Blog Sabree Hussin

Adakah homestay anda sesuai untuk tetamu yang datang atas urusan kerja?

Melalui laman web Airbnb, kita boleh belajar macam-macam perkara dan strategi untuk jadi pengusaha bisnes homestay yang berjaya.

 

Sekitar tahun 2018, Airbnb memperkenalkan konsep homestay yang sesuai untuk urusan kerja. Mereka menggunakan istilah “for work” atau “work friendly” untuk mana-mana homestay yang tersenarai diplatform mereka, yang menepati kriteria yang diperlukan. Namun demikian, bukan semua homestay atau guesthouse yang tersenarai di Airbnb sesuai dan layak dikelaskan sebagai work friendly.

 

Walaubagaimanapun, saya dapati program guesthouse yang “work friendly” sudah tak kelihatan. Sebaliknya, Airbnb telah menggantikannya dengan program baru yang dikenali Airbnb For Work.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperolehi dilaman web https://www.airbnbforwork.com/

 

Konsep “for work” ataupun “work friendly” listing (untuk kerja) pada saya ia merupakan satu konsep yang cukup menarik. Saya percaya, bukan semua pengendali bisnes homestay peka terhadap keperluan tetamu yang datang menginap di homestay atas urusan kerja.

 

Lazimnya, kalau bercakap tentang tetamu yang menginap di homestay, mereka ini datang atas urusan seperti

i. Ada majlis kahwin

ii. Hantar anak masuk asrama atau universiti

iii. Hari perayaan dan ada yang perlu homestay sebab rumah keluarga tak cukup luas

iv. Bercuti jika berdekatan dengan tempat tarikan pelancong

 

Untuk segmen pelanggan yang perlu travel atas urusan kerja, biasanya kurang diberi perhatian.

Saya faham, kenapa segmen pelanggan dalam kategori ini kurang mendapat perhatian.

 

Boleh jadi sebab bilangan mereka ini tak begitu ramai, dan jika mereka perlu travel ke sesuatu destinasi, mereka ini lebih cenderung untuk memilih menginap di hotel berbanding homestay.

 

Tetapi, pernah tak anda terfikir, kenapa mereka memilih hotel dan bukannya homestay? Adakah hotel ada kelebihan yang tak terdapat pada tempat penginapan jenis homestay?

 

Bagaimana kalau selepas ini anda sediakan kemudahan yang sama atau yang lebih baik berbanding yang disediakan oleh pihak hotel. Adakah pada masa tersebut, homestay anda akan mula mendapat perhatian golongan individu yang perlu travel atas urusan kerja?

 

Baik, jom kita bincangkan.

 

Untuk pengetahuan anda, bukan semua homestay atau guesthouse yang tersenarai di laman web airbnb akan mempunyai title work friendly.

 

Rupa-rupanya ada beberapa syarat yang perlu anda penuhi sebelum homestay milik anda itu nanti layak untuk diklasifikasikan sebagai work friendly apabila dibuat penyenaraian melalui laman web Airbnb.

Untuk versi rasmi dari pihak airbnb sendiri, anda boleh baca menerusi pautan ini.

Alternatively, anda boleh dapatkan maklumat di https://www.airbnbforwork.com/

 

Sebelum homestay milik anda layak untuk mendapat title ini, ada beberapa kriteria yang perlu dicapai terlebih dahulu. Ini adalah antara perkara yang anda perlu capai.

 

(1) Ruang penginapan

Menurut maklumat yang diberikan oleh pihak Airbnb

“Jenis kediaman yang layak adalah seperti berikut: rumah, pangsapuri, banglo, kabin, chalet, rumah bandar, vila, rumah tumpangan, loteng, kondominium, hotel, atau inap sarapan.

 

Melalui platform Airbnb, pengguna boleh buat tempahan pelbagai lagi jenis tempat penginapan. Ada antaranya yang memang unik dan mungkin tak terdapat di Malaysia.

 

Sebagai contoh, di airbnb ada tempat penginapan dari jenis tree house, boat house, farm house, castle, camping site dan sebagainya. Ruang kediaman ini tidak begitu sesuai untuk masuk dalam kelompok untuk kerja. Jadi pihak airbnb telah mengeluarkan senarai kediaman seperti ini yang kurang mesra untuk tetamu yang datang menginap bagi tujuan kerja.

 

Jika rumah jenis apartment, kondo, teres, banglo dan sebagainya ia lebih sesuai untuk tetamu yang datang atas urusan kerja. Lazimnya kediaman seperti ini mempunyai ruang yang lebih luas untuk memudahkan tetamu melakukan kerja ditempat tersebut.

 

(2) Kemudahan yang disediakan

Kriteria kedua yang perlu diberikan perhatian adalah mengenai kemudahan yang disediakan untuk tetamu.

 

Perkara-perkara berikut adalah antara yang anda perlu sediakan.

1. Keperluan asas dan penting

Termasuk tisu tandas, tuala bersih, sabun, bantal, selimut, comforter dan sebagainya.

 

2. Sistem daftar masuk sendiri (self check in)

Homestay anda perlu mempunyai sistem yang membolehkan tetamu untuk check in pada bila-bila masa mengikut kesesuaian masanya tanpa perlu menunggu tuan rumah. Kalau anda kata masa untuk daftar masuk bermula jam 3.00 petang, bermakna tetamu ini boleh masuk sendiri tanpa perlu hubungi tuan rumah.

 

Anda boleh menggunakan kotak kunci, papan kekunci, smartlock, atau dengan mendapatkan kunci atau akses daripada penjaga pintu atau atendan meja.

 

Pada hari ini, kebanyakkan homestay akan menyediakan kotak kunci bernombor seperti dibawah ini. Tuan rumah hanya perlu whatsapp kod password untuk membuka kotak kunci ini bagi tujuan mendapatkan kunci rumah.

Harga Key Lock Box seperti diatas pun tak begitu mahal.

Boleh buat perbandingan harga disini.

 

Sistem self check in ini bukan sahaja akan memudahkan tetamu untuk check in dan check out, malah ia juga akan memudahkan anda selaku tuan rumah.

 

3. Wifi

Sesetengah individu yang travel atas tujuan kerja, pasti memerlukan sambungan internet berkelajuan tinggi untuk memudahkan mereka bekerja dimana-mana sahaja.

 

Sambungan internet yang bagus bukan setakat untuk memberikan kepuasan dalam menonton saluran streaming video berbayar, pada masa yang sama ia sangat membantu untuk membuat kerja-kerja pejabat.

Kadang-kadang ada tetamu yang memang berniat untuk pergi bercuti. Tetapi kalau ada urusan penting yang datang dengan tiba-tiba, mempunyai wifi di guesthouse sangat membantu dia menyelesaikan urusan tersebut.

 

4. TV

Televisyen merupakan kemudahan yang perlu ada dalam kediaman. Ini mungkin sebab orang yang travel untuk kerja, akan luangkan masa yang lebih panjang dalam rumah. Dengan adanya televisyen, jadi dia dapat sentiasa ikuti berita di tv dan dapat kurangkan rasa bosan ketika berada dalam rumah.

 

Jika anda menyediakan internet berkelajuan tinggi, saya syorkan anda sediakan juga televisyen jenis Android TV.

Antara Android TV dengan Smart TV, mana satu yang lebih baik?

Saya lebih syorkan anda gunakan android TV.

 

5. Ruang kerja mesra laptop

Ada meja yang sesuai untuk letak laptop.

Dekat Ikea ada jual meja kerja dari pelbagai design. Ada yang murah dan ada juga yang agak mahal.

 

Kerusi yang digunakan juga perlu bersesuaian untuk digunakan bagi tempoh yang agak lama, terutama semasa melakukan kerja. Saya syorkan anda dapatkan kerusi yang biasa digunakan untuk kegunaan pejabat atau mungkin kerusi untuk bermain games (gaming chair).

Kerusi gaming atau kerusi pejabat mempunyai struktur dan rekabentuk yang baik untuk memberi keselesaan kepada pengguna untuk duduk dan buat kerja bagi tempoh yang agak lama.

Survey harga kerusi gaming disini.

 

Selain itu kena pastikan berdekatan dengan meja terdapat power point untuk mengecas laptop. Jika perlu, sediakan juga extension cord untuk memudahkan tetamu anda menggunakan beberapa peralatan elektrik dalam masa yang sama.

 

6. Seterika

Ini untuk memastikan pakaian yang dibawa oleh tetamu sentiasa kelihatan rapi. Ada juga guesthouse yang mungkin pemiliknya terlupa nak sediakan seterika, ataupun hanya akan sediakan seterika jika diminta.

 

7. Pengering rambut

Orang yang travel atas urusan kerja mempunyai jadual yang ketat. Menyediakan pengering rambut dapat menjimatkan masa tetamu itu tadi untuk bersiap.

 

8. Penggantung baju (hanger)

Hanger ini nampak remeh, tapi percayalah ianya sangat penting bagi memastikan pakaian yang dibawa tidak cepat kedut. Kalau dapat sediakan dalam jumlah yang banyak lagi bagus.

 

9. Mesin basuh dan pengering baju

Ini juga merupakan peralatan yang penting untuk tetamu anda. Jika mereka perlu menginap untuk tempoh yang agak panjang, mereka pasti perlu membasuh pakaian.

 

Jika mereka perlu pergi ke dobi, ia mungkin akan memakan masa yang agak lama. Adalah lebih baik kalau mereka boleh mencuci sendiri pakaian di homestay anda.

Ataupun, mungkin anda sendiri akan menyediakan perkhidmatan dobi, khas untuk tetamu anda. Ini juga dapat dijadikan strategi untuk menarik minat mereka untuk check in di homestay anda.

 

(3) Ulasan dan maklum balas dari tetamu sebelumnya

“Penyenaraian mesti mengekalkan penarafan keseluruhan 4.8 atau lebih tinggi sepanjang 365 hari sebelum ini, dengan 5 atau lebih ulasan.”

 

Untuk homestay yang baru nak disenaraikan di laman web airbnb, memang tidak akan dapat title for work ini. Homestay anda mestilah pernah menerima tetamu sekurang-kurangnya 5 orang sebelum ini dan mereka ini mesti pernah meninggalkan review tentang homestay anda.

 

Anda juga perlu memastikan yang anda sering memberi respons terhadap sebarang pertanyaan yang diajukan oleh bakal pelanggan melalui platform Airbnb. Perkara ini perlu jika anda memang bergantung sepenuhnya kepada platform Airbnb.

 

Tapi sebenarnya, apabila menjalankan bisnes homestay, anda tak semestinya hanya perlu bergantung kepada platform Airbnb semata-mata bagi tujuan mendapatkan pelanggan.

 

Tahukah anda, selain Airbnb, terdapat banyak lagi platform yang anda boleh gunakan untuk mendapatkan tetamu. Saya juga pernah menulis tentang beberapa website yang sesuai untuk anda gunakan bagi tujuan mendapatkan tetamu untuk menginap di homestay anda.

Baca: Senarai website sesuai digunakan untuk mengiklankan bisnes homestay

 

(4) Peraturan untuk membatalkan tempahan

Anda perlu menetapkan peraturan untuk membatalkan tempahan kepada fleksibel atau sederhana. Apabila mensasarkan tetamu yang datang menginap atas urusan kerja, anda perlu siap sedia dengan kemungkinan yang mereka mungkin akan batalkan perjalanan tersebut.

Mungkin disaat-saat akhir, ada urusan lain yang lebih penting, ataupun mungkin mesyuarat yang dijadualkan berlangsung telahpun dibatalkan. Justeru, dah tak ada sebab untuk dia teruskan perjalanan dan penginapan di tempat anda.

 

Ya, ini merupakan satu risiko yang perlu anda tanggung sekiranya mensasarkan segmen pasaran tetamu yang menginap atas tujuan kerja.

 

Apa kelebihan mensasarkan segmen tetamu yang menginap atas urusan kerja?

Sebelum ini kita telahpun bincangkan beberapa persediaan yang perlu anda lakukan bagi tujuan menarik segmen pelanggan yang datang menginap atas urusan kerja.

 

Pada asasnya, anda perlu sediakan kelengkapan dan kemudahan yang sama atau lebih baik berbanding yang dapat disediakan oleh hotel. Apabila anda mampu menyediakan khidmat yang lebih baik dan berkualiti, maka tak mustahil homestay anda akan dijadikan pilihan tetamu yang berkunjung ke sesebuah destinasi atas urusan kerja atau perniagaan.

 

Saya maklum, topik ini mungkin tak begitu relevan dengan konsep perniagaan homestay yang anda jalankan. Jika anda merasakan ianya kurang praktikal untuk perniagaan anda, boleh skip sahaja topik ini.

 

Anggaplah saya sedang bercerita kepada pengendali dan pengusaha bisnes homestay yang boleh menepati kriteria homestay work friendly semata-mata.

 

Kali ini saya ingin bercerita tentang soal kelebihan pula.

 

(1) Mereka ada bajet yang besar untuk penginapan

Individu yang perlu travel atas urusan kerja biasanya mempunyai bajet yang agak besar dan bersesuaian dengan jawatan yang disandang. Biasanya mereka bukannya bayar menggunakan duit sendiri, sebaliknya menggunakan peruntukkan yang disediakan oleh syarikat.

 

Jika homestay anda mampu memberikan suasana dan persekitaran kerja yang baik dan kondusif, ini boleh dijadikan sebab kukuh untuk mereka memilih homestay anda.

 

Sekiranya homestay anda turut mempunyai kemudahan tambahan seperti swimming pool, gymnasium, bilik rekreasi dan sebagainya, itu lagi baik.

 

(2) Bekerja dan bawa keluarga

Ada individu yang perlu outstation beberapa hari dan membawa keluarga seperti isteri dan anak-anak. Urusan kerja biasanya pada waktu pagi, manakala waktu petang hingga malam tiada sebarang urusan kerja. Jadi pada waktu tersebut, masa yang ada boleh digunakan untuk bawa keluarga berjalan-jalan.

 

Kalau anak-anak agak ramai, dia perlu ambil 2 bilik hotel, tapi kalau ada homestay yang bertaraf hotel, lengkap dengan pelbagai kemudahan pula, hanya ambil sebuah homestay sudah cukup.

 

(3) Bekerja bersama rakan sekerja

Ada juga keadaan dimana beberapa orang dalam satu syarikat perlu travel bersama. Jika semua orang boleh check in dalam homestay yang sama, ini memudahkan mereka bertemu, berbincang dan bekerja bersama.

 

Jika anda bimbang ada percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram, boleh lakukan soal selidik dan dapatkan senarai nama tetamu terlebih dahulu. Jika anda keberatan untuk terima, boleh tolak untuk jadi host.

 

(4) Tambah masa untuk menginap

Ada ketikanya boleh berlaku keadaan dimana individu tersebut perlu menambah masa untuk menginap, disebabkan urusan kerja yang masih belum selesai. Sepatutnya mereka hanya perlu menginap 5 malam sahaja.

 

Tapi disebabkan urusan kerja belum selesai, mereka perlu lanjutkan tempoh penginapan kepada 7 malam.

 

(5) Mereka akan jadi repeat customer

Jika dimasa akan datang, mereka perlu outstation sekali lagi, besar kemungkinan dia akan kembali menginap ditempat anda. Kalau dia pilih tempat lain, belum tentu dia boleh dapat keselesaan untuk bekerja sama seperti yang anda sediakan.

 

(6) Mereka akan recommend staf lain untuk check in ditempat anda

Jika ada staf lain yang perlu travel, staf baru ini juga tidak mustahil untuk menginap ditempat anda, atas pengesyoran tetamu terdahulu yang pernah datang menginap atas urusan kerja yang sama.

 

(7) Bekerja dari homestay sepanjang tempoh kuarantin

Kita kini berada dalam pasca pandemik.

 

Virus covid-19 masih belum betul-betul berjaya dikalahkan dan dilenyapkan atas muka bumi ini.

Jika anda sanggup ambil risiko, anda mungkin boleh menerima tetamu yang telah dijangkiti covid dan ingin menjalani kuarantin di homestay anda. Mereka ini positif covid tapi tak bergejala.

 

Jadi mereka boleh bekerja seperti biasa, namun perlu jalani kuarantin ditempat berasingan kerana tak sesuai untuk jalani kuarantin dirumah sendiri.

 

Jika anda mempunyai kemahiran dan pengetahuan untuk uruskan hal-hal seperti ini, anda mungkin boleh menerima kategori tetamu seperti ini. (walaupun berisiko)

 

Baiklah.

 

Anda mungkin tidak akan menggunakan laman web Airbnb untuk mempromosi dan mengiklankan bisnes homestay anda di internet. Tetapi setidak-tidaknya anda boleh ceduk serba sedikit ilmu dari laman web mereka.

 

Saya harap, perkongsian yang anda baca ini dapat memberi anda serba sedikit manfaat. Mudah-mudahan selepas ini anda lebih terbuka dan lebih kreatif dalam memilih segmen pelanggan untuk menjadi tetamu di homestay milik anda.

 

Tak semestinya anda hanya mensasarkan tetamu yang nak datang sebab nak pergi kenduri kahwin, hantar anak masuk asrama, atau tetamu yang datang sebab nak bercuti di kawasan peranginan disekitarnya.

 

Anda juga boleh luaskan lagi target pelanggan dengan mensasarkan individu yang datang menginap atas urusan kerja. Cuma bila nak target tetamu seperti ini, kenalah sediakan kelengkapan yang sesuai untuk mereka.

Sekiranya anda minat nak mengetahui dengan lebih mendalam tentang bisnes homestay, mungkin anda boleh muat turun panduan ini.

 

Apabila anda menambahkan dan luaskan lagi kelompok sasaran pelanggan untuk menginap di homestay anda, tindakan ini dapat meningkatkan potensi pendapatan yang anda bakal raih dari perniagaan homestay yang dijalankan.

 

Jadi lepas ini anda bolehlah menambah pada ayat iklan anda contohnya

“Homestay kami sangat sesuai dan selesa untuk bekerja. Syarikat-syarikat seperti A, B, C dan banyak lagi memilih homestay kami atas urusan kerja.”

 

Siapa tahu, mungkin akan ada tetamu yang selama ini hanya bekerja dari rumah, atau yang tidak mempunyai pejabat sendiri, akan memilih untuk bekerja dari homestay milik anda.

 

Jika memang terbukti homestay milik anda memang sesuai dan selesa untuk bekerja, tak mustahil untuk individu seperti ini untuk menyewa homestay anda bagi tujuan bekerja. Kalau dia nak sewa ofis, mungkin kena bayar mahal, atau kena bayar untuk 30 hari. Sedangkan dia cuma nak bekerja untuk 2 atau 3 hari sahaja.

 

Anda nampak peluang yang saya cuba sampaikan?

 

Download disini

 

Exit mobile version