Blog Sabree Hussin

Promosi bisnes homestay menggunakan platform Media Sosial

Pemasaran menggunakan media sosial adalah kaedah pemasaran yang tidak terlalu mahal, namun jika digunakan dengan strategi yang betul, ia mampu untuk memberikan hasil yang sama baiknya dengan kaedah pengiklanan biasa.

 

Kaedah pengiklanan yang biasa tu bagaimana? Ok kita lihat, sebelum kaedah pengiklanan media sosial mula menjadi popular, bagaimana pemilik bisnes menjalankan aktiviti pemasaran dan juga pengiklanan.

 

Lazimnya mereka akan gunakan kain rentang, pasang billboard, edar fliers, pemasaran mulut ke mulut, iklan di surat khabar, iklan di radio dan jika ada bajet yang lebih tinggi, ada yang iklankan di kaca TV.

Penggunaan media sosial memudahkan pemilik bisnes berinteraksi dengan bakal pelanggan dengan cara yang lebih santai. Pada masa yang sama mereka boleh bina hubungan yang baik dan pemilik bisnes patut ambil peluang ini untuk bina kepercayaan dan keyakinan bakal pelanggan untuk berurusan dengan mereka.

 

Tidak kira apa jenis perniagaan yang anda jalankan, anda boleh memperolehi pelanggan melalui social media. Cuma mungkin yang perlu anda pertimbangkan adalah, laman media sosial yang mana satukah yang patut anda berikan fokus, sama ada Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn, atau perlukah fokus kesemua sekali?

 

Apabila anda telah kenalpasti, siapa golongan sasaran anda atau target audience, dari situ barulah mudah untuk menyusun kempen pemasaran dan pengiklanan dengan lebih berkesan.

 

Percayalah, yang target audience anda sememangnya berada di salah satu social media network, cuma anda sahaja yang perlu bijak menjejaki dimana mereka berada. Adakah mereka berada di Facebook, atau adakah mereka lebih kerap luangkan masa di Instagram?

 

Media sosial telah terbukti mampu untuk memberi pengaruh kepada para pelanggan untuk membuat sebarang keputusan pembelian.

 

Melalui komen-komen yang ditinggalkan oleh pelanggan terdahulu, kita boleh membaca review, perkongsian pengalaman peribadi, dan pada masa yang sama dapat lihat bagaimana pihak admin atau pihak yang mengiklankan tentang sesuatu produk atau servis membalas pertanyaan dan memberi jawapan kepada yang bertanya.

 

Kalau kita tengok jawapan dari pihak admin macam agak kasar ataupun kurang ajar, kurang mesra dan sebagainya, dari situ kita boleh dapatkan gambaran yang sebenarnya khidmat yang bakal kita terima nanti juga tidaklah sebagus mana.

 

Bisnes hospitality tapi kalau layanan tak begitu mesra, apa lagi yang kita nak harapkan untuk pengalaman percutian kita tu nanti?

 

Kita lihat pula dari sisi pandang individu yang memberi review atau yang berkongsi pengalaman percutian disesuatu tempat. Melalui dia, kita boleh tanya macam-macam soalan dan pastinya jawapan yang kita bakal perolehi adalah lebih jujur, berbanding kalau kita bertanya terus kepada pemilik homestay atau pemilik tempat penginapan.

 

Anda mungkin telah mendengar ada banyak cerita kejayaan yang menyeronokkan tentang betapa hebatnya pengaruh social media dalam perniagaan yang dijalankan namun, ini tidaklah bermakna anda perlu fokus pada satu kaedah pemasaran ini semata-mata.

 

Janganlah hanya bergantung pada social media atau anda jadikan kaedah pemasaran ini sebagai satu-satunya kaedah pemasaran yang anda gunakan. Kaedah pemasaran ini perlu digandingkan dengan kaedah yang lain juga.

 

Kalau anda masih belum pernah iklankan bisnes homestay anda dekat mana-mana website pengiklanan, saya syorkan anda lihat senarai ini dan pilih mana-mana satu platform pengiklanan yang sesuai dengan anda.

Baca disini: Senarai laman web untuk iklankan bisnes Homestay supaya dapat ramai tetamu nak check in

 

Perbincangan kali ini, saya nak sentuh tentang kaedah pemasaran di social media, untuk pemilik bisnes homestay. Jika ada mana-mana poin yang saya nyatakan disini, sesuai untuk bisnes yang anda sedang jalankan, mudah-mudahan anda dapat praktikkan.

 

[1] Jelas dengan pemilihan platform media sosial yang mana satu hendak dipilih

Mari kita lihat, apakah contoh-contoh media sosial yang terdapat diluar sana? Kita ada Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn.

 

Kalau yang berasaskan video, kita ada pula Bigo, TikTok, Youtube dan sebagainya. Sebelum ini, pengguna internet bersosial melalui platform blog. Mereka membina profile online dan saling meninggalkan komen pada artikel ataupun blogpost yang dikarang oleh penulis blog.

 

Adakalanya kita boleh lihat, dalam satu-satu blogpost berlaku perbualan dan perbincangan yang hangat. Cuma sekarang ini, memandangkan orang lebih mudah berbincang di facebook, perbincangan di blog sudah mula agak kurang.

 

Pada hari ini, saya berpendapat, penggunaan blog masih lagi penting, namun ia lebih menjurus kearah pemasaran di search engine. Ini kerana posting yang di terbitkan di blog mempunyai peluang yang lebih baik untuk muncul di halaman carian google, berbanding posting di media sosial yang lain.

 

Justeru, jika anda juga ingin mensasarkan pengguna atau bakal pelanggan yang menggunakan enjin carian google bagi tujuan mendapatkan maklumat, jangan lupa untuk buat marketing menggunakan blog juga ya.

 

[2] Pulun semua atau hanya fokus pada salah satu?

Ini berkaitan dengan soal kemampuan. Kalau anda mampu untuk membuat pemasaran di semua media sosial, buatlah. Tapi kalau rasa tak mampu, fokus pada satu atau dua sudah memadai.

 

Bimbang juga kalau buat banyak sangat akaun media sosial, nanti ada yang tak mampu nak update. Worst case scenario, kalau ada akaun media sosial kita yang dah lama tak update, orang akan menyangka yang bisnes kita juga sudah tak wujud lagi.

 

Kalau nak maintain banyak akaun media sosial, anda mungkin perlukan bantuan staf untuk menjawab pertanyaan, jika ada.

 

[3] Kenalpasti siapa latar belakang pelanggan sasaran anda

Ini adalah tips yang “biasa” namun boleh dikatakan ramai yang terlepas pandang. Mereka tidak mempunyai gambaran yang jelas, siapakah pelanggan sasaran mereka.

 

Penting untuk kenal siapa pelanggan yang kita nak target, sebab kita perlu sesuaikan dengan gaya bahasa, cara menyampaikan maklumat, cara menulis status update, pemilihan gambar dan banyak lagi.

 

[4] Gunakan khidmat dari penulis blog untuk target pelanggan dari search engine

Anggaplah ini seperti back up plan andai kata iklan-iklan atau status update yang kita hasilkan di media sosial gagal menarik golongan sasaran untuk datang menginap di homestay milik kita.

 

Apa yang saya perhatikan posting di media sosial ini ada expiry date. Pada satu-satu masa, apa yang kita post akan jadi viral (itupun kalau bernasib baik) kemudian selepas itu orang sudah tak pedulikan post kita, ataupun orang sudah tak perasan post kita yang terdahulu.

 

[5] Facebook kebiasaannya digemari oleh pengguna yang lebih berusia

Biasanya geng emak-emak, geng ayah-ayah mereka lebih selesa untuk menggunakan Facebook. Mereka ini ada anak-anak dan kalau nak pergi bercuti, sudah tentu salah satu perkara yang mereka pertimbangkan adalah kos.

 

Jika anda dapat yakinkan bakal tetamu bahawa menginap di tempat anda sangatlah selesa, merupakan pilihan yang paling tepat, tak mustahil mereka ini akan terus hubungi anda untuk buat tempahan.

 

Maklumlah untuk percutian ini, setengah orang tak begitu cerewet dalam bab-bab pemilihan tempat penginapan. Asalkan boleh tidur dengan selesa dan selamat, itu sudah memadai. Lagipun, sepanjang percutian itu nanti, boleh jadi masa akan lebih banyak diluangkan untuk buat aktiviti luar rumah.

 

[6] Instagram lebih diminati oleh generasi yang lebih muda

Melalui Instagram, kita boleh target golongan student. Mereka ini mungkin nak pergi bercuti, nak luangkan masa bersama kawan-kawan namun tak ada bajet yang besar.

 

[7] Bina official fanpage menerusi laman facebook

Ini kalau anda rasa tak ada masa nak bina laman web sendiri untuk bisnes homestay yang anda jalankan. Sebagai alternatif, anda bina official fanpage melalui Facebook.

 

Ini untuk memudahkan anda berkongsi gambar-gambar menarik dan terbaik berkaitan dengan bisnes homestay yang anda jalankan, destinasi tumpuan pelancong yang terdapat disekitar anda dan sebagainya.

 

Dengan adanya fanpage, ia juga memudahkan bakal pelanggan untuk menghantar mesej dan bertanya tentang homestay anda. Salah satu singkap pengguna media sosial yang anda perlu tahu, walaupun mereka sebenarnya telah diberikan maklumat yang lengkap, dan boleh terus buat tempahan melalui borang tempahan, sekaligus boleh semak availability untuk satu-satu tarikh, mereka ini tetap akan tanya soalan.

 

[8] Youtube dan kuasa video

Sesekali hasilkan juga posting pemasaran dalam bentuk video. Kemudian video-video tersebut anda muat naik di laman-laman web perkongsian video, misalnya di Youtube. Video yang sama, anda juga boleh muat naik di laman media sosial milik anda.

 

Sekarang ini ada banyak software atau apps yang anda boleh gunakan untuk edit video yang telah anda hasilkan. Proses untuk hasilkan video juga tidaklah begitu susah.

 

Anda boleh gunakan sahaja smartphone milik anda, rakam mana-mana bahagian yang anda rasakan menarik, kemudian masukkan background music. Untuk kerja-kerja edit, boleh gunakan software percuma seperti Shot Cut ini.

 

[9] Pastikan mesej pemasaran anda jelas dan konsisten walaupun platform yang berbeza

Pastikan mesej pemasaran anda jelas dan konsisten walaupun anda menggunakan platform yang berbeza. Kalau anda ingin jual “keselesaan” apabila menginap di homestay milik anda, pastikan setiap platform media sosial bercerita tentang perkara yang sama.

 

Kita mahukan kelompok sasaran benar-benar faham dan hadam, bahawa keistimewaan homestay milik kita berbanding orang lain, adalah dari segi keselesaan.

 

Bukan sebab murah, bukan sebab jimat dan sebagainya. Satu lagi bila cerita bab harga, sebaik-baiknya biarlah selaras. Jangan pula bila guna FB anda kata harga RM200 tapi di Instagram anda letak harga RM150.

 

Kalau anda buat begini, pelanggan akan rasa tertipu.

 

[10] Cuba pelbagaikan kaedah pemasaran di media sosial bagi mendapatkan enggagement

Apa yang penting dalam pemasaran di media sosial? Pendapat saya ialah, untuk dapatkan interaksi dan enggagement.

 

Bila buat posting di media sosial, cuba dapatkan pengguna media sosial lain untuk like, share atau komen. Kena ada kepelbagaian dari segi cara penulisan, misalnya

Posting untuk tanya soalan kepada follower

Posting jenis buat bancian atau undian mana satu yang lebih digemari

Posting untuk buat kontes

 

Asalkan idea posting tersebut boleh menggalakkan follower untuk komen, itu sudah kira cukup bagus. Cuba anda perhatikan timeline anda. Perhatikan juga posting yang macam mana yang banyak mendapat komen ataupun share.

 

Kalau di timeline saya, yang saya nampak ada banyak share ialah posting jenis quote atau kata-kata hikmah. Cari gambar yang cantik-cantik, kemudian masukkan kata-kata motivasi dalam gambar tu. Jangan lupa untuk masukkan sekali nama homestay atau perniagaan anda.

 

Posting jenis macam tu, memang ramai yang suka nak share.

 

Membuat kerja pemasaran melalui akaun social media sebenarnya sangat menyeronokkan. Kita dapat bersosial dan pada masa yang sama, kita masih lagi dapat memastikan golongan sasaran dapat membaca mesej-mesej pemasaran yang kita cuba sampaikan.

 

Baiklah, apa pun saya ucapkan terima kasih kerana kesudian anda membaca posting saya kali ini. Jika ada antara pembaca yang minat nak baca pengalaman saya jalan-jalan di Pulau Langkawi dan bercuti 5 Hari 4 Malam disana, jemputlah baca perkongsian saya disini.

 

 

Exit mobile version