Blog Sabree Hussin

Keburukan Bisnes Homestay

Bisnes homestay ada keburukan? Biar betul?

Betul la! Buat apa nak tipu pula kan.

 

In fact, saya dah beberapa kali mendengar rungutan dari jiran-jiran yang kurang senang dengan bisnes homestay yang beroperasi dikawasan kejiranan mereka.

 

Posting kali ini, kita nak bincangkan mengenai keburukan bisnes homestay. Pengusaha dan bakal pengusaha bisnes homestay perlu sedar, serta peka mengenai keburukan yang bakal timbul menerusi perniagaan homestay ini.

 

Kalau cerita bab kelebihan, itu saya dah bincangkan dalam posting sebelum ini. Saya jemput anda baca di pautan berikut ya.

Baca: Kelebihan bisnes homestay kepada komuniti setempat

Pada saya, tak ada satupun bisnes yang sempurna.

Setiap bisnes, ianya ada kelebihan dan ada keburukannya.

 

Sebagai usahawan, kita tak sepatutnya hanya fokus pada kelebihan dan cuba untuk menidakkan apa-apa keburukan yang datang bersama dengan realiti perniagaan yang dijalankan.

 

Sebaliknya, adalah lebih baik untuk kita acknowledge keburukan tersebut, lalu ambil langkah yang bersesuaian bagi mengelakkan keburukan tersebut menjadi semakin mudarat hingga ia menyusahkan orang lain.

 

Perbincangan kali ini, mengenai keburukan bisnes homestay, termasuklah perbincangan mengenai kelebihan bisnes homestay sebelum ini, sebenarnya lebih banyak bermain dengan situasi “what if…”

 

Ia mungkin berlaku, dan ia juga mungkin tak akan berlaku, sebagaimana yang saya nyatakan.

 

Tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita terus kepada perbincangan tentang apa dia sisi negatif mengenai perniagaan homestay.

 

Gangguan kepada jiran

Kita mulakan dengan poin pertama iaitu bisnes homestay ada kemungkinan untuk memberi gangguan dan menyusahkan hidup jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan unit kediaman tersebut.

 

Mungkin anda tertanya, apakah bentuk gangguan yang mungkin terjadi?

Pertama sekali, gangguan yang berlaku ini mungkin tak sama, antara satu homestay dengan homestay yang lain.

 

Ketika menulis poin ini, saya sedang membayangkan sebuah unit kediaman jenis rumah teres.

 

Sekiranya unit kediaman anda bukannya jenis rumah teres, gangguan yang kita bincangkan disini mungkin tak berlaku.

1. Masalah kacau parking milik jiran

Mula-mula sekali, saya nak sentuh tentang isu parking kereta.

 

Kalau kediaman seperti rumah teres, maksimum jumlah kenderaan yang boleh dibawa oleh tetamu sepatutnya adalah 2 buah kenderaan sahaja.

 

Jika ada lebih dari 2 buah kenderaan, anda perlu beritahu secara jelas, dimana mereka boleh parking kereta mereka dengan selamat. Sama ada berdekatan dengan lorong, berdekatan dengan kawasan taman permainan atau mana-mana lokasi yang sesuai. Selalunya, lokasi tersebut agak jauh dari unit kediaman dan tetamu perlu berjalan jauh.

 

Kalau dalam situasi ini, sebagai tuan rumah, anda perlu pastikan tetamu anda faham,

1. Maksimum kenderaan yang boleh diparking dihadapan rumah adalah 2 buah sahaja.

2. Kenderaan ketiga perlu parking di lokasi yang agak jauh

3. Jangan sesekali parking dihadapan rumah jiran

4. Jangan parking ditempat yang boleh menghalang laluan

 

Isu parking ini memang nampak remeh, tapi sebenarnya disebabkan oleh isu parking inilah boleh menyebabkan konflik yang lebih besar.

 

Sebagai pemilik rumah, kita rasa tak selesa apabila ada kenderaan yang kita tak kenali, parking depan rumah kita. Kalau parking setakat 5 minit tu, kita masih boleh toleransi lagi.

 

Tapi kalau parking sampai berjam-jam, atau seharian parking dihadapan rumah kita, itu sudah mengganggu.

 

Sesetengah orang, dia sengaja parking depan rumah orang.

Bagi dia, nanti kalau tuan rumah nak keluarkan kenderaan, atau nak masukkan kenderaan, boleh panggil. Atau bunyikan hon. Nanti dia akan keluar.

 

Benda ini memang nampak remeh.

Tapi bagi orang yang hari-hari alami perkara yang sama, ini sangat menjengkelkan.

 

Sebagai tetamu, anda juga perlu tahu apa hak anda. Apa yang anda boleh guna dan apa yang tak sepatutnya anda lakukan.

 

Parking ditempat yang tak sepatutnya, bukan satu tindakan yang betul.

Apatah lagi kalau parking betul-betul dihadapan rumah jiran, hanya sebab ada tempat kosong disitu.

 

Saya agak sensitif bab parking ini, sebabnya saya sendiri pernah alami situasi yang sama.

Dulu pernah ada jiran yang suka-suka parking depan rumah.

 

Setiap kali saya nak keluar rumah, saya perlu panggil untuk minta mereka alihkan kenderaan.

Kalau saya dari luar, sekali lagi saya kena panggil untuk minta mereka alih kereta sebab saya nak masukkan kereta dalam porch kereta.

 

Bila perkara ini asyik berulang, saya mula rasa ada yang tak kena.

Ini seperti nak mencabar saya.

 

Satu hari, saya jumpa terus jiran saya.

Memang saya marah dia betul-betul.

 

Kalau tak ada perubahan dan masih berdegil nak parking depan rumah saya, saya terpaksa ambil tindakan seterusnya.

 

Mungkin report polis, report pihak Majlis Bandaraya atau report dekat Avengers, Shield, Hydra atau sesiapa sahaja. Asalkan saya dah tak nak tengok ada kenderaan lain yang menghalang laluan saya nak keluar dan masuk rumah.

 

Tapi lepas insiden saya confront dengan mereka, dah tak berlaku lagi kejadian dia parking depan rumah saya.

 

Ceh… kalau tau senang je nak setelkan isu ini, hari pertama lagi saya patut maki dia. Kenapalah saya perlu bersabar sampai berminggu-minggu lamanya, baru nak berdepan dengan masalah ni.

 

2. Bunyi bising hingga mengganggu jiran

Suasana bising ini, sebenarnya tak ada siapa yang suka.

 

Kita andaikan situasi ini berlaku pada diri kita. Hujung minggu, kita nak duduk berehat dirumah setelah sepanjang hari kita sibuk bekerja.

 

Kalau boleh kita nak duduk berehat dirumah, nak tenangkan fikiran, sambil-sambil menonton siaran streaming, sama ada melalui Netflix, Disney atau lain-lain perkhidmatan.

Tapi waktu rehat anda, terganggu disebabkan suasana bising dari kediaman jiran anda.

 

Hidup berjiran, biasalah… kan?

Well… masalahnya, mereka tu bukannya jiran anda.

 

Mereka hanya tetamu homestay, atau lebih tepat kalau saya katakan mereka ini adalah pelanggan (customer) yang hanya akan tinggal disitu untuk satu atau dua malam sahaja. Anda tak kenal mereka, dan mereka juga tak peduli siapa jiran-jiran sekitar.

 

Bagi mereka, mereka dah bayar untuk caj penginapan, maka mereka boleh buat apa sahaja yang mereka suka.

Boleh jadi mereka fikir, orang lain yang tinggal disitu, tinggal secara percuma agaknya.

 

Padahal kalau kita tengok dari segi berapa besar bayaran yang dilakukan, tetamu ini mungkin hanya perlu bayar sekitar RM200 – RM300 untuk menginap disitu semalaman.

 

Itupun dah cukup untuk buatkan mereka rasa yang mereka layak untuk buat apa sahaja yang dia suka.

 

Sedangkan jiran lain, yang beli rumah disitu, atau yang menyewa untuk jangka masa panjang, telahpun keluar duit berkali ganda lagi besar dari jumlah yang dibayar oleh tetamu tersebut, dan mereka masih mampu untuk behave dan berkelakuan seperti manusia yang tahu menjaga adab hidup berjiran.

 

Sesetengah tetamu homestay, mereka ini memang ada masalah untuk menghormati waktu senyap atau privasi jiran-jiran.

 

Mereka mungkin akan melakukan aktiviti yang menimbulkan kebisingan atau gangguan berlebihan.

Mereka memasang muzik dengan agak kuat.

Mereka buat acara sukaneka dihalaman rumah, hingga menyebabkan suasana agak riuh.

 

3. Pencemaran udara, bunyi dan bau

Sesetengah homestay, ada yang dilengkapi dengan kemudahan swimming pool dan juga barbeque pit.

 

Niat tuan rumah adalah bagus. Semua ini disediakan bagi keselesaan dan kemudahan tetamu yang menginap.

Walaubagaimanapun, semua ini boleh mengundang masalah baru. Antaranya adalah

1. Bunyi bising

Sesetengah kanak-kanak yang terlalu seronok bermain, mereka ini terjerit-jerit dan terpekik-pekik macam orang hilang akal.

 

2. Asap yang mengganggu jiran

Asap dari tempat pemanggang boleh menyebabkan rasa kurang senang. Kalau dalam keadaan ini, tuan rumah perlu peka terhadap pengggunaan arang.

 

Pastikan guna arang yang jenis smokeless dan yang senang untuk dihidupkan.

 

3. Kebersihan

Bagaimana cara tetamu tersebut menguruskan sisa makanan, yang tertinggal dari aktiviti barbeque tadi?

 

Kalau tetamu yang bagus, mereka akan bersihkan tempat tersebut seperti mana sebelum mereka guna.

Kalau tetamu yang kurang kesedaran sivik, dia akan biarkan kotoran tersebut.

 

Alasannya?

Dia dah bayar caj untuk “cleaning fees”. Kenapa dia masih perlu buat kerja pembersihan lagi?

 

Sisa-sisa makanan yang tak diurus dan dibersihkan dengan baik, akan mengundang kehadiran makhluk perosak seperti tikus, lipas dan sebagainya. Ia bukan semata-mata akan merosakkan homestay tersebut malahan ia mungkin memberi masalah kepada jiran.

 

Kesemua bentuk gangguan ini, secara langsung atau tak langsung, akan menjejaskan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk, yang mungkin terpaksa bertahan dan bersabar dengan kerenah tetamu homestay yang pelbagai ragam.

 

Tambahan pula, sesetengah tetamu homestay boleh mencipta masalah lain, seperti

1. Membuang sampah merata-rata dan membuat kotor dikawasan kediaman jiran.

2. Menceroboh masuk ke kawasan rumah milik jiran

3. Merosakkan harta benda milik jiran

4. Mencuri barangan atau harta benda milik jiran

5. Menggunakan barangan atau harta benda milik jiran tanpa kebenaran

6. Memetik hasil tanaman dari pokok yang ditanam oleh jiran

 

Kesemua perkara ini akan menimbulkan konflik antara pemilik homestay, tetamu yang menginap dan juga jiran-jiran yang terlibat dengan perkara ini.

 

Sepatutnya, pemilik homestay perlu mengambil serius akan isu bunyi bising dan gangguan yang berlaku terhadap jiran-jiran. Sebelum isu menjadi semakin serius dan berada diluar kawalan, anda perlu tangani ia dengan segera.

 

4. Gangguan dari segi rutin harian

Satu lagi bentuk gangguan terhadap jiran-jiran, yang perlu pemilik homestay ambil berat adalah mengenai gangguan terhadap rutin harian jiran-jiran.

 

Situasi dia begini.

 

Ada unit kediaman di kawasan kondominium yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dijadikan sebagai homestay. Unit kediaman seperti ini lazimnya turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gym, bilik rekreasi, gelanggang sukan dan sebagainya.

 

Saya ada beberapa kali pengalaman menginap di unit homestay di kawasan kondominium, dan saya dapati, penduduk yang tinggal disitu memang agak jarang menggunakan kemudahan yang disediakan. Mungkin atas beberapa sebab, misalnya

 

1. Mereka boleh gunakan kemudahan bila-bila masa, jadi mereka tak berebut

Penduduk disitu selalunya mempunyai rutin mereka sendiri, memandangkan mereka tak perlu fikir mengenai keperluan untuk check out.

 

Biasanya pemilik unit kediaman memang jarang gunakan kemudahan yang tersedia dikawasan mereka.

 

2. Mereka ada rutin atau jadual penggunaan mereka sendiri

Ataupun kemungkinan lain, sebenarnya bukan mereka tak gunakan kemudahan, tapi waktu mereka menggunakan kemudahan tersebut, tak bertembung dengan masa saya. Sebab tu saya tak jumpa mereka.

 

Sekarang ini, kita bawa masuk situasi apabila unit kediaman mula disewakan sebagai homestay. Sebuah rumah ada 3 buah bilik. Kita katakan, dalam satu masa, sekurang-kurangnya 6 – 8 orang boleh menginap.

Apabila sampai masa untuk beriadah, seperti menggunakan kemudahan swimming pool, atau mungkin gym, kesemua 8 orang akan turun bersama. Ini menjadikan tempat tersebut mulai sesak, dan menyebabkan suasana jadi kurang selesa.

 

Kadang-kadang mereka ini bukannya betul-betul nak buat senaman, tapi sekadar nak isi masa terluang sahaja. Akibatnya, dia mengganggu penduduk situ yang betul-betul nak bersenam pada masa tersebut.

 

5. Gangguan privasi

Seterusnya kita sentuh pula gangguan dari segi privasi.

 

Saya berpendapat, tuan rumah perlu pesan kepada tetamu, kalau terserempak dengan mana-mana individu yang dikenali, sepanjang menginap di homestay, tak kiralah sama ada individu tersebut adalah artis, ahli politik, influencer atau sesiapa sahaja yang dikenali, sila beri kerjasama dan jangan approach individu tersebut.

 

Hormati privasi orang lain, terutama sekali dikawasan kediaman.

 

Ingatkan bakal tetamu, tujuan mereka datang ke situ adalah untuk menginap.

Bukannya untuk mengganggu penduduk lain yang ada disitu.

 

6. Hilang semangat kejiranan

Semangat kejiranan ini sebenarnya memerlukan masa yang agak lama untuk dibentuk dan dipupuk.

 

Pembentukan semangat kejiranan ini lebih mudah terjalin apabila jiran kita merupakan seseorang yang akan tinggal disitu untuk jangka masa panjang.

 

Kalau dia merupakan penyewa, setidak-tidaknya mereka perlu menyewa disitu untuk beberapa tahun.

 

Sebaliknya, kalau penyewa adalah mereka yang akan menginap sekadar 2 atau 3 malam sahaja, hubungan baik sesama jiran agak sukar untuk dibentuk. Sebaliknya, ia akan lebih menimbulkan rasa kurang selesa, memandangkan individu yang akan kelaur masuk di kediaman tersebut sentiasa bertukar-tukar.

 

7. Isu keselamatan

Isu keselamatan ini juga sebenarnya menarik untuk kita lihat. Ia bukannya semata-mata mengenai keselamatan nyawa sahaja, sebaliknya ia merangkumi aspek keselamatan harta benda sekali.

 

Sebelum ini, kita pernah membaca laporan berita mengenai scammer homestay, yang mana dalam situasi ini, banyak tetamu ditipu hingga mengakibatkan kerugian yang banyak.

 

Pada sisi yang lain, boleh juga berlaku keadaan dimana tetamu itu sendiri yang bermasalah, dan memilih homestay sebagai tempat penginapan untuk kegiatan jenayah ataupun sesuatu yang tidak bermoral.

 

Sebagai contoh, boleh jadi keadaan dimana homestay dijadikan makmal dadah ataupun tempat untuk bermadu kasih dengan pasangan yang bukan mahram.

 

Tetamu juga boleh terdedah dengan bahaya seperti menjadi mangsa rompakan, ragut dan lain-lain jenayah, yang mungkin dilakukan oleh penduduk tempatan.

 

8. Kesesakan dikawasan perumahan

Bisnes homestay, lazimnya dijalankan dikawasan perumahan dan kediaman penduduk. Ya, saya tahu saya dah banyak kali ulang kenyataan ini.

 

Apa yang saya nak highlight adalah berkenaan dengan isu kesesakan yang boleh berlaku disebabkan oleh wujudnya bisnes homestay.

 

Kali ini kita nak lihat situasi bisnes homestay dikawasan kampung-kampung pula.

 

Saya pernah memandu dikawasan kampung dinegeri-negeri seperti Kedah, Selangor, Kelantan, Perlis dan beberapa negeri yang lain. Kalau dikawasan kampung, kita masih boleh jumpa keadaan jalan yang sempit, yang hanya boleh memuatkan sebuah kereta sahaja dalam satu masa.

Boleh jadi jalan dekat situ agak sempit, disebabkan kebanyakkan penduduk disitu menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama dan hanya ada beberapa buah rumah sahaja yang ada kereta sendiri.

 

Dikawasan yang sama, kita boleh jumpa ada beberapa buah rumah yang dijadikan homestay.

 

Bila saya melihat situasi ini, saya selalu akan berpesan pada diri, dan pada sesiapa yang mendengar.

“Jangan ambik homestay dalam kawasan kampung atau pedalaman.”

 

Benda ni sangat menyusahkan.

 

Jalan nak masuk ke kawasan homestay sangat kecil.

Hanya boleh muat sebuah kereta.

 

Kalau kebetulan bertembung dengan kereta lain, salah seorang kena mengalah.

Kalau perlu undur, undur.

Kalau perlu beri laluan, beri laluan.

Kalau kanan kiri longkang? Macam mana nak buat?

 

Sebab tu, kadang-kadang perjalanan yang jaraknya cuma 5KM boleh makan masa sampai berjam-jam, sebabnya berlaku kesesakan.

 

Kalau dalam posting sebelum ini, mengenai kelebihan bisnes homestay, memang saya ada sebutkan, kewujudan bisnes homestay akan menggalakkan pembangunan dari segi infrastruktur di kawasan kejiranan.

 

Mana-mana jalan yang rosak, kecil, longkang yang tersumbat akan mula dinaiktaraf.

 

Tetapi, untuk menikmati semua ini, penduduk sekitar mungkin terpaksa bersabar dan hidup dalam keadaan terseksa terlebih dahulu, barulah pembangunan yang sebenar dapat dilihat.

 

Worst case scenario, ia perlu melalui fasa dan peristiwa dimana berlaku kemalangan, ketegangan dan macam-macam perkara terlebih dahulu, barulah usaha untuk menaik taraf dilakukan.

 

Sebelum penginapan di homestay mula popular dan menjadi pilihan, kebanyakkan pelancong akan menginap di hotel.

Hotel pula, biasanya akan beroperasi dikawasan pekan, bandar atau yang berdekatan dengan tempat peranginan.

 

Setidak-tidaknya, hotel akan beroperasi dilokasi yang agak jauh dari kawasan kediaman atau perumahan penduduk.

 

Justeru, kalau berlaku kemasukkan pelancong dari luar yang agak ramai, ia tak memberi kesan yang terlalu ketara kepada pergerakkan penduduk sekitar.

 

Tetapi, apabila semakin ramai yang memilih homestay, ia mula mengganggu pergerakkan penduduk sekitar, dengan kemasukkan bermacam kenderaan dari luar.

 

9. Kesesakan dikawasan peranginan

Apa yang bagusnya, kalau kawasan peranginan itu penuh sesak dengan kemasukkan pelancong dari luar? 

 

Ia mungkin memberi manfaat dan durian runtuh buat golongan peniaga, tetapi bagaimana pula keadaannya dengan mereka yang tidak berniaga?

 

Satu ketika dulu, penduduk disitu boleh beriadah bersama keluarga dikawasan peranginan yang tak jauh dari kawasan kejiranan mereka.

 

Tetapi, apabila kawasan tersebut mula menjadi kawasan tumpuan pelancong, ia mulai sesak dan penduduk yang memang tinggal disitu, terpaksa berdepan dengan masalah kesesakan.

 

Saya membayangkan kawasan peranginan seperti Cameron Highland.

Setiap kali musim cuti, atau hujung minggu, tempat ini mula sesak dengan kehadiran pengunjung dari luar.

Pernah tak terfikir, bagaimana agaknya aktiviti penduduk tempatan, apabila tiba musim cuti?

Macam mana mereka nak beriadah? Bagaimana mereka nak bergerak?

 

Adakah terdapat laluan lain, yang hanya diketahui oleh penduduk setempat?

Atau mereka juga terpaksa sama-sama mengharung kesesakan jalan raya bersama pengunjung dari luar.

 

10. Ketegangan dalam kalangan penduduk

Sebenarnya, isu mengenai sewa jangka masa pendek sama ada melalui Airbnb, Agoda, atau atas usaha sendiri, sudah mula menunjukkan tanda-tanda bahawa ianya tak disenangi oleh kejiranan.

 

Antara sebab-sebabnya adalah seperti

1. Gangguan bunyi bising

2. Masalah parking tanpa kebenaran

3. Isu keselamatan

4. Gangguan rutin harian

5. Gangguan privasi

 

Ada kejiranan yang mengambil tindakan yang lebih agresif, melalui persatuan penduduk yang membuat bantahan secara terbuka untuk menghalang aktiviti homestay, atau sebarang bentuk sewaan jangka pendek, dijalankan dikawasan kejiranan mereka.

 

Dalam hal ini, saya kira ada baiknya bakal pembeli rumah, untuk memeriksa dengan teliti sebarang perjanjian yang anda perlu tandatangan dalam hal-hal berkaitan pemilikan rumah ini.

 

Manalah tau, ada klausa dalam perjanjian yang mana pemilik rumah tak dibenarkan menjalankan aktiviti sewaan secara short term rental.

 

11. Kekurangan kediaman untuk sewa jangka masa panjang

Apa akan terjadi, kalau kebanyakkan pemilik rumah, lebih suka untuk menjadikan unit hartanah milik mereka, sebagai homestay, berbanding untuk dijadikan rumah sewa?

 

Senang je jawapan untuk soalan ini.

 

Kalau semua pemilik rumah lebih cenderung untuk jadikan rumah milik mereka sebagai homestay, berbanding rumah sewa, ini akan menjadikan jumlah kediaman yang boleh disewa jadi makin berkurang.

 

Mereka yang benar-benar perlukan rumah sewa, terpaksa menyewa di lokasi yang lebih jauh.

 

12. Kurang atau tiada pemantauan dari pihak berkuasa

Apabila berlaku keadaan dimana pemantauan dan kawalselia dari pihak berkuasa adalah ditahap yang rendah, ini membuatkan hampir sesiapa sahaja boleh menjalankan perniagaan homestay ini.

 

Adakah ianya tidak bagus?

Kita keluar sekejap dari ruang lingkup bagus atau tidak.

 

Kita sedang bercerita tentang persoalan “apa yang akan berlaku seterusnya…”

 

Apabila pemantauan dan kawal selia sangat kurang, ini akan menjurus kearah berlakunya keadaan seperti

1. Terlalu banyak bisnes homestay

2. Tiada kawalan terhadap harga sewaan

 

Siapa yang akan dapat manfaat, jika disesebuah kawasan itu ada terlalu banyak bisnes homestay?

Pemilik bisnes akan bersaing sesama sendiri dan akan sentiasa berebut pelanggan. Jika kawasan tersebut memang merupakan kawasan tumpuan, mungkin semua orang akan dapat pelanggan.

 

Tapi bagaimana pula halnya, kalau kawasan tersebut bukanlah kawasan tumpuan?

Pelanggan juga jarang-jarang datang ke lokasi tersebut.

 

Begitu juga halnya, jika kos penginapan di homestay terlalu murah.

Siapa yang untung dalam situasi ini?

 

Ya, mungkin pelanggan akan untung sebab dapat menikmati harga murah.

 

Persoalannya, bagaimana pula dengan pemilik bisnes?

Adakah mereka akan beroperasi dalam keadaan breakeven? Dalam keadaan rugi? Adakah harga murah tersebut, membolehkan mereka menjana keuntungan?

Baca juga: Strategi menetapkan kadar sewaan untuk bisnes homestay

 

13. Kenaikkan harga hartanah

Permintaan yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan homestay, berpotensi untuk menyebabkan harga unit hartanah disesebuah kawasan menjadi lebih tinggi.

 

Ini akan menyebabkan individu yang ingin memiliki rumah sendiri, mendapat kesukaran untuk membeli hartanah dikawasan tersebut.

 

Akhirnya, hanya individu yang benar-benar kaya sahaja yang mampu untuk memiliki hartanah dikawasan tersebut. Mereka akan membeli hartanah bukan sekadar satu unit, malahan mungkin lebih dari satu untuk tujuan perniagaan.

Rumah merupakan keperluan asas setiap individu.

Tapi kalau harga rumah terlalu mahal hingga menyebabkan ianya mustahil untuk dibeli, kita perlu lihat kembali, apakah yang menjadi faktor kepada kenaikkan harga rumah tersebut.

 

Adakah kerana wujud golongan kaya yang membeli rumah sebanyak-banyaknya, kemudian dijadikan rumah tersebut sebagai sebuah alat untuk menghasilkan keuntungan?

 

14. Manipulasi dan kempen pemasaran yang mengelirukan

Saya pernah ditawarkan untuk melihat unit hartanah, disebuah lokasi yang kalau tak silap saya, disekitar Cyberjaya. Katanya, unit hartanah tersebut sangat bagus untuk tujuan pelaburan, sekiranya saya tak bercadang untuk tinggal disitu.

 

Bila bercakap mengenai pelaburan hartanah, lazimnya ia merujuk kepada beberapa perkara, iaitu

1. Beli, simpan untuk satu tempoh masa dan jual semula

2. Beli dan sewakan untuk jangka masa panjang

3. Beli dan sewakan untuk jangka masa pendek

 

Harga rumah juga berkait rapat dengan faktor permintaan dan tawaran. Jika permintaan tinggi, maka harga boleh meningkat lebih tinggi.

Sebaliknya, jika permintaan kurang, harga juga boleh jatuh.

 

Bagaimana kalau permintaan yang banyak itu sebenarnya didorong oleh kempen promosi yang mengelirukan, yang kononnya projek perumahan tersebut sangat berpotensi untuk dijadikan rumah pelaburan?

 

Ya, orang yang ada duit dan ada kemampuan, akan beli rumah tersebut.

Bukannya untuk didiami, tapi lebih kepada untuk pelaburan.

 

Pada poin ini, saya tak mengatakan tindakan tersebut adalah salah.

Setakat yang saya tahu, ianya juga tak melanggar apa-apa peraturan dan juga undang-undang.

 

Bermakna ianya memang boleh dilakukan. Namun ini bukan bermakna tindakan tersebut tidak memberi sebarang implikasi.

 

Implikasi yang kurang baik adalah apabila seseorang itu membeli unit kediaman dengan harapan dan jangkaan bahawa dia akan menghasilkan keuntungan yang berlipat kali ganda, hasil daripada pemilikan hartanah tersebut.

 

Strateginya mudah sahaja.

Beli rumah kemudian jadikan rumah tersebut sebagai sebuah homestay, memandangkan potensi keuntungan yang bakal diperolehi adalah lebih tinggi berbanding kalau dijadikan rumah sewa.

 

Kalau risau mengenai aspek mendapatkan tetamu, boleh gunakan platform Online Travel Agent (OTA) seperti Airbnb, Agoda, Booking.com dan sebagainya.

Baca juga: Senarai laman web untuk mempromosikan bisnes homestay

 

Bayaran bulanan, akan dibayar menggunakan duit penyewa.

Sampai satu masa, rumah tersebut akan naik harga, dan anda boleh jual untuk dapatkan keuntungan.

 

Ataupun jika anda terus simpan unit hartanah tersebut pun tak ada masalah.

Selagi mana bisnes homestay anda masih berjalan, selagi itu ada orang yang akan bantu bayarkan bayaran ansuran tersebut.

 

Walaubagaimanapun, kalau anda benar-benar ikuti perjalanan bisnes homestay yang sebenar, anda akan nampak, bisnes ini juga ada naik dan turunnya.

 

Kalau mengharap kepada kemasukkan pelancong dari luar, ia bergantung kepada musim puncak atau tidak.

 

Kalau mensasarkan tetamu yang datang atas urusan kerja, ia berkait rapat kepada faktor sama ada tempat tersebut adalah kawasan tumpuan perniagaan dan kegiatan ekonomi atau tidak.

 

Bisnes homestay ini juga adalah antara bisnes yang menerima impak negatif, semasa penularan wabak covid satu masa dulu.

 

Jadi apa yang saya ingin sampaikan ialah, bisnes ini juga sama seperti lain-lain perniagaan diluar sana. Ia ada naik dan turunnya.

 

Adakalanya, kalau hanya membaca perkongsian ejen hartanah, anda mungkin terdedah kepada perkara bias, memandangkan motivasi mereka adalah untuk menjual unit hartanah tersebut.

 

Anda bersetuju untuk beli rumah, kerana yakin pada potensi keuntungan yang bakal anda perolehi. Tetapi, bagaimana kalau keuntungan yang anda harap-harapkan itu, masih tak kelihatan walaupun sudah 5 tahun berlalu?

 

Gangguan terhadap perniagaan disekitar

Sebelum ini, kita sentuh mengenai bentuk-bentuk gangguan terhadap kawasan kejiranan, kali ini kita akan sentuh sedikit mengenai gangguan yang bakal berlaku terhadap perniagaan yang wujud disekitarnya.

 

Ada beberapa perniagaan yang akan menerima tempias negatif, dari bisnes homestay.

 

15. Impak negatif terhadap industri perhotelan

Satu lagi keburukan bisnes homestay ini ialah, ia berupaya untuk memberikan impak negatif terhadap perniagaan sedia ada, terutama sekali bidang hospitaliti seperti hotel dan sebarang bentuk penginapan yang telah beroperasi lebih awal berbanding homestay.

 

Sekiranya permintaan terhadap homestay lebih banyak berbanding hotel, ini akan menjejaskan perniagaan hotel, dan untuk jangka masa panjang, mereka perlu ambil langkah drastik untuk menjimatkan kos, dengan mengurangkan jumlah pekerja.

 

Kalau dalam posting sebelum ini, saya ada katakan bahawa bisnes homestay boleh membantu mencipta peluang pekerjaan, namun pada sisi yang lain, bisnes homestay juga berupaya mengakibatkan perniagaan sedia ada terjejas, dan menyebabkan kehilangan pekerjaan jika pesaingan terlalu sengit.

 

Dalam situasi ini, mungkin kita perlu perhalusi persoalan, adakah pelanggan homestay dengan pelanggan hotel adalah terdiri daripada orang yang mempunyai latar belakang yang sama? 

 

Jika jawapannya adalah sama, maka bisnes yang lebih awal akan berdepan dengan masalah, dan mereka akan saling bersaing.

 

Sebaliknya, jika jawapannya adalah berbeza, maka setiap bisnes, sama ada hotel mahupun homestay, sebenarnya masih berpeluang untuk beroperasi dengan baik, dalam ruang lingkup mereka sendiri, dengan risiko kegagalan yang agak minimum.

 

Kita andaikan, tiada mana-mana entiti yang “mencuri” pelanggan milik entiti yang satu lagi.

Lagipun, setiap perniagaan itu, sebenarnya memberi khidmat kepada kelompok pelanggan yang berbeza.

 

Namun sudah tentu keadaan ini berubah, apabila kemunculan homestay adalah sebab ingin memberi alternatif kepada pelanggan hotel yang mungkin memerlukan tempat penginapan yang berbeza dari segi konsep, dan harga berbanding yang ditawarkan oleh hotel.

 

Dalam situasi ini, jelas perniagaan homestay itu sebenarnya sedang merebut pelanggan dari jenis dan latar belakang yang sama, seperti mana yang disasarkan oleh perniagaan sedia ada.

 

Pada pandangan saya, ini bukanlah satu perkara yang sihat. Sepatutnya, perniagaan homestay itu, mensasarkan kelompok pelanggan yang berbeza latar belakang dan keperluan, sebagai contoh, mereka sepatutnya lebih mensasarkan pelanggan yang mempunyai ciri seperti

1. Ingin pengalaman penginapan yang sama seperti dirumah sendiri

2. Mereka yang bercuti bersama dengan keluarga

3. Mereka yang ingin berkumpul dan ingin bincangkan perkara tertentu

4. Mereka yang lebih suka menginap di homestay

 

Individu seperti ini, kebiasaannya, memang tak akan memilih hotel sebagai tempat penginapan. Kalau ada keperluan yang mendesak untuk ke tempat tersebut, mereka lebih rela balik pada hari yang sama, daripada menginap di hotel.

 

Apabila ada homestay disitu, barulah mereka akan bermalam.

 

Sebaliknya, kalau pemilik homestay memang dari awal ingin merebut pelanggan yang selama ini memilih hotel, dan dalam marketing material, pemilik homestay juga lebih mengetengahkan hal-hal seperti kos penginapan yang lebih murah, tindakan ini lebih menjurus kearah ingin merebut pelanggan yang sama, seperti mana perniagaan sedia ada.

 

Oleh kerana secara umumnya, homestay mampu menawarkan harga penginapan lebih murah berbanding hotel, kerana tiada komitmen seperti perlu membayar gaji pekerja secara konsisten, ini memberi impak negatif kepada hotel.

 

Untuk jangka masa panjang, keuntungan dan ketahanan bisnes hotel pasti akan tergugat hingga menyebabkan mereka perlu ambil langkah drastik seperti mengurangkan kos dan memotong perbelanjaan tertentu.

 

Kalau sebelum ini, mereka mampu untuk mengupah pekerja tetap, kali ini mereka mungkin perlu buang pekerja dan gantikan dengan pekerja kontrak. Mereka ini hanya akan dipanggil pekerja apabila ada pelanggan sahaja, jika tak, maka mereka tak perlu datang untuk buat kerja pembersihan.

 

16. Impak negatif terhadap perniagaan sekitar

Apa yang membuatkan menginap di homestay, berbeza dengan menginap di hotel?

 

Ada beberapa kelainan.

Tapi untuk poin disini, saya ingin sentuh mengenai pengalaman seperti menginap di kediaman sendiri.

 

Apabila tetamu boleh menginap ditempat yang serba lengkap seperti di homestay, mereka boleh menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menyediakan makanan mereka sendiri.

Mereka tak perlu susah-payah untuk keluar mencari sarapan pagi atau mungkin untuk makan tengahari. Mereka boleh menyediakan makanan mereka sendiri.

 

Dalam situasi ini, kemasukkan pelancong yang ramai, tak begitu memberi kesan positif kepada perniagaan seperti restoran.

 

Andai kata, ada perniagaan yang dibina, khusus untuk mensasarkan pelanggan yang merupakan pelancong yang datang dari luar, perniagaan ini akan terjejas kerana perubahan gaya berbelanja pelancong yang datang.

 

Kini pelancong sudah tak lagi keluar untuk mencari sarapan.

Bisnes kedai makan, yang fokusnya menyediakan menu sarapan pagi kepada para pelancong akan menerima impak yang negatif.

 

Selain itu, bisnes kedai dobi layan diri, yang sepatutnya boleh menerima kesan positif kerana ada pelancong yang akan mencuci pakaian, juga tidak lagi menerima sebarang bisnes, sekiranya di homestay sudah menyediakan mesin basuh dan juga mesin pengering pakaian.

 

Bagaimana kalau satu hari nanti, pemilik homestay mula meluaskan lagi tahap perkhidmatan, dengan menawarkan perkhidmatan seperti

1. Airport transfer

2. Kereta sewa

3. Pakej aktiviti

 

Tetamu yang memerlukan kenderaan, boleh menyewa kereta milik tuan rumah dalam satu kadar yang tak terlalu mahal, dan tak terlalu murah.

 

Semua ini boleh berlaku.

Kenapa ia tak berlaku, atau belum berlaku, semuanya atas faktor kekangan sumber atau modal.

 

Pengusaha bisnes homestay, kalau dia mempunyai modal yang besar, dia boleh sahaja menawarkan khidmat tambahan seperti

1. Pakej percutian

2. Kereta sewa

3. Sarapan pagi / Pakej makanan

 

Perkara ini, bila kita perhalusi, sebenarnya semakin jelas, bahawa kewujudan bisnes homestay itu mula memberi impak negatif terhadap beberapa bisnes yang beroperasi disekitarnya.

 

Penutup

Adakah semua keburukan tentang bisnes homestay yang saya sebutkan ini, pasti akan terjadi?

Besar kemungkinan, ada yang akan berlaku, dan ada yang tak akan berlaku.

 

Perbincangan mengenai keburukan bisnes homestay ini juga, bukanlah bertujuan untuk mencari, pihak mana yang salah dan pihak mana yang betul.

 

Saya sedar, mungkin ada beberapa poin yang saya ketengahkan akan mengundang reaksi seperti

1. “salah ke kalau buat benda ni?”

2. “jadi apa masalahnya?”

3. “So? Nak kena stop bisnes ke macam mana?”

 

Seperti yang saya sebutkan diawal-awal tadi, perbincangan kita disini akan banyak bermain dengan situasi “what if…”

Dan saya juga bukannya ingin mencari kesalahan mana-mana pihak.

 

Ada banyak pihak perlu main peranan, bagi memastikan kelancaran bisnes homestay ini.

Terutama sekali pemilik bisnes.

 

Semoga anda boleh menjadi seorang pengusaha homestay yang peka dengan perkara-perkara, yang saya sebutkan disini. Bertimbangrasalah terhadap jiran-jiran anda.

 

Kalau nak bagi sepenuh kebebasan dan keseronokkan kepada tetamu anda, buatlah bisnes homestay ini ala-ala style bisnes resort. Buat dikawasan yang agak jauh dari kawasan kejiranan.

 

Tetamu anda boleh buat bising, boleh berhibur dan buat apa sahaja tanpa mengganggu sesiapa.

Tapi, selagi mana anda beroperasi dikawasan yang ada ramai orang, kenalah ambil tahu apa yang berlaku,

 

Bila buat bisnes ini, kita jangan hanya fokus kepada perkara yang elok-elok semata. Kita perlu ambil berat juga, apakah perkara negatif yang mungkin boleh berlaku, supaya kita lebih bersedia dan ambil langkah yang tepat untuk mengelakkan perkara tersebut dari benar-benar berlaku.

 

Sebelum ini, saya juga pernah menulis topik tentang senarai komplen yang biasa diutarakan oleh tetamu homestay.

Tujuannya bukanlah untuk menunjukkan betapa teruk atau negatifnya tetamu yang bakal anda perolehi.

Bukan.

 

Sebaiknya kita nak anda lebih bersedia, menghadapi sebarang kemungkinan, daripada yang bagus-bagus kepada yang tak berapa bagus.

Sekurang-kurangnya, anda ada peluang untuk elakkan tragedi dari terjadi, sebelum ia benar-benar terjadi.

 

Apabila anda bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan dan boleh berlaku, anda akan mempunyai lebih banyak kawalan terhadap perniagaan yang dijalankan.

 

Menutup perbincangan disini, saya sertakan screenshot komen yang pernah ditinggalkan oleh salah seorang pelawat blog saya.

Saya percaya, diluar sana, ada ramai lagi orang yang pernah alami pengalaman yang sama, apabila ada homestay diwujudkan dikawasan kejiranan.

 

Jadi saya ingin berpesan kepada pemilik bisnes homestay diluar sana, agar lebih peka dan bertimbangrasalah terhadap jiran-jiran anda.

 

 

Exit mobile version