Blog Sabree Hussin

Kesilapan yang biasa dilakukan oleh penulis blog yang masih baru

Melakukan kesilapan adalah satu bukti bahawa kita pernah mengusahakan sesuatu. Seharusnya kita tak perlu takut dengan kesilapan, sebaliknya kita ambil peluang ini untuk belajar dari kesilapan yang telah kita lakukan, dan berusaha untuk ambil langkah dan tindakan yang lebih baik di masa akan datang.

 

Kita lagi mudah untuk ingat kesilapan yang pernah kita buat, berbanding perkara-perkara betul yang kita lakukan.

 

Bila kita sedar yang kita telah buat satu kesilapan, kita pasti akan bertekad untuk tidak mengulanginya, apabila berhadapan dengan situasi yang lebih kurang sama.

 

Walaubagaimanapun, saya tidaklah menggalakkan anda untuk buat kesilapan dengan sengaja bagi tujuan pembelajaran. Anda belajarlah dari pengalaman orang lain, yang pernah lakukan kesilapan.

Setidak-tidaknya, bila kita tau apa kesilapan yang orang lain pernah lakukan, terutama individu yang kerja sama bidang dengan kita, ini dapat menjadikan kita lebih berjaga-jaga supaya tidak ulangi langkah yang sama.

 

Kali ini saya akan kongsikan antara bentuk-bentuk kesilapan yang kerap dilakukan oleh penulis blog yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Sebahagian daripada kesilapan yang saya ceritakan dalam artikel ini, adalah kesilapan yang saya sendiri pernah lakukan.

 

Antara kesilapan yang dilakukan oleh penulis blog

(1) Syok sendiri bila menulis

“Blog aku suka hati akulah nak tulis macam mana pun…”

 

Blog adalah suatu medium untuk kita menyampaikan maklumat dan berkomunikasi dengan kelompok sasaran kita. Apabila kita menulis dalam blog, kita sebenarnya ingin menyampaikan sesuatu mesej yang penting.

 

Misalnya dalam artikel yang sedang anda baca sekarang ini. Mesej yang saya ingin sampaikan ialah jangan ulang atau lakukan kesilapan yang pernah saya lakukan dan saya harap lepas ini anda akan jadi seorang penulis blog yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini.

 

Saya perlu tulis artikel ini dan sampaikan mesej tersebut dengan sebaik-baiknya, agar golongan pembaca sasaran dapat terima mesej ini. Tetapi, kalau saya ambil pendekatan “sukahati la aku nak tulis apa…” alamatnya memang mesej tu tak sampai kepada orang yang saya mahukan.

 

Sikap macam tu tak berapa baik dalam bidang ini. Saya rasa daripada anda tulis blog, lebih baik anda tulis diari sahaja.

 

Saya sudah beberapa kali menerima emel dari pembaca blog saya. Ada antara mereka yang menyuarakan hasrat untuk ada blog sendiri, sebab mereka tertarik untuk buat duit dengan blog, sama macam yang saya sedang lakukan sekarang ini.

 

Saya sangat menggalakkan para pembaca blog ini untuk ceburkan diri dalam bidang penulisan blog dan buat duit dengan blog. Jika dibuat dengan betul, In Shaa Allah pasti boleh dapat hasilkan pendapatan. Kalau nak guna duit itu untuk buat bayaran balik pinjaman PTPTN pun boleh nanti.

 

Tapi yang saya agak kecewa, bila saya tanya nak buat blog tentang apa, dia jawab nak tulis pasal diri dia, cerita hal keluarga dan sebagainya.

 

Sebenarnya kalau nak buat duit dengan blog, bukannya tak boleh nak tulis artikel berbentuk kisah peribadi seperti itu, memang boleh. Cuma sekadar selingan sahaja. Bukannya keseluruhan blog tentang kisah peribadi.

 

Kalau serius nak buat duit dengan blog, pada peringkat permulaan itu, pilihlah topik yang kita tahu ada potensi untuk buat untung.

Baca disini: Memilih topik yang sesuai bagi memulakan projek buat duit dengan blog

 

Masalah bila kita pilih topik yang tak ada orang minat, pelawat pun tak akan masuk dan baca konten dalam blog kita.

 

(2) Tidak mempunyai perancangan dan hala tuju

Lima tahun dari sekarang, apa yang anda rasa akan jadi pada blog anda?

 

Kena ingat, lima tahun tu satu jangka masa yang agak panjang. Kalau dekat Malaysia, dalam masa lima tahun itu, macam-macam pembangunan boleh dijalankan. Itupun dengan syarat kalau laman blog tersebut sentiasa dijaga dan dikemaskini selalu.

 

Biarlah kalau dalam masa satu atau dua tahun ini, nampak macam sendu je perjalanan anda dalam arena penulisan blog. Tapi, apabila anda masih lagi konsisten menulis dan menghasilkan konten-konten yang berkualiti tinggi, anda pasti terkejut dengan pencapaian yang bakal dihasilkan pada tahun kelima nanti.

 

Waktu itu, jumlah trafik yang masuk ke blog anda pasti sudah berkali ganda lebih banyak.

Anda sudah mempunyai peminat dan pengikut anda sendiri.

Anda sudah ada banyak pengalaman menghasilkan artikel, sama ada artikel jenis review, perkongsian pengalaman, tutorial, cerita dan sebagainya.

Anda akan lebih mudah dapat tawaran job menulis artikel.

 

Kalau anda tida mempunyai perancangan jangka panjang untuk blog anda, saya syorkan anda guna sahaja paltform percuma dari blogspot atau wordpress.com untuk bangunkan blog anda.

Baca juga: Blogging platform mana yang patut dipilih? WordPress atau Blogspot?

 

Setidak-tidaknya nanti selepas lima tahun, blog anda masih wujud walaupun sudah tidak dikemaskinikan lagi.

 

(3) Konten terlalu sedikit

Masalah konten terlalu sedikit ini akan beri kesan kepada jumlah trafik yang masuk ke blog kita secara natural. Saya lebih suka menulis di blog, berbanding menulis di laman media sosial sebabnya konten yang kita siarkan di blog, akan muncul di muka surat pertama google bagi kata kunci yang kita sasarkan.

 

Apabila artikel blog kita dah mula masuk ke muka surat pertama google, waktu itu kita akan mendapat pelawat secara automatik, walaupun kita tak mempromosikan blog kita.

 

(4) Artikel tidak mempunyai pengisian

Jenis artikel seperti ini memang sangat banyak. Saya rasa anda juga pernah jumpa artikel yang seumpama ini.

 

Bila kita baca artikel tu, tiga perenggan yang pertama walaupun agak panjang, tapi ia langsung tak mempunyai isi penting, dan ia cuma pendahuluan semata-mata.

 

Perenggan pertama dia bagi salam dengan ucapan serta kata aluan. Perenggan kedua dia cerita tentang kucing dia yang asyik gigit kaki dia semasa dia sedang cuba siapkan artikel tersebut. Perenggan ketiga dia cerita tentang macam mana dengan tiba-tiba dia terasa haus dan nak minum air.

 

Padahal artikel yang dia tulis tu, dia sedang cerita tentang kelebihan dan kebaikkan kad kredit. Tapi dalam artikel tu penuh dengan pengisian yang langsung tak berkaitan.

 

Mungkin dia buat macam tu, sebab nak bagi nampak artikel tersebut panjang. Tapi kalau panjang tanpa sebarang pengisian, ini juga tak berapa baik.

 

Kalau artikel itu panjang sebab memang ada banyak perkara yang hendak dikongsikan, itu tak menjadi masalah. Yang menjadi masalah bila ia panjang sebab penulisnya sengaja menulis dengan meleret-leret.

 

(5) Tidak memperbaiki skil penulisan

Skil penulisan kita, perlu sentiasa dipertingkatkan. Kalau dulu, kita cenderung untuk tulis meleret-leret dan panjang semata-mata untuk menyampaikan sesuatu point, kali ini kita cuba belajar untuk tulis dengan ringkas tetapi maksudnya jelas.

 

Selain itu, saya juga ingin menggalakkan anda untuk pelajari teknik-teknik penulisan yang ada. Belajar juga macam mana nak hasilkan penulisan bagi tujuan menjual sesuatu.

 

Teknik penulisan copywriting adalah salah satu teknik penulisan yang perlu anda pelajari dan kuasai kalau nak menjual sesuatu melalui penulisan.

 

(6) Menyerah terlalu awal

Ini pun satu kesilapan besar yang patut anda cuba elakkan. Tolonglah, jangan menyerah terlalu awal, apabila anda ingin masuk dalam bidang ini.

 

Saya faham, awal-awal ini memang kita rasa macam apa yang kita buat ini seperti tidak memberikan sebarang hasil. Tapi percayalah, benda yang nampak macam buang masa dan tak ada hasil ini, jika dibuat dengan konsisten, ia akan jadi satu projek buat duit yang besar juga.

 

Kalau anda menyerah kalah terlalu awal, ketika anda masih belum hasilkan sebarang pendapatan, maka sampai bila-bilalah anda tak akan berjaya dalam bidang ini.

 

Tapi kalau anda sanggup tunggu, sabar dan teruskan usaha murni anda tu, saya yakin anda juga pasti akan dapat hasilnya.

 

Cuma jangan cepat sangat menyerah kalah sebelum anda dapat hasil daripada kerja-kerja penulisan dan penghasilan konten untuk blog anda tu.

 

 

Exit mobile version