Blog Sabree Hussin

Langkah-langkah melindungi diri dari penipuan scammer di media sosial

Penipuan yang melibatkan jual beli di media sosial bukanlah satu benda baru. Ia melibatkan amaun kerugian dari sekecil-kecil nilai hinggalah jumlah transaksi yang mencecah ribuan ringgit.

 

Hari ini kita mungkin terselamat daripada penipuan si scammer yang berselindung disebalik fake account yang dibina di platform social media, namun adakah anda boleh jamin bahawa ahli keluarga, saudara mara mahupun kenalan anda boleh terselamat seperti anda?

Ya, belum tentu.

 

Artikel ini saya tulis untuk memberi peringatan kepada anda, para pengguna social media diluar sana agar tidak menjadi mangsa penipuan. Mudah-mudahan selepas ini, anda boleh jadi lebih berhati-hati agar tidak diperdaya oleh individu yang berniat jahat.

 

Kenali ciri-ciri yang biasa terdapat pada akaun media sosial si penipu atau scammer

1. Akaun tersebut baru didaftarkan

Ini satu petanda untuk anda berhati-hati. Akaun yang digunakan khas untuk menipu lazimnya adalah akaun-akaun yang baru didaftarkan. Selepas berjaya dapat mangsa, akaun tersebut akan dipadamkan dan si scammer akan buka akaun lain pula.

 

2. Menggunakan nama samaran

Bila kita baca nama pemilik akaun tu, dari situ kita boleh agak, ia bukan nama sebenar. Nama samaran ini, kadang-kadang ia nampak terlalu obvious, dengan cara ejaan yang pelik, dan ada masanya nama tersebut terlalu moden ala-ala nama seperti dalam novel.

 

3. Nama pada akaun bank untuk tujuan bayaran tak sama dengan nama orang yang kita deal

Dia akan gunakan akaun bank milik orang lain. Alasannya, ini akaun isteri, kakak, adik, abang dan sebagainya. Yang pasti dia tak akan gunakan akaun bank sendiri dengan alasan dah kena sekat sebab terlalu banyak transaksi dan apa-apa alasan.

 

4. Setiap posting yang dibuat tak ada komen dari user lain

Postingnya senyap sepi. Seperti tak ada siapa yang berminat dengan apa yang dia tawarkan.

 

5. Kalau ada komen sekalipun, admin tak layan komen tersebut

Kenapa ya? Boleh jadi sebab orang yang komen tu sebenarnya adalah fake account yang digunakan oleh admin tu sendiri. Jadi tak ada keperluan untuk balas komen tersebut.

 

6. Tak ada gambar si penjual

Sekali lagi, dia cuba bersembunyi disebalik akaun media sosial. Kalau ada gambar sekalipun, belum tentu itu gambar sebenar penjual.

 

7. Page tersebut tak ada review atau feedback dari pengguna lain

Sebab page tersebut adalah page baru, dan memang sebelum ini tak ada siapa yang pernah berurusan dengan page atau profil tersebut.

 

8. Tidak berdaftar dengan SSM

Kalau nak buat bisnes, kena daftar dengan SSM. Kalau tak nak daftar SSM atas sebab yang tak munasabah, ini petanda bahawa akaun tersebut mungkin akaun penipu.

 

Adakah saya nak kata yang kita jangan buat jual beli langsung di social media?

Eh tak bukan begitu.

 

Kadang-kadang kita perlu juga buat pembelian melalui social media. Bila saya kata social media ini, termasuklah Facebook, Twitter, Insta dan sebagainya ya.

 

Cuma apa yang saya nak ingatkan, berhati-hatilah selalu. Kalau memang betul-betul ada keperluan, untuk kita buat pembelian dari pengguna akaun social media yang lain, mungkin anda boleh ambil langkah berhati-hati seperti berikut.

1. Pastikan anda memang kenal identiti si penjual

Mungkin individu tersebut adalah kenalan anda.

 

2. Anda memang tahu individu tersebut memang buat bisnes

Orang yang memang buat bisnes, biasanya dia akan berikan khidmat yang terbaik, sebab itu memang punca rezeki dan punca pendapatan dia. Kalau dia nak menipu para pelanggan dia, ibarat dia tabur pasir dalam periuk nasi dia sendiri.

 

3. Anda dah follow lama

Dari sini kita tahu, akaun tersebut bukan akaun yang baru, dan orang yang kita dah lama follow ini, memang kita nampak dengan jelas mereka memang serius dengan bisnes yang dia jalankan.

 

4. Jumlah transaksi tidak melibatkan satu amaun yang terlalu besar

Ataupun satu amaun yang anda kurang selesa. Senang cerita jumlah tersebut, kalau anda kena tipu sekalipun, anda tak terasa terlalu sakit atau sampai menjejaskan kedudukan kewangan anda.

 

Dalam jual beli secara online melalui media sosial, kebiasaannya risiko paling tinggi ditanggung oleh pembeli. Pihak penjual hanya akan hantar barang setelah dapat bayaran dari pembeli.

 

Sekarang cuba anda bayangkan, setelah anda buat bayaran, penjual tersebut melarikan diri. Dalam situasi ini, sudah tentu kedudukan anda sebagai pembeli mempunyai risiko yang sangat tinggi.

 

Sebagai langkah berjaga-jaga, disini saya lihat ada keperluan untuk anda libatkan pihak ketiga, yang mana peranannya adalah untuk memastikan anda sebagai pembeli tidak ditipu oleh pihak penjual. Penipuan yang lazimnya berlaku adalah penjual melarikan diri setelah bayaran dibuat ataupun penjual menghantar barang yang tak sama seperti yang ditempah oleh pembeli.

 

Apa solusinya?

 

Macam yang saya dah sebutkan tadi, dalam transaksi online, kita perlu libatkan pihak ketiga yang dapat memastikan ruang untuk berlaku penipuan tertutup rapat.

 

Kalau anda nak beli sesuatu di media sosial, dan pada masa yang sama anda berasa ragu terhadap kredibiliti si penjual, minta si penjual itu tadi untuk membuat jualan melalui Shopee ataupun Lazada.

 

Proses untuk menjual melalui Shopee sebenarnya sangat mudah.

 

Sebagai penjual, anda hanya perlu daftar akaun sebagai penjual. Bila pendaftaran anda telah diterima, anda hanya perlu masukkan gambar produk yang hendak dijual, letakkan sedikit maklumat dan keterangan produk (yang ini boleh copy paste sahaja seperti yang anda iklankan di media sosial), masukkan harga produk.

 

Pembeli yang nak beli produk tersebut, akan buat pembelian melalui Shopee dan bayaran akan dibuat ke akaun Shopee.

 

Seterusnya, setelah bayaran diterima, penjual akan dapat notifikasi yang memaklumkan bahawa terdapat tempahan yang perlu diuruskan. Tugas penjual adalah memastikan barang yang ditempah oleh pembeli diuruskan dan dihantar ke alamat pembeli. Setelah pembeli menerima produk tersebut dan telahpun berpuas hati, barulah pihak Shopee akan membuat bayaran kepada penjual.

 

Dalam situasi ini, penjual akan dapat pembeli yang memang betul-betul sudah buat bayaran. Tiada percubaan menipu seperti edit resit online banking.

 

Pihak pembeli pula mendapat jaminan, bahawa produk yang bakal diperolehi adalah sama seperti yang diiklankan oleh penjual. Semua pihak dilindungi daripada cubaan penipuan.

 

Mungkin anda masih kurang percaya, sebab belum pernah kena barangkali, bahawa dekat luar sana memang ada individu yang buat duit dengan cara menipu. Kes-kes penipuan memang kerap berlaku, dan tak mustahil jika anda bakal jadi sasaran seterusnya.

 

Kat sini saya nak kongsikan kepada anda, salah satu kes penipuan yang saya temui baru-baru ni.

Kisahnya, dia beli helmet tapi lepas dah buat bayaran, barang yang sampai cuma batu-batu. Sama ada ini kisah betul atau sekadar rekaan, wallahua’lam. Apa yang pasti, kejadian ini kita boleh jadikan iktibar, dan tak mustahil untuk ia berlaku pada kita.

 

Beli barang lain, bila kotak dah sampai isinya lain. At least si penjual ada effort untuk pos something kepada pembeli. Sedangkan lebih banyak yang berlaku, lepas dapat duit si penjual ini hilang terus tanpa dapat dikesan.

 

Usaha untuk menjual melalui Shopee tidak memerlukan tenaga dan masa yang terlalu banyak. Ianya sangat mudah untuk dilakukan. Kalau barang yang kita nak beli tu harganya agak mahal, hampir mencecah ribuan ringgit, apa salahnya kalau kita minta si penjual tu jual melalui Shopee.

 

Kalau dia tak sanggup nak jual melalui Shopee, sebab malas, leceh atau apa-apa sebab, saya sarankan anda lupakan sahaja untuk beli dari penjual tersebut.

 

Janganlah sebab harga yang murah, yang tak masuk akal, anda jadi kurang rasional. Kena ingat, risikonya ialah, anda mungkin akan jadi mangsa penipuan. Sanggup ke ambil risiko kena tipu, semata-mata sebab nak dapatkan harga yang murah?

 

Anda mungkin merasakan penerangan saya tentang cara nak mula jadi penjual di Shopee terlalu ringkas, justeru kalau anda inginkan penerangan step by step yang lebih details, anda boleh belajar dari laman web ini.

Setakat hari ini, saya memang tak membuat sebarang urusan jual beli melalui laman media sosial. Saya lebih selesa beli melalui Shopee ataupun Lazada.

 

At least saya tahu, kalau ada sesuatu yang tak kena, atau rasa tak puas hati, saya boleh komplen dengan Lazada atau Shopee. Tapi kalau tak puas hati dengan penjual di media sosial, kita nak komplen pada siapa nanti?

 

 

Exit mobile version