Blog Sabree Hussin

Kenapa pilih untuk buat bisnes homestay?

Dalam banyak-banyak bisnes yang ada atas dunia ini, kenapa pilih untuk buat bisnes homestay?

 

Pernah tak persoalan ini terlintas difikiran anda sebelum ini?

 

Cuba ambil sedikit masa.

Pastikan pada waktu itu anda berada dalam keadaan bertenang. Kita renung dalam-dalam, kenapa dalam banyak-banyak bisnes yang ada diluar sana, anda memilih untuk menjalankan bisnes homestay?

 

Apa yang istimewa sangat bisnes homestay ini sampaikan ia menjadi pilihan anda?

Manalah tahu kan, ada nampak sesuatu yang istimewa yang hanya ada pada bisnes homestay, tapi orang lain tak perasan pun.

 

Alternatif bagi bisnes homestay

Apakah dia alternatif bagi bisnes homestay?

Bisnes homestay ini biasanya mensasarkan kategori pengunjung yang memerlukan tempat penginapan untuk jangka masa pendek dan sederhana. Biasanya tetamu akan menginap sama ada untuk satu, dua atau mungkin tiga malam sahaja.

 

Tetapi untuk unit kediaman yang sama, anda boleh jadikan sebagai tempat penginapan untuk jangka masa panjang, misalnya dijadikan sebagai rumah sewa.

 

Pada pendapat saya, sama ada rumah sewa atau bisnes homestay, kedua-dua ada kelebihannya yang tersendiri.

 

Ada lokasi yang lebih menguntungkan kalau dibuat bisnes homestay, dan ada juga lokasi yang lebih berbaloi kalau dijadikan rumah sewa.

 

Pesaing bagi bisnes homestay

Bisnes homestay bukanlah bisnes yang tak ada pesaingan. Malahan, disesetengah kawasan, boleh jadi pesaingan yang berlaku adalah sangat sengit.

 

Antara bisnes yang boleh dilihat sebagai pesaing adalah seperti

i. Hotel

ii. Resort

iii. Motel

iv. Airbnb dan sebagainya

 

Kewujudan pesaing bukanlah satu perkara yang buruk. Malahan ia sebenarnya boleh dijadikan petanda bahawa perkhidmatan sedemikian mempunyai potensi yang agak besar. Jika bisnes tempat penginapan tak ada permintaan, atas sebab apa orang lain memilih untuk menjalankan bisnes yang serupa?

 

Seperti biasa, sebelum nak terus memulakan sesuatu bisnes, kita perlu tahu sama ada dilokasi dimana tempat yang akan kita jalankan bisnes tersebut, wujud permintaan atau sebaliknya.

 

Ini bermakna, kita perlu lakukan sedikit kajian pasaran.

Tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada kita tersilap memilih perniagaan yang sebenarnya tak ada atau kurang permintaan.

 

Faktor yang mempengaruhi permintaan terhadap bisnes homestay

Persoalannya, apakah dia faktor yang menjadi penentu kepada sama ada perniagaan tersebut ada permintaan atau sebaliknya?

Ada beberapa perkara yang kita boleh ambil perhatian.

 

(1) Destinasi percutian

Jika dilokasi tersebut terdapat tempat tumpuan pelancongan, bisnes homestay biasanya ada peluang yang cerah untuk memberikan pulangan yang lebih baik.

 

Namun, ini bukan bermakna bisnes ini akan jadi lebih mudah.

Biasanya ditempat yang mempunyai destinasi percutian yang menarik dan popular, lazimnya turut terdapat banyak pengusaha lain yang turut menjalankan perniagaan yang sama.

 

Sebagai contoh kita lihat di Pulau Langkawi misalnya. Nama Pulau Langkawi ini memang sudah tak asing lagi, sebagai sebuah destinasi pelancongan yang popular di negara kita.

Malahan bukan pengunjung dari dalam negara sahaja yang memilih untuk bercuti di pulau ini, malahan ada juga pelancong dari negara lain yang turut memilih untuk bercuti di Pulau Langkawi.

 

Jika kita lihat pada data yang saya ambil dari laman web Online Travel Agent Airbnb, kita dapat saksikan disini terdapat lebih dari 1,000 rumah percutian yang boleh dipilih oleh pengunjung yang ingin datang bercuti ke tempat ini.

 

Ini secara tak langsung menyebabkan persaingan antara pengusaha rumah percutian jadi bertambah sengit dan pastinya, rumah percutian atau homestay yang terbaik yang akan mendapat tempat dihati pengunjung.

 

(2) Kualiti perkhidmatan tempat penginapan sedia ada

Besar kemungkinan, tempat dimana anda bakal menjalankan bisnes homestay sudah ada hotel ataupun motel yang telah lama beroperasi sebelum anda. Cuba perhatikan, bagaimanakah kualiti perkhidmatan yang tersedia ditempat tersebut?

 

Kalau disebuah pekan atau bandar yang agak kecil, lazimnya terdapat beberapa buah hotel yang beroperasi disitu. Namun, perkhidmatan yang tersedia mungkin agak asas.

 

Biasanya isu dengan hotel (atau hotel bajet) yang beroperasi dipekan-pekan kecil ini adalah

i. Masalah tempat letak kenderaan yang terhad

Saya pernah beberapa kali menginap di hotel bajet dan saya dapati masalah yang selalu saya hadapi adalah berkenaan dengan tempat letak kenderaan. Saya terpaksa letak kenderaan ditempat yang agak jauh dari hotel, memandangkan pihak hotel hanya menyediakan petak parking yang agak terhad. Ianya menggunakan konsep siapa cepat dia dapat (first come first serve basis).

 

Bila terpaksa parking jauh ini, secara tak langsung ia membuatkan saya terfikir mengenai aspek keselamatan. Adakah kenderaan yang saya tinggalkan itu selamat?

Tapi kalau menginap di homestay, ia lebih meyakinkan memandangkan kenderaan memang kita akan parking di dalam anjung rumah.

 

ii. Ruang dalam bilik yang agak sempit 

Bilik dalam hotel agak sempit sehinggakan ruang untuk solat pun kadang-kadang tak ada. Tapi kalau dapat bilik yang agak luas, itu boleh kita anggap sebagai bonus.

 

Tapi kebanyakkan hotel bajet, ruang dalamannya memang agak sempit.

 

iii. Biasanya susun atur dalam bilik tak begitu menarik

Dari segi susun atur dan pemilihan perabot juga tak begitu diberikan perhatian. Asalkan kemudahan dan kelengkapan asas itu ada sudah memadai. Lagipun orang tempah bilik hanya untuk bermalam, bukannya untuk perkara lain.

 

Mujurlah aspek kebersihan tak dibuat secara sambil lewa.

 

iv. Kemudahan yang disediakan terlalu asas

Biasanya ada katil, almari, meja solek, penyaman udara, bilik air. Hanya kemudahan-kemudahan asas sahaja yang disediakan. Kalau ada wifi pun biasanya tak begitu laju.

 

v. Hotel terletak dikawasan yang agak bising dengan kenderaan lalu lalang

Hotel beroperasi dikawasan yang banyak kenderaan lalu lalang. Jika kawasan tersebut agak sibuk, pengunjung mungkin akan terganggu dengan bunyi bising dari kenderaan yang lalu lalang disekitar.

 

Jika satu-satunya tempat penginapan yang tersedia ditempat anda adalah hotel bajet dan mempunyai isu seperti yang saya sebutkan, ini merupakan peluang anda untuk menawarkan perkhidmatan tempat penginapan dengan kualiti yang berkali ganda lebih baik.

 

(3) Kos penginapan di homestay

Kos untuk menginap di homestay yang mempunyai 3 buah bilik, boleh jadi lebih murah berbanding menempah tiga buah bilik hotel.

 

Biasanya untuk keluarga atau kumpulan yang agak besar, yang ingin menjimatkan kos penginapan, akan memilih homestay berbanding menginap di hotel. Tetamu bukan sahaja boleh menggunakan bilik tidur, malahan boleh juga tidur di ruang tamu, kalau menginap di homestay.

 

(4) Privasi

Bagi mereka yang pentingkan aspek privasi, homestay adalah pilihan yang lebih sesuai. Homestay biasanya terletak dikawasan yang agak jauh dari bandar.

 

Kenapa pilih bisnes homestay?

Kalau kita tanya pada setiap pengusaha dan pengendali bisnes homestay, kenapa mereka pilih untuk memulakan bisnes ini, boleh jadi kita akan dapat jawapan yang pelbagai.

 

Setiap orang mempunyai sebab dan motivasi yang berbeza, kenapa mereka pilih untuk memulakan sesuatu bisnes. Dekat bawah ini, saya senaraikan antara sebab kenapa orang menjalankan bisnes homestay.

(1) Sebab nak jana keuntungan

Lumrah bagi mana-mana individu yang memulakan bisnes sendiri, sudah tentu mereka buat bisnes untuk hasilkan keuntungan. Apalah gunanya buat bisnes kalau tak untung?

 

Sebab itulah penting untuk mana-mana individu yang nak mulakan perniagaan, untuk membuat kajian pasaran terlebih dahulu bagi mengenalpasti permintaan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan.

 

Hanya setelah anda mempunyai maklumat yang cukup, barulah anda mulakan bisnes homestay tersebut.

 

Saya perasan ada satu trend yang mana pembeli membeli hartanah unit kondominium baru bagi tujuan dijadikan bisnes homestay atau guesthouse. Adakah tindakan ini tepat dan menguntungkan?

 

Saya tak ada jawapan bagi persoalan tersebut.

Mana-mana individu yang ingin membeli hartanah bagi tujuan bisnes, patut membuat kajian pasaran terlebih dahulu.

 

Kalau hanya dengar cakap-cakap ejen hartanah, mungkin mereka akan kata ini adalah tindakan yang paling tepat. Nasihat yang mereka berikan, mungkin ada sedikit bias memandangkan mereka memang ingin meyakinkan anda untuk membeli hartanah tersebut.

 

Tapi kalau anda lakukan kajian anda sendiri, mungkin anda akan dapat jawapan yang lebih baik berbanding hanya mendengar nasihat daripada ejen sahaja.

 

(2) Bisnes homestay adalah bisnes untuk orang pencen

Saya pernah tanyakan pada seorang pemilik homestay di Kota Bharu, kenapa beliau pilih untuk buat bisnes homestay?

 

Kata dia, homestay ni bisnes yang paling sesuai untuk dia jalankan sebagai seorang yang dah pencen.

 

Masa dia masih bekerja dulu, dia agak sibuk. Jadual kerja memang sangat padat. Ada masanya perlu bersedia untuk meeting, jumpa klien, travel dan sebagainya. Masa yang ada untuk bersama dengan keluarga agak terbatas.

 

Tapi bila dia mula ceburkan diri dalam perniagaan homestay, suasana kerja sekarang ini lebih relaks… kalau dibandingkan dengan pekerjaan dia yang lepas.

 

Walaubagaimanapun, tak semua orang akan rasa pengalaman yang sama. Boleh jadi ada yang rasa, bisnes homestay ini leceh dan banyak kerja. Terutama sekali kalau mereka sebelum ini tak biasa dengan kerja-kerja berkaitan dengan bidang hospitaliti ini.

 

(3) Minat dengan bidang hospitaliti

Untuk point ketiga dan seterusnya ini, saya merujuk kepada individu yang menjalankan bisnes ini bukan sebab keuntungan semata-mata. Malahan mereka ini tak risau pun kalau bisnes yang mereka jalankan ini tak beri keuntungan yang besar.

 

Individu seperti ini lazimnya mempunyai hobi untuk travel ke seluruh dunia. Mereka ada pengalaman yang banyak, menginap di pelbagai jenis tempat penginapan.

 

Oleh kerana mereka ini ada pengalaman yang banyak, lalu mereka memilih untuk jadikan bidang hospitaliti ini sebagai perniagaan pilihan mereka. Biasanya kalau kita dapat peluang untuk menginap dihomestay atau guesthouse milik mereka yang suka travel, kita akan dapat pengalaman dan layanan yang cukup baik.

 

(4) Ingin membantu masyarakat mendapatkan tempat penginapan yang baik dan selesa

Ada di sesetengah tempat memang agak susah nak cari tempat penginapan yang baik dan selesa. Kalau orang dari luar, yang datang ke tempat tersebut atas urusan seperti kenduri kahwin, hantar anak belajar dan sebagainya, mereka terpaksa terima sahaja walau terpaksa bermalam di hotel yang kurang selesa.

 

Atas sebab ini, ada orang perseorangan yang mengambil inisiatif untuk menawarkan khidmat homestay. Maka akhirnya, orang yang datang dari luar, akan ada pilihan untuk bermalam di homestay yang lebih selesa dan lengkap dengan macam-macam kemudahan.

 

(5) Mereka ada unit kediaman tambahan

Ada juga yang saya pernah jumpa sebelum ini, mereka memilih untuk jalankan bisnes homestay sebabnya mereka ada unit kediaman yang tak diduduki.

 

Kalau nak jadikan sebagai rumah sewa, pemilik rumah rasa agak sayang sebab rumah tersebut sudah lengkap dengan perabot dan ada nilai sentimental.

 

Lagipun, kalau dijadikan rumah sewa, agak sukar untuk tuan rumah keluar masuk rumah tersebut, selagi tempoh perjanjian sewaan masih berjalan. Maka, dia pilih untuk jadikan unit kediaman tersebut sebagai sebuah homestay.

 

Kesimpulan

Bisnes homestay merupakan salah satu bisnes yang menarik minat saya. Kalau anda perasan, saya juga beberapa kali menulis tentang bisnes homestay dalam blog ini.

 

Bagi mereka yang baru kali pertama menjumpai blog ini dan berminat nak baca artikel lain berkaitan dengan bisnes ini, anda boleh ke pautan ini.

 

Pada saya, walaupun saya tak mempunyai bisnes homestay saya sendiri (buat masa ini), tapi saya berhasrat untuk berkongsi pengetahuan yang saya ada mengenai bisnes ini. Manalah tahu, serba sedikit pengetahuan yang saya miliki ini dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

 

Lagipun, kalau pengetahuan yang saya ada ini boleh dimanfaatkan oleh orang lain, dan dapat membantu mereka untuk menjalankan bisnes homestay ini dengan lebih baik, bukankah ianya juga akan memberi impak yang positif kepada banyak orang?

 

Sebagai pemilik dan pengendali bisnes, mereka boleh jalankan bisnes ini dengan kaedah dan sistem yang lebih baik.

Manakala sebagai tetamu, mereka boleh dapat pengalaman penginapan yang lebih baik.

 

Bila tetamu puas hati, tak mustahil untuk mereka datang lagi untuk menginap ditempat anda dimasa akan datang.

Terima kasih untuk masa anda dan semoga penulisan ini bermanfaat.

 

 

Exit mobile version