Blog Sabree Hussin

Kelebihan Online Travel Agent kepada pengguna dan pengusaha bisnes tempat penginapan

Apakah kelebihan yang bakal diperolehi oleh pengguna dan juga pemilik bisnes tempat penginapan, apabila menggunakan khidmat yang disediakan oleh Online Travel Agent (OTA)?

 

Perbincangan kali ini sebenarnya adalah merupakan kesinambungan bagi posting berjudul “apa itu Online Travel Agent (OTA)” yang lalu. Dalam posting tersebut, memang saya ada sentuh serba ringkas, apakah kelebihan apabila menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh OTA.

 

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, sebenarnya masih ada banyak lagi kelebihan yang saya tak sentuh dalam posting tersebut. Bila saya buat lebih banyak pembacaan, saya dapati kelebihan menggunakan platform OTA ini sebenarnya agak banyak.

 

Justeru, saya buat keputusan untuk buat satu posting khas, bagi tujuan membincangkan apakah kelebihan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Online Travel Agent atau singkatannya OTA.

 

Saya akan bahagikan perbincangan ini kepada dua bahagian.

Bahagian pertama, saya akan bincangkan kelebihan OTA dari perspektif pengguna.

Manakala bahagian kedua, saya akan bincangkan tentang kelebihan OTA dari perspektif pengusaha atau pengendali bisnes homestay dan tempat penginapan pula.

 

Ada kelebihan yang sifatnya agak umum, yang mana boleh dikatakan hampir semua OTA menawarkan kelebihan yang sama, dan ada kelebihan yang terdapat khusus untuk platform tertentu.

 

Kelebihan menggunakan khidmat Online Travel Agent kepada Pengguna

Saya akan mulakan perbincangan tentang kelebihan OTA ini dari perspektif pengguna terlebih dahulu.

 

(1) Kemudahan membuat tempahan tempat penginapan

Syarikat OTA menyediakan website dan juga mobile apps bagi memudahkan para pengguna untuk mengakses platform yang mereka bangunkan bagi tujuan membuat tempahan.

 

Melalui platform yang mereka bangunkan, tetamu boleh membuat carian tempat penginapan, membuat perbandingan harga, membandingkan ciri yang terdapat pada tempat penginapan dan seterusnya membuat tempahan.

 

Platform yang dibangunkan untuk kegunaan pelanggan, sama ada laman web ataupun mobile apps juga lazimnya mudah untuk digunakan.

 

(2) Kaedah pembayaran

Pelanggan boleh memilih sama ada untuk membayar menggunakan kad kredit, kad debit, online transfer, atau menggunakan travel credit. Sesetengah OTA mengeluarkan voucher yang kita boleh beli sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dihadiahkan kepada orang lain.

 

Cuba bandingkan jika anda merupakan pengusaha bisnes homestay yang masih baru. Adakah anda mempunyai kaedah yang membolehkan anda menerima bayaran melalui kad kredit? Atau anda hanya boleh terima bayaran sama ada secara tunai ataupun melalui online transfer sahaja?

 

Selain menyediakan pelbagai kemudahan dari segi pembayaran, platform OTA seperti Agoda turut menyediakan kemudahan pembayaran Pay Later (atau bayar kemudian).

Pelanggan tak perlu buat bayaran penuh untuk tempahan serta merta, sebaliknya dia boleh bayar kemudian sehingga satu tarikh yang diberikan oleh pihak Agoda.

 

(3) Pelbagai produk pelancongan

Melalui platform OTA, pelanggan bukan sahaja boleh menempah tempat penginapan, malahan boleh turut membuat tempahan lain-lain produk ataupun perkhidmatan berkaitan dengan aktiviti pelancongan dan percutian.

 

Antaranya

1. Tiket penerbangan

2. Kereta sewa

3. Pakej lawatan ke tempat menarik bersama tourguide

 

Boleh lihat contoh seperti platform Booking.com

Pelanggan boleh membuat tempahan tempat penginapan, tiket penerbangan, pakej tiket penerbangan dengan hotel, kereta sewa dan banyak lagi.

 

Kalau dulu, kita perlu buka satu per satu laman web yang berbeza untuk membuat tempahan. Tapi dengan adanya platform OTA, semua boleh ditempah melalui satu platform.

 

Walaubagaimanapun, bagi pelanggan yang ingin mendapatkan harga terbaik, saya tetap menyarankan anda membuat perbandingan harga terlebih dahulu. Ya, ini bermakna anda masih perlu membuka laman web yang berbeza untuk melakukan perbandingan. Ada kemungkinan jika anda buat tempahan dengan pihak lain, harga yang bakal anda perolehi mungkin lebih murah berbanding harga yang ditawarkan melalui platform OTA.

 

Baiklah, jom kita buat sedikit perbandingan.

Maklumat ini adalah berdasarkan kepada tarikh catatan ini saya buat ya. Maklumat ini mungkin sudah berbeza atau sudah tak relevan pada waktu anda membaca posting ini.

 

Kita andaikan yang anda berminat untuk melawat ke Aquaria KLCC memandangkan anda sedang bercuti di Kuala Lumpur dan ada buat tempahan melalui Booking.com

Jom kita lihat berapa harga tiket masuk ke Aquaria KLCC yang dijual di booking.com

Bayaran tiket masuk untuk dua orang dewasa adalah sebanyak RM144.90 (RM72.45 untuk satu tiket dewasa)

 

Sekarang kita lihat pula, jika kita beli tiket masuk ini dari platform Shopee. Berapa harganya?

Harga yang ditawarkan kalau beli melalui seller Travelog.com Flagship Store ini ada dua harga, iaitu harga untuk hari biasa (week day) dengan harga untuk hujung minggu (weekend)

Harga week day – RM83.40 (RM41.70 untuk satu tiket dewasa)

Harga weekend – RM90.60 (RM45.30 untuk satu tiket dewasa)

 

Kemudian kita lihat pula berapa harga tiket jika beli terus dari laman web rasmi Aquaria KLCC di https://aquariaklcc.com/

Ini jawapannya.

Kalau beli direct dari laman web rasmi, jumlah perlu bayar untuk tiket 2 orang dewasa adalah berharga RM110 (RM55 untuk satu tiket).

 

Nampak kan? Platform yang berbeza, harga pun berbeza-beza. Jadi anda perlulah buat perbandingan harga untuk mendapatkan tawaran harga yang paling rendah.

 

Tapi kalau kita bercerita dari sudut untuk menjimatkan masa dan memudahkan urusan tempahan, boleh gunakan platform OTA sepenuhnya.

 

(4) Sistem review dan rating dari pelanggan terdahulu

Kebanyakkan sistem OTA mempunyai ciri yang membolehkan pelanggan terdahulu meninggalkan review dan feedback mengenai pengalaman percutian mereka.

 

Sama ada ia merupakan satu pengalaman penginapan yang terbaik yang tak dapat dilupakan, atau pengalaman yang agak mengecewakan.

 

Sebagai pelanggan, biasanya kita akan cari tempat penginapan yang mempunyai banyak review yang positif ataupun jika platform tersebut menggunakan sistem rating, dengan 5 bintang sebagai rating terbaik, kita akan cuba utamakan membuat tempahan di tempat penginapan yang paling hampir dengan rating 5 bintang.

 

(5) Pakej dan tawaran diskaun

Dari masa ke masa, pengguna boleh menikmati tawaran diskaun yang agak menarik. Sebagai contoh, baru-baru ini saya dapati untuk bilik hotel di Thistle Port Dickson Hotel kita boleh dapat dengan harga serendah RM299 untuk semalaman.

Harga sebegini rendah, belum tentu akan kita perolehi jika kita buat booking secara direct di laman web rasmi Thistle Port Dickson Hotel.

 

Tapi bila kita buat booking melalui Agoda, kadang-kadang kita boleh dapat harga promosi yang agak murah. Biasanya kalau saya nak try pengalaman menginap di hotel yang agak mewah, saya akan tunggu promosi dari Agoda, itupun kalau ada.

 

(6) Khidmat pelanggan 24/7

Platform OTA mempunyai pasukan yang bertugas sebagai customer support 24/7. Pada bila-bila masa, pelanggan boleh menghubungi pihak platform jika ada sebarang pertanyaan.

 

Bukan itu sahaja, untuk buat tempahan juga boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tak perlu risau kalau-kalau pemilik homestay sedang tidur, dan tak dapat untuk memproses tempahan kita.

 

(7) Akses kepada tempat penginapan di tempat terpencil dan unik

Platform OTA juga memudahkan kita untuk mendapat akses kepada tempat penginapan yang terletak dilokasi yang terpencil dan unik.

 

Kalau nak cari tempat penginapan yang unik, biasanya saya akan menggunakan platform Airbnb.

Melalui Airbnb kita boleh temui pelebagai jenis tempat penginapan yang pada saya agak unik dalam kategori seperti rumah dalam kawasan ladang, kabin, mansion, istana, igloo dan pelbagai lagi.

Sebelum adanya platform OTA, mungkin hanya orang tertentu sahaja yang boleh mendapat maklumat seperti ini dan tahu cara untuk menempah tempat-tempat penginapan seperti ini.

 

Sebaliknya dengan adanya teknologi OTA, sesiapa sahaja boleh mendapat akses untuk membuat tempahan untuk kediaman yang mempunyai keunikan seperti ini.

 

Bagi pemilik kediaman pula, mereka kini lebih mudah untuk mendapat pelanggan yang mungkin berminat untuk menginap ditempat mereka, atas tujuan untuk dapatkan pengalaman berharga yang tak mungkin diperolehi ditempat lain.

 

Bukan semua orang ada pengalaman bermalam dikawasan sawah padi. Melainkan kalau individu tersebut memang berasal dari kampung dan biasa dengan suasana seperti itu. Namun bagi mereka yang lahir di bandar, yang tak mempunyai saudara mara di kampung, inilah cara untuk rasai pengalaman bermalam di sawah bendang seperti ini.

 

(8) Program kesetiaan dan ganjaran

Ada platform OTA yang turut menawarkan program kesetiaan dan mata ganjaran.

 

Sebagai contoh, lihat screenshot dibawah. Perhatikan pada bahagian yang saya tandakan kotak berwarna merah dibawah.

Jika anda membuat tempahan homestay di Kota Bharu ini melalui Agoda, anda akan menerima AgodaCash sebanyak RM3 yang anda boleh gunakan untuk tempahan yang akan datang.

 

(9) Program referral

Ada platform OTA yang turut menawarkan program referral atau program affiliate kepada pengguna yang berminat untuk menyertainya. Lazimnya, penyertaan ke dalam program seperti ini adalah percuma sahaja.

 

Antara program affiliate yang anda boleh sertai contohnya adalah program affiliate Agoda.

Program affiliate ini boleh disertai dengan membuat pendaftaran melalui pautan berikut https://partners.agoda.com/

 

Terdapat juga platform OTA yang menawarkan program affiliate melalui kerjasama dengan platform Affiliate Network. Jadi, jika anda tak dapat untuk sertai secara terus dengan platform OTA, anda masih ada peluang untuk sertai melalui platform affiliate network.

 

Kelebihan menggunakan khidmat Online Travel Agent kepada Pemilik Bisnes

Sekarang kita bincangkan pula antara manfaat penggunaan khidmat Online Travel Agent kepada pemilik bisnes.

 

(1) Tiada kos permulaan

Kebiasaannya, pihak OTA tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pemilik homestay untuk menyenaraikan homestay kepunyaan mereka di platform OTA milik mereka.

Tapi ini bukannya bermakna perkhidmatan yang disediakan oleh OTA ini adalah percuma. Pemilik homestay masih perlu membayar, tetapi bayaran ini dibuat dengan cara memberikan sebahagian keuntungan dari tempahan pelanggan dalam bentuk komisen kepada platform OTA.

 

Kalau ada tempahan dari tetamu, baru bayar komisen kepada platform OTA.

 

Tapi jika anda menemui satu kaedah yang boleh membuatkan pelanggan tersebut buat booking direct kepada anda tanpa melalui platform OTA, maka anda tak perlu bayar apa-apa kepada platform OTA.

TETAPI AWAS!

 

Jika perbuatan ini diketahui oleh pihak OTA, dan biasanya mereka pasti akan dapat tahu, akaun anda akan disenaraihitamkan dan anda mungkin akan kena banned seumur hidup dari menggunakan platform OTA tersebut.

 

Ya, saya faham memang tak seronok bila terpaksa berkongsi keuntungan dengan platform OTA, bagi setiap tempahan dari tetamu yang anda perolehi. Tapi itulah peraturannya.

 

Jika anda yakin, anda boleh dapat pelanggan tanpa perlu bergantung harap kepada platform OTA, maka carilah sendiri tetamu. Tetapi, kalau anda masih tetap perlu bergantung kepada OTA untuk menerima tetamu, maka terimalah hakikat, anda lebih baik berkongsi keuntungan daripada cari sendiri tetamu untuk datang menginap ditempat anda.

 

Walaubagaimanapun, jika sepanjang waktu iklan anda berada di OTA dan anda masih tak berjaya dapatkan tempahan walaupun hanya satu tempahan, anda tak dikenakan sebarang bayaran.

 

(2) Capaian prospek dan pelanggan yang lebih luas

Platform OTA membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi tujuan pemasaran serta membina database pelanggan diseluruh dunia.

 

Kita boleh anggap seperti ini merupakan satu short cut untuk mendapatkan capaian pelanggan yang lebih meluas. Tanpa bantuan OTA, anda mungkin perlu buat semua perkara sendiri.

 

Buat kerja-kerja pemasaran sendiri.

Bina laman web dan apps booking homestay anda sendiri.

Bina database prospek anda sendiri.

Semuanya anda perlu buat sendiri.

 

Ini bukanlah satu perkara yang tak baik, cuma ia akan memakan masa yang agak lama. Tapi sebaliknya, kalau anda menggunakan khidmat dari OTA, anda boleh capai sejumlah prospek dalam masa yang relatif lebih pantas.

 

Iklan dan juga maklumat mengenai homestay dan perniagaan tempat penginapan anda juga akan dapat lebih banyak perhatian, memandangkan pengguna platform OTA ini juga sebenarnya agak ramai.

 

(3) Anda boleh membina portfolio perniagaan anda

Platform OTA mempunyai satu ciri yang membenarkan pengguna untuk meninggalkan komen, feedback dan memberi rating kepada tempat penginapan yang pernah diinapi sebelum ini.

 

Jika anda mempunyai prestasi dan reputasi yang baik sebagai tuan rumah (host) ini boleh dijadikan portfolio bahawa tempat penginapan anda adalah terbaik kalau dibandingkan dengan lain-lain tempat penginapan.

 

(4) Anda mempunyai akses kepada pelbagai marketing tools

Apakah kaedah yang biasa digunakan oleh platform OTA dalam menjalankan kerja-kerja pemasaran mereka?

 

Apabila anda tahu, apakah startegi pemasaran yang mereka gunakan dalam mendapatkan pelanggan, anda akan nampak betapa beruntungnya anda bekerjasama dengan mereka.

 

Jadi, mari saya tunjukkan kepada anda, antara kaedah pemasaran yang pihak OTA biasa gunakan.

 

(1) Kaedah pengiklanan berbayar Pay Per Click

Platform OTA menggunakan kaedah iklan berbayar untuk mengiklankan platform mereka melalui program pengiklanan. Kalau program pengiklanan berbayar yang popular adalah Google Adwords.

 

Iklan berbayar milik platform OTA dapat kita lihat apabila menggunakan laman search engine untuk mencari maklumat mengenai tempat penginapan.

 

Lihat contohnya seperti dibawah.

Iklan berbayar ditandakan dengan simbol Ad.

Jika anda lihat ada simbol Ad. pada hasil carian Google, itu bermakna ia merupakan sebuah iklan berbayar.

 

Platform OTA bukan hanya mengiklankan bisnes mereka melalui platform Google semata, sebaliknya mereka juga turut mengiklankan perniagaan mereka di platform search engine yang lain juga.

Atas ini merupakan hasil carian menggunakan search engine Bing. Iklan berbayar juga ditandakan dengan simbol Ad.

 

(2) Pengiklanan Search Engine Optimization

Pasukan pemasaran yang bekerja dengan platform OTA juga memiliki kepakaran dalam menggunakan kaedah pengiklanan percuma iaitu search engine optimization.

 

Kebiasaannya, kalau kita buat carian kata kunci seperti “homestay di [destinasi kita akan pergi]“, hasil carian di mukasurat pertama adalah dari laman web milik syarikat OTA. Perkara ini bukan sahaja berlaku di search engine milik Google sahaja, malahan turut berlaku di search engine lain.

 

Pemilik laman web persendirian, memang agak sukar untuk bersaing dengan platform OTA untuk mendominasi muka surat pertama. Justeru, daripada anda cuba bersaing dengan mereka, lebih baik anda guna perkhidmatan mereka. Setuju?

 

(3) Affiliate marketing

Ada platform OTA yang menawarkan program affiliate mereka sendiri dan ada juga yang bekerja sama dengan platform affiliate network bagi melancarkan program affiliate milik mereka.

 

Selain menjalankan kerja-kerja pemasaran mereka sendiri, platform OTA juga mendapat sokongan dari ejen affiliate.

 

(4) Social media marketing

Sama ada anda perasan atau tidak, platform OTA turut menjalankan pemasaran menggunakan platform media sosial. Mereka mempunyai fanpage dengan jumlah like yang besar, dan mereka juga turut menggunakan kaedah iklan berbayar.

Ini menunjukkan platform OTA bukan sekadar mencari pelanggan melalui platform carian google, malahan mereka turut mencari pelanggan yang berada di media sosial.

 

(5) Email marketing

Pihak OTA menyimpan maklumat seperti nama, alamat email, tarikh lahir dan lain-lain maklumat peribadi pelanggan. Dari masa ke masa, pihak OTA akan menghantar email kepada pelanggan, jika terdapat promosi yang dijalankan.

 

Ini merupakan salah satu cara untuk kekal berhubung dengan pelanggan.

 

(6) Mobile marketing

Pengiklanan yang fokus kepada pengguna smartphone juga turut dijalankan oleh pihak OTA.

 

(7) Content marketing

Platform OTA juga tidak ketinggalan untuk turut menghasilkan konten yang digunakan bagi tujuan pemasaran.

 

Saya membuat carian di Google menggunakan kata kunci “homestay terbaik Kota Bharu” dan saya menemui hasil carian dari platform OTA iaitu booking.com

 

Lihat screenshot dibawah.

Kalau pengguna berminat nak tau, apakah homestay terbaik di Kota Bharu, lazimnya mereka ini juga mungkin akan berminat nak tahu maklumat

i. 10 Homestay terbaik di Kota Bharu

ii. Homestay Kota Bharu yang mempunyai pemandangan indah

iii. Homestay Kota Bharu yang sesuai untuk pelancong berpasangan

 

Persembahan konten seperti ini tidak nampak seperti iklan. Sebaliknya ia lebih mirip kepada perkongsian maklumat. Jika kebetulan ada pelancong yang akan pergi bercuti bersama dengan pasangan, besar kemungkinan dia pasti akan klik pada link yang mengandungi maklumat mengenai homestay yang sesuai untuk pelancong berpasangan.

 

(5) Peningkatan jumlah tempahan

Apabila iklan perniagaan anda dapat dilihat oleh jumlah prospek yang cukup banyak, ini secara tak langsung akan dapat meningkatkan kebarangkalian untuk homestay anda menerima tempahan.

 

(6) Penjimatan dari segi kos pemasaran

Dalam point sebelum ini, saya telahpun menyenaraikan antara kaedah pemasaran yang digunakan oleh platform OTA. Cuba bandingkan kos-kos yang bakal terlibat jika pemilik bisnes menjalankan sendiri kerja-kerja pemasaran.

 

Bila kita sebut mengenai persoalan kos, ia tak semestinya hanya merujuk kepada kos dari segi wang ringgit sahaja. Kos ini perlu juga dilihat dari segi masa dan tenaga kerja.

 

Menggunakan perkhidmatan dari OTA dapat menjimatkan kos.

 

(7) Listing dengan sistem automasi

Sistem automasi ini penting kerana ia akan mengemaskini status listing anda secara automatik apabila menerima tempahan dari pelanggan. Ini dapat mengelakkan berlakunya isu seperti double booking dan menimbulkan masalah kepada anda dan juga kepada tetamu anda dikemudian hari.

 

Kalau tak ada sistem tempahan, ada kemungkinan akan berlaku isu seperti double booking.

Kesilapan double booking ini jarang berlaku untuk tempahan pada hari yang sama.

 

Contohnya ada 2 orang pelanggan, dan kedua-dua ingin membuat tempahan pada hari yang sama, iaitu hari jumaat tarikh yang sama. Simple double booking ini agak jarang berlaku.

 

Kemungkinan yang boleh berlaku adalah

i. Tetamu A check in hari Khamis dan akan menginap sehingga hari Ahad. Tiba-tiba dia minta lanjutkan tempoh penginapan hingga hari Isnin (5 hari 4 malam) dan anda pula setuju.

ii. Tetamu B check in hari Ahad dan akan menginap sampai hari Selasa (3 hari 2 malam). Anda terlupa yang tetamu A telah lanjutkan tempoh penginapan ke hari Isnin.

 

Dalam keadaan ini, terdapat pertindihan hari iaitu pada hari Ahad.

Boleh jadi tuan rumah tersalah pandang, dan menyangka yang tetamu A akan check out pada hari Ahad, memandangkan amat jarang ada tetamu yang akan menginap hingga 5 malam.

 

Ataupun kesilapan berlaku disebabkan tempahan dibuat melalui orang yang berbeza. Misalnya tetamu A berurusan dengan suami. Manakala tetamu B berurusan dengan isteri. Disebabkan isu lambat update jadual penginapan, menyebabkan berlakunya pertindihan tempahan.

 

Kesilapan ini boleh terjadi, jika tak berhati-hati.

 

(8) Akses kepada laporan analitik dan data

Kebiasaannya, platform OTA ada menyediakan sistem laporan dan analitik data. Data ini boleh digunakan untuk tujuan kerja pemasaran dimasa akan datang.

 

Melalui data yang ada juga kita dapat menilai, sejauh mana keberkesanan usaha pemasaran yang dijalankan.

 

(9) Lebih dipercayai dan diyakini

Sebagai pelanggan, mereka juga lebih yakin untuk buat tempahan melalui platform OTA berbanding buat tempahan secara terus kepada pemilik kediaman, terutama sekali jika pemilik kediaman tersebut masih baru dalam perniagaan yang dijalankan.

 

Perniagaan yang masih baru, lazimnya belum ada sebarang review mahupun rating positif dari pelanggan terdahulu. Dari perspektif pelanggan, membuat tempahan dengan pengendali yang baru, yang belum ada sebarang review agak berisiko.

 

Bagaimana kalau individu tersebut sebenarnya adalah scammer homestay?

Bagaimana kalau kemudahan yang disediakan tak sama seperti yang diiklankan?

 

Persoalan-persoalan seperti inilah yang akan menyebabkan pelanggan lebih berhati-hati dalam membuat tempahan.

 

(10) Tingkatkan keuntungan bagi perniagaan anda

Penggunaan platform OTA dapat meningkatkan lagi keuntungan dalam perniagaan yang anda jalankan. Platform OTA seperti Airbnb, bukan sekadar membenarkan anda untuk menyenaraikan homestay dan guesthouse milik anda, malahan anda juga boleh mengiklankan aktiviti yang anda boleh tawarkan kepada bakal pelanggan.

Ini secara tak langsung dapat meningkatkan lagi keuntungan yang bakal anda perolehi melalui tetamu yang datang menginap di kediaman milik anda.

 

Tetamu ini mungkin akan memilih homestay anda dan akan turut menyertai aktiviti yang anda tawarkan.

Ataupun jika dia memilih homestay milik orang lain, setidak-tidaknya dia join pakej aktiviti yang anda tawarkan. Anda masih berpeluang untuk buat untung.

 

Penutup

Kesimpulannya anda berupaya untuk meningkatkan keuntungan dari perniagaan homestay dan tempat penginapan yang anda jalankan apabila menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh platform OTA.

 

Peningkatan dari segi keuntungan ini boleh diperolehi memandangkan platform OTA memiliki database pengguna dan pelanggan terdahulu yang begitu besar. Pada masa yang sama, platform OTA juga giat menjalankan aktiviti pemasaran, sama ada kaedah pengiklanan berbayar mahupun percuma, bagi tujuan mendapatkan pelanggan.

 

Apabila anda mengiklankan atau menyenaraikan homestay atau tempat kediaman anda melalui platform OTA, sedikit sebanyak anda juga akan mendapat tempias yang positif dari gerak kerja yang dilakukan oleh OTA.

 

Namun demikian, ini bukan bermakna OTA adalah jalan pintas, atau kaedah ajaib yang akan membuatkan sesiapa sahaja yang menggunakan platform mereka pasti akan berjaya dapat pelanggan dan buat keuntungan.

 

Tak semestinya.

 

Apabila anda sudah menyertai platform OTA, anda masih perlu lakukan usaha yang terbaik bagi bersaing dengan pengusaha dan pengendali bisnes homestay lain yang turut berada dalam platform OTA.

 

Bila saya sebut lakukan usaha terbaik, ini saya merujuk kepada

1. Bina profil yang kukuh dan dapatkan rating serta review yang bagus dari tetamu

2. Gunakan gambar yang berkualiti tinggi dan menarik

3. Masukkan penerangan yang jelas mengenai homestay

 

Sebenarnya bila bercakap mengenai kelebihan yang terdapat pada platform Online Travel Agent (OTA) ini, suka untuk saya highlight disini bahawa ada kelebihan tertentu yang pada umumnya terdapat pada semua OTA, contohnya seperti memberi kemudahan dan sebagainya, dan ada kelebihan yang hanya terdapat pada platform OTA yang spesifik.

 

Sebagai contoh perbandingan, kelebihan yang ada pada Airbnb mungkin tak terdapat pada Agoda, dan begitulah sebaliknya.

 

Justeru, sebelum anda buat keputusan untuk menggunakan mana-mana platform OTA yang terdapat di pasaran, silalah buat kajian terlebih dahulu, bagi mengenalpasti, platform yang mana satu yang lebih sesuai dengan kaedah dan model perniagaan yang anda jalankan.

 

Dalam posting akan datang, kita bincangkan pula mengenai kekurangan dan kelemahan yang terdapat pada sistem OTA pula.

In Shaa Allah.

 

 

Exit mobile version