Blog Sabree Hussin

Memilih topik yang sesuai bagi memulakan projek buat duit dengan blog

Apakah dia langkah pertama yang perlu diambil, bagi mereka yang berminat untuk memulakan projek blog sendiri dan menjana pendapatan dari blog tersebut?

 

Ya, saya percaya setiap orang akan ada pandangan dan pendapat masing-masing. Mereka membuat sesuatu keputusan berdasarkan apa yang tepat pada keadaan dan situasi mereka.

 

Dari soalan mudah ini, mungkin akan terbit beberapa cadangan jawapan, misalnya, langkah pertama yang perlu diambil kalau nak buat blog sendiri, adalah dapatkan nama domain dan hosting, atau mungkin akan ada yang bagi jawapan untuk daftar akaun dengan blogspot dan sebagainya.

 

Jawapan tersebut ada benarnya, cuma pada saya, ada perkara lain yang lebih penting berbanding dapatkan nama domain dan hosting, atau daftar akaun blogspot. Anda nak tahu apa langkah tersebut? Langkah yang saya maksudkan adalah memilih topik yang sesuai untuk projek blog tersebut.

Dari pengalaman saya sebelum ini, apabila saya buat keputusan sama ada nak lancarkan satu lagi projek blog baru atau tidak, saya akan sediakan dulu cadangan senarai topik yang saya kira “berbaloi” untuk diwujudkan dalam bentuk blog.

 

Seterusnya, saya akan buat brainstorming bertitik tolak daripada cadangan senarai topik tersebut. Katakanlah, saya berkenan dengan topik “travel” atau percutian. Saya akan tanyakan soalan pada diri saya dulu, adakah ini merupakan satu topik yang bagus untuk diterokai?

 

By the way ada ke pembaca blog ini yang suka pergi bercuti? Kalau anda juga suka bercuti, besar kemungkinan, anda juga mampu untuk hasilkan blog tentang percutian yang hebat satu hari nanti.

 

Apabila kita dah tahu apa topik yang kita bakal tulis, maka langkah seterusnya adalah kenalpasti apa-apa cabaran yang perlu kita hadapi untuk bangunkan sebuah blog berdasarkan topik tersebut.

 

Nak bangunkan sesebuah blog, sudah tentu ada cabarannya. Anggap macam kita nak mula tulis sebuah buku, pasti buku tersebut tak akan mampu disiapkan dalam masa satu hari. Kita perlu ada sumber rujukan, jika topik tersebut bukannya topik yang kita betul-betul mahir.

 

Jika blog tersebut adalah tentang perkongsian pengalaman, sudah tentu kita perlu ada pengalaman melalui sesuatu peristiwa terlebih dahulu. Topik ini, saya akan ulas dengan lebih mendalam kemudian.

 

Sekali lagi, saya ambil contoh topik mengenai percutian. Kalau nak bercerita tentang bercuti, perkara-perkara berikut sesuai untuk dimuatkan sebagai konten blog.

(1) Tempat-tempat percutian dan lokasi tarikan pelancong yang menarik untuk dikunjungi

Katakanlah kita nak tulis satu artikel mengenai percutian ke Pulau Langkawi. Pulau Langkawi itu sendiri merupakan satu destinasi percutian yang agak luas, dan disana terdapat banyak lagi lokasi-lokasi tertentu yang menjadi tumpuan pengunjung.

 

(2) Tempat penginapan yang unik dan menarik

Tempat percutian begitu sinonim dengan tempat penginapan. Kalau sesuatu destinasi percutian itu memiliki banyak pilihan tempat untuk menginap itu sangat bagus, sebabnya kita bakal mempunyai banyak peluang untuk membuat review dan ulasan tempat penginapan yang berlainan.

 

(3) Senarai tempat makan

Biasa kalau kita pergi bercuti dekat tempat yang baru pertama kali kita sampai, kita akan ada masalah untuk memilih tempat makan atau restoran yang menarik. Saya sendiri akan bergantung pada google untuk dapatkan maklumat, tempat makan yang mana yang sedap dan sesuai untuk dikunjungi.

 

Sekarang ini, bila saya dah ada blog sendiri tentang percutian, saya akan kongsikan antara tempat-tempat makan yang saya pernah kunjungi. Ini secara tak langsung dapat membantu mereka yang nak pergi bercuti dan dapat membantu pemilik restoran memperkenalkan restoran mereka kepada orang luar.

 

(4) Budaya dan adat sesebuah masyarakat

Ini juga merupakan satu keunikkan yang hanya terdapat pada masyarakat setempat. Elemen budaya ini dapat dilihat dari segi cara pemakaian, cara percakapan, seni bina, makanan dan sebagainya.

 

(5) Peristiwa bersejarah yang berkaitan

Jika anda meminati topik sejarah, saya pasti anda akan rasa seronok untuk berkunjung ke tempat-tempat seperti muzium apabila bercuti di sesebuah tempat percutian.

 

Kalau bercuti di Melaka memang banyak muzium yang kita boleh kunjungi dan dari situ banyak maklumat dan peristiwa sejarah yang kita boleh pelajari. Bagi penulis blog seperti saya, ini semua sesuai untuk dijadikan sebagai konten.

 

(6) Kelengkapan yang diperlukan untuk bercuti disesuatu tempat

Tahukah anda, apakah pakaian yang sesuai untuk dibawa apabila bercuti di Kundasang, Sabah?

Tahukah anda, apakah pakaian dan peralatan yang perlu ada jika ingin melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Payar Marine Park, Langkawi?

 

Kalau mereka yang dah ada pengalaman mungkin ini bukan satu masalah besar. Sebaliknya bagi yang baru pertama kali, sudah pasti mereka ingin siap sedia dengan segala kelengkapan supaya aktiviti yang bakal mereka lakukan nanti dapat berjalan dengan lancar.

 

(7) Persediaan yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas bercuti

Topik mengenai persediaan ini juga sebenarnya adalah satu topik yang penting. Misalnya nak siap sedia dengan perlindungan insurans, gadget, pakaian, dokumen dan sebagainya.

 

(8) Peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi semasa bercuti

Bila kita pergi bercuti, kita rasa sangat excited dan seronok nak beli macam-macam barang. Kalau boleh banyak barang kita nak borong! Tapi awas, kena tahu apa undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

 

Bimbang nanti, kita akan dikenakan denda, bayaran tambahan untuk duti dan sebagainya. Ada juga barang yang tak dibenarkan untuk bawa keluar dari tempat percutian, melainkan dengan bayaran yang mahal pada pihak kastam.

 

(9) Aktiviti yang boleh dilakukan

Ada sesetengah orang, dia sangat excited bila boleh pergi bercuti. Tapi bila dah sampai di destinasi percutian, dia tak tahu apa aktiviti yang dia boleh buat. Jadi sepanjang dia berada disana, masanya hanya dihabiskan untuk buat aktiviti sight seeing sahaja.

 

Kemudian pada hari-hari terakhir, baru dia tahu, ada banyak aktiviti menarik yang dia boleh lakukan. Tapi itu semua dah terlambat. Masa yang tinggal dah tak banyak.

 

Ataupun ada juga sesetengah keadaan yang mana, mereka ini salah dalam menyusun jadual aktiviti lalu menyebabkan mereka tak sempat mengunjungi banyak lagi tempat-tempat menarik yang ada disitu.

 

(10) Kereta sewa dan sebagainya

Percutian ke Langkawi, atau ke Kota Kinabalu misalnya, memang memerlukan kita untuk mendapatkan khidmat kereta sewa. Kalau kita ada pengalaman menyewa kenderaan semasa bercuti, bolehlah kita syorkan beberapa syarikat yang pada pendapat kita mampu untuk tawarkan servis yang baik.

 

Pemilihan sesuatu topik ini perlu diberikan perhatian yang serius. Sebaik-baiknya, kita pilih satu topik yang ada banyak perkara yang kita boleh tulis nanti.

 

Bagi menghasilkan sebuah artikel yang baik, adakalanya kita perlu merasai pengalaman tersebut dan berada disesuatu tempat itu. Contohnya, kalau kita nak bercerita tentang pengalaman hiking di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Kalau kita tak pernah ada pengalaman dan tak pernah sampai ke tempat itu, bukan mudah nak hasilkan artikel sedemikian.

 

Dalam keadaan yang ideal, kita sepatutnya pilih satu topik (atau lebih) yang kita rasa suka dan teruja untuk bincangkan dalam blog kita tu. Selalunya, topik yang kita betul-betul minat dan suka, kita akan lebih excited untuk terus menulis walaupun pada peringkat awalnya, tak ramai yang baca blog kita.

 

Kenapa perlu beri keutamaan pada pemilihan topik?

Topik yang bakal kita tulis dalam blog kita itu nanti, ibarat satu road map, atau peta jalan yang akan menjadi panduan kemana arah tuju blog kita dimasa akan datang.

 

Lagi satu, ini untuk elakkan anda berada dalam satu situasi, yang mana anda sendiri tak tahu, apa nak dilakukan dengan blog yang baru anda hasilkan.

 

“Saya dah ada blog, boleh tak tolong bagi cadangan apa yang patut saya tulis dalam blog saya?” 

Saya beberapa kali ditanya soalan seperti ini.

 

Si penanya ini mungkin terlebih excited masa mula-mula tahu yang dari blog boleh hasilkan pendapatan. Lalu dia terus daftar nama domain, sewa hosting dan mula memasang blog dengan sistem wordpress.

 

Selepas semua hal-hal teknikal telah siap, baru dia terfikir, apa yang dia patut tulis dalam blog yang baru dihasilkan? Pada saya ini adalah satu langkah yang silap. Sepatutnya dia bersedia dengan topik yang ingin ditulis terlebih dahulu, kemudian barulah dia mula lancarkan blog.

 

Cadangan topik atau niche untuk projek buat duit dengan blog

Blogging ini akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan bila kita memilih untuk menulis topik-topik yang kita minat.

 

Selain memilih topik yang kita betul-betul minat, kita juga boleh pilih apa-apa topik yang sifatnya sentiasa malar segar.

 

Satu perkara yang saya ingin tekankan ialah, ketika kita memilih sesuatu topik atau niche, pilihlah satu topik yang kita tahu ada orang minat dengan topik tersebut. Itu lebih mudah berbanding kita main tulis sebarang topik, kemudian kita mengharap akan ada orang yang minat dengan topik yang kita tulis.

 

Disini saya ingin kongsikan beberapa beberapa contoh topik untuk anda pilih. Semoga apa yang bakal saya kongsikan disini dapat menjana idea untuk projek anda kelak.

 

Ini dia topik-topik yang anda boleh pertimbangkan untuk tulis dalam blog anda.

 

(1) Topik tentang duit

Ya, duit. Ada ke orang yang tak suka duit? Saya rasa tak salah untuk saya katakan, semua orang suka duit.

 

Bila bercakap mengenai duit, ada beberapa topik yang kita boleh kembangkan lagi, sebagai contoh

i. Cara untuk hasilkan duit

Anda mungkin ada info atau tahu macam mana cara untuk hasilkan duit melalui kaedah-kaedah tertentu, misalnya cara buat duit dengan blog, cara buat duit melalui saham, cara buat duit sebagai freelancer, cara hasilkan pendapatan online dan sebagainya.

 

ii. Cara untuk hasilkan lebih banyak duit dengan pelaburan

Topik pelaburan ini adalah satu topik yang bukan semua orang tahu. Masih ramai lagi orang kita yang belum betul-betul faham cara melabur di pasaran saham, cara betul membuat pelaburan hartanah, cara melabur dalam logam emas dan perak dan banyak lagi.

 

iii. Cara untuk jimatkan duit

Teknik-teknik untuk jimatkan duit. Anda mungkin tahu beberapa cara untuk jimatkan duit apabila berbelanja, betul tak? Sebagai contoh, sebelum nak buat sebarang pembelian, buat dulu perbandingan harga, dan anda boleh kongsikan laman web yang menyediakan servis perbandingan harga.

 

iv. Cara untuk uruskan duit

Dekat sini boleh sentuh sikit topik mengenai perlindungan insurans, takaful, wasiat, pengurusan harta pusaka dan banyak lagi.

 

Topik yang bersangkutan dengan duit ini memang sangat luas dan ada banyak benda yang kita boleh tulis.

 

(2) Topik tentang kesihatan

Anda mungkin mempunyai latar belakang atau pernah ikuti latihan berkaitan dengan bidang kesihatan. Apa kata anda menulis satu blog berkenaan dengan kesihatan. Ada macam-macam juga benda yang boleh dimuatkan dalam blog berkaitan dengan kesihatan, misalnya

 

i. Tips pemakanan sihat dan seimbang serta diet

ii. Teknik senaman untuk mendapatkan bentuk badan ideal

iii. Tips mengenai makanan tambahan

iv. Tips pemilihan produk untuk penjagaan diri

v. Petua tradisional

vi. Pembongkaran mitos dan salah faham mengenai kesihatan dan sebagainya

 

Niche kesihatan ini juga merupakan satu niche yang ada sangat banyak perkara yang kita boleh tulis. Namun awas, jika anda tidak mempunyai pengetahuan dan ilmu yang betul, sebaik-baiknya anda jangan menulis tentang topik ini. Bimbang nanti nasihat yang anda berikan lebih mendatangkan impak negatif berbanding positif.

 

(3) Topik tentang famili dan kekeluargaan

Setiap hari, akan ada pasangan yang menimang cahaya mata. Mereka ini, ada yang memerlukan rujukan dan jawapan untuk masalah yang mereka hadapi. Sesetengah individu agak segan kalau nak bertanya kepada individu yang mereka kenali tentang masalah yang mereka sedang hadapi. Jadi, untuk jawapan segera, mereka akan cari jawapan menerusi pembacaan di internet dengan bantuan google.

 

Manalah tahu, satu hari nanti blog anda akan dijadikan rujukan, untuk masalah yang mereka hadapi.

 

Antara beberapa perkara yang boleh dan sesuai dimuatkan jika anda memilih untuk buat blog dalam niche ini ialah perkara-perkara seperti

i. Cara langkah demi langkah untuk mendaftar perkahwinan bagi pasangan baru

ii. Tips rumah tangga bahagia

iii. Nasihat berkaitan dengan hubungan suami isteri

iv. Cara mendidik anak-anak mengikut peringkat yang berbeza

v. Cara mendidik isteri

vi. Cara menjadi suami yang mithali

vii. Cara memujuk isteri/suami yang merajuk

viii. Cara untuk dapatkan semula bekas kekasih/tunang/isteri/suami

 

Ya, banyak benda yang boleh ditulis, kan? Cuma secara peribadi saya tak berapa minat topik atau niche ni, jadi saya tak pernah tulis apa-apa artikel berkaitan dengan topik seumpama ini.

 

(4) Topik tentang kerjaya

Dalam topik tentang kerjaya ini, juga ada banyak benda yang kita boleh kembangkan.

 

i. Kita boleh cerita tentang tips kerjaya dalam bidang atau industri tertentu

ii. Tips menghasilkan resume

iii. Persediaan dalam menghadapi soalan temuduga

iv. Perkongsian pengalaman kerja dalam industri yang berbeza

v. Sesi temubual dengan wakil mana-mana syarikat

 

Cuba bayangkan satu situasi ini. Ada satu keluarga ini, dia mungkin mengharapkan akan ada dalam kalangan anak-anaknya yang bakal jadi seorang doktor. Tapi ada satu masalah. Dia tak tahu, apakah perjalanan pendidikan yang perlu dilalui untuk seseorang itu dapat merealisasikan impiannya untuk jadi doktor.

 

Mungkin anda boleh hasilkan sebuah blog, yang memberi langkah demi langkah untuk jadi seorang doktor.

 

Apa sekolah yang dia perlu masuk untuk jadi doktor.

Mana universiti yang dia patut pilih untuk lanjutkan pelajaran.

 

(5) Topik berkaitan dengan hobi

Hobi ini ada pelbagai, dari hobi yang boleh dikatakan sebagai low cost, hinggalah kepada hobi yang sangat tinggi kos nya.

 

Hobi mengumpul set action figure, hobi bermain kereta control dan macam-macam lagi jenis hobi.

 

(6) Topik berkaitan dengan sukan dan aktiviti luar (outdoor) 

Saya ada kawan yang cukup minat dengan sukan bola sepak. Bila dia ulas tentang satu perlawanan bola sepak, memang boleh tercengang saya dibuatnya.

 

Saya rasa, kalau dia jadi penulis blog dan kongsikan ulasan sukan yang dia buat, mesti dia boleh pergi jauh! Tapi tula… biasanya orang yang minat sukan, minat buat ulasan tentang sesuatu perlawanan, tak minat nak jadi penulis blog pula.

 

Untuk blog berkaitan sukan ini, biasanya pemilik blog akan fokus pada satu jenis sukan sahaja. Misalnya sukan bola sepak, bola keranjang atau baseball sahaja. Tapi kalau dia ada kemampuan, nak tulis tentang banyak-banyak sukan dalam satu blog juga tak ada masalah.

 

Andai kata anda minat nak tulis blog berkenaan dengan aktiviti sukan dan outdoor tapi tak ada idea nak tulis pasal apa, apa kata anda dapatkan idea daripada senarai produk berkaitan sukan yang dijual di Decathlon ini.

 

(7) Topik keagamaan, motivasi dan inspirasi

Bagi mereka yang gemar membaca buku-buku motivasi atau buku-buku dalam kategori self-help, anda mungkin cenderung untuk menulis dalam topik motivasi.

 

Biasanya orang yang minat topik ini juga selalu kongsikan kata-kata nasihat, kata-kata hikmah dan mutiara kata di media sosial miliknya. Cuma selama ini asyik kongsikan kata-kata orang lain, jadi kali ini dia berhasrat untuk hasilkan sendiri mutiara kata hasil tangan sendiri.

 

Apabila saya banyak membaca buku motivasi, tak kiralah sama ada buku tersebut ditulis oleh penulis tempatan atau luar negara, saya dapati penulisan buku motivasi selalunya dipengaruhi oleh kepercayaan si penulis.

 

Jika penulis adalah seorang Muslim, maka kata-kata motivasinya adalah bersandarkan kepada kalam Allah dan juga hadith Nabi.

Jika penulis adalah seorang kristian, maka kata-kata motivasi yang dilontarkan adalah berdasarkan kepada potongan ayat bible.

Manakala jika penulis adalah seorang Atheis, maka kata-kata motivasi yang dimuatkan adalah berdasarkan kata-kata seorang ahli sejarah, tokoh pemikir, saintis, alam sekitar, perilaku haiwan dan sebagainya.

 

Saya berpendapat, topik motivasi ini dekat dengan kepercayaan seseorang itu. Kalau nak hasilkan blog berkaitan motivasi, sebaik-baiknya kita dalami juga ilmu agama. Bukan apa, bimbang nanti kata-kata motivasi yang kita lontarkan nanti bertentangan pula dengan nas Al-Quran dan sunnah Nabi. Nasihat ini untuk penulis beragama Islam.

 

(8) Topik hiburan

Blog hiburan adalah antara jenis blog buat duit yang banyak orang buat. Cuma itulah, kadang-kadang posting yang dihasilkan agak mengarut, remeh temeh dan sebagainya. Tapi kalau dah memang itu yang dicari oleh peminat, apa salahnya, kan.

 

Dalam blog hiburan ini, kita boleh tulis perkara-perkara seperti

i. Perkembangan artis

ii. Latar belakang dan biodata artis

iii. Gosip

iv. Fashion

 

Pada asasnya, apa-apa yang bermotifkan hiburan, sesuai untuk dimuatkan dalam blog yang bakal kita hasilkan kelak, jika kita mensasarkan untuk menulis dalam topik hiburan.

 

(9) Topik automatif

Blog tentang kereta dan jentera juga merupakan satu lagi jenis blog yang bagus untuk dimulakan. Itupun kalau anda mempunyai pengetahuan yang sangat baik dalam bidang ini.

 

Antara perkara yang boleh dimuatkan adalah seperti

i. Model-model kenderaan

ii. Cara penjagaan enjin

iii. Review model terbaru

iv. Aksesori

 

(10) Masakan dan makanan

Blog dalam niche ini biasanya diminati oleh golongan wanita. Dalam blog yang sama ini, kita boleh masukkan konten berbentuk

i. Resipi masakan

ii. Kongsi restoran dan tempat makan yang menarik

iii. Makanan tradisi yang unik

 

Blog dalam niche ini sangat sesuai digabungkan dengan channel Youtube. Maksud saya, disamping buat konten dalam bentuk artikel, buat juga konten dalam bentuk video.

 

(11) Buku

Buat blog semata-mata nak membincangkan tentang buku! Ada ke yang sanggup nak buat macam ni?

 

Saya ada plan nak buat blog dalam niche ini. Satu blog khas yang bercerita mengenai buku-buku yang saya pernah baca sebelum ini. Tapi memandangkan saya dah ada banyak blog, dan risau juga kalau blog baru tu nanti tak terurus, jadi saya tangguhkan dulu hasrat tersebut.

 

Blog yang berkaitan dengan buku ini sesuai digabungkan dengan program dropship Usahawan Buku. Sambil kita bercerita tentang buku yang kita baca, kita boleh ambil order terus dari pembaca yang mungkin minat nak beli buku yang sama yang kita cerita.

Ada beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu buku yang ada dipasaran, dan kalau anda memilih untuk menulis tentang buku-buku yang pernah diterbitkan, saya pasti anda tak akan kehabisan topik untuk ditulis.

 

(12) Haiwan peliharaan

Haiwan peliharaan ini juga ada macam-macam, jadi anda bolehlah tulis blog ikut jenis haiwan peliharaan yang anda suka, sama ada nak tulis pasal kucing, anjing, hamster, ular dan sebagainya.

 

Kalau dekat negara kita ini, agak sukar nak jumpa blog yang fokus menulis tentang haiwan eksotik yang dijadikan haiwan peliharaan.

 

(13) Politik dan kajian sains sosial

Bila kita tulis blog berkaitan dengan politik, bukanlah bermaksud kita perlu jadi macai atau walaun parti tertentu. Sebaliknya kita melihat sesuatu isu politik dalam konteks yang lebih meluas.

 

Kalau dekat universiti ada jurusan Sains Politik, dan mungkin pengkaji dan juga pelajar dalam bidang ini dapat memperbetulkan konsep politik yang sebenar. Saya pasti, politik itu luas dan tidak terhad pada isu bangsa, kaum dan agama semata-mata.

 

(14) Topik tentang komputer, gadget dan teknologi

Kalau saya merupakan seorang yang tech savvy, saya pasti akan buat blog dalam niche ini. Tapi sayang, saya tak berapa mahir dalam bidang ini. Maka tak dapatlah saya menulis dan menghasilkan blog berkaitan dengan niche ini.

 

Pada saat ini, saya masih lagi blur bila baca maklumat spesifikasi gadget, komputer dan sebagainya. Nampak sangat saya tak sesuai menulis bab ini.

 

Tapi kalau anda adalah seorang yang mahir dalam bab ini, ini merupakan satu peluang untuk anda menghasilkan blog yang bagus berkaitan dengan topik ini.

 

(15) Game

Sekarang ini dah semakin ramai anak muda yang jadi streamer sambil berkongsi skrin dia bermain game. Konsep ini memang agak asing beberapa tahun kebelakang, tapi sekarang ini, ia dah mula diterima dan mendapat tempat.

 

Sekarang ini pun ada macam-macam game yang kita boleh main. Ada yang percuma dan ada juga yang berbayar. Senang cerita, kita tak akan kehabisan topik kalau nak menulis mengenai topik game ini.

 

(16) Fotografi

Apa nak tulis kalau nak buat blog mengenai fotografi? Ada macam-macam yang boleh kita tulis, misalnya

i. Tips ambil gambar

ii. Tips menghasilkan video

iii. Servis fotografi

iv. Cara buat duit dengan fotografi dan macam-macam lagi

 

(17) Komik

Kalau kat luar negara, niche komik ini adalah salah satu niche yang agak kuat dan ada banyak pengikut. Kalau kita lihat dalam forum-forum dan laman web seperti quora, berlaku perbincangan yang sangat sihat dan aktif bila bercerita tentang komik.

 

Komik yang saya maksudkan ini adalah sama ada komik manga jepun, komik hong kong, marvel mahupun DC.

 

(18) Filem, tele-filem, drama dan anime

Pada awalnya saya ingin himpunkan topik filem ini dalam satu tempat yang sama, iaitu hiburan. Tapi saya rasa kalau anda nak buat blog berkenaan dengan filem sahaja, lebih baik buat satu blog khas yang tak bercampur aduk dengan topik hiburan.

 

Blog tersebut fokus pada filem, drama dan anime sahaja. Itupun sebenarnya ada banyak yang boleh ditulis.

 

(19) Bisnes

Blog berkaitan dengan bisnes, cara menjalankan bisnes, strategi, teknik pemasaran dan sebagainya. Blog jenis ini juga sebenarnya ada peminatnya yang tersendiri.

 

Dekat luar sana, ada ramai usahawan yang menjalankan bisnes secara hentam keromo sahaja. Bila ada blog berkaitan bisnes, setidak-tidaknya boleh dijadikan panduan dan orang yang buat bisnes tapi tak ada pengalaman dan tak ada latar belakang bisnes juga boleh belajar sesuatu.

 

Dalam topik bisnes ini juga kita boleh perkenalkan pelbagai jenis bisnes kepada pembaca. Ada sesetengah orang ini, dia nak buat bisnes tapi tak tahu nak pilih bisnes apa. Mungkin daripada senarai bisnes yang anda bakal cadangkan nanti, pembaca tersebut akan dapat idea.

 

(20) Berita

Blog berkaitan dengan berita ini akan mengupas dan mengulas berita-berita yang pernah berlaku atau isu semasa. Kalau nak buat blog jenis ini, anda kena jadi antara yang terawal mengupas dan menulis sesuatu isu, barulah blog anda itu nanti akan ada ramai pembaca.

 

Saya masih tak tahu nak pilih topik apa untuk blog saya… Apa patut saya buat?

Ada ketikanya, tidak memilih sebarang topik yang spesifik untuk projek blog anda, juga adalah satu strategi yang baik.

 

Apa-apa strategi, walaupun nampak lemah, masih lagi lebih baik kalau nak dibandingkan dengan langsung tak ada strategi.

 

Pada tahun-tahun pertama saya mula bergiat dalam bidang penulisan blog, saya juga tidak mempunyai sebarang topik yang spesifik untuk ditulis dalam blog saya. Saya tulis apa yang saya rasa nak tulis, dan apa-apa topik yang saya rasa selesa dan setidak-tidaknya ada pengetahuan mengenai topik tersebut.

 

Blog saya, adalah blog personal. Jadi, saya menggunakan blog tersebut sebagai satu medium untuk mengekspresikan segala perkara yang terlintas dalam fikiran saya.

 

Kalau pada sekian waktu, saya rasa nak bercerita tentang topik pengurusan kewangan, maka saya akan tulis topik tersebut.

Kalau saya rasa, saya nak beramal, dan sebarkan ilmu yang bermanfaat, saya akan curahkan segala yang saya tahu dalam satu blogpost.

Ataupun, kalau saya tergerak untuk melakukan kerja-kerja dakwah, maka saya akan kongsikan sedikit pengetahuan agama yang saya tahu dalam blog saya.

 

Dalam salah satu blog yang saya pernah tulis dulu, antara topik yang saya tulis adalah topik yang sama yang saya sedang belajar di universiti. Sambil saya menulis di blog, sambil tu saya dapat mengulangkaji apa yang saya pelajari semasa berada di dalam dewan kuliah.

 

Kalau memang serius tak tahu nak tulis topik apa, tulis je apa-apa topik yang anda rasa anda mampu untuk tulis. Pada peringkat awal, fokus untuk dapatkan seberapa banyak artikel yang boleh, untuk diterbitkan dalam blog tersebut.

Hakikatnya, blog personal juga boleh pergi jauh.

 

Blog personal ini lebih santai dan tak terikat pada sebarang niche atau disiplin ilmu tertentu. Kita agak bebas untuk menulis sebarang topik yang kita rasa sesuai. Cuma bila kita sebut blog personal ni, kalau boleh janganlah tulis sesuatu yang terlalu bersifat peribadi.

 

Contoh yang bersifat terlalu peribadi adalah seperti apa menu sarapan pagi, menu lunch, aktiviti semasa rehat dan sebagainya.

 

Saya syorkan kalau nak tulis blog dalam niche personal, kita masih lagi perlu menulis dalam kombinasi topik-topik yang telah saya kongsikan dari nombor 1 hingga 20 tadi.

 

Topik yang saya nak pilih dah terlalu banyak orang tulis

Ini boleh jadi satu petanda yang baik. Malahan, ia mungkin satu rahmat bagi kita.

 

Salah satu topik yang saya minat nak tulis, tetapi dekat pasaran dah ada terlalu banyak penulis yang dah tulis topik tersebut adalah topik mengenai pelaburan emas. Kalau pergi ke kedai buku dan perpustakaan, juga kita boleh jumpa banyak buku yang membincangkan topik ini.

 

Antara buku tentang emas yang saya pernah jumpa dan saya pernah baca

  1. PELABURAN EMAS: Kaedah, Pendekatan dan Strategi
  2. Masa Untuk Emas
  3. Magnet Emas Magnet Kekayaan
  4. Emas & Syariah – Ilmu Tersurat dan Tersirat [order disini]

 

Bagi tujuan projek blogging, saya berpendapat, kalau sesuatu topik itu, ada ramai yang tulis, ini bermakna topik tersebut adalah satu topik yang panas dan ia ada potensi untuk beri keuntungan kepada kita. Kita bandingkan dengan topik yang tak ramai orang nak tulis. Kenapa agaknya ia berlaku? Mungkin sebab topik tersebut tidak begitu menguntungkan.

 

Antara topik yang banyak orang tulis dengan yang tak ramai orang tulis, saya sebenarnya lebih suka tulis topik yang popular. Ia lebih menyenangkan kerja-kerja saya.

 

Saya tak perlu nak susah payah fikir dari mula sampai habis apa yang perlu ditulis dalam blog saya dikemudian hari. Saya hanya perlu ambil mana-mana satu buku yang membincangkan topik yang sama yang saya ingin tulis. Kemudian saya tulis semula artikel dalam blog saya berpandukan kepada buku tersebut, dengan membuat beberapa penambahbaikkan yang sesuai.

 

Matlamat saya adalah untuk menulis satu artikel baru yang lebih baik, berbanding artikel-artikel yang sudah diterbitkan sebelum ini.

 

Topik yang dipilih mempunyai kaitan atau boleh dikaitkan dengan sesuatu produk atau servis

Tak kira walau apa topik yang bakal anda pilih nanti, kalau boleh kita pastikan ada sesuatu produk atau servis yang sesuai untuk kita promosikan.

 

Apabila kita nak bina blog tentang percutian, kita boleh promosikan tempat penginapan, bilik hotel dan sebagainya. Kita sertai dulu program affiliate, seperti program affiliate Involve Asia, Indo Leads, atau Access Trade dan promosikan bilik hotel yang ada disenaraikan di laman web Agoda.

 

Bila ada yang baca blog kita, dan dia rasa berminat nak menginap di hotel yang kita promosikan, kita akan dapat komisen apabila mereka buat tempahan melalui link affiliate yang kita sertakan dalam artikel blog yang kita hasilkan.

Baca juga: Apa yang saya perlu buat selepas daftar Program Affiliate Involve Asia? 

 

Wujudnya persaingan antara laman web yang ingin mendominasi topik yang sama

Sesuatu topik yang berpotensi untuk beri keuntungan yang lumayan, lazimnya memang akan ada banyak laman web lain yang akan menjadi pesaing kita.

 

Kita akan bersaing dengan laman web yang sedia ada, ataupun kita akan bersaing dengan laman web baru, yang akan diwujudkan dimasa akan datang.

 

Anggap itu sebagai satu cabaran. Asalkan ia merupakan satu persaingan yang sihat, jadi apa masalahnya? Lainlah kalau dalam persaingan tersebut ada unsur-unsur sabotaj… ha… yang tu jadi tak seronoklah kalau nak bersaing.

 

Sebagai pemilik blog, kita fokus untuk bangunkan sebuah blog yang lebih baik atau yang lebih unik berbanding pesaing kita. Seterusnya, kita serahkan kepada pembaca untuk tentukan, blog mana satu yang lebih menepati selera dan kehendak mereka.

 

Kesimpulan

Bidang penulisan blog ini sangatlah luas. Kita ada macam-macam pilihan topik untuk ditulis. Semuanya terpulang pada kita untuk buat pemilihan.

 

Cuma pesanan ikhlas dari saya, untuk menulis sesuatu topik, perlulah ada ilmu. Bukan main tulis sahaja. Ya, anda mungkin boleh buat duit walaupun anda tak ada ilmu dalam satu-satu topik, almaklumlah anda hanya copy paste daripada artikel orang lain, tapi apa yang anda buat mungkin mendatangkan bahaya kepada orang lain.

 

Anda tak ada ilmu dalam bidang perubatan, tapi anda menulis artikel berkaitan nasihat perubatan. Orang yang baca blog anda pula percaya apa yang anda tulis hingga mereka mengikut segala nasihat yang anda berikan. Jika berlaku sebarang perkara yang tak diingini, sanggupkah anda menanggung akibatnya?

 

Akhir kata, siap sedia dulu dengan topik dan mungkin cadangan tajuk-tajuk artikel yang bakal ditulis terlebih dahulu, kemudian barulah mula daftar blog anda.

 

Baiklah, saya berhenti dulu sampai sini, dan In Shaa Allah saya saya doakan semoga anda juga akan berjaya dalam bidang penulisan ini.

 

 

Exit mobile version