Blog Sabree Hussin

Adakah blog masih relevan?

iklan-advertorial-native-ads

Masih ada lagi ke orang yang nak baca blog?

Adakah aktiviti menulis blog atau blogging ni masih relevan hingga ke hari ini?

 

Saya ada terlihat yang topik sama ada blogging ini masih relevan ataupun tidak, ada dibincangkan di blog milik beberapa penulis blog yang saya kenali.

 

Memandangkan saya tak pernah sentuh mengenai topik ini, jadi saya kira ada baiknya saya kongsikan pandangan saya mengenai isu ini.

Adakah blogging masih lagi relevan?

Kalau tanya kepada penulis blog, sama ada blogging masih relevan ataupun tidak, dah tentu mereka akan kata yang blogging ini masih relevan.

 

Tapi, cuba kita tanyakan kepada mereka yang dulunya pernah bermula dengan blogging, tapi selepas itu dia meninggalkan bidang penulisan blog lalu berpindah ke platform lain, sama ada platform media sosial ataupun menjadi video creator. Agak-agaknya, apa kata mereka? Adakah mereka juga akan kata yang blog masih relevan atau mereka akan ada pendapat yang berbeza?

 

Bagi mereka yang meninggalkan bidang penulisan blog dan selepas itu, mereka sudah tak menjadi content creator, yang itu kita fahamlah. Mungkin atas sebab komitmen tertentu, membuatkan mereka terpaksa meninggalkan bidang ini. Tapi, bagaimana pula mereka yang tinggalkan penulisan blog untuk jadi youtuber, atau mungkin social media influencer. Apa agaknya pandangan mereka mengenai blogging ya?

 

Siapa yang patut tanyakan soalan ini?

Saya berpendapat, ada beberapa golongan yang akan terfikir untuk bertanya soalan ini.

 

(1) Individu yang baru bercadang untuk menjadi seorang content creator

Anda biasa dengar istilah content creator, atau pencipta kandungan? Kalau anda kurang familiar dengan istilah ini, silalah teruskan pembacaan sebab topik yang saya tulis ini ada kaitan dengan istilah content creator tersebut.

 

Apa maksud content creator?

Content creator atau pencipta kandungan ini merujuk kepada seorang individu yang menghasilkan karya kreatif sama ada dalam bentuk imej, rakaman audio, video, info grafik ataupun dalam bentuk artikel.

 

Kebiasaannya, setiap konten yang dihasilkan akan disiarkan di platform yang bersesuaian, sama ada di laman web, blog, akaun media sosial, laman penstriman video dan sebagainya. Content creator ada yang bekerja dengan majikan dan menerima gaji, dan ada juga yang bergerak secara freelance.

 

Hasil carian di laman web carian kerja, maukerja.my saya dapati terdapat beberapa iklan kerja kosong untuk jawatan content creator.

Gaji yang ditawarkan bermula dari RM1,600 ke RM3,500 sebulan. Banyak juga jumlah gaji yang ditawarkan. Walaubagaimanapun, sekiranya anda merasakan anda mampu untuk hasilkan lebih banyak income sekiranya bergerak sendiri secara freelance berbanding dengan bekerja dengan mana-mana syarikat, maka teruskanlah bergerak secara freelance.

 

Katakanlah anda merupakan individu yang baru merancang untuk menjadi seorang content creator, saya sarankan anda untuk ambil sedikit masa dan pilih, mana satu platform yang bakal anda fokuskan.

 

Adakah anda akan pilih…

i. Platform blog dan menjadi seorang blogger

ii. Youtube untuk jadi seorang youtuber

iii. Media sosial supaya dapat dikenali sebagai social media influencer

iv. Tiktok dan menjadi seorang tiktoker terkenal

 

Memandangkan topik kali ini adalah tentang persoalan sama ada blog masih relevan atau sudah ketinggalan zaman, maka saya hanya akan fokuskan kepada topik blog sahaja.

 

Walau apapun platform yang anda bakal pilih, pastikan anda sudah membuat kajian dari segi kekuatan dan kekurangan sesebuah platform. Setelah anda membuat kajian, anda mungkin akan dapati yang anda perlu ada lebih dari sebuah platform.

 

(2) Individu yang ingin menjadikan blog sebagai medium pengiklanan dan pemasaran

Adakah platform blog masih lagi sesuai untuk dijadikan medium untuk pengiklanan dan juga untuk kerja-kerja pemasaran?

 

Ini juga merupakan satu persoalan yang tak kurang pentingnya, dan ia berkaitan dengan aspek pengurusan sesebuah perniagaan. Katakanlah anda ingin melaburkan sejumlah wang bagi tujuan pengiklanan di platform blog, sudah tentu anda mahukan pelaburan anda itu kelak akan mendatangkan hasil.

 

Kalau anda merupakan seorang peniaga atau usahawan, dan anda ingin menggunakan medium blog bagi tujuan pemasaran. Anda mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada anda ingin mengiklankan perniagaan anda di blog milik blogger lain, atau anda sendiri yang akan mula membina blog sendiri dan mula menghasilkan konten untuk perniagaan anda.

 

Persoalannya ialah, adakah berbaloi masa dan usaha anda kelak, jika anda ingin membangunkan blog anda sendiri? Membangunkan blog sendiri memang nampak menyeronokkan di peringkat permulaan, tapi mampukah anda mengekalkan momentum dan konsisten dalam penulisan artikel blog anda kelak?

 

Pemasaran dan pengiklanan melalui medium blog perlu dijalankan seiring dengan kempen pemasaran enjin carian (search engine marketing). Jika pengiklanan melalui blog tidak digandingkan dengan search engine marketing, saya juga meragui keberkesanan kempen pengiklanan tersebut.

Baca juga: Maksud artikel SEO optimized

 

(3) Mereka yang mempunyai perancangan untuk menjana pendapatan secara online

Tak ketinggalan juga buat individu yang ingin menjana pendapatan sampingan diinternet. Anda mesti nak tahu sama ada platform blog ini masih lagi mampu untuk memberi pendapatan yang lumayan, betul tak?

 

Jadi apa kata anda teruskan pembacaan dan mari kita sama-sama berkongsi idea.

Pada asasnya, persoalan sama ada blog masih relevan ataupun tidak adalah merupakan persoalan yang valid. Ia dibincangkan bukan sahaja di Malaysia, tapi diseluruh dunia.

 

Orang yang dah lama menulis blog, pasti perasan, ada banyak perubahan yang berlaku dengan berkembangnya laman media sosial. Ia sedikit sebanyak memberi impak kepada jumlah pembaca dan trafik yang mengunjungi blog miliknya.

 

Perubahan teknologi dan cara pengguna berinteraksi dengan konten yang disiarkan diinternet memperlihatkan berlaku perubahan yang ketara. Ada ramai individu yang dulunya aktif dalam bidang penulisan blog, mula meninggalkan bidang ini lalu meneroka peluang baru, sama ada sebagai youtuber, tiktoker, instafamous dan what ever nama dan gelaran lain.

 

Sometimes mereka ini digelar sebagai social media influencer.

 

Terdapat individu yang bergantung kepada media sosial bagi mendapatkan berita dan maklumat yang terkini.

 

Kenapa agaknya?

Pada pendapat saya ada beberapa sebab kenapa keadaan seumpama ini berlaku.

 

i. Konten yang disiarkan dimedia sosial lazimnya lebih ringkas

Kita lihat dari segi jumlah patah perkataan yang digunakan, selalunya pendek-pendek sahaja. Posting yang pendek-pendek mudah dibaca dan dihadam oleh golongan sasaran. Walaupun begitu, posting yang pendek lazimnya tak akan mampu memberikan penjelasan yang mendalam berkenaan dengan sesuatu topik ataupun isu.

 

ii. Penggunaan bahasa yang santai

Penggunaan bahasa juga sangat ringkas. Posting yang disiarkan di media sosial ada gaya bahasa percakapan yang biasa dituturkan setiap hari. Ia kurang formal kalau nak bandingkan dengan penulisan di blog, atau portal berita.

 

iii. Informasi segera

Kita andaikan anda mengikuti akaun social media yang mempunyai kredibiliti dalam penyampaian sesuatu berita. Apalah guna cepat dapat berita kalau semua berita tak sahih. Maksud saya dengan informasi segera adalah kita boleh dapatkan kemaskini terkini terus dari individu yang kita minat nak ambil tahu perkembangan hidupnya.

 

iv. Penyiaran konten di media sosial berupaya untuk memperolehi feedback dan reaction segera.

Sebaik sahaja sesuatu konten disiarkan dan ianya mula muncul di newsfeed pengikut kita, mereka boleh terus memberi reaksi sama ada suka (like), ingin berkongsi (share) ataupun meninggalkan komen.

 

Blog dan pembaca

Pada asasnya, kalau kita betul-betul minat nak jadi seorang penulis blog yang berjaya, dikenali dan mampu untuk menghasilkan pendapatan diinternet, kita perlu tahu apa sebenarnya yang bermain difikiran golongan pembaca.

 

Persoalan yang kita perlu tanyakan pada diri sendiri ialah, apakah sebenarnya yang dimahukan oleh pembaca? Artikel yang bagaimana yang mereka perlukan? 

 

Tahukah anda, apa dia jenis bahan bacaan yang wujud pada hari ini?

Biar saya senaraikan.

1. Buku

2. e-buku atau ebook

3. Blog

4. Portal berita

5. Media sosial

 

Dari senaraian diatas, apakah bentuk bahan bacaan yang paling bagus untuk dibaca?

Pada pendapat saya, bahan bacaan yang terbaik adalah buku.

 

Biasanya sesebuah buku yang ditulis itu akan mempunyai kajian yang dilakukan terlebih dahulu. Ini bermakna dari segi ketepatan informasi, kepadatan maklumat adalah yang terbaik pada waktu ia diterbitkan. Pada masa yang sama, buku-buku yang diterbitkan juga perlu melalui proses saringan dan semakan terlebih dahulu.

 

Bermakna, hasil akhir iaitu buku yang berada dihadapan anda telah melalui banyak proses semakan. Semakan yang dilakukan oleh penulis buku itu sendiri, semakan dari individu yang mencari kesalahan ejaan, semakan dari editor dan beberapa pihak yang lain.

 

Tapi sayangnya pada hari ini, ada orang yang lebih suka baca posting di media sosial berbanding baca buku. Alasannya, tak mampu nak baca buku yang panjang dan banyak bilangan muka surat. Saya kira, ini merupakan suatu keadaan yang kurang sihat, dan jika kita mahukan masyarakat kita menjadi masyarat yang celik ilmu, kena kembalikan mereka kepada membaca buku.

 

Kalau tak nak baca buku sebab berat, banyak muka surat dan sebagainya, mungkin boleh baca edisi ebook ataupun audiobook. Apa yang penting, kembali kepada membaca buku.

 

Selepas buku, barulah kita baca blog, laman web dan akhir sekali barulah media sosial. Saya berpendapat, sebagai content creator yang bertanggungjawab, sebaik-baiknya kita mengajak mereka yang sukakan konten yang kita hasilkan untuk turut membaca buku. Bukan semata-mata mengharap kepada konten yang kita hasilkan.

 

Wallahua’lam

 

Blog sebagai platform untuk bersosial?

Suatu ketika dahulu, sekitar tahun 2009 ketika saya baru mula-mula kenal dengan bidang penulisan blog, pada waktu tu, fungsi blog adalah sama seperti mana fungsi media sosial sekarang. Ada banyak orang yang mempunyai blog mereka sendiri.

 

Kalau blog yang dibina menggunakan platform percuma blogspot, boleh jadi sampai ke hari ini blog tersebut masih wujud.

Tetapi, kalau blog tersebut dibina menggunakan wordpress self hosted, besar kemungkinan blog tersebut sudahpun hilang disebabkan pemiliknya sudah tak membayar servis untuk menyewa domain dan hosting.

 

Situasi ataupun drama seperti ini biasa berlaku pada waktu tersebut. Katakanlah ada dua orang blogger yang ramai pengikut dan dikenali, kita namakan sebagai blogger A dan juga blogger B.

 

Seperti biasa, blogger A akan buat konten dan siarkan diblog miliknya.

Blogger B pun baca konten blog tersebut, lalu dia pun menulis satu artikel baru semata-mata untuk mengecam dan menghentam blogger A.

 

Bila blogger A tahu berkenaan artikel yang ditulis oleh blogger B, maka dia pun rasa tak puas hati, lalu dia pun tulis artikel baru untuk menjawab segala kecaman dan tuduhan yang ditulis oleh blogger B tadi.

 

Kebiasaannya mereka yang menjadi pengikut (follower) akan turut ikuti pergaduhan 2 orang blogger itu tadi dengan saling berbalas-balas hujah diruangan komen.

Kalau ada pengikut yang juga merupakan seorang blogger, mereka akan buat satu posting sama ada menyokong blogger A ataupun blogger B.

 

Sudah tentu, senario seperti yang saya ceritakan diatas sudah tak berlaku pada hari ini. Namun bukanlah bermaksud manusia sudah tak saling dengki mendengki atau kecam mengecam. Asal namanya manusia, semuanya masih sama. Cuma drama seperti ini sudah berpindah ke platform yang berbeza, iaitu ke media sosial.

Anda boleh lihat platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Ig dan sebagainya. Manusia masih saling bergaduh sesama sendiri. Tak kiralah apa topiknya, sama ada tentang selebriti, parti politik, pegangan agama dan macam-macam lagi. Asalkan boleh bergaduh, mereka pasti akan bergaduh.

 

Pada waktu dulu, saya pernah juga merasa risau.

Adakah masa depan saya sebagai penulis blog akan sama seperti mereka?

 

Maksud saya, adakah saya juga perlu ikut apa yang blogger lain buat? Mereka menulis tentang aktiviti yang mereka lakukan setiap hari, yang pada saya, tak perlu diceritakan kepada seluruh dunia pun tak apa. Adakah saya kena buat seperti ini juga?

 

Ada blogger yang terlalu galak mengumpul pengikut, hinggakan sanggup menulis kisah-kisah hidup orang lain, sedangkan perkara yang ditulis itu merupakan aib individu tersebut.

 

Ada juga blogger yang seronok menulis kisah-kisah misteri, teori konspirasi, tips berkaitan bidang perubatan yang belum tentu betul tanpa mengira akibatnya kepada pembaca. Adakah perangai menghasilkan konten yang tak bertanggungjawab ini sudah tak dipraktikkan lagi?

Oh sudah tentu masih ada hingga ke hari ini. Cuma sekarang konten seumpama ini lebih mudah dilihat di media sosial dan juga di tiktok.

 

Blogger pada zaman saya dulu, terlalu mengejar konten sampaikan saya yang jadi pembaca pun kadang-kadang rasa pening, apa sebenarnya yang dia cuba nak buktikan? Konten tentang sarapan pagi dengan menu sandwich pun nak cerita dekat semua orang? Eh… seriuslah.

 

Apa yang saya nampak, pada hari ini, perangai yang sama telahpun berulang cuma medium atau platformnya sahaja yang dah berubah. Orang sanggup la untuk buat apa sahaja, asalkan boleh hasilkan konten. Kemudian, bila orang mula beri respon yang agak negatif, ada yang kecam, mulalah dia buat alasan… “alahhh ini kan cuma konten…”

 

Sebelum tu, boleh saya nak tahu pendapat anda. Pada pandangan anda, perlu ke kita aktif disemua platform? Maksud saya, kita aktif di blog, di fb, ig, youtube, tiktok dan semua sekali…

Kalau anda ada pendapat dan sudi kongsikan pendapat tersebut, boleh tinggalkan kat ruangan komen ya.

 

What if…

Macam mana kalau sebenarnya, orang pada zaman tersebut telah menggunakan blog dengan cara yang salah?

 

Kemudian apabila kita mula masuk dalam era media sosial, akhirnya mereka yang sebelum ini menggunakan platform blog dengan cara yang salah, akhirnya menemui platform yang betul untuk keperluan mereka.

 

Saya pernah terbaca, ada penulis blog yang beranggapan kemunculan media sosial telah mengganggu (disrupt) perkembangan bidang penulisan blog dan tak lama lagi blog akan jadi tak relevan memandangkan semua orang akan berpindah ke media sosial dan menjadikan platform blog sebagai sudah tak lagi relevan.

 

Saya kurang setuju.

 

Pada pendapat saya, untuk mereka yang betul-betul serius nak menjadi seorang penulis, pertama sekali kena ada jiwa penulis.

Bila kita ada jiwa seorang penulis, tak kisah apa yang berlaku, kita akan terus menulis. Kita menulis bukan sebab budaya ikut-ikutan pada trend, yang kononnya kini trend pembaca sudah beralih ke media sosial.

 

Disebabkan saya tak terlalu terikut-ikut dengan trend, sebaliknya saya masih lagi kekal dengan bidang penulisan blog, maka blog saya masih wujud sampai ke hari ini.

 

Saya berpendapat, bagi mereka yang ingin bersosial melalui medium blog, mereka akan merasa agak kecewa. Zaman bersosial melalui blog sudah berlalu.

 

Kalau dulu, setiap kali penulis blog menerbitkan artikel baru, akan ada banyak pembaca yang akan meninggalkan komen. Pada waktu tersebut, tak pelik kalau dalam setiap artikel, akan ada komen sekitar 100 – 500 komen.

 

Sebenarnya kalau kita baca komen-komen yang ditinggalkan oleh pembaca, belum tentu komen tersebut ada kaitan dengan isi artikel yang diterbitkan. Orang yang menulis komen pun lazimnya adalah blogger juga. Jadi tak perlu pelik kalau komen-komen seperti dibawah ini akan kelihatan.

i. “Hadir beri support… jemput baca blog saya juga.”

ii. “Terbaik, saya setuju… support blog saya juga”

iii. “Fuh panjangnya tulis, tak sempat nak baca lagi… nantilah kalau ada masa baru baca. Support blog saya juga”

iv. “Done follow… jemput follow blog i juga tau…”

 

Mereka yang meninggalkan komen bukanlah seorang pembaca dan pemberi komen yang berkualiti. Niat mereka hanya nak mempromosikan blog mereka sahaja.

 

Tapi sekarang sudah berubah.

 

Pembaca yang betul-betul dalam kategori pembaca ini lebih cenderung untuk menjadi silent reader. Mereka klik pada link artikel yang nak dibaca, dan setelah dia baca apa yang dia perlukan, dia akan beredar tanpa meninggalkan sebarang komen. Kita sebagai penulis blog, kita tahu artikel tersebut dibaca sebabnya kita boleh semak dibahagian statistik trafik blog kita.

 

Jenis konten yang sesuai dimuatkan dalam sebuah blog

Sekarang kita akan bincangkan beberapa jenis konten yang sesuai untuk disiarkan melalui platform blog.

 

1. Artikel

Ini merupakan jenis konten yang biasa diterbitkan menerusi platform blog. Kandungan utama sesebuah laman blog lazimnya adalah artikel.

 

2. Imej, grafik atau info-grafik

Ini juga adalah antara jenis konten yang sesuai dimuatkan menerusi medium blog. Lazimnya kalau konten dalam bentuk artikel semata-mata, ia akan membuatkan pembaca hilang fokus.

 

3. Video

Sebenarnya anda juga boleh menerbitkan konten dalam bentuk video di blog milik anda. Namun, kebiasaannya orang akan upload dulu video tersebut di Youtube, kemudian barulah embed video tersebut di blog.

 

Kalau terus upload diblog, selalunya akan menyebabkan berlaku beberapa perkara, iaitu ruang hosting yang disewa akan cepat habis ruang.

 

4. Audio

Audio juga boleh diterbitkan diblog, namun konten jenis audio lebih sesuai dijadikan sebagai podcast.

 

Seriuslah… tak rasa ke blogging dah ketinggalan zaman?

Kita tak boleh nafikan, sememangnya setiap hari teknologi akan semakin berkembang. Dulu saya pernah terfikir, mungkin perkembangan media sosial akan terhenti setakat di Facebook sahaja.

 

Tapi saya silap. Sebab selepas itu muncul pula Twitter, Instagram dan sebagainya.

 

Saya kira, orang memilih untuk menggunakan sosial media tertentu, bukanlah sebab namanya ialah Facebook atau Instagram, tapi disebabkan oleh fungsi dan ciri-ciri yang ada pada sosial media tersebut. Setiap orang juga ada sebab tersendiri kenapa dia memilih untuk menggunakan sesebuah platform tersebut.

 

Macam orang yang nak buat duit, yang nak berniaga, mereka menggunakan platform tertentu bagi tujuan membuat kerja pemasaran dan memperkenalkan produk yang dijual.

 

Begitu juga dengan platform untuk menyiarkan video. Dulu mungkin kita cuma kenal Youtube sahaja. Tapi setelah muncul Tiktok, FB Reels dan sebagainya, kita sebagai pengguna mula mempunyai lebih banyak pilihan.

 

Kebangkitan pelbagai jenis platform ini, tidaklah menjadikan blogging itu sebagai suatu yang ketinggalan zaman. Sebaliknya saya melihat ini merupakan satu usaha yang dapat menyusun sesebuah konten pada platform yang sepatutnya.

 

Siapa nak bersosial, boleh pilih untuk luangkan masa di media sosial.

Siapa nak menonton video, boleh layan Youtube.

Siapa yang nak layan video tapi tak suka video panjang-panjang, boleh ke tiktok.

Siapa yang suka membaca dan memerlukan informasi tertentu, boleh cari blog.

 

Sebagai seorang pencipta konten, kita sepatutnya meletakkan fokus yang lebih kepada golongan atau audience yang kita cuba sasarkan.

Apa sebenarnya yang audience kita mahukan?

Apa yang audience kita ingin tahu?

Apa sebenarnya yang mereka cari apabila mereka online?

Adakah mereka mencari maklumat atau informasi tertentu?

Adakah mereka inginkan hiburan?

 

Adakah kita memiliki kemampuan, pengetahuan, skill dan kepakaran untuk mempersembahkan konten kita dalam bentuk yang dimahukan oleh golongan yang kita sasarkan?

Saya pernah terfikir untuk cuba menjadi seorang youtuber. Selepas mencuba, saya dapati kerjanya lebih leceh dan saya kurang minat beraksi dan bercakap dihadapan kamera. Akhirnya saya buat keputusan untuk kembali menulis.

 

Saya rasa, bidang penulisan ini sebenarnya adalah forte saya. Bukannya video.

 

Adakah mustahil, kalau satu hari nanti tak ada siapa yang nak baca blog?

Saya rasa perkara ini memang tak mustahil untuk berlaku.

 

Walaupun saya kata tak mustahil berlaku, namun saya percaya hal ini tak akan terjadi kepada semua penulis dan pemilik blog. Sebaliknya, ianya hanya akan berlaku kepada penulis blog tertentu sahaja. Semua ini berkait rapat dengan cara penulisan yang dihasilkan oleh blogger tersebut.

 

Cuba lihat balik dibahagian arkib blog dan baca semula artikel terdahulu.

 

Apakah jenis artikel yang biasa diterbitkan?

Jika artikel yang diterbitkan kebanyakkannya adalah dari jenis artikel personal, yang bercerita mengenai aktiviti peribadi, hal-hal kekeluargaan, lazimnya artikel seperti ini akan hilang daya tarikannya.

 

Saya juga pernah menulis artikel sedemikian diblog milik saya, dan saya dapati artikel peribadi lazimnya memang kurang pembaca berbanding dengan artikel yang memang saya tulis bagi tujuan berkongsi ilmu pengetahuan.

 

Pada masa yang sama, saya juga ada beberapa artikel lama yang saya tulis yang masih dibaca hingga ke hari ini. Saya boleh berikan dua contoh artikel lama yang saya pernah tulis yang masih dibaca hingga sekarang. Artikel yang saya maksudkan adalah artikel mengenai bisnes kedai runcit dan juga artikel tentang bisnes homestay.

 

Kedua-dua jenis perniagaan ini adalah perniagaan yang saya pernah terlibat secara langsung. Sekitar tahun 2012 saya mula menjalankan bisnes kedai runcit saya sendiri, dan serba sedikit pengalaman yang saya ada, saya kongsikan dalam bentuk penulisan dan saya terbitkan dalam blog ini.

 

Dalam konteks bisnes homestay pula, saya kerap menginap di tempat penginapan jenis homestay dan saya selalu juga menulis untuk mempromosikan bisnes homestay yang dijalankan oleh pelanggan yang mendapatkan khidmat promosi dari saya. Dari situ, saya kenal ramai pengusaha bisnes homestay yang mana akhirnya saya dapat bertukar-tukar idea dan pendapat dengan mereka.

 

Bila saya mula menulis tentang dua jenis bisnes ini, saya dapati rupa-rupanya dekat luar sana terdapat ramai orang yang minat nak jalankan bisnes yang sama, tapi mereka tak tahu bagaimana cara nak mulakan langkah pertama. Setidak-tidaknya, selepas mereka baca apa yang saya tulis, mereka dapat serap serba sedikit idea dan boleh mula menyusun strategi.

 

Tak semestinya selepas mereka baca apa yang saya tulis, mereka kena ikut exactly the same seperti mana yang saya sarankan. Matlamat saya adalah supaya mereka ada satu maklumat yang mereka boleh gunakan dan boleh mula bergerak sendiri.

 

Bagi penulis blog yang lebih cenderung untuk menulis artikel berkaitan dengan informasi tertentu, dan info tersebut sememangnya dicari dan diperlukan sepanjang zaman, agak mustahil untuk berlaku keadaan dimana blognya sudah tak ada yang minat nak baca.

 

Orang yang menulis di blog dan yang memang serius dengan bidang penulisan ini, selalunya bukanlah jenis yang menulis untuk suka-suka. Setiap penulisan yang dilakukan selalunya ada rujukan dan disokong oleh data tertentu.

 

Sumber data ini sama ada dari

i. Google Search Console

ii. Google Keyword Planner

iii. Uber Suggest

iv. SEMRush

 

Pada masa yang sama, kita juga concern dengan kedudukan artikel kita di laman enjin carian. Atas sebab itu, dalam setiap penulisan, seboleh-bolehnya kita akan ikut peraturan search engine optimization supaya artikel blog kita boleh mendapat kedudukan yang baik.

 

Lazimnya, selagi mana artikel yang kita hasilkan masih lagi berada di muka surat pertama enjin carian, untuk kata kunci tertentu yang kita sasarkan, selagi itulah blog kita akan ada pembaca.

 

Perubahan citarasa dan minat

Saya percaya setiap orang pasti mempunyai seseorang yang dianggap sebagai idola. Kalau dalam bidang penulisan, saya juga ada seseorang yang saya anggap sebagai idola.

 

Tanpa ada keperluan untuk menyebut nama individu tersebut, biar saya namakan diri beliau sebagai Tuan H.

 

Tuan H ni saya memang minat dengan hasil penulisan dia. Dia banyak menulis buku, dan kebanyakkan buku-buku dia saya beli dan jadikan koleksi. Dia juga aktif menulis di blog peribadi, menulis di akaun media sosial dan banyak lagi.

 

Apabila saya mula meningkat dewasa, saya dapati yang saya mula ada kemampuan untuk buat apa yang idola saya buat. In fact, ada beberapa perkara yang saya dapati saya mampu buat lebih baik berbanding Tuan H yang merupakan idola saya sejak dari dulu.

 

Pada waktu ini, saya mula merasakan beliau sebagai individu yang biasa-biasa sahaja.

Dulu saya merasakan dia hebat dan luar biasa orangnya sebab saya tak mempunyai pengetahuan dan ilmu yang dia ada. Tapi apabila saya belajar untuk jadi sama seperti yang dikecapi oleh Tuan H, saya dapati apa yang ada pada dirinya tidaklah sehebat mana.

 

Ilmu itu menjadikan kita mampu untuk melihat kehidupan melalui sisi pandang yang berbeza. Orang yang tak ada ilmu, benda yang simple dan biasa pun dia anggap sebagai hebat. Tapi bila dia sudah ada ilmu, baru dia nampak, apa yang berlaku hanyalah taktik semata-mata.

 

Apa yang saya nak tegaskan ialah begini. Sedarkah anda, bahawa followers, audience, pembaca kita akan sentiasa mengalami perubahan dalam diri mereka dan mereka akan sentiasa berkembang dengan peredaran masa.

 

Satu masa dulu, mungkin orang suka pada konten yang anda hasilkan, sebabnya konten anda ada unsur-unsur kelakar, macam bodo-bodo sikit, tapi lama kelamaan apabila benda yang sama asyik diulang-ulang, orang akan mula merasa bosan.

 

Cuba bayangkan situasi ini. Jika anda mula dikenali sebab anda melakukan satu aksi yang bodo-bodo, dan ia menjadi viral, bagaimana dan apa yang perlu anda lakukan untuk memastikan anda terus menjadi sumber perhatian?

 

Saya tak ada jawapan.

Tapi apa yang saya perhatikan, yang selalu dibuat ialah bila dia terkenal sebab buat perkara bodo-bodo, untuk kekal terkenal dia perlu ulang lakukan perkara lain yang tak kurang bodohnya.

 

Sampai satu tahap, saya merasakan mereka ini sebenarnya bukanlah menjual bakat yang ada pada diri mereka sebaliknya mereka hanyalah menjual maruah. Orang yang sungguh ada maruah pasti tak akan sanggup nak buat perkara-perkara sedemikian.

 

Bercakap mengenai perubahan citarasa ini, sebenarnya ia bukan semata-mata berlaku kepada pengikut kita semata-mata. Kita sebagai penulis pun akan lalui perkara yang sama.

 

Saya mula menulis blog sekitar tahun 2009.

Sekarang dah masuk tahun 2022, bermaksud saya telah pun menulis blog selama lebih kurang 13 tahun.

Sampai bila nak menulis blog?

Ini merupakan persoalan yang pasti akan terlintas dalam fikiran mereka yang pernah menjadi penulis blog.

 

Sesetengah penulis blog meletakkan had masa tertentu dalam kerjaya penulisan mereka. Sebagai contoh, mereka hanya nak menulis blog selama 5 tahun sahaja. Selepas tempoh masa tersebut, mereka nak bersara dan akan buat keputusan sama ada nak tutup blog tersebut ataupun nak biarkan sahaja blog tersebut cuma tak ada sebarang kemaskini terbaru.

 

Dalam keadaan ini, boleh ke kita katakan yang tindakan penulis tersebut nak berhenti menulis disebabkan penulisan blog itu sudah tak relevan dan sudah ketinggalan zaman?

Sudah tentu tidak.

Ia sebenarnya tak ada kena mengena pun dengan persoalan sama ada blog masih relevan ataupun tidak.

 

Saya melihat ini sebagai satu bukti bahawa penulis blog ada kebebasan untuk mula dan berhenti menulis pada bila-bila masa yang dia mahukan.

 

Kesimpulan

Diluar sana, memang terdapat individu yang merasakan blogging ini sudah ketinggalan zaman.

 

Namun disana juga, terdapat individu yang turut mengatakan blogging ini masih lagi relevan, namun jawapannya kurang meyakinkan pula. Bila kita baca, seolah-olah jawapan tersebut hanya untuk menyedapkan hati dan perasaan sendiri.

 

Blogging ini memerlukan kerja keras.

Setiap artikel yang dihasilkan, ia perlu ditulis dengan penuh perancangan. Kita tak boleh hasilkan artikel yang ala kadar, asalkan boleh update blog.

 

Pada saya, terdapat sekurang-kurangnya empat sebab yang akan membuatkan blogging ini terus relevan… sampai bila-bila.

 

Pertama, selagi mana penulis tersebut menghasilkan penulisan dan konten yang memang dicari oleh pengguna internet dan pembaca blognya, selagi itu blognya akan terus relevan. Dalam keadaan ini, blognya menjadi sumber maklumat dan rujukan diinternet.

 

Kedua, artikel yang dihasilkan memang padat, lengkap dengan informasi dan memang ada kajian yang dilakukan sebelum menerbitkan artikel tersebut. Pembaca yang akan baca artikel tersebut juga akan rasa puas hati dengan mutu dan kualiti artikel yang dihasilkan.

 

Sebaliknya, kalau penulis tersebut memang terkenal dengan kaedah link bait (atau click bait), iaitu dekat tajuk tulis lain konten tulis lain, alamatnya memang akan hilang pembaca. Dalam hal ini, ia bukannya sebab blogging tersebut dah tak relevan tapi sebab penulis tu sendiri yang menggunakan trik yang tak betul dalam penulisan yang dia hasilkan.

 

Ketiga, adalah faktor laman search enjin seperti google, bing dan juga Yahoo. Selagi mana laman-laman enjin carian ini masih lagi meletakkan kepercayaan kepada laman web jenis blog untuk berada di tempat teratas bagi hasil carian yang dibuat oleh penggunanya, selagi itu blog akan tetap relevan.

 

Contohnya seperti dibawah ini.

Saya cuba untuk mendapatkan ranking yang terbaik untuk kata kunci “tempat menarik di kota bharu” dan berikut adalah hasilnya.

 

Paparan dari enjin carian Google.

Paparan dari enjin cariang Bing.

Selagi mana laman enjin carian seperti ini masih lagi menyumbangkan trafik dan pembaca, saya percaya selagi itu blog ini akan tetap relevan. Berita baiknya ialah, laman web enjin carian lebih memberi keutamaan kepada laman web dan juga blog untuk berada dimukasurat hadapan berbanding laman media sosial.

 

Keempat adalah faktor program pengiklanan pay per click. Ini merupakan program pengiklanan yang boleh disertai oleh pemilik laman web dan blog. Dalam program ini, kita akan menyiarkan iklan-iklan dari pihak penyedia program.

 

Antara contoh program pengiklanan yang popular adalah seperti

i. Google Adsense

ii. Mediavine

iii. Bidvertiser

iv. Innity

 

Program pengiklanan ini cukup mudah. Kita hanya perlu siarkan iklan milik penyedia program yang kita sertai dan selepas itu kita hanya perlu menulis blog seperti biasa. Selagi mana iklan tersebut muncul di blog kita, dan blog masih lagi menerima trafik, selagi itu pendapatan dari program pengiklanan akan berjalan dengan sendirinya.

 

Now… kalau anda mempunyai blog dan blog anda menjana pendapatan secara pasif, adakah anda akan stop menulis blog? Usually, orang yang stop blogging ni adalah mereka yang tak berjaya jana pendapatan dari blog, lepas tu mereka mulalah mengeluarkan komen yang agak negatif tentang bidang penulisan ini.

 

At some point, saya rasa bagus juga kalau orang kata menulis blog ini dah tak relevan. Setidak-tidaknya, orang yang bercakap sedemikian akan memilih untuk tak menjadi penulis blog.

 

Sedikit sebanyak, akan menjadikan persaingan untuk merebut kedudukan yang bagus di search engine Google akan jadi semakin kurang. Bila tak ramai penulis blog di Malaysia, sekurang-kurangnya ini juga akan menjadikan persaingan sesama penulis blog juga akan semakin berkurang.

 

Platform baru, seperti media sosial, tiktok dan saya pun tak tahu apa lagi yang akan muncul dikemudian hari, hanya bagus dan nampak gempak di peringkat permulaan sahaja. Lambat-laun, apabila ianya mula mendapat pengguna yang ramai, ia juga akan mula memperkenalkan pelbagai terma dan syarat baru dan tak mustahil untuk mereka mengubah algorithma.

 

Situasi seperti akaun kena banned juga akan terjadi secara berleluasa, sama seperti yang terjadi kepada pengguna platform blog percuma blogspot. Biasanya akaun akan kena banned disebabkan anda melanggar polisi pengguna serta terma dan syarat yang ditetapkan.

 

Tak kan pada waktu tu, kita juga nak kata kesemua platform tersebut sudah tak relevan juga?

 

Anda ada pendapat yang berbeza? Boleh kongsikan dekat bahagian komen ya.

 

 

Exit mobile version