Blog Sabree Hussin

Cara mencipta keunikan bagi bisnes homestay anda berbanding pesaing di pasaran

Perniagaan homestay adalah salah satu perniagaan yang semakin berkembang dan menarik minat pemain baru untuk mencuba nasib dalam perniagaan ini.

 

Sebagai pemain baru, mereka mempunyai kelebihan untuk membuat analisis terhadap persaingan sedia ada dan seterusnya masuk ke pasaran dengan mindset untuk memberikan perkhidmatan yang berbeza berbanding pengusaha homestay sedia ada.

 

Walaubagaimanapun, setiap pengusaha homestay berdepan dengan cabaran yang sama.

Iaitu kesukaran untuk mendapatkan tempahan dari tetamu.

 

Kita sedia maklum, ada pelbagai faktor yang akan mempengaruhi kebarangkalian sama ada homestay anda bakal memperolehi tempahan ataupun tidak.

 

Kita perlu lihat dari aspek sama ada wujudnya permintaan, musim perayaan, kewujudan persaingan dan sebagainya.

 

Perkongsian kali ini, kita akan cuba bincangkan apakah bentuk-bentuk usaha yang anda boleh praktikkan bagi mencapai matlamat supaya homestay anda menjadi pilihan para tetamu yang akan pergi melancong sama ada atas urusan kerja atau ingin pergi bercuti.

 

(1) Fahami pelanggan sasaran anda

Point ini sebenarnya memang agak klise.

 

Walaupun klise, ia sebenarnya adalah satu poin yang cukup penting. Tak kira apa jenis perniagaan yang kita ingin mulakan, sama ada bisnes homestay atau lain-lain perniagaan berasaskan perkhidmatan, first thing first, kita kenalah tahu dengan jelas siapakah sebenarnya pelanggan ideal kita.

 

Atau dalam kata lainnya, siapakah pelanggan sasaran kita? 

 

Memahami pelanggan ini tidak cukup sekadar kita menyatakan ayat seperti “saya faham siapa pelanggan yang saya ingin sasarkan”.

 

Anda patut mampu untuk menjawab soalan-soalan berkaitan dengan pelanggan anda, misalnya seperti

1. Apakah keperluan mereka?

2. Apa pula kemahuan mereka?

3. Apa perkara yang menjadi keutamaan mereka?

4. Apakah jangkaan atau expectation bakal pelanggan anda?

 

Sesuaikan tawaran anda mengikut citarasa pelanggan yang anda ingin atau bakal sasarkan.

 

Sudah tentu, walaupun anda menetapkan pelanggan sasaran, tak ada masalah untuk anda menerima semua jenis pelanggan, jika permintaan itu ada.

Bukanlah bermaksud bila kita tetapkan pelanggan sasaran atau pelanggan ideal, maka kita hanya akan terima pelanggan yang menepati kriteria tersebut sahaja.

 

Pelanggan yang tak menepati kriteria yang kita tetapkan pun kita boleh terima, dan kita patut berikan layanan yang terbaik juga.

 

Sebab utama kenapa kita perlu mempunyai sasaran pelanggan ini adalah supaya kita boleh fokus dalam usaha pemasaran. Akhirnya kita tak akan fokus untuk sasarkan semua orang dan cuba puaskan hati semua orang, sebaliknya kita fokus kepada kelompok pelanggan yang kita yakin kita mampu berikan mereka layanan yang terbaik.

 

(2) Analisis Persaingan

Kita amat bertuah kerana pada hari ini kita hidup di zaman yang mana untuk melakukan kerja-kerja analisis persaingan tidaklah begitu sukar.

 

Anda boleh buat kajian dan pemerhatian di lapangan, ataupun kalau nak bergantung kepada data-data yang boleh dikumpul melalui keselesaan rumah anda pun boleh.

 

Bagaimana cara untuk membuat analisis persaingan?

Ada beberapa cara.

 

1. Kajian melalui Google

Kita buka laman web google dan taipkan kata kunci yang berkaitan dengan bisnes homestay yang kita jalankan.

 

Kalau kita jalankan perniagaan homestay, sudah tentu kata kunci yang relevan dengan bisnes ini adalah “homestay di Kota Bharu”. Kata kunci ini biasanya ditaip oleh bakal tetamu yang mencari tempat penginapan dilokasi berkaitan.

 

Hasil carian biasanya akan membawa kepada hasil seperti dibawah.

Jika pemilik bisnes homestay lain pernah mencipta halaman Google My Business, maka profil homestay mereka akan muncul di Google seperti diatas.

 

Kalau anda adalah pemilik homestay dan ingin bina halaman Google My Business seperti dalam screenshot diatas, boleh baca caranya disini.

 

2.1 Kajian melalui Platform Online Travel Agent

Selain menggunakan Google, anda juga boleh menggunakan laman web atau platform Online Travel Agent seperti

1. Airbnb

2. Agoda

3. Booking

4. dan lain-lain

 

Buat carian tempat penginapan di lokasi yang sama atau berdekatan dengan bisnes homestay yang anda jalankan.

 

Dari hasil carian, anda boleh lihat homestay lain yang beroperasi disekitar anda.

 

Persoalannya ialah, data apa yang kita nak lihat daripada kerja-kerja analisis ini?

 

Sebenarnya ada beberapa data atau maklumat yang patut kita berikan tumpuan melalui kerja-kerja analisis persaingan ini.

Antaranya

 

i. Strategi harga yang diamalkan oleh pesaing

Adakah mereka menetapkan satu sistem harga yang berubah-ubah atau menggunakan harga tetap? Kemudian, kita juga ingin tahu sama ada harga yang mereka tetapkan ini merupakan harga yang paling murah, mengikut harga pasaran atau berada di tengah-tengah?

 

ii. Unique Selling Proposition (USP)

Tawaran menarik lagi unik yang hanya ada pada pesaing anda.

Kita akan sentuh dengan lebih lanjut pada poin yang seterusnya.

 

iii. Kewujudan mereka dalam dunia online

Adakah homestay milik pesaing anda boleh ditemui secara online? Jika mereka tak menggunakan strategi pemasaran online, bagaimana cara mereka mendapatkan tempahan dari pelanggan?

 

iv. Review dari pelanggan terdahulu

Bagaimana review dari pelanggan yang pernah menginap ditempat tersebut? Review yang positif sangat penting bagi meyakinkan bakal pelanggan yang tak pernah ada pengalaman menginap ditempat tersebut untuk datang dan buat tempahan.

 

v. Perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan

Apakah barang-barang dan kemudahan yang boleh digunakan oleh tetamu sepanjang perkhidmatan tersebut? Kita juga boleh lihat hiasan dalaman dan perabot-perabot yang digunakan dalam rumah.

 

vi. Tema atau konsep

Adakah homestay milik pesaing anda mempunyai tema tertentu? Atau nampak sama seperti kebanyakkan rumah-rumah diluar sana?

 

Apabila kita mempunyai data dan maklumat yang lengkap mengenai perniagaan milik pesaing yang beroperasi disekitar kita, In Shaa Allah kita boleh membuat keputusan yang baik.

 

Setidak-tidaknya kita tahu, apakah tahap perkhidmatan yang kita perlu sediakan, bagi memastikan pelanggan akan memilih kita berbanding memilih untuk menginap dihomestay milik pesaing.

 

Sebenarnya dalam fasa membuat analisis ini, kita juga patut boleh tentukan sama ada di kawasan yang bakal dijalan bisnes homestay itu nanti, terdapat permintaan ataupun tidak.

 

Bagaimana kita nak tahu sama ada wujudnya permintaan untuk perkhidmatan homestay disesuatu kawasan tersebut?

 

Pada pandangan saya ada dua cara.

 

Cara pertama adalah dengan membuat analisis terhadap faktor lokasi.

Baca disini: Pemilihan lokasi yang strategik untuk bisnes homestay

 

Cara kedua adalah dengan mengenalpasti the reason why yang membuatkan seseorang itu pergi travel.

Baca disini: Kenapa orang pergi travel?

 

Cara ketiga adalah dengan membuat analisis pesaing dan lihat berapa banyak tempahan yang mereka perolehi sepanjang mereka menjalankan bisnes ini.

 

Untuk cara ini, kita boleh gunakan mana-mana platform tempahan online travel agency. Dalam contoh ini, saya merujuk kepada laman web atau platform Airbnb.com

 

Saya ingin mengetahui berapa banyak homestay yang terdapat di Kota Bharu, Kelantan dan berikut adalah hasil carian yang saya perolehi.

Kalau menurut data dari Airbnb ini, terdapat lebih 1,000 tempat penginapan yang boleh ditempah melalui Airbnb.

 

Dalam keadaan ini, faktor demand & supply atau tawaran dan permintaan juga akan memberi impak kepada tempahan yang bakal anda perolehi.

 

Pada satu sisi, jika demand untuk tempat penginapan adalah kurang berbanding tawaran pada sesuatu masa, ini mewujudkan suatu keadaan dimana berlakunya situasi over-supply.

 

Saya suka ambil maklumat dari Airbnb kerana dekat situ kita boleh tahu,

1. Siapa host atau pemilik homestay yang mendapat pengiktirafan superhost

2. Berapa banyak tempahan yang mereka perolehi

3. Berapa rating yang mereka perolehi

4. Apa komen dan review dari tetamu terdahulu

 

(3) Unique Selling Proposition (USP)

USP ini membincangkan mengenai suatu ciri unik yang membuatkan bisnes anda berbeza berbanding homestay milik orang lain.

 

Saya percaya, anda yang berminat untuk menjalankan bisnes homestay ini, pernah ada pengalaman menginap di hotel ataupun resort.

Baca juga: Apa perbezaan hotel dengan resort?

 

Kalau anda perasan, ada pengusaha bisnes homestay yang mula menerapkan elemen yang biasanya hanya terdapat pada resort atau hotel, ke dalam perniagaan homestay yang mereka jalankan.

 

Instead of homestay itu sebagai sekadar tempat untuk menginap semasa pergi bercuti, ia mula bertukar kepada konsep homestay itu sendiri sebagai destinasi percutian.

 

Maksudnya orang pergi bercuti atau travel memang semata-mata sebab nak pergi ke homestay tersebut.

 

Adakah situasi seumpama ini boleh berlaku?

Boleh.

Memang boleh.

 

Dengan syarat semua aktiviti yang memang cukup padat boleh dilakukan hanya disatu tempat.

 

Sebagai contoh, dari mula tetamu check in, hinggalah tetamu akan check out nanti, dia boleh lakukan semua aktiviti hanya dari homestay sahaja. Konsep ini ibarat kita menginap di resort, yang mana dekat resort inilah kita boleh lakukan semua aktiviti.

 

Saya sendiri beberapa kali terjumpa homestay yang menepati ciri seumpama ini.

 

Homestay miliknya bukan sekadar homestay. Sebaliknya tetamu boleh lakukan macam-macam aktiviti sepanjang menginap di homestay tersebut.

 

Antaranya

1. Homestay tersebut ada swimming pool

2. Boleh buat aktiviti barbeque

3. Ada bilik khas yang kedap bunyi untuk karaoke

4. Ada disediakan permainan untuk isi masa luang

5. Tetamu boleh memancing di kolam atau sungai berdekatan

6. Boleh mandi sungai

7. Boleh masuk ke dalam kebun dan memetik buah

 

Homestay yang menepati kriteria seperti ini biasanya akan dijadikan pilihan golongan tetamu yang ingin mengadakan acara seperti family day.

 

Bagaimana kalau homestay anda tak mempunyai ciri-ciri seperti yang kita bincangkan disini. Bagaimana cara untuk cipta USP untuk homestay anda nanti?

 

Maka disini anda perlu luangkan sedikit masa dan fikirkan.

 

Apakah suatu bentuk kelainan yang anda ingin terapkan dalam homestay anda nanti?

 

Faktor kelainan ini juga, mestilah menepati ciri yang disukai oleh golongan pelanggan yang anda bakal sasarkan kelak.

 

(4) Tingkatkan online presence anda

Dalam era digital hari ini, apa-apa bisnes sekalipun perlu mempunyai kehadiran yang kuat di internet.

 

Bila kita katakan kehadiran (presence) yang kuat ini, kita maksudkan

1. Google

2. Media Sosial

3. Youtube

 

Kalau boleh setiap channel perlu ada kehadiran kita, dan orang tahu tentang perniagaan yang kita jalankan.

 

(5) Berikan perkhidmatan yang bakal diingati

Berikan layanan yang baik, yang lain dari yang lain, supaya bakal tetamu mempunyai memori yang baik apabila menginap di homestay milik anda.

Baca juga: Strategi memberikan pengalaman penginapan terbaik kepada tetamu homestay

 

Kadang-kadang perkara yang sekecil-kecilnya pun boleh memberikan impak yang besar.

 

Misalnya seperti anda menulis kad ucapan selamat datang kepada para tetamu, atau anda menjamu tetamu anda dengan sebekas buah-buahan.

Sebelum kedatangan tetamu, atau semasa tetamu ingin buat tempahan, anda juga boleh bertanya apakah tujuan utama datang untuk menginap?

 

Jika tujuannya adalah untuk menyambut hari ulangtahun kelahiran, anda sebagai tuan rumah mungkin boleh main peranan dengan membantu menyediakan persiapan yang diperlukan atau sekurang-kurangnya bantu dengan membeli kek untuk acara tersebut.

 

Apa yang penting sekali ialah, anda bertanya.

 

Sesetengah tetamu akan sangat-sangat hargai kesudian anda untuk memberikan servis tambahan seperti ini.

 

(6) Paparkan review dan testimoni dari tetamu

Review yang positif adalah sangat penting dalam perniagaan homestay anda.

 

Review yang positif ini juga memberi keyakinan kepada bakal tetamu untuk membuat pemilihan.

 

Persoalannya ialah, apakah perkara yang bakal pelanggan ingin lihat atau baca dalam review tetamu sebelum ini, sebelum mereka betul-betul yakin untuk buat tempahan?

 

Kalau cakap tentang review positif ini, saya percaya semua orang boleh kata hal yang sama. Tapi kita juga nak tahu, apa yang perlu ada, atau ayat apa yang bila bakal tetamu baca, dia terus jadi terpesona dan bersedia untuk buat tempahan.

 

Dekat bawah ini adalah antara poin yang patut ada dalam review positif.

 

Kalau bakal tetamu, baca poin-poin berikut ada dalam review positif yang ditulis oleh tetamu terdahulu, ini sedikit sebanyak akan membuatkan mereka bertambah yakin untuk buat tempahan.

 

Mari kita lihat apakah senarai review positif tersebut

 

1. Tuan rumah sangat membantu dan mesra

Sebagai tetamu, kita sukakan layanan yang baik dari tuan rumah. Walaupun kita bukanlah akan selalu berhubung dengan tuan rumah, setidak-tidaknya kita rasa lebih selesa apabila kita tahu tuan rumah adalah seorang yang sangat mesra dan friendly.

 

2. Respon yang sangat pantas dari tuan rumah

Apabila ada sebarang pertanyaan, atau perlukan bantuan tertentu, tuan rumah atau wakilnya sentiasa bersedia untuk membantu.

 

Kalau perkara tersebut boleh selesai hanya melalui perbualan whatsapp, respons boleh diterima dalam masa kurang lima minit atau lebih awal.

 

Kalau isu yang timbul memerlukan seseorang untuk datang, wakil tuan rumah boleh datang dengan segera atau dalam masa kurang dari 10 minit.

 

Poinnya ialah, tuan rumah mampu untuk memberikan respon yang cukup pantas.

 

3. Rumah sangat selesa melebihi dari jangkaan

Kebiasaannya tetamu hanya dapat membuat keputusan berdasarkan pada gambar-gambar yang dibekalkan oleh pemilik homestay.

 

Kalau kurang bernasib baik, ada tetamu yang dapat rumah yang berbeza berbanding gambar yang dibekalkan. Boleh jadi tuan rumah ada menukar perabot atau membuat perubahan pada perhiasan dalaman tapi masih menggunakan gambar lama.

 

Sepatutnya perkara ini tak berlaku.

Lebih baik berikan perkhidmatan yang sama seperti yang ditempah oleh tetamu.

 

Kalau nak berikan sesuatu yang berbeza, pastikan ia lebih baik dan melebihi jangkaan.

4. Harga sangat berpatutan kalau dibandingkan dengan segala kemudahan yang disediakan

Tetamu perlulah menyatakan yang kos penginapan sepanjang berada dihomestay anda adalah sangat berbaloi, atas faktor seperti lokasi, kemudahan dan kelengkapan yang disediakan.

 

5. Proses check in dan check out yang sangat mudah

Tetamu tak perlu menunggu lama untuk masuk ke dalam rumah. Tak perlu juga nak buat treasure hunt semata-mata untuk dapatkan kunci masuk.

 

6. Tuan rumah sangat berpengetahuan tentang keadaan sekitar

Tanya je apa-apa soalan kepada tuan rumah, tak kira sama ada tentang tempat makan tengahari, makan malam, sarapan pagi, menu istimewa, tempat menarik dan sebagainya, semua ini ada dalam pengetahuan tuan rumah.

 

Cuba bandingkan dengan tuan rumah yang bila kita tanya apa-apa soalan, jawapan yang dia akan berikan ialah tak pasti atau tak tau. Mana satu yang anda rasa lebih baik?

 

7. Famili saya sangat seronok bila dapat menginap di homestay ini

“Anak saya sangat suka menginap disini sebab… dan kami akan datang lagi.”

“Suami/isteri saya sangat seronok sepanjang penginapan kami disini, ada macam-macam aktiviti boleh dilakukan…”

 

Komen atau feedback seperti diatas juga boleh membuatkan tetamu lain jadi tertarik untuk mencuba pengalaman penginapan yang sama.

 

8. Sangat bersih dan terjaga dengan sangat rapi

Faktor kebersihan sememangnya merupakan satu faktor yang sangat penting dalam bisnes jenis tempat penginapan ini.

 

Poin ini hanya sebahagian daripada perkara yang perlu atau patut ada dalam review sesebuah homestay.

 

Review yang mengandungi poin seperti yang saya senaraikan itu sebenarnya lebih kuat dan ada kredibiliti berbanding review yang sekadar tulis sesuatu yang terlalu umum, misalnya seperti

i. Homestay terbaik

ii. Thanks tuan rumah, semuanya okay

 

Persoalannya ialah, bagaimana kita nak dapatkan komen atau review yang seperti kita bincangkan? Bolehkah kita meminta tetamu kita untuk tulis komen atau review mengikut spesifikasi yang kita inginkan?

 

Jawapannya ialah memang boleh.

Dengan syarat anda memang betul-betul mesra dan mungkin ada hubungan yang agak rapat dengan bakal tetamu anda.

 

Cara lain adalah, anda upah orang untuk tulis review mengenai homestay anda.

Baca juga: Pakej pengiklanan bisnes homestay melalui blog

 

Review dekat sini bukannya untuk mengada-adakan sesuatu yang tak ada, ataupun menipu dalam review. Sebaliknya review tersebut juga sebenarnya adalah suatu review yang memang jujur.

 

Orang yang menulis review hanya menyatakan apa yang memang sudah ada disitu dan bukannya mereka-reka cerita.

 

(7) Harga yang kompetitif

Strategi penetapan harga juga bakal memberikan impak yang agak signifikan terhadap jumlah tempahan yang bakal anda perolehi.

 

Saya pernah menulis tentang topik penetapan harga untuk bisnes homestay sebelum ini.

Baca disini: Strategi menetapkan harga sewa yang kompetitif untuk bisnes homestay

Poin ini juga sebenarnya adalah kesinambungan bagi poin sebelum ini, iaitu membuat kajian pasaran dan mengenalpasti siapa pesaing yang ada disekeliling anda.

 

Sudah tentu, jika pesaing anda menetapkan harga yang agak rendah, dan terdapat perbezaan yang sangat ketara dari segi harga walaupun dari perspektif perkhidmatan, anda sebenarnya menawarkan servis yang sama, tetamu mungkin akan jadikan tempat anda sebagai pilihan kedua.

 

Menjalankan promosi seperti potongan harga sempena sambutan hari-hari tertentu dapat menarik minat kategori pelanggan yang agak sensitif dengan soal harga.

 

Tindakan anda memberikan potongan harga dapat dilihat sebagai suatu penjimatan buat pelanggan seperti ini.

 

Destinasi dan aktiviti yang dapat dilakukan ditempat percutian adalah lebih penting berbanding berbelanja terlalu mahal untuk tempat menginap.

 

(8) Kerjasama dengan perniagaan setempat

Anda boleh cuba kenalpasti peluang-peluang untuk melakukan kolaborasi dengan perniagaan lain, yang mungkin bersesuaian dengan anda.

 

Sebagai contoh, syarikat yang menjalankan perniagaan berbentuk program latihan atau seminar. Untuk pelanggan mereka yang datang dari luar kawasan, boleh jadi ada yang memerlukan tempat untuk menginap.

 

Cuba kenalpasti, lain-lain perniagaan yang mungkin boleh bekerjasama dengan anda.

 

Kalau anda perlukan idea, mungkin boleh baca perkongsian saya sebelum ini yang bertajuk apakah sebab orang pergi travel.

 

(9) Pemasaran dan promosi

Kerja-kerja pemasaran adalah satu usaha yang perlu dilakukan secara berterusan.

 

Gunakan platform-platform yang ada diluar sana, tak kiralah sama ada

1. Media sosial

Termasuklah anda menggunakan Facebook, Instagram, Twitter, dan sebagainya.

 

2. Blog

Pemasaran melalui blog ini akan menerima manfaat trafik dari halaman search engine terkenal seperti Google, Bing dan sebagainya.

 

3. Email marketing

 

4. Tiktok

 

5. Youtube

 

6. Platform online travel agent

Diluar sana ada terdapat beberapa platform online travel agent yang anda boleh gunakan untuk menyenaraikan homestay anda.

 

… dan sebagainya.

 

Usahakan supaya setiap hari ada usaha dan kempen pemasaran kita yang sedang aktif berjalan mendapatkan tetamu baru.

 

Lagipun, apabila homestay anda sudah siap dan bersedia untuk menerima tetamu, salah satu perkara yang perlu anda lakukan setiap hari adalah membuat kerja-kerja pemasaran untuk mendapatkan tetamu.

 

Persoalannya ialah, adakah anda akan lakukan kerja-kerja pemasaran ini sendiri, atau anda akan outsource kepada orang lain?

Baca juga: Senarai laman web untuk iklankan bisnes homestay anda

 

(10) Pantau dan buat perubahan ikut kesesuaian

Seperti biasa, selepas kita buat pelbagai usaha untuk menjadikan homestay kita itu nanti unik dan lain dari yang lain, kita juga perlu buat pemantauan sama ada strategi yang kita gunakan itu berkesan ataupun tidak.

 

Dari semasa ke semasa, anda mungkin perlu buat beberapa perubahan dan anda juga mungkin akan dapati apa yang berkesan sebelum ini, sudah mula kurang berkesan.

 

Sebagai contoh, anda mungkin pernah menerima tempahan dari pelanggan yang mengetahui tentang homestay anda melalui penggunaan enjin carian Google.

 

Ya, teknik pemasaran yang dimaksudkan ini adalah teknik Search Engine Optimization.

Tapi teknik ini, sampai satu masa akan kurang berkesan dan akan ada pesaing lain yang turut menggunakan teknik yang sama.

 

Boleh jadi kerana tempat anda menjalankan bisnes homestay ini sudah mula muncul beberapa pesaing baru.

Dalam keadaan ini, anda juga perlu tahu beberapa strategi yang anda perlu lakukan bagi menghadapi kerenah pesaing anda.

Baca juga: Strategi menghadapi persaingan dalam perniagaan

 

Ataupun boleh jadi juga sebab perubahan citarasa dan selera bakal pelanggan. Satu hari nanti, pelanggan sudah tak minat lagi untuk bermalam di homestay.

 

Manalah tahu kan, satu masa nanti muncul konsep tempat penginapan yang lain dari yang lain, yang mungkin berupaya menjadi pencabar bagi bisnes homestay.

 

Apa pun, sebagai pemain dalam industri ini, anda perlu peka dengan sebarang perubahan-perubahan yang berlaku.

 

Kesimpulan

Adakah bisnes homestay ini merupakan suatu perniagaan yang kompetitif?

Hanya mereka yang sudah berada dalam bisnes ini sahaja yang betul-betul faham.

 

Ruang untuk masuk dalam bisnes ini juga sentiasa terbuka dengan luas. Asalkan anda mempunyai unit hartanah yang bersesuaian, anda sudah boleh mulakan bisnes ini.

 

Anda boleh manfaatkan platform online travel agent seperti Airbnb, Agoda, booking.com dan sebagainya untuk mendapatkan tetamu bagi perniagaan anda.

 

Jika anda perlukan panduan yang lengkap mengenai cara untuk memulakan bisnes homestay, anda boleh muat turun panduan bisnes homestay menerusi pautan ini.

 

Exit mobile version