi, masih belum cukup untuk membantu anda membina kredibiliti.

 

Anda masih perlu laburkan masa yang secukupnya untuk membina konten yang berkualiti.

 

Ya, ini merupakan strategi jangka masa panjang, dan anda perlukan masa untuk melaksanakannya.

 

(2) Dapatkan prospek dan pelanggan

Melalui blog, anda boleh dapatkan prospek dan juga pelanggan baru.

 

Mereka ini adalah terdiri daripada mereka yang pernah membaca hasil penulisan anda.

 

(3) Kedudukan yang baik di halaman search engine

Laman search engine seperti Google, Yahoo dan juga Bing sebenarnya merupakan lubuk untuk dapatkan prospek dan pelanggan untuk sebarang perniagaan yang anda jalankan.

 

Tapi, untuk dapatkan pelanggan dari sumber tersebut, anda perlu memiliki laman web atau blog yang berupaya untuk masuk ke halaman pertama untuk kata kunci tertentu.

 

Antara laman web dengan blog, lazimnya blog lebih berpotensi untuk masuk ke halaman pertama.

 

(4) Bina jenama dan reputasi yang baik

Penulisan yang konsisten dapat membantu membina kesedaran akan kewujudan jenama serta perniagaan anda. Pembaca yang menyukai konten dan topik yang anda bincangkan, akan terus ikuti perkongsian yang anda hasilkan.

 

Ini semua dapat memberi impak yang positif terhadap perniagaan yang anda jalankan.

 

(5) Menyediakan platform untuk khidmat pelanggan

Anda juga boleh hasilkan konten-konten yang dapat menyelesaikan masalah atau apa-apa isu yang mungkin dihadapi oleh para pelanggan anda.

 

Jadikan blog anda sebagai one stop center, untuk mereka rujuk sekiranya ada sebarang masalah terhadap barangan atau perkhidmatan yang dibeli.

 

Saya pernah menulis mengenai topik ini secara khusus sebelum ini.

Kalau anda ada kesempatan, saya ingin mengajak anda untuk baca posting saya sebelum ini.

Baca disini: Kelebihan blog sebagai alat untuk mempromosikan perniagaan anda

 

Bagaimana cara untuk memaksimakan fungsi blog?

Jika anda sudah mempunyai blog anda sendiri, besar kemungkinan blog anda tak berperanan seperti mana yang anda harapkan.

 

Kenapa saya kata begitu?

At some point, saya juga pernah merasakan sedemikian.

 

Blog yang saya miliki, tak memberikan hasil seperti mana yang saya harap dan bayangkan. Saya mula mencari-cari dimana silapnya dan apa yang patut saya buat untuk perbetulkan keadaan ini.

 

Akhirnya saya sedar, ada beberapa perkara yang saya perlu berikan perhatian, bagi memaksimakan fungsi blog yang saya miliki. Berikut saya kongsikan antara perkara yang saya sendiri lakukan yang mungkin anda boleh jadikan contoh.

 

(1) Hasilkan konten yang berkualiti secara konsisten

Jangan berkompromi dari sudut kualiti. Artikel yang anda hasilkan perlulah benar-benar mempunyai kualiti dan bermanfaat.

 

Jika tidak, artikel anda hanya akan dibaca ketika ia mula-mula diterbitkan dan ketika anda mempromosikannya secara aktif sahaja. Selepas beberapa minggu atau beberapa hari, artikel tersebut akan terus dilupakan dan tiada siapa yang akan baca artikel anda lagi.

 

Artikel yang kurang berkualiti, biasanya agak sukar untuk masuk ke halaman pertama search engine. Ia masih akan tersenarai tapi di muka surat belakang-belakang, yang mana kebanyakkan pengguna search engine sudah tak akan pedulikan artikel yang berada disitu.

 

Sudah tentu, anda boleh abaikan nasihat saya dan teruskan dengan cara anda.

 

Tapi untuk jangka masa panjang, mereka yang betul-betul berusaha hasilkan artikel yang berkualiti, pasti akan memintas prestasi blog anda dan mereka akan lebih berjaya berbanding anda.

 

Walaupun hakikatnya, dari segi pengalaman, anda bermula lebih awal berbanding mereka yang baru nak bermula tapi terus fokus untuk hasilkan konten berkualiti.

 

(2) Optimasikan konten dengan teknik SEO

Belajar ilmu search engine optimization (SEO).

Baca juga: Panduan Search Engine Optimization untuk blog

 

Ilmu ini akan membantu memastikan artikel anda berjaya masuk ke muka surat hadapan untuk kata kunci yang anda sasarkan. Ilmu SEO ini juga akan memberikan anda pelawat ke blog anda secara konsisten.

 

Ini secara tak langsung dapat meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat jualan menerusi blog anda.

 

Bila anda ada pelawat yang konsisten, income yang bakal dihasilkan melalui program pengiklanan juga akan jadi lebih konsisten.

 

(3) Promosikan artikel blog di platform media sosial

Artikel blog yang kita dah terbitkan, perlu dipromosikan.

 

Tak sepatutnya kita hanya terbitkan kemudian tinggal.

Mungkin mengharapkan ada pembaca yang akan datang dan baca artikel tersebut secara sukarela.

 

Most likely, situasi diatas tak akan berlaku.

 

Cara ini kurang tepat.

Sebaik-baiknya, selepas kita siarkan artikel baru diblog, kongsikan juga pautan artikel tersebut di pelbagai platform media sosial yang lain.

Kalau ada bajet, boleh boost post guna iklan berbayar.

 

(4) Berinteraksi dengan pembaca apabila berpeluang

Cuba berinteraksi dengan pembaca, jika ada kesempatan.

 

Kadang-kadang ada pembaca yang akan berikan komen pada artikel. Cuba jawab atau beri respons pada komen tersebut.

 

Tak mustahil, satu hari nanti ada dalam kalangan pembaca kita yang akan jadi pelanggan kita.

Ataupun, mereka ini akan ambil servis penulisan artikel yang kita tawarkan.

 

(5) Fahami apa yang dicari oleh pembaca

Cuba fahamkan, bagaimana cara pembaca menggunakan laman enjin carian dan apa yang bermain di fikiran mereka.

 

Kalau dalam bahasa inggeris, kita ada istilah user intent.

Ia merujuk kepada intention atau hasrat sebenar, yang bermain difikiran pembaca apabila dia membuat carian maklumat menggunakan kata kunci tertentu.

 

Sebagai contoh, dia menaip kata kunci “tempat menarik di Kota Bharu”.

 

Boleh jadi, apa yang sebenarnya dia nak tahu ialah

i. Tempat percutian yang menarik di Kota Bharu

ii. Pantai peranginan yang menarik di Kota Bharu

iii. Hotel atau resort terbaik di Kota Bharu

 

Justeru, bila kita menghasilkan konten, kita cuba tulis seberapa banyak perkara atau topik yang berkaitan dengan kata kunci asal.

 

(6) Cuba tulis sesuatu topik secara menyeluruh

Anda telah mengenalpasti, suatu topik yang anda rasa minat untuk tulis.

 

Lalu anda pun cari masa untuk siapkan artikel tersebut dan anda tekan butang publish.

Tahniah, artikel anda telahpun diterbitkan dan kini satu dunia boleh baca perkongsian anda.

 

Tapi janganlah berhenti setakat itu sahaja.

Kalau anda nak menulis sesuatu topik, cuba tulis seberapa banyak artikel yang boleh mengenai topik tersebut.

 

Katakanlah anda nak tulis topik mengenai bisnes homestay.

Mungkin selepas siap satu artikel, anda boleh kembangkan lagi penulisan anda dan tulis pula perkara lain yang berkaitan dengan topik terrsebut. Misalnya

i. Panduan bisnes homestay

ii. Kelebihan bisnes homestay

iii. Cabaran bisnes homestay

iv. Senarai kelengkapan untuk bisnes homestay

 

Topik asalnya adalah tentang bisnes homestay.

 

Tapi kita ambil insiatif untuk kembangkan lagi dan tulis lain-lain topik yang berkaitan. Pembaca anda pasti akan berterima kasih dan hargai perkongsian anda, jika kebetulan mereka sebenarnya berminat nak buat bisnes tersebut.

 

Cabaran dalam mengendalikan blog

Mengendalikan sebuah blog yang berjaya, bukanlah sesuatu yang mudah. Ada banyak cabarannya.

 

Dan ini kita perlu akui. Atas sebab itu jugalah, saya merasakan walaupun saya telah menulis blog selama bertahun-tahun lamanya, saya masih belum capai kejayaan yang saya bayangkan selama ini.

 

Cabarannya terlalu besar.

Halangannya terlalu banyak.

Adakalanya, diri sendiri yang jadi penghalang terbesar, untuk capai kejayaan yang diidam-idamkan.

 

(1) Masa dan usaha yang diperlukan

Anda perlu konsisten menghasilkan konten-konten baru yang berkualiti, dan cuba untuk berinteraksi dengan pembaca anda. Jika ada komen yang ditinggalkan oleh pembaca, cubalah balas komen-komen tersebut.

 

Kemudian, untuk hasilkan sesebuah artikel, ada banyak pembacaan dan kajian yang perlu dilakukan. Bukannya menulis ikut sedap rasa sahaja.

 

Bukan semua isu atau perkara, kita boleh “goreng” tau.

 

(2) Aspek teknikal dan skil penulisan

Ada orang berpandangan, aspek yang sukar tentang penulisan blog ini adalah pada aspek teknikal. Maksud saya adalah seperti pemasangan blog, konfigurasi, design dan sebagainya.

 

Tapi sebenarnya, hal-hal yang saya sebutkan itu tak begitu sukar. Ianya boleh di outsource.

 

Cabaran yang lebih besar sebenarnya terletak pada aspek penghasilan konten. Kerja-kerja penghasilan konten ini melibatkan aktiviti seperti membuat kajian topik, menghasilkan bahan penulisan, editing, copywriting dan sebagainya.

 

Itu sebenarnya yang lebih sukar dan mencabar.

 

(3) Persaingan yang sengit bagi sesetengah topik

Topik yang kita nak tulis, besar kemungkinan sudah ada orang lain yang tulis. Kalau penulisan yang kita hasilkan tak cukup bagus, artikel kita mungkin tak akan berjaya masuk ke halaman pertama Google.

 

Apa akan jadi jika artikel kita tak berjaya masuk ke page pertama Google?

 

Besar kemungkinan pembaca yang merupakan pengguna laman enjin carian tak akan kenal blog kita sampai bila-bila.

 

Tapi bagaimana pula keadaannya kalau kita mampu hasilkan artikel yang lebih baik berbanding artikel sedia ada?

Dalam situasi ini, dengan mudah kita boleh tendang artikel sedia ada dan rampas kedudukan tempat pertama.

 

Ya… itulah lumrah dalam bidang penulisan ini.

 

(4) Strategi menjana pendapatan

Melalui plattform blog, anda boleh hasilkan pendapatan melalui kaedah pengiklanan Google Adsense, sponsored post @ advertorial dan juga affiliate marketing.

 

Adakalanya ianya lebih mudah disebut berbanding benar-benar merealisasikannya.

 

Jangan berangan terlalu jauh, kalau nak dapatkan trafik pun tak pandai. Jadi, sebelum nak cakap bab buat duit, pastikan trafik blog cukup tinggi, konten berkualiti tinggi, dan In Shaa Allah duit akan masuk dengan sendirinya.

 

Penutup

Fungsi sebuah blog sebenarnya tidak terhad sekadar tempat untuk meluahkan perasaan atau untuk mengisi masa lapang semata-mata. Ia boleh memainkan peranan yang jauh lebih besar lagi.

 

Semua ini bergantung kepada bagaimana individu tersebut menyusun dan merangka strategi dalam mencipta kandungan untuk blog miliknya.

 

Sekiranya anda

i. Menghasilkan konten yang berkualiti secara konsisten

ii. Optimasikan setiap konten yang dihasilkan dengan teknik Search Engine Optimization (SEO)

iii. Berinteraksi dengan pembaca dan penulis blog lain

iv. Bina networking

 

Blog yang anda kendalikan itu juga berupaya untuk memiliki pengikut setia, yang seterusnya menjadi bakal pelanggan yang akan membeli produk atau perkhidmatan yang anda jual.

 

Potensi pendapatan yang boleh terhasil melalui medium blog juga sebenarnya sangat besar. Sudah tentu, anda perlu berikan masa, komitmen dan perlu ada strategi yang betul bagi merealisasikan matlamat tersebut.

 

Justeru, jika anda masih belum ada blog, dan ingin memulakan blog anda sendiri, saya ucapkan semoga anda juga berjaya!

 

 

Exit mobile version