Blog Sabree Hussin

Apa itu Advertorial?

Anda mungkin pernah beberapa kali dengar istilah Advertorial.

Tahukah anda, apakah maksud advertorial tersebut?

 

Ada orang yang menjadikan advertorial sebagai salah satu strategi pemasaran untuk perniagaan yang dijalankan. Adakah anda juga patut menggunakan strategi yang sama?

 

Nanti dulu.

Sebelum nak ikut strategi perniagaan orang lain, mestilah kena fahamkan dulu, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan advertorial tu. Setuju?

 

Dalam perbincangan kali ini, saya akan bentangkan seberapa banyak info yang anda perlu tahu mengenai apa benda sebenarnya advertorial ini.

 

Apabila anda sudah betul-betul faham, apa yang dimaksudkan dengan advertorial, barulah mudah untuk anda buat keputusan sama ada strategi ini sesuai ataupun tidak untuk anda praktikkan dalam perjalanan perniagaan anda. Ok, dah sedia nak tambahkan ilmu mengenai strategi pengiklanan advertorial? Ok jom teruskan pembacaan.

 

Seseorang bakal pelanggan biasanya akan melalui beberapa fasa sebelum dia betul-betul komited untuk berurusan dengan sesuatu bisnes. Fasa yang saya maksudkan ialah

i. Tahu

ii. Suka

iii. Percaya

iv. Bertindak

 

Fasa tahu

Tak ada siapa yang tahu mengenai bisnes yang anda jalankan selagi mana anda masih belum beritahu kepada sesiapa. Kemudian setelah menyedari hakikat ini, anda pun mula melakukan langkah yang pertama dalam aktiviti pemasaran, iaitu anda mula memberitahu kepada orang ramai bahawa anda menawarkan produk ataupun servis sekian-sekian.

 

Pada zaman sekarang ini, apakah cara yang mudah untuk kita hebahkan kewujudan bisnes kita kepada khalayak ramai?

Jawapannya adalah dengan cara hebahkan secara online.

 

Terpulanglah sama ada nak menggunakan blog, website, ataupun laman social media. Apa yang penting sekarang ini ialah anda perlu hebahkan kewujudan bisnes, produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.

 

Ya, perkara ini memang nampak terlalu basic, tapi tahukah anda dekat luar sana masih ramai pemilik bisnes yang belum ada laman web, blog mahupun akaun social media mereka sendiri. Kenapa? Wallahua’lam mereka sahaja yang tahu sebabnya. Disebabkan mereka “tak wujud” secara dalam talian, maka agak sukar untuk mereka mula mempromosikan perniagaan yang mereka jalankan secara online.

 

Adakah semua orang yang baru tahu mengenai bisnes yang anda lakukan, akan terus beli apa yang anda promosikan? Lima minit yang lepas, dia langsung tak tahu mengenai kewujudan bisnes anda. Tapi kini selepas dia baca iklan anda, dia baru tahu tentang anda.

 

Memandangkan sekarang ini dia sudahpun tahu, adakah dia akan terus buat pembelian? Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Biasanya mereka akan memerlukan informasi tambahan sebelum bersetuju untuk menjadi pengguna produk mahupun perkhidmatan anda.

 

Anda sepatutnya menggunakan peluang ini untuk mendidik golongan yang anda sasarkan dengan memberikan lebih banyak informasi mengenai produk atau servis yang anda tawarkan.

 

Fasa suka

Pada fasa ini, mereka sudahpun mempunyai maklumat yang lengkap mengenai produk ataupun perkhidmatan yang anda tawarkan.

 

Seterusnya kita perlu tahu apakah agaknya reaksi yang mereka tunjukkan daripada pengetahuan tersebut. Pada fasa ini mereka akan memberi reaksi, sama ada suka, tak suka atau bersikap neutral terhadap aktiviti yang anda jalankan.

 

i. Feedback – Suka dengan tawaran anda

Orang yang akan suka dengan tawaran anda biasanya adalah mereka yang ada keperluan atau kemahuan yang boleh dipenuhi oleh tawaran anda.

Baca juga: 28 perkara yang pelanggan PERLUKAN namun mereka sengaja rahsiakan

 

ii. Feedback – Tak suka dengan tawaran anda

Sudah tentu akan ada orang yang tak suka dengan tawaran anda, boleh jadi sebab dia adalah pesaing anda. Pesaing anda melihat anda sebagai satu ancaman lebih-lebih lagi kalau anda mampu untuk berikan tawaran yang lebih baik berbanding yang dia sendiri mampu berikan.

 

iii. Feedback – Neutral

Orang yang bersikap neutral selalunya adalah mereka yang tak ada keperluan mahupun kemahuan terhadap apa yang anda tawarkan. Kadang-kadang ada usahawan yang tak perasan, dia mengeluarkan belanja yang besar untuk mensasarkan golongan yang neutral, sedangkan mereka patut berikan lebih tumpuan kepada golongan yang memerlukan khidmat mereka.

 

Fasa percaya

Bolehkah produk, perkhidmatan mahupun tawaran anda dipercayai?

 

Pada waktu ini, anda perlu buktikan bahawa anda memang boleh dipercayai. Gunakan kesempatan yang ada ini untuk membuktikan kepada bakal pelanggan bahawa anda merupakan seorang pengusaha bisnes yang boleh dipercayai dan bukannya seorang scammer.

 

Alright, mungkin ada yang bertanya, macam mana nak tunjukkan atau buktikan bahawa kita ini memang seorang peniaga yang boleh dipercayai?

 

Sekadar membuktikan yang kita bukannya seorang scammer tidak cukup untuk mendapatkan kepercayaan bakal pelanggan. Kita perlu usaha lebih lagi untuk raih kepercayaan bakal pelanggan, kerana diluar sana, mungkin terdapat puluhan atau ratusan peniaga lain yang bukan scammer, yang pelanggan kita boleh pilih.

 

Dalam aspek membina kepercayaan ini, perkara-perkara berikut perlu diberikan perhatian.

 

i. Kualiti khidmat pelanggan (customer service) yang terbaik 

Berikan layanan yang terbaik terhadap semua pertanyaan yang anda terima. Biarlah kalau individu tersebut sekadar bertanya dan tak berniat untuk membuat pembelian sekalipun, namun layanan yang perlu diberikan mestilah yang terbaik.

Dalam situasi ini, sekiranya anda tak ada kemampuan untuk memberikan khidmat pelanggan yang terbaik, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk outsource sahaja tugasan tersebut.

Baca juga: 7 Tugasan yang anda boleh outsource untuk kembangkan bisnes anda

 

ii. Bersikap terbuka dan transparent

Jangan bersembunyi disebalik laman web, blog ataupun akaun facebook sedangkan identiti anda kekal dirahsiakan.

 

Cuba tanya pada diri anda. Selaku pelanggan, apakah reaksi anda apabila penjual yang anda ingin berurusan mengelak untuk mendedahkan siapa dirinya. Pasti anda akan rasa macam ada yang tak kena, kan?

 

Selain itu, anda juga perlu memberikan seberapa banyak maklumat yang diperlukan oleh bakal pelanggan. Katakanlah anda menjalankan bisnes homestay, dan bakal pelanggan meminta anda untuk memberikan gambar setiap bilik yang ada dihomestay milik anda.

 

Sepatutnya anda tak perlu tunggu sehingga pelanggan anda meminta maklumat ini. Anda boleh berikan awal-awal lagi. Tapi kalau anda memilih untuk tak nak berikan maklumat tersebut, ini memberi gambaran seolah-olah ada sesuatu yang anda ingin sembunyikan dari pengetahuan bakal pelanggan tersebut.

 

iii. Kongsikan review, feedback dan testimoni pelanggan terdahulu

Bila dah sekian lama menjalankan bisnes, tak akan tak ada satupun review ataupun testimoni dari pelanggan terdahulu? Kalau sebelum ini anda tak pernah terfikir untuk kumpul review dari pelanggan, apa kata selepas ini anda cuba kumpulkan review mereka.

 

Kalau memang tak ada langsung pelanggan yang bersedia untuk menulis review mengenai bisnes anda, dapatkan mana-mana individu yang memang menawarkan khidmat menulis review secara profesional. Ehem… saya pun salah seorang yang tawarkan khidmat seumpama ini.

Baca lagi: Servis menulis review untuk tingkatkan jualan bisnes anda

 

iv. Bina reputasi dan jenama

Ini merupakan strategi jangka masa panjang. Jika anda merancang untuk berada lama dalam industri yang anda ceburi, maka anda perlu usahakan untuk membina reputasi yang baik. Proses membina jenama memakan masa dan kos yang banyak. Namun ianya merupakan satu usaha yang sangat berbaloi.

 

Apabila orang dah mula kenal dengan jenama anda dan tahu mengenai reputasi anda yang baik, In Shaa Allah tak ada lagi wujud isu sama ada perniagaan anda boleh dipercayai atau sebaliknya.

 

v. Berikan kemudahan kepada bakal pelanggan untuk menghubungi anda

Buka pintu perhubungan seluas-luasnya. Jadikan diri anda mudah untuk dihubungi sama ada menerusi panggilan telefon, whatsapp, telegram, email, social media dan sebagainya.

 

Kalau anda kurang selesa berkomunikasi melalui panggilan telefon, at least anda ada nyatakan yang anda tak melayan panggilan telefon, namun bersedia untuk berkomunikasi melalui lain-lain kaedah.

 

vi. Hasilkan konten berkaitan dengan bisnes anda secara berkala

Tunjukkan kepada orang ramai bahawa anda merupakan seorang yang mempunyai kepakaran dengan menghasilkan seberapa banyak konten yang bermanfaat yang related dengan bisnes anda. Sebagai contoh, jika anda menjalankan bisnes bengkel membaiki kereta, mungkin dari masa ke masa, anda boleh berkongsi topik seperti

1. Tips penjagaan enjin

2. Cara menukar sendiri minyak enjin

3. Cara mudah dan betul menukar tayar

4. Cara elak ditipu oleh mekanik yang tak jujur

 

Strategi menghasilkan konten seperti ini boleh dikatakan sebagai strategi advertorial! Setakat ini, kalau anda sudah faham apa pengertian advertorial, anda boleh baca sampai sini sahaja. Tapi kalau anda teruskan membaca, anda akan dapat lebih banyak maklumat.

 

Fasa Tindakan

Pada fasa ini, golongan yang anda sasarkan telahpun tahu, suka dan percaya pada perniagaan yang anda jalankan. Apa langkah seterusnya?

 

Langkah seterusnya adalah anda menunjukkan cara bagaimana untuk bakal pelanggan melakukan tindakan yang seterusnya. Sama ada mengisi borang tempahan, membuat bayaran deposit dan sebagainya.

 

Saya perasan ada juga peniaga yang seolah-olah terlupa untuk beritahu, apa yang perlu dilakukan oleh bakal pelanggan yang minat dengan tawaran yang diberikan. Sama ada nak suruh whatsapp, isi borang tempahan, atau lain-lain tindakan.

 

Bila tak ada arahan seterusnya, yang kita panggil sebagai “call to action“, pembaca akan anggap ia sekadar satu info tambahan. Maklumat tersebut sekadar “for your information (fyi)” dan bukannya “for your action (fya)“.

Maksud Advertorial

Advertorial adalah gabungan dua perkataan iaitu Advertising dan Editorial.

 

Ia merupakan kaedah pengiklanan melalui penulisan artikel (atau editorial). Teknik pengiklanan seperti ini biasanya dapat dilihat dalam penerbitan majalah, surat khabar, buku, portal akhbar online termasuk juga laman blog.

 

Sebelum ini, kita dah bercerita mengenai 4 fasa yang lazimnya dilalui oleh pelanggan. Apa kaitannya dengan penggunaan advertorial? Kaitannya ialah, penggunaan advertorial dapat membantu kita dalam menyampaikan mesej jualan yang kita mahukan selanjutnya membantu pelanggan bergerak dari satu fasa ke fasa yang lain.

Tahu >> Suka >> Percaya >> Bertindak

 

Bakal pelanggan anda tak suka baca iklan.

Masalahnya ialah, jika bakal pelanggan tidak membaca ayat-ayat iklan anda, bagaimana anda nak jual produk atau servis yang anda tawarkan? Maka disini, anda perlukan satu pendekatan kreatif untuk memastikan pelanggan tersebut menerima mesej-mesej jualan anda seterusnya mendorong mereka untuk terus melakukan pembelian.

 

Advertorial adalah sebuah artikel panjang yang didalamnya sarat dimuatkan dengan informasi dan maklumat yang berguna kepada golongan pembaca yang disasarkan. Kemudian dalam artikel yang sama, akan diselitkan dengan sedikit maklumat perniagaan anda.

 

Apabila menggunakan strategi advertorial, kita gunakan formula 80 – 20.

80% kandungan artikel adalah untuk memberi informasi dan maklumat bermanfaat kepada pembaca.

20% lagi adalah iklan perniagaan kita.

 

Fungsi sesebuah advertorial

Sekarang kita akan bincangkan pula apakah fungsi atau peranan yang dapat dimainkan oleh sesebuah artikel advertorial.

 

1. Memberikan hebahan atau publisiti terhadap perniagaan yang dijalankan

Advertorial ini merupakan satu alat untuk kita melakukan kerja-kerja pemasaran. Kita menggunakan kaedah ini dalam memperkenalkan produk, servis dan juga jenama perniagaan kita secara tak langsung kepada bakal pelanggan.

 

Sebagai contoh, seseorang yang menjalankan bisnes tempat penginapan di Kundasang mungkin akan menghasilkan artikel advertorial bertajuk percutian 4 hari 3 malam di Sabah beserta dengan itinerary dalam memperkenalkan bisnes miliknya.

 

Pada awalnya pembaca cuma nak tahu, apa aktiviti yang sesuai dilakukan kalau bercuti 4 hari 3 malam di Kundasang. Bila dia baca posting tersebut, secara tak langsung dia akan baca juga mengenai bisnes tempat penginapan yang anda jalankan.

 

2. Menunjukkan kepada pembaca bahawa kita mempunyai maklumat yang dia perlukan

Setiap orang pasti menggunakan laman enjin carian untuk mencari sesuatu. Zaman sekarang ini, sangat mudah untuk mencari maklumat. Kata orang, “google jer”.

 

Daripada anda biarkan dia mendapatkan jawapan daripada pesaing anda, kan lebih baik kalau dia bertanya kepada anda. Jika kena dengan caranya, boleh jadi anda akan dapat pelanggan.

 

Bagaimana cara untuk pastikan bakal pelanggan akan merujuk kepada anda untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan yang dicari? Mudah sahaja.

 

Anda hasilkan konten advertorial dan siarkan dilaman web ataupun laman blog. Bila pelanggan tersebut membuat carian di google, lalu dia menjumpai laman web anda, ibaratnya samalah seperti dia sedang bertanya kepada anda. Cuma dalam situasi ini, laman web atau advertorial anda yang tolong berikan jawapan kepada individu tersebut.

 

3. Menunjukkan yang kita sebenarnya boleh dipercayai

Ini satu lagi kesan positif yang boleh dihasilkan melalu penggunaan advertorial. Bakal pelanggan akan lebih cenderung untuk mempercayai kita apabila kita selalu memberikan informasi yang bermanfaat dan berguna kepada mereka.

4. Kita adalah seorang yang pakar dalam bidang kita

Hati-hati.

 

Zaman sekarang ini ada ramai golongan yang menyamar dan acah-acah pakar. Sesetengahnya sampai ada yang sanggup menyamar sebagai seorang doktor, semata-mata nak melariskan produk yang dia jual. Bagaimana kita nak tahu sama ada seseorang itu benar-benar pakar?

 

Ada beberapa cara, antaranya adalah dengan menunjukkan (demonstrasi) kepakaran kita melalui perkongsian-perkongsian dan konten yang kita hasilkan.

 

5. Kita benar-benar faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh pembaca

Dalam diri setiap orang, ada sedikit rasa ketakutan apabila berurusan dengan individu yang kita baru kenali. Kita risau, yang individu tersebut tak faham dengan betul apa yang kita mahukan.

 

6. Kita mampu memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi

Apabila bakal pelanggan dapat lihat yang kita mempunyai pengetahuan, ada kepakaran dan boleh dipercayai, maka lebih mudah untuk mereka melihat tawaran kita sebagai jawapan atau penyelesaian bagi masalah yang dia hadapi.

 

7. Mengajak pembaca untuk membuat sesuatu tindakan yang spesifik

sama ada klik like, share, bertanya soalan, hubungi melalui whatsapp dan sebagainya. Tindakan-tindakan kecil ini selalunya akan mendorong kepada berlakunya jualan.

 

Matlamat yang kita ingin capai adalah untuk menyembunyikan tujuan sebenar kita menghasilkan sesebuah konten atau artikel, supaya golongan pembaca yang kita sasarkan akan membaca artikel tersebut, kerana mereka tak melihat ianya sebagai sebuah iklan.

 

Kebiasaannya pembaca akan elak membaca iklan, melainkan kalau dia betul-betul berminat dengan produk. Mereka yang berminat dengan sesuatu produk, lazimnya sudah melepasi fasa tahu dan suka. Dia mungkin berada dalam fasa percaya, namun dia sedang mencari seller alternatif yang boleh berikan tawaran terbaik kepada dirinya.

 

Untuk memastikan strategi advertorial lebih berkesan, kita perlu lupakan sejenak niat asal kita iaitu untuk menghasilkan iklan. Kita lupakan sekejap sahaja, bukannya lupakan terus. Pada masa ini, fokus kita adalah untuk menghasilkan sebuah konten yang sarat dengan informasi, fakta, dan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh bakal pelanggan kita.

 

Formula membina sebuah advertorial yang mampu menghasilkan jualan

Ada sekurang-kurangnya 7 formula yang anda boleh gunakan dalam menghasilkan sebuah advertorial.

 

Formula 1 – PAS

Akronim PAS merujuk kepada

Problem – Pernyataan masalah

Agitate – Membuatkan mereka merasa gelisah

Solve atau Solution – Berikan jalan penyelesaian

 

Menerusi teknik ini, kita akan membuka cerita dengan memperkenalkan satu masalah yang kita tahu penyelesaiannya. Orang yang ada masalah yang sama, pasti akan berminat untuk baca perkongsian kita.

 

Setelah membuka cerita dengan menyatakan masalah, kita beritahu apa yang akan berlaku kalau masalah tersebut tak diselesaikan dengan segera. Kita memberikan gambaran kepada pembaca bahawa masalah tersebut akan jadi makin serius dan makin bahaya jika tak diselesaikan.

 

Tujuannya adalah supaya pembaca akan merasa gelisah dan ingin tahu apa penyelesaiannya. Pada fasa ini, anda pun mula mencadangkan apa-apa produk ataupun servis yang berkaitan.

 

Formula 2 – AIDA

Akronim AIDA ini pula merujuk kepada

Attention – Tarik perhatian

Interest – Dapatkan minat

Desire – Timbulkan rasa keinginan

Action – Ajak bakal pelanggan untuk bertindak

 

Teknik seterusnya adalah AIDA. Teknik ini merupakan salah satu teknik yang biasa digunakan dalam penulisan artikel biasa mahupun artikel jenis advertorial. Asalkan kita berupaya menarik perhatian pembaca dan menceruskan minat mereka, lazimnya pembaca akan teruskan pembacaan hinggalah mereka melakukan sesuatu tindakan.

 

Formula 3 – Storytelling

Kaedah bercerita ini juga merupakan satu kaedah yang berkesan dalam menghasilkan sebuah advertorial. Lazimnya, kita akan menggunakan cerita yang related dengan pengalaman yang dilalui oleh golongan sasaran.

 

Kalau dah namanya storytelling, atau teknik bercerita, maka terpulanglah pada anda nak bercerita mengenai topik apa sekalipun. Boleh jadi anda nak bercerita mengenai pengalaman anda menginap di hotel, pengalaman mimpi buruk yang anda pernah lalui atau apa-apa sahaja.

 

Formula 4 – Before After Bridge

Teknik membuat perbandingan sebelum dan selepas kemudian kita ceritakan bagaimana penyelesaian yang kita tawarkan mampu untuk berikan hasil seperti yang pembaca mahukan.

 

Contoh 1

Sebelum – Gemuk

Selepas – Kurus

Kita ceritakan bagaimana untuk mencapai matlamat untuk menurunkan berat badan melalui teknik dan juga penggunaan produk yang bakal kita cadangkan.

 

Contoh 2

Sebelum – Miskin & banyak hutang

Selepas – Ada banyak duit dan bebas hutang

Kita ceritakan teknik dan strategi untuk mencapai matlamat bebas kewangan melalui program yang kita tawarkan.

 

Formula 5 – Senarai sesuatu perkara atau benda

Ini juga merupakan satu kaedah yang cukup berkesan untuk menghasilkan sesuatu advertorial. Kita hanya perlu buat senaraian dan biarkan pembaca sendiri buat keputusan, mana satu dari senarai yang kita sediakan menepati keperluan dan kemahuan dirinya.

 

Sebagai contoh kita buat artikel berbentuk senarai

1. Senarai tempat menarik di Kota Bharu

2. Senarai kerja yang sesuai untuk pelajar lepasan SPM

3. Senarai penjual jam tangan G-Shock Original yang boleh dipercayai

4. Senarai kerja sambilan yang boleh dilakukan hanya dari rumah tanpa pengawasan majikan

 

Artikel advertorial jenis senaraian atau listicle (list + article) sangat digemari oleh mereka yang memerlukan maklumat segera.

 

Formula 6 – Artikel jenis “Bagaimana cara…”

Artikel advertorial jenis ini matlamatnya adalah untuk mengajar pembaca mencapai sesuatu matlamat. Sebagai contoh

1. Bagaimana cara untuk langsaikan hutang kad kredit

2. Bagaimana cara membeli rumah tanpa menggunakan duit sendiri

3. Bagaimana cara mempromosikan bisnes homestay

 

Kebiasaannya dalam artikel tersebut kita akan tunjukkan cara untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan produk atau perkhidmatan yang kita sendiri promosikan atau tawarkan. Kita jadikan tawaran kita sebagai salah satu kaedah atau cara untuk mencapai matlamat utama.

 

Formula 7 – Question and Answer

Dalam kaedah ini, kita membina advertorial berdasarkan kepada soalan yang sering ditanyakan oleh golongan yang kita sasarkan. Target pelanggan kita mempunyai persoalan yang sama. Kalau anda dah lama buat bisnes, anda pasti akan perasan soalan yang sama kerap ditanyakan berulang-ulang kali oleh pelanggan yang berbeza.

 

Oleh yang demikian, ini merupakan satu peluang untuk anda bina konten advertorial berdasarkan kepada soalan yang kerap ditanyakan tersebut.

 

Jika anda ingin menggunakan kaedah advertorial dalam kempen pemasaran anda, cuba anda pelbagaikan cara mempersembahkan konten anda kepada golongan pembaca sasaran.

 

Sesekali anda gunakan teknik AIDA. Kemudian guna juga teknik PAS, before – after bridge, storytelling dan juga listicle. Anda akan dapati respon bagi setiap teknik adalah berbeza-beza.

 

Customer Avatar 

Keberkesanan sesebuah advertorial akan jadi lebih baik apabila ianya ditujukan kepada golongan target audience yang spesifik. Siapa golongan audience yang perlu kita sasarkan?

 

Satu hakikat yang perlu kita terima ialah bukan semua orang minat nak baca artikel yang dihasilkan. Sebagai contoh, kalau seseorang itu langsung tak pernah merancang untuk bercuti ke Pulau Pangkor, pasti tak ada sebab untuk dia baca artikel perkongsian mengenai itinerary percutian 3 hari 2 malam ke Pulau Pangkor.

 

Teknik ini kita namakan sebagai customer avatar.

 

Apabila membina customer avatar atau customer profile, ini beberapa perkara yang perlu difikirkan.

(1) Jantina

Siapa yang bakal menjadi pengguna produk anda? Adakah lelaki, atau perempuan?

 

(2) Umur

Lingkungan umur bakal pelanggan yang ideal untuk menjadi pengguna produk anda. Umur bakal pelanggan anda boleh dikelaskan kepada Gen Z, Millenial dan juga Boomer.

 

(3) Lokasi

Dimana bakal pelanggan anda tinggal. Jika anda mensasarkan pelanggan yang tinggal di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, atau Sabah misalnya, lebih baik anda sesuaikan ayat dalam advertorial tersebut mengikut loghat dan slang bahasa yang biasa digunakan mereka.

 

(4) Pendapatan

Berapakah anggaran pendapatan pelanggan yang anda sasarkan. Kalau produk anda adalah untuk golongan T20, agak mustahil untuk golongan B40 menjadi pelanggan anda. Jadi, jangan bazirkan usaha pemasaran anda terhadap kelompok atau target yang salah.

 

(5) Tahap pendidikan

Tahap pendidikan atau intelek bakal pelanggan juga memainkan peranan yang penting. Jika produk anda agak complicated dan memerlukan penerangan yang panjang biasanya hanya golongan tertentu sahaja yang akan faham dan akan jadi pelanggan anda.

 

(6) Pekerjaan

Pekerjaan juga ada kaitan dengan latar belakang pendidikan. Lazimnya individu yang mempunyai tahap pendidikan yang bagus, juga akan mempunyai kerjaya yang bagus. Lalu akan mempunyai pendapatan yang lebih stabil.

 

(7) Minat, kelakuan dan tabiat

Apa aktiviti yang mereka suka lakukan? Tempat yang bagaimana yang mereka suka kunjungi.

 

(8) Matlamat

Apakah falsafah yang dipegang. Apakah yang mereka cuba capai dalam kehidupan mereka?

 

(9) Masalah

Setiap orang pasti akan diuji dengan masalah. Bagaimana cara seseorang itu berhadapan dengan masalah dan menyelesaikannya adalah berbeza-beza. Kita cuba target golongan yang mungkin ada masalah tertentu, misalnya ada masalah hutang.

 

Apabila kita mampu untuk menggambarkan profile atau identiti bakal pelanggan, In Shaa Allah kualiti advertorial yang kita bakal hasilkan akan lebih baik dan lebih dekat dengan jiwa bakal pelanggan kita.

 

Tips menulis advertorial

Sebelum saya tamatkan penulisan ini, saya kira ada baiknya saya kongsikan juga beberapa tips untuk anda yang ingin menulis artikel advertorial anda sendiri. Mudah-mudahan tips yang saya kongsikan kepada anda ini bermanfaat.

 

1. Menulis untuk memberi nilai tambah, bukan untuk tujuan promosi

Ya bunyinya memang agak kontradik dengan tujuan asal kita menghasilkan iklan, namun itulah hakikatnya.

 

Fokus penulisan artikel advertorial adalah untuk memberikan sesuatu maklumat dan informasi yang bernilai kepada pembaca. Kita perlu memberikan lebih penekanan kepada penyampaian maklumat yang diperlukan dan dicari oleh bakal pelanggan, bukannya promosi perniagaan kita.

 

Biasanya penulisan advertorial ditulis dengan gaya bahasa yang lebih santai. Kalau dapat gunakan gaya bahasa yang sama seperti mana yang digunakan oleh target audience kita, itu lebih baik.

 

Sesetengah penulis advertorial ada yang menggunakan gaya bahaya yang lebih skema. Ibaratnya seperti ingin menghasilkan sebuah artikel jurnal. Actually pemilihan gaya bahasa ini bergantung kepada siapakah golongan yang bakal menjadi pembaca advertorial tersebut.

 

2. Tulis konten seperti mana yang anda tulis dalam tajuk artikel anda

Kalau anda menulis artikel bertajuk “tempat menarik di Tangkak” pastikan anda fokus kepada tajuk tersebut. Jangan campur adukkan dengan perkara-perkara lain yang kurang relevan atau yang langsung tak berkaitan.

 

Ada sesetengah penulis yang suka menggunakan teknik “click bait”. Tajuk tulis lain, tapi bila kita baca konten, langsung tak ada kaitan dengan tajuk. Cara ini mungkin berkesan untuk short term, tapi untuk jangkamasa panjang, orang akan mula menyampah dan curiga dengan konten yang kita hasilkan.

 

3. Satu advertorial untuk satu produk

Biasakan diri untuk menggunakan satu advertorial untuk mempromosikan satu produk. Jangan suka campur adukkan banyak-banyak produk dalam satu advertorial. Ini boleh membuatkan pembaca hilang fokus terhadap apa mesej yang anda cuba sampaikan.

 

4. Banyak advertorial untuk mempromosikan satu produk

Jangan cepat berpuas hati dengan terhasilnya sebuah advertorial. Ya saya faham, sesetengah orang yang tak biasa dengan kerja-kerja penulisan, mungkin akan ambil masa yang agak lama untuk menyiapkan sebuah artikel.

 

Apa pun saya ucapkan tahniah kerana anda berjaya menghasilkan sebuah artikel! Raikan kejayaan tersebut, tapi jangan cepat berpuas hati. Terus hasilkan artikel advertorial yang kedua, ketiga dan seterusnya. Buat seberapa banyak konten yang anda mampu buat.

 

Pemasaran melalui advertorial ini bukanlah satu teknik ajaib yang akan terus menunjukkan kesannya setelah anda siarkan artikel yang pertama. Boleh jadi juga setelah anda siarkan advertorial yang pertama, anda dapati… nothing happened!

 

Sales yang anda harap-harapkan tetap tak kunjung tiba.

 

Artikel anda tak dijumpai oleh pembaca sasaran. Kalau kita buat carian di Google, ia mungkin tercampak jauh di halaman balakang. Artikel yang berada dikedudukan yang jauh terkebelakang di laman enjin carian google memang agak sukar untuk mendapat pembaca.

 

Apa masalahnya dan apa pula jalan penyelesaiannya?

Boleh jadi masalahnya adalah berpunca daripada strategi penulisan yang tak mesra SEO (search engine optimization).

Penyelesaiannya? Anda perlu tahu bagaimana cara untuk optimasikan sesebuah penulisan dengan teknik SEO.

 

Jangan risau, perkara ini tidaklah serumit mana. Saya ada tulis topik mengenai cara hasilkan artikel yang SEO Optimized jika anda minat nak baca.

Baca disini: Maksud artikel SEO Optimized dan cara hasilkannya

 

5. Berikan penyelesaian kepada masalah pelanggan

Ikhlaskan hati bila menulis.

 

Bila kita sedar, pelanggan kita mungkin menghadapi masalah tertentu, kita menulis dengan niat supaya perkongsian kita itu dapat membantu menyelesaikan masalah dia. Boleh jadi produk atau perkhidmatan yang kita promosikan nanti tidak dipilih oleh pembaca, tetapi setidak-tidaknya kita dah bantu selesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

 

6. Berikan jawapan kepada persoalan yang dicari oleh pelanggan

Carian di laman search engine adakalanya berbentuk soalan. Anda juga mungkin pernah bertanya soalan kepada google, lalu menekan butang search.

 

Antara strategi advertorial yang cukup ampuh adalah dengan menghasilkan advertorial menggunakan pendekatan menjawab soalan. Namun begitu, anda perlulah betul-betul menjawab persoalan, dan bukannya hanya berminat untuk menjual barang.

 

7. Galakkan pembaca untuk membuat tindakan

Paling penting, dalam mana-mana bahagian yang bersesuaian dalam artikel, kita perlu mengajak pembaca untuk melakukan suatu tindakan yang mudah.

 

Antaranya adalah seperti

1. Whatsapp pada nombor yang diberi

2. Klik pada link yang diberikan

3. Tekan butang like pada fan page

4. Follow akaun tiktok, twitter, instagram dll

5. Subscribe mailing list dengan memberikan nama dan email

 

Atau apa-apa tindakan lain yang boleh dikira sebagai mudah. Ada sedikit action dari pihak pembaca itu lebih baik berbanding langsung tiada tindakan.

 

Kalau nak mengharapkan pembaca terus bertindak dan membuat pembelian, itu hampir mustahil, melainkan kalau sebelum ini memang telah wujud kepercayaan yang sangat mendalam terhadap anda ataupun produk yang anda jual.

 

8. Elakkan hanya bercerita mengenai syarikat anda

Cara paling pantas untuk membuatkan pembaca hilang mood untuk teruskan membaca adalah apabila advertorial tersebut terlalu JELAS mengiklankan sesuatu produk atau servis, berbanding memberikan maklumat yang berguna.

 

Saya syorkan guna formula 80 – 20 atau 70 – 30.

80% atau 70% maklumat berguna

20% atau 30% maklumat mengenai produk yang dipromosikan.

 

Kebanyakkan pembaca adalah orang yang bijak. Walaupun anda tak sebutkan pada mana-mana bahagian dalam artikel yang artikel tersebut sebenarnya adalah artikel iklan (advertorial), mereka boleh tahu. Boleh jadi sebab mereka (pembaca) sedar yang zaman sekarang ini, tak ada orang yang sanggup menulis panjang-panjang, lengkap dengan maklumat berguna jika tiada sebarang imbuhan yang diterima.

 

Tapi kalau anda buat ia kelihatan sangat obvious, yang artikel tersebut sebenarnya memang adalah sebuah iklan, ini akan menyebabkan pembaca terus hilang mood untuk membaca.

 

9. Hasilkan advertorial yang padat

Sekiranya anda mempunyai kemampuan, sebaik-baiknya anda pelbagaikan jenis konten. Bukan setakat hasilkan artikel, sebaliknya pelbagaikan dalam bentuk imej, info-grafik, rakaman suara (audio – podcast) dan juga video (youtube).

 

Setiap orang mempunyai preference yang berbeza dalam berinteraksi dengan sesuatu konten.

Ada yang suka membaca.

Ada yang tak suka membaca teks yang panjang, tapi lebih suka menonton video.

Ada yang tak sempat nak fokuskan pandangan pada skrin, tapi boleh mendengar.

 

Ya, memang betul tak ramai yang sanggup untuk hasilkan konten dalam 3 versi yang berbeza. Versi artikel, audio dan juga video. Namun jika anda ada kemampuan dan kesanggupan, ia amat berguna kepada bakal pelanggan anda.

 

10. Memerlukan maklumat tambahan setelah mereka menekan klik pada iklan produk anda

Individu yang tertarik dengan iklan anda, pastinya akan memerlukan maklumat tambahan

 

Sebelum ini dia mungkin tak pernah tahu mengenai produk, perkhidmatan dan juga bisnes anda. Tapi kini dia tahu. Oleh kerana dia tertarik dengan iklan yang anda hasilkan, maka dia perlukan informasi tambahan.

 

Anda perlu bersedia untuk bercerita mengenai ciri-ciri produk, manfaat produk dan juga hal-hal teknikal yang berkaitan dengan produk. Pointnya disini adalah bercerita bukannya menjual. Letakkan diri anda sebagai seorang guru yang cuba mendidik anak muridnya supaya faham topik yang diajarkan.

 

11. Jangan risau tentang artikel yang panjang.

Sesetengah usahawan percaya dan yakin, bahawa pembaca tak suka baca artikel yang panjang.

 

Saya pula kata, ianya bergantung kepada keadaan dan situasi! Adakalanya memang kita perlu hasilkan artikel sama ada artikel review, atau artikel advertorial yang panjang.

 

Kalau sesuatu produk atau servis yang hendak dipromosikan itu mahal harganya, lazimnya kita memerlukan advertorial yang panjang! Ada banyak perkara yang perlu kita muatkan dalam advertorial tersebut bagi tujuan meyakinkan bakal pelanggan untuk memilih kita berbanding pesaing.

 

Tapi bukankah artikel yang panjang akan menyebabkan pembaca hilang fokus?

Betul dan tak betul.

 

Artikel yang panjang boleh menyebabkan pembaca hilang fokus especially kalau penulis tersebut terlalu syok sendiri apabila menulis. Artikel jadi panjang sebab dia masukkan banyak informasi yang tak perlu dan langsung tak relevan dengan topik utama yang dibincangkan. Tapi kalau advertorial tersebut panjang disebabkan perlu dimuatkan maklumat yang penting dan relevan, pembaca tak akan komplen.

 

Of course, pembaca boleh skip untuk baca mana-mana bahagian yang dia rasakan tak perlu baca. In fact, artikel yang pendek juga pembaca akan skip.

 

12. Pembaca tak bersedia untuk membaca surat jualan

Advertorial bukan surat jualan (sales letter).

 

Fungsi sales letter adalah straight forward, iaitu untuk memperkenalkan produk dan mendapatkan tempahan. Namun berbeza dengan advertorial, yang mana ia lebih kepada untuk memberi informasi yang bernilai kepada pembacanya.

 

Cara yang lebih baik ialah, kita perkenalkan artikel advertorial kepada bakal pelanggan terlebih dahulu dan jika mereka nampak berminat dengan produk, barulah kita ajak dia untuk baca sales letter.

 

Contohnya, saya menghasilkan sebuah advertorial bertajuk kelebihan menjadi penjual di Shopee berbanding ejen affiliate.

Setelah saya membincangkan kelebihan-kelebihan sebagai seorang seller, barulah saya mengajak pembaca untuk membaca sales letter.

 

Sales letter yang saya maksudkan adalah yang ini.

Kalau anda ingin cuba menulis sendiri advertorial untuk memperkenalkan perniagaan anda, tahniah saya ucapkan. Sebelum anda siarkan advertorial tersebut, cuba anda baca dan semak penulisan anda.

 

Jika dari mula sampai habis ayat, bunyinya lebih kepada ayat iklan, maka ia bukanlah advertorial. Ia lebih kepada sales letter atau mungkin ia sebenarnya direct advertising. Jangan terus delete, sebaliknya cuba anda edit supaya konten artikel anda mengandungi 80% informasi dan selebihnya barulah ayat-ayat promosi.

 

Kesimpulan

Advertorial bukanlah shortcut untuk anda mendapatkan jualan segera atau meningkatkan pendapatan bisnes anda.

 

Ia merupakan satu strategi jangkamasa panjang yang perlu dilakukan bagi tujuan membina jenama dan menaikkan reputasi perniagaan anda.

 

Memang betul, pada hari ini masih terdapat banyak lagi strategi pemasaran lain yang anda boleh gunakan untuk perniagaan yang anda jalankan. Namun, advertorial tetap ada peranannya yang tersendiri.

 

Penggunaan strategi advertorial dapat membantu menyampaikan mesej jualan anda kepada golongan yang anda sasarkan. Walaubagaimanapun, akhirnya terpulang kepada bakal pelanggan sama ada mereka memiliih untuk berurusan dengan anda atau sebaliknya.

 

Apa yang membuatkan strategi advertorial ini berkesan ialah lazimnya pembaca tak menganggap advertorial ini sebagai iklan. Penerimaan mereka terhadap mesej jualan yang terkandung dalam advertorial lazimnya lebih rileks dan santai.

 

Terima kasih kerana sudi membaca perkongsian ini. Harap bermanfaat untuk anda.

 

 

 

Exit mobile version