Blog Sabree Hussin

Kenapa kawan-kawan di media sosial tak support bisnes kita?

Zaman ni, adalah zaman media sosial. Hampir setiap orang mempunyai akaun media sosial mereka sendiri.

 

Malahan, bukan suatu perkara yang pelik kalau seseorang tu mempunyai lebih dari satu akaun media sosial. Ada akaun yang dikhususkan untuk kaum keluarga, akaun untuk sahabat dan kenalan, akaun untuk perniagaan, dan akaun khas untuk bersosial.

 

Tapi saya nak cerita tentang akaun media sosial bagi tujuan bisnes.

 

Apabila kita buat bisnes menggunakan media sosial sebagai platform, adakah semua kawan-kawan kita, akan membeli produk atau servis yang kita promosikan dari kita?

Kebiasaannya tidak.

 

Kita susah payah fikir ayat untuk buat promosi, kita cuba jadi seberapa kreatif yang boleh untuk bercerita tentang produk yang kita jual, namun bila sampai masa untuk buat tempahan, kawan-kawan kita tu memilih untuk beli dari orang lain.

 

Sama ada beli dari penjual lain, ataupun mereka akan terus beli dari laman web Lazada Malaysia. Ya saya tahu, memang sakit hati kan kalau benda ni yang selalu berlaku.

 

Agak-agaknya, kenapa ya kawan-kawan kita tu seolah-olah memilih untuk tak nak support bisnes kita, dan mereka ni kelihatan lebih rela nak beli dari orang lain, berbanding beli dengan kita?

 

Mungkin ini antara jawapan yang logik kenapa mereka bertindak sedemikian rupa.

 

(1) Anda juga tak pernah support bisnes kawan-kawan

Betapa mudahnya memulakan bisnes di media sosial. Kadang-kadang kita tak perlu tunggu ada modal untuk mula bisnes. Ada beberapa konsep bisnes yang anda boleh mulakan dengan segera walaupun anda tak mempunyai sebarang modal.

 

Konsep tersebut adalah

  1. Bisnes Affiliate
  2. Bisnes Dropship

 

Sekiranya anda menjalankan bisnes servis seperti yang saya jalankan, anda juga tak perlu ada modal yang besar. Salah satu servis yang saya tawarkan adalah servis penulisan artikel dan pemasaran. Modalnya adalah kemahiran menulis dan sedikit kepakaran dalam bidang pemasaran.

 

Sesetengah orang, mengamalkan konsep “hang tolong aku, aku tolong hang…” dalam berbisnes. Kalau kita tak pernah nak support bisnes kawan-kawan kita, mereka pun tak ada rasa terdorong nak support bisnes kita. Pada waktu tu, mungkin kawan-kawan kita sedang support bisnes orang lain, yang mana orang tu kerap support bisnes dia.

 

(2) Ada sedikit “masalah” pada produk yang anda jual

 

Faktor pemilihan produk ini juga adalah satu faktor yang penting untuk diperhatikan.

 

Kalau kebanyakkan kawan-kawan anda adalah seorang lelaki, produk berkaitan wanita mungkin tak berapa relevan dengan kumpulan kawan-kawan anda. Jadi, mereka tak begitu ambil peduli dengan apa produk yang anda jual.

 

Ataupun, anda mungkin tak jual sebarang produk, sebaliknya anda adalah jenis yang suka join program-program buat duit, yang menjanjikan pulangan ribuan ringgit setiap bulan. Akan tetapi, kawan-kawan anda jenis yang tak minat bisnes ala-ala MLM. Ini pun boleh jadi sebab kenapa kawan-kawan anda tak minat nak ambil peduli dengan apa yang anda jual.

 

Bukan semua orang minat dengan peluang bisnes. Lebih-lebih lagi kalau dalam marketing plan jelas menunjukkan ada elemen piramid, orang cari orang, dan upline downline.

 

Ada juga keadaan dimana kelemahan tu berpunca dari diri kita sendiri. Sesetengah produk, memerlukan penerangan yang berterusan barulah kawan-kawan kita (yang juga adalah prospek kita) boleh faham apa sebenarnya yang bakal diperolehi sekiranya mereka membeli produk yang kita jual.

 

Sebagai contoh, produk-produk berkaitan dengan pelaburan, kewangan, perlindungan insurans dan sebagainya. Produk seperti ini, jika tak diterangkan dengan baik akan menyebabkan orang ramai rasa ianya bukan sesuatu yang perlu dibeli.

 

Sepanjang kita buat kerja-kerja pemasaran, kita juga perlu wujudkan kesedaran tentang betapa pentingnya produk yang kita jual tu.

 

(3) Rakan-rakan anda tak nampak posting yang anda buat di media sosial

Kita ada 5,000 orang kawan di media sosial. Wah… ramai tu.

 

Cuba bayangkan kalau setiap orang menyumbangkan keuntungan sebanyak RM1 sahaja setiap bulan. Dengan jumlah kenalan seramai ini, kita boleh dapat sekurang-kurangnya RM5,000 setiap bulan. Namun, bukan itu yang berlaku.

 

Boleh jadi, ada ramai kawan-kawan kita tu yang tak nampak posting kita.

 

Malahan, mungkin ada dengan sengaja menekan butang unfollow disebabkan rasa meluat tengok posting yang anda buat di media sosial.

Atas ni contoh, bagaimana kita boleh Unfollow seseorang. Bila kita tekan Unfollow, secara automatik kita dah tak akan nampak posting dari kawan kita tu melintas di newsfeed kita.

 

Biasanya orang yang tekan unfollow ni sebab dia dah meluat dengan posting kita, tapi tak sampai hati nak tekan unfriend.

 

(4) Anda terlalu banyak gunakan pendekatan RIAK dalam buat marketing

Saya berpendapat, tak salah kalau anda nak tunjukkan kepada kawan-kawan anda, betapa anda adalah seorang yang berjaya apabila menjalankan bisnes sekian sekian.

 

Manalah tahu, dengan anda berkongsi lifestyle anda yang bebas dari belenggu dan masalah hutang tu, akan membuatkan ramai kawan-kawan anda tu turut bersama-sama anda buat bisnes. Secara tak langsung, ini dapat meningkatkan kedudukan ekonomi semua orang.

 

Tapi masalahnya, ada sesetengah orang ni, dia terlalu seronok bercerita tentang kejayaan dia, dan betapa seronoknya lifestyle dia sekarang, sampai tak perasan sesekali tu asyik kondem orang lain punya pekerjaan.

 

Kononnya, kerja makan gaji tak ada masa depan, sebaliknya buat bisnes macam yang dia buat akan jadi kaya dalam masa yang singkat.

 

Saya pernah lihat beberapa situasi kelakar sepanjang saya memerhatikan kawan-kawan di media sosial buat marketing.

Ada penjual jamu ketat, yang suka guna ayat, kalau tak bagi ketat nanti suami cari lain… alih-alih selepas beberapa tahun, dengar cerita nak berpisah pulak dengan suami. Sepanjang masa ni, dia asyik kondem kaum isteri yang tak pakai produk dia dan ugut mereka akan kehilangan suami, alih-alih dia pun kehilangan suami…

Pernah juga saya lihat, seorang ejen program buat duit, asyik menggunakan pendekatan mengutuk, memerli, dan kondem orang yang makan gaji. Mungkin dia lupa, bisnes tu ada naik turun, alih-alih sekarang dia terpaksa kembali kerja makan gaji jugak sebab income dari bisnes dah tak macam dulu.

 

Saya pun pernah guna pendekatan riak ni. Kalaulah saya boleh ubah masa lalu, salah satu kesilapan yang saya nak buang dalam hidup saya, adalah nak tukar kaedah marketing cara riak ini.

 

Tapi kita semua sedia maklum, apa yang dah jadi tak mungkin boleh diubah lagi.

 

(5) Anda TAK PANDAI menjual

Walaupun kita hanya menjual kepada kawan-kawan, kita tetap perlu ada kemahiran menjual. Menjual dengan menggunakan perkataan dan gambar, tak sama seperti kita menjual dengan cara bercakap.

 

Setiap satu, ada seninya yang tersendiri.

 

Sekiranya anda tak pandai nak buat jualan, tak perlu malu-malu nak tambahkan ilmu. Bila menjual menggunakan perkataan dan gambar ni, kita perlu banyak bermain dengan elemen copywriting.

 

Elemen copywriting inilah yang akan buatkan iklan kita seronok dibaca, dan pelanggan rasa yakin nak buat pembelian. Ilmu copywriting ni tak susah untuk dipelajari. Salah satu tempat anda boleh belajar ilmu ni adalah di laman web ini.

 

Salah satu dari perkara yang saya sebutkan dalam posting ini, mungkin menjadi penyebab, kenapa kawan-kawan tak support bisnes kita. Apapun, betulkan mana yang silap dan jangan ulangi kesilapan masa lalu.

 

Janganlah sebab bisnes, kita putus hubungan dengan kawan-kawan. Sepatutnya menerusi bisnes, kita bukan saja boleh tambah kawan-kawan baru, malahan kawan-kawan sedia ada patutnya boleh jadi makin rapat.

 

 

Exit mobile version