Blog Sabree Hussin

Strategi menetapkan kadar sewa yang kompetitif untuk bisnes homestay

Adakah anda menjalankan bisnes homestay?

Jika jawapan anda adalah ya, pasti anda sedar betapa pentingnya menetapkan kadar sewaan yang kompetitif bagi unit homestay anda.

 

Faktor harga merupakan salah satu perkara yang akan dijadikan penilaian oleh bakal tetamu, sebelum mereka buat keputusan untuk membuat tempahan dengan anda atau dengan pengusaha homestay lain.

 

Pada masa yang sama, harga yang anda tetapkan juga bakal memberi impak kepada keuntungan perniagaan homestay yang bakal anda jalankan.

 

Walaubagaimanapun, menetapkan suatu harga yang dapat memuaskan hati semua orang bukannya tugasan yang mudah. Terdapat banyak faktor yang perlu anda ambil kira, sebelum menetapkan suatu harga untuk kadar sewa homestay anda.

 

Antaranya adalah seperti

1. Kos atau perbelanjaan yang perlu anda keluarkan untuk menjalankan bisnes tersebut.

2. Tahap persaingan dikawasan tersebut.

3. Matlamat yang anda ingin capai menerusi harga yang ditetapkan

4. Strategi harga yang bakal anda gunakan

Perbincangan kali ini, kita akan bercerita mengenai cara untuk menetapkan kadar sewa bagi bisnes homestay.

Selain itu, saya juga akan selitkan beberapa tips yang berkaitan dengan strategi penetapan harga.

 

Tapi persoalannya, ada ke orang yang tak tahu cara yang betul untuk menetapkan kadar harga sewaan untuk homestay mereka?

Wallahu a’lam

 

Saya berpendapat, kalau orang yang dah berpengalaman dalam menjalankan bisnes ini, atau lain-lain bisnes, mereka mungkin sudah mempunyai kaedah atau strategi dalam proses penetapan harga.

 

Tapi kalau mereka yang masih agak baru, mungkin mereka ada sedikit kekeliruan dan tak tahu cara yang betul untuk menetapkan kadar sewa. Justeru, artikel ini saya hasilkan khusus untuk mereka yang kurang pengalaman.

 

Mudah-mudahan, perkongsian ini dapat memberi anda serba sedikit idea, untuk menjalankan bisnes anda dengan lebih baik.

 

(1) Kos dan perbelanjaan berkaitan

Pertama sekali, kita perlu ketahui apakah kos yang terlibat dalam menjalankan bisnes ini dan apakah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan bagi memastikan kelancaran operasi perniagaan anda.

 

Terdapat dua jenis kos yang perlu anda berikan perhatian.

1. Kos tetap

Kos tetap ini merujuk kepada kos yang tak akan berubah tanpa mengambil kira berapa lama atau berapa ramai tetamu yang akan datang menginap di homestay anda.

 

Sebagai contoh, kos tetap adalah seperti

a. Mortgage ataupun bayaran sewa (sublet) hartanah anda

b. Cukai dan insurans

c. Bajet untuk aktiviti promosi dan pengiklanan

d. Gaji pekerja

 

2. Kos berubah-ubah

Kos berubah-ubah ini pula merujuk kepada kos yang akan berubah bergantung kepada berapa ramai tetamu yang anda perolehi dan berapa lama tempoh penginapan mereka.

 

Contoh kos yang berubah-ubah adalah

a. Bil utiliti seperti elektrik, air, dan internet

b. Kos untuk penyelenggaraan dan baik pulih unit homestay dan kelengkapan

c. Barang-barang untuk kerja pembersihan

d. Makanan dan minuman untuk tetamu

 

Bagi mengetahui, berapakah kos dan perbelanjaan keseluruhan yang perlu anda tanggung untuk menjalankan bisnes ini, anda perlu tambahkan jumlah kos tetap dengan kos berubah-ubah untuk satu tempoh masa, sebagai contoh dalam tempoh sebulan atau setahun operasi perniagaan.

 

Setelah anda mengetahui berapakah kos keseluruhan dan perbelanjaan, anda boleh mengira berapakah titik pulang modal, atau break-even point.

 

Ini merupakan amaun minimum pendapatan yang anda perlu hasilkan untuk menampung kos dan perbelanjaan anda, sepanjang menjalankan bisnes ini.

 

Selepas mencapai titik pulang modal, sebarang pendapatan yang bakal anda perolehi pada peringkat seterusnya barulah akan menyumbang kepada keuntungan bisnes anda.

 

Seterusnya, kita boleh mengetahui berapakah untung kasar untuk bisnes homestay kita.

 

Untung kasar ini kita boleh kira dengan mengambil perbezaan antara pendapatan anda sehari dengan purata kos berubah anda sehari. Ini sebagai contoh sahaja ya, bagi memudahkan pengiraan.

 

Katakanlah anda mengenakan kadar sewa RM100 untuk penginapan semalaman dan purata kos berubah yang perlu anda tanggung untuk sehari adalah sebanyak RM20, maka untung kasar yang anda perolehi adalah sebanyak RM80.

 

Sekarang kita dah tahu, untung kasar adalah sebanyak RM80, dengan membuat andaian

a. Kadar sewa yang anda tetapkan adalah RM100 semalaman

b. Kos berubah anda ialah RM20 untuk semalaman

 

Bagi mengetahui berapakah untung bersih, anda perlu kira berapa malam yang homestay anda mendapat tempahan kemudian tolak dengan kos tetap yang perlu anda bayar.

 

Macam tadi, kita dah senaraikan, kos tetap adalah merangkumi kos-kos seperti

a. Mortgage atau gadai janji

b. Cukai & insurans

c. Gaji pekerja (jika ada)

d. Bajet untuk kerja-kerja marketing (jika ada)

Titik pulang modal atau break-even point ini memberitahu kita berapa banyak tempahan bilangan malam yang kita perlu dapatkan untuk menampung kos dan perbelanjaan berkaitan dengan perniagaan homestay ini.

 

Sebagai contoh, jika kos tetap yang perlu anda tanggung adalah sebanyak RM4,000 sebulan, dan untung kasar anda adalah RM80 sehari, maka titik break-even anda adalah 50 hari sebulan.

 

Pengiraannya ialah kos tetap bahagi dengan untung kasar sehari.

RM4,000 / RM80 = 50 hari.

 

Nampak tak, apa masalahnya dengan pengiraan ini?

 

Kalau anda nampak, bagus. Kalau tak nampak, biar saya ceritakan apa yang jadi masalah dalam situasi ini.

 

Dalam sebulan hanya ada 30 hari.

Macam mana nak dapatkan tempahan sebanyak 50 hari dalam sebulan, kalau dalam sebulan hanya ada 30 hari?

 

Jawapannya adalah ianya sangat mustahil.

Lagi satu yang anda perlu tahu ialah, tempahan 50 hari itu hanya untuk capai titik break-even sahaja. Bukannya untuk buat untung.

 

Bila kita buat bisnes, sudah tentu kita ingin buat keuntungan. Betul tak?

Apalah ertinya buat bisnes, kalau hanya break-even atau dalam diam rupanya rugi!

 

Kalau situasi break-even, bisnes anda masih boleh berjalan dengan sendirinya, walaupun tak ada sebarang untung dihasilkan. Sekurang-kurangnya anda tak perlu cari duit dari sumber lain untuk menampung perbelanjaan bagi perniagaan anda.

 

Tetapi bagaimana situasinya, kalau anda beroperasi dalam keadaan menanggung rugi dari bulan ke bulan?

Sudah tentu lama-kelamaan anda akan terbeban dari segi kewangan.

 

Kalau dalam situasi ini, mungkin kita boleh katakan kadar sewa RM100 semalaman adalah tak munasabah, dan anda akan beroperasi dalam keadaan menanggung rugi.

 

Mungkin anda ingin tawarkan harga ini, sebab anda ingin dapatkan seberapa banyak tempahan yang boleh dengan tujuan untuk mengumpul review dan feedback positif dari tetamu.

 

Setelah anda mendapat banyak review positif, barulah anda naikkan kepada satu jumlah yang lebih munasabah.

 

Bagaimana situasinya, kalau anda naikkan kadar sewa kepada RM200. Maklumat berikut masih sama, iaitu

a. Kos berubah ialah RM20

b. Kos tetap ialah RM4,000 sebulan

c. Untung kasar ialah RM180

 

Pengiraan untuk titik break-even,

RM4,000 / RM180 = 22.22 ~ 23 malam

 

Kali ini, untuk mencapai nilai break-even, anda hanya perlu dapatkan tempahan sebanyak 23 malam sekurang-kurangnya dalam sebulan. Ini lebih masuk akal, berbanding perlu dapatkan 50 malam dalam sebulan.

 

Cuba buat kira-kira anda sendiri.

Mungkin anda perlu pertimbangkan untuk letakkan kadar sewa yang lebih tinggi, misalnya RM200, RM220, RM250, RM270 atau mungkin RM300.

 

Boleh jadi juga, dalam situasi anda, kos tetap yang perlu anda tanggung sebenarnya adalah lebih rendah. Mungkin sekitar RM2,000 – RM3,000 sahaja.

 

Bolehkah tetapkan satu kadar sewa yang tinggi, untuk homestay anda?

Jawapannya sudah tentu boleh.

 

Sama ada tetamu akan datang menyewa ataupun tidak, itu merupakan persoalan yang berbeza.

Kita akan bincangkan strategi menetapkan harga yang tinggi nanti, dibawah topik harga berdasarkan nilai (value) yang bakal diperolehi oleh tetamu.

 

Jadi, sila teruskan pembacaan ya.

 

(2) Kajian terhadap pasaran dan tahap persaingan

Langkah kedua yang anda boleh lakukan dalam strategi untuk menetapkan harga untuk homestay anda adalah dengan menyelidik harga pasaran dan tahap persaingan yang ada dikawasan anda.

 

Anda boleh menggunakan platform Online Travel Agency (OTA) sama ada Airbnb, Booking.com, Homestay.com, TripAdvisor ataupun Agoda untuk mengetahui berapakah kadar yang ditetapkan untuk satu malam.

 

Kita ambil contoh, kalau anda menjalankan bisnes homestay di Langkawi dan kajian dilakukan menggunakan platform Airbnb.

Kita boleh lihat, terdapat lebih 1,000 tempat penginapan yang boleh ditempah.

 

Cuba bandingkan dengan kadar yang anda tetapkan.

 

Dengan mengambil langkah ini, anda boleh mengetahui perkara seperti

 

a. Harga purata untuk homestay dikawasan anda.

Harga yang anda tetapkan, tak boleh terlalu banyak berbeza berbanding harga purata dikawasan anda beroperasi. Jika harga anda terlalu mahal, hanya kategori tetamu tertentu sahaja yang akan memilih untuk menginap di homestay anda.

 

Selain itu, mungkin akan berlaku keadaan dimana homestay anda akan dijadikan pilihan terakhir.

 

b. Permintaan dan tawaran perkhidmatan yang sama dikawasan anda

Dalam apa-apa jenis perniagaan, faktor tawaran dan permintaan sangat memainkan peranan yang penting terhadap kejayaan perniagaan tersebut.

 

Jika permintaan sangat banyak, tetapi tawaran adalah kurang, anda ada peluang untuk buat untung yang besar.

 

Sebaliknya, kalau kawasan tersebut kurang permintaan untuk homestay, dan ada banyak pengusaha bisnes homestay disekitarnya, ini akan menyebabkan bisnes anda sukar berkembang dan menjana keuntungan.

 

c. Kelebihan dan kekurangan pesaing anda

Anda juga perlu memantau dan menyelidik, apakah kelainanan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh homestay lain yang ada disekitar anda.

 

d. Tawaran menarik dan ciri unik (Unique Selling Proposition atau USP)  yang ada pada homestay anda

Apa yang membuatkan tawaran anda lebih menarik dan homestay anda lebih unik berbanding milik pengusaha lain?

 

Boleh jadi, ianya disebabkan oleh lokasi, reka bentuk, konsep, kualiti perkhidmatan, tema, aktiviti, pemandangan yang menarik dan apa sahaja perkara yang boleh menambah nilai kepada pengalaman penginapan tetamu anda.

 

Dengan mengenalpasti kelebihan, kekuatan, dan ciri menarik yang ada pada homestay anda, anda boleh membezakan diri anda daripada pesaing anda dan seterusnya dapat menarik lebih banyak tetamu yang mencari apa yang anda tawarkan.

Sebagai contoh, jika hartanah anda terletak berhampiran dengan tarikan popular, mempunyai pemandangan yang menakjubkan, berdekatan dengan kemudahan, ini juga boleh dianggap sebagai suatu ciri yang unik.

 

(3) Tentukan Sasaran Audiens Anda

Langkah ketiga dalam menetapkan harga untuk homestay anda adalah dengan menentukan siapakah sasaran audiens anda. Dalam langkah ini, kita akan mengenalpasti serta menentukan profil tetamu yang ideal untuk hartanah anda.

 

Sasaran audiens anda adalah kumpulan orang yang mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk menempah penginapan anda. Biasanya keputusan untuk membuat tempahan adalah berdasarkan kepada faktor demografi, prioriti dan juga bajet mereka.

Sebagai contoh, jika anda menjalankan bisnes homestay dengan suasana atau vibe mewah, dan dilengkapi dengan kelengkapan seperti kolam renang dan jacuzzi, sasaran audiens anda mungkin pasangan yang mencari suasana percutian romantik.

 

Jika anda mensasarkan kategori tetamu yang mengutamakan penjimatan dalam tempoh percutian, maka anda akan sediakan kelengkapan yang lengkap tapi tidak terlalu mewah. Apa yang penting, kemudahan asas yang diperlukan boleh disediakan untuk keselesaan tetamu anda.

 

Ataupun anda mensasarkan kategori tetamu yang bakal menggunakan homestay anda sebagai tempat untuk bekerja. Maka anda perlu menyediakan segala kelengkapan yang bersesuaian untuk membantu mereka melakukan kerja-kerja dengan lancar.

Baca juga: Adakah homestay anda sesuai untuk kategori tetamu yang datang atas urusan kerja

 

Bagi menentukan, siapakah golongan yang anda perlu sasarkan, anda perlu mempertimbangkan perkara seperti

a. Apakah latar belakang tetamu anda?

b. Apa yang mereka mahukan?

c. Tahap kemampuan atau pendapatan mereka

d. Bila mereka akan menginap

e. Kaedah yang mereka bakal gunakan untuk membuat tempahan

 

Dengan menentukan sasaran audiens anda, anda boleh menyesuaikan strategi harga anda untuk memenuhi jangkaan mereka. Anda juga boleh mencipta kempen pemasaran yang menarik minat keperluan dan kehendak mereka.

 

Kalau ada tetamu yang bukan dalam kelompok audiens yang disasarkan, yang merasakan kadar sewa anda terlalu mahal, ia juga tak menjadi satu masalah, kerana anda sudah mempunyai target audiens yang jelas.

 

(4) Tetapkan objektif harga yang jelas

Sebenarnya konsep ini lebih kurang sama macam kita buat jualan. Sebelum kita nak menyusun sebarang strategi, kita perlu tetapkan objektif yang jelas terlebih dahulu.

 

Kalau dalam konteks bisnes homestay ini, anda menentukan apa objektif yang anda mahu capai dan dari semasa ke semasa, anda akan membuat sedikit perubahan kepada harga yang anda tetapkan.

 

Semua ini bertujuan untuk mencapai objektif yang anda telah tetapkan.

 

Objektif ini boleh jadi dalam bentuk seperti

 

a. Jumlah tempahan yang anda ingin sasarkan

Sebagai contoh, anda mensasarkan untuk dapatkan tempahan 24 malam dalam sebulan. Jadi anda perlu tetapkan satu harga yang boleh membantu anda mencapai matlamat tersebut.

 

“Saya mahu mencapai kadar penginapan 80% sepanjang tahun.”

 

b. Jumlah pendapatan yang anda ingin sasarkan

Berapa banyak jumlah pendapatan yang anda inginkan dalam satu masa.

 

“Saya mahu meningkatkan pendapatan saya sebanyak 10% berbanding tahun lepas.”

 

c. Keuntungan yang anda ingin capai

Ini merujuk kepada berapa keuntungan yang anda ingin hasilkan. Kita cari perbezaan antara pendapatan dengan kos anda.

 

“Saya mahu mengekalkan margin keuntungan 30% selepas menampung semua kos saya.”

 

d. Tahap kepuasan tetamu

Apa yang tetamu anda rasakan setelah menginap di homestay milik anda. Kalau dalam konteks harga, tetamu perlu merasakan bahawa harga yang dibayar sangat-sangat berbaloi dengan perkhidmatan dan pengalaman penginapan yang diperolehi.

 

“Saya mahu menerima purata penilaian 4.5 daripada 5 bintang dari tetamu saya.”

 

Dengan menetapkan matlamat dan objektif yang jelas, anda boleh menilai sama ada strategi harga yang anda gunakan berupaya untuk memberikan pendapatan yang anda sasarkan atau sebaliknya.

 

Jika kurang berkesan, anda boleh membuat apa-apa perubahan yang dirasakan perlu.

 

(5) Gunakan strategi harga yang bersesuaian

Langkah kelima dalam menetapkan harga yang kompetitif adalah dengan menetapkan strategi tertentu dalam penetapan harga. Jangan risau, sebabnya kita akan bincangkan beberapa strategi menetapkan harga yang anda boleh praktikkan dalam perniagaan homestay anda.

 

Sebenarnya terdapat beberapa strategi yang anda boleh gunakan dalam menetapkan kadar sewa bagi homestay anda. Macam sebelum ini, saya ada sebutkan satu kaedah iaitu pilih harga yang boleh menampung kos dan perbelanjaan yang anda perlu lakukan untuk menjalankan bisnes ini dengan lancar.

 

Kali ini kita akan cuba menerokai lain-lain kaedah yang boleh digunakan.

 

1. Harga berdasarkan nilai (value) homestay anda

Dalam konteks ini, anda akan menetapkan harga berdasarkan kepada suatu nilai yang tetamu akan perolehi apabila dia memilih untuk menginap dihomestay milik anda.

 

Untuk memastikan strategi harga ini berjaya, anda perlu pastikan tetamu dapat melihat bahawa homestay anda mempunyai satu nilai yang sangat berharga, dan ianya tak akan dapat diperolehi di tempat lain.

 

Kadar sewa yang anda tetapkan, mungkin berkali ganda lebih tinggi berbanding kos dan perbelanjaan yang perlu anda tanggung.

 

Ini kelebihan yang bakal anda perolehi apabila anda menetapkan suatu harga berasaskan nilai. Strategi harga ini membolehkan anda untuk mengenakan harga yang lebih tinggi daripada pesaing anda, dengan syarat anda mampu menunjukkan bahawa unit homestay anda menawarkan lebih banyak manfaat, ciri, kemudahan dan menawarkan suasana dan pengalaman penginapan yang unik.

 

Mungkin anda pernah merasai pengalaman sedemikian.

 

Anda menginap dihomestay yang lebih mahal harganya berbanding lain-lain homestay yang ada disekitarnya, namun instead of anda merasakan ianya satu penindasan dari segi harga, sebaliknya anda merasakan ia adalah satu perbelanjaan yang sangat berbaloi.

 

Untuk menggunakan strategi harga berasaskan nilai, anda perlu mempertimbangkan beberapa faktor seperti

a. Lokasi anda

Adakah homestay anda terletak di lokasi yang strategik?

Baca juga: Pemilihan lokasi yang strategik untuk bisnes homestay anda

 

Adakah berdekatan dengan homestay anda ada pemandangan yang menarik?

 

Adakah homestay anda berdekatan dengan tempat tarikan pelancong dan tempat percutian.

 

b. Kemudahan yang boleh digunakan oleh tetamu

Tetamu homestay anda mungkin boleh gunakan kemudahan seperti kolam renang, gymnasium, bilik rekreasi, library dan sebagainya.

Kalau tetamu boleh menikmati semua kemudahan ini, maka ini boleh menaikkan nilai homestay anda berbanding unit homestay lain yang ada disekitarnya.

 

Semakin tinggi nilai homestay anda, semakin tinggi kadar sewa yang anda boleh tetapkan.

 

c. Kelengkapan dalam rumah yang anda sediakan

Anda mungkin menyediakan kelengkapan seperti mesin basuh, mesin pengering pakaian, alat pemanas air, peralatan memasak yang lengkap, kemudahan sambungan internet berkelajuan tinggi, tv android, dan sebagainya.

 

d. Pakej aktiviti yang anda tawarkan

Ataupun boleh jadi, anda juga menyediakan tawaran tambahan misalnya seperti untuk setiap tempahan, anda akan berikan hadiah tiket masuk ke taman tema air, zoo, muzium atau apa-apa tempat menarik yang memerlukan bayaran tiket.

 

2. Harga Berasaskan Pesaing

Strategi harga ini berdasarkan kepada harga yang ditawarkan oleh pesaing yang turut beroperasi disekitar anda sebagai penanda aras. Dalam strategi ini, anda menetapkan satu harga yang sama atau mungkin sedikit lebih rendah berbanding harga yang ditetapkan oleh pemilik homestay lain.

 

Anda akan menyesuaikan harga berdasarkan kepada ciri-ciri unik hartanah anda dan kelebihannya.

 

Strategi ini berpotensi untuk menarik lebih banyak tetamu yang sensitif terhadap harga atau yang gemar membandingkan pelbagai pilihan harga sebelum membuat tempahan.

 

Memang ada tetamu yang membuat keputusan berdasarkan harga paling murah yang boleh diperolehi. Kalau anda ingin mensasarkan kategori tetamu seperti ini, maka anda perlu juga bersaing dari segi harga.

 

Secara tak langsung, strategi ini dapat membantu anda untuk kekal relevan dalam perniagaan ini dan kompetitif di pasaran.

 

Untuk menggunakan strategi harga berasaskan harga yang ditawarkan oleh pesaing, anda perlu mempertimbangkan faktor-faktor seperti

a. Kualiti perkhidmatan anda

Perkhidmatan yang anda tawarkan mestilah setara atau lebih baik berbanding pesaing anda.

 

b. Kelengkapan yang anda sediakan

Kelengkapan yang anda sediakan dalam rumah untuk kegunaan tetamu juga perlulah sama baik dengan pesaing anda. Jika kebanyakkan homestay menyediakan sambungan wifi, anda juga perlu menyediakan kemudahan yang sama, barulah wajar untuk mengikut harga pesaing anda.

 

c. Reputasi anda

Anda perlu mempunyai inisiatif untuk mengumpul review dan feedback dari tetamu terdahulu. Bina reputasi yang baik, barulah tetamu jadi lebih yakin untuk menempah homestay anda.

 

d. Kos dan perbelanjaan anda

Sudah tentu, kita tak boleh nak terus tiru bulat-bulat harga yang ditawarkan oleh pengusaha homestay yang menjadi pesaing anda. Anda juga perlu mengambil kira kos-kos dan perbelanjaan berkaitan.

 

3. Harga Dinamik

Konsep harga dinamik ini sama seperti konsep smart pricing yang diamalkan oleh platform Online Travel Agency (OTA).

 

Kalau anda perasan, harga yang dipaparkan di platform OTA selalu berubah-ubah, setiap kali kita membuat perbandingan atau semakan harga.

 

Adakah pemilik homeestay membuat perubahan harga secara manual, atau ianya berlaku secara automatik?

Jawapannya sudah tentu ianya berlaku secara automatik.

 

Harga dinamik ini biasanya lebih sesuai digunakan sekiranya anda menggunakan platform online travel agency (OTA) seperti Airbnb atau Agoda bagi tujuan mendapatkan tetamu yang bakal menginap.

Baca juga: Kelebihan platform Online Travel Agent untuk pengguna dan pemilik bisnes Homestay

 

Penggunaan harga dinamik ini membolehkan anda memaksimumkan pendapatan anda dengan cara mengenakan harga yang lebih tinggi apabila permintaan terhadap homestay dikawasan anda tinggi, dan harga akan berubah menjadi lebih rendah apabila permintaan turut rendah.

 

Strategi ini dapat membantu untuk memastikan homestay anda akan sentiasa ada penghuninya, tanpa mengira musim. Sama ada musim yang ada tinggi permintaan ataupun rendah.

 

(6) Tawarkan pilihan harga yang fleksibel

Langkah keenam dalam menetapkan harga untuk homestay anda adalah dengan menawarkan pilihan harga yang fleksibel. Ini bermaksud menyediakan kadar atau pakej yang berbeza berdasarkan keperluan atau keutamaan tetamu.

 

Menawarkan pilihan harga yang fleksibel membolehkan anda memberi perkhidmatan kepada pelbagai segmen sasaran audiens anda dan meningkatkan potensi pendapatan anda.

 

Beberapa pilihan harga yang fleksibel yang boleh anda tawarkan adalah

1. Harga berperingkat

Anda mengenakan kadar berbeza berdasarkan jumlah bilik yang bakal digunakan oleh tetamu. Sebagai contoh, homestay anda mempunyai 3 buah bilik. Jika tetamu hanya akan menggunakan masterbedroom sahaja, bilik selebihnya akan dikunci dan tetamu hanya perlu bayar kos penginapan dan penggunaan masterbedroom sahaja.

 

2. Harga Diskaun

Anda menawarkan kadar yang lebih rendah untuk penginapan yang lebih lama, terutama sekali ketika bukan musim puncak (peak season). Sebagai contoh, anda menawarkan diskaun sebanyak 10% untuk penginapan 5 malam atau lebih.

 

Ataupun anda tawarkan diskaun sebanyak 50% untuk malam yang ketiga, jika tetamu berhasrat untuk menambah bilangan malam menginap. Itupun bergantung kepada kekosongan slot penginapan.

 

3. Tawaran Pakej Percutian

Anda bekerjasama dengan tempat tarikan tertentu untuk menyediakan perkhidmatan merangkumi lawatan ke tempat menarik atau tiket masuk ke tempat-tempat seperti Zoo, Taman Tema Air, Muzium dan sebagainya.

 

Sekiranya anda ingin menawarkan harga fleksibel seperti ini, lazimnya anda perlu membuka dan menerima tempahan secara manual. Ini bermakna, tetamu perlu menghubungi anda secara terus, sama ada menerusi panggilan telefon ataupun whatsapp.

 

(7) Pantau dan Analisis Prestasi

Langkah ketujuh dan terakhir dalam strategi penetapan harga untuk homestay anda adalah dengan memantau dan menganalisis prestasi anda.

 

Ini bermaksud anda perlu menyemak keberkesanan strategi harga yang anda gunakan secara berkala dan membuat penyesuaian jika perlu.

 

Memantau dan menganalisis prestasi anda membolehkan anda mengukur sama ada anda mencapai objektif harga anda dan mencapai matlamat perniagaan anda. Ia juga membantu anda mengenal pasti mana-mana bahagian yang perlukan penambahbaikkan.

 

Beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk memantau dan menganalisis prestasi anda adalah

 

1. Kumpulkan maklum balas tetamu

Anda meminta tetamu anda memberikan tahap penilaian kepuasan mereka apabila menginap dihomestay anda dengan kadar harga yang anda tetapkan.

 

Anda boleh menggunakan platform dalam talian, tinjauan, atau ulasan untuk mengumpulkan maklum balas. Anda juga boleh meminta cadangan atau syor tentang cara meningkatkan strategi harga anda.

 

2. Gunakan analitik data

Sekiranya anda menggunakan perisian atau platform tertentu, untuk menjalankan bisnes homestay ini, besar kemungkinan anda mempunyai akses untuk menganalisis data-data berkaitan dengan perniagaan anda.

 

Anda boleh melihat berapa banyak trafik, conversion rate, sumber trafik, senarai keyword yang tetamu gunakan dan pelbagai lagi maklumat. Semua maklumat ini berguna untuk anda menilai prestasi harga anda.

 

3. Memantau tindak-tanduk pengusaha homestay lain

Anda membandingkan strategi dan prestasi harga anda dengan hartanah yang serupa di kawasan anda. Anda boleh menggunakan platform Online Travel Agent, untuk mengetahui berapa harga yang pesaing anda tawarkan untuk perkhidmatan yang serupa.

 

Anda juga boleh cuba menginap di homestay milik pengusaha homestay lain, bagi melihat dengan lebih dekat, apakah kelainan yang ada pada mereka.

 

Dengan membuat aktiviti memantau dan menganalisi prestasi bisnes anda, anda boleh membuat keputusan yang lebih baik terutama sekali yang melibatkan kepada harga dan mengoptimumkan keuntungan serta kejayaan anda.

 

Kesimpulan

Adakah anda masih keliru untuk menetapkan harga yang sesuai untuk menyewa homestay anda? Saya harap dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat memberi anda idea dalam menetapkan harga.

 

Menetapkan harga yang kompetitif untuk homestay anda adalah satu tugas yang penting dan mencabar. Anda perlu mempertimbangkan pelbagai faktor seperti kos dan perbelanjaan anda, pasaran dan persaingan, sasaran audiens anda, objektif harga anda, dan strategi harga yang sesuai dengan perniagaan anda.

 

Dalam artikel ini, kita telah menyenaraikan beberapa strategi untuk menetapkan harga yang kompetitif untuk homestay anda.

 

Kalau ada mana-mana info yang dikongsikan dalam artikel ini berguna untuk anda, sila manfaatkan.

 

Saya juga mengalu-alukan perkongsian pendapatan atau pandangan jika ada.

Boleh kongsikan dibahagian komen ya.

 

 

Exit mobile version