Blog Sabree Hussin

Perbezaan Antara Hotel dengan Resort

Tahukah anda, apakah perbezaan antara resort dengan hotel?

Kalau selama ini anda masih belum tahu apa yang membezakan antara sebuah hotel dengan sebuah resort, maka artikel ini saya tulis khusus untuk anda.

 

Pergi bercuti merupakan suatu aktiviti yang sangat dinanti-nantikan, namun apabila perlu buat keputusan untuk menginap dimana, ia boleh jadi suatu yang agak membingungkan.

 

Apa tidaknya, diluar sana terdapat terlalu banyak pilihan tempat penginapan.

Sama ada anda ingin menginap di homestay, hotel atau mungkin resort.

Topik yang ingin saya tumpukan dalam posting kali ini adalah mengenai perbezaan antara hotel dan juga resort. Jadi, saya akan abaikan dulu lain-lain bentuk tempat penginapan yang ada diluar sana. Misalnya seperti penginapan di homestay, guesthouse atau mungkin di challet.

 

Buat masa ini, kita buat-buat tak nampak dan anggap seperti mereka ini tak wujud ya.

 

Kadang-kala, kita merasa agak sukar untuk buat pilihan, sama ada nak menginap di hotel atau pilih resort?

Kedua-dua jenis tempat penginapan ini, mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.

 

Sebelum kita bercerita dengan lebih lanjut, saya kira ada baiknya kita fahamkan dulu, apakah perbezaan antara hotel dengan resort terlebih dahulu.

 

Apa itu hotel?

Hotel adalah premis yang menyediakan perkhidmatan tempat penginapan dan pelbagai lagi perkhidmatan untuk pelancong atau tetamu yang ingin bermalam untuk tempoh masa yang singkat (short term stay).

 

Terdapat pelbagai pilihan hotel yang tersedia untuk para tetamu, dari hotel bajet hinggalah ke hotel mewah. Tahap perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan juga berbeza.

Hotel biasanya beroperasi di lokasi yang strategik, misalnya dikawasan pusat bandar, pekan, berdekatan dengan lapangan terbang, terminal feri, dan berdekatan dengan kawasan tumpuan pelancong atau tempat peranginan.

 

Jika dikawasan bandar besar, hotel selalunya menumpukan kategori tetamu yang datang atas urusan perniagaan atau urusan kerja. Sebab itu, hotel dibandar-bandar besar banyak yang ada conference room, ball room, dan sebagainya.

 

Manakala hotel yang beroperasi dikawasan peranginan atau tempat percutian, lazimnya menyediakan perhidmatan penginapan yang ringkas dan selesa.

 

Apa itu resort?

Resort pula adalah merupakan sebuah premis yang menyediakan tempat untuk bermalam, dan ia turut menawarkan pelbagai kemudahan serta aktiviti rekreasi seperti spa, padang golf, aktiviti sukan air, hiking, dan banyak lagi.

 

Resort bukan sekadar menyediakan tempat untuk bermalam, sebaliknya ia juga tempat bagi pengunjung datang untuk bercuti, beristirehat dan menikmati pengalaman percutian yang mungkin tak akan diperolehi ditempat lain.

 

Resort itu sendiri adalah merupakan destinasi percutian.

Resort biasanya terletak dikawasan yang mempunyai daya tarikan tertentu seperti pantai yang cantik, pulau persendirian, kawasan pergunungan, tasik, dan kawasan luar bandar yang dekat dengan alam semulajadi.

 

Perbezaan yang paling ketara antara hotel dan resort adalah dari segi kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

 

Sebuah hotel lazimnya akan menawarkan perkhidmatan yang agak asas seperti kemudahan wifi percuma, bilik berpenghawa dingin, dan perkhidmatan room service.

 

Kalau dalam konteks resort, ia mampu menawarkan semua perkhidmatan yang tersedia di hotel, dan sebagai tetamu kita boleh nikmati perkhidmatan tambahan contohnya seperti aktiviti rekreasi, ada restoran yang selesa dengan pelbagai pilihan makanan, perkhidmatan bas ulang-alik, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, personal coaching, tour guide dan sebagainya.

 

Sudah semestinya, pengalaman yang bakal kita perolehi juga sangat berbeza.

 

Kelebihan dan kekurangan menginap di hotel

Sebelum kita nak terus buat tempahan, kita patut tahu terlebih dahulu kelebihan dan kekurangan apabila menginap di hotel.

 

Tahukah anda, yang sebenarnya menginap di hotel ini ada kelebihan dan ada juga kekurangannya.

 

Jom kita bincangkan.

 

Kelebihan menginap di hotel

Kita fokus pada kelebihan menginap di hotel terlebih dahulu.

 

(1) Kos penginapan yang berpatutan

Dalam sesebuah kawasan lazimnya ada banyak pilihan hotel.

 

Jika kita ada sedikit kekangan dari segi bajet, kita boleh pilih mana-mana hotel yang menepati bajet kita. Dengan ini, kita masih boleh pergi bercuti walaupun tidak menginap dihotel yang mewah.

Apa yang lagi penting adalah pengalaman membawa keluarga pergi bercuti dan mencipta kenangan yang indah bersama. Bila kita ada pilihan untuk menginap di hotel yang murah, ia bukan lagi satu alasan untuk tak bawa keluarga pergi bercuti.

 

(2) Lokasi

Hotel lazimnya terletak di kawasan yang strategik dan berdekatan dengan kemudahan seperti shopping mall, restoren, kedai serbaneka, berdekatan dengan lapangan terbang, stesen pengangkutan awam, dan tempat percutian.

 

Hotel sangat ideal terutama sekali untuk mereka yang ingin menerokai destinasi percutian dan tempat-tempat menarik yang terdapat dikawasan sekeliling.

 

(3) Fasiliti & Kelengkapan yang disediakan

Kemudahan yang disediakan di resort ada kalanya turut tersedia di hotel. Bezanya adalah dari segi skala yang lebih kecil. Saya ambil contoh, kebanyakkan resort ada swimming pool.

 

Hotel pun banyak yang ada swimming pool, cuma mungkin saiz poolnya tak begitu besar.

 

(4) Privasi

Apabila menginap di hotel lazimnya kita tak akan ada interaksi dengan tetamu lain.

 

Kebanyakkan tetamu hanya akan pulang ke hotel untuk berehat ataupun untuk tidur. Satu-satunya masa yang kita boleh bertembung dengan tetamu lain, adalah ketika bersarapan pagi dan ketika beriadah di swimming pool.

 

Bagaimana kalau hotel pilihan kita, tak menyediakan menu sarapan pagi dan tiada swimming pool?

Besar kemungkinan, kita tak akan bertembung dengan tetamu lain.

 

Jika atas sebab-sebab tertentu, anda memerlukan privasi, maka hotel adalah pilihan yang lebih baik.

 

Kekurangan menginap di hotel

Bagi sesetengah orang, pasti ada yang rasa menginap di hotel ini ada kekurangannya.

 

(1) Aktiviti terhad

Hotel biasanya lebih memberi tumpuan kepada kategori tetamu yang datang atas urusan seperti

i. Menginap atas urusan perniagaan

ii. Ingin tempat berehat dan bermalam yang selesa

 

Justeru, aktiviti yang boleh dilakukan apabila menginap disesebuah hotel biasanya memang agak terhad.

 

Kalau hotel tersebut ada swimming pool, at least tetamu boleh mandi dan beriadah disitu. Jika hotel yang kecil, biasanya memang tak ada swimming pool, atau kalau ada sekalipun saiznya agak kecil dan padat dengan pengunjung lain.

 

Tapi itu bukan satu isu yang besar, memandangkan tetamu boleh keluar ke tempat tumpuan pelancongan yang terletak tak jauh dari hotel dan melakukan aktiviti sight seeing serta beriadah.

 

(2) Bilik yang terhad mudah untuk fully booked

Oleh kerana hotel ini biasanya tak begitu besar, maka ada kemungkinan untuk bilik hotel fully booked pada hari kita ingin membuat tempahan.

 

Kelebihan dan kekurangan menginap di resort

Kita dah pun mengetahui kelebihan dan kekurangan menginap di hotel semasa pergi bercuti. Seterusnya, kita tengok pula kelebihan dan kekurangan kalau kita pilih untuk menginap di resort.

 

Kelebihan menginap di resort

Seperti biasa, kita mula dengan kelebihan menginap di resort dulu ya.

 

(1) Bercuti dan beristirehat

Resort adalah satu pilihan yang paling sesuai jika tujuan anda pergi bercuti adalah untuk berehat-rehat dan menenangkan jiwa.

 

Orang yang memilih resort, biasanya akan menghabiskan masanya disatu tempat sahaja. Dia mungkin tak bermiant untuk explore tempat menarik lain yang ada disekitarnya.

 

Boleh jadi sebab sebelum ini mereka dah ada pengalaman bercuti ditempat tersebut. Jadi percutian kali ini, dia hanya ingin berehat di resort.

 

(2) Tema bagi percutian

Sebelum memilih tempat percutian, anda boleh tetapkan dulu apakah tema percutian anda?

 

Adakah anda ingin

i. Bercuti di kawasan pantai

ii. Bercuti di kawasan pergunungan

iii. Bercuti sambil bermain golf

Setiap resort, ada tema dan keistimewaannya yang tersendiri.

 

Kalau resort berdekatan dengan kawasan pergunungan, dalam pakej yang ditawarkan mungkin termasuk aktiviti mendaki gunung.

Kalau resort di kawasan pulau, mungkin ada pakej snorkeling.

 

Kelebihannya anda tak perlu susah payah nak berurusan dengan mana-mana ejen untuk buat aktiviti tersebut. Semua ini akan diatur oleh pihak pengurusan resort.

 

(3) Banyak hiburan

Hiburan yang anda boleh nikmati sepanjang tempoh penginapan anda di resort tersebut juga mungkin ada pelbagai.

 

Ada persembahan nyanyian secara live, pertunjukkan silap mata, seni kebudayaan dan macam-macam lagi.

 

(4) Fasiliti yang serba mewah

Resort menawarkan pakej percutian yang serba lengkap dengan aktiviti rekreasi dan lain-lain kemudahan.

 

Sekiranya anda mengimpikan suasana dan pengalaman percutian yang serba mewah, ianya boleh diperolehi apabila anda memilih untuk menginap di resort.

 

(5) Akses eksklusif hanya untuk tetamu

Jika resort yang berdekatan dengan pantai, lazimnya pantai tersebut adalah pantai persendirian.

 

Pantai persendirian ini kurang sesak dengan kehadiran pengunjung lain, dan kebiasaannya yang akan beriadah disitu adalah terdiri daripada tetamu resort sahaja.

 

Jadi anda tak perlu bersesak-sesak dengan pengunjung lain, atau orang tempatan, untuk bersantai.

Kadang-kadang kita dah pergi bercuti dekat tempat yang ada pemandangan yang sangat cantik. Tapi bila kita nak ambil gambar dan nak abadikan memori percutian tersebut, ianya agak mencabar dengan adanya pengunjung lain yang turut lalu-lalang.

 

Jadi, bila ada kawasan yang khusus dan eksklusif hanya untuk tetamu resort sahaja, ia lebih menyeronokkan.

 

Kekurangan menginap di resort

Tapi jangan anda tak tau, menginap di resort ini pun ada kekurangannya. Ini antara kekurangan menginap di resort yang anda perlu tahu.

 

(1) Kadar penginapan yang lebih mahal

Kos untuk menginap lazimnya lebih mahal berbanding penginapan di hotel. Rasionalnya ialah pihak pengurusan resort menawarkan perkhidmatan yang lebih banyak berbanding apa yang ditawarkan oleh hotel.

 

Adakalanya pihak pengurusan resort akan memasukkan aktiviti tertentu dalam pakej percutian yang ditawarkan kepada para tetamunya. Jika ada aktiviti yang tak termasuk dalam pakej yang ditawarkan, pihak resort boleh mengenakan bayaran tambahan dan menjadikan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

 

(2) Pilihan aktiviti yang terhad

Aktiviti yang boleh diilakukan apabila menginap di resort adalah tertumpu kepada apa yang pihak resort tawarkan semata-mata.

 

Sekiranya anda menginap untuk tempoh yang agak lama, dan anda telahpun selesai melakukan semua aktiviti yang ditawarkan, pada waktu itu anda mungkin akan mulai rasa bosan dan ingin keluar dari resort tersebut.

 

(3) Lokasi yang terpencil

Sesetengah resort ada yang terletak di lokasi yang agak terpencil dan jauh dengan penduduk setempat. Ada resort yang memerlukan pengunjung untuk menaiki bot persendirian untuk pergi lokasi tersebut.

 

Apabila menginap di resort, salah satu faktor yang perlu diambil kira adalah faktor pengurusan masa.

 

Anda kena cekap dalam bab pengurusan masa, untuk mengelakkan perkara tak diingin berlaku, misalnya seperti anda terlepas penerbangan kerana perjalanan yang diambil dari resort untuk ke lapangan terbang mengambil masa yang lama.

 

(4) Pergerakkan yang agak terbatas

Kalau resort anda terletak dikawasan yang terpencil, sama ada dikawasan hutan, pergunungan atau mungkin di pulau persendirian, lazimnya pergerakkan anda untuk kemana-mana agak terbatas.

 

Anda perlu dapatkan bantuan pihak pengurusan resort untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Jika tidak, pergerakkan anda adalah terbatas sekitar resort sahaja.

 

Tips memilih tempat penginapan yang tepat untuk percutian anda

Lebih baik pilih hotel atau pilih resort?

 

Sebelum membuat tempahan, ada beberapa perkara yang anda perlu ambil perhatian

 

(1) Kos penginapan

Pergi bercuti itu memang seronok.

Tapi biarlah berpada-pada.

 

Kata bidalan, “ukur baju biarlah ikut badan sendiri”.

Bercuti ni seronoknya mungkin hanya untuk beberapa hari itu sahaja. Tapi selepas itu, kita masih ada kehidupan lain.

 

Buat bajet betul-betul dan ikutlah bajet yang anda telah sediakan.

Adakalanya kita tak perlukan hotel yang mahal. Asalkan ianya selesa.

 

Duit tersebut kita boleh gunakan untuk aktiviti, tiket masuk, makan dan shopping.

 

(2) Perbandingan harga

Pada hari ini, membuat perbandingan harga tidaklah begitu sukar. Sekiranya anda ingin menginap di mana-mana hotel, anda boleh lakukan perbandingan harga dengan melayari laman web rasmi hotel tersebut.

 

Selain itu, anda juga boleh bandingkan dengan harga yang ditawarkan oleh platform Online Travel Agent, misalnya seperti

i. Agoda

ii. Booking.com

iii. Tripadvisor

iv. Trivago

 

Anda mungkin akan temui tawaran yang lebih menarik dengan harga yang lebih menjimatkan berbanding terus menerima bulat-bulat tawaran satu harga.

 

(3) Lokasi tempat penginapan

Lokasi juga sangat memainkan peranan dalam membuat keputusan yang tepat, sama ada nak menginap di hotel ataupun resort.

 

Kebiasaannya hotel ini beroperasi dikawasan-kawasan yang strategik. Misalnya kawasan yang berdekatan dengan lapangan terbang, terminal feri, pusat bandar dan tempat yang ada jaringan pengangkutan yang baik untuk ke tempat-tempat menarik.

 

Justeru, jika anda merancang untuk melawat tempat-tempat menarik apabila pergi bercuti, hotel adalah pilihan yang lebih baik.

 

(4) Kemudahan dan aktiviti

Seterusnya, anda juga perlu pastikan tempat yang bakal anda pilih, tak kiralah sama ada ianya hotel ataupun resort, ada menawarkan kemudahan yang anda memang perlukan.

 

Selain itu, anda juga perlu ambil kira faktor apakah aktiviti yang bakal anda lakukan ketika berada ditempat percutian tersebut?

Jika anda merancang untuk menghabiskan masa diluar, seperti melawat tempat-tempat menarik yang ada disekitar, maka dalam situasi tersebut lebih sesuai kalau anda pilih untuk menginap di hotel.

 

Besar kemungkinan, anda akan habiskan lebih banyak masa diluar, dan hanya akan balik ke hotel untuk berehat dan tidur sahaja.

 

Sebaliknya, jika anda ingin menghabiskan masa percutian anda untuk berehat-rehat disatu tempat sahaja, maka pilihan yang paling ideal adalah resort.

 

(5) Review dan feedback dari tetamu

Apa review dari tetamu yang pernah menginap di premis tersebut? Kalau boleh cuba dapatkan review yang paling terkini, bagi mendapatkan gambaran sebenar pengalaman menginap di tempat penginapan tersebut.

 

Review yang ditinggalkan oleh tetamu sekitar 3 atau 5 tahun lepas mungkin sudah tak berapa valid. Sebaik-baiknya cuba cari review yang paling terkini.

 

Kesimpulan

Semoga dengan perkongsian ini, dapat membantu anda untuk membuat keputusan yang tepat dalam membuat pemilihan sama ada ingin menginap di hotel ataupun resort semasa percutian anda nanti.

 

Sebenarnya, sama ada nak pilih hotel ataupun resort, ianya terpulang kepada individu tersebut. Apa sebenarnya yang anda ingin lakukan sepanjang percutian tersebut?

 

Ada orang yang bila pergi bercuti, niatnya adalah untuk beristirehat. Untuk kategori seperti ini, saya syorkan pilih resort memandangkan semua kemudahan sudah tersedia di satu tempat. Anda tak perlu keluar kemana-mana.

 

Kemudian ada orang yang bila pergi bercuti, dia jenis yang tak boleh duduk diam satu tempat. Bagi dia, rugilah pergi ketempat percutian, tapi masa hanya dihabiskan untuk berada dalam satu kawasan semata-mata.

 

Untuk kategori seperti ini, saya cadangkan pilih hotel yang selesa. Besar kemungkinan masa anda akan banyak dihabiskan diluar dan hanya akan kembali ke hotel untuk berehat dan tidur sahaja.

 

Atau boleh jadi, anda adalah jenis yang ada hari nak duduk berehat-rehat dan ada hari tertentu yang anda ingin explore kawasan sekitar. Untuk kategori seperti ini, apa kata anda booking kedua-dua tempat penginapan sekali gus.

 

Kita andaikan anda akan pergi bercuti 5 malam.

Mungkin 2 malam anda menginap di resort, manakala baki 3 malam lagi anda menginap di hotel.

 

Bukanlah saya nak kata kalau menginap terus 5 malam di resort itu tak bagus.

Cuma dari segi kos, ianya lebih mahal.

 

Apa pun terpulang pada kewangan anda.

Duit anda, suka hati andalah nak belanjakan ia bagaimana, betul tak?

 

Saya harap perkongsian saya mengenai perbezaan antara hotel dan resort ini bermanfaat untuk anda.

Mudah-mudahan selepas ini, anda boleh buat pilihan dengan lebih mudah.

 

 

Exit mobile version