Blog Sabree Hussin

Cabaran menjalankan bisnes homestay yang anda perlu tahu

Tahukah anda, apakah risiko yang anda perlu hadapi jika ingin menjalankan bisnes homestay?

 

Posting kali ini, kita akan cuba bincangkan apakah risiko dan juga cabaran apabila menjalankan perniagaan homestay.

 

Orang lain buat bisnes homestay sampai boleh jadi jutawan, kita pun terinspirasi nak ikuti jejak langkah yang sama.

 

Sebelum pergi lebih jauh, atau terus terjun dalam bidang ini, apa salahnya kita pertimbangkan dan fikirkan dulu, apa sebenarnya cabaran yang bakal dihadapi apabila menjalankan perusahaan homestay ini nanti.

 

Andai kata anda mempunyai kenalan yang menjalankan bisnes ini, apa kata anda cari masa untuk duduk bersama dan cuba ambil ilmu dari dia. Itupun kalau kawan anda itu jenis yang tak kedekut ilmu.

Saya bukanlah pandai sangat atau banyak ilmu dalam bab menjalankan bisnes homestay, tapi In Shaa Allah saya ada serba sedikit pengetahuan yang mungkin berguna untuk anda.

 

Apa yang saya tahu, saya kongsikan dalam blog ini mudah-mudahan dapat beri manfaat kepada pembaca dan bakal usahawan sekalian.

 

Jom kita teruskan, apa agaknya cabaran bisnes homestay yang anda perlu tahu dan siap sedia untuk hadapi…

 

(1) Lokasi homestay yang tidak begitu strategik

Sekiranya idea untuk memulakan bisnes homestay timbul sebelum anda membeli hartanah, kebarangkalian untuk anda memilih rumah yang terletak dikawasan yang kurang strategik adalah agak rendah.

 

Tapi ada juga keadaan dimana pemilik rumah buat keputusan untuk jalankan bisnes homestay, disebabkan

a. Mereka ada rumah kedua yang tak digunakan

Kalau dibiarkan kosong rasa membazir, dan kalau nak jadikan rumah sewa, susah pula nak keluar masuk ke rumah tersebut selagi tempoh kontrak sewaan masih belum tamat.

 

b. Bimbang kalau dijadikan rumah sewa, rumah akan rosak.

Sesetengah penyewa mungkin tak begitu teliti dalam menjaga harta benda. Perabot yang anda sediakan mungkin akan rosak.

 

c. Mereka mahu dapatkan potensi pendapatan yang lebih tinggi

Dengan menjadikan kediaman tersebut sebagai homestay, potensi pendapatan yang bakal diperolehi adalah lebih tinggi.

Manalah tau, dengan menjalankan bisnes homestay, satu hari nanti ada peluang untuk jadi jutawan.

 

Kalau lokasi homestay anda agak kurang strategik, dalam situasi ini anda perlu lebih kreatif dan gunakan teknik yang lebih baik terutama sekali dalam bab marketing.

 

Kalau homestay jauh dikawasan pedalaman, highlight betapa seronok dan damainya pemandangan dan suasana kehijauan yang terdapat disekeliling anda.

 

Andai kata ada anak sungai, tunjukkan juga contoh aktiviti yang boleh dilakukan misalnya memancing, mandi sungai dan sebagainya.

Jika berdekatan dengan homestay anda ada kebun yang merupakan milik anda, ajaklah tetamu anda untuk masuk ke kebun dan ambil hasil tanaman secara percuma. Semua ini boleh membuatkan tetamu anda rasa seronok untuk check in walaupun lokasi homestay anda agak jauh dengan kawasan pekan.

 

Satu lagi, anda boleh buat begini. Katakanlah anda nak bagitahu jarak antara homestay anda dengan kemudahan-kemudahan yang terdapat disekeliling seperti restoran, kedai serbaneka dan sebagainya.

 

Anda gunakan sukatan masa dan bukannya jarak. Contoh

15 minit untuk ke restoran

13 minit untuk ke kedai serbaneka, shopping mall dan sebagainya

 

Kalau guna sukatan jarak, nanti anda mungkin akan buatkan pelanggan rasa terkejut, sebab jarak dalam KM agak jauh.

11KM untuk ke restoran

16KM ke kedai serbaneka.

 

Apapun, cubalah jadi kreatif.

Bukannya nak suruh menipu, cuma jadi lebih kreatif dalam menyampaikan maklumat.

Baca juga: Pemilihan lokasi yang strategik untuk bisnes homestay

 

(2) Ada banyak persaingan dari pengusaha bisnes yang lebih kurang sama

Dalam bisnes homestay, siapa sebenarnya adalah pesaing anda?

 

Jawapannya ialah, mereka yang menawarkan perkhidmatan tempat bermalam atau menginap yang ada disekitar anda. Mereka ini boleh jadi adalah pengusaha hotel, hostel, resort, chalet dan sebagainya.

 

Walaupun persaingan itu memang banyak, apa yang perlu anda lakukan adalah fahami apa kehendak bakal penyewa, dan cuba sebaik mungkin untuk sediakan apa yang diperlukan.

 

Misalnya, tetamu yang datang dengan keluarga yang besar, mereka akan perlukan tempat tinggal yang mempunyai bilik sekurang-kurangnya tiga buah. Setiap bilik mesti ada katil besar dan dilengkapi dengan penyaman udara.

 

Pelanggan yang menepati kriteria seperti itu, pasti akan memilih homestay anda sebagai pilihan pertama.

 

(3) Tiada perlindungan dan jaminan jika berlaku kerosakkan

Mari kita lihat bagaimana proses biasa apabila kita nak mula menyewa sebuah rumah untuk jangka masa panjang.

 

Kebiasaannya kita akan pergi ke rumah yang bakal disewa dan bertemu dengan tuan rumah atau ejen. Selepas kita capai persetujuan untuk menyewa, biasanya tuan rumah akan letakkan syarat seperti

(i) Perlu bayar deposit 2 bulan sewa rumah tambah sewa 1 bulan

(ii) Deposit untuk bil elektrik dan air

(iii) Tandatangan perjanjian sewa untuk satu tempoh masa

(iv) Penyewa perlu berikan notis jika ingin tamatkan kontrak sewa lebih awal

 

Jika rumah yang disewa tidak ada sebarang kerosakkan, tuan rumah akan pulangkan kesemua duit deposit yang dah dibayar sebelum ini. Begitu juga halnya dengan bil-bil berkaitan. Kalau tiada bil yang tertunggak, yang pada asalnya memang yang digunakan oleh penyewa, tuan rumah juga akan pulangkan semula duit deposit.

 

Tetapi, ini berbeza dengan sewa homestay atau mana-mana sewa jangka masa pendek.

 

Sesetengah homestay tidak meletakkan syarat untuk bayar deposit atau cagaran. Homestay seperti ini lebih disukai oleh bakal penyewa, tetapi risiko kerosakkan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik rumah. Kalau penyewa ada rosakkan sesuatu, anda yang perlu tanggung risiko ini.

 

Kalau bernasib baik, anda akan dapat penyewa yang cermat dan sentiasa menjaga peralatan yang terdapat dirumah anda. Ataupun, kalau mereka rosakkan barang sekalipun, mereka akan beritahu apa yang rosak dan akan bayar ganti rugi.

 

Tapi kalau kurang bernasib baik, ada juga kategori penyewa yang bila dah rosakkan barang bukan sahaja tak mahu bayar ganti rugi malahan dia siap sorokkan kerosakkan tersebut.

 

Masuk penyewa yang baru, sudah tentu penyewa ini tak akan mengaku dia yang rosakkan peralatan tersebut. Sebabnya kerosakkan telah berlaku lebih awal dan penyewa sebelum ini yang bertanggungjawab.

 

Pemilik homestay, harap dapat bertenang, dan kalau penyewa tak mengaku, janganlah bergaduh pula. Ada kemungkinan, memang bukan dia yang rosakkan. Tak kan nak mengaku salah pada perkara yang dia tak lakukan.

 

Atas sebab itu, sekarang ini banyak pemilik homestay mula menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Airbnb.

Airbnb menyediakan perlindungan sehingga USD1,000,000 jika terdapat kerosakkan pada hartabenda anda ketika ada tetamu menginap dikediaman milik anda.

 

Walaubagaimanapun, pada ketika ini saya belum mempunyai info yang lengkap tentang bagaimana perlindungan ini berfungsi.

 

Mungkin kalau anda dapatkan panduan ini, anda akan dapat jawapan tentang bagaimana perlindungan ini berfungsi.

 

(4) Pemilihan konsep dan dekorasi homestay

Cuba buka laman web Airbnb.

 

Anda akan dapati, homestay yang disenaraikan disitu kebanyakkannya cantik-cantik dan hiasan dalamannya setanding dengan hotel.

 

Tanyalah pada diri. Tak kan masih nak gunakan perobot style lama dan kelengkapan yang terdapat dalam rumah pun asalkan ada?

 

Saya bukan nak kata apalah. Cuma kadang-kadang saya rasa macam sesetengah pengendali bisnes homestay ini macam tak berapa serius dengan bisnes yang dia jalankan.

 

Guna perabot yang dah buruk. Saya rasa perabot dalam homestay tu mungkin perabot yang tuan rumah dah tak pakai, jadi daripada dibuang, dia gunakan untuk homestay.

 

Hiasan dalaman rumah pun cuma ala kadar. Dalam rumah ada beberapa kerosakkan kecil yang tak dibaiki. Tak rasa segan ke buat bisnes dalam keadaan rumah yang tak sempurna macam ni?

 

Tetamu yang datang bukannya tinggal situ percuma. Mereka membayar sewa. Perelokkanlah rumah kalau betul serius nak berbisnes.

 

Dalam contoh situasi ini, saya amat syorkan pemilik bisnes homestay, terutamanya yang owner melayu tu,

(i) Biasakan diri check in kat tempat orang lain untuk lihat bagaimana mereka susun atur homestay milik mereka

(ii) Belajar juga dari orang lain, bagaimana mereka jaga kualiti homestay

 

Kalau kaedah lama menjalankan bisnes homestay, ia adalah sekadar sebuah perniagaan yang menyediakan tempat untuk menginap.

 

Tapi bagi cara moden menjalankan bisnes ini, homestay adalah satu tempat dimana tetamu berpeluang merasai pengalaman penginapan yang terbaik lagi unik, yang tak mungkin akan diperolehi di tempat-tempat lain.

 

(5) Pembaziran elektrik

Ini adalah situasi yang biasa berlaku dan merupakan perkara yang anda patut siap sedia apabila menjalankan perniagaan jenis tempat penginapan.

 

Ada jenis tetamu yang tidak begitu menitikberatkan aspek penjimatan dalam penggunaan tenaga elektrik. Tetamu seperti ini akan pasang penyaman udara dengan suhu paling sejuk dan apabila mereka keluar rumah, mereka tetap biarkan penyaman udara terpasang.

 

Alasannya adalah untuk memastikan kediaman yang disewa sentiasa sejuk.

 

Boleh jadi mereka beranggapan oleh sebab dah bayar sewa, maka mereka boleh buat apa sahaja.

Untuk kategori tetamu seperti ini, sebenarnya anda boleh minta mereka untuk jimatkan penggunaan elektrik melalui beberapa cara.

 

Pertama, anda sediakan buku panduan untuk dibaca oleh tetamu dan dalam buku tersebut, minta kerjasama dari setiap tetamu untuk jimatkan penggunaan elektrik dan tutup semua suis apabila tidak digunakan.

 

Cara kedua, lekatkan notis untuk ingatkan pada tetamu supaya tutup suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan, ataupun ketika ingin keluar rumah.

 

Cara ketiga, yang ni agak mahal sedikit, iaitu gunakan peralatan elektrik yang mempunyai sensor. Kalau tak ada orang dalam rumah, secara automatik suis akan mati sendiri.

 

(6) Dapatkan full booking

Dalam sebulan ada lebih kurang 30 malam. Persoalannya ialah, adakah mustahil untuk dapatkan full booking?

 

Maksud saya ialah dapatkan 30 malam terus menerus ada tetamu yang check in di kediaman milik anda.

 

Jawapannya sudah tentulah boleh, namun ia adalah sesuatu yang amat jarang berlaku. Kalau buat rumah sewa, bolehlah dapatkan full booking seperti itu.

Boleh jadi, ada tetamu yang memilih untuk duduk menginap di homestay milik anda untuk satu tempoh yang agak lama. Contohnya untuk 10 malam berturut-turut.

 

Dalam situasi ini, sebenarnya cabarannya ialah bagaimana cara anda nak buat marketing, supaya tetamu seperti ini sedar akan kewujudan homestay anda.

 

(7) Pemasaran dan publisiti

Kita semua sedia maklum, dalam menjalankan perniagaan, aktiviti pemasaran adalah merupakan suatu aktiviti yang sangat penting dan tidak sepatutnya dipandang remeh.

 

Sebaik sahaja homestay anda telah siap dan bersedia untuk menerima kemasukkan tetamu, sebenarnya masa anda akan lebih banyak diperuntukkan untuk tujuan melakukan kerja-kerja pemasaran.

 

Bergantung kepada apa strategi pemasaran yang anda bakal gunakan, besar kemungkinan anda perlu buat kerja-kerja pemasaran ini setiap hari!

 

Sebagai contoh, kalau anda menggunakan medium media sosial, anda perlu hasilkan posting baru setiap hari, supaya posting anda terus muncul di newsfeed kenalan dan juga pengikut anda.

 

Persoalannya, apa yang menghalang atau menyekat pengusaha bisnes homestay ini daripada melakukan kerja-kerja pemasaran?

 

Saya boleh fikirkan beberapa sebab, antaranya

a. Mereka kurang arif mengenai kepelbagaian kaedah pemasaran yang boleh digunakan

Oleh sebab itu, mereka hanya fokus kepada satu atau dua kaedah pemasaran yang mereka tahu dan biasa lakukan semata-mata.

 

Walaupun kaedah dan pendekatan pemasaran yang digunakan sudah kurang berkesan, mereka ini tetap ulang perkara yang sama. Selain itu, tiada usaha untuk mempelbagaikan kaedah pemasaran.

 

Sedangkan diluar sana, terdapat sekurang-kurangnya 15 cara promosi yang mereka boleh gunakan.

 

b. Mereka beranggapan tetamu akan datang dengan sendirinya

Mungkin selama ini, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini dia tak pernah bersusah payah untuk cari tetamu. Biasanya tetamu yang akan datang sendiri dan akan hubungi mereka melalui whatsapp atau melalui sebarang medium lain.

 

Tapi adakah ini bermakna situasi ini akan berkekalan sampai bila-bila?

Besar kemungkinan, jawapannya adalah tidak sama sekali.

 

Kita pun tak tahu, mungkin ada satu masa, dengan tak semena-mena muncul beberapa pemain baru dalam bisnes homestay. Anda mungkin tak perasan kewujudan mereka, memandangkan mereka ini tidak menaikkan kain rentang mahupun papan tanda di hadapan rumah mereka.

 

Kalau homestay itu dibuka di kawasan apartment, lagilah kita tak akan tahu kewujudan perkhidmatan homestay disitu.

 

Pemain baru ini mungkin beroperasi menggunakan bantuan platform Online Travel Agencies (OTA) sama ada Airbnb, Agoda mahupun Booking.com

Baca juga: Apa itu platform Online Travel Agencies

 

Platform tempahan seperti itu, mempunyai banyak pengguna yang bukan sahaja dari dalam negara, malahan luar negara. Lazimnya, setelah para pengguna ini menemui unit homestay yang menepati keperluan, citarasa dan bajet mereka melalui platform OTA, mereka tidak akan cari ditempat lain lagi.

 

Bermakna, jika homestay anda tidak pernah disenaraikan di platform OTA, pengguna yang selama ini mencari tempat penginapan melalui platform ini akan menganggap yang homestay anda tak pernah wujud.

 

Sebenarnya kerja pemasaran ini tidaklah begitu sukar untuk dilakukan. Saya ingin mengajak anda untuk membaca posting saya sebelum ini, berjudul cara mempromosikan perniagaan homestay.

 

Ada 15 kaedah yang saya kongsikan disitu.

Cubalah tengok mana tahu ada mana-mana kaedah yang sesuai untuk anda lakukan.

 

(8) Permintaan bermusim

Hakikatnya, walaupun anda telah lakukan macam-macam perkara bagi tujuan pemasaran, ia belum menjamin yang anda akan mendapatkan full booking. Masih ada faktor lain yang memberi impak, misalnya seperti faktor musim.

 

Permintaan untuk tempat penginapan boleh jadi tidak begitu konsisten, sekiranya anda beroperasi di kawasan yang berhampiran dengan tempat percutian.

 

Lazimnya, homestay anda akan mula menerima tetamu ketika adanya musim cuti sekolah, cuti umum atau musim perayaan.

 

Pada hari-hari biasa, homestay anda lengang tak berpenghuni.

 

Kalau unit kediaman yang dijadikan homestay tersebut tidak mempunyai sebarang hutang dengan pihak bank, maka tak ada masalah kalau ada bulan yang langsung tak ada tetamu.

 

Sebaliknya, kalau anda masih lagi perlu bayar hutang, ini akan menimbulkan masalah dari segi aliran tunai anda. Anda perlu cari sumber lain, untuk buat bayaran balik hutang.

 

(9) Masalah double booking

Ini pun merupakan satu cabaran yang boleh jadi satu masalah yang serius jika anda tak berhati-hati. Masalah dengan double booking ini boleh terjadi kalau anda bersikap sambil lewa dengan tempahan.

 

Pelanggan A hubungi anda dan menyatakan hasrat untuk sewa homestay anda pada 15hb hingga 17hb.

Pelanggan B hubungi anda dan menyatakan hasrat untuk sewa homestay dari 16hb sampai 19hb.

 

Kedua-duanya telahpun buat bayaran.

 

Mungkin anda tak perasan, rupanya pelanggan A akan check out pada 17hb. Pada 16hb homestay anda itu masih ada pelanggan A, dan kalau pelanggan B datang pada 16hb tu, dia tak boleh masuk ke rumah tersebut.

 

Masalah double booking ni, boleh diselesaikan melalui beberapa cara, antaranya

(i) Gunakan sistem tempahan yang sistematik yang link dengan kalendar anda

Dengan ini anda boleh semak dengan mudah sama ada pada tarikh tertentu homestay anda available atau tidak

 

(ii) Buat kerjasama dengan pemilik homestay yang lain

Kalau anda berkawan baik dengan pengusaha bisnes yang sama, anda boleh sewa homestay milik dia dan letakkan pelanggan B di homestay milik kenalan anda tersebut. Perkara ini perlukan persetujuan dan kompromi antara pelanggan dan juga pemilik homestay lain.

 

Bagaimana kalau anda telah lakukan kesilapan dan terjadi double booking seperti ini.

Bagaimana cara nak selesaikan masalah tersebut?

 

Sebenarnya memang tak ada cara lain, selain perlu batalkan tempahan salah satu pelanggan anda.

 

Cuma yang menjadi isu disini adalah bagaimana nak elakkan tetamu marah?

 

Saya berikan anda beberapa idea.

Pertama sekali, sila bertenang.

In Shaa Allah hal ini boleh diselesaikan.

 

Kedua, anda perlu sedar kejadian ini dan terus beritahu pelanggan.

Jangan tunggu saat akhir kerana ini akan menyusahkan pelanggan tersebut mendapatkan tempat ganti.

 

Ketiga, cipta alasan yang munasabah supaya tetamu faham apa isunya.

 

Sesetengah orang kurang selesa untuk mereka-reka alasan, sebab ia sama seperti menipu. Baiklah kalau anda tak berapa selesa nak reka satu alasan, maka anda tak perlu ikut cadangan saya dan fikirlah idea anda sendiri.

 

Ini antara alasan yang boleh anda berikan

a. Homestay anda ada kerosakkan dan perlu dibaiki

Anda kata tandas homestay anda rosak, sama ada mangkuk tandas anda pecah atau tandas tersumbat. Mungkin anda akan kata, tetamu sebelum ini yang pecahkan tandas tersebut.

 

Anda perlu beberapa hari untuk buat kerja baik pulih dan kebetulan pada hari tetamu bakal menginap, kontraktor masih buat kerja.

 

b. Homestay anda ada masalah aircond

Aircond dekat homestay anda ada masalah dan kerja-kerja maintenence akan dijalankan sepanjang hari pada tarikh yang sama tetamu akan menginap.

 

Kerja maintenance ini mungkin akan ambil masa beberapa hari untuk siap dan ia akan mengganggu tetamu anda.

 

c. Homestay anda diserang pepijat

Ada masalah dengan pepijat dan kutu dekat homestay anda. Anda perlu hubungi pest control dan kebetulan pihak pest control hanya boleh buat kerja pada hari yang sama tetamu bakal menginap.

 

Kalau tetamu nak teruskan menginap, risikonya ialah tetamu akan kena gigit dengan pepijat.

 

Pada asasnya, kita reka semua alasan ini sebab nak batalkan tempahan yang telah dibuat oleh bakal tetamu, tetapi kita tak naklah bagitahu yang isu sebenarnya adalah kita dah buat silap menerima double booking.

 

Kalau tetamu terima alasan kita, dia akan minta wang mereka dikembalikan semula. Anda hanya perlu minta maaf atas kejadian yang berlaku dan harap mereka akan dapat memilih untuk menginap dengan anda sekiranya mereka datang sekali lagi di masa akan datang.

 

(10) Dapatkan tetamu yang datang semula untuk kali kedua

Tetamu yang berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang anda pernah berikan sebelum ini, pasti tak akan teragak-agak untuk datang untuk kali kedua di homestay milik anda.

 

Cuma ada juga keadaan apabila disekitar anda ada banyak homestay yang hebat-hebat, tetamu yang sama walaupun sangat berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang anda berikan, tetap memilih untuk check in di tempat lain, sebabnya dia ingin dapatkan pengalaman yang berbeza.

 

Persoalannya, macam mana kita nak pastikan tetamu yang pernah menginap dengan kita sebelum ini, akan datang menginap dengan kita lagi di masa akan datang?

 

(11) Bantahan dari komuniti dan persatuan penduduk

Perkara ini juga anda perlu siap sedia untuk hadapi.

 

Saya ada berkenalan dengan pemilik bisnes homestay yang menjalankan bisnes ini dikawasan kondo. Sebenarnya persatuan penduduk disitu tak bersetuju dengan pemilik kondo yang menjalankan bisnes homestay atau short term rental seperti model bisnes homestay ini.

 

Penduduk disitu merasakan ianya kurang selamat dan penyewa ini mengganggu privasi mereka. Terdapat juga kes terpencil yang mana penyewa jenis short term ini tidak begitu berdisiplin dan tak ikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

 

Peraturan seperti dress code, penggunaan kolam renang, gym dan sebagainya selalu diabaikan oleh penyewa jenis short term. Ini antara perkara yang membuatkan penduduk disitu kurang senang dengan short term stay.

 

Kalau anda nak buat juga bisnes homestay ditempat seperti ini, pandai-pandai la anda rahsiakan aktiviti tersebut dan jangan sampai aktiviti anda diketahui oleh persatuan penduduk disitu.

 

(12) Penyewa dari luar negara

Ini merupakan satu lagi risiko ataupun mungkin rahmat yang bakal anda hadapi apabila menggunakan Airbnb atau lain-lain laman web tempahan untuk mendapatkan penyewa.

 

Penyewa dari luar negara, belum tentu boleh faham bahasa Melayu.

 

Justeru anda kenalah siap sedia untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, kalau kebetulan dapat pelanggan dari luar negara. Kalau tak mahir, belajarlah!

 

Lagipun bahasa Inggeris ini kan kita dah belajar sejak dari darjah satu sampailah tingkatan 5.

Sebelas tahun belajar bahasa Inggeris, apa lagi alasan kita untuk kata tak pandai bahasa Inggeris?

 

(13) Mengekalkan kualiti perkhidmatan

Lazimnya, masa untuk check in ditetapkan pada jam 3.00 petang.

Masa untuk check out pula pada jam 12.00 tengahari.

 

Masa yang berbaki, lebih kurang 3 jam itu diperuntukkan untuk kerja-kerja mengemas rumah, supaya tetamu seterusnya boleh daftar masuk on time.

 

Masalahnya, ada tetamu yang suka berlengah-lengah. Dah tahu pukul 12 kena keluar, tapi waktu tu masih belum siap packing barang. Pukul 12 ada yang baru sibuk nak mandi, nak pakai tandas dan sebagainya.

 

Akhirnya, pukul 1 baru keluar rumah. Ini menjadikan anda hanya ada masa berbaki lebih kurang dua jam untuk persiapkan rumah.

 

Dalam bab-bab mengemas ini, anda perlu tahu apakah yang perlu dilakukan setiap kali ada tetamu check out, dan apakah yang boleh dilakukan seminggu sekali, bagi tujuan menjimatkan masa.

 

Kalau anda tak sanggup untuk kemas rumah tersebut, boleh upah orang lain untuk buat. Saya ambil contoh tempahan melalui laman web Airbnb. Sesetengah pemilik rumah mengenakan caj cleaning fee.

 

Caj ini sebenarnya adalah upah untuk tukang kemas rumah. Kalau anda rasa boleh buat sendiri kerja-kerja mengemas, duit untuk cleaning fee tersebut anda boleh simpan untuk diri sendiri. Jadikan ia sebagai pendapatan tambahan.

 

Mengemas rumah ini sebenarnya berkaitan dengan kemampuan anda untuk memastikan standard dan kualiti perkhidmatan yang anda berikan adalah konsisten dengan iklan yang anda hasilkan.

 

Sudah tentu, sebagai tetamu mereka akan rasa kecewa, kalau keadaan sebenar homestay anda tak sama seperti yang diiklankan. Sebenarnya punca ia tak sama mungkin sebab

a. Anda tak cukup masa untuk kemas rumah

b. Anda tak sempat nak buat kerja-kerja maintenance

 

(14) Menguruskan tetamu

Pada peringkat awal, anda mungkin rancang untuk sambut setiap tetamu yang datang untuk menginap dan serah kunci secara in person.

 

Rancangan ini memang bagus, cuma anda mungkin perlu fikirkan semula. Waktu ketibaan tetamu anda mungkin tak menentu. Kalau dia kata akan sampai di homestay pukul 4 petang, mungkin sampai masa dia masih belum munculkan diri.

 

Tunggu punya tunggu, akhirnya bila dah lewat malam baru tetamu tersebut sampai di homestay. Rupa-rupanya tetamu ini singgah ke kedai makan, shopping, ziarah kenalan dan macam-macam lagi.

Kalau anda nak tunggu, ini mungkin akan buang masa anda. Melainkan kalau anda memang tinggal berdekatan dan tak sibuk dengan urusan lain, saya kira tak ada masalah untuk anda sambut setiap tetamu.

 

Jadi cara yang lagi baik, adalah anda menggunakan sistem kunci nombor smartlock ataupun tinggalkan kunci rumah di tempat yang selamat. Tetamu boleh datang pada bila-bila masa untuk ambil kunci, tanpa perlu ganggu masa dan urusan anda.

Jenis kunci seperti diatas ini sudah banyak digunakan untuk memudahkan tetamu mengambil kunci tanpa perlu menyusahkan tuan rumah.

Anda boleh buat tempahan disini.

 

(15) Pengurusan kewangan

Dalam mana-mana jenis perniagaan, faktor pengurusan kewangan adalah perkara yang sering menjadi cabaran besar.

 

Kalau dalam konteks perniagaan homestay, anda perlu uruskan wang untuk tujuan perbelanjaan seperti maintenance, pembersihan, bil-bil berkaitan, kerja pemasaran dan sebagainya.

 

(16) Mengupah pekerja

Walaupun bisnes homestay ini nampaknya agak ringkas, namun sebenarnya ia agak sukar untuk dilakukan secara berseorangan.

Adalah lebih mudah kalau anda dapat jalankan bisnes ini dengan bantuan pekerja.

 

Pekerja ni boleh jadi dalam kalangan ahli keluarga anda sendiri.

Atau mungkin anda ingin mengambil orang luar.

 

Apa yang penting ialah, mereka ini dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik. Namun bukan mudah untuk dapatkan pekerja yang boleh diharapkan.

 

Kalau dalam konteks perniagaan homestay ini, kita perlukan pekerja yang dapat menguruskan aspek seperti

a. Kerja-kerja pembersihan

b. Penyelenggaraan dan baik pulih homestay

c. Pengurusan tetamu

d. Pekerja dalam bidang pemasaran

 

Jika anda mempunyai pekerja yang boleh diharapkan, tidak mustahil untuk anda mempunyai bisnes homestay di merata negeri. Semua urusan bisnes, pekerja anda yang akan uruskan.

 

(17) Penggunaan teknologi

Dalam industri hospitaliti, teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kejayaan perniagaan yang dijalankan.

 

Penggunaan teknologi dapat memperkemaskan operasi pernigaan, membantu dalam kerja pemasaran, memudahkan bakal tetamu membuat tempahan dan dapat kekal berdaya saing dalam pasaran.

 

Saban hari, akan ada teknologi baru yang diperkenalkan, yang boleh dimanfaatkan dalam bidang hospitaliti.

 

Salah satunya adalah penggunaan laman web atau platform yang boleh memudahkan proses tempahan dilakukan. Pada hari ini, kita ada platform yang dikenali dengan istilah Online Travel Agencies ataupun singkatannya OTA.

 

Platform seperti ini, sudah semestinya mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

 

Jika anda ingin tahu kelebihan platform OTA, saya ingin mengajak anda untuk baca posting sebelum ini berjudul Kelebihan menggunakan platform OTA untuk Bisnes Homestay.

Sekiranya anda ingin tahu apa kekurangan platform ini, jemput baca kekurangan platform OTA yang anda perlu tahu.

 

Kalau anda mempunyai bajet, mungkin anda ingin bina laman web anda sendiri yang mempunyai ciri yang canggih dan setara dengan platform OTA.

 

Sebagai contoh laman web anda itu nanti turut mampu

a. Memproses tempahan dan menerima bayaran

b. Boleh rekrut ejen untuk buat pemasaran

c. Boleh masukkan konten untuk tujuan content marketing

d. Pengusaha bisnes homestay boleh letak iklan di laman web anda

e. Tetamu boleh tinggalkan komen dan review

 

Selain teknologi yang dapat memudahkan anda untuk memproses dan menerima tempahan, anda juga perlu tahu cara untuk menggunakan teknologi pengiklanan seperti pay per click, database marketing dan sebagainya.

 

Kemudian sejak akhir-akhir ini, dunia mula memperkatakan mengenai topik Artificial Intelligence dalam perniagaan. Anda juga mungkin boleh mula terokai bagaimana teknologi AI ini dapat dimanfaatkan dalam perniagaan anda.

 

Apa yang saya boleh fikirkan, teknologi AI ini sebenarnya juga boleh dimanfaatkan dalam membuat kerja pemasaran.

 

Teknologi AI juga biasa digunakan dalam perbualan atau sesi chatting. Anda mungkin tak perasan, yang mana apabila anda berhubung dengan menggunakan fungsi chat, yang memberi respons kepada soalan anda sebenarnya adalah robot AI.

 

Jadi, adakah anda pernah menggunakan teknologi AI untuk tujuan pemasaran sebelum ini? Kalau masih belum pernah, boleh saya tahu apa yang membuatkan anda tidak pernah mencuba teknologi tersebut?

 

(18) Isu sensitif melibatkan Agama, Budaya dan warna kulit

Ada pengusaha homestay yang meletakkan syarat seperti “homestay ini hanya menerima tetamu beragama Islam sahaja”.

 

Perkara ini akan menjadi isu, sekiranya anda menggunakan platform OTA seperti Airbnb, Agoda dan sebagainya.

 

Sebagai contoh, platform Airbnb mempunyai polisi yang dinamakan sebagai Nondiscrimination Policy. Jika perniagaan anda dijalankan di negara seperti United States, Kesatuan Eropah dan Canada, antara polisi yang anda perlu ikuti ialah

 

Host tak dibenarkan untuk

1. Menolak tempahan berdasarkan bangsa, warna kulit, kaum, negara asal, agama, orientasi seksual, identiti jantina atau status perkahwinan.

2. Mengenakan terma atau syarat yang berbeza berdasarkan bangsa, warna kulit, kaum, negara asal, agama, orientasi seksual, identiti jantina atau status perkahwinan.

3. Menyiarkan penyenaraian atau membuat kenyataan yang tidak menggalakkan atau menunjukkan bahawa tetamu diterima atau ditolak berdasarkan bangsa, warna kulit, kaum, negara asal, agama, orientasi seksual, identiti jantina atau status perkahwinan.

 

Manakala untuk pengendali homestay yang beroperasi diluar US, EU dan Canada, panduan seperti dibawah ini adalah terpakai.

 

Panduan Khusus untuk Hos Di Luar Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada

Di luar Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Kanada, sesetengah negara atau komuniti mungkin membenarkan atau menghendaki penduduknya membezakan penginapan berdasarkan, sebagai contoh, status perkahwinan, negara asal, jantina atau orientasi seksual, yang melanggar prinsip umum tiada diskriminasi kami.

 

Dalam keadaan seperti ini, kami tidak meminta hos melanggar undang-undang tempatan, atau menerima tetamu yang boleh mendedahkan hos kepada risiko yang jelas dan nyata untuk mereka ditangkap atau mengalami kecederaan fizikal atau kerosakan harta mereka.

 

Hos yang tinggal di kawasan seperti itu perlu menetapkan sekatan sedemikian ke atas keupayaan mereka untuk menjadi hos kepada tetamu tertentu di penyenaraian mereka, agar bakal tetamu sedar tentang isu tersebut dan Airbnb boleh mengesahkan perlunya tindakan sedemikian. Ketika berkomunikasi tentang sekatan tersebut, kami meminta hos menggunakan istilah yang jelas, berfakta dan tiada unsur penghinaan. Cemuhan dan penghinaan tidak dibenarkan di platform atau dalam komuniti kami.

 

Seperti yang saya sebutkan, hal ini akan menjadi isu jika anda menggunakan platform OTA untuk mendapatkan tempahan. Sebaliknya jika anda boleh cari sendiri tetamu tanpa perlu bergantung harap pada platform tersebut, maka anda bebas untuk menetapkan terma dan syarat anda sendiri.

 

Platform OTA ini hanyalah salah satu kaedah yang anda boleh gunakan bagi mendapatkan tetamu. Jika anda tidak bergantung kepada platform ini sekalipun, anda masih ada cara lain yang boleh digunakan.

 

(19) Review dari tetamu

Pada asasnya, review dari tetamu ini adalah sesuatu yang kita tak mampu kawal.

 

Kalau kita berikan perkhidmatan yang terbaik, sama seperti yang kita iklankan, saya pasti anda tidak akan menerima review negatif dari tetamu anda.

 

Ada ketikanya tetamu ini agak berat untuk memberikan review yang positif.

Kadang-kadang mereka juga tidak meninggalkan sebarang review. Melainkan kalau anda berulang-kali mengingatkan mereka untuk memberikan review.

 

Berkenaan dengan review ini, saya pernah menulis artikel khas yang membincangkan tentang cara bagaimana untuk mengelakkan supaya anda menerima review negatif dari tetamu anda.

 

Boleh baca disini: Cara elak menerima review negatif dari tetamu homestay anda

 

Pada hari ini, bakal tetamu akan membuat penilaian berdasarkan kepada komen, ulasan dan juga review dari tetamu terdahulu, sebelum mereka buat keputusan untuk membuat tempahan.

 

Jika banyak review yang negatif, tempat anda mungkin akan sukar untuk mendapat tetamu.

 

(20) Hubungan dengan masyarakat setempat

Sama ada anda sedar ataupun tidak, perniagaan homestay yang anda jalankan, pasti akan memberi kesan kepada penduduk sekitar.

 

Sama ada kesan tersebut adalah sesuatu yang positif mahupun kesan yang negatif.

 

Kalau impaknya positif, maka tak ada sebarang isu. Saya boleh bayangkan, semua orang gembira dan akan merasa sangat bersyukur kerana wujudnya sebuah homestay di kawasan tersebut.

 

Namun kita juga perlu jadi realistik. Terdapat juga pihak yang mungkin kurang senang dengan adanya bisnes homestay, atau sebarang perniagaan tempat penginapan jangka pendek dijalankan di kawasan komuniti mereka.

 

Ini menimbulkan isu berkaitan dengan privasi, keselamatan, kebersihan dan sebagainya.

 

Ada sesetengah tempat, misalnya di kawasan kediaman jenis kondominium, ada persatuan penduduk yang membantah jika ada unit yang disewakan sebagai homestay. Tak kiralah sama ada menerusi Airbnb, Agoda atau secara terus.

 

Maklumlah, perangai pengunjung ini ada pelbagai ragam dan penduduk yang tinggal disitu merasa kurang senang dengan gelagat mereka. Kita ambil contoh, kalau kediaman tersebut mempunyai kemudahan swimming pool.

 

Kalau pengunjung yang menginap disitu untuk jangka masa pendek, mereka ini mungkin akan turun ke swimming pool beramai-ramai. Kalau ada 10 orang menginap di sebuah kediaman, kesemua 10 orang akan turun ke swimming pool.

 

Mereka ini mungkin tak mengikut peraturan pakaian yang ditetapkan dan buat kotor dalam swimming pool.

 

Sedangkan kalau individu yang memang tinggal disitu, mereka ini tak perlu nak turun ke swimming pool beramai-ramai. Situasi ini sudah tentu menyebabkan penduduk disitu merasa kurang selesa.

 

Mereka beli rumah mahal-mahal, bukannya untuk hadap kesesakan seperti itu.

Sepatutnya pada hari cuti, mereka ingin duduk beristirehat di tepi swimming pool dan menenangkan fikiran. Mungkin sambil-sambil duduk berehat, mereka ingin membaca buku.

 

Tapi apabila ada unit yang dijadikan homestay, masa cuti jadi sangat sesak dan bising dengan jeritan kanak-kanak.

 

Apa yang saya ingin ketengahkan disini ialah, jenis kediaman yang berbeza jika dijadikan sebuah homestay, ia mungkin mencetuskan reaksi dan respons yang berbeza dalam kalangan penduduk dan komuniti sekitar.

 

Sebaik-baiknya anda perlu pastikan, perniagaan yang bakal anda jalankan ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah. Jika tidak, anda sendiri yang akan tanggung akibatnya.

Baca juga: Keburukkan bisnes homestay yang jarang orang ceritakan

 

(21) Memberikan pengalaman penginapan yang terbaik

Setiap tetamu perlu diberikan layanan yang terbaik, supaya mereka ini boleh merasai dan melalui pengalaman penginapan yang konsisten.

 

Namun kita juga maklum, lain tetamu maka lainlah ragamnya. Ada tetamu yang kita boleh katakan mereka ini sebenarnya dalam kategori tetamu yang cerewet.

 

Bermula dari saat mereka menghubungi kali pertama lagi, ada macam-macam soalan yang diajukan.

 

Mereka ini mungkin meminta macam-macam perkara dengan anda.

a. Mereka cuba untuk minta pengurangan harga.

b. Mereka minta untuk anda sediakan beberapa kelengkapan memasak tambahan.

c. Mereka minta supaya diberikan kebenaran untuk daftar masuk lebih awal berbanding masa yang sepatutnya.

d. Bila dah masuk homestay, mereka merungut dan banyak komplen

 

Kalau ikutkan hati anda memang rasa rimas dan tak nak layan pelanggan seperti ini. Tapi apakan daya, kalau anda tolak tetamu ini, anda bukan ada pengganti lain.

 

Rezeki jangan ditolak.

 

Namun sepanjang tempoh penginapan tetamu tersebut, anda perlu banyak bersabar dengan kerenahnya.

Baca juga: Strategi memberikan pengalaman penginapan terbaik kepada tetamu homestay

 

(22) Naik taraf hartanah

Salah seorang kenalan saya, yang menjalankan bisnes homestay, sanggup untuk membina sebuah swimming pool bagi memberi kemudahan tambahan kepada tetamu yang menginap di homestay miliknya.

 

Kos untuk bina sebuah swimming pool ini sudah tentu bukannya murah. Tapi demi memberi keselesaan kepada bakal tetamu, beliau sanggup untuk mengeluarkan belanja tersebut.

 

Kenalan saya ini menjalankan bisnes homestay di Kota Bharu, Kelantan.

 

Kalau orang lain, saya tak pastilah sama ada mereka sanggup atau tidak untuk mengeluarkan belanja tambahan seperti ini.

 

Keputusan untuk membuat kerja-kerja naik taraf, bukan semata-mata sebab untuk memberi keselesaan. Adakalanya ia memang perlu dilakukan bagi memberi keunikkan terhadap tawaran yang anda berikan.

 

Lebih-lebih lagi kalau anda beroperasi dikawasan atau lokasi yang ada banyak persaingan. Satu cara untuk memenangi persaingan tersebut, adalah dengan menjadi penyedia perkhidmatan yang lebih baik berbanding orang lain.

 

Kalau semua orang menawarkan perkhidmatan yang lebih kurang sama, kewujudan swimming pool itu sendiri boleh menjadi daya penarik dan membuatkan tetamu akan memilih tempat anda sebagai pilihan pertama.

 

Setelah bertahun-tahun menjalankan perniagaan ini, anda pasti ingin perkenalkan sesuatu yang baru kepada bakal tetamu dan mereka yang pernah menginap di kediaman anda sebelum ini.

 

(23) Aspek percukaian dan perakaunan

Oleh kerana anda menjalankan perniagaan, maka anda tertakluk pada undang-undang negara, yang mewajibkan anda untuk mengisytihar berapa pendapatan yang berjaya anda hasilkan bagi tujuan percukaian.

 

Boleh jadi tidak semua pengendali bisnes homestay mempunyai pengetahuan yang baik tentang cara untuk membuat pengisytiharan pendapatan untuk tujuan percukaian.

 

Maka dalam keadaan ini, mereka perlu dapatkan khidmat dari akauntan professional.

 

Dan ya, ini akan memerlukan kos tambahan.

 

Namun saya percaya ini merupakan satu perbelanjaan yang perlu untuk dilakukan. Jika anda perlukan khidmat berkaitan dengan perakaunan boleh hubungi mana-mana akauntan bertauliah dan jika anda tidak mempunyai kenalan yang boleh tawarkan khidmat tersebut, saya boleh syorkan kenalan saya.

 

(24) Kejadian luar jangkaan

Kejadian yang diluar dugaan seperti bencana alam, keadaan politik yang tak stabil, kemelesetan ekonomi dan sebagainya sudah tentu dapat memberi implikasi negatif terhadap perniagaan yang anda jalankan.

 

Bencana alam yang boleh berlaku adalah seperti ribut, tanah runtuh, banjir dan sebagainya. Kesemua bencana alam seperti ini boleh merosakkan hartanah anda dan memerlukan kos untuk tujuan baik pulih.

 

Keadaan politik yang kurang stabil ini juga tak bagus untuk perniagaan. Ia boleh menyebabkan berlakunya pertukaran kerajaan dan kerajaan yang baru mungkin akan mula memperkenalkan polisi-polisi yang kurang baik untuk perniagaan dalam industri perlancongan.

 

Polisi yang sentiasa berubah-ubah boleh menyebabkan kekeliruan dan mempengaruhi mood percutian.

 

Selain itu, faktor seperti keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan juga turut akan memberi kesan kepada trend percutian. Ketika ekonomi kurang baik, orang ramai akan berkira-kira untuk berbelanja dan akan lebih cenderung mengamalkan cara hidup berjimat-cermat.

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kita boleh katakan yang sebenarnya menjalankan bisnes homestay ini sememangnya mempunyai banyak cabarannya. Cabaran ini bukanlah untuk ditakuti, sebaliknya ianya adalah untuk dihadapi.

 

Setiap cabaran yang muncul dalam menjalankan perniagaan homestay ini, pasti ada jalan penyelesaiannya.

 

Kadang-kadang ada cabaran bisnes homestay yang anda rasakan sangat besar. Sedangkan cabaran itu sebenarnya sudah pernah dilalui oleh orang lain dan mereka berjaya atasi.

 

Cubalah banyakkan membaca dan mungkin berkenalan dengan pengusaha homestay lain, bagi bertukar pandangan dan mendapatkan ilmu.

 

Semoga perkongsian disini, ada yang bermanfaat untuk anda.

 

Jangan lupa untuk muat turun panduan homestay dibawah ini.

Anda boleh muat turun menerusi pautan ini.

 

 

 

Exit mobile version