Blog Sabree Hussin

7 Kesilapan Lazim yang biasa dilakukan oleh orang yang berhutang

Hutang. Ada yang baik dan ada yang lebih baik jangan dibuat. Hutang yang baik, menjadikan kehidupan kita bertambah baik dan lebih sempurna, manakala hutang yang tidak baik, hanya menjanjikan masa depan yang suram kepada kita.

 

Pilihan ditangan kita. Wajarkah kita berhutang untuk mendapatkan sesuatu perkara? Adakah perkara tersebut benar-benar worth it dan bernilai tinggi untuk kita korbankan kebebasan hidup kita di masa hadapan semata-mata untuk menjadi hamba hutang.

 

Fikir-fikirkanlah, dan buatlah keputusan yang terbaik. Kali ini, saya nak share antara kesilapan yang kerap dilakukan oleh para peminjam. Beringat sebelum kena. Jangan sampai bila dah jadi, baru nak menyesal tak sudah. Masa tu, dah agak terlewat ya.

 

(1) Buat pinjaman untuk beli liabiliti

Maksud liabiliti adalah sesuatu yang menyebabkan duit keluar dari poket kita. Ini salah satu contoh yang tidak baik untuk kita. Sebagai contoh, berhutang sebab nak beli smartphone Apple Iphone.

 

Smartphone ni sebenarnya tak beri apa-apa nilai tambah kepada kita. Sebaliknya, setiap bulan kita kena keluar duit untuk beli topup. Inilah contoh liabiliti. Ia menyebabkan duit keluar dari poket kita.

 

(2) Tidak semak sama ada pinjaman tersebut menggunakan kaedah konvensional atau sistem kewangan islam

Apa beza antara kaedah pinjaman berdasarkan sistem kewangan konvensional dengan sistem kewangan islam? Bezanya adalah dari segi kontrak pinjaman tersebut. Dalam sistem kewangan konvensional, wujud elemen riba, manakala dalam konteks kewangan Islam, ianya bebas daripada riba.

 

Dah nampak kenapa hati selalu tak tenang, dan hutang pula asyik datang menimpa-nimpa seolah-olah tak pernah habis? Boleh jadi kerana tiadanya keberkatan.

Baca juga: Riba Dalam Urusniaga Jual Beli dan Hutang

 

(3) Sandarkan pinjaman pada aset yang tak kukuh

“Saya nak pinjam sebanyak RM10,000 dan bayaran balik saya akan bayar semula menggunakan duit komisyen dari Lazada.”

 

Pada mulanya, idea seperti ini memang nampak bernas. Ia seolah-olah anda menggunakan sumber kedua, yang tak ada kena mengena dengan pendapatan utama untuk bayar balik hutang yang dibuat. Jadi, walaupun berhutang ia pasti tidak terlalu menjejaskan kedudukan kewangan anda.

 

Namun, anda pasti ke aset yang anda jadikan sandaran itu benar-benar kukuh? Adakah komisyen yang bakal masuk itu nanti jumlah sentiasa konsisten? Atau adakah anda pasti anda akan dapat komisyen setiap bulan?

 

Dalam contoh ini saya gunakan contoh komisyen dari Lazada. Untuk situasi orang lain, mungkin ada yang sandarkan dengan income yang masuk dari duit sewa. Sama juga halnya. Adakah anda yakin, penyewa anda akan tetap dan kekal menyewa di rumah sewa milik anda?

 

(4) Meminjam terlalu banyak melebihi jumlah yang diperlukan

“Biar lebih, jangan kurang?”

 

Dalam konteks membuat pinjaman, pinjaman berlebihan hanya akan menyusahkan kita kembali.

 

(5) Habiskan semua duit pinjaman

Satu perkara yang kita semua perlu ambil perhatian yang serius ialah, duit yang dipinjam bukanlah percuma. Ia perlu dipulangkan semula dan setiap sen yang dipinjam perlu dibayar balik beserta dengan bunganya.

 

Jadi, sebelum nak habiskan semua duit yang dipinjam untuk tujuan yang tak ada kena mengena dengan tujuan asal kenapa duit tersebut dipinjam, adalah lebih baik fikirkan semula. Lebih baik pulangkan semula duit lebihan itu tadi kepada pihak yang memberi pinjaman.

 

(6) Hanya bayar minimum

Ini biasa berlaku dalam hutang kad kredit. Jangan sesekali hanya bayar minimum. Bayar lebih. Kalau mampu, buatlah full settlement. Hutang kad kredit adalah hutang yang tinggi kadar interestnya.

 

Jika anda hanya bayar minimum, bermakna akan jadi lagi panjang tempoh bayaran balik.

Baca juga: Kad Kredit: Fahami Kekuatan Dan Aplikasikan Kelebihannya

 

(7) Tak ada strategi dan perancangan yang kukuh untuk buat bayaran balik

Apa yang perlu kita fikirkan sebagai peminjam ialah, “Macam mana nak bayar balik?”

 

Adalah lebih baik, kita tahu dengan jelas, macam mana nak buat bayaran balik, sebelum kita memandai-mandai nak buat sebarang pinjaman. Adakah melalui perniagaan yang kita jalankan, ataupun melalui upah kerja-kerja sambilan yang kita jalankan di masa terluang.

 

Zaman sekarang ni memang cukup susah nak cari individu yang betul-betul bebas hutang. Mungkin hanya kanak-kanak sahaja yang tak mempunyai hutang. Itu pun kita tak tau lagi, sampai bila kanak-kanak tersebut akan bebas hutang.

 

Boleh jadi, apabila kanak-kanak tersebut dewasa kelak, dia bakal mewarisi hutang kedua ibu dan bapanya.

 

 

Exit mobile version