Blog Sabree Hussin

12 Perkara perlu dipertimbangkan sebelum memulakan sebarang bisnes dari rumah

Mempunyai bisnes dari rumah yang menguntungkan sememangnya menjadi idaman ramai usahawan!

 

Tak perlu susah payah nak cari lokasi yang strategik, tak perlu dapatkan premis perniagaan, tak perlu keluarkan belanja yang mahal untuk renovate dan dekorasi kedai… wah ini satu berita yang sangat baik.

 

Namun, adakah semua bisnes dari rumah yang dijalankan oleh usahawan online berjaya memberi pulangan dan keuntungan kepada pemiliknya?

Serupa dengan lain-lain perniagaan yang ada diluar sana. Ada yang berjaya, ada yang tak berapa berjaya, ada yang cuma cukup-cukup makan, dan tak kurang juga, ada yang gagal.

 

Perkongsian ini akan membawa anda untuk mempertimbangkan beberapa perkara penting, sebelum anda terus terjun dalam bidang perniagaan ini. Walaupun bisnes dari rumah secara online nampak mudah, dan ia seperti boleh dilakukan oleh semua orang, hakikatnya ramai yang gagal dalam bidang ini.

 

Jadi tak perlu pelik kalau anda tak berapa berjaya dalam bisnes ini.

 

“Kenapa orang lain buat bisnes online boleh berjaya, aku buat bisnes online, tak ada siapa yang nak beli dari aku..?”

 

Orang yang cukup lama dalam bidang ini, pasti pernah terlintas dalam fikiran mengenai persoalan ini. Ya, orang lain berjaya, kita pulak masih tak kemana. Sakit hati kan.

 

(1) Adakah anda akan menjual produk atau perkhidmatan?

Apa beza antara jual produk dengan jual perkhidmatan? Sebenarnya memang ada beberapa perbezaan. Saya tak akan senaraikan semua, sebab kalau nak buat penyenaraian tu, saya boleh hasilkan sebuah blogpost yang baru.

 

Kalau jual produk, kita boleh jual produk itu seperti mana ianya dapat dilihat oleh pelanggan kita. Pelanggan kita dapat lihat produk tersebut, boleh pegang produk dan boleh belek-belek produk yang kita jual.

 

Contohnya, kita jual smartphone jenama samsung.

 

Tetapi, kalau jual perkhidmatan ni lain sikit. Contohnya perkhidmatan membina laman web. Kita cuma boleh tunjuk contoh-contoh laman web yang pernah kita bina, itu sahaja. Untuk hasil akhir, ianya bergantung kepada keperluan, kehendak dan spesifikasi yang dimahukan oleh pelanggan.

 

Jarang ada, dua orang pelanggan yang sama, nak website yang sama atau exactly the same.

 

Atau contoh lain, perkhidmatan consultation and training berhubung topik tertentu yang anda mahir. Modul mungkin anda perlu sesuaikan dengan pelanggan atau bakal pelanggan anda. Maknanya, kalau ada banyak pelanggan, akan ada banyak contoh modul yang berbeza, bagi disesuaikan dengan kumpulan pelanggan yang kita sasarkan.

 

Saya juga menjual perkhidmatan, iaitu perkhidmatan menulis artikel iklan advertorial. Setiap pelanggan yang saya dapat, semuanya ada keperluan yang berbeza, dan saya perlu menulis mengikut apa yang mereka perlukan.

 

Pernah juga saya rasa, jual produk lebih ringkas stepnya berbanding jual servis. Jadi, untuk anda yang nak mulakan bisnes dari rumah tu, mungkin boleh fikir, nak fokus pada jual apa? Jual perkhidmatan atau jual produk. Sudah tentu, setiap satu ada kelebihannya yang tersendiri.

 

 

(2) Siapa yang akan uruskan jualan? Jual sendiri? Upah pekerja atau dapatkan bantuan ejen pemasaran?

Bisnes dan jualan memang satu pasangan yang tak boleh dipisahkan. Kalau bisnes anda tak perlu menjual… hmm… mungkin anda buat MLM kot. Ayat pun standard nak cari downline je bunyinya tu.

 

Ok la, to be fair. Kalau perniagaan anda adalah seperti membekalkan air bersih dari rumah ke rumah, membekalkan tenaga elektrik kepada pengguna, menjual minyak petrol dan diesel, ataupun anda adalah satu-satunya manusia yang menjual produk tersebut, maka betullah tu kalau tak perlu menjual. (walaupun saya sendiri tak berapa setuju sangat…)

 

Lazimnya, kalau dah buat bisnes mesti kena buat jualan.

 

Soalan paling penting, siapakah yang bertanggungjawab untuk membuat jualan bagi perniagaan anda? Kalau bisnes tu anda buat sendiri, tak ada partner, maka dah tentulah anda adalah orang yang diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk buat jualan!

 

Kalau bisnes anda tak ada pelanggan, itu salah anda. Anda yang tak pandai buat jualan, dan kalau satu hari nanti bisnes anda melingkup, itupun salah anda jugak. Siapa suruh tak cari pelanggan dan tak buat jualan.

 

Jika anda tak ada kemahiran jualan (langsung), tak perlu bimbang, sebabnya anda masih lagi ada pilihan untuk mengupah orang lain yang ada kemahiran menjual untuk membuat jualan bagi pihak anda. Anda rasa opsyen ni terlalu mahal untuk anda?

 

Ok. Apa kata anda gunakan sistem ejen. Dapatkan ejen yang sudi dan sanggup bekerja untuk anda dan bayaran dalam bentuk komisen hanya apabila dia berjaya hasilkan jualan. Ada ke orang macam ni? Sudah tentu ada. Saya adalah salah seorang yang bekerja dalam bidang jualan dan upah yang saya terima adalah dalam bentuk komisen.

 

Ramai lagi orang macam ni. Anda carilah dulu sebelum nak menyerah kalah ya.

Baca juga:

(1) Bagaimana merekrut ejen untuk membantu membuat jualan bagi pihak kita?

(2) Patut ke lantik ejen untuk bantu kembangkan perniagaan online kita?

Mencari ejen yang bagus juga bukan perkara yang mudah. Tapi bila dah dapat ejen tu, pandai-pandailah jaga dia supaya dia setia dengan anda dan sentiasa menyokong perniagaan anda ya.

 

(3) Hasilkan laman web sendiri. WAJIB.

Perlu ke ada laman web sendiri? Kalau guna Facebook je tak boleh ke?

 

Kalau anda serius dengan bisnes, dan ingin jalankan bisnes tersebut untuk jangka masa panjang, hasilkan laman web untuk perniagaan anda. Sekurang-kurangnya, anda buat blog untuk perniagaan anda. Saya tahu, kat luar sana tu masih ramai lagi pemilik perniagaan yang masih belum ada laman web sendiri.

 

Saranan saya, mula buat sekarang. Jika perniagaan anda tidak ditemui oleh pengguna laman web carian google, bermakna perniagaan anda tak wujud.

 

(4) Berapa modal perniagaan yang anda sanggup laburkan? Atau leburkan.

Bukan ke ada bisnes yang boleh dimulakan tanpa sebarang modal? Erm… depend kepada takrifan modal tu apa.

 

Jika modal tu merujuk kepada duit semata-mata, maka mungkin betul. Tapi, kita sedia maklum, modal ni merangkumi aspek seperti wang, masa, tenaga, kepakaran dan sebagainya. Semua ini adalah modal.

 

Bukan semua modal yang kita keluarkan, kita akan dapat balik ya. Ada juga modal yang hangus. Saya ambik contoh, modal untuk pengiklanan. Adakalanya, modal yang kita keluarkan untuk tujuan iklan tak balik modal.

 

Bawak keluar RM100, bagi tujuan pengiklanan, tetapi pelanggan tetap tak ada. Adakah ini salah iklan? Bagaimana kalau tak buat iklan? Kalau tak buat iklan, mungkin tak akan ada yang tahu tentang kewujudan perniagaan anda.

 

Bajet untuk iklan tu memang kena ada. Ianya untuk memudahkan anda, dalam memberitahu kepada golongan sasaran, bahawa anda ada menjalankan perniagaan tertentu. Boleh je kalau tak nak keluar duit untuk tujuan iklan. Tetapi lepas tu, bagi tujuan pengiklanan anda kenalah buat sendiri.

  1. Jumpa seberapa ramai orang untuk bagi tau yang anda buat bisnes.
  2. Kalau guna FB, kena mesej (atau PM) setiap orang untuk bagitau anda buat bisnes
  3. Hari-hari kena update pasal bisnes anda di wall sendiri

 

Bukannya tak boleh buat macam ni, cuma dari segi keberkesanannya, ia mungkin tak berapa baik. Ia juga mungkin akan ambil masa yang lebih lama untuk nampak hasilnya. Kalau boleh sabar, silakanlah.

 

Pengiklanan adalah untuk memberitahu bakal pelanggan bahawa anda ada jual produk atau servis tertentu. Ia bukan jaminan, orang akan beli produk yang anda jual.

 

(5) Siap sedia untuk gunakan semua channel pemasaran yang ada

Saya senaraikan antara yang popular dan biasa digunakan terutama sekali dalam segmen pemasaran online

  1. Laman web
  2. Blog
  3. Youtube
  4. Segala jenis Media Sosial
  5. Pemasaran emel menggunakan sistem autoresponder
  6. Laman web forum
  7. Google Adwords
  8. FBAds

 

… dan banyak lagi. Mungkin anda tak perlulah nak guna semua sekali, namun siap sedia untuk test semua sekali, bagi mengetahui channel yang mana satu yang paling berkesan dengan anda.

 

Setelah saya cuba semua channel, saya dapati channel pemasaran yang paling sesuai untuk saya ialah blog. Orang lain, mungkin akan kata mereka lebih sesuai dan lebih cemerlang kalau guna pemasaran emel atau FBAds.

 

Tiada jawapan yang betul atau salah. Ikut kepada kepakaran dan karekter masing-masing.

 

(6) Guna juga media sosial sama ada anda suka atau tidak

Google+, LinkedIn, twitter, Facebook, Instagram dan lepas ni kita tak tau, apa lagi media sosial yang akan jadi popular. Suka ataupun tidak, bakal pelanggan kita memang ada di media sosial.

 

Lihat pesaing-pesaing kita. Mereka semua berlumba-lumba untuk dapatkan pelanggan di media sosial. Terpulanglah pada anda, sama ada nak follow atau tidak. Ataupun, mungkin anda nak fokus pada satu atau dua media sosial sahaja.

 

Contohnya nak fokus kepada Facebook marketing dengan twitter sahaja. Macam tu pun boleh juga.

 

(7) Siapa sasaran pelanggan atau pasaran anda? Adakah ianya cukup besar?

Kenali siapa pelanggan ideal anda. Adakah jumlah mereka ni cukup ramai? Atau hanya ada satu dua sahaja dalam Malaysia ni.

 

Untuk memastikan pendapatan anda sentiasa konsisten, dan anda tak akan kehabisan pelanggan, maka pilihlah perniagaan yang mempunyai saiz pasaran yang cukup besar.

 

(8) Dimana anda akan bekerja?

Anda akan menjalankan perniagaan anda dari rumah. Sudahkah anda fikirkan, dibahagian mana dalam rumah anda, perniagaan anda akan beroperasi?

 

Adakah dari bilik tidur? Ruang tamu? Meja makan? Adakah di rumah anda ada orang lain sewaktu anda sedang bekerja?

Bagaimana dengan gangguan? Saya bekerja di ruang tamu. Awal-awal dulu, memang cukup terganggu bila tengah bekerja, ada orang pasang TV. Hilang fokus. Tapi sekarang ni, dah mula biasa dengan keadaan tersebut.

 

Mempunyai ruang kerja yang spesifik dan bebas dari sebarang gangguan juga sangat penting untuk kejayaan perniagaan anda tau.

 

(9) Apa model UTAMA perniagaan anda?

Saya rasa, saya patut letakkan poin nombor (9) ni somewhere dibahagian atas. Tapi nak buat macam mana, bila dah sampai sini, baru teringat…

 

Model utama perniagaan anda, adakah

  1. Bisnes servis/ perkhidmatan?
  2. Affiliate Marketing?
  3. Dropship?
  4. Training and Consulting?
  5. Internet MLM atau network marketing?
  6. Bisnes ecommerce?

 

Sila highlight pada perkataan UTAMA. Apa bisnes utama anda? Biasanya bisnes utama adalah yang paling banyak menyumbangkan pendapatan kepada anda, dan apabila lain-lain jenis bisnes telah menghampakan anda, income dari bisnes utama ini akan jadi penyelamat anda.

 

Bisnes utama inilah yang kita akan bina terlebih dahulu. Apabila income dari bisnes utama ini sudah stabil, dari situ barulah kita akan mula merancang untuk kembangkan lagi cabang bisnes kita dan mula cuba model yang lain pula.

 

Contohnya, peringkat permulaan, anda fokus kepada affiliate marketing sahaja dulu. Bila income dari situ dah cukup selesa, baru mula bisnes ecommerce pula.

Baca juga:

(1) Bisnes Ecommerce – Tips menjalankan perniagaan ecommerce berdasarkan pengalaman sebenar

(2) Nasihat untuk usahawan online yang ingin menjalankan perniagaan ecommerce

Bisnes saya dari affiliate marketing, saya anggap sebagai safety net kalau berlaku sesuatu yang luar jangka.

 

(10) Adakah anda akan lakukan perniagaan ini untuk jangka masa panjang?

Bila anda jalankan sesuatu perniagaan tu, berapa lama masa yang anda tetapkan untuk buat bisnes tersebut? Contohnya, saya nak buat bisnes ecommerce ini untuk 3 tahun sahaja.

 

Dalam masa 3 tahun tu, anda akan buat dengan sehabis baik. Memang betul-betul buat. Bila dah sampai 3 tahun, anda nilaikan sendiri, sama ada nak teruskan, atau jual perniagaan anda tu kepada usahawan lain yang minat.

Baca juga: Built to Sell – Creating a Business That Can Thrive Without You

 

Saya rasa, masalah paling common dalam kalangan usahawan wannabe ni ialah, dia tak tetapkan timeline berapa lama dia nak jalankan bisnes tu. Sebab tu bila dia buat something, nampak macam nak tak nak je. Usaha pun tak seberapa.

 

(11) Jika anda gagal hasilkan sebarang pendapatan, apa yang anda akan lakukan?

Kemungkinan dan kebarangkalian untuk tak berjaya hasilkan sebarang income tu sentiasa ADA. Ya, anda telah usaha sehabis baik, anda tak cukup rehat, tak cukup tidur sepanjang buat bisnes tu, tapi pendapatan tetap tak ada atau tak banyak.

 

Jika anda berhadapan dengan situasi ini, apa yang anda akan lakukan? Adakah anda akan tutup bisnes tu? Atau adakah anda muhasabah diri dan akui kelemahan diri lalu anda akan pergi menuntut ilmu? Terserah kepada anda.

 

Kalau anda dah tetapkan 3 tahun untuk buat bisnes ni, dan apabila masuk tahun pertama anda masih belum berjaya dapat sebarang hasil, anda mungkin akan tambah ilmu dulu sebelum terus menyerah kalah.

 

Masalah buat mereka yang tak letak time frame. Bila tak nampak income, terus tutup bisnes dan buat bisnes lain. Akhirnya, dia melompat dari satu bisnes ke satu bisnes yang lain. Semua bisnes yang dia buat tu pulak, satu pun tak berjaya, sebabnya dia menyerah kalah terlalu awal.

 

Sedangkan kalau dia faham bisnes, bisnes ni perlu masa untuk berkembang. Kena siap sedia untuk peruntukkan 3 – 5 tahun untuk buat bisnes tertentu.

 

(12) Adakah anda perlukan seorang mentor?

Last but not least, mungkin anda akan perlukan campur tangan seorang mentor.

 

Seseorang yang pernah buat bisnes yang anda sedang buat, seorang yang dah faham betul dengan selok belok perniagaan yang anda bakal lakukan, seseorang yang tahu betul, apa yang anda patut lakukan pada peringkat-peringkat tertentu dalam perniagaan anda.

 

Mungkin anda perlukan bantuan individu seperti ini.

 

Saya rasa, setiap orang yang buat bisnes, perlu ada mentor atau setidak-tidaknya seorang role model yang akan dijadikan penanda aras, bagi mengukur kejayaan dan tahap perkembangan bisnes kita. Tak kisahlah sama ada orang tu tau ataupun tidak, yang kita jadikan diri dia sebagai role model.

 

Baiklah. Cukup panjang rasanya ni.

 

Mudah-mudahan 12 perkara ini, boleh anda jadikan rujukan apabila nak mulakan perniagaan anda tu nanti. Semoga berjaya dalam perniagaan anda!

 

 

Exit mobile version