Blog Sabree Hussin

10 Sebab kenapa orang Benci dengan Bisnes MLM.

Pernah tak anda terfikir, kenapa ada sesetengah orang cukup benci dan memang anti dengan bisnes MLM? Jangan sesekali sebut pasal MLM kat depan dia ni, gerenti anda akan kena maki! Apa agaknya dosa MLM sampai ianya dibenci begitu sekali ye?

 

Saya pernah terlibat dengan beberapa bisnes MLM. Saya pernah join Storm Readers Network. Syarikat ini menjual buku-buku dari pelbagai genre dan pada waktu saya join, kebanyakkan buku-buku yang dijual ialah buku keagamaan. Saya rasa tertarik untuk join sebabnya produk mereka sangat bagus. Harga buku yang dijual adalah sama dengan harga pasaran dan ada yang dijual lebih murah jika menjadi ahli.

 

Salah satu buku yang saya beli ialah Kitab Ringkasan Riyadhus Solihin.

Kitab ini mengandungi himpunan pelbagai hadis Nabi Muhammad SAW dan juga potongan ayat Al-Quran yang membincangkan topik-topik tertentu. Amat disyorkan untuk anda memiliki sebuah kitab ini.

 

Selain Storm Readers Network, saya juga pernah join MLM HPA Industries Sdn Bhd. Barangan yang dijual adalah barangan kesihatan. Waktu tu, matlamat saya join adalah semata-mata kerana produknya. Saya nampak produknya ada potensi untuk dipasarkan. Akhirnya produk HPA ini saya guna sendiri dan tak berjaya jual pada orang lain pun!

 

Disebabkan saya pernah terlibat dalam bisnes MLM, maka secara tak langsung saya juga pernah beberapa kali terjumpa dengan individu yang memang cukup anti MLM. Artikel ini adalah tentang mereka yang anti-MLM dan yang benci MLM.

 

Saya berpendapat, jika anda ingin bergiat dalam bidang perniagaan ini, anda perlu tahu kenapa orang benci dengan MLM dan apa yang anda perlu lakukan atau elakkan bagi tidak memburukkan lagi keadaan. Saya akan ceritakan apa sebab orang benci MLM, dan kemudian saya akan berikan serba sedikit pandangan dan pendapat apa yang anda patut lakukan apabila berhadapan dengan situasi sedemikian.

 

Ini dia sebab kenapa orang benci MLM

(1) Pengamal bisnes MLM memberikan janji-janji yang tak masuk akal dan keterlaluan

“Jana pendapatan RM50 ribu sebulan apabila join program ini…”

“Boleh melancong kemana sahaja tanpa perlu risau tentang duit…”

“Pesakit kanser tahap empat pun boleh sembuh lepas makan supplement ini…”

“Lepas ni awak boleh pilih nak kawin dengan sesiapa sahaja sebabnya waktu tu awak dah ada banyak duit…”

“Duduk rumah goyang kaki je, tak payah lagi susah payah nak bekerja duit akan masuk bertalu-talu…”

 

Ada banyak lagi janji-janji manis dan tak masuk akal. Berjanji tu tak salah. Persoalannya ialah, boleh ke si pemberi janji tu buktikan bahawa ianya adalah sesuatu yang boleh dicapai

 

Kalau dalam sesi MLM Gathering, kita boleh jumpa macam-macam ahli. Ada yang baru join, ada yang dah join lebih 3 bulan, ada yang dah join hampir dua tahun. Orang yang dah join dua tahun tu, dah pernah sampai ke bulan ke belum? MLM yang cakap tak serupa bikin dan janji bulan dan bintang ni memang patut dibenci.

 

Kalau nak berjanji tu pun, biarlah berpada-pada. Sebaik-baiknya biarlah ianya berpijak di bumi nyata. Ya, sistem MLM memang berupaya untuk menjadikan ahlinya kaya raya. Tapi bukan semua. Hanya mereka yang berusaha sahaja yang akan berjaya.

 

Ianya lebih kurang sama je dengan lain-lain bisnes yang ada di pasaran. Sama ada bisnes jual air balang, bisnes jual ais krim dan sebagainya. Semuanya perlukan usaha untuk berjaya. Ada juga keadaan, kita dah usaha sedaya upaya, bisnes tetap gagal.

 

Saya tahu, istilah kalau nak berjaya kena berusaha itu adalah satu ungkapan yang klise. Tapi mari kita bayangkan satu keadaan, yang mana apabila semua peserta buat bisnes ini dengan sehabis baik, dan semua orang berusaha keras, adakah semua orang yang jadi peserta akan berjaya?

 

Masih lagi tak ada jaminan. Sistem MLM itu sendiri, kalau kita perhalusi, sebenarnya lebih menjamin kejayaan buat mereka yang mencipta sistem, individu join awal, serta individu yang memang mempunyai ramai pengaruh. Orang yang biasa-biasa, memang susah sikit nak capai kejayaan dalam bisnes seperti ini.

 

Yang buat kita benci dengan MLM ni ialah, cara penyampaian sesetengah leader yang memberi gambaran seolah-olah tak perlu buat apa-apa kita boleh jadi kaya. Bagaimana kalau lepas ni pengamal bisnes MLM ubah pendekatan. Kalau dari segi teori kita boleh jadi kaya, cuba tunjukkan dari segi praktikal, bagaimana kekayaan itu boleh dicapai. Berani ke? Jangan cuma tau berikan janji-janji kosong.

 

(2) Tiada had batasan yang ditetapkan berapa ramai yang boleh jadi jurujual syarikat

Dalam bisnes MLM, kita bukan setakat jual produk, tetapi kita jual peluang dan impian untuk jana pendapatan. Setiap yang beli produk akan jadi ahli yang diberi kuasa untuk menjual dan mempromosikan produk yang sama.

 

Dalam sistem bisnes yang biasa, sesebuah syarikat akan menetapkan berapa ramai orang untuk jadi jurujual disesebuah kawasan tertentu. Contohnya cuma boleh ada 20 orang jurujual sahaja di kawasan tersebut. Berbeza dengan sistem MLM.

 

Ianya tiada had. Kalau boleh semua orang nak dijadikan jurujual. Kalau penduduk di sesuatu kawasan itu ada 50 ribu orang, kalau boleh syarikat nak kesemua 50 ribu orang ni jadi ahli dan jadi jurujual syarikat. Akhirnya setiap jurujual akan bersaing sesama sendiri dan sudah pasti akan ada pihak yang gagal dapat jualan.

Saya adalah salah seorang ejen jualan bagi produk-produk lazada. Kadang-kadang memang saya akan syorkan orang lain untuk jadi ejen seperti saya. Sebabnya dengan menjadi ejen Lazada, anda juga boleh buat duit.  Recommendation ini dibuat kerana saya tau dewasa ni ramai orang yang perlukan sumber pendapatan tambahan dan lazada adalah salah satu lubuk buat duit yang anda patut cuba.

 

Tetapi pada masa yang sama, saya tidaklah begitu mengharap yang anda akan join ha ha. Hakikatnya, jika anda pun join sebagai ejen, anda akan jadi pesaing saya ha ha. Sudah tentu saya tak suka ada pesaing yang berpotensi untuk buatkan pendapatan saya di Lazada akan menurun kelak.

 

Andai kata anda nak jana wang yang lebih besar melalui Lazada, cubalah jadi salah seorang penjual di Lazada. Langkah demi langkah macam mana nak jadi penjual boleh dipelajari melalui laman web ini. Kalau anda kata, anda tak ada produk untuk dijual di Lazada, boleh sahaja gunakan kaedah dropship. Cuma perlu upload gambar produk yang nak dijual, nanti bila dah dapat tempahan dari pelanggan, baru order dari supplier.

Untuk dapatkan senarai supplier yang boleh digunakan untuk bisnes di Lazada, boleh muat turun dari laman web ini.

 

Sambung semula tentang bisnes MLM. Pada pendapat saya, sistem MLM ni pelik sikit. Dia nak semua orang jadi ejen. Seolah-olah macam menjemput semua orang jadi pesaing dia. Pelik tak? Kalau anda yang rekrut memang tak ada masalah untuk anda. Anda mungkin akan tetap dapat overriding commision dari para downline anda.

 

Bagaimana pula dengan downline anda? Mereka hanya akan dapat komisen jika berlaku jualan. Kalau tak ada jualan, tak ada lah komisen. Bagaimana mereka nak buat jualan dan nak buat duit, kalau semua orang dah jadi member dan semua orang juga adalah jurujual!

 

Maka disini pentingnya kita memilih syarikat MLM yang menawarkan produk ataupun perkhidmatan yang kita sendiri memang akan gunakan. Kalau tak buat sales sekalipun, kita masih gembira sebagai pengguna produk, setiap belian kita mendapat poin, dan satu hari nanti, poin tersebut boleh ditebus untuk dapatkan produk lain dari syarikat, ataupun boleh ditukar kepada wang ringgit.

 

Hati-hatilah dengan bisnes MLM yang hanya bercerita tentang bina kekayaan, melancong, dan cari orang semata-mata. Itu petanda bahawa produk yang dijual sebenarnya adalah produk yang tak berguna. Produk seperti ini, kalau dijual menggunakan sistem biasa, maksud saya susun atas rak dan tunggu bakal pelanggan datang bertanya, boleh jadi tak ada siapa yang akan pedulikan produk tu.

 

(3) Orang paling atas yang akan jadi makin kaya

Orang yang berada pada hieraki paling atas tetap akan jadi individu yang paling beruntung. Bayangkan. Setiap downline yang berjaya buat jualan, orang yang paling atas akan dapat sedikit komisen. Bukan setakat jualan, malahan jika ahli dibawah buat pembelian untuk kegunaan peribadi, yang diatas juga akan dapat komisen.

 

Mungkin tak banyak. Yang penting tetap dapat.

 

Ini sebabnya sesetengah orang lebih fokus untuk dapatkan ahli baru dan bukannya fokus untuk jual barang. Cari orang untuk join sistem lebih untung daripada cari pelanggan. Siapa yang tak nak buat duit dengan cara yang mudah?

 

(4) Anda buat duit dengan menyertai sistem, bukannya kerana menjual produk

Produk yang ada hanyalah sebagai syarat semata-mata. Hakikatnya, produk tidak dapat dijual dan tak ada sesiapa yang sanggup beli jika ia dipromosikan menggunakan sistem biasa. Tak ada apa-apa yang ajaib tentang produk tersebut. Satu-satunya keajaiban yang ada pada produk tersebut ialah orang sanggup beli walaupun harganya mahal kerana terpedaya dengan janji-janji palsu (boleh jadi kaya cepat) dan testimoni tipu.

 

Orang yang jual sistem ini kita boleh nampak dari segi gerak geri dan gaya persembahannya. Mereka ni tak cerita tentang produk langsung. Kalau ada cerita sekalipun, penerangan tidaklah begitu mendalam kalau nak dibandingkan dengan penerangan tentang sistem buat duit.

 

MLM jenis macam ni, memang susah nak jual produk tanpa bercerita tentang sistem buat duit.

 

Lain kali, kalau anda berpeluang untuk ikuti sesi pembentangan yang berkaitan dengan MLM, bila sampai masa sesi soal jawab, jangan bertanya tentang sistem sangat sebaliknya tanya tentang produk. Saya cadangkan anda tanya soalan-soalan seperti

  1. Adakah produk ini mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, SIRIM, SKMM
  2. Apakah kandungan yang terdapat dalam produk
  3. Apa kesan sampingan yang bakal dialami oleh pengguna jika makan produk ini
  4. Apakah komposisi dan kandungan produk
  5. Tanya soalan-soalan yang berkaitan dengan perubatan jika produk yang dijual perlu dimakan atau dikenakan pada anggota badan
  6. Tanya soalan-soalan yang berkaitan perkara teknikal, sama ada yang melibatkan penjagaan enjin kenderaan, dan sebagainya

 

Besar kemungkinan, si pembentang hanya akan melopong dan krik krik dengan soalan anda. Dia cuma tahu tentang sistem buat duit. Dia cuma peduli dan berminat dengan duit yang ada dalam poket anda, itu sahaja. Apa produknya, dia langsung tak nak ambil tahu pun.

 

(5) Bongkak dan riak dengan hasil pendapatan, aset dan kekayaan

Ini satu benda yang buatkan sesetengah orang rasa menyampah dengan penggiat bisnes MLM. Mereka bukannya mempromosikan produk sebaliknya mempromosikan cara hidup, hasil pendapatan, aset dan sebagainya dengan menyertai program MLM.

 

Adakah pendapatan yang ditayangkan tu seratus peratus datangnya dari bisnes MLM? Mungkin ya mungkin tidak. Kalau bank statement, mungkin kita boleh nampak ianya dibayar oleh syarikat MLM. Akan tetapi kalau yang ditonjolkan itu adalah kereta mewah, rumah mewah, tempat bercuti, ianya masih lagi samar-samar.

 

Sebabnya boleh jadi kereta tersebut adalah kereta sewa. Rumah tersebut bukan rumah dia. Tempat percutian yang dia pergi adalah tajaan syarikat lain sempena family day. Banyak sangat auta.

 

(6) Sistem ini menyerlahkan sifat tamak pada individu

Pada asalnya, sesuatu produk itu dicipta dan dijual kerana ingin menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu tertentu, contohnya adalah seperti

Meningkatkan kualiti kesihatan dengan pengambilan supplement seperti vitamin

Mendapatkan bekalan air bersih apabila ditapis dengan mesin penapisan

 

Tetapi, dengan adanya sistem MLM, ia menjadikan sesetengah orang lebih fokus kepada untuk cari ahli baru, dan bukannya nak jual produk dan menyelesaikan masalah harian yang dihadapi oleh pengguna. Motif adalah duit semata-mata. Tak kisah sama ada golongan yang disasarkan tu memerlukan produk tersebut ataupun tidak. Apa yang penting ialah, golongan sasaran pasti perlukan duit.

 

Jadi dalam promosi dan sebarang demonstrasi produk yang dilakukan, fokusnya hanyalah tentang bagaimana dengan menjadi ahli boleh jana lebih banyak duit.

 

Sampai satu peringkat, kalau tak ada duit nak join sekarang, anda akan dipujuk untuk buat pinjaman dengan bank. Buat pinjaman dengan bank semata-mata untuk beli produk yang anda sendiri tak akan guna. Berbaloi ke?

 

(7) Kononnya pasaran terlalu besar dan semua orang perlukan produk tersebut

Sebenarnya ini adalah suatu pembohongan. Ramai yang dikelirukan antara konsep saiz pasaran dengan saiz penduduk atau rakyat di sesebuah negara. Walaupun penduduk di Malaysia mungkin ada seramai 30 juta orang, namun tak bermakna semua tu akan jadi golongan sasaran produk kita.

 

Sebagai contoh, jika semua orang perlukan produk MLM, maka pada hari ini sepatutnya dalam setiap rumah pasti ada produk dari Shaklee, atau produk dari Hai-O, dan sebagainya. Tetapi ianya tidak berlaku seperti itu.

 

Bukan semua orang perlukan produk tersebut. Saya bersetuju bahawa produk Shaklee, memang ada banyak yang bagus-bagus. Namun, saya bukanlah pengguna produk mereka. Saya boleh hidup tanpa produk mereka. Ya, mereka boleh promosikan produk tersebut kepada saya, tapi akhirnya terpulang pada saya sama ada nak beli ataupun tidak.

 

Kalau sekadar inginkan makanan tambahan (supplement) hakikatnya saya boleh dapatkan jenama lain yang lebih murah dipasaran.

 

(8) Sistem MLM tidak akan gagal. Setiap hari akan ada kelahiran yang baru.

Ya, ini juga adalah suatu kenyataan yang langsung tidak tepat. Walaupun setiap hari ada kelahiran yang baru, namun ini bukan bermakna setiap yang lahir itu akan jadi pengguna produk yang dikeluarkan oleh syarikat MLM.

 

Seperti mana setiap hari ada kelahiran yang baru, saya percaya, setiap hari juga ada produk-produk baru yang dicipta dan dihasilkan untuk memenuhi keperluan masyarakat.

Kadang-kadang kesian juga dengan baby-baby yang baru lahir ni. Awal-awal lagi mereka dah dijadikan target untuk join syarikat MLM. Padahal kita tak tau, the moment baby tu besar nanti, produk tu mungkin dah tak relevan dah dengan kehendak pasaran.

 

(9) Target orang paling rapat dan kenalan terdekat sebagai mangsa seterusnya

Sesuatu produk atau servis itu sepatutnya dipromosikan kepada golongan sasaran yang memerlukan produk tersebut. Lazimnya, sebelum saya nak promosikan sebarang produk, saya perlukan beberapa maklumat tentang produk seperti apa kelebihan dan manfaat produk serta produk ini dicipta untuk siapa?

 

Persoalan produk ini dicipta untuk siapa akan memberi kita jawapan siapakah golongan sasaran yang patut kita fokus dan iklan yang bagaimana patut kita hasilkan untuk membuatkan mereka tertarik untuk menjadi pengguna produk yang kita jual.

 

Sebagai contoh, supplement untuk mencegah penyakit kencing manis. Produk ini sesuai untuk dipromosikan kepada mereka yang ada sejarah pengidap kencing manis dalam keluarga. Bukannya dipromosikan kepada adik beradik, mak ayah, pak cik mak cik kita yang langsung tak ada kaitan dengan produk ni.

 

Tapi itulah… bergantung kepada upline kita juga. Kalau kebetulan dapat upline yang “tak berakal” ni, dia akan suruh kita jual je produk tu kepada sesiapa sahaja. Lepas tu bukannya cerita pasal manfaat penggunaan produk, sebaliknya cerita lebih kepada macam mana nak buat duit. Adeh… Nampak sangat motif dia adalah untuk duit semata-mata.

 

Apa pun, saya mencadangkan kepada penggiat MLM yang nak jual produk kesihatan ni supaya berhati-hati dalam memilih produk. Pastikan fakta sains yang digunakan adalah tepat dan betul. Bukannya auta semata-mata. Saya syorkan anda ikuti page seperti Pseudoscience Watch yang banyak membongkarkan auta disebalik produk-produk kesihatan yang dijual melalui sistem pemasaran berbilang tingkat MLM ni.

 

Zaman sekarang ini, kita boleh berinterasi dan follow mana-mana doktor yang boleh memberi nasihat berkenaan dengan bidang perubatan. Kita juga boleh dapatkan tips-tips berguna, bagi mengenalpasti, apakah produk yang boleh dipercayai dan produk apa yang patut kita hindari.

 

(10) Ahli keluarga dan rakan-rakan akan menjauhkan diri

Ini adalah “side-effect” daripada tindakan yang dilakukan pada poin yang ke (9). Biasalah kalau semua orang mula menjauhkan diri. Jangan salahkan orang lain yang mula menjauhkan diri, kalau anda sendiri yang melihat semua orang sebagai “mangsa” seterusnya yang akan menjadikan anda semakin kaya.

 

Bisnes MLM dengan sistem piramid sebenarnya tak banyak beza. Kalau ada perbezaan sekalipun, ianya adalah bisnes MLM sah disisi undang-undang, manakala skim piramid tidah sah disisi undang-undang.

 

Untuk menjadikan sistem piramid itu sah di sisi undang-undang, syarikat perlu ada produk dan dapatkan lesen AJL 1993 (akta jualan langsung).

 

Sebelum tu, boleh layan dulu video ni. Lelaki ni bercerita kenapa bisnes MLM adalah suatu bentuk perniagaan yang tidak bagus atau “Bad Business”.

 

Tekan play untuk tonton video tersebut ya.

 

Ironinya, bila ada orang join bisnes MLM disebabkan sistem piramid SAH tersebut. Bukannya sebab nak jual produk.

 

 

Exit mobile version