Blog Sabree Hussin

25 Sebab kenapa orang memulakan bisnes sendiri

Apa yang mendorong seseorang itu membuat keputusan untuk memulakan bisnesnya sendiri? Adakah sebab nak mengaut keuntungan lumayan semata-mata, atau adakah sebab minat yang mendalam terhadap bidang yang dipilih?

 

Saya berpendapat, ada macam-macam sebab kenapa orang memilih untuk berbisnes dan bukannya kerja makan gaji. Boleh jadi ada beratus-ratus sebab yang berbeza.

 

Kalau saya nak senaraikan satu per satu, pasti sangat banyak. Jadi apa yang saya buat adalah saya senaraikan setakat 25 sebab, kenapa seseorang itu buat keputusan untuk buat bisnes sendiri dan bukannya kerja dengan orang.

 

Bisnes yang dipilih mungkin berbeza. Sama ada bisnes dobi, bisnes kedai makan, bisnes kedai runcit, mahupun bisnes online. Ini adalah antara sebab kenapa mereka pilih untuk cari rezeki menerusi jalan bisnes.

(1) Masa kerja yang fleksibel

Hakikatnya bukan semua orang mampu untuk bekerja mengikut waktu kerja yang tetap, contohnya dari jam 9 pagi hingga jam 6 petang setiap hari.

 

Ataupun kerja mengikut jadual syif. Ada hari kena kerja dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ada hari kena kerja dari jam 10 pagi sampai 6 petang, dan ada ketikanya kena bekerja dari jam 2 petang sampai jam 10 malam.

 

Setiap minggu pula, jadual sukar untuk dijangka. Sentiasa bertukar-tukar, mengikut kesesuaian. Ini membuatkan proses untuk memohon cuti dan meluangkan masa bersama keluarga jadi agak sukar.

 

Kalau orang yang masih bujang dan hidup sendiri, mungkin tak ada masalah untuk kerja dengan jadual seumpama itu. Tetapi berbeza halnya dengan orang yang dah berkeluarga, yang kadang-kadang perlu hantar dan jemput isteri untuk ke tempat kerja, ada anak yang masih bersekolah dan sebagainya.

 

Sebaliknya, kita lebih sesuai kalau bekerja mengikut jadual yang fleksibel. Kalau waktu pagi tak free sebab nak bawa anak ke klinik, masa yang digunakan untuk ke klinik itu tadi boleh digantikan pada waktu lain. Misalnya pada waktu malam.

 

Tak kisahlah nak mula kerja jam berapa sekalipun, sebab yang penting, kerja siap. Setiap kerja ada dateline dia. Kalau kita dah janji, kerja akan siap sebelum hari rabu, bermakna sebelum hari rabu ia perlu disiapkan.

 

Pukul berapa kita nak mulakan kerja, atau bila kita nak berhenti buat kerja, itu bukan satu isu besar. Apa yang penting kualiti kerja dan produktiviti kerja sebaik mereka yang ada waktu kerja yang telah ditetapkan.

 

Apabila kita kerja dengan orang, memang agak sukar nak dapatkan kerja yang fleksibel dengan masa kita. Melainkan kalau kita kerja sendiri sebagai seorang freelancer ataupun jadi usahawan. Pada ketika itu, kitalah yang akan tetapkan sendiri jadual kerja kita.

 

(2) Anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri

Pada peringkat permulaan, perkara ini memang hampir mustahil untuk dicapai. Tetapi, setelah bisnes anda sudah mula berkembang, dan anda sudah mempunyai pekerja yang boleh dipercayai, pada masa itu beban kerja sudah makin berkurang.

 

Urusan harian yang menjadi rutin, boleh diserahkan kepada pekerja. Cuma sesekali anda perlu buat pemantauan bagi memastikan kerja yang dilakukan oleh pekerja anda menepati piawaian yang telah ditetapkan.

 

Sesekali puji dan hargai keikhlasan pekerja anda. Ini secara tak langsung bakal membuatkan pekerja anda rasa dihargai.

 

(3) Anda bebas untuk buat sebarang keputusan

Kuasa untuk membuat keputusan adalah ditangan anda. Anda tak perlu nak menunggu approval daripada siapa-siapa untuk buat sebarang keputusan.

 

Kadang-kadang perkara kecil pun kita kena tunggu dapatkan approval dan terpaksa ikut kerenah birokrasi bila kerja dengan majikan. Ini membuatkan sesetengah perkara atau keputusan jadi agak perlahan dan progres sesuatu projek agak lembab.

 

Semuanya sebab belum dapat approval.

 

(4) Boleh pilih untuk bekerja dengan siapa dan dengan pelanggan yang bagaimana

Setiap bisnes ada terma dan syaratnya. Menjadi tanggungjawab pelanggan untuk ambil tahu, apakah dia terma dan syarat sesuatu syarikat dan pelanggan perlu bersetuju dengan terma dan syarat tersebut sebelum melakukan sebarang transaksi .

 

Sebagai contoh kalau kita nak beli tiket kapal terbang Air Asia. Sebelum buat bayaran, kita akan diminta untuk baca dan setuju dengan terma dan syarat terlebih dahulu. Bila kita dah klik setuju, barulah boleh buat transaksi.

 

Begitu la juga dengan lain-lain bisnes yang ada diluar sana. Pelanggan kena bersetuju dengan terma dan syarat terlebih dulu. Kalau sebagai pelanggan, anda rasa tak boleh bersetuju, then pergilah ke perniagaan lain.

 

Pada perspektif pemilik bisnes, dengan adanya terma dan syarat ini, mereka sebenarnya telah melakukan proses saringan, pelanggan yang bagaimana yang mereka mahu untuk berurusan dengan mereka.

 

Orang bisnes, boleh pilih nak berurusan dengan pelanggan yang bagaimana. Kalau rasa tak selesa nak berurusan dengan pelanggan tertentu, boleh tarik diri dan elakkan untuk pening kepala di kemudian hari.

 

(5) Cipta suasana kerja yang ideal

Bukan mudah untuk kita cari tempat kerja yang mampu untuk menyediakan persekitaran kerja seperti mana yang kita mahukan. Sebaliknya, kalau syarikat tersebut milik kita sendiri, kita bebas untuk menetapkan konsep dan persekitaran kerja yang kita mahukan.

Anda ingin wujudkan bilik rehat yang lengkap dengan permainan video playstation? Ya boleh. Tak ada masalah.

 

(6) Realisasikan cita-cita anda

Mungkin dalam jiwa anda sememangnya tersemai semangat seorang ahli perniagaan. Bagi sebahagian individu, idea untuk memulakan bisnes sendiri adalah sesuatu yang menakutkan.

 

Ada banyak cabaran dan risiko yang perlu dihadapi jika nak buat bisnes sendiri. Tapi anda mungkin berbeza. Anda tak takut dengan risiko dan sukakan cabaran. Apabila peluang untuk buat bisnes telah muncul dan modal sudah ada dalam tangan, apa tunggu lagi?

 

Realisasikan cita-cita anda selama ini. Mulakanlah bisnes anda sendiri.

 

(7) Bina kenalan dan rangkaian perniagaan

Ini sebahagian daripada kelebihan yang bakal dilalui oleh golongan usahawan. Apabila masuk ke dunia keusahawanan, peluang untuk anda mula bina rangkaian perniagaan dan berkenalan dengan usahawan lain turut terbuka luas.

 

Sesetengah usahawan yang ada, bakal menjadi pesaing dan musuh perniagaan anda. Namun akan ada juga yang akan menjadi rakan niaga dan strategic partner anda.

 

Anda akan saling bantu membantu, bagi memastikan sama-sama raih kejayaan.

 

(8) Bina pasukan impian anda sendiri

Kita tak dapat nak pilih, dengan siapa kita akan bekerja dan siapa yang bakal menjadi team member kita apabila kita bekerja dengan orang lain. Kalau semua orang dalam pasukan kita jenis yang memang komited dengan kerja, Alhamdulillah… urusan kerja akan berjalan dengan lancar.

Tapi kalau dapat pasukan yang selalu datang lambat, kaki MC, kerja akan jadi susah untuk dilakukan dan secara tak langsung beban kerja akan digalas oleh orang lain. Mujurlah dengan menjadi bos, kita boleh pilih siapa yang bakal jadi ahli dalam pasukan yang bakal dibina.

 

Kalau tak suka, pecat sahaja. Kalau pekerja tersebut memang tak bagus, masih tak berubah walaupun telah diajar dan diberi latihan, lepaskan dia. Mungkin dia tak sesuai untuk bekerja dengan anda.

 

(9) Cipta peluang pekerjaan kepada masyarakat

Sebagai pemilik bisnes, anda boleh bantu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar apabila anda mewujudkan peluang pekerjaan di premis perniagaan anda. Ya, mungkin anda hanya boleh wujudkan dua, tiga atau kurang dari 10 peluang kerja.

 

Tapi ini juga sudah kira cukup baik. Setidak-tidaknya 10 orang yang bekerja dengan anda ini, tak perlu pening-pening kepala nak cari kerja dekat tempat lain.

 

(10) Bantu memudahkan urusan orang lain

Produk mahupun servis yang anda tawarkan mampu untuk memudahkan urusan orang lain. Kita ambil satu contoh. Andai kata anda menjalankan bisnes dobi.

 

Kewujudan bisnes anda secara tak langsung dapat memudahkan penduduk disekitar anda mendapat khidmat mencuci pakaian. Jika konsep perniagaan dobi yang anda jalankan adalah dobi layan diri, anda juga telah memudahkan pelanggan yang tinggal dikawasan sekitar dan mereka tak perlu susah payah nak beli mesin basuh mereka sendiri.

 

Produk dan juga perkhidmatan yang anda tawarkan dapat membantu menyenangkan kehidupan pelanggan anda.

 

(11) Berpeluang untuk jadi pakar dalam industri

Apabila kita menjalankan sesuatu bisnes, secara tak langsung kita akan tambahkan ilmu dalam bidang yang berkaitan. Kita akan cari ilmu dengan belajar secara formal mahupun tak formal. Selepas beberapa ketika, anda akan jadi seorang yang pakar terhadap bidang yang diceburi.

 

(12) Hasilkan lebih banyak duit

Bila kerja dengan orang, pendapatan kita telah ditetapkan. Tak kiralah sama ada produktiviti kita tinggi ataupun rendah. Kalau dalam kontrak dah dipersetujui, yang gaji kita adalah RM3,000 sebulan, maka itu sahajalah jumlah yang bakal diperolehi.

 

Berbeza pula halnya kalau ada bisnes sendiri. Jika anda rajin, usaha lebih baik, dan teknik urus bisnes juga betul, anda ada peluang untuk hasilkan lagi banyak pendapatan berbanding kerja makan gaji.

 

(13) Peluang jana pendapatan tanpa had

Usaha dengan lebih baik, fikirkan strategi perniagaan yang lebih bagus berbanding sebelum ini, dan bekerjasama dengan individu lain yang lebih berpengaruh adalah resipi untuk dapatkan hasil yang lebih baik.

 

Pendapatan anda dihadkan setakat mana anda sanggup untuk berikan usaha terbaik terhadap bisnes yang anda jalankan.

 

Bisnes yang berbeza, ada game plan yang berbeza. Apabila anda benar-benar faham strategi dan game plan bisnes anda, pendapatan anda juga akan meningkat. In Shaa Allah.

 

(14) Capai status kebebasan kewangan

Perkara ini bukanlah satu rahsia. Ternyata telah ramai yang berjaya capai status bebas dari segi kewangan apabila menceburi bidang perniagaan.

 

Jika dibuat dengan betul, In Shaa Allah anda juga boleh berjaya.

 

(15) Tax benefit

Dari perspektif sistem percukaian, anda mempunyai lagi banyak ruang untuk dapatkan pengecualian cukai berbanding kalau anda kerja makan gaji. Malahan, kalau anda bekerja makan gaji, gaji anda akan dipotong melalui program Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan pengecualian cukai yang anda perolehi tak sebanyak pemilik perniagaan.

 

Jika anda ingin ketahui dengan lebih mendalam tentang percukaian dan apa potongan cukai yang anda bakal nikmati sebagai pemilik perniagaan, bolehlah dapatkan khidmat nasihat dari Real Management Services.

 

Syarikat ini berpengalaman memberikan nasihat berkaitan aspek percukaian kepada individu dan juga kepada pemilik perniagaan.

 

Anda boleh terus rakan saya Pn Diyana melalui nombor berikut 011-2720 4420. Sebaik-baiknya anda whatsapp sahaja dan ceritakan apa isu yang anda mahukan penyelesaian ya.

 

(16) Setiap hari dengan cabaran baru

Anda jenis yang cepat bosan apabila perlu hadapi rutin kerja yang sama setiap hari? Jika anda jawab ya, maka kehidupan sebagai seorang ahli perniagaan mungkin lebih bermakna untuk anda.

 

Untuk mereka yang sukakan cabaran yang baru dan tak berapa minat untuk hadapi rutin kerja yang sama setiap hari, inilah salah satu sebab untuk anda mulakan bisnes anda sendiri.

 

(17) Cipta aset

Segala peralatan dan kelengkapan yang anda gunakan untuk menjalankan bisnes adalah aset untuk anda. Ianya boleh dicairkan, jika satu hari nanti anda sudah tak minat nak teruskan bisnes tersebut.

 

Ataupun, anda boleh jual bisnes anda kepada usahawan lain yang mungkin minat nak buat bisnes yang sama seperti yang anda lakukan.

 

(18) Delegate kerja-kerja yang anda tak suka buat kepada orang lain

Inilah untungnya bila jadi bos dan ada bisnes sendiri.

 

Mana-mana kerja yang anda rasakan agak leceh dan malas nak dibuat, anda boleh serahkan kepada orang lain. Terpulanglah kepada anda, sama ada nak dapatkan pekerja sepenuh masa, pekerja sambilan ataupun nak upah freelancer untuk buat kerja bagi pihak anda.

 

(19) Setiap hari tak terasa seperti sedang bekerja

Inilah yang bakal anda rasakan, sekiranya anda buat sesuatu perkara yang memang anda minat. Setiap hari tak terasa seperti sedang bekerja, walaupun pada hakikatnya kita memang sedang bekerja.

 

Justeru, memang untung siapa yang berjaya jadikan minatnya sebagai satu bisnes.

 

(20) Jadi mentor untuk orang lain

Orang bisnes lazimnya suka untuk lihat orang lain yang buat bisnes turut sama-sama berjaya. Rezeki Allah ni sangatlah luas dan ia boleh dikongsi bersama.

 

Kalau ada yang kurang berjaya, boleh dibantu dengan memberi tips serta perkongsian strategi, supaya sama-sama boleh berjaya. Lagi ramai yang berjaya dalam bidang perniagaan, itu lebih baik. Secara tak langsung, ianya akan saling menguatkan hubungan bisnes antara satu sama lain, dan ekonomi juga akan bertambah baik.

 

(21) Anda boleh bekerja dari mana-mana yang anda suka

Poin ini sebenarnya lebih kurang sama dengan poin nombor 2. Anda boleh bekerja dari mana-mana tempat apabila anda ada bisnes sendiri. Ini boleh berlaku apabila anda mempunyai pekerja yang boleh diharapkan ataupun perniagaan anda dibina menerusi sistem sokongan yang boleh berjalan sendiri tanpa memerlukan penglibatan anda secara aktif.

 

Saya ambil contoh kalau anda berniaga produk menerusi laman web shopping Shopee.

Anda hanya perlu upload maklumat produk yang anda jual di Shopee. Seterusnya anda boleh pilih sama ada nak gunakan kaedah iklan berbayar atau biarkan sahaja sistem Shopee yang akan tolong carikan pelanggan bagi pihak anda.

 

Apabila ada tempahan, anda uruskan tempahan tersebut sama ada menerusi sistem dropship atau anda pos sendiri. Semua ini anda boleh buat sendiri, tanpa perlu susah payah untuk anda bekerja di pejabat.

 

(22) Dapatkan pengalaman berniaga

Kalau nak dapat pengalaman bekerja, anda kerjalah dengan majikan. Sebaliknya, kalau nak dapatkan pengalaman berniaga, caranya adalah dengan menceburi bidang perniagaan.

 

Tak kisahlah apa jenis perniagaan, sama ada besar atau kecil. Pengalaman yang bakal anda perolehi nanti, ianya tetap begitu berharga.

 

(23) Bina jenama sendiri

Setiap perkara yang anda lakukan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan anda bakal membuatkan nama dan jenama anda semakin dikenali dan dipercayai.

 

Ini berbeza apabila anda menjadi seorang pekerja. Apa yang anda lakukan semasa dalam perkhidmatan, paling baik mungkin akan diberikan anugerah pekerja terbaik. Itupun kalau ada.

 

(24) Mempunyai pelbagai bisnes dalam satu masa

Buat satu bisnes. Buat sampai jadi. Ataupun setidak-tidaknya, sampai boleh dapat hasil positif dari bisnes tersebut.

 

Kemudian, cari masa untuk buat satu lagi bisnes. Kalau boleh buat bisnes yang berkaitan dan yang tak mengganggu bisnes utama. Saya bagi contoh. Bisnes utama adalah bisnes homestay. Bila bisnes dah mula berjalan dengan baik, dah ada pelanggan, kemudian anda tawarkan pula bisnes pakej percutian dengan pelbagai aktiviti menarik.

 

Selain itu boleh kembangkan lagi kepada bisnes tour guide, bisnes kereta sewa, bisnes jual tiket masuk ke taman tema dan macam-macam lagi.

 

(25) Bina legasi untuk ditinggalkan kepada waris

Sebagai seorang pekerja, anda tak mungkin dapat wariskan jawatan anda kepada waris anda, apabila sampai masa untuk bersara kelak. Sebaliknya, jika anda mempunyai bisnes sendiri, anda ada pilihan untuk turunkan perniagaan yang anda bina kepada anak-anak anda.

 

Jika pewaris anda merupakan seorang yang berkebolehan dalam bidang perniagaan, besar kemungkinan mereka ini akan besarkan lagi perniagaan anda. Jika sebaliknya, boleh jadi mereka akan jadi punca kejatuhan bisnes anda.

 

Apa yang pasti, bisnes yang anda bina itu nanti, boleh diwariskan. Maka beruntunglah mereka yang lahir dalam keluarga yang ada bisnes sendiri. Mereka tak perlu risau kalau tak dapat bekerja dengan majikan, sebabnya mereka masih ada pilihan untuk kerja dengan famili sendiri.

 

Saya berhenti setakat sampai disini dulu. Saya percaya, kalau diperhalusi lagi, pasti ada banyak lagi sebab kenapa seseorang itu memilih untuk buat bisnes sendiri. Apa yang pasti, orang buat bisnes sendiri bukan setakat sebab minat atau sebab nak buat untung semata-mata.

 

 

Exit mobile version