Blog Sabree Hussin

Hati-hati dengan Scammer Bisnes Homestay

Pernah dengar atau pernah baca tak laporan berita, mengenai kisah ataupun pengalaman orang yang jadi mangsa scam yang melibatkan penginapan di homestay?

 

Tahukah anda, dalam industri pelancongan yang melibatkan tempat penginapan seperti homestay, guesthouse, hotel, camping site dan sebagainya, juga terdapat individu yang cuba mengambil kesempatan dan melakukan aktiviti penipuan.

 

Ya, scammer homestay!

 

Motifnya?

Sudah tentu untuk mendapatkan wang dengan cara yang cepat.

 

Ada beberapa portal berita yang pernah melaporkan isu mengenai penipuan melibatkan homestay. Antaranya adalah seperti Sinar Harian.

Saya merujuk kepada laporan berita bertarikh 07 Jun 2022 berjudul “Ramai kena tipu homestay tidak wujud”.

 

Kemudian saya terjumpa juga laporan berita dari Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu bertarikh 09 Jun 2022 berjudul “‘Scammer Homestay’: Pasangan Suami Isteri Ditahan Polis”

Kalau pemahaman saya tak silap, kedua-dua laporan berita ini adalah saling berkaitan.

 

Bagaimana cara scammer menipu mangsanya?

Terdapat beberapa cara, yang mungkin akan digunakan oleh scammer bagi tujuan menipu mangsa.

 

Lindungi diri anda dari menjadi mangsa scammer bisnes homestay. Luangkan sedikit masa untuk anda ketahui, apakah taktik kotor yang akan digunakan oleh scammer ini untuk menipu mangsanya.

 

(1) Membuat listing homestay yang tak wujud

Ini merupakan cara yang paling mudah untuk dilakukan dan boleh jadi ini merupakan cara yang sama yang digunakan seperti dalam laporan akhbar Sinar Harian bertajuk “Ramai kena tipu homestay tidak wujud”.

 

Scammer ini akan menghasilkan sebuah laman web, blog ataupun fan page dan akan menamakan halaman tersebut sama seperti nama homestay yang wujud.

 

Kemudian dia akan masukkan gambar-gambar homestay, yang mungkin diambil dari pelbagai sumber seperti google, perkongsian di facebook dari tetamu yang pernah pergi ke homestay sebenar, dari blog, atau diambil terus dari platform online booking seperti Airbnb, Agoda dan sebagainya.

Pada peringkat ini, sepatutnya sebagai bakal pelanggan, kita patut boleh syak ada sesuatu yang tak kena, memandangkan kualiti gambar yang digunakan sangat tak konsisten antara satu sama lain. Ia patutnya sudah memberi gambaran yang ia diambil dari pelbagai sumber.

 

individu yang betul-betul buat bisnes homestay, akan ambil gambar dengan kamera yang sama, dan cara ambil gambar serta kualiti gambar juga lebih konsisten.

 

Seterusnya scammer ini akan sertai group Facebook yang berkaitan dengan percutian, dan dia akan mula mencari mangsa disitu. Biasanya scammer ini akan cipta profile palsu (fake account) dan akan menghubungi bakal mangsa secara terus (personal messaging).

 

Bagi mengelakkan aktivitinya diketahui, scammer ini biasanya tak akan meninggalkan jejak seperti membuat posting secara public, menulis komen, atau like pada status orang lain.

 

Kalau dia ada menulis status secara public sekalipun, biasanya hanya untuk beberapa jam sahaja. Selepas itu, dia akan delete terus posting tersebut.

 

Kemudian, dia hanya akan menerima tempahan untuk penginapan yang akan berlaku dalam masa 2 bulan dan keatas dari sekarang. Sebagai contoh, kalau sekarang ini bulan Januari, dia hanya akan menerima tempahan untuk penghujung bulan Februari dan keatas.

 

Kalau ada tetamu yang minat nak sewa dalam masa terdekat, scammer ini akan kata booking dah penuh.

 

Apa rasionalnya?

Rasionalnya ialah supaya scammer ini ada masa yang cukup panjang untuk meneruskan kegiatan penipuan. Setidak-tidaknya dia boleh kumpul mangsa dan bakal mangsa untuk tempoh 2 – 4 minggu.

 

Cuba bayangkan, kalau dia betul-betul aktif buat kerja, dalam masa 4 minggu berapa ramai agaknya yang akan jadi mangsa penipuannya?

Sebab tu dia tak akan terima tempahan untuk masa terdekat, bagi mengelakkan penipuannya diketahui.

 

Kemudian scammer ini akan berikan maklumat seperti alamat lengkap dan lain-lain maklumat berkaitan dengan homestay.

 

Sebaik sahaja menerima bayaran, scammer akan menghilangkan diri.

 

Pada hari dimana tetamu dijadualkan untuk datang dan menginap, akan ada beberapa kebarangkalian yang akan berlaku.

1. Homestay tak wujud

Alamat yang diberikan oleh scammer akan membawa bakal pelanggan ke lokasi yang tak ada homestay. Kalau ada pun, rumah milik orang kampung yang bukannya homestay.

 

Atau yang lebih menyedihkan lagi, alamat yang diberikan itu membawa ke lokasi seperti masjid, tokong, tanah perkuburan dan sebagainya.

 

2. Homestay wujud tapi sudah ada tetamu yang sah 

Memandangkan pelanggan berurusan dengan scammer, maka pelanggan tersebut bukanlah tetamu yang sah.

 

Ada juga keadaan dimana scammer hanya meminta bayaran deposit, manakala baki bayaran perlu dibayar semasa check in.

Dalam situasi ini, scammer sebenarnya telah gagal meyakinkan tetamu untuk buat full payment. Jadi untuk elakkan langsung tak ada sebarang hasil, jadi dia ubah strategi dengan hanya meminta bayaran deposit.

 

Bayaran deposit ini pula sekitar RM50 – RM100.

Bagi sesetengah orang, jumlah ini mungkin tak begitu membebankan. Lagipun, mereka memang sudah ada peruntukkan untuk tujuan sewa homestay.

 

Tapi cuba bayangkan kalau dia berjaya tipu at least 20 orang?

Sekurang-kurangnya dia berjaya dapat RM2,000.

 

Jadi, berhati-hati dengan scammer yang menggunakan teknik penipuan jenis menggunakan listing atau iklan palsu.

 

(2) Sengaja memberikan maklumat palsu 

Scammer akan mengiklankan homestay dan berikan gambar-gambar berkaitan.

 

Orang yang melihat iklan tersebut memang akan rasa tertarik dengan keunikkan dan kecantikkan homestay tersebut. Dari segi kemudahan juga, ada banyak yang disediakan.

 

Lalu pelanggan buat tempahan seperti biasa.

 

Tetapi, beberapa hari sebelum tarikh penginapan, scammer akan menghubungi tetamu dan beritahu ada kerosakkan yang serius pada homestay yang membuatkan homestay tersebut tak sesuai untuk didiami.

 

Pada waktu dia menghubungi tetamu ini pun, ada kontraktor sedang melakukan kerja-kerja baik pulih.

 

Tetapi scammer ini berjanji akan menggantikan homestay lain memandangkan perkara jadi last minute.

Sudah tentu, homestay gantian ini tak sehebat dan sebagus homestay yang asal.

 

Tapi disebabkan tiada pilihan lain, maka anda terpaksa setuju. Kalau tak setuju, nanti nak menginap dimana?

Kemudian scammer berjanji akan pulangkan semula sebahagian daripada duit yang telah dibayar oleh tetamu.

 

Hakikatnya, scammer ini memang hanya ada homestay yang kedua sahaja. Homestay yang pertama yang diiklankan, fungsinya hanya untuk menarik pelanggan sahaja.

 

(3) Memberi tawaran yang terlalu too good to be true

Menerusi iklan yang dilihat oleh bakal pelanggan, scammer tunjukkan gambar-gambar homestay yang mempunyai kriteria seperti

1. Cantik seperti hotel

2. Ada 3 buah bilik yang luas

3. Berdekatan dengan pantai

4. Ada swimming pool dan lain-lain kemudahan

5. Ada sambungan internet berkelajuan tinggi

6. Ada pemandangan yang sangat cantik

7. Harga menginap sangat murah!

 

Dia punya red flag ialah harga sangat murah tapi kena bertindak cepat!

Kalau tak bertindak cepat, nanti tetamu lain yang akan sambar dulu tawaran yang tak masuk akal seperti ini.

 

(4) Scammer menyamar sebagai pengendali bisnes homestay sebenar

Cara ini lebih rumit untuk dilakukan, tapi tak bermakna tiada yang mencubanya.

 

Dalam kaedah ini, scammer akan menyamar sebagai pengendali homestay yang sebenar.

 

Ini bermakna dia akan

1. Menggunakan gambar pengusaha atau pemilik bisnes homestay sebenar

2. Bina akaun media sosial palsu atas nama pemilik homestay

3. Bercakap dan berkelakuan seperti seorang pemilik homestay yang sebenar

 

Walaubagaimanapun, untuk tujuan pembayaran, dia akan menggunakan akaun bank milik orang lain, atau syarikat lain yang tak ada kena mengena dengan homestay tersebut.

 

Sebaik sahaja pelanggan membuat bayaran, sudah tentu “pemilik homestay” ini akan ghaib.

 

(5) Scammer menggunakan review palsu

Ini juga merupakan satu bentuk scam.

 

Dalam situasi ini, scammer ini akan mencipta pelbagai akaun bagi tujuan memberikan review positif yang penuh dengan puji-pujian terhadap sesebuah homestay.

 

Matlamatnya adalah untuk membuatkan bakal tetamu jadi yakin untuk menginap di homestay tersebut.

 

Jika homestay tersebut memang sama seperti yang dinyatakan dalam keterangan dan juga sama seperti dalam review positif dari fake account yang dicipta sendiri, maka ia masih okay lagi.

 

Walaubagaimanapun saya berpandangan cara tersebut tak begitu beretika, sebab menggunakan review palsu.

 

Setidak-tidak bakal pelanggan tak alami sebarang kerugian, melainkan ditipu dengan review yang palsu.

 

(6) Scammer menawarkan voucher penginapan

Dalam contoh ini, scammer ini bukannya menjual tempat penginapan sebaliknya dia menjual voucher yang perlu ditebus!

 

Scammer ini akan buat akaun dilaman web atau platform seperti Shopee, Lazada atau PG Mall.

Seterusnya dia akan iklankan homestay tapi kata dia, dia akan hantar voucher penginapan melalui email.

(Siapa ada pengalaman beli ebook, software, tiket masuk taman tema melalui Shopee pasti ada pengalaman seperti ini)

 

Katakanlah ada pelanggan yang nampak iklan homestay tersebut di platform marketplace tersebut. Lalu dia pun buat pembelian.

Scammer akan hantar voucher tersebut pada hari yang sama, dan akan minta pelanggan menandakan tempahan sebagai “telah diterima” atau “order received”.

 

Selepas pelanggan menandakan transaksi tersebut sebagai “telah diterima” maka scammer tersebut akan menghilangkan diri.

 

(7) Scammer mencipta laman web tempahan palsu

Kaedah ini dilakukan oleh scammer yang mempunyai kepakaran berkaitan dengan IT yang sangat tinggi.

 

Dia akan klon laman web tempahan yang sebenar seperti Airbnb, Booking.com, Agoda dan sebagainya. Kemudian dia akan adjust harga kepada satu harga yang sangat too good to be true untuk membuatkan mangsa buat bayaran dengan segera.

 

Bagaimana cara nak lindungi diri dari menjadi mangsa scammer homestay?

Memandangkan kita dah pun bincangkan topik mengenai bentuk-bentuk penipuan yang “possible” untuk dilakukan oleh scammer, apa kata kita sentuh sikit mengenai langkah-langkah untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa scam.

 

Maklumlah, sesetengah orang ini memang cukup mudah untuk ditipu.

Tapi bila kita tanya, macam mana boleh kena tipu, pandai pula dia bagi alasan macam kena pukau la, kena sihir la… atau apa-apa alasan sekalipun.

 

Jadi, kalau anda baca posting ini, saya nak syorkan beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk elakkan jadi mangsa scam berkaitan homestay.

 

(1) Siasat homestay tersebut

Kebiasaannya, pengendali bisnes homestay ini akan memberikan nama kepada homestay mereka. Sebagai contoh

1. Homestay Inap AyahandaBonda Kota Bharu

2. Homestay D’Ledang

 

Memberi nama kepada homestay adalah sesuatu yang penting dan merupakan common practise bagi mereka yang mengusahakan bisnes homestay.

 

Jika individu tersebut tak meletakkan sebarang nama pada homestay miliknya, atau keberatan untuk memberikan nama homestay, sebaliknya hanya memberi alamat, ini adalah satu petanda bahawa anda mungkin sedang berurusan dengan scammer.

 

Lihat contoh dibawah.

Kebanyakkan pengusaha bisnes homestay di Kota Bharu termasuk di lain-lain lokasi, akan memberi nama kepada homestay milik mereka, dan mereka akan membina online profile untuk homestay milik mereka.

 

(2) Kenalpasti siapa pemilik homestay

Pastikan anda berurusan dengan individu sebenar, yang merupakan pemilik homestay tersebut.

 

Biasanya pemilik homestay akan ada laman web, blog, FB Fanpage, akaun FB personal dan sebagainya.

Cuba hubungi pemilik homestay tersebut melalui medium perhubungan yang berbeza dan lihat sama ada anda masih berhubung dengan individu yang sama atau berbeza.

 

(3) Baca review mengenai homestay yang bakal anda inap

Ini juga merupakan satu lagi cara untuk melindungi anda daripada menjadi mangsa penipuan scammer.

 

Pengusaha bisnes homestay lazimnya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan review dan feedback dari tetamu terdahulu. Jadi kita bolehlah baca dulu apa kata tetamu sebelum ini, sebelum kita buat tempahan.

 

(4) Tawaran yang too good to be true

Kalau anda terjumpa tawaran yang tak masuk akal, benda pertama yang anda patut buat adalah berhenti sejenak dan siasat dulu, logik atau tidak tawaran sedemikian? 

 

Gunakan laman web seperti Airbnb, Agoda, atau booking.com untuk membantu anda buat siasatan.

Katakanlah anda terjumpa tawaran yang sangat menarik untuk menginap di Port Dickson.

 

Kita gunakan Airbnb untuk mengetahui, apakah harga standard untuk penginapan di lokasi yang sama untuk property yang setara dengan apa yang diiklankan.

 

Andai kata dekat Airbnb, untuk tempat penginapan yang setara harganya ialah RM459 untuk semalaman, dan anda ditawarkan RM110 sahaja, bermakna dekat situ ada sesuatu yang tak kena. Anda patut lebih berhati-hati dalam mempercayai individu yang anda tak kenali! 

 

(5) Gunakan platform tempahan yang dikenali

Platform tempahan ini saya merujuk kepada laman web atau apps seperti

1. Airbnb

2. Agoda

3. Booking.com

4. Traveloka

5. Expedia

dan lain-lain.

 

Platform seperti ini mempunyai suatu ciri yang dapat memberi perlindungan kepada para tetamu dan juga pemilik homestay.

 

i. Apabila tetamu membuat bayaran tempahan, tetamu ini akan membuat bayaran kepada platform tempahan (contohnya Airbnb) dan bukannya bayaran terus kepada pemilik homestay.

ii. Pihak host hanya boleh mengiklankan atau menyenaraikan homestay yang memang benar-benar wujud sahaja. Gambar-gambar yang diiklankan juga adalah tepat dan sama seperti keadaan homestay yang sebenar.

 

iii. Pihak host hanya akan dapat bayaran apabila tetamu telah selamat check out.

 

Kewujudan platform-platform ini walaupun secara tak langsung menyebabkan kos penginapan jadi lebih mahal, namun ianya adalah sesuatu yang kita perlukan bagi tujuan melawan scammer.

 

Kalau semua orang jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, kita tak perlu ada platform tempahan ini pun tak ada masalah. Tapi realitinya, dengan adanya sikap individu yang cuba mengambil kesempatan diatas kebaikkan orang lain, maka peranan platform seperti ini dilihat sangat perlu.

 

Oleh itu, saya amat-amat menyarankan anda untuk membuat tempahan homestay, hotel dan lain-lain tempat penginapan melalui platform online booking. Itu lebih selamat buat anda, berbanding berurusan secara terus.

 

Melainkan anda sudah betul-betul kenal dan percaya kepada individu tersebut.

 

(6) Tanya orang lain

Kadang-kadang anda rasa sukar nak buat keputusan.

 

Rasa nak percaya, tapi tak sedap hati.

Rasa tak sedap hati ini pun sebenarnya adalah petanda awal, yang anda mungkin sedang berurusan dengan scammer.

 

Kalau tanya saya, saya akan syorkan anda tinggalkan individu tersebut dan seterusnya berurusan sahaja melalui platform tempahan yang sah.

Tapi kalau anda nak buat tempahan juga, cubalah bertanya kepada orang lain dulu. Dapatkan pandangan mereka. Mereka mungkin boleh berikan nasihat dan pandangan yang lebih baik untuk anda.

 

Tapi kalau anda degil juga nak buat tempahan, pastikan anda screenshot setiap perbualan, maklumat akaun bank, nombor telefon, dan sebagainya. Semua ini boleh dijadikan bukti jika anda perlu buat laporan polis dikemudian hari.

 

Maklumlah, sekarang ini kan dekat whatsapp ada fungsi delete chat for everyone dan dissapearing message. Seolah-olah anda tak pernah berkomunikasi dengan individu tersebut.

 

Penutup

Dalam apa-apa bidang, yang terbukti mempunyai peluang untuk para pemainnya mencipta atau menghasilkan pendapatan yang lumayan, pasti akan ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan.

 

Hal yang sama juga berlaku dalam bisnes homestay.

Dalam bisnes homestay, scammer boleh menyamar sebagai pemilik homestay dan boleh juga berlaku keadaan dimana scammer menyamar sebagai pelanggan homestay.

 

Justeru, setiap orang perlulah mengambil tindakan berhati-hati dalam melakukan urusan melibatkan tempahan dan sebagainya.

 

 

Exit mobile version