Blog Sabree Hussin

Pengiklanan melalui Blog – Apa yang anda perlu tahu

Dalam landskap pemasaran secara digital, terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan yang anda boleh gunakan bagi tujuan pengiklanan.

 

Salah satu strategi pengiklanan yang tidak sepatutnya anda terlepas pandang, adalah dengan membuat iklan menggunakan platform blog.

 

Pengiklanan menerusi medium blog, menawarkan peluang untuk anda menarik bakal pelanggan dari sumber yang begitu besar, iaitu halaman carian popular seperti Google, Yahoo dan juga Bing.

Saya tak menafikan, terdapat segelintir individu yang menganggap yang blog sudah kurang atau tidak relevan. Tapi, adakah anggapan tersebut betul?

 

Adakah hanya disebabkan dewasa ini, pengguna internet lebih banyak habiskan masa di media sosial dan platform perkongsian video, bermakna mereka sudah tidak lagi berinteraksi dengan konten dalam bentuk teks?

 

Sebenarnya andaian ini kurang tepat.

 

Realitinya, selagi mana pengguna internet masih lagi bergantung kepada laman carian untuk mencari maklumat, maka selagi itu blog masih lagi menjadi sumber maklumat yang penting.

 

Dalam situasi ini, pemilik blog perlu bersedia untuk mengubah cara penulisan dan pendekatan, supaya blog miliknya lebih mudah ditemui dan terus relevan dalam kalangan pencari maklumat.

 

Perbincangan kali ini, kita nak sentuh mengenai pengiklanan menggunakan medium blog, dan apakah perkara-perkara yang perlu anda tahu dan ambil kira (sebagai pemilik perniagaan).

 

Sekiranya anda ada merancang untuk mula menggunakan penulis blog, dalam memperkenal dan mempromosikan perniagaan yang anda sedang jalankan sekarang, mungkin beberapa poin yang saya bakal ketengahkan disini dapat memberikan anda pulangan yang berkali ganda lebih baik.

 

Lagipun, setiap blog dan penulis blog ada kelebihan masing-masing.

 

Sekiranya anda dapat kenalpasti, apakah kelebihan tersebut dan adakah ianya relevan buat anda, saya percaya ia dapat memberikan pulangan yang berganda buat perniagaan yang anda sedang jalankan.

 

Jadi tanpa membuang lebih banyak masa, ini dia antara perkara yang perlu anda tahu sebelum mengambil mana-mana servis pengiklanan dari pemilik blog.

 

(1) Siapakah audiens blog tersebut

Blog tersebut sebenarnya ditulis untuk pembaca dalam kategori yang bagaimana?

 

Sebagai penulis blog, lazimnya kita akan ada kelompok pembaca yang kita ingin sasarkan. Memang mustahil, untuk kita hasilkan penulisan yang dapat memuaskan hati semua orang.

 

Jadi, apa yang penulis seperti saya akan lakukan ialah, kita akan fokus kepada kelompok pembaca tertentu, yang mungkin akan meminati topik yang bakal kita tulis.

 

Oleh yang demikian, anda sebagai pemilik bisnes yang ingin bekerjasama dengan blogger, perlu tahu adakah audiens atau kelompok pembaca bagi blog tersebut selari dengan perniagaan yang anda jalankan?

 

(2) Jenis konten yang dihasilkan

Kita mahukan konten blog tersebut selari dengan jenis perniagaan yang kita jalankan, supaya artikel iklan atau artikel advertorial yang dihasilkan kelak tidak kelihatan seperti iklan.

 

Kalau perniagaan anda adalah dalam industri pelancongan, maka anda juga perlu cari blog yang sama niche dengan industri anda.

 

Sebaik-baiknya, anda carilah blog yang sama niche dengan industri dimana anda beroperasi.

 

(3) Pengaruh penulis blog

Cuba dapatkan penulis blog yang mempunyai pengaruh dan reputasi yang baik.

 

Penulis seperti ini, hasil penulisannya boleh dipercayai. Pembaca juga lazimnya akan sanggup meluangkan masa untuk baca setiap patah perkataan yang ditulis oleh penulis blog tersebut.

 

Selain itu, anda juga perlu ambil kira tahap pengetahuan penulis tersebut.

 

Kalau penulis tersebut adalah seorang yang faham selok-belok bidang perniagaan, itu lebih baik. Rrasionalnya ialah, bagaimana penulis itu akan dapat menghasilkan artikel yang baik, kalau diri dia sendiri tak faham tentang sesebuah perniagaan yang bakal dipromosikan?

 

Sebagai contoh, penulis yang tak faham tentang bagaimana menjalankan bisnes homestay, agak sukar untuk menghasilkan sebuah artikel promosi yang betul-betul berkualiti dan ada potensi untuk mendapatkan jualan.

 

Jangan salah faham.

Tak perlu jadi betul-betul pakar.

 

Sekurang-kurangnya, perlu ada kefahaman, bagaimana sesebuah perniagaan itu beroperasi.

Itu sudah cukup baik.

 

(4) Pilihan bentuk iklan

Iklan menerusi medium blog ini datang dalam beberapa bentuk. Antaranya

 

i. Iklan jenis banner

Banner ini biasanya akan disiarkan pada side bar, header, dalam artikel dan sebagainya.

 

ii. Iklan jenis teks

Iklan ini agak ringkas. Ianya boleh dimasukkan dalam mana-mana artikel yang mempunyai trafik dan pembaca yang agak besar.

 

iii. Iklan jenis artikel

Iklan jenis artikel ini juga dikenali dengan istilah advertorial.

Baca juga: Apa itu Advertorial

Keseluruhan artikel itu sendiri sebenarnya adalah sebuah iklan. Namun, dengan skil penulisan yang baik oleh penulis blog tersebut, ianya boleh diolah supaya tak kelihatan seperti sebuah iklan.

 

Antara ketiga-tiga bentuk iklan ini, saya dapati iklan jenis advertorial adalah lebih berkesan dan ianya juga berguna untuk jangka masa panjang.

 

(5) Prestasi blog

Ada pemilik blog yang bangga menunjukkan statistik dan jumlah trafik yang diperolehi.

 

Namun demikian, trafik tersebut mungkin hanya datang untuk membaca dan mengakses beberapa artikel sahaja.

 

Ya, blog saya juga tak terkecuali dari berhadapan dengan isu yang sama.

 

Blog ini telah menyiarkan lebih dari 1,000 artikel. Namun, saya dapati bukan kesemua artikel tersebut menerima trafik, atau dalam kata lainnya, bukan semua artikel yang saya pernah tulis dan siarkan itu dibaca.

 

Ada artikel yang agak lama, yang rendah kualiti, yang sudah tak relevan yang kini sudah tak dibaca.

 

Pada sisi yang lain, diluar sana terdapat juga blogger yang gemar menulis tentang isu semasa. Ini bermakna, blognya akan terus menerima trafik yang besar, selagi mana isu tersebut masih lagi sensasi.

 

Kemudian, apabila isu tersebut sudah kurang mendapat perhatian, trafik yang bakal diperolehi juga akan mula menurun.

 

Apa yang saya cuba sampaikan ialah, sekadar mengatakan blog saya menerima 10,000 trafik setiap hari, sebenarnya langsung tak memberi apa-apa erti.

 

Tapi kalau blogger tersebut mampu memberikan trafik sebanyak itu, untuk suatu artikel yang khusus, maka blogger seperti inilah yang anda perlu berikan perhatian.

 

(6) Bajet pengiklanan

Berapakah jumlah yang anda sanggup untuk belanjakan bagi tujuan pengiklanan ini?

 

Setiap penulis, ada suatu nilai yang pada dia berbaloi untuk diterima.

 

Setakat waktu artikel ini ditulis, tiada peraturan tertentu yang menetapkan kadar bayaran untuk menulis artikel.

 

Atas sebab itu, ada penulis yang bersedia untuk menerima bayaran sekitar RM20 – RM200 untuk menulis satu artikel. Malahan ada juga penulis yang mengenakan bayaran yang lebih tinggi lagi.

 

Kadang-kadang kita pun terfikir, betul ke ada yang sanggup untuk bayar harga sebegitu mahal? At some point, kita terfikir, entah-entah penulis itu sengaja letakkan harga yang mahal, supaya tak ada orang yang nak minta untuk gunakan servis dia.

 

Kadar bayaran yang diminta ini juga berkait dengan faktor seperti

i. Reputasi penulis

ii. Reputasi blog

iii. Kemahiran penulis

iv. Pengalaman penulis

 

Dan mungkin banyak lagi faktor yang diambil kira.

 

Ada penulis yang mempunyai jumlah follower yang sangat ramai di media sosial.

Ada penulis yang mempunyai senarai emel (mailing list) yang besar.

 

Maka tak adil kalau nak menetapkan satu harga yang tetap, tanpa mengambil kira nilai tambah yang boleh diberikan oleh penulis itu tadi.

 

(7) Terma kontrak

Berapa lama tempoh masa untuk artikel iklan tersebut bakal disiarkan dalam blog tersebut.

 

Adakah untuk selamanya, selagi mana blog tersebut masih wujud, atau artikel tersebut hanya akan disiarkan untuk tempoh masa tertentu sahaja.

 

Adakah artikel tersebut boleh dikemaskini atau tidak boleh diubah langsung dari segi kontennya. Kita pun sedia maklum, bisnes ini biasanya akan ada banyak perubahan.

 

Justeru, apabila ada beberapa perubahan pada operasi perniagaan, dan artikel iklan masih lagi bercerita tentang operasi yang sudah lama, disitu sebenarnya ada keperluan untuk lakukan proses editing pada artikel.

 

(8) Impak dari segi Search Engine Optimization

Atau nama singkatannya SEO.

 

Faktor SEO ini yang membuatkan pengiklanan di blog mempunyai keistimewaan, berbanding lain-lain bentuk pengiklanan yang ada diluar sana.

 

Umumnya, apa-apa artikel yang disiarkan menerusi medium blog, akan tersenarai di halaman carian sama ada Google, Yahoo ataupun Bing. Bergantung kepada skil penulis itu tadi, pada halaman berapa artikel iklan tersebut akan muncul, itu yang akan membezakan antara setiap penulis.

 

Namun Persoalannya, adakah si penulis benar-benar faham bagaimana peraturan SEO ini berfungsi?

 

Google, Yahoo dan Bing mempunyai algorithm mereka yang tersendiri, dalam menyenaraikan artikel yang akan muncul di halaman carian milik mereka.

 

Algorithm ini juga sifatnya agak dinamik yang mana dari masa ke masa, ia akan diubah dan dilakukan penambahbaikkan.

 

Artikel yang berjaya masuk ke halaman pertama, di kedudukan pertama pada tahun ini, belum tentu lagi akan dapat mengekalkan kedudukan tersebut untuk tahun yang kedua dan seterusnya.

 

Sebaliknya, artikel yang dari awal-awal lagi memang duduk di halaman yang terkebelakang, sampai bila-bila ianya tak akan dijumpai oleh pembaca yang berasal dari halaman carian.

 

Justeru, penting untuk anda dapatkan khidmat pengiklanan dari individu yang mempunyai kemahiran berkaitan dengan search engine optimization (SEO) ini.

 

(9) Polisi pengiklanan

Adakah produk yang anda jual tertakluk dibawah mana-mana akta dan perlu mematuhi peraturan pengiklanan tertentu?

 

Jika anda menjual barangan dari jenis ubat, maka sebarang iklan yang ingin dihasilkan perlu mendapatkan kelulusan dari Lembaga Iklan Ubat.

 

Jangan anggap semua blogger itu tahu tentang peraturan ini. Sepatutnya anda selaku pemilik bisnes, pastinya lebih jelas dengan aspek perundangan yang terkait dengan perniagaan yang anda lakukan.

 

Namun jika anda tahu, tapi masih ingin mendapatkan khidmat blogger, sedangkan iklan tersebut bakal mengundang masalah kepada blogger tersebut di kemudian hari, bermakna anda memang berniat jahat dari awal.

 

(10) Analisis persaingan

Adakah penulis blog tersebut pernah bekerjasama dengan jenama lain yang merupakan pesaing anda?

 

Jika ya, maka ini mungkin kurang sesuai untuk meminta blogger yang sama untuk mempromosikan bisnes anda pula.

 

Saya melihat ini sebagai satu konflik kepentingan.

 

Katakanlah ada dua syarikat yang menjalankan perniagaan yang sama. Sebagai contoh, kedua-dua syarikat ini merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa.

Iklan untuk syarikat A, penulis tersebut mengatakan syarikat beliau adalah syarikat yang terbaik.

Kemudian iklan untuk syarikat B, penulis tersebut turut kata perkara yang sama, iaitu syarikat kereta sewa B itulah yang terbaik.

 

Persoalannya, syarikat yang mana satu yang sebenarnya yang terbaik?

 

Justeru, jika boleh elakkanlah dari bekerjasama dengan penulis yang pernah ada sejarah bekerja untuk pesaing anda. Melainkan kalau artikel milik pesaing anda itu, telahpun diturunkan.

 

(11) Hubungan kerjasama jangka panjang

Rata-rata usahawan yang memerlukan khidmat pengiklanan dari blogger mengharapkan supaya blogger tersebut boleh berikan kadar harga yang lebih murah.

 

Mereka inginkan servis penulisan yang terbaik, dan pada masa yang sama, mereka harapkan penulis tersebut boleh berikan harga yang murah.

 

Saya kira ini adalah sesuatu yang normal. Sebagai usahawan, sudah tentu mereka ingin mencari peluang untuk melakukan penjimatan jika kesempatan itu ada.

 

Contohnya, kalau blogger tersebut menetapkan kadar harga RM100 untuk satu artikel, sebolehnya mereka nak harga yang lebih rendah sama ada RM70 atau RM50.

Satu pengurangan harga yang agak besar, iaitu 30% ke 50%.

Adakah ianya munasabah dan boleh dilakukan?

 

Pada saya, ianya boleh dilakukan asalkan berlaku rundingan yang saling memberi manfaat.

 

Sebagai contoh, blogger tersebut boleh berikan pengurangan harga, mungkin sehingga 50% dan sebagai ganti, syarikat bersetuju untuk memberikan job setiap bulan selama 12 bulan atau satu tempoh yang dipersetujui.

 

Ini bermakna, hubungan kerjasama ini bukannya hanya untuk jangka masa pendek atau untuk satu projek semata-mata, tetapi ia lebih kepada suatu hubungan menang-menang untuk jangka masa panjang.

 

(12) Respons terhadap feedback

Jika terdapat feedback atau komen dari pembaca, apakah respon yang perlu diberikan.

 

Adakah penulis blog tersebut turut bertanggungjawab untuk menjawab soalan-soalan yang ditanyakan oleh pembaca, sedangkan persoalan tersebut adalah berkaitan dengan operasi perniagaan yang diiklankan.

 

Atau adakah pihak syarikat atau pihak yang beriklan itu sendiri yang perlu menjawab setiap persoalan dan pertanyaan dari pembaca, memandangkan mereka ini sepatutnya mempunyai lebih banyak informasi yang tepat lagi terkini berkaitan dengan perniagaan yang diiklankan.

 

(13) Jangka masa untuk memperoleh hasil

Berapa lama masa yang diperlukan bagi iklan tersebut memberikan sebarang hasil.

 

Pada tahap ini, kedua-dua belah pihak perlu jadi lebih realistik akan hasil yang diinginkan.

 

Apakah bentuk hasil yang diinginkan apabila beriklan menggunakan medium blog?

Lazimnya, hasil yang bakal diperolehi adalah dalam bentuk

i. Terhasilnya jualan yang berpunca dari iklan yang disiarkan

ii. Artikel berjaya masuk page pertama SEO

iii. Artikel berjaya berfungsi sebagai alat untuk kumpul lead prospek

 

(14) Testimoni pengiklan terdahulu

Sebelum anda, boleh jadi pernah ada syarikat atau jenama lain yang pernah menggunakan perkhidmatan blogger tersebut.

 

Cuba dapatkan testimoni mereka, jika ianya tidak sukar untuk dilakukan.

 

(15) Analisis konten

Apakah mekanisma yang digunakan bagi mengetahui prestasi artikel yang telah disiarkan.

 

Kita berminat nak tahu,

i. Berapa banyak views

ii. Berapa banyak klik

iii. Berapa banyak komen

iv. Berapa banyak like

 

Walaupun artikel tersebut mungkin masih tidak berjaya untuk convert pembaca kepada pembeli, namun kalau artikel yang sama, menerima pembaca baru setiap hari, ini juga merupakan satu kejayaan yang perlu diraikan.

 

Lagipun, anda sebagai usahawan sudah pasti mempunyai medium pemasaran dan pengiklanan yang lain, selain hanya bergantung kepada pengiklanan di blog sahaja, betul tak?

 

Kesimpulan

Proses untuk mula menghasilkan iklan yang berkesan dan memberikan hasil yang bagus, bakal jadi lebih mudah, apabila kedua-dua belah pihak faham akan peranan masing-masing.

 

Kalau kita cuba membandingkan, antara pengiklanan menerusi medium blog dengan lain-lain medium yang ada diluar sana, ianya sebenarnya merupakan suatu perbandingan yang tidak adil.

 

Hakikatnya, bukan semua orang akan habiskan masa di tempat yang sama.

 

Diluar sana, masih terdapat banyak lagi individu yang sebenarnya kurang berminat untuk menghabiskan masa di media sosial, sebaliknya jika mereka ini memerlukan sesuatu maklumat, mereka akan membuat carian menerusi halaman enjin carian seperti Google, Yahoo dan juga Bing.

 

Akhirnya, carian mereka ini akan membawa ke pautan-pautan yang membawa ke halaman seperti blog.

 

Semoga perkongsian disini, dapat memberikan anda gambaran sebenar akan potensi yang bakal anda perolehi, apabila menggunakan platform blog sebagai medium pengiklanan.

 

Walaupun dalam posting ini, saya lebih fokus kepada anda mendapatkan khidmat pengiklanan dari penulis blog sedia ada, sebenarnya anda juga boleh menghasilkan blog anda sendiri dan mula mencipta iklan di blog milik anda.

 

Namun, pada pandangan saya, tindakan ini sebenarnya walaupun boleh jimatkan wang anda, daripada perlu bayar kepada blogger, ia sebenarnya akan merampas masa anda yang begitu berharga.

 

Seperti yang saya pernah sebutkan sebelum ini, anda menceburi bidang keusahawanan sudah tentu bukan untuk menjadi seorang blogger. Anda tak perlu nak habiskan masa berjam-jam untuk menulis blog dan selepas itu, mempromosikan pula artikel yang telah anda hasilkan.

 

Bukankah lebih baik, anda serahkan sahaja kerja-kerja tersebut kepada orang yang memang kerjayanya adalah menulis.

 

Baiklah, semoga perkongsian ini ada manfaatnya.

 

 

Exit mobile version