Blog Sabree Hussin

Berkesan ke promosikan bisnes homestay menggunakan blog?

“Saya ada jalankan bisnes homestay di Cameron Highland. Boleh saya tahu, berkesan ke kalau nak promosikan homestay saya di blog ini?”

 

Itu adalah salah satu contoh soalan yang biasa saya terima di inbox emel saya. Cuma tempat tu sahaja yang akan berubah-ubah, bergantung kepada siapa yang bertanya.

 

Kalau pengendali bisnes homestay tu berada di Perlis, maka tempatnya akan jadi di Perlis, dan kalau homestay di Kota Kinabalu, maka tempatnya akan mengikut lokasi orang yang bertanya.

Izinkan saya untuk berterus-terang sahaja dalam hal ini. Sebenarnya memang HAMPIR MUSTAHIL untuk saya tahu, sama ada artikel iklan yang pernah saya hasilkan dalam blog-blog saya sebelum ini, yang mempromosikan bisnes homestay milik pelanggan saya tu, betul-betul berkesan ataupun tidak.

 

Bila bercakap soal berkesan atau tidak, sebenarnya apa yang anda maksudkan dengan istilah berkesan tersebut?

 

Adakah artikel iklan yang saya tulis, berjaya masuk ke halaman pertama Google untuk kata kunci yang kompetitif yang saya sasarkan?

Ya berjaya masuk.

 

Misalnya untuk artikel mengenai homestay di Tangkak ini berjaya masuk di page pertama Google untuk keyword yang saya sasarkan iaitu “homestay Tangkak” dan “homestay di Tangkak”.

Anda juga boleh buat semakan sendiri dengan membuat carian Google menggunakan keyword tersebut.

 

Adakah artikel iklan yang saya hasilkan, ada yang baca?

Ya, memang ada.

 

Berikut adalah statistik yang saya ambil dari blog saya.

Artikel mengenai Homestay di Dungun ada 3,092 pelawat.

Artikel Homestay di Tangkak ada 3,087 pelawat.

 

Jumlah pembaca dan pelawat ini akan terus bertambah selagi mana artikel tersebut masih saya siarkan.

 

Adakah artikel yang saya hasilkan pernah convert kepada sales?

Untuk soalan ini, memang susah saya nak tahu.

 

Melainkan kalau ada pemilik homestay yang saya pernah buatkan artikel untuk beliau, ada yang rajin untuk update perkembangan bisnes homestay mereka kepada saya.

 

Dapat pelanggan menyewa homestay lebih seminggu lepas baca blog saya!

Saya nak kongsikan salah satu perbualan whatsapp yang saya pernah terima dari seorang pemilik bisnes homestay, yang pernah dapatkan khidmat promosi dari saya. Beliau ada update perkembangan bisnes homestay miliknya menerusi whatsapp sebelum ini.

Saya hasilkan beberapa artikel iklan yang berbeza, dan diterbitkan di dua laman blog yang berbeza. Tujuannya supaya artikel tersebut dapat capai target yang disasarkan.

 

Alhamdulillah… dalam ramai-ramai yang baca artikel iklan tersebut, ada yang berminat untuk jadi penyewa. Puan Mimi ini seorang yang agak teliti, memandangkan dia akan bertanya kepada bakal penyewa, dari mana dia tahu mengenai bisnes homestay yang dia jalankan.

 

Adakah melalui Google, Airbnb, media sosial atau melalui recommendation dari orang lain?

Kebetulan, dapat penyewa yang asalnya baca artikel blog yang saya hasilkan untuk mempromosikan bisnes yang beliau jalankan.

 

Apa pun, saya tak menganggap ini sebagai kejayaan saya.

 

Lagipun, peranan saya dalam hal ni terlalu kecil. Saya cuma menghasilkan penulisan tentang homestay tersebut dan mendapatkan pembaca, itu sahaja. Selebihnya adalah usaha pemilik bisnes homestay itu sendiri.

 

Sebagai pemilik bisnes, puan Mimi telah banyak berikan usaha yang terbaik untuk dapatkan penyewa di homestay miliknya.

Pertama, beliau yang dengan susah payahnya telah mencantikkan homestay miliknya. Kedua, dari segi susun atur dan kemudahan yang disediakan untuk tetamu. Kalau anda lihat, kelengkapan yang disediakan ditempatnya, pasti anda juga akan rasa nak cek in di homestay milik beliau.

 

Tiba-tiba saya nak claim, itu semua disebabkan oleh iklan yang saya dah publish dalam blog ini… macam tak kena je kan.

 

Saya suka pelanggan seperti Puan Mimi, yang masih lagi keep in touch dengan saya walaupun setelah lama saya selesaikan tugasan yang diberikan. Setidak-tidaknya, saya boleh tahu progres artikel iklan yang telah saya terbitkan. Sekiranya masih tak convert kepada sales, saya boleh do something atau perbaiki mana-mana yang perlu supaya boleh dapatkan sales kepada beliau.

 

Kalau yang lepas beri saya tugasan terus senyap, itu saya memang tak tahu, apa perkembangan perniagaan miliknya.

 

Selain mempromosikan homestay milik pelanggan saya, saya juga ada menyertai program affiliate yang mempromosikan tempat penginapan. Tempat penginapan yang saya promosikan adalah seperti hotel, guesthouse, chalet dan sebagainya.

 

Apabila saya menulis dan mempromosikan homestay yang turut menjalankan program affiliate saya boleh tahu sama ada usaha pemasaran saya tu berkesan ataupun tidak, sebabnya pihak penyedia program akan menyediakan statistik yang saya boleh rujuk semula.

 

Ini contoh statistik yang saya ambil dari program affiliate Agoda.

Bagi yang masih belum tahu, Agoda ini merupakan sebuah laman web Online Travel Agent yang mempromosi dan menyenarai perkhidmatan tempat penginapan seperti hotel, hostel, homestay, dan rumah percutian.

 

Saya merupakan salah seorang yang join program affiliate ini dan pernah menerima bayaran dari program ini.

 

Andai kata, soalan asal tu kita ubah sikit kepada “berkesan ke promosikan perkhidmatan tempat penginapan Agoda menggunakan blog?” maka jawapan saya adalah, YA BERKESAN!

 

Buktinya adalah pada statistik diatas. Sehingga ke hari ini, saya masih lagi mengumpul komisen dari Agoda, hanya melalui artikel-artikel yang saya hasilkan di blog saya. Doakan rezeki saya makin bertambah dan berkekalan sampai bila-bila ya.

 

Jadi, berbalik kepada pertanyaan asal, kalau nak promosikan bisnes homestay menerusi blog, sebenarnya berkesan atau tidak?

Jawapan saya, sudah tentulah berkesan.

 

Saya akan kongsikan beberapa input mengenai topik ini jika anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut.

 

Walaubagaimanapun, saya sedar isunya bukanlah tentang apa platform yang digunakan, sebaliknya lebih kepada bagaimana teknik dan strategi pemasaran yang bakal digunakan.

 

Sebelum kita cerita panjang lebar, topik mengenai berkesan atau tidak mempromosikan perniagaan homestay menerusi blog, sebaik-baiknya biarlah kita sendiri jelas dengan apa matlamat utama apabila kita menjalankan sesuatu kempen pengiklanan.

 

Dalam konteks bisnes homestay ini, anda perlu tahu, dimana anda berada sekarang dan apa sebenarnya yang anda cuba capai?

Anda ingin dapatkan pembaca?

Anda ingin maklumat mengenai bisnes homestay yang anda jalankan terpapar di muka surat pertama Google?

 

Adakah ini merupakan tahun pertama anda menjalankan bisnes homestay?

Kalau ini merupakan tahun pertama anda menjalankan bisnes homestay, bermakna perniagaan anda masih baru. Kebiasaannya pada peringkat awal seperti ini, masih ramai yang belum tahu mengenai kewujudan perniagaan yang anda jalankan. Ini merupakan suatu perkara yang normal, dan biasalah setiap orang pasti bermula dengan satu keadaan dimana tak ada sesiapa yang tahu mengenai bisnes yang dijalankan.

 

Pada peringkat awal, sebaik-baiknya anda jalankan seberapa banyak kerja-kerja marketing, supaya lebih ramai orang tahu mengenai kewujudan bisnes yang anda jalankan. Ada terlalu banyak kaedah yang anda boleh lakukan bagi tujuan pemasaran bisnes homestay, dan salah satunya adalah dengan menggunakan kaedah blogging (atau menulis blog).

 

Kaedah blogging ini hanyalah salah satu dari banyak-banyak kaedah pemasaran yang anda boleh lakukan. Ia bukanlah satu-satunya kaedah yang anda perlu fokuskan. Anda tak minat nak promosikan homestay anda menggunakan medium blog? Tak ada masalah. Masih ada banyak lagi cara lain yang anda boleh gunakan.

 

Dalam posting kali ini, saya nak cerita mengenai strategi pengiklanan dan promosi bisnes homestay menggunakan blog. Andai kata setelah anda baca perkongsian ini, lalu anda merasakan apa yang saya kongsikan disini masuk akal (make sense) maka terpulanglah pada anda sama ada nak menggunakan kaedah ini atau sebaliknya.

 

Matlamat saya bila menulis artikel ini, adalah untuk memberikan idea kepada pemilik bisnes homestay yang mungkin tengah blur dan tak tahu, apa lagi yang perlu dibuat untuk bisnes homestay yang dia jalankan. So, kalau topik perbincangan mengenai promosi bisnes homestay menggunakan blog ini menarik minat anda, haa artikel ini memang saya tulis khusus untuk anda.

 

Kaedah pemasaran untuk jangka masa panjang

Pertama sekali yang saya ingin highlight disini ialah kaedah pemasaran menggunakan blog adalah kaedah jangka masa panjang. Anda mungkin tak akan dapat merasa impak positif dari kaedah pemasaran jenis ini dengan serta merta. Boleh jadi ia akan mengambil masa yang agak lama bergantung kepada beberapa faktor yang saya akan bincangkan dibawah nanti.

 

Bila sebut tentang kaedah pengiklanan menggunakan blog, cara persembahan atau penyampaian iklan yang lebih sesuai adalah menerusi pendekatan artikel jenis advertorial. Anda tak pernah dengar atau kurang jelas mengenai artikel advertorial?

 

Jangan risau. Silakan baca juga artikel saya berjudul apa itu advertorial.

 

Menghasilkan sebuah artikel advertorial itu memerlukan satu kemahiran penulisan dan sedikit imaginasi. Tapi itu masih belum cukup. Anda juga perlu pastikan artikel advertorial yang telah anda hasilkan dengan susah payahnya akan dibaca oleh golongan pembaca yang anda sasarkan.

 

Sekiranya anda menjalankan bisnes homestay di Kota Bharu, sudah tentu anda mahukan bakal tetamu yang ingin ke Kota Bharu sama ada atas tujuan bercuti ataupun bekerja, sekurang-kurangnya tahu mengenai kewujudan homestay anda. Sama ada dia akan booking homestay anda atau tidak, itu perkara nombor dua.

 

Perkara pertama adalah dia perlu tahu tentang perkhidmatan homestay yang anda jalankan. Jika dia tetap memilih homestay lain walaupun setelah dia tahu kewujudan homestay anda, maka itu atas pilihan peribadi dia.

 

Mungkin ada sebab-sebab tertentu, kenapa dia masih enggan memilih anda. Boleh jadi sebab

1. Dia jumpa homestay lain yang lokasinya lebih menepati kriteria yang dia mahukan

2. Dia jumpa homestay lain yang lebih cantik

3. Ada homestay lain yang menawarkan kemudahan yang lebih lengkap

4. Ada homestay yang menawarkan harga yang lagi murah

5. Homestay anda terlalu besar

 

Kesemua sebab dari nombor 1 hingga 5, semuanya bukan salah anda. Tapi ada satu sebab ini, kalau dia sebut bermakna ia memang salah anda.

 

Nak tahu apa sebab tu?

Sebab dia tak tau pasal kewujudan homestay anda.

 

Ha… yang ini memang salah anda. Apa maksudnya?

Maksudnya anda masih belum cukup buat kerja-kerja pemasaran. Masih banyak lagi kerja yang anda perlu lakukan bagi membuatkan orang ramai tahu mengenai kewujudan homestay anda.

 

Bagaimana cara bakal tetamu mencari tempat penginapan?

Sebelum saya sambung bercerita mengenai topik marketing, saya rasa ada baiknya saya masukkan juga topik mengenai “customer behaviour” atau kelakuan pelanggan.

 

Dalam hal ini, kita nak cuba fahami bagaimana mereka buat keputusan untuk lakukan atau tak melakukan sesuatu. Dalam konteks perbincangan mengenai bisnes homestay ini, kita nak cuba analisa apakah laluan-laluan yang bakal pelanggan gunakan sebelum akhirnya dia berhenti dan buat keputusan untuk booking sesebuah homestay.

 

Kita cuba jawab persoalan ini. Bagaimana cara mereka mencari tempat penginapan, spesifically sebuah homestay?

 

1. Menggunakan laman web atau apps OTA

Bagi yang kurang jelas maksud OTA, ia merujuk kepada istilah Online Travel Agent. Ia merupakan sebuah syarikat travel agent yang menghimpunkan pelbagai tempat penginapan dan lain-lain produk berkaitan dengan percutian dalam satu platform.

 

Ada syarikat OTA yang hanya fokus kepada tempat penginapan sahaja. Termasuk jenis homestay, guesthouse, chalet, hostel, hotel dan sebagainya.

 

Ada syarikat OTA yang mempelbagaikan lagi tawaran perkhidmatan dengan memberi ruang kepada pelanggan untuk

a. Membeli tiket flight

b. Menempah kereta sewa

c. Membeli pakej pelancongan

d. Membeli tiket masuk ke mana-mana tempat rekreasi

 

Bila bercakap mengenai syarikat OTA yang popular, yang biasa digunakan bagi tujuan untuk mencari tempat penginapan jenis homestay, ada beberapa nama yang perlu diberikan perhatian.

1. Agoda

2. Booking.com

3. Airbnb

4. Trivago

5. OYO

 

Setiap satu laman OTA ada peminatnya yang tersendiri. Saya sendiri, dulu saya suka gunakan Airbnb, sebab Airbnb tawarkan program mengumpul Travel Credit, yang kita boleh gunakan untuk dapatkan pengurangan harga untuk buat booking tempat penginapan. Kalau Travel Credit kita cukup banyak, boleh gunakan Travel Credit 100%.

 

Tapi sejak program tersebut dihentikan, saya sudah jarang menggunakan Airbnb. Sekarang saya beralih kepada Agoda, memandangkan setiap tempahan melalui Agoda, kita akan dapat cash back. Lihat pada screenshot dibawah.

Pada kotak yang berwarna merah itu menunjukkan yang kita akan dapat cash back sebanyak RM3 jika kita memilih untuk menempah homestay ini.

 

2. Menggunakan media sosial

Ada juga yang mencari tempat penginapan melalui bantuan laman media sosial. Boleh jadi pada satu hari, dia terbaca satu posting yang dikongsikan oleh rakan media sosial.

 

Biasanya posting yang ada potensi untuk jadi viral adalah posting yang berkaitan dengan tempat makan yang sedap, tempat menarik untuk dikunjungi, diskaun untuk masuk ke taman tema.

 

Selepas dia baca posting tersebut, dia pun klik like dan share. Satu hari nanti, bila ada masa, dia pun merancang untuk pergi ke tempat yang dikongsikan dan menjadi viral tersebut.

 

Sebagai penggiat bisnes homestay, jika anda ingin menggunakan media sosial dalam kempen pemasaran, maka anda perlu sentiasa menghasilkan konten yang menarik di media sosial. Pada masa yang sama, anda juga perlu tahu cara membina konten yang ada potensi untuk jadi viral.

 

Apa pun, langkah pertama adalah persiapkan dulu profil laman fan page anda di media sosial.

 

3. Bertanya kepada Google

Macam mana nak bertanya dengan Google? Mungkin ada yang bertanya.

Biasalah kita buka laman web google kemudian kita masukkan kata kunci yang berkaitan dengan tujuan kita menggunakan search engine tersebut.

 

Kalau yang berkaitan dengan konteks perbincangan kita disini, mungkin ini adalah bentuk-bentuk soalan yang akan ditanyakan pada ruangan carian google

Homestay terbaik di Kota Bharu

“Homestay untuk muslim di Kota Bharu”

“Homestay berdekatan dengan Pantai di Kota Bharu”

 

4. Bertanya kepada kenalan, atau saudara mana

Masih ada lagi ke yang menggunakan cara ini? Mestilah ada. Cuma mungkin ia tak sepopular dulu. Maklumlah sekarang ini kita boleh cari sendiri tanpa perlu bertanya kepada sesiapa.

 

5. Mencari di laman web Shopee

Kalau anda perasan, dekat Shopee pun ada yang mengiklankan homestay. Tak percaya? Ini saya tunjukkan beberapa iklan homestay yang terdapat di platform Shopee.

Walaupun nampak murah, saya rasa saya tak akan buat tempahan homestay melalui Shopee. Saya rasa lebih selamat kalau buat tempahan melalui laman web OTA, seperti Agoda, Airbnb ataupun Booking.com

 

Sepanjang saya menulis blog, saya beberapa kali dihubungi oleh pemilik bisnes homestay yang meminta saya untuk bantu mereka jalankan kerja-kerja pemasaran menggunakan medium blog. Ada yang saya terima, dan ada juga yang saya terpaksa tolak. Biasanya, kalau saya rasa pada waktu itu saya boleh bantu, In Shaa Allah saya akan cuba bantu.

 

Lagipun, what’s the point accepting job yang kita sendiri sebagai penulis rasa tak mampu nak deliver. Bila dah kerap terima job mempromosikan homestay dan tempat penginapan ni, saya mula nampak satu patern atau mungkin satu formula.

 

Formula yang saya maksudkan ini adalah, macam mana nak hasilkan kempen pemasaran bisnes homestay yang betul-betul berkesan melalui medium blog.

 

Pertama sekali, apa yang membuatkan sesebuah blog itu power, bukan semata-mata sebab platform blogging yang digunakan itu semata-mata. Ada banyak perkara yang perlu diambil perhatian. Saya senaraikan, antaranya

 

(1) Jenis platform blog yang digunakan

Platform untuk menulis blog ini, ada beberapa yang popular. Antaranya adalah

i. wordpress.com (percuma)

ii. blogspot.com @ blogger.com (servis percuma dari Google)

iii. wordpress.org atau wordpress self hosted (pengguna perlu bayar kos penggunaan domain dan hosting)

 

Kalau tanya saya, sudah tentu saya akan kata, guna platform blog yang berbayar, atau yang jenis wordpress self-hosted itu lebih baik berbanding menggunakan platform yang percuma.

 

Bila kita gunakan platform berbayar, ada macam-macam plugin yang kita boleh install pada blog, bagi tujuan meningkatkan keupayaan dan prestasi blog kita.

Baca juga: Pemasangan Plugin untuk meningkatkan keupayaan blog

(2) Pengalaman penulis blog

Ada dua jenis pengalaman yang saya kira relevan dengan topik perbincangan disini.

 

Pertama, pengalaman sebagai penulis blog. Sudah tentu, lebih lama seseorang menulis lebih banyak pengalaman yang dia ada. Kadang-kadang ada orang yang salah faham, dengan menyamakan antara dah lama jadi blogger dengan dah lama menulis.

 

Saya berpendapat, perkara ini kita perlu bezakan. Ada orang yang sudah mempunyai dan mula menulis blog sejak dari tahun 2009 lagi. Namun, kalau lihat pada arkib blog, dia sebenarnya bukanlah penulis yang aktif. Mungkin ada pada bulan tertentu, dia cuma siarkan satu artikel, atau ada bulan yang dia langsung tak pernah publish sebarang artikel baru.

 

Kedua, pengalaman membuat jualan menerusi penulisan. Adakah penulisan yang dihasilkan pernah convert kepada sales? Kalau pernah, Alhamdulillah. Kalau belum pernah dan tak tahu macam mana caranya, tak ada masalah. Benda ni kita boleh belajar.

 

(3) Skill copywriting penulis

Membuat jualan menerusi blog atau melalui penggunaan artikel ini sebenarnya berkait rapat dengan kemahiran menghasilkan copywriting. Kalau anda faham, bagaimana proses untuk menghasilkan copywriting yang boleh membantu menghasilkan jualan, In Shaa Allah tak ada masalah untuk buat jualan hanya menggunakan artikel.

 

(4) Populariti penulis

Ada penulis blog yang popular dan boleh dianggap sebagai seorang selebriti. Penulis seperti ini mempunyai bilangan pengikut yang ramai, sama ada di Facebook, Twitter, Instagram ataupun lain-lain akaun media sosial miliknya.

 

(5) Tahap aktif atau kerajinan penulis

Perkara ini juga memainkan peranan dan akan mempengaruhi tahap keberkesanan artikel yang pernah disiarkan dalam blog miliknya.

 

(6) Skill atau pengetahuan mengenai aspek Search Engine Optimization (SEO) penulis

Selain itu, aspek SEO ini juga akan memberi impak kepada kejayaan sesebuah kempen pemasaran yang dijalankan melalui platform blog. Tujuan kita menerapkan unsur SEO dalam penulisan adalah supaya artikel yang pernah kita hasilkan akan mudah ditemui oleh pengguna laman web Google apabila mereka mencari maklumat berdasarkan kata kunci tertentu.

Buat blog sendiri

Saya faham, kalau nak tumpangkan iklan bisnes homestay yang anda jalankan dekat blog milik orang lain, memang ada macam-macam kerenah dan syarat. Misalnya dari segi penyampaian konten, penggunaan gambar, bayaran, dan sebagainya.

 

Ada juga yang merasa kurang selesa meletakkan iklan di blog milik orang lain, kerana anda tidak mempunyai kawalan penuh terhadap iklan tersebut. Anda juga tidak boleh sesuka hati nak edit hasil akhir yang telah disiapkan oleh penulis blog tersebut.

 

Boleh jadi anda rasa anda tak ada masa nak layan semua itu. Oleh yang demikian, apa kata bermula hari ini, anda set dalam kepala yang anda nak bina sendiri blog khusus untuk mempromosikan bisnes homestay yang dijalankan.

 

Mari saya kongsikan beberapa perkara yang anda perlu tahu, jika ingin bangunkan laman blog anda sendiri.

 

Platform yang boleh kita gunakan untuk tujuan blogging sebenarnya ada dua jenis. Jenis yang pertama adalah jenis berbayar, manakala yang kedua adalah platform percuma.

 

Servis atau platform berbayar

Platform berbayar ini merujuk kepada sistem blog yang dibangunkan menggunakan perisian WordPress self-hosted. Self-hosted disini bermakna anda perlu membayar servis untuk sewa hosting.

 

Ini pula merupakan kadar harga bagi pakej hosting dari Netkl. Saya rekemen syarikat ini sebab saya sendiri adalah pengguna perkhidmatan mereka.

Bayaran yang perlu anda lakukan adalah untuk menyewa hosting dan juga menggunakan nama domain pilihan anda. Sebagai contoh, blog saya sendiri.

 

Domain sabreehussin.com yang saya gunakan untuk blog ini adalah berbayar.

 

Servis percuma

Sekiranya anda tak begitu suka untuk terikat dengan komitmen kewangan, anda boleh pilih untuk bina blog menggunakan servis percuma. Ada dua platform yang menawarkan servis percuma yang saya boleh syorkan.

 

Blogger.com atau blogspot.com

Ini merupakan perkhidmatan platform blogging yang disediakan oleh Google.

 

wordpress.com

Platform wordpress juga ada yang percuma. Namun dari segi prestasi, ianya sudah tentu tak setanding versi yang self hosted.

 

Kemudian, setelah anda sudah mempunyai blog sendiri, bolehlah cari masa untuk mula menghasilkan artikel yang relevan dan berkaitan dengan bisnes homestay yang anda jalankan.

 

Antara jenis artikel yang relevan adalah seperti

1. Tempat menarik di tempat anda menjalankan bisnes homestay

2. Tempat makan yang sedap

3. Tips bercuti

4. Tempat shopping yang boleh dikunjungi

 

Fokus kepada menghasilkan konten yang bermanfaat kepada bakal tetamu anda. Kerja-kerja penulisan ini tidaklah begitu sukar, namun pada masa yang sama, ia juga bukan kerja yang mudah.

 

Mungkin sampai satu masa, anda akan mula berfikir sendiri…

“Aku ni nak buat bisnes homestay ke… nak jadi blogger sebenarnya?”

 

Iklankan bisnes homestay anda di blog orang lain

Setelah saya menerangkan beberapa perkara mengenai pemasaran bisnes homestay menggunakan blog, mungkin anda berpandangan ianya agak leceh untuk bina blog sendiri dan bangunkan blog tersebut sehingga ia mampu untuk memberikan jualan yang anda mahukan.

 

Proses untuk memasang blog, atau install blog sangat mudah. Katakanlah anda ingin menggunakan blog wordpress self-hosted.

 

Anda hanya perlu dapatkan nama domain dan hosting mengikut pilihan pakej yang anda mahukan melalui syarikat hosting. Saya syorkan NetKL Network.

 

Setelah anda dapatkan nama domain dan hosting, anda hanya perlu login ke akaun cPanel dan cari Softaculous Apps Installer seperti dibawah.

Pilih opsyen WordPress dan proses pemasangan (installation) sangatlah mudah. Ikut sahaja langkah demi langkah yang diminta.

 

Selesai bab pemasangan.

 

Sebenarnya cabaran yang paling besar adalah membangunkan blog tersebut dan menghasilkan konten yang bakal dicari dan dibaca oleh golongan yang kita sasarkan. Sebab itu sesetengah pemilik bisnes lebih cenderung untuk outsource sahaja kerja-kerja penulisan dan penghasilan konten ini kepada blogger.

 

Apa perkara yang anda perlu ambil tahu?

Jangan terus buat keputusan untuk iklankan bisnes anda di blog orang lain, sebelum anda ambil tahu perkara-perkara berikut.

1. Ada kos pengiklanan

Kadar bayaran untuk iklan adalah berbeza mengikut penulis. Setakat yang saya tahu, tiada sebarang formula, syarat mahupun peraturan dalam menetapkan kadar bayaran.

 

Ada penulis yang menetapkan harga dari serendah RM50 ke RM1,000 untuk kos pengiklanan diblog miliknya.

 

Sebagai pemilik bisnes, sepatutnya anda sendiri perlu tahu, sama ada berbaloi atau tidak kadar yang ditetapkan. Jika anda rasa kurang berbaloi, maka cari sahaja penulis lain yang boleh tawarkan harga yang menepati bajet anda.

 

2. Durasi iklan akan disiarkan

Berapa lama iklan anda akan berada dalam blog tersebut?

 

Mungkin anda tak pernah terfikir untuk bertanya soalan ini, terutama sekali kalau anda kurang berpengalaman dengan kerja-kerja pengiklanan di blog milik orang lain.

 

Kalau boleh, carilah pemilik blog yang tak berkira dan tak ada masalah untuk terus siarkan artikel iklan anda sampai bila-bila. Kadang-kadang perkara yang nampak remeh seperti ini kita kena bertanya. Kita ingatkan artikel iklan kita akan sentiasa dan selama-lamanya akan berada dalam blog orang tu. Tapi rupa-rupanya selang dua atau tiga tahun, pemilik blog delete pula artikel tersebut.

 

Bagi saya pula, saya tak akan padam artikel iklan milik pelanggan saya yang pernah saya siarkan dalam blog ini. Sebaliknya saya akan cuba kemaskini selalu supaya artikel tersebut sentiasa relevan dengan situasi semasa.

 

3. Statistik trafik blog

Statistik ini menunjukkan berapa banyak trafik yang masuk ke dalam blog mengikut sela masa yang kita ingin tahu, sama ada dalam masa sehari, seminggu, sebulan atau sepanjang masa (all time).

 

Kalau blog yang memang bagus selalunya akan ada trafik yang keluar masuk setiap hari. Ini bermakna artikel-artikel yang pernah disiarkan sebelum ini sememangnya dibaca dan dicari oleh penggguna internet.

 

4. Search Engine Optimization

Adakah artikel iklan yang bakal disiarkan itu nanti akan dioptimasikan dengan teknik search engine optimization (SEO)?

 

Alang-alang menulis blog, biarlah sampai artikel tersebut tersenarai di muka surat pertama Google. Macam mana cara nak bagi artikel kita tu tersenarai di mukasurat pertama Google?

Jawapannya ialah kena tahu bagaimana SEO berfungsi.

 

Saya pernah cerita sebelum ini. Boleh baca artikel saya berjudul maksud artikel SEO Optimized.

 

5. Target Audience

Ini pula berkait rapat dengan niche pilihan pemilik blog tersebut. Kalau yang berkaitan dengan bisnes homestay atau tempat percutian, niche yang lebih sesuai dan relevan dengan konten blog adalah blog yang bercerita tentang tempat percutian, tempat menarik dan tempat tumpuan pelancong.

 

Kalau blog tentang kecantikkan, kesihatan, gadget dan sebagainya, agak kurang sesuai untuk mempromosikan homestay. Bukannya salah, atau tak boleh. Cuma agak kurang sesuai.

 

6. Adakah penulis menerima iklan

Pada asasnya, salah satu sumber pendapatan seorang penulis blog adalah menerusi program pengiklanan. Namun, ada juga keadaan dimana penulis blog memilih untuk tidak menerima sebarang iklan. Biasanya ini berlaku jika iklan yang bakal diterima itu mengganggu iklan peribadi atau bisnes peribadi miliknya.

 

Sebenarnya boleh jadi ada banyak lagi sebab kenapa penulis blog tak menerima sebarang iklan untuk disiarkan dalam blog miliknya. Mungkin saya akan cerita lain kali.

 

7. Adakah penulis berpengalaman dalam penulisan iklan

Ada beza artikel yang ditulis bagi tujuan pengiklanan dengan artikel blog yang kita tulis khusus untuk berkongsi pengalaman, pendapat, perasaan dan sebagainya.

 

Satu lagi yang kita kena tahu, artikel iklan tak boleh terlalu kelihatan seperti iklan. Kalau ayatnya dari mula sampai habis terlalu jelas bertujuan untuk mengiklankan sesuatu, alamatnya pembaca akan mengelak untuk baca artikel sedemikian.

 

8. Apa platform blog yang digunakan oleh pemilik blog?

Sama ada platform blog percuma atau berbayar. Saya syorkan cari penulis blog yang menggunakan platform berbayar. Tips tambahan, cuba dapatkan penulis blog yang bukan sahaja membayar untuk domain dan hosting semata-mata, tetapi lebih dari itu.

 

Sebagai contoh

1. Dia menggunakan premium plugin

2. Dia menggunakan premium theme

3. Dia melanggan software untuk tujuan research sebelum menulis artikel blog

 

Biasanya penulis yang seperti ini memang betul-betul serius dengan blognya. Sebab tu dia sanggup invest untuk pembangunan blog miliknya sendiri.

 

9. Apakah strategi trafik yang digunakan oleh penulis blog

Ini merujuk kepada bagaimana caranya penulis blog mendapatkan pembaca blog miliknya.

 

Adakah menggunakan SEO?

Adakah menggunakan social media?

Adakah menggunakan kaedah iklan berbayar seperti Google Adwords, FB Ads atau lain-lain.

 

10. Apakah terdapat sebarang jaminan yang diberikan oleh penulis

Kalau ada sebarang jaminan, ini satu bonus. Kalau tak ada sebarang jaminan (guarantee), saya rasa ianya bukan satu perkara yang besar. Lagipun, anda hanya mahukan servis penulisan artikel atau mungkin servis penyiaran artikel iklan sahaja.

 

Strategi iklan menggunakan blog

Anda boleh iklankan perniagaan homestay anda, sama ada di blog anda sendiri, ataupun di blog orang lain. Kalau anda tak nak pening-pening nak urus blog, nak kena selalu update blog, maka anda boleh tumpangkan sahaja iklan anda di blog milik orang lain.

 

Misalnya, iklankan di blog milik saya.

 

Gambar-gambar homestay, ayat-ayat iklan, kerja-kerja menulis, urusan untuk sewa domain dan hosting, itu semua saya yang akan uruskan. Anda tak perlu susah payah nak fikir itu semua.

 

Dari pengalaman saya menulis di blog, kalau blog anda cuma ada satu artikel iklan sahaja, ianya kurang berkesan untuk menarik pembaca dan pengguna internet untuk masuk ke laman blog anda. Sebab itu, saya cadangkan lebih baik anda tumpangkan sahaja iklan homestay anda di blog yang memang aktif menghasilkan content terbaru.

 

Peringkat permulaan, memang agak leceh. Kaedah yang saya gunakan adalah search engine optimization.

 

Tetapi, setelah artikel tersebut mendapat kedudukan yang baik di halaman carian google, kalau lepas tu dah tak buat marketing pun tak ada masalah. Pelanggan akan datang sendiri cari anda, tanpa perlu anda susah payah nak keluarkan duit iklan.

 

Salah satu iklan milik pelanggan saya, yang menjalankan bisnes homestay di Tangkak, boleh ditemui di halaman pertama google untuk kata kunci “homestay di Tangkak”.

 

Cuma kadang-kadang, iklan ini akan masuk ke page kedua. Tapi dari apa yang saya perhatikan, kebanyakkan masa, iklan ini memang akan berada di page pertama google.

 

Apabila keadaan ini yang berlaku, pemilik bisnes homestay ni dah tak perlu susah payah lagi nak keluarkan bajet iklan google adwords untuk target keyword seperti “homestay di Tangkak” misalnya. Kalau orang lain masih nak bayar, untuk bid keyword tersebut, silakanlah.

 

Dekat sini, saya dah bantu jimatkan sedikit kos pemasaran.

 

Sale funnel

Proses flow atau sales funnel yang saya gunakan adalah seperti dibawah ini.

 

Pengguna internet akan layari laman web google bagi tujuan mencari maklumat tentang homestay atau tempat-tempat percutian disesuatu lokasi tertentu. Kadang-kadang mereka tak mencari maklumat tentang homestay secara terus, sebaliknya mereka akan cari dulu info berkaitan tempat menarik yang terdapat disesuatu lokasi.

 

Dalam keadaan ini, mereka mungkin akan taip kata kunci seperti “tempat menarik di Kota Bharu

 

Dari pencarian yang mereka lakukan, mereka akan terjumpa banyak laman blog dan salah satunya adalah blog saya. Mereka akan membaca artikel yang saya pernah tulis dan terbitkan sekiranya artikel tersebut relevan dengan tujuan asal mereka mencari maklumat. Contohnya macam artikel yang dibawah ini.

Dalam artikel iklan yang saya tulis, saya ada masukkan juga maklumat mengenai homestay. Jika pembaca berminat nak check in di homestay yang sama yang saya syorkan, mereka boleh hubungi terus pemilik bisnes homestay tersebut dan buat tempahan. Tak perlu pun nak berurusan dengan saya.

 

Kalau anda perhatian setiap proses yang berlaku, peranan saya adalah sebagai sumber pertama atau sumber yang awal untuk memastikan pengguna internet ni menemui iklan homestay anda dan seterusnya suka dan berminat nak buat tempahan.

 

Dalam banyak keadaan, bakal penyewa memang tak akan hubungi saya untuk beritahu yang mereka ni berminat nak buat tempahan homestay. Semuanya akan terus berurusan dengan pemilik homestay tu tadi.

 

Lagipun, iklan di blog ini tak sama macam anda iklankan di laman web Airbnb. Bakal penyewa perlu berurusan dengan pihak Airbnb dari mula sampai habis. Selepas penyewa mendaftar keluar, barulah pihak Airbnb bayar kepada anda, setelah ditolak service charge.

 

Kalau iklan di blog, anda dapat pelanggan, semuanya anda yang akan uruskan, dan anda tak perlu nak kongsi bayaran yang pelanggan tu bayar kepada saya.

 

Anda tak minat dengan cara penulisan saya?

Tak ada masalah. Dalam Malaysia ni, ada ramai lagi penulis blog yang berbakat, yang saya percaya, mereka juga pasti dengan senang hati akan bantu hasilkan artikel iklan untuk anda.

 

Cuma kalau bercakap dari segi SEO tu, anda kena tanyakan sendiri kepada penulis blog pilihan anda tu. Bukan apa, saya dapati, sekarang ni memang ada terlalu ramai yang tawarkan servis penulisan artikel dan advertorial.

 

Tapi dalam ramai-ramai tu, bukan semuanya tahu pasal SEO. Apa yang menjadikan strategi pemasaran menggunakan blog ni SANGAT POWER salah satunya adalah dari segi SEO.

 

Penggunaan teknik SEO inilah yang akan bantu pastikan iklan anda akan muncul di muka surat pertama google, dan In Shaa Allah akan kekal berada di situ untuk satu jangka masa yang lama. Sebaliknya, jika artikel iklan yang dihasilkan tidak menerapkan sebarang elemen-elemen SEO, besar kemungkinan iklan tersebut tidak akan muncul di page pertama google dan tidak akan dijumpai oleh bakal penyewa sampai bila-bila.

 

Kesimpulan

Ya, saya berani katakan, promosikan bisnes homestay menggunakan blog memang BERKESAN. Dulu ia berkesan dan sekarang pun masih berkesan.

 

Apa yang penting adalah, sama ada anda sanggup untuk meluangkan masa dan sanggup berusaha untuk membangunkan laman blog tersebut, hingga ia benar-benar berjaya menarik sejumlah pembaca untuk terus datang dan membaca konten yang disiarkan.

 

Akhirnya semua terpulang kepada anda sama ada ingin menjadikan strategi blogging dan mendominasi halaman carian Google dengan artikel iklan bisnes anda atau sebaliknya. Kita hanya usaha, akhirnya biarlah pelanggan yang buat keputusan sama ada nak memilih kita atau sebaliknya.

 

 

 

Exit mobile version