Blog Sabree Hussin

Persediaan perlu dilakukan sebelum memulakan bisnes

Memulakan bisnes sendiri, ibarat seperti kita menjaga seorang anak kecil yang masih bayi. Pada peringkat permulaan, ada banyak perkara yang kita perlu sediakan untuk bisnes kita itu nanti. Masa kita juga akan banyak dihabiskan untuk memastikan bisnes berjalan dengan baik.

 

Namun setelah mencapai satu tempoh masa, dan bisnes yang kita jalankan itu pun telah melalui fasa kematangan, ia akan mula memberi hasil kepada kita. Pada masa ini, segala usaha dan masa yang kita laburkan untuk bangunkan bisnes kita tu akan mula terasa berbaloi.

Sebelum kita nak cerita yang manis-manis, cerita tentang keseronokkan mendapat hasil dari bisnes yang dijalankan, ada baiknya kita berhenti sekejap dan ingatkan diri kita tentang perkara-perkara yang perlu kita lakukan pada peringkat permulaan menjalankan bisnes.

 

Ada perkara yang perlu kita lakukan tu, sifatnya adalah berterusan. Justeru, anggaplah perkongsian ini seperti satu reminder, untuk saya sendiri dan untuk para pembaca sekalian. Kalau ada mana-mana satu perkara yang saya kongsikan disini anda pernah terlupa, saya harap lepas ini ia akan jadi satu peringatan kepada anda.

 

Jom lihat apa persediaan yang perlu dilakukan untuk memulakan bisnes sendiri.

(1) Persiapkan diri anda dengan ILMU

Ini langkah pertama. Siap sedia dengan ilmu sebanyak mungkin, sebelum nak memulakan sebarang bisnes. Tak kiralah sama ada bisnes tersebut bisnes dobi, bisnes jual kek atau apa sahaja bisnes.

 

Diluar sana terdapat banyak individu yang boleh anda jadikan rujukan dan juga mentor. Mereka mempunyai latar belakang yang berbeza, dan mampu untuk berikan anda ilmu yang pelbagai. Dapatkan ilmu yang sewajarnya, namun apabila anda ingin mengaplikasikan ilmu tersebut, anda perlu tahu mana satu yang sesuai dan relevan dengan bisnes anda.

 

(2) Terjemahkan ilmu yang ada dalam bentuk kertas rancangan perniagaan

Anda rasa dah cukup ilmu? Adakah anda sudah boleh mulakan bisnes anda sekarang juga? Nanti dulu.

 

Cuba terjemahkan idea dan strategi bisnes anda itu diatas kertas terlebih dahulu. Jika ia nampak hebat diatas kertas, bermakna anda ada peluang untuk pergi jauh dengan bisnes yang anda jalankan.

Namun sekiranya diatas kertas, anda sendiri tak nampak bisnes ini boleh pergi jauh, mungkin langkah yang lebih bijak adalah jangan buat bisnes tersebut.

 

Menulis kertas kerja perniagaan atau business plan pada peringkat awal, dapat memberikan anda satu gambaran menyeluruh tentang sistem operasi perniagaan yang anda bakal jalankan. Dari situ juga, anda boleh buat penilaian sama ada bisnes yang bakal anda jalankan itu nanti dapat bersaing dengan bisnes lain ataupun tidak.

Baca juga: 14 sebab kenapa anda perlu ada kertas kerja rancangan perniagaan

 

(3) Gunakan duit sendiri sebagai modal bisnes

Apabila kita gunakan duit sendiri, kita akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang perbelanjaan. Biarlah modal permulaan yang anda ada itu tidak sebesar mana. Peringkat awal kita mulakan bisnes secara kecil-kecilan.

 

Sekurang-kurangnya kalau bisnes anda gagal, anda hanya kehilangan duit modal anda sahaja. Anda tidak berhutang dengan mana-mana pihak. Hanya apabila anda ingin kembangkan lagi perniagaan, dan modal yang ada tak cukup untuk memenuhi permintaan pelanggan, barulah anda buat pinjaman atau pembiayaan perniagaan.

(4) Jalankan bisnes secara part time pada peringkat permulaan

Jika usia bisnes tersebut masih baru, dan anda masih belum mempunyai pendapatan yang stabil dari perniagaan tersebut, mulakan bisnes tersebut secara part time terlebih dulu.

 

Tak perlu tergesa-gesa berhenti kerja, sedangkan bisnes yang anda jalankan belum menunjukkan sebarang bukti yang ia mampu untuk memberikan hasil kepada anda.

 

Berikan masa untuk bisnes berkembang. Jika perjalanan bisnes diuruskan dengan baik, ia akan mula memperolehi pelanggan tetap, dan dari situ pendapatan dari bisnes juga akan mula meningkat. Hanya apabila anda yakin pendapatan dari bisnes akan dapat melebihi pendapatan dari gaji anda, barulah anda berhenti kerja.

 

(5) Dapatkan rakan kongsi yang boleh dipercayai

Mempunyai rakan kongsi atau rakan perniagaan, boleh membuatkan bisnes anda pergi lebih jauh. Namun ada juga keadaan dimana mempunyai rakan niaga, langsung tidak memberi sebarang impak kepada perniagaan anda.

 

Kalau bisnes anda masih tak menunjukkan sebarang perubahan yang positif walaupun setelah anda bawa masuk rakan niaga, ini bermakna anda telah memilih orang yang salah untuk bantu majukan bisnes anda.

 

Lazimnya sebagai usahawan, anda akan bekerja seorang diri. Anda adalah bos, dan anda tak perlu nak report kepada sesiapa. Segala pencapaian dan kekurangan bisnes, anda sendiri yang tahu. Tapi bila anda ada rakan niaga, bermula saat itu anda akan lebih bertanggungjawab dengan bisnes yang dijalankan dan anda akan ada teman untuk selalu bincang tentang perkembangan bisnes.

 

(6) Cuba jalankan bisnes secara online

Sekiranya anda menjual produk fizikal, anda perlu pastikan produk anda boleh dibeli dan ditempah secara online oleh para pelanggan anda. Bukan susah pun nak jual barang secara online.

 

Anda boleh gunakan platform ecommerce seperti Lazada ataupun Shopee untuk iklankan barang yang anda jual.

Pelanggan anda juga boleh buat tempahan secara online dan peranan anda adalah memastikan barang yang telah siap dibayar itu nanti dihantar ke alamat pelanggan anda.

 

(7) Dapatkan bantuan daripada mereka yang profesional

Jika anda rasa stuck dengan bisnes yang anda jalankan, usah peningkan kepala dengan cuba menyelesaikan segala masalah berkaitan dengan bisnes anda seorang diri. Sebaliknya, dapatkan bantuan dari pakar dan mereka yang profesional.

 

Misalnya kalau anda ada masalah berhubung dengan cukai dan audit akaun syarikat. Anda tak perlu susah payah nak selesaikan sendiri dan belajar macam mana nak buat sendiri, sebaliknya anda boleh dapatkan bantuan daripada mereka yang profesional.

 

Sekiranya anda perlukan khidmat perakaunan dan juga ingin menyelesaikan sebarang isu berkaitan dengan cukai, saya boleh syorkan anda hubungi akauntan saya Pn Diyana dan minta nasihat dari beliau. Pn Diyana ini boleh dihubungi sama ada melalui whatsapp di talian 011-2720 4420 atau layari laman web syarikat mereka di pautan https://realmanagementservices.com/

Baca juga: 18 Cara bagaimana akauntan boleh membantu pemilik perniagaan mengembangkan perniagaan miliknya

 

(8) Rekod segala perbelanjaan dan transaksi perniagaan

Perkara ini akan membantu anda dalam menentukan tahap kesihatan kewangan perniagaan anda. Apa yang telah anda belanjakan untuk perniagaan, anda rekodkan. Apa-apa jualan yang terhasil, juga anda perlu rekodkan.

 

Apabila ini dilakukan dengan baik dan teliti, dapat memudahkan anda untuk menghasilkan penyata pendapatan dan juga balance sheet.

 

(9) Jalankan kerja pemasaran dan pengiklanan setiap masa

Pemasaran dan pengiklanan adalah perkara yang perlu anda lakukan secara berterusan. Jika anda mempunyai bajet bagi tujuan pengiklanan, anda boleh gunakan kaedah iklan berbayar, misalnya menggunakan Google Adwords, FBAds, ataupun iklan melalui papan iklan.

 

Anda hanya perlu bayar sekali sahaja dan iklan anda akan berterusan muncul di khalayak ramai, selagi mana anda masih belum kehabisan bajet iklan.

 

Tapi sekiranya anda tak mempunyai bajet untuk pengiklanan, anda perlu jadi lebih kreatif dan gunakan segala kaedah pengiklanan percuma yang terdapat diluar sana. Tak kiralah sama ada nak gunakan blog, facebook, twitter atau apa sahaja platform.

 

Lihat contoh-contoh perniagaan milik jenama besar seperti McDonald, KFC, Coca Cola dan sebagainya. Walaupun nama mereka telah dikenali mereka masih lagi tetap mengiklankan bisnes mereka.

 

(10) Fokus pada satu bisnes sebelum mulakan bisnes yang lain

Memang seronok bila kita dapat pelbagaikan bisnes. Setidak-tidaknya, jika pendapatan dari bisnes kedai makan kurang memberangsangkan, anda masih lagi ada income dari bisnes homestay atau lain-lain bisnes yang anda jalankan.

 

Dari segi konsep, ia memang nampak seperti sesuatu yang bagus, namun percayalah bukan mudah untuk setup satu bisnes. Jika anda ingin berbisnes, saya syorkan anda buat satu per satu. Pastikan bisnes pertama anda boleh berjalan dengan sendirinya dan telahpun memberikan hasil, kemudian barulah buka bisnes yang lain pula.

 

Jangan nanti, anda hilang fokus. Satu bisnes pun tak ada yang berikan hasil. Adakalanya bisnes yang kita jalankan, akan mengalami masalah.

 

Masalah ini pula ada pelbagai jenis, dan setiap bisnes ada masalah dan ragamnya sendiri.

 

 

 

Exit mobile version