Blog Sabree Hussin

Pemilihan lokasi yang strategik untuk bisnes homestay

Faktor pemilihan lokasi yang strategik merupakan salah satu faktor yang akan menjadi penentu sama ada perniagaan homestay yang anda jalankan bakal mencapai kejayaan atau sekadar suam-suam kuku.

 

Saya percaya, bagi mereka yang bercadang untuk memulakan bisnes homestay ini, pasti telah mendengar dari banyak sumber, tentang pentingnya memilih lokasi strategik.

 

Boleh jadi, sewaktu anda baru membeli hartanah untuk dijadikan homestay, ejen yang menjual hartanah tersebut pernah menjual idea yang mengatakan hartanah yang anda beli ini terletak di lokasi yang strategik.

Apa kata kita renungkan sejenak, dan buat sesi brainstorming bagi mengenalpasti, sama ada lokasi yang bakal dipilih untuk dijadikan tempat bisnes itu sebenarnya betul-betul strategik ataupun tidak.

 

Saya telahpun mengenalpasti beberapa kriteria yang boleh dijadikan panduan bagi mengetahui sama ada lokasi perniagaan homestay yang sedang atau bakal dijalankan sebenarnya berada di lokasi yang strategik ataupun tidak.

 

Anda mungkin akan dapati, bukan semua ciri-ciri yang saya nyatakan dalam posting ini ada dalam sesuatu hartanah. Mungkin kalau ada sekalipun, hanya sebahagian sahaja.

 

Kenapa pemilihan lokasi yang strategik sangat penting untuk bisnes homestay?

Ada banyak sebab.

 

Tetamu yang datang menginap di kediaman milik anda yang dijadikan sebagai homestay, sebenarnya datang ke situ atas tujuan lain yang lebih penting, bukannya semata-mata sebab nak menginap di homestay milik anda.

 

Boleh jadi tetamu anda itu sebenarnya memang ada urusan dekat tempat tersebut, dan kebetulan homestay anda terpilih untuk dijadikan tempat untuk mereka menginap.

 

Tetamu ini akan pilih dulu tempat atau lokasi yang dia nak pergi, kemudian barulah akan pilih tempat penginapan yang bagaimana yang sesuai.

 

Andai kata homestay anda terletak di lokasi yang memang menjadi tumpuan pengunjung dari luar termasuk pelancong asing, ini akan membuka peluang untuk bisnes homestay yang anda jalankan sentiasa ada tetamu yang menginap.

 

Persoalannya, apakah yang membawa pengunjung dari luar datang ke sesuatu tempat? 

 

Ada beberapa perkara yang boleh diperhatikan. Antaranya

(1) Bangunan Pejabat/ Ibu Pejabat

Lokasi seperti ini biasanya akan diadakan lawatan kerja ataupun mesyuarat berkaitan dengan perniagaan ataupun projek.

 

Orang dari luar akan datang ke tempat ini untuk berjumpa dengan pengurusan tertinggi syarikat dan bermesyuarat. Jika lawatan kerja tersebut mengambil masa yang agak lama, pastinya mereka yang terlibat akan memerlukan tempat penginapan.

 

Jika bisnes homestay yang anda jalankan, sesuai untuk kategori tetamu yang datang atas urusan kerja dan perniagaan, tak mustahil kalau homestay anda akan dijadikan pilihan penginapan.

Baca juga: Adakah homestay anda sesuai untuk tetamu yang datang atas urusan kerja

 

(2) Kawasan tumpuan aktiviti pelancongan

Lokasi seperti Pulau Langkawi, Kundasang, dan Cameron Highland memang telah terkenal sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Lazimnya, tempat-tempat seperti ini akan ada ramai pengunjung terutama sekali apabila musim cuti sekolah dan lain-lain cuti umum.

 

(3) Terdapat kilang dan kawasan perindustrian

Lokasi yang terdapat kilang dan kawasan perindustrian ini juga akan menarik orang luar untuk datang ke sini untuk beberapa tujuan, yang biasanya berkait rapat dengan urusan kerja serta perniagaan.

 

Mungkin akan ada pihak pengurusan tertinggi syarikat yang datang ke kawasan tersebut bagi menjalankan kerja-kerja auditing.

 

Ataupun ada pemilik perniagaan yang ingin melihat prestasi kilang tersebut, sebelum bersetuju untuk menandatangani kontrak perjanjian untuk membuat produk tertentu di kilang tersebut.

 

(4) Kolej, universiti dan lain-lain pusat pengajian

Pelanggan tumpuan biasanya ialah dari kalangan ibu bapa yang ada anak-anak yang belajar di pusat pengajian tersebut.

 

Dalam hal ini, saya syorkan anda sentiasa ulang-ulang dalam ayat iklan anda, yang homestay anda sangat dekat atau berhampiran dengan pusat pengajian yang mana satu.

 

(5) Hospital

Kadang-kadang ada saudara mara jauh yang jatuh sakit, dan kita nak pergi melawat. Kalau cuma nak melawat satu hari, mungkin tak cukup. Jadi, perlu ada tempat menginap kalau nak jaga orang sakit dan tunggu hingga doktor beri izin untuk pesakit keluar dari hospital.

 

(6) Lapangan terbang

Tetamu yang dalam perjalanan jauh atau yang risau terlepas flight tapi memerlukan tempat untuk berehat, boleh check in dulu di tempat anda. Kalau jarak homestay anda bukannya walking distant, boleh offer servis jemput dan hantar di airport.

 

(7) Lebuhraya

Untuk mereka yang dalam perjalanan jauh dan penat memandu, bolehlah singgah sebentar berehat dan tidur di homestay milik anda.

 

(8) Dewan Orang Ramai

Sekiranya dewan ini kerap dijadikan tempat untuk diadakan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, maka ada juga kebarangkalian yang ada tetamu dari luar akan datang ke kawasan tersebut bagi memenuhi jemputan dan mereka akan perlukan tempat untuk menginap.

 

Mereka yang akan jadi tetamu anda boleh jadi terdiri daripada kalangan keluarga pengantin ataupun tetamu.

 

(9) Stadium

Stadium yang aktif mengadakan acara perlawanan ataupun konsert juga boleh menarik orang ramai untuk datang ke tempat tersebut.

 

Pengunjung yang datang dari luar, mungkin ada yang memerlukan tempat penginapan untuk berehat semalaman setelah menonton perlawanan bola sepak atau konsert.

 

Jaringan pengangkutan

Lokasi yang strategik perlu mempunyai jaringan pengangkutan yang baik. Ini secara tak langsung akan membuatkan pengunjung berasa senang untuk bergerak dan bebas untuk ke sana dan kemari.

 

(1) Jalan raya / lebuh raya

Ada homestay yang terletak dikawasan pedalaman.

 

Pemandangan disekitar memang sangat cantik. Suasana yang dingin lagi menyamankan. Di kejauhan kelihatan pemandangan gunung ganang yang sangat memukau.

Namun untuk sampai ke homestay tersebut sangat mencabar! Kenderaan biasa memang agak sukar untuk sampai ke tempat tersebut. Kalau dalam keadaan ini, anda perlu beritahu dengan jelas, bagaimana kaedah untuk sampai ke homestay anda.

 

Adakah terdapat kenderaan khas? Jika tetamu perlu membawa kenderaan sendiri, kenalah pastikan jalan untuk masuk ke homestay boleh dilalui tanpa ada risiko menyebabkan kerosakan pada kenderaan.

 

(2) Perkhidmatan Teksi/ Grab/ e-hailing

Adakah semua tempat ada perkhidmatan e-hailing? Saya rasa jawapannya bergantung kepada sama ada di tempat tersebut ada orang yang nak jadi driver e-hailing ataupun tidak. Tak mustahil, ada tempat yang tak ada perkhidmatan ini.

 

Jika di tempat anda ada perkhidmatan ini, dan mudah untuk dapatkannya, maka nyatakanlah.

 

(3) Bas

Mungkin dewasa ini dah tak ramai yang menggunakan perkhidmatan bas, tapi ia adalah satu mode pengangkutan yang baik terutama sekali kalau nak jimatkan duit.

 

Untuk satu bayaran yang minimum, anda mungkin boleh tawarkan khidmat menjemput tetamu dari stesen bas, jika perlu.

 

(4) Kereta api/ LRT/ MRT

Pengangkutan ini sangat sesuai untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Biasanya kalau kawasan bandar, memang agak sukar nak elak kawasan yang ada traffic jam.

 

Jadi pengangkutan yang lebih baik adalah menggunakan LRT ataupun MRT.

 

Perkhidmatan yang terdapat di sekitar

Perkhidmatan ataupun kemudahan yang terdapat disekitar anda, juga menjadi faktor penyumbang sama ada homestay anda boleh dikira terletak di lokasi yang strategik ataupun tidak.

 

(1) Restoran

Orang yang pergi bercuti, biasanya memang tak ada masa untuk memasak. Jadi mereka perlu cari restoran yang sesuai untuk makan.

 

Cuba senaraikan sebanyak mungkin restoran yang terdapat disekitar homestay anda. Buat dalam bentuk jadual, susun mengikut makan pagi, tengahari dan makan malam. Ini pasti akan memudahkan tetamu anda untuk buat keputusan.

 

Kalau berdekatan dengan homestay anda ada restoran yang popular dan pernah viral, ini juga satu point yang sangat baik.

 

(2) Shopping Mall

Shopping mall kalau ada panggung wayang, boleh layan midnight movie. Jadi pada waktu malam, ada hiburan untuk tetamu homestay anda.

 

(3) Kedai Runcit/ Serbaneka

Kalau tak ada shopping mall, ada kedai runcit dan serbaneka juga dah cukup baik.

 

(4) Kedai perkhidmatan dobi

Saya berpendapat, kalau homestay anda sangat dekat dengan kedai dobi, sama ada dobi layan diri ataupun dobi perkhidmatan, anda tak perlu sediakan mesin basuh dan pengering dalam homestay juga tiada masalah.

 

Keselamatan

Dalam membincangkan soal lokasi yang strategik, kita juga perlu ambil kira faktor keselamatan. Apalah gunanya lokasi yang berdekatan dengan kawasan tumpuan pelancong, banyak restoran… tapi tak aman.

 

Selalu ada insiden pengeboman, penculikkan, jenayah dan sebagainya. Maka, faktor keselamatan juga perlu diambil kira.

 

(1) Berdekatan dengan balai polis

Kalau ada balai polis berdekatan dengan homestay anda, ini juga bagus untuk diberikan penekanan, supaya bakal tetamu merasa selamat.

 

(2) Homestay dalam kawasan gated community

Jika homestay anda terletak dalam kawasan berpagar, ada sekuriti yang selalu meronda, ini juga perlu dinyatakan. Tujuannya supaya pelanggan anda merasa selamat untuk menginap di homestay milik anda.

 

Salah satu homestay yang pernah saya check in sebelum ni, di Kota Bharu terletak di kawasan yang ada pagar dan petugas keselamatan. Jadi dari segi keselamatan, saya kira ianya sangat baik.

 

Apa yang dibincangkan dalam artikel ini, adalah antara point-point yang boleh kita jadikan sebagai rujukan bagi mengetahui sama ada hartanah yang kita miliki itu sesuai ataupun tidak untuk dijadikan sebagai homestay. Kita melihat dari aspek lokasi strategik.

 

Untuk buat bisnes, sudah tentu kita perlu jalankan bisnes tersebut disebuah lokasi yang sesuai dan strategik. Dari situ kita akan dapat ramai pengunjung, dan pada masa yang sama, kita boleh tetapkan kadar sewa semalaman yang tinggi sedikit namun pengunjung tidak merungut untuk membayarnya.

Baca juga: Strategi menetapkan kadar sewa semalaman untuk homestay

 

Namun, jika rumah yang anda ingin jadikan sebagai homestay itu tidak mempunyai poin-poin yang saya sebutkan, mungkin anda patut pertimbangkan lagi idea untuk menjadikan ia sebagai sebuah homestay.

 

Terima kasih kerana membaca dan semoga ada manfaat.

 

Anda mahukan lebih banyak info tentang bisnes homestay? Apa kata anda muat turun panduan ini sekarang.

 

 

Exit mobile version