Blog Sabree Hussin

5 Pelaburan yang perlu dilakukan jika anda ingin jadi Penulis

Tahukah anda, yang sebenarnya semua orang boleh menceburi bidang penulisan dan menjana pendapatan melalui kerja-kerja penulisan yang dilakukan. Ini bukanlah satu rahsia yang begitu besar.

 

Ilmu penulisan telah diajar oleh guru-guru kita sewaktu dibangku sekolah lagi. Kalau satu masa dulu, kita menghasilkan suatu karangan untuk dapatkan markah yang tinggi, kali ini dengan ilmu yang sama, kita menghasilkan suatu karangan bagi tujuan menarik rezeki.

 

Bidang penulisan ini, kita boleh lakukan secara suka-suka dan sambil lewa, ataupun jika anda mahu, ia juga boleh dilakukan secara serius. Pendapatan anda juga berkait rapat dengan sejauh mana tahap keseriusan anda dalam bidang ini.

Katakanlah anda nak serius dalam bidang ini, maka sampai satu tahap, anda perlu buat sesuatu untuk memastikan hasil kerja anda berada ditahap yang terbaik. Apabila hasil kerja anda bagus, tidak mustahil kalau pada waktu itu pendapatan yang anda bakal hasilkan juga lebih tinggi berbanding penulis lain yang sama bidang dengan anda.

 

Saya namakan ini sebagai satu pelaburan WAJIB yang kita perlu lakukan bagi mendapatkan hasil yang terbaik, dalam kerjaya kita sebagai penulis. Pada pendapat saya, berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri, ini adalah lima perkara yang kita perlu siap sedia untuk laburkan duit kalau nak serius dalam bidang ini.

 

(1) Sebuah komputer atau laptop yang bagus

Komputer riba yang pertama yang saya beli adalah dari jenama Acer. Waktu tu, saya beli laptop ini bagi memudahkan saya membuat assignment sewaktu belajar di universiti.

 

Satu hari, saya terbaca kisah tentang bagaimana diluar negara ada individu yang buat duit melalui blog hanya dengan menulis kisah-kisah peribadi. Blognya menjadi rujukan dan pembaca blognya datang dari pelbagai negara.

 

Saya mula tertarik dengan kisah tersebut, dan dari situ saya mula memberanikan diri untuk cuba lakukan perkara yang sama. Rasa agak rugi, bila dah ada laptop sendiri tapi tak cuba buat duit.

 

Memandangkan saya lebih terpengaruh untuk buat duit menerusi blog, jadi saya kurang ambil perhatian dengan potensi dan peluang buat duit sebagai penulis buku. Tapi bila ada peluang, saya juga akan bantu mempromosikan buku-buku yang ditulis oleh penulis-penulis lain dalam blog ini.

Baca juga: Panduan buat duit dengan blog dari pengalaman sebenar

Sebagai penulis, kita tak perlukan komputer atau laptop yang mahal-mahal. Tapi jika anda mampu untuk beli komputer yang mahal, itu semua terpulang pada anda.

survey harga laptop kat sini

 

Perisian yang bakal kita gunakan sebagai penulis pun tak begitu banyak. Besar kemungkinan anda hanya akan gunakan Microsoft Word. Manakala kalau anda ingin jadi penulis blog, anda akan gunakan sistem wordpress self hosted. Itu sahaja.

 

Laptop saya yang pertama dulu, setelah 3 atau 4 tahun, ia mula bermasalah. Laptop cepat panas dan sampai masa dia akan hang. Sedikit sebanyak ia sangat mengganggu kerja-kerja penulisan yang saya sedang lakukan. Kadang-kadang idea boleh hilang, bila kita lambat tuliskan idea tersebut dalam artikel yang bakal dihasilkan.

 

Laptop yang bagus, atau setidak-tidaknya yang sesuai untuk melancarkan kerja-kerja penulisan adalah satu pelaburan yang sangat penting untuk anda lakukan.

(2) ILMU dan pendidikan yang berterusan

Bila saya mula berada dalam bidang ini, baru saya nampak rupa-rupanya ada terlalu banyak teknik dan cara penulisan yang boleh kita gunakan.

 

Apabila kita menulis dengan ilmu, ia dapat menjadikan hasil kerja kita jadi lagi menarik. Dengan ilmu juga, kita boleh pelbagaikan cara persembahan dan hasil penulisan kita.

 

Bercakap pasal ilmu penulisan, sebenarnya ada beberapa ilmu penulisan yang anda patut pelajari. Salah satu yang saya kerap sebutkan dalam blog ini ialah ilmu copywriting. Ilmu copywriting ini sangatlah penting, terutama sekali untuk mereka yang nak buat duit dengan penulisan.

 

Teknik atau ilmu copywriting ini adalah satu teknik penulisan yang mana jika diamalkan ia mampu untuk buatkan pembaca seronok membaca hasil penulisan kita, dan jika kita menjual sesuatu, sama ada produk mahupun servis melalui penulisan kita, pembaca akan rasa yakin dan teruja untuk membuat pembelian.

Salah satu pelaburan terhadap ilmu copywriting yang saya sendiri pernah dapatkan sebelum ini adalah produk Kamus Copywriting. Ia memudahkan saya untuk hasilkan artikel dengan pantas dan dilengkapi dengan elemen copywriting yang boleh menghasilkan jualan.

 

(3) Bina networking

Cari masa untuk bina rangkaian dengan penulis lain. Anda mungkin akan dapat pelajari beberapa perkara baru, ataupun boleh dapat mengetahui peluang-peluang baru, sama ada peluang untuk bekerjasama untuk tulis buku, peluang untuk jadi penceramah jemputan dan sebagainya.

 

Bina networking ini tak semestinya dengan sesama individu yang sama bidang dengan kita sahaja. Sepatutnya, siapa yang nak jadi penulis, patut luaskan lagi rangkaian persahabatan.

 

Cuba berkenal-kenalan dengan individu yang menjalankan bisnes. Tak kiralah sama ada bisnes homestay, bisnes kedai dobi, bisnes kedai makan dan sebagainya. Dari situ kita boleh belajar banyak perkara, tanpa kita perlu susah payah nak bekerja dengan mereka.

 

Kita boleh bertukar-tukar idea, pendapat dan pengalaman.

 

Malahan jika kita bernasib baik, kita boleh dapat peluang untuk bekerjasama dengan mereka atau dapat job untuk mempromosikan perniagaan yang mereka jalankan.

 

Kalau nak bina networking sesama penulis, biasanya kita boleh temui mereka dalam program atau event yang berkaitan dengan penulisan. Kalau dulu, syarikat Lazada kerap adakan event yang dihadiri oleh blogger dan juga social media influencer. Salah satu event yang saya sendiri pernah hadiri ialah Majlis Pelancaran Smartphone jenama Xiaomi Redmi 4A.

 

Ada masanya kita pun tak sangka, dengan siapa yang kita akan jumpa dan dengan siapa kita akan berkenalan. Macam sebelum ini, melalui penulisan di blog, saya berkenalan dengan Pn Diyana yang merupakan seorang akauntan bertauliah dan telah berkhidmat dengan syarikat Real Management Services.

 

Dari perkenalan tersebut, banyak juga saya pelajari selok belok tentang sistem percukaian di negara kita, sedangkan sebelum ini saya tak begitu ambil kisah tentang hal tersebut. Jika anda ada sebarang persoalan tentang cukai, sama ada cukai peribadi ataupun cukai korporat, bolehlah bertanya kepada Pn Diyana. Whatsapp sahaja 011-2720 4420 atau boleh ke laman web ini https://realmanagementservices.com

 

(4) Buku, majalah dan lain-lain bahan bacaan

Kerjaya menulis dan bahan bacaan memang tak boleh dipisahkan. Kalau nak banyak idea untuk dijadikan bahan penulisan, maka nak tak nak kenalah banyakkan membaca.

 

Bukan semua perkara yang kita nak tulis tu, kita boleh tulis berdasarkan pendapat semata-mata. Ada masanya pendapat kita salah. Pandangan kita tak kena pada tempatnya.

 

Sesetengah isu perlu dikupas berdasarkan fakta, sama ada fakta sejarah mahupun fakta sains. Baru-baru ini, saya mula berminat nak tahu dengan lebih mendalam tentang sistem percukaian di negara kita. Untuk menulis artikel yang menyentuh topik cukai, seperti cukai peribadi dan sistem taksiran sendiri, saya perlu banyakkan membaca buku berkenaan cukai.

 

Benda ini memang tak boleh nak tulis ikut sedap hati. Kena ada bahan rujukan yang berkaitan dengan topik yang ingin ditulis barulah boleh hasilkan sebuah artikel. Saya suka tulis apa yang saya pernah baca sebelum ini, supaya saya lebih mudah faham dan boleh ingat sesuatu perkara.

 

Buku-buku dan bahan bacaan ini adalah salah satu perkara yang berbaloi untuk dibeli. Perbelanjaan anda untuk beli buku tidak akan sia-sia, sebabnya selain boleh tambahkan ilmu, ianya juga boleh dapat pelepasan cukai sebanyak RM2,500 dibawah perbelanjaan untuk gaya hidup.

 

Tapi kalau anda sama seperti saya, dah pening kepala sebab tak tahu nak simpan buku kat mana, baik pinjam sahaja buku dari Perpustakaan Negara.

 

(5) Pengalaman yang hebat

Kalau setiap masa hanya duduk depan laptop untuk menulis, sampai satu tahap, minda akan terasa letih. Cari peluang untuk keluar dan lihat dunia luar.

 

Ya, pergilah bercuti.

 

Anggaplah percutian ini sebagai satu pelaburan yang anda WAJIB lakukan sebagai seorang penulis. Bila kita banyak berjalan, melihat budaya dan cara hidup masyarakat lain, melihat pemandangan menarik dan menghayati kebesaran tuhan, pada waktu tu minda kita akan bekerja dengan lagi baik.

 

Kita juga akan jadi lebih kreatif. Pada waktu itu, kita akan mula melihat kehidupan melalui sudut pandang dan perspektif yang berbeza. Lagipun mana sama, pengalaman yang bakal kita lalui, antara kita baca pengalaman orang lain dengan kita sendiri melalui pengalaman tersebut.

 

Ini lima perkara yang kita perlu dapatkan, kalau nak pergi jauh dalam bidang ini dan boleh mantapkan lagi skil penulisan. Anda rasa, ada lagi tak yang kita perlu laburkan? Kalau ada, apa kata anda kongsikan pendapat anda dibahagian komen dibawah ini ya.

 

 

Exit mobile version