Memulakan perniagaan anda sendiri boleh jadi satu pengalaman yang mengujakan dan pada masa yang sama agak menakutkan.
Tak kiralah sama ada seseorang itu dah berpengalaman menjalankan perniagaan atau yang masih baru, pasti terlintas dihati, perasaan risau kalau-kalau perniagaan yang bakal dimulakan kelak, tak memberikan pulangan seperti yang diharapkan. Lebih memburukkan keadaan lagi kalau perniagaan tetrsebut akhirnya gagal dan terpaksa ditutup.
Kata orang, kalau nak buat bisnes, mulakan bisnes yang kita mempunyai minat yang mendalam.
Ini merupakan suatu nasihat yang baik, namun tak bermakna ia merupakan satu nasihat yang bakal menjamin kejayaan anda dalam perniagaan tersebut.
Orang yang minat memasak dan pandai memasak, belum tentu berupaya membina perniagaan kedai makan yang berjaya. Tapi dengan minat dan kepandaian yang dimiliki, beliau mampu hasilkan masakan yang sedap. Untuk berjaya dalam perniagaan, dia masih tetap perlukan ilmu dan strategi pengurusan perniagaan yang betul.
Apabila kita mulakan suatu bisnes dalam bidang yang kita memang minat, kita akan rasa lebih bersemangat dan berkobar-kobar dalam urusan perniagaan seharian. Andai kata kita terpaksa belajar ilmu baru sekalipun, kita tak akan rasa seperti ianya satu beban.
Jika anda merupakan seorang peminat buku, mungkin ada terlintas difikiran anda untuk memulakan perniagaan menjual buku.
Ya… bisnes buku!
Dengan berkembangnya teknologi dan trend membeli-belah melalui platform e-commerce, mungkin tak salah kalau kita katakan, proses untuk mula membina perniagaan sendiri jauh lebih mudah berbanding satu ketika dulu. Kalau dulu, bila kita kata nak mula bisnes, atau nak buat bisnes, perkara pertama yang perlu difikirkan adalah nak cari tapak.
Bila ada tapak, baru boleh setup kedai.
Tapi sekarang, tapak kita tu boleh wujud secara maya sahaja, tanpa perlu ada bentuk fizikal. Bukan itu sahaja, walaupun kita tak ada pegang stok buku dalam tangan, kita juga masih boleh memulakan bisnes buku kita sendiri.
Menarik, kan?
Perbincangan kali ini, kita akan terokai topik mengenai menjalankan perniagaan menjual buku dan bagaimana kita boleh menjana pendapatan melalui perniagaan tersebut.
Mungkin ada yang tertanya, berapa banyak pendapatan yang boleh dihasilkan melalui bisnes buku? Okay, apa kata kita letakkan satu nilai, supaya kita jadi lebih bersemangat dan berstrategi dalam menjalankan bisnes ini.
Let say… kita target pendapatan RM2,500 sebulan, okay? Cukup tak?
Kita cerita tentang pendapatan tau, bukannya jualan.
Dalam konteks perbincangan disini, saya ingin menyentuh tentang perniagaan menjual buku.
Sebelum ini saya pernah membincangkan serba sedikit mengenai bisnes menjual buku. Perbincangan tersebut adalah berdasarkan kepada sebuah buku berjudul The Diary Of A bookseller, yang mana pemilik bisnes buku tersebut menjual buku-buku terpakai.
Kalau dalam artikel ini, kita akan lebih banyak berbincang mengenai bisnes menjual buku baru menerusi kaedah dropship.
Industri buku di Malaysia
Industri penjualan buku, sudahpun wujud sejak berabad lamanya. Bisnes ini bukanlah bisnes baru, namun ia telah melalui banyak fasa perubahan. Pada hari ini cara penjualan buku mungkin telah melalui banyak perubahan seiring dengan peredaran masa.
Suatu masa dulu, orang ramai kalau nak beli buku, mereka akan pergi ke kedai-kedai buku berhampiran.
Tetapi pada hari ini, proses untuk membeli buku jauh lebih mudah.
Kita boleh beli sama ada di platform e-commerce, contohnya seperti
i. PG Mall
ii. Shopee
iii. Lazada
iv. Bookcafe
Kita juga boleh beli buku melalui platform media sosial, seperti
i. Tiktok (melalui tiktok shop)
ii. Facebook
iii. Instagram
Bila bercakap mengenai buku, saya selalu akan nampak komen-komen negatif seperti
i. Orang Malaysia tak suka membaca
ii. Orang kita kurang membaca
iii. Buku-buku tempatan kurang berkualiti berbanding buku penulis luar
Satu masa dulu, saya agak setuju dengan komen-komen negatif seperti itu. Tapi sekarang ini, bila difikirkan semula, mungkin komen tersebut kurang tepat.
Hanya sebab ada orang yang tak familiar dengan sesuatu topik, tak bermakna orang tu kurang atau tak suka membaca. Boleh jadi dia tak berapa familiar dengan topik tu, sebab itu bukan bidang dia. Jadi, tak peliklah kalau dia tak berapa pandai dalam bab tersebut.
Tapi cuba kita tanya orang tersebut apa-apa soalan yang berkaitan dengan bidang dia. Besar kemungkinan dia boleh jawab tanpa ada sebarang masalah, sebabnya dia banyak membaca dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidangnya sendiri.
Sebaliknya, kalau kita tanya hal-hal dalam bidang dia sendiripun, dia tak dapat nak jawab… haa mungkin dekat situ ada kebenarannya, bahawa orang tu kurang membaca. Tapi, jangan pukul rata, sebabnya mungkin yang kurang membaca tu, orang tu sahaja, bukannya “rakyat Malaysia” secara am.
Bisnes menjual buku, boleh jadi satu satu bisnes yang sangat menguntungkan, apabila ianya dijalankan dengan betul.
Buku ini pun sebenarnya ada macam-macam genre.
Ada buku motivasi, agama, pelaburan, perniagaan, buku pendidikan, novel, majalah, komik dan macam-macam lagi.
Setiap jenis buku yang berbeza, teknik dan strategi yang boleh digunakan untuk mendapatkan jualan juga mungkin agak berbeza. Kita akan cuba bincangkan dalam artikel ini. Jadi teruskan pembacaan anda ya.
Cabaran dalam memulakan bisnes buku
Bisnes buku ada cabarannya yang tersendiri.
Salah satu cabarannya adalah untuk memilih satu niche yang paling sesuai dan golongan (audience) tertentu untuk kita fokuskan.
Yelah… tak kan untuk orang yang baru nak mula bisnes, nak terus buat all out? Tak kan kita nak target semua, tanpa ada satu sasaran yang spesifik.
Kita fikir macam ni.
Biasanya, orang yang baru nak mulakan bisnes, dia ada banyak kekangan, sama ada dari segi modal, tenaga, masa dan kepakaran. Oleh sebab itu, dia perlu buat keputusan yang tepat dari peringkat awal lagi.
Kalaulah dia ada modal yang tanpa batasan, dia bolehlah terus lancarkan bisnes jual buku ini secara besar-besaran seperti mana yang dilakukan oleh syarikat Amazon misalnya. Syarikat yang ada modal yang besar, bolehlah jual semua jenis buku yang ada atas muka bumi ini dalam satu platform miliknya.
Memandangkan modal yang kita mampu keluarkan mungkin tak sampai tahap tersebut, maka kita perlu berpijak dibumi nyata dan buat keputusan yang betul di peringkat awal lagi.
Nak pilih audience dulu atau niche dulu?
Kalau kita bercerita dari sudut ini, ia macam agak memeningkan kepala. Saya kira, benda ini kita boleh lakukan serentak.
Penting untuk kita memilih satu niche dan seterusnya kita tawarkan buku-buku yang bersesuaian dengan target audience kita.
Kalau anda merasakan penerangan saya untuk peringkat ini adalah terlalu ringkas, anda memang betul sebab merasakan sedemikian.
Sebenarnya selepas anda memilih niche, perkara yang anda perlu lakukan adalah membina jenama supaya audience anda ingat, kenal dan tahu kewujudan anda. Cuba buat sesuatu yang memberi impak dan nilai tambah kepada golongan yang anda sasarkan.
Kenapa?
Diluar sana, telah wujud banyak individu dan syarikat lain yang turut menjalankan perniagaan yang sama. Ya, bukan anda seorang yang minat nak buat bisnes jual buku ni.
Dengan wujudnya banyak persaingan, ia boleh menjadi satu cabaran yang agak besar untuk menjadi pilihan utama para pencinta buku untuk membeli buku dari anda. Tapi ini bukanlah bermakna ianya mustahil untuk dilakukan.
Pada masa yang sama, anda patut lakukan usaha pemasaran seperti menghasilkan konten yang boleh menarik minat golongan sasaran, jalankan promosi seperti diskaun atau penghantaran percuma, dan memberikan layanan khidmat pelanggan yang terbaik bagi tujuan menarik pelanggan baru serta mengekalkan pelanggan sedia ada.
Bisnes buku melalui kaedah dropship
Satu kaedah untuk membolehkan anda memulakan bisnes buku anda pada hari ini juga, adalah menerusi sistem dropship.
Melalui kaedah dropship ini, pihak penjual tak memerlukan dirinya untuk memegang atau menyimpan stok buku dalam tangan. Sebaliknya, penjual akan bekerjasama dengan pihak pembekal dalam menguruskan beberapa aspek berkaitan dengan tempahan, contohnya seperti aspek pembungkusan dan juga penghantaran produk.
Sebagai penjual, anda hanya perlu fokus pada bahagian pemasaran, memproses tempahan dan menjawab pertanyaan dari pelanggan. Aspek seperti simpan stok, pembungkusan, dan penghantaran semua ini akan diuruskan oleh pembekal.
Sebenarnya nak dapatkan pembekal yang boleh dipercayai dan boleh diharapkan ini juga bukanlah satu tugasan yang mudah. Anda perlu lakukan kajian dan meneliti latar belakang pembekal tersebut.
Saya boleh syorkan satu pembekal jika anda berminat.
Anda boleh ke pautan ini untuk mula mendaftar sebagai salah seorang ejen dropship.
Melalui sistem dropship ini, anda boleh terus mulakan perniagaan menjual buku anda, sebaik sahaja pendaftaran anda sebagai ejen dropship diterima.
Apakah strategi untuk menjalankan perniagaan buku yang berjaya?
Jatuh atau bangun sesuatu perniagaan, ia berkait rapat dengan persoalan apakah strategi yang digunakan bagi menjalankan perniagaan tersebut.
Walau apa pun strategi yang bakal dilaksanakan, perlu pastikan bahawa strategi tersebut mampu untuk membawa jualan untuk syarikat.
Kita perlu tanya soalan, kalau aku buat perkara ini, adakah ia akan dapat bantu aku hasilkan jualan?
Anda boleh buka premis perniagaan yang paling cantik, besar, luas dan selesa.
Anda boleh penuhkan kedai buku anda dengan semua jenis buku.
Anda boleh berbelanja besar dalam menghasilkan iklan berbayar.
Anda boleh mendapatkan khidmat model, artis, influencer dan sebagainya.
Tapi akhirnya anda perlu lihat semula, adakah tindakan ini semua mampu memberikan jualan?
Kalau mampu berikan jualan, go ahead.
Tapi kalau langsung tak ada jualan yang terhasil, maka anda perlu semak semula strategi yang digunakan.
Kalau sebelum ini, anda tak pernah ambil kisah mengenai strategi apa yang patut digunakan, apa kata kita bincangkan topik tersebut sekarang.
(1) Buat supaya orang sedar kewujudan anda
Pastikan kewujudan anda disedari dan memberi impak kepada audience anda. Kalau tak mampu nak berikan impak yang besar, at least buat supaya orang tahu bahawa anda wujud.
Pada hari ini, memastikan kewujudan dan memberi impak yang kuat di persada internet adalah sangat penting bagi semua perniagaan. Ini termasuklah mereka yang bekerja sendiri, freelancer, pemilik bisnes kecil-kecilan dan sebagainya.
Kalau anda tak pasti, bagaimana memastikan kewujudan anda disedari, sebenarnya ada beberapa kaedahnya, iaitu
i. Anda mempunyai website perniagaan anda sendiri
ii. Anda mempunyai blog dan selalu kemaskini blog tersebut
iii. Anda mempunyai akaun sosial media dan sering hasilkan konten
Website perniagaan ini biasanya diperlukan bagi tujuan memproses tempahan dan juga mengemaskini stok buku terkini yang dijual. Biasanya pelawat akan tengok apa judul buku yang dijual dan kalau ada antara judul buku yang mereka minat, mereka boleh terus beli dari laman web tersebut.
Kalau blog pula, ia adalah tempat untuk anda menghasilkan konten yang memberi nilai kepada golongan yang anda sasarkan. Dekat blog ini, anda boleh hasilkan konten dalam bentuk artikel dengan jumlah patah perkataan yang agak banyak. Sebagai contoh, tulis artikel yang mengandungi 2,000 lebih patah perkataan.
Kita guna blog ini untuk memberi penerangan bagi topik yang agak rumit, dan pada masa yang sama, blog ini sangat berguna untuk kita dapatkan trafik dari laman enjin carian (search engine) seperti Google, Yahoo, Bing dan sebagainya.
Kalau anda inginkan trafik yang konsisten, yang datangnya dari laman enjin carian, maka anda perlu hasilkan konten yang disiarkan di platform blog. Trafik dari search engine ini juga adalah trafik yang berkualiti dan boleh memberikan jualan.
Kemudian ada lagi satu segmen yang kita perlu beri perhatian iaitu media sosial. Pelanggan anda juga berada di media sosial, dan jika anda ingin menarik perhatian dan minat mereka, maka anda perlu hasilkan konten yang memberi nilai, yang dapat membuatkan mereka jadi minat untuk mengikuti anda.
(2) Cipta pasaran unik anda
Poin ini sebenarnya kita merujuk kepada istilah niche market. Dalam strategi ini, kita akan fokus kepada kelompok audience tertentu sahaja, dan bukannya cuba untuk memuaskan hati semua orang.
Strategi untuk fokus kepada niche tertentu ini sebenarnya ada kelebihannya yang tersendiri.
Ia membolehkan anda untuk membina kredibiliti dan dilihat sebagai individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Bakal pelanggan juga akan jadi lebih yakin untuk berurusan dengan anda, jika anda berjaya membina persepsi bahawa anda adalah seorang yang pakar dalam bidang tersebut.
Kita ambil contoh, salah satu niche yang anda ingin fokuskan adalah niche berkaitan tentang ibu mengandung.
Bakal pelanggan yang anda bakal dekati adalah terdiri daripada ibu-ibu yang bakal atau sedang mengandung yang memerlukan ilmu yang betul dalam menjaga bayi dalam kandungan.
Kemudian apabila bayi tersebut dilahirkan, anda boleh tawarkan pula buku-buku yang berkaitan dengan pendidikan awal, tips penjagaan, diet dan sebagainya.
Sebearnya bila anda fokus pada niche yang spesifik, ini membolehkan anda untuk menghasilkan bahan pemasaran yang lebih berkualiti dan berfokus pada bidang pilihan anda tersebut.
(3) Tawarkan pelbagai pilihan tajuk dan jenis buku
Ini juga merupakan satu lagi strategi bisnes yang anda boleh lakukan. Menerusi strategi ini, kita akan menawarkan sebanyak mungkin judul buku yang boleh kepada target audience kita.
Matlamat kita adalah untuk jadi sebuah kedai buku yang serba lengkap dan mampu untuk memberi kepuasan kepada para pencinta buku.
Satu masa dulu, strategi ini hanya mampu dilakukan oleh pemilik bisnes yang memiliki modal yang besar sahaja.
Tapi pada hari ini, dengan adanya model perniagaan berasaskan dropship dan juga affiliate marketing, ia membolehkan sesiapa sahaja untuk menggunakan strategi ini.
Walaubagaimanapun, bagi tujuan memastikan anda boleh jalankan strategi ini dengan jayanya, anda perlu mempunyai senarai pembekal yang boleh dipercayai.
(4) Cipta content yang memberi nilai tambah
Strategi content marketing merupakan strategi jangka masa panjang yang sangat berkesan bagi mendapatkan pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan sedia ada.
Lazimnya, mereka yang pernah follow kita, mereka sukakan konten yang kita pernah hasilkan dan mereka mahukan kita untuk cipta konten terbaru secara berkala.
Konten yang menarik mempunyai nilai yang tersendiri dari sudut penilaian bakal pelanggan. Konten dapat mainkan peranan untuk memberi ilmu, berkongsi pengalaman, dan menghiburkan.
Kalau dalam konteks bisnes buku, konten yang sesuai dihasilkan adalah konten dalam bentuk review buku, temu bual dengan penulis buku, perkembangan terkini berkaitan dengan industri, isu semasa yang ada kaitan dengan tajuk buku tertentu dan sebagainya.
Dari masa ke masa, anda juga boleh ambil peluang untuk mengesyorkan tajuk buku tertentu berdasarkan kepada isu semasa yang sedang hangat diperkatakan.
Sebagai contoh, kalau topik yang sedang hangat diperdebatkan di media sosial pada masa ini adalah tentang masalah hutang kad kredit dalam kalangan generasi muda, anda boleh syorkan buku berjudul Kad Kredit – Fahami Kekuatan Dan Applikasikan Kelebihannya.
Dalam strategi content marketing bagi tujuan menghasilkan jualan ini, anda perlu peka dengan situasi dan isu semasa.
(5) Khidmat pelanggan terbaik
Memberikan khidmat layanan pelanggan yang terbaik adalah sangat penting bagi mana-mana perniagaan. Adakalanya, ungkapan khidmat pelanggan terbaik hanya sekadar satu perbincangan akademik dan terhenti setakat peringkat teori sahaja.
Namun dari segi praktikal, bagaimana yang dikatakan sebagai mampu memberikan khidmat pelanggan terbaik?
Ini adalah antara perkara yang saya boleh syorkan.
i. Jawab sebarang pertanyaan pelanggan dengan pantas
Ada tak bakal pelanggan atau mungkin prospek yang bertanya soalan? Jika ada, cuba jawab dengan sepantas yang mungkin. Boleh cipta satu SOP, kalau ada mesej pertanyaan, perlu dijawab dalam masa 15 minit.
Kalau rasa 15 minit terlalu lama, kita awalkan jadi 5 minit.
Bakal pelanggan ini tak suka menunggu terlalu lama, apabila dia bertanya soalan, tak kiralah sama ada menerusi whatsapp, media sosial dan sebagainya.
ii. Bantu pelanggan untuk dapatkan buku yang dia mahukan
Anggaplah ini sebagai servis tambahan buat bakal pelanggan yang minat nak cari buku tertentu, tapi buku tersebut agak sukar dicari.
Kadang-kadang ada buku yang sudah dihentikan cetakannya, dan buku yang sama hanya dijual di kedai buku tertentu sahaja. Itupun sebab kedai tersebut masih menyimpan stok lama.
Sebagai usahawan buku, anda mungkin ada banyak networking dengan penjual buku yang lain. Besar kemungkinan, anda boleh bantu bakal pelanggan ini untuk dapatkan buku yang dia perlukan.
iii. Syorkan tempat yang pelanggan boleh berurusan jika anda tak mampu bantu
Kalau dalam situasi tertentu, anda memang tak dapat nak bantu bakal pelanggan tersebut, mungkin anda boleh berikan tips atau cadangkan beberapa tempat yang pelanggan tersebut boleh kunjungi.
Walaupun anda tak bantu secara langsung, setidak-tidaknya anda boleh bagi dia direction baru untuk dia tuju. Itu lebih baik daripada langsung tak membantu.
iv. Cuba penuhi keperluan semasa dan yang akan datang
Kalau pelanggan ini minat buku berkenaan dengan pelaburan saham, dia mungkin akan minat nak baca buku-buku berkaitan dengan pelaburan yang lain, misalnya tentang pelaburan matawang kripto, buku tentang technical analysis dan apa-apa topik lain yang berkaitan.
Seorang usahawan buku yang juga pencinta buku, sepatutnya anda boleh membuat jangkaan, apakah tajuk-tajuk lain yang mungkin akan menarik minat pelanggan anda. Bila dah tahu, jangan segan silu untuk buat pengesyoran.
Adakalanya, pelanggan anda mungkin akan minat nak beli buku baru yang akan ditulis oleh penulis yang sama. Situasi saya dulu, saya beli hampir semua buku-buku yang ditulis oleh Robert Kiyosaki.
v. Buku yang ada tandatangan dari penulis asal
Buku yang ada tandatangan beserta kata-kata ucapan dari penulis asal, adalah lebih istimewa berbanding buku yang tak ada itu semua, walaupun dari segi konten, ianya adalah sama sahaja.
Memberikan khidmat pelanggan yang terbaik, ia bukan kerja mudah. Jadi, kalau ada yang kata apa yang saya tulis disini semuanya susah… atau agak mustahil untuk dilakukan, anda tak salah.
Khidmat pelanggan yang baik, ada potensi untuk jadi buah mulut orang ramai.
Anda juga akan menerima review positif dari pelanggan setia.
Secara tak langsung, akan dapat memberi keyakinan kepada pelanggan baru untuk turut membeli melalui bisnes anda.
Namun pada sisi yang lain, terdapat juga kemungkinan bahawa usaha anda memberi khidmat pelanggan yang paling baik, tak memberikan sebarang perubahan dan impak yang signifikan.
Pelanggan tak nampak semua tu, dan anggap ianya biasa-biasa sahaja.
Tapi setidak-tidaknya, ia lebih baik berbanding anda berikan khidmat pelanggan yang paling teruk.
Customer service yang teruk bukan sahaja menyakitkan hati pelanggan, malahan ia seolah-olah menjemput pelanggan untuk memberi review paling jelik terhadap perniagaan anda.
(6) Pelbagaikan platform jualan
Gunakan pelbagai platform dalam usaha untuk mendapatkan jualan. Tujuannya adalah untuk memudahkan bakal pelanggan membuat pesanan buku dari anda.
Buka kedai online anda melalui platform online marketplace yang terkenal seperti
i. PG Mall
ii. Shopee
iii. Lazada
Kemudian untuk segmen generasi muda yang lebih cenderung untuk bersosial di platform Tiktok, anda boleh mula membuka kedai Tiktok Shop anda sendiri.
Audience yang meminati konten yang anda hasilkan di tiktok, dan yang memang selalu follow anda akan lebih mudah membuat pembelian melalui tiktok shop anda, berbanding kalau beli dari platform lain.
Jadi dekat sini, ianya terpulang pada anda sama ada ingin menerokai segmen pelanggan dari platform tiktok atau tidak.
(7) Kolaborasi
Strategi kolaborasi ini sebenarnya adalah strategi yang telahpun dipraktikkan oleh banyak pengusaha bisnes diluar sana.
Menerusi strategi ini, anda akan bekerjasama dengan mana-mana individu ataupun entiti perniagaan yang ada keupayaan untuk membantu perniagaan anda dalam mendapatkan jualan. Kerjasama ini perlulah mengambil semangat menang-menang, dan bukannya sekadar kerjasama atas faktor bayaran semata-mata.
Contohnya anda ingin bekerjasama dengan seorang influencer.
Anda mempunyai pengikut anda sendiri, manakala influencer tersebut juga ada pengikut mereka sendiri.
Dalam tempoh kerjasama ini, anda hasilkan konten secara bersama, bertujuan untuk saling bertukar-tukar follower.
Mungkin akan ada follower influencer tersebut yang akan mula mengikuti anda, dan seterusnya menjadi pelanggan anda.
Begitu jugalah sebaliknya yang akan berlaku.
Strategi membentuk kolaborasi ini sebenarnya bertujuan untuk mendapatkan audience baru, yang mungkin sukar untuk anda dapatkan jika anda usaha sendiri.
Daripada anda habiskan masa yang sangat lama, lebih baik anda berkolaborasi untuk dapatkan hasil yang lebih cepat.
(8) Pelbagaikan kaedah pemasaran
Gunakan pelbagai kaedah dan saluran pemasaran bagi tujuan memperkenal dan mempromosikan perniagaan anda. Sebaik-baiknya, jangan hanya bergantung kepada satu strategi pemasaran semata-mata.
Kalau anda tak ada idea, apakah kaedah lain yang boleh digunakan untuk tujuan pemasaran ini ialah antara aktiviti yang boleh dilakukan
i. Pemasaran di media sosial
ii. Gunakan kaedah pemasaran emel
iii. Search Engine Optimization
iv. Penulisan konten oleh blogger
v. Influencer marketing
Adakah perlu buat semua ini?
Besar kemungkinan, jawapannya tak perlu buat semua. Terutama sekali jika anda tak mempunyai sumber, tenaga dan masa untuk buat semua.
Sebaik-baiknya, fokus pada kaedah pemasaran yang betul-betul boleh memberi impak kepada perniagaan yang anda jalankan.
(9) Stay up to date
Betul ke generasi muda sekarang tak berapa suka membaca?
Ahhh… kita kembali kepada persoalan ini. Padahal tadi kita dah jumpa arguement mengenai generasi yang tak suka membaca ni.
Generasi muda bukannya tak suka membaca.
Tapi mereka menyerap ilmu pengetahuan dengan cara dan gaya yang sedikit berbeza berbanding generasi sebelumnya.
Salah satu perbezaan yang agak ketara adalah tentang penggunaan gaya bahasa dalam penulisan buku.
Jika kita lihat trend penerbitan buku yang mensasarkan generasi muda, cara penulisan memang agak berbeza. Biasanya penggunaan bahasa lebih santai, ala-ala hipster dan penerangan yang diberikan lebih mudah.
Salah satu judul buku yang terlintas difikiran saya ialah buku bertajuk Nota Kewangan Sentap ini.
Dari segi konten, pada saya tak ada perkara baru yang saya belum tahu mengenai aspek pengurusan kewangan yang dimuatkan dalam buku ini.
Boleh jadi sebab buku ini memang ditujukan kepada mereka yang kurang familiar tentang topik pengurusan kewangan peribadi.
Tapi apa yang menarik perhatian saya adalah dari segi gaya penulisannya. Macam yang saya sebutkan, cara penulisan lebih santai, bahasa pasar, ala-ala hipster gitu.
(actually saya pun tak tahu hispter tu benda apa… haishh)
(10) Tawarkan promosi diskaun & penghantaran percuma
Akhir sekali yang saya boleh cadangkan adalah buat promosi diskaun dan tawaran penghantaran percuma.
Sengaja saya letakkan cadangan idea ini akhir sekali, sebab ianya bukanlah strategi yang baik. Pemberian diskaun ini, hanya akan menyebabkan keuntungan yang bakal anda perolehi nanti berkurang.
Kalau terlalu kerap berikan diskaun, ia akan menyebabkan keuntungan anda berkurangan, dan dikhuatiri anda akan rasa seperti tak berbaloi buat bisnes jual buku ini lagi.
Sepatutnya boleh untung RM3 satu buku.
Tapi sebab anda buat promosi diskaun, anda hanya boleh untung RM1 sahaja.
Sebab lain ialah, promosi diskaun ini boleh menyebabkan implikasi negatif kepada bisnes anda.
Kali pertama anda tawarkan diskaun, mungkin anda akan dapat lihat jualan anda meningkat berkali ganda lebih baik berbanding kebiasaan.
Tetapi, kalau anda selalu sangat bagi diskaun, akan berlaku keadaan dimana jualan anda langsung tak menunjukkan sebarang peningkatan.
Sebaliknya, akan menunjukkan penurunan.
Pelanggan yang sudah terbiasa dengan promosi diskaun dari anda, akan menunggu anda buat diskaun dulu, baru mereka akan buat pembelian.
Keadaan yang lebih kurang sama, berlaku dalam mana-mana bisnes yang terlalu kerap menawarkan promosi diskaun.
Saya sendiri sebagai pelanggan juga cenderung untuk bersikap demikian.
Walaupun saya ada duit yang mencukupi, saya tetap akan tunggu seller buat promosi diskaun, barulah saya akan buat pembelian jam tangan G-Shock model yang saya mahukan.
Jadi, apa yang boleh saya katakan ialah strategi beri diskaun ini adalah strategi yang baik, namun ia tak boleh digunakan selalu.
Strategi ini boleh makan diri dan untuk jangka masa panjang, boleh menyebabkan pelanggan hanya akan memilih untuk beli dari anda bila anda beri diskaun sahaja.
Penutup
Bisnes buku ini ok ke tak?
Perniagaan menjual buku ini bagus ke tidak sebenarnya?
Buku bukanlah suatu barangan yang wajib beli. Ia bukannya barangan keperluan. Malahan, kita boleh jalani kehidupan seperti biasa, walaupun dalam rumah kita langsung tak ada walau sebuah buku sekalipun.
Bukan itu sahaja, bagi mereka yang tak berkemampuan untuk membeli buku, mereka sentiasa ada pilihan untuk meminjam buku dari perpustakaan negara.
Kalau kita lihat dari sudut kelemahan, atau kekurangan bisnes buku, saya percaya anda pasti akan jumpa agak banyak kelemahan bisnes ni.
Begitulah juga sebaliknya.
Sekiranya anda ubah sudut pandangan dan cuba menyenaraikan, kelebihan-kelebihan menjalankan bisnes buku, anda juga pasti akan temui hakikat bahawa bisnes buku ini ada banyak kelebihannya.
Jadi, sebelum buat sebarang keputusan sama ada nak buat bisnes buku atau tidak, saya syorkan anda untuk buatlah kajian terlebih dahulu.
Ataupun boleh mulakan bisnes buku anda melalui kaedah yang kurang atau rendah risikonya.
Misalnya melalui kaedah dropship.
Anda boleh layari laman web Usahawan Buku untuk mendaftar sebagai ejen dropship.
Selain buat bisnes buku melalui sistem dropship, anda juga sebenarnya boleh buat bisnes buku melalui sistem affiliate marketing. Walaubagaimanapun, potensi pendapatan melalui affiliate marketing ini, tidak sebesar kalau dibandingkan dengan dropship.
Apabila anda sudah ada pengalaman dan sudah ada strategi bisnes yang bagus, langkah seterusnya barulah tambah modal dan ambil risiko yang lebih besar. Maksud saya, pada masa tu barulah beli stok buku secara borong dan simpan stok dalam tangan.
Baiklah, semoga perkongsian ini ada sedikit manfaat dan terima kasih atas kesudian anda meluangkan masa untuk baca.