Blog Sabree Hussin

Panduan buat duit dengan blog dari pengalaman sebenar

Tahukah anda, bahawa orang yang ada blog sebenarnya sangat beruntung. Kenapa saya kata sangat beruntung?

 

Mereka ini adalah orang yang beruntung sebab dia boleh buat duit dengan blog yang dia miliki. Orang yang ada blog, kalau dia tau teknik-teknik dan strategi yang betul untuk menguruskan blog miliknya, In Shaa Allah dia juga boleh hasilkan income sekitar RM400 – RM1,000 setiap bulan melalui blog miliknya.

 

Tapi itulah… kebanyakkan dari kita tak manfaatkan blog dengan sebaiknya. Benda yang boleh memberikan pendapatan, tidak diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Sebaliknya benda yang tak memberikan sebarang income, itu yang diberikan perhatian lebih pula.

 

Saya buka laman web google. Kemudian, saya taip kata kunci “buat duit dengan blog” lalu saya tekan butang search

Terkejut. Rasa macam tak percaya pun ada. Tak sangka, rupa-rupanya, langsung tak ada artikel dalam blog saya, yang berjaya muncul di muka surat pertama atau kedua untuk kata kunci tersebut.

 

Maknanya, kalau ada pengguna internet yang mencari info tentang cara nak jana pendapatan menerusi blog, dia mungkin tak akan jumpa laman blog saya. Bila dia tak jumpa laman blog saya, maka sampai bila-bila dia tak akan kenal blog ini.

 

Ini tak boleh jadi. Saya kena do something. Maka akhirnya saya buat keputusan untuk tulis artikel ini. Saya rasa ada baiknya saya kongsikan serba sedikit pengalaman yang tak seberapa ini, sebagai panduan buat mereka yang ada menyimpan hasrat untuk menjadikan blognya sebagai medium untuk buat duit.

 

Manalah tahu, lepas saya publish entri ini, nanti artikel ini akan masuk ke page pertama google untuk kata kunci buat duit dengan blog atau panduan buat duit dengan blog. Mudah-mudahan dapat beri manfaat kepada pembaca.

 

1.0 Peringkat permulaan

Blog pertama saya, saya bina menggunakan platform percuma dari blogspot. Proses untuk menghasilkan laman blog menggunakan platform blogspot ini sangat mudah. Asalkan anda mempunyai akaun google, atau akaun gmail, anda dah boleh daftarkan blog anda.

 

Saya suka blogspot sebab ianya mudah untuk digunakan, PERCUMA dan ia merupakan platform yang cukup popular dalam kalangan blogger pada ketika itu. Jadi, kalau ada sebarang masalah, misalnya seperti tak tau macam mana nak install widget dan sebagainya, ada ramai blogger yang boleh kita jadikan tempat rujukan.

 

Buat duit dengan blogspot

Saya akan kongsikan secara ringkas, bagaimana cara untuk bina laman blog menggunakan platform percuma dari blogspot.

 

Mula-mula sekali, layari laman web https://www.blogger.com/

Paparan seperti dibawah akan kelihatan.

Klik pada butang sign in.

 

Jika ini merupakan kali pertama anda ingin membina blog anda sendiri, paparan seperti berikut akan kelihatan.

Pada peringkat ini, anda akan diminta untuk memasukkan tajuk bagi blog anda. Kalau ini adalah blog peribadi, saya akan tulis tajuk seperti “Blog Sabree Hussin”.

 

Seterusnya tekan butang NEXT untuk langkah seterusnya.

Pada langkah ini, anda akan diminta untuk mengisi Address bagi blog anda.

Istilah Address dekat sini sebenarnya merujuk kepada link url untuk blog anda. Sebagai contoh, saya akan letak “sabreehussin” dan tekan butang NEXT untuk ke langkah seterusnya.

 

Apabila ada pembaca yang nak baca blog kita, kita akan berikan kepada mereka link url “sabreehussin.blogspot.com”

Link itulah yang dipanggil sebagai address atau alamat URL (Uniform Resource Locator) blog kita.

 

Orang yang suka pakai blogspot ini mungkin sebab platform ini membenarkan penggunanya untuk customize blog mengikut selera dan style yang kita mahukan. Ada pengguna yang pandai menukar cursor mouse jadi bentuk rama-rama, blog ada efek seperti salji sedang turun, boleh masukkan muzik latarbelakang, boleh design macam-macam style header untuk blog dan banyak lagi.

 

Pada masa ini, appearance nampaknya lebih penting berbanding performance.

Kalau bercakap dari konteks nak buat duit online, kita boleh katakan yang menggunakan blogspot ini ibarat kita buat duit tanpa keluar modal.

 

Selepas sekian lama guna blogspot, kalau tak silap saya dalam 3 ke 6 bulan macam tu, saya dapati ada beberapa perkara yang saya kurang berpuas hati dengan platform blogspot. Ini antaranya

 

i. Alamat url blog yang bagi saya agak panjang

Cuba bandingkan antara kedua-dua bentuk url dibawah.

sabreehussin.com

sabreehussin.blogspot.com

 

Mana satu yang nampak lebih profesional? Sudah tentu yang lebih pendek, which is yang pertama tu, kan.

Kalau nak letak link url dalam business card yang kita nak edarkan kepada orang lain, nampak lebih profesional dan kemas, kan?

 

Kalau anda menjalankan perniagaan, dan masih lagi menggunakan alamat url .blogspot.com … ini memberi gambaran seolah-olah bisnes anda tak begitu bagus sebab nak sewa nama domain pun tak kan tak mampu?

 

Anda boleh beli nama domain sahaja, dan masih lagi menggunakan platform blogspot. Tapi, cara ini masih tak menyelesaikan isu seterusnya.

 

ii. Agak sukar untuk optimasikan blogpost bagi tujuan Search Engine Optimazation (SEO)

Bagi blogger yang sudah berpengalaman, mungkin istilah SEO ini bukanlah sesuatu yang asing. Tapi bagi mereka yang masih baru dengan kerja penulisan blog, mungkin agak sukar untuk membuat analisis pada artikel yang dihasilkan, sama ada ianya mesra SEO ataupun tidak.

 

Berbeza dengan mereka yang menggunakan platform wordpress self hosted. Pengguna platform ini boleh memasang plugin khas, sebagai contoh Yoast SEO bagi tujuan memudahkan kerja-kerja SEO.

Sebagai pengguna wordpress, saya boleh katakan kerja-kerja menghasilkan artikel yang mempunyai score yang baik dari segi SEO jadi sangat mudah apabila menggunakan plugin ini. Plugin ini akan membantu membuat analisis bagi artikel yang kita hasilkan.

 

iii. Agak sukar nak dapatkan organic traffic yang masuk ke blog menerusi teknik SEO

Organik trafik merujuk kepada pelawat yang datang dengan sendirinya tanpa melibatkan kerja-kerja pemasaran yang kita lakukan. Pelawat jenis ini biasanya berpunca dari laman enjin carian.

 

Point ini ada kaitan dengan point nombor ii. Kalau blog kita agak sukar untuk mendapat ranking yang baik di search engine seperti Google, kesannya kita juga akan sukar mendapatkan pelawat organik.

 

Kalau anda perasan, kebanyakkan laman web atau laman blog yang menduduki tempat pertama, adalah laman blog yang menggunakan nama domain sendiri, bukannya pengguna blogspot.com ataupun wordpress.com

Baca juga: Mana satu platform blogging yang patut dipilih? WordPress atau blogspot?

 

2.0 Berkenalan dengan blog wordpress self hosted

Kemudian saya dapati, ada penulis blog yang menggunakan wordpress self hosted sebagai platform blog. Blog mereka nampak sangat berbeza berbanding mereka yang guna platform percuma dari blogspot.

 

Jiwa remaja saya mengatakan, guna blogspot lebih baik dan nampak lebih cool. Ada macam-macam special effect yang kita boleh masukkan dalam blog. Tapi saya juga sedar, saya tak akan jadi remaja sampai bila-bila. Satu hari nanti, saya akan meningkat usia dewasa juga, dan pada waktu itu, sudah tentu penilaian saya akan berubah.

 

Content adalah lebih penting berbanding special effect bling bling.

 

Walaupun kebanyakkan blog yang dibangunkan menggunakan wordpress, nampak simple, tiada design bling bling, namun disitu nampak ada elemen professionalism. Saya terus jatuh hati dengan wordpress, dan tak lama lepas tu, saya mula kumpul duit untuk beli domain dan hosting.

Syarikat NetKL adalah syarikat web hosting pertama yang saya gunakan untuk dapatkan nama domain dan hosting. Saya masih lagi gunakan perkhidmatan mereka sampai sekarang.

 

Walaupun saya telah cuba beberapa syarikat hosting yang berbeza sepanjang beberapa tahun kebelakang ini, akhirnya saya pindahkan semua domain dan hosting saya dari syarikat lain ke Netkl.

Baca juga: Panduan langkah demi langkah cara beli domain dan hosting dari NetKL

 

3.0 Buat duit dengan blog menerusi program pengiklanan Nuffnang

Saya pernah lalui saat-saat manis dengan syarikat pengiklanan Nuffnang. Bawah ni adalah cek terawal yang saya terima dari Nuffnang.

Walaupun sekarang ni income Nuffnang yang saya terima tidaklah sehebat dulu, namun saya pernah melalui saat paling menggembirakan dengan program pengiklanan ini. Program pengiklanan ini masih lagi wujud sampai sekarang, dan jika anda adalah seorang yang penyabar, bolehlah sertai program ini.

 

Dari apa yang saya perhatikan, nak dapat RM5 sebulan pun cukup susah dengan program ini, walhal trafik blog ini tidaklah teruk sangat. Saya pernah menghubungi pihak support Nuffnang dan menyuarakan kebimbangan saya mengenai pendapatan dari Nuffnang yang seolah-olah tak bergerak.

 

Walaubagaimanapun, saya menerima jawapan balas yang agak standard. Saya pun dah tak berapa ingat, apa jawapan balas yang saya terima, tapi ada beberapa point yang saya masih ingat, seperti

i. Pendapatan setiap blogger adalah berbeza mengikut kempen yang dianugerahkan

ii. Blog yang ada banyak trafik boleh menjana pendapatan yang lebih besar berbanding blog yang rendah trafik

 

Syarikat dan laman web Nuffnang ini masih lagi beroperasi sampai ke hari ini.

Anda boleh layari https://www.nuffnang.com.my/

Walaubagaimanapun, pada hari ini laman web mereka telah mengalami banyak perubahan seiring dengan ekosistem penggunaan internet pada hari ini. Kalau dulu, mereka lebih fokus kepada blog dan blogger, kini mereka luaskan lagi fungsi mereka dengan bekerjasama dengan influencer dari pelbagai platform.

 

4.0 Program pengiklanan Google Adsense

Pada peringkat permulaan saya mula menulis blog, saya pernah mendaftar untuk menjadi seorang penyiar (publisher) iklan-iklan dari Google Adsense. Tapi sayangnya, tak sampai setahun akaun Google Adsense saya kena banned dengan pihak Google.

 

Saya cuba dapatkan kepastian dan penjelasan, kenapa adsense banned akaun saya? Tapi macam biasa, tiada jawapan. Lagipun, google menutup saluran komunikasi, dan emel yang dihantar kepada saya pun menggunakan alamat emel “No Reply”.

 

Apabila akaun google adsense kena banned, memang semangat nak menulis blog agak luntur. Tapi, saya percaya, rezeki dalam bidang penulisan blog ini, bukan hanya datang dari program iklan google semata-mata.

Bermula dari hari tersebut, saya mula fokus kepada program affiliate marketing.

 

Kalau dalam program pengiklanan seperti Google Adsense, kita perlu fokus untuk dapatkan seberapa banyak trafik untuk masuk ke dalam blog kita.

Tetapi, kalau dalam program affiliate kita perlu fokus untuk hasilkan artikel yang boleh menghasilkan jualan.

 

Kemudian, bermula tahun 2017 macam tu saya mula menyiarkan kembali iklan-iklan dari Google Adsense. Apa yang saya buat, saya daftar semula ke program Google Adsense ini menggunakan nama isteri saya. Alamat pun saya guna alamat isteri di kampung.

 

Alhamdulillah, pendaftaran kali ini berjaya. Akhirnya setelah sekian lama blog ini kembali menyiarkan iklan dari Adsense. Tak sia-sia selama ini invest duit untuk beli panduan macam mana nak buat duit dengan Adsense.

 

Baru-baru ini, saya tergerak hati untuk cuba login ke akaun Google Adsense menggunakan alamat email saya yang pernah kena banned dari program ini. Saya tak sangka, rupa-rupanya email saya dah tak di banned! Eh… macam ni pun boleh ya?

 

Kalau tak ada apa-apa masalah, In Shaa Allah lepas ni saya akan ada dua akaun adsense, satu menggunakan nama saya, dan satu lagi menggunakan nama isteri saya. Mudah-mudahan dari kedua-dua akaun adsense ini nanti, ada income yang akan terhasil.

 

5.0 Google Adsense Alternative

Sebenarnya, ada banyak program-program pengiklanan yang boleh dijadikan sebagai pilihan dan alternatif kepada adsense. Kalau blog anda tak cukup syarat untuk menyiarkan iklan dari Google, atau atas sebab-sebab tertentu, akaun anda kena banned, mungkin boleh pertimbangkan untuk join program pengiklanan dari syarikat lain.

 

Alternatif bagi Google Adsense

Ada beberapa program yang anda boleh sertai, sebagai alternatif bagi Google Adsense.

 

i. Birvertiser

Saya pilih untuk sertai program pengiklanan Bidvertiser selepas beberapa bulan akaun Google Adsense saya kena ban.

Program ini tidaklah sehebat Google Adsense, dan saya dapati iklan yang selalu keluar dalam blog adalah iklan-iklan yang tak begitu relevan dengan konten artikel yang saya tulis.

 

Satu perkara yang saya suka tentang program ini ialah proses untuk dapatkan kelulusan adalah lebih mudah, dan nak cash out earning juga tidak begitu payah.

 

Kita cuma perlu pastikan earning kita dah mencapai USD10 untuk dapat bayaran. Bayaran pula akan dibuat secara automatik ke akaun Paypal milik kita. Kalau Adsense, kita kena tunggu ada USD100 baru boleh dapat payment.

Baca juga: Buat duit dengan Program Pengiklanan Bidvertiser

 

Pada waktu catatan ini saya tulis, saya sudah tidak siarkan iklan dari bidvertiser sebab saya nak fokus kepada program affiliate.

 

Saya tak tahu apa silapnya, dengan tak semena-mena akaun publisher saya kena terminate dengan pihak bidvertiser. Rasa frust juga, tapi mujur la… saya dah dapat adsense, setidak-tidaknya pendapatan saya dari program pengiklanan tidak terputus begitu sahaja.

 

6.0 Program pengiklanan Pay Per Click

Peringkat permulaan, saya hanya fokus untuk buat duit dengan blog melalui program pengiklanan sahaja. Setiap hari saya akan update blog dan kena pastikan blog yang saya miliki menerima trafik yang banyak.

 

Untuk mendapatkan pendapatan yang tinggi melalui blog, kita perlu pastikan blog kita mempunyai trafik yang tinggi.

Kemudian, saya terfikir, sampai bila aku nak buat duit dengan cara ni? 

 

Tahukah anda, berapakah nilai bagi setiap klik pada iklan yang kita siarkan diblog kita? Kalau anda nak tahu, bayaran yang kita akan terima sebenarnya tak banyak pun. Contohnya, kalau kita siarkan iklan Nuffnang.

 

Setiap klik, nilainya cuma RM0.25 – RM1 sahaja.

Katakanlah, setiap klik nilainya ialah RM0.25 sahaja. Berapa banyak klik yang diperlukan untuk saya dapat RM100? Saya perlu dapatkan sekurang-kurangnya 400 klik!

 

Nak dapatkan trafik bukannya senang. Nak dapatkan trafik yang tekan klik pada iklan juga bukan sesuatu yang mudah. Oleh yang demikian, kalau saya nak betul-betul fokus buat duit dengan cara ini, saya perlu tulis topik-topik yang ada potensi dapat menyumbangkan limpahan trafik yang banyak untuk masuk ke blog.

 

Bagi mencapai matlamat tersebut, kita perlu tahu, apakah topik yang boleh menyumbangkan trafik yang banyak ke blog kita.

 

7.0 Topik blog yang mampu menarik bilangan trafik yang ramai

Apabila kita nak jadi penulis blog, salah satu soalan yang perlu ada jawapannya ialah, “apa topik yang patut saya tulis supaya blog saya sentiasa ada ramai pelawat?”

 

Andai kata anda berada dalam situasi tersebut, iaitu dalam situasi yang selalu kena fikir apa topik yang perlu dimasukkan dalam blog, boleh jadi ini merupakan satu petanda yang anda sebenarnya tak mempunyai perancangan yang betul waktu mula-mula nak melancarkan projek blogging anda dulu.

 

Sepatutnya, pada peringkat awal lagi, anda dah buat keputusan apakah niche blog anda dan dari situ anda sepatutnya sudah mula menyusun topik-topik yang bakal anda tulis dalam blog.

 

Tapi biasalahkan… benda ni lebih senang cakap daripada buat. Orang putih kata, easier said than done.

Waktu saya baru mula buat blog ini, saya sebenarnya memilih niche kewangan. Tapi selepas beberapa lama saya menulis topik mengenai kewangan, saya mula rasa topik tersebut agak berat, membosankan, dan sesetengah perkara mengenai kewangan, saya tak boleh tulis dengan sesuka hati melainkan saya mempunyai lesen khas sebagai penasihat kewangan.

 

Disebabkan ada macam-macam halangan (alasan) akhirnya saya tak tetapkan niche khusus sebaliknya blog ini lebih kepada blog peribadi. Saya tulis perkara-perkara yang menarik pada pendapat saya.

 

Ada beberapa topik blog yang biasanya akan menerima limpahan trafik yang ramai, antaranya

i. Blog politik

Cerita tentang politik ini memang tak akan habis. Pengikut parti politik pasti akan bergaduh antara satu sama lain, setiap kali ada isu atau skandal besar berjaya dibongkarkan. Kadang-kadang saya sendiri jadi keliru, mana satu yang betul, mana satu yang salah.

 

ii. Blog tentang selebriti dan gosip

Ini dibawah niche hiburan. Kita cerita pasal artis, selebriti, mungkin boleh selitkan juga mengenai filem, drama dan sebagainya.

 

iii. Blog tentang berita semasa

Kita fokuskan kepada isu-isu yang sedang viral. Walaubagaimanapun, isu semasa atau isu yang sedang viral ni selalunya cuma bersifat sementara.

 

Bolehkah blog peribadi menghasilkan pendapatan?

Bagaimana pula kalau blog tersebut adalah blog peribadi atau personal blog? Adakah blog seperti ini ada pembacanya? Soalan yang lebih penting, adakah kita boleh menjana pendapatan melalui blog peribadi?

 

Untuk soalan ini, saya kata jawapannya adalah memang boleh. Buktinya adalah blog saya sendiri. Blog yang anda baca ini juga sebenarnya adalah blog peribadi.

 

Walaubagaimanapun, bukan semua blog peribadi mampu untuk menghasilkan income. Ada kriteria tertentu yang perlu dipenuhi bagi memungkinkan blog tersebut menyumbangkan pendapatan kepada pemiliknya.

 

Ya, anda mungkin nak hasilkan blog peribadi. Namun, anda perlu buat perancangan rapi, apakah bentuk artikel yang anda bakal hasilkan nanti.

 

Jika anda menulis blog tentang diri anda, keluarga anda, kehidupan anda… terus terang saya katakan, topik ini tidak begitu menarik. Tetapi itu bukanlah pengakhirannya.

 

Anda hanya perlu lakukan sedikit pengolahan pada cara anda menulis artikel. Biar saya bagi sedikit contoh.

 

Katakanlah anda suka bercuti, dan anda nak kongsikan pengalaman percutian anda bersama keluarga, supaya memori percutian tersebut tidak hilang begitu sahaja. Maka, anda bolehlah menulis artikel dengan tajuk-tajuk seperti berikut

i. Pengalaman menginap di [nama hotel tempat anda menginap]

Contoh: Pengalaman menginap di Homestay Kota Bharu Inap Ayahandabonda

 

Kemudian anda nak kongsikan pengalaman anda mengunjungi tempat-tempat menarik yang terdapat ditempat anda bercuti pula. Anda boleh tulis artikel seperti dibawah.

ii. 10 Tempat menarik di [tempat atau destinasi percutian anda]

Contoh: Senarai tempat menarik di Kota Bharu

 

Dalam artikel yang anda hasilkan, anda boleh sertakan link affiliate yang mempromosikan hotel dan lain-lain jenis tempat penginapan.

Paling penting sekali, bila kita nak menulis sesebuah artikel, kita kena fikirkan pembaca. Adakah artikel ini nanti akan berguna kepada pembaca?

 

Kita sekarang sedang bercakap tentang nak buat duit dengan blog. Sudah tentu, kita kena berikan prioriti kepada pembaca. Kalau anda nak tulis blog just untuk suka-suka, untuk tujuan peribadi, maka tak perlulah nak fikir pasal pembaca. In fact, kalau anda nak privatekan blog anda pun tak ada siapa yang kisah.

 

Jadi, kalau nak buat duit dari blog, buat cara macam nak buat duit. Bukannya cara macam orang syok sendiri. Kalau jenis artikel yang anda siarkan itu terlalu peribadi, tak ada nilai yang dapat dimanfaatkan oleh pembaca, tak perlu terkejut kalau anda dapati pengunjung atau trafik blog anda sangat sedikit.

 

Biasalah tu kalau tak ada siapa yang minat nak ambik tahu pasal kehidupan anda. Melainkan kalau anda merupakan seorang selebriti, saya tak rasa hairan kalau anda tetap berjaya walaupun hanya menulis perkembangan peribadi hidup anda di blog.

 

Hey… ini cuma pendapat saya based on pengalaman beberapa tahun saya menulis blog. Saya mungkin salah, dan mungkin saya betul.

 

8.0 Kajian kata kunci untuk hasilkan blog yang mampu memberikan pendapatan

Saya tak minat nak tulis pasal politik, sebab itu bukan bidang saya. Ada banyak hal-hal politik yang saya tak pasti kesahihannya.

 

Selain tu, saya tak suka nak tulis pasal artis. Dah macam mengumpat pulak. Lagipun, apa benda yang baik yang boleh kita cerita pasal selebriti kalau nak dibandingkan dengan benda yang tak berapa baik yang mereka tontonkan kepada orang awam?

 

Kemudian, topik mengenai berita semasa. Saya bukan wartawan. Jadi, agak susah untuk saya dapatkan berita yang terkini, selain daripada copy paste sahaja berita-berita yang dilaporkan oleh portal-portal berita yang ada di negara kita.

 

Akhirnya, blog pertama dan utama saya, saya tetap pilih konsep personal blog, dan blog ini fokusnya adalah untuk membantu menyelesaikan masalah orang ramai. Bukan semua masalah saya boleh selesaikan, jadi saya fokus kepada masalah-masalah biasa yang saya yakin, saya tahu jawapannya.

 

Bila anda serius nak buat duit dengan blog, satu benda penting yang anda mesti tahu macam mana nak buat ialah benda ini. Anda kena tahu buat kajian kata kunci atau dalam bahasa inggeris, keyword research. 

 

Ada beberapa tools yang anda boleh gunakan bagi tujuan ini, antaranya

 

i. Google Keyword Planner

Ini merupakan tools yang disediakan oleh pihak Google.

Laman web Google Keyword Planner adalah salah satu laman web yang saya jadikan rujukan, bagi mengetahui “nilai” sesebuah kata kunci. Apabila saya jumpa kata kunci yang nampak bernilai, saya akan hasilkan artikel berdasarkan kata kunci tersebut dan dalam artikel tersebut saya akan cuba promosikan produk affiliate yang berkaitan dengan keyword tersebut.

 

Apa yang saya maksudkan dengan keyword yang bernilai?

Biasanya keyword tersebut adalah keyword yang banyak orang cari di enjin carian, dan pada masa yang sama, jumlah persaingan antara laman web sedia ada tak begitu banyak.

 

Saya tak takut dengan persaingan yang banyak. Kadang-kadang walaupun ada banyak laman web yang bersaing di kedudukan pertama Google, tapi dari segi konten yang dihasilkan laman web tersebut tidak begitu baik. Ini memberi peluang kepada saya untuk masuk dan memberikan persaingan untuk merebut tempat pertama di laman carian Google.

 

ii. Ubersuggest

Saya ada melanggan satu lagi tools untuk tujuan keyword research.

Anda juga boleh gunakan tools ini untuk lihat apa bezanya dengan menggunakan tools dari Google Keyword Planner.

Layari https://app.neilpatel.com/en/dashboard untuk mula menggunakan apps ini.

 

iii. Answer the public

Apps ini sangat berguna untuk mengetahui, apakah soalan-soalan yang sering ditanyakan oleh pengguna internet apabila mereka menggunakan enjin carian seperti Google, Yahoo dan sebagainya.

Apabila kita dah tahu apa soalan yang mereka tanyakan, langkah seterusnya adalah kita hasilkan artikel yang fokusnya adalah untuk menjawab persoalan pengguna internet tersebut.

 

Kajian kata kunci merupakan aktiviti yang sangat penting untuk dilakukan bagi tujuan buat duit dengan blogging. Jika kajian ini dibuat dengan betul, anda pasti tak akan kehabisan idea untuk menghasilkan konten baru.

 

Bukan itu sahaja, malahan penulis yang meluangkan masa untuk melakukan kajian ini biasanya mampu menghasilkan konten yang lebih berkualiti jika dibandingkan dengan penulis lain yang menulis ikut mood atau mereka yang menulis ikut setakat mana idea yang ada pada dirinya. 

 

9.0 Sewa tapak iklan di blog

Pernah ada pelawat blog ni yang minat nak sewa tapak iklan di blog saya. Iklan perniagaan mereka akan disiarkan dibahagian side bar blog ini.

 

Untuk makluman pembaca, jual tapak iklan diblog ini juga merupakan salah satu kaedah untuk buat duit dengan blog. Kaedah ini pernah popular satu ketika dulu.

 

Walaubagaimanapun, biasanya saya akan tolak tawaran seumpama itu. Walaupun benda ini boleh buat duit, namun saya sendiri agak meragui keberkesanan pengiklanan melalui banner di blog seperti itu.

 

Sepanjang saya siarkan banner iklan di side bar, atau dibahagian header, saya dapati kadar conversion sangatlah rendah, dan amat jarang-jarang sekali berjaya sumbangkan jualan. Jadi, setiap kali ada yang nak siarkan iklan jenis banner di blog saya, saya akan tolak.

 

Bunyi macam tolak rezeki, tapi kalau saya sendiri tak yakin dengan keberkesanan iklan jenis tu, kenapa saya nak jual kat orang?

 

10.0 Jemputan untuk menjadi penceramah

Pada satu hari, seorang kenalan yang dah agak lama kami tidak berhubung, ingin jemput saya jadi penceramah bagi topik blogging di tempat latihan miliknya. Dari gaya jemputannya, dia nampak serius.

 

Kemudian, tak lama lepas tu, ada lagi jemputan dari pelajar sebuah universiti ingin jemput saya beri ceramah dalam topik yang sama. Buat duit online sebagai penulis blog atau internet marketer. 

Kedua-dua tawaran ni, saya tak pernah penuhi, sebabnya mereka tak pernah cerita berapa bayaran yang mereka tawarkan kepada saya. Saya tak pernah rancang untuk jadi penceramah dalam masa terdekat ini, jadi saya pun tak pernah fikir berapa bayaran yang saya patut minta.

 

Disebabkan saya tak nak pening-pening kepala, jadi saya rasa ada baiknya mereka cari orang lain. Kalau serius nak saya jadi penceramah, beritahu sekali berapa bayaran yang ditawarkan.

 

Kalau bayarannya menarik, saya sanggup gagahkan diri untuk berikan perkhidmatan yang terbaik.

Tapi bila saya fikirkan semula, saya rasa lebih baik kita buat sesi personal coaching, ataupun bengkel latihan. Buat apa nak dengar saya berceramah, sedangkan apa yang saya akan ceritakan nanti, kebanyakkannya saya dah tulis dalam blog ini.

 

Lebih baik buat sesi bengkel latihan. Kita terus buat kerja dan kalau ada mana-mana bahagian yang saya rasa kurang betul, masa tu juga saya boleh tolong betulkan. By the way, buat kelas, sesi personal coaching, bengkel latihan dan sebagainya, juga merupakan salah satu pendekatan yang anda boleh lakukan untuk buat duit dengan blog.

 

11.0 Jual produk informasi sendiri

Contoh produk informasi adalah seperti buku, ebook, rakaman audio, rakaman video, software dan sebagainya. Dalam banyak-banyak ni, saya pernah jual ebook saya sendiri.

 

Jual menerusi blog sahaja pun boleh laku! Salah satu ebook yang saya tulis, berjaya raih jualan lebih kurang RM800++ pada minggu pertama ia dilancarkan.

 

Saya rasa pencapaian seperti itu tidaklah begitu teruk memandangkan proses untuk hasilkan ebook tidaklah begitu sukar. Saya hanya perlu edit sahaja artikel-artikel lama yang saya pernah siarkan dalam blog ini dan jadikan ia dalam bentuk yang lebih panjang dan details.

 

Jadi, siapa yang menulis blog tu, satu masa nanti bolehlah plan untuk tulis ebook dan jual. Untungnya pun boleh tahan! Ebook ini, kita cuma perlu tulis sekali sahaja, dan kita boleh jual berulang-ulang kali.

 

12.0 Tawarkan servis pemasangan blog, pemasangan plugin dan membina laman web

Benda ni sangatlah simple dan senang.

 

Tetapi, untuk orang yang masih agak baru dan tak biasa dengan kerja-kerja seperti ini, mereka mungkin akan rasakan ianya sangat susah. Jadi, bila ada masa, saya akan tawarkan servis pemasangan blog dan servis yang berkaitan.

 

Seingat saya, saya cuma buat kerja-kerja ni sekali sahaja. Lepas tu saya hentikan servis ini, dan saya fokus untuk buat blog sendiri sahaja. Tapi kalau ada yang minta tolong dan memang betul-betul tak tahu macam mana nak pasang sendiri sistem blog wordpress, In Shaa Allah saya akan bantu.

 

Ataupun anda boleh baca posting saya berjudul panduan pemasangan blog menggunakan sistem wordpress self hosted.

 

13.0 Servis penulisan artikel advertorial

Blog ini juga menyiarkan banyak artikel-artikel berbayar atau artikel advertorial. Ini salah satu cara untuk buat duit dengan blog.

 

Advertorial adalah salah satu sumber pendapatan blog ini, namun ia bukanlah sumber pendapatan utama. Kalau ada yang minat nak dapatkan perkhidmatan saya, In Shaa Allah saya akan bantu. Jika tidak ada yang minat, saya pun tak ada masalah.

Baca juga: Apa itu advertorial

 

Saya dapati, selepas sekian lama menulis di blog, akan ada so called pemilik bisnes yang akan spam bahagian komen artikel blog kita dengan iklan bisnes yang dia jalankan.

 

Mungkin dia fikir, blog ini adalah tempat untuk mereka spam iklan mereka kot… Kalau nak beriklan, bayarlah pemilik blog tersebut. In Shaa Allah anda akan dapat servis yang berkualiti.

 

Barulah boleh wujud situasi menang-menang.

 

Blogger tersebut dapat bayaran, anda pula dapat khidmat hebahan dari pemilik blog tersebut. Bukannya anda sahaja yang dapat manfaat, sebaliknya blog tersebut jadi mangsa tempat anda iklankan bisnes anda.

 

Saya pun kadang-kadang tak faham dengan mentaliti usahawan cikai macam ni. Kalau iye pun kedekut, tak payahlah sampai nak spam blog orang lain.

 

14.0 Blog sebagai platform untuk mempromosikan produk affiliate dan juga dropship

Berita baiknya ialah, sekarang ni ada terlalu banyak program affiliate yang dilancarkan. Sebagai penulis blog, kita boleh sertai program-program ini secara percuma sahaja.

Baca juga: Apa itu program affiliate

Ada banyak program affiliate yang anda boleh sertai. Kebiasaannya, penyertaan dalam mana-mana program affiliate ini adalah percuma sahaja.

 

Saya amat menggalakkan untuk blogger menyertai program affiliate. Daripada pengalaman saya yang lepas, saya dapati produk affiliate ini lebih mudah untuk dijual melalui penulisan artikel.

 

Artikel yang bakal ditulis itu nanti, perlulah cukup padat dan menepati formula-formula berkaitan dengan copywriting. Anda tak tahu apa benda copywriting tu? Kalau macam tu, kenalah belajar.

 

Ada beberapa program affiliate yang saya boleh syorkan untuk anda sertai, antaranya

i. Klikjer

ii. Accesstrade

iii. Involve Asia

iv. Shopee Affiliate Program

v. Lazada Affiliate Program

vi. PG Mall Consumerchant Program

 

Selain daripada senarai yang saya berikan disini, sebenarnya dekat luar sana ada banyak lagi program affiliate yang anda boleh sertai. Walaubagaimanapun, pendapatan anda bukannya bergantung kepada berapa banyak program yang anda join, sebaliknya ia bergantung kepada betapa bagus kempen pemasaran yang anda mampu hasilkan.

 

Apalah gunanya kalau join banyak-banyak program, tapi satu sales pun tak masuk.

 

15.0 Dropship melalui blog

Kalau nak buat bisnes dropship menerusi blog juga boleh. Cuma ia mungkin akan ambil masa yang agak lama untuk nampak hasilnya atau untuk nampak hasil jualan yang pertama.

 

Setidak-tidaknya, potensi pendapatan yang bakal dihasilkan adalah lebih baik dan lebih banyak berbanding dari program pengiklanan. Bila kita ceburi bidang affiliate marketing dan juga dropship, bermakna kita sedang ceburi bidang perniagaan.

 

Kuasai ilmu-ilmu penting tentang bisnes, dan In Shaa Allah pendapatan kita dari blog juga akan meningkat.

 

16.0 Buat duit dengan blog dengan menyertai kontes blog

Sesetengah kontes blog, hadiah yang ditawarkan adalah dalam bentuk wang tunai. Saya bukannya jenis yang rajin sangat nak join kontes ataupun sebarang segmen yang dianjurkan oleh blogger lain.

 

Tetapi, kalau kontes tersebut jenis yang “masuk akal” dan menawarkan hadiah wang tunai, biasanya saya akan join. Menang tak menang, belakang cerita. Salah satu kontes yang saya pernah sertai adalah kontes SEO Rose Face Serum Zeeta.

 

Alhamdulillah saya ada menang hadiah dalam kontes tersebut. Tapi saya tak ingat, menang dalam kategori apa. Sekarang ini agak susah nak jumpa penganjur yang nak anjurkan kontes SEO. Mungkin sebab ada yang anggap blogging ini dah tak begitu relevan. Agaknyalah…

Baca juga: Betul ke blogging dah tak relevan?

 

Saya merasakan, buat duit dengan blog ni adalah satu proses yang santai. Saya sendiri menulis ikut citarasa saya. Tak ada format tertentu, tak ada bos yang akan semak hasil kerja kita. Semua terpulang pada diri sendiri, untuk hasilkan hasil kerja yang bagaimana.

 

Apa yang penting, artikel yang kita hasilkan tu dapat convert kepada jualan. Kalau kita buat artikel untuk orang lain, misalnya untuk klien yang berikan job advertorial ataupun review, kita kena pastikan artikel yang kita tulis boleh bantu mereka dapatkan sales. Ini RAHSIA untuk dapat banyak job advertorial.

 

Lagi banyak job advertorial kita dapat, lagi banyak duit kita boleh hasilkan melalui penulisan blog.

 

Buktikan, penulisan kita boleh mendatangkan tuah kepada pemilik bisnes untuk dapat lebih banyak pelanggan, barulah mereka akan rasa seronok mendapatkan perkhidmatan advertorial dari kita.

 

Baiklah, saya rasa dah agak panjang saya bercerita mengenai topik buat duit dengan blog ini. Jadi, jika selama ni anda masih tak pernah merasa sebarang pendapatan dari blog anda, mungkin lepas ini, anda boleh cuba apa yang saya cerita dalam posting ni. Sama-sama kita buat duit dengan blog ya!

 

Anda masih ada masalah untuk buat duit dengan blog? Boleh hubungi saya dan bagitahulah apa masalahnya, mana tahu saya boleh bantu.

 

 

Exit mobile version