Blog Sabree Hussin

Perkara perlu dilakukan bagi menjadikan bidang penulisan satu kerjaya

Adakah kerjaya dalam bidang penulisan mempunyai masa depan yang cerah dan mampu berikan pendapatan yang stabil?

 

Dua atau tiga tahun kebelakangan ini, saya mula berikan perhatian yang serius dalam bidang penulisan yang saya ceburi. Pada mulanya, saya beranggapan bahawa bidang penulisan ini hanya sesuai untuk bantu saya hasilkan pendapatan tambahan apabila ada masa terluang sahaja.

 

Namun begitu, saya dapati pendapatan yang berjaya saya raih, hasil daripada menghasilkan karya-karya penulisan, semakin meningkat dengan bertambahnya hasil penulisan saya.

Formula mudahnya ialah, semakin banyak artikel dan karya penulisan yang saya hasilkan, semakin bertambah pendapatan saya. Walaupun pertambahan dari segi pendapatan itu tidaklah berlaku secara langsung, namun saya dapati, dengan bertambahnya hasil karya yang saya terbitkan di internet, ia memang menyumbangkan kepada pertambahan pendapatan saya.

 

Memanglah, kadang-kadang tu rasa malas nak menulis. Terlintas juga persoalan sama ada, ada ke yang baca apa yang saya dah tulis sebelum ini? Sejauh mana karya penulisan yang telah saya hasilkan, berjaya memberi manfaat kepada pembaca dan golongan sasaran yang saya mahukan?

 

Sampai satu tahap, saya rasakan terlalu banyak persoalan yang mula timbul hingga menyebabkan saya jadi ragu-ragu untuk terus menulis. Akhirnya saya buat keputusan untuk tidak melayan persoalan-persoalan seperti itu, dan terus fokus untuk menulis.

 

Bagus atau tidak, itu belakang kira. Kalau serius tak bagus, nanti-nanti boleh betulkan dan upgrade apabila ada bahan terbaru yang ingin dikongsikan.

 

Jadi kat sini, saya ingin berkongsi serba sedikit kisah, bagaimana anda juga sebenarnya boleh cipta sumber pendapatan yang baru, melalui bidang penulisan.

Sama ada, anda nak jadikan bidang ini sebagai satu kerjaya, atau sekadar hobi bagi memenuhi masa terluang, semuanya terpulang pada anda. Kadang-kadang benda yang kita mulakan sebagai hobi itulah, yang satu masa nanti jadi sumber pendapatan kita.

 

Masih baca lagi? So ada rasa minat nak jadikan bidang penulisan sebagai satu lagi punca pendapatan? Jom teruskan baca.

 

Market research

Kita tak mungkin akan mampu hasilkan karya penulisan yang dapat memuaskan hati semua orang. Baru-baru ini, saya ada baca sebuah buku berjudul Henshin 2 – From Jahilliah To Jannah yang ditulis oleh Aiman Banna dan Hani Nabila.

 

Bila ada kesempatan, saya akan baca, tak kira apa jenis buku yang ada didepan saya. Buku berjudul Henshin 2 ini pada saya ok sahaja. Tak ada apa-apa kritikan yang saya nak berikan.

 

Cuma saya rasa kandungan dan cara penyampaiannya tak berapa kena dengan saya. Saya dapati, saya agak struggle nak baca buku tu, berbanding buku-buku lain yang lebih berat persembahan dan cara penyampaianya.

 

Kenapa ini berlaku? Saya berpendapat, ianya disebabkan buku tersebut ditulis bukannya untuk golongan pembaca seperti saya.

 

Pembaca sebenar yang disasarkan oleh penulis ini mungkin akan dapati buku tersebut sangat menarik. Dengan bahasa yang santai, dicampur adukkan dengan penggunaan bahasa Melayu perbualan dan bahasa Inggeris, muka surat yang berwarna-warni, serta tulisan yang menggunakan pelbagai warna, ia mungkin menepati selera golongan tertentu.

 

Tapi bagi saya, yang dah terbiasa baca buku teks, saya jadi agak janggal bila nak baca dan hadam isi kandungan buku tersebut.

 

Ini yang saya cuba sampaikan melalui subtopik market research. Apabila anda tahu, siapa sebenarnya golongan pembaca sasaran anda, anda tak perlu risau tentang kritikan mahupun komen pedas daripada kelompok pembaca yang memang anda tak harapkan. Kita memang tak akan mampu puaskan hati semua orang, sampai bila-bila.

 

Adalah lebih baik, kita cuba kenali siapa sebenarnya golongan yang kita mahu sasarkan, dan seterusnya deliver hasil kerja kita dengan sebaiknya. Apa yang patut kita jadikan fokus adalah supaya golongan tersebut puas hati dengan kita. Yang bukan dalam target kita tu, kita abaikan sahaja.

 

Kebolehpasaran

Pernah tak anda cuba jual hasil penulisan anda? Apa yang berlaku bila anda cuba untuk jual hasil penulisan anda tersebut? Ada tak orang yang nak beli?

 

Peringkat permulaan, kita mungkin banyak hasilkan karya-karya penulisan tanpa sebarang bayaran. Kita menulis, bukan sebab kita nak jual hasil penulisan kita tu, sebaliknya kita menulis sebab kita memang minat menulis. Itu memang passion kita.

 

Tapi sampai satu tahap, kita perlu terima hakikat bahawa masa yang kita gunakan untuk menulis itu, baik digunakan bagi menghasilkan sesuatu kerja yang boleh memberikan pulangan.

 

Jika penulisan yang kita hasilkan itu mampu untuk memberikan pulangan dalam wang ringgit, mahupun dalam USD, kenapa tidak diusahakan dengan lebih serius? Ini merupakan satu bonus, dimana kita boleh buat apa yang kita suka, dan pada masa yang sama, kita dibayar pula untuk buat benda yang kita suka.

 

Baca karya hasil penulis lain

Apa yang anda rasa, apabila baca karya yang dihasilkan oleh penulis lain?

 

Mesti ada macam-macam rasa. Ada rasa suka, kagum, rasa bosan dan sebagainya. Itu adalah reaksi normal. Saya juga begitu.

 

Ada penulisan yang ditulis oleh penulis tertentu, yang berjaya buatkan saya rasa seperti nak dapatkan semua karya penulisan yang dia pernah hasilkan. Salah satunya adalah HM Tuah Iskandar.

 

Ada juga keadaan dimana saya langsung tak mampu nak habis baca buku yang ditulis oleh penulis tertentu. Baru baca beberapa helai mukasurat, saya dah mula rasa bosan dan rasa terseksa nak baca sampai habis.

 

Karya orang lain, boleh dijadikan satu penanda aras, dan kita patut tanyakan pada diri kita sendiri, sama ada

  1. Adakah saya mampu untuk hasilkan penulisan yang sebegini bagus?
  2. Adakah saya mampu untuk terbitkan karya yang lebih baik?
  3. Boleh kah saya hasilkan sebuah karya sebagai respons kepada karya asal?
  4. Atau mampukah saya hasilkan satu lagi karya sebagai penambahbaikkan daripada karya penulis sebelum ini?

 

Pemilihan genre penulisan

Agak sukar untuk jadi penulis, apabila kita tak mempunyai genre atau topik yang khusus. Kita cenderung untuk tulis semua benda, belajar semua perkara dan akhirnya sukar untuk jadi popular ataupun seorang yang pakar dalam genre tertentu.

 

Saya meminati penulisan Ramlee Awang Murshid sebab pada saya, beliau adalah seorang yang pakar dalam menulis novel thriller. Pada hari ini, kalau saya jumpa novel beliau di kedai, saya tahu, buku tersebut pasti bagus dan seronok dibaca.

 

Namun saya tak dapat bayangkan, macam mana agaknya kalau beliau menulis dalam topik atau genre kewangan, pemasaran, pelaburan dan sebagainya?

 

Apabila kita fokus pada satu-satu genre, kita ada peluang untuk bina jenama dan mudah dikenali. Penulis ini adalah pakar dalam menghasilkan buku atau karya penulisan dalam genre sekian-sekian. Bayangkan perkara ini yang bakal anda lalui. Pembaca kenal anda, melalui penulisan yang anda hasilkan dalam genre tertentu.

 

Cuma mungkin kita akan mula rasa bosan dengan sesuatu genre, apabila kita asyik tulis tentang perkara yang lebih kurang sama berulang kali. Apa yang membezakan, hanyalah cara penyampaian sahaja. Hakikatnya, kita rasa bosan, namun pembaca dan peminat kita, belum tentu akan rasa perkara yang sama.

 

Begitu juga sebaliknya. Kita cuba nak tukar genre, sebab nak cuba sesuatu yang baru. Namun belum tentu perubahan yang kita cuba bawakan, akan diterima dengan baik oleh peminat kita.

 

Platform penulisan

Anda nak jadi penulis apa?

  1. Surat khabar?
  2. Majalah?
  3. Media sosial?
  4. Blog?
  5. Ebook?

 

Perasan tak, sekarang ini, kita mempunyai lebih banyak pilihan untuk jadi seorang penulis. Tak perlu lagi kita ternanti-nanti peluang untuk mana-mana syarikat akhbar mahupun majalah untuk perasan kewujudan kita, nak menawarkan peluang untuk menulis disyarikat milik mereka.

 

Anda ada sesuatu yang nak dikongsikan? Tulis sahaja di media sosial. Tulis sahaja di blog. Kemudian, mula dapatkan pembaca setia, yang seronok follow hasil tulisan anda nanti.

 

Ataupun mungkin anda masih belum jumpa, mana-mana syarikat penerbitan yang sudi untuk terbitkan karya ada? Tak ada masalah. Jual sahaja dalam bentuk digital. Sekarang ini, rakyat Malaysia dah ramai yang mula menjadi pembaca ebook.

 

Ebook ataupun buku fizikal, bukannya satu halangan untuk hasilkan karya penulisan untuk para peminat dan bakal peminat diluar sana. Apa yang lebih penting, karya penulisan anda berjaya sampai ke mata peminat anda. Satu kerisauan yang biasa dilalui ialah apabila kita dah terbitkan buku dalam bentuk fizikal beribu unit, namun akhirnya tiada yang sudi beli.

 

Itu berlaku disebabkan tak ada siapa yang kenal siapa diri kita. Kalau nak kurangkan risiko kerugian seperti ini, mungkin boleh buat begini. Karya awal itu, terbitkan sahaja dalam bentuk digital. Ini juga sebagai satu usaha untuk test market dan uji kebolehpasaran.

 

Menulis di media sosial

Menulis di media sosial itu percuma. Pembaca bebas untuk baca, ceduk perkongsian yang kita hasilkan dan seterusnya mereka bebas sama ada nak kongsi dengan menekan share mahupun copy paste. Ianya berlaku diluar kawalan kita.

 

Aspek copyright atau hak cipta, seringkali tidak diendahkan oleh pembaca di Malaysia. Tapi itu bukan perkara yang saya nak bincangkan.

 

Cuba anda hasilkan satu artikel atau cerita dalam bentuk siri. Contohnya ada 10 siri. Anda terbitkan 3 siri. Selebihnya, anda terbitkan dalam group khas. Letakkan satu syarat, jika ada pembaca yang minat nak baca kesudahan cerita ini, sila buat bayaran sejumlah RM sekian sekian ke nombor akaun sekian sekian.

 

Kalau ada pembaca yang sanggup untuk bayar dan sertai group semata-mata nak tahu kesudahan cerita, ini boleh dijadikan satu signal bahawa penulisan anda sudah mula mendapat perhatian dan memang ada nilainya yang tersendiri.

 

Walaupun bidang ini, sememangnya boleh memberikan pendapatan kepada individu yang menceburinya, namun untuk bina kekayaan menerusi bidang ini, mungkin merupakan satu cabaran yang sangat besar. Pemainnya sangatlah ramai, dan setiap penulis, menawarkan sesuatu yang unik.

 

Tetapi saya percaya, kalau kita buat sesuatu kerja, kerana kita betul-betul minat kerja tersebut, dan bukan semata-mata sebab duit, saya pasti kejayaan itu pasti akan datang juga.

 

 

 

Exit mobile version