Blog Sabree Hussin

10 Kaedah Pemasaran Digital yang anda patut cuba untuk hasilkan jualan

Pada ketika ini, hampir semua orang bergantung kepada Internet. Kita memerlukan capaian internet  bagi melakukan kerja-kerja harian ataupun bagi tujuan kekal berhubung dengan yang tersayang.

 

Sama ada mereka ini menggunakan Google untuk mencari maklumat, login ke akaun Facebook bagi mengetahui perkembangan semasa ataupun menonton video di Youtube untuk hiburan.

 

Bagaimana pula dengan media cetak?

Sama ada kita sedar ataupun tidak, kita sebenarnya mula menolak sebarang bentuk media cetak. Rasionalnya? Media cetak memerlukan terlalu banyak ruang untuk simpanan, manakala dari segi konten kita sukar untuk memilih apakah konten yang benar-benar relevan dengan kita.

 

Saya ambil contoh konten dalam majalah misalnya. Mungkin dalam 200 muka surat, kita hanya mahukan konten yang berada dalam halaman ke 100 hingga 105 sahaja. Selebihnya, kita tak perlukan. Tapi disebabkan ianya dijual dalam bentuk satu naskhah, kita terpaksa juga beli. Akhirnya, kita perlukan ruang khas untuk menyimpan majalah lama.

 

Sewaktu zaman media cetak mendominasi pasaran lagi, usahawan telah mula menggunakan medium-medium tersebut untuk tujuan pemasaran. Namun, sekarang ini diera segalanya dalam bentuk digital, kita mula beralih kepada kaedah pemasaran secara online. Pemasaran online ini juga adakalanya dipanggil dengan istilah pemasaran digital.

 

Berita baiknya ialah, semua orang boleh menggunakan kaedah pemasaran digital. Pemasaran digital ini, ada yang percuma, ada yang memerlukan modal namun dalam kadar yang minima dan ada juga yang memerlukan modal yang besar.

Ia terpulang kepada individu usahawan tersebut. Jika ada modal yang besar, bolehlah gunakan kaedah yang lebih mahal. Jika belum ada modal, boleh gunakan kaedah yang tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi.

 

Posting kali ini, saya ingin bincangkan mengenai beberapa kaedah pemasaran digital yang biasa dilakukan oleh usahawan online. Kalau ada antara kaedah disini yang anda sudah tahu, anggaplah ini sebagai satu sesi ulangkaji, sebaliknya jika ada yang belum tahu, saya harap perkongsian ini dapat beri manfaat buat pembaca sekalian.

 

Tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita terus kepada topik kita, iaitu bentuk-bentuk pemasaran online yang biasa dilakukan oleh usahawan online.

 

(1) Search Engine Optimization (SEO)

Ini merupakan kaedah pemasaran yang cukup penting bagi mereka yang mempunyai laman web sendiri. Sebagai pemilik laman web, sudah pasti kita mahu laman web kita masuk ke halaman pertama enjin carian bagi kata kunci (keywords) yang relevan dengan bisnes yang kita jalankan.

 

Teknik atau kaedah SEO ini merupakan suatu kaedah pemasaran yang matlamat utamanya adalah untuk memastikan laman web perniagaan kita berjaya masuk ke halaman google.

 

Jika anda ingin menggunakan teknik SEO, anda perlu mempunyai laman web anda sendiri dan perlu ada senarai kata kunci yang anda ingin sasarkan. Senarai kata kunci ini pula perlulah relevan dengan perniagaan yang sedang anda jalankan.

Kita sedia maklum, bahawa penggunaan enjin carian seperti Google, Yahoo dan Bing dapat memudahkan pengguna internet mencari maklumat yang mereka perlukan dengan pantas.

 

Apabila kita sudah tahu, apa sebenarnya yang mereka cari, maka dari situ kita perlu bijak membangunkan laman web kita supaya hasil carian tersebut akan membuatkan mereka menemui laman web milik kita.

 

Kedudukan paling bagus adalah dimuka surat pertama Google dibarisan paling atas. Jika belum berjaya masuk ke kedudukan pertama, cuba usahakan untuk masuk ke halaman pertama dulu. Setelah laman web kita berjaya masuk ke page pertama untuk kata kunci yang dicari oleh pengguna, maka pada waktu itu kita akan mempunyai prospek secara automatik.

 

Sekiranya tawaran kita cukup menarik, pasti prospek itu tadi akan bertindak dan menjadi pelanggan.

 

Adakah terdapat sebarang bayaran untuk menggunakan kaedah pemasaran digital yang dikenali sebagai SEO ini?

Jawapannya ialah tiada sebarang kos.

 

Kejayaan menggunakan teknik ini adalah berkait rapat dengan kefahaman kita terhadap bagaimana search engine berfungsi. Walaupun diluar sana terdapat beberapa laman web search engine, namun biasanya kita akan fokus kepada google sahaja.

 

Boleh dapat trafik dari google sahaja pun dah cukup memadai.

 

(2) Search Engine Marketing (SEM)

Kaedah ini mempunyai sedikit persamaan dengan teknik SEO, cuma bezanya ialah dalam teknik ini, kita akan membayar kos tertentu untuk iklankan laman web kita di halaman enjin carian.

 

Ini merupakan cara yang lebih pantas berbanding teknik search engine optimization, untuk memastikan iklan anda dapat masuk ke halaman pertama bagi mana-mana enjin carian pilihan anda.

Ini merupakan kaedah pengiklanan berbayar. Jika anda sedia untuk menyediakan bajet bagi tujuan pengiklanan, maka bolehlah gunakan kaedah iklan seperti ini. Lazimnya, anda akan dikenakan bayaran mengikut jumlah klik yang anda mahukan.

 

Contohkan, satu klik mungkin akan dikenakan caj sebanyak RM0.30 – RM1.00 (boleh jadi lebih tinggi dari nilai ini) bergantung kepada persaingan bagi sesuatu kata kunci.

 

(3) Content Marketing

Setiap orang yang melayari internet, pasti akan mencari sesuatu. Sama ada mereka ini sedang mencari maklumat, hiburan, mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah atau sekadar untuk mengisi masa terluang.

 

Kita ambil contoh jika seseorang itu mencari maklumat berkaitan dengan cara menangani masalah kutu pada kucing peliharaannya.

 

Individu ini akan menggunakan laman carian seperti google dan mula menaip kata kunci seperti “bagaimana menyelesaikan masalah kutu kucing?”

Pada peringkat ini, individu tersebut masih belum buat keputusan untuk membuat sebarang pembelian. Boleh jadi pada peringkat ini, dia sebenarnya sedang mencari info sama ada terdapat kaedah percuma untuk selesaikan masalah yang dia hadapi.

 

Jika anda memiliki maklumat tersebut, atau mampu untuk memberikan jawapan yang dicari oleh individu tersebut, maka anda akan jadi salah satu tempat rujukan.

 

Persoalannya ialah, bagaimanakah cara untuk anda persembahkan maklumat tersebut kepada pengguna internet tersebut supaya individu ini dapat jadi bakal pelanggan anda? Disini ada 4 kaedah untuk anda praktikkan.

 

3.1 Artikel

Kalau pada saya, saya akan kata konten dalam bentuk artikel adalah yang paling mudah untuk dihasilkan. Lagipun kemahiran membuat karangan ini adalah suatu kemahiran yang telahpun kita pelajari sejak dari bangku sekolah lagi.

 

Konten dalam bentuk artikel juga cukup mudah untuk kita lakukan penambahbaikkan sekiranya dimasa akan datang nanti, anda dapati ada maklumat baru yang anda ingin kongsikan.

 

Artikel yang telah anda hasilkan, boleh diterbitkan dimana-mana platform yang mungkin anda rasakan sesuai.

 

Kalau anda tak mempunyai idea, bagaimana nak gunakan kaedah ini, boleh ikuti cadangan saya.

 

Untuk artikel yang lengkap dan padat dengan maklumat, anda siarkan di laman blog milik anda. Anda boleh tulis sekitar 2,000 ke 5,000 patah perkataan.

 

Pada kali pertama anda menulis di blog, mungkin artikel tersebut hanya mempunyai 700 – 1,000 patah perkataan sahaja. Tapi setelah anda kemaskini berulang kali dengan memuatkan maklumat baru, tak mustahil artikel tersebut akan menjadi beribu-ribu perkataan.

 

Jadi sekarang ini, anda sudah mempunyai sebuah artikel yang panjang dan padat dengan maklumat yang berguna untuk target audience anda.

 

Cuba buat ringkasan bagi artikel tersebut, dan terbitkan ringkasan tersebut di media sosial milik anda. Nyatakan ayat seperti, “jika anda minat nak ikuti perbincangan penuh, sila baca di link berikut…”

 

Andai kata posting anda mengandungi 10 point yang menarik, boleh buat 10 posting ringkas yang menyentuh setiap point tersebut. Sama juga strateginya, iaitu kita akan mengajak pembaca di media sosial untuk baca artikel penuh di blog kita.

 

3.2 Audio

Alternatif bagi penggunaan artikel sebagai konten pemasaran adalah menggunakan audio atau rakaman suara. Kalau diluar negara, konsep podcast sememangnya agak popular.

 

Tapi kalau di negara kita, saya kurang pasti. Konsep menggunakan audio ini lebih kurang seperti kita mendengar ceramah agama. Satu ketika dulu, ada banyak rakaman ceramah agama boleh kita muat turun dan dengar di smartphone ataupun mp3 player.

 

Dalam rakaman suara tersebut, kita akan bercerita mengenai sesuatu topik. Topik tersebut mestilah mempunyai fokus untuk memberi jawapan kepada sesuatu isu, memberi penyelesaian kepada sesuatu masalah dan sebagainya. Dalam perbincangan tersebut boleh diselitkan dengan sedikit iklan mengenai bisnes yang anda lakukan.

 

3.3 Video

Sesetengah individu lebih sukakan konten dalam bentuk video berbanding artikel mahupun audio semata.

 

Kalau konten dalam bentuk video, biasanya penerangan lebih jelas, penonton boleh lihat apa yang cuba disampaikan dan pada masa yang sama, penonton boleh buat dua kerja dalam satu masa.

 

Mungkin sambil makan boleh tonton video yang kita hasilkan.

 

3.4 Info-Grafik

Ini merupakan satu pendekatan bagi menyampaikan maklumat dalam bentuk imej beserta dengan sedikit teks dalam bentuk yang ringkas namun interaktif.

 

(4) Social Media Marketing

Sebahagian dari hidup kita, dihabiskan untuk menghadap akaun media sosial. Setiap orang menggunakan media sosial bagi tujuan yang pelbagai.

 

Ada yang menggunakan ia bagi tujuan

1. Mendapatkan update terkini mengenai berita dan isu semasa

2. Kekal berhubung dengan ahli keluarga, saudara mara dan kenalan

3. Menambah kenalan baru untuk sebarang tujuan

 

Oleh sebab hampir setiap orang mempunyai akaun media sosial, maka disitu ada potensi untuk memperkenal dan mempromosikan bisnes yang kita jalankan melalui platform tersebut.

 

Antara media sosial yang popular dan banyak penggunanya adalah seperti berikut

  1. Facebook
  2. Instagram
  3. Twitter
  4. LinkedIn

Pemasaran online menggunakan media sosial juga memerlukan strategi yang tersusun. Anda juga perlu pertimbangkan, sama ada perlu ataupun tidak untuk menggunakan semua akaun media sosial untuk kerja pemasaran.

 

Boleh jadi, walaupun anda menggunakan pelbagai platform, namun orang yang betul-betul nak follow anda sebenarnya adalah orang yang sama sahaja.

 

Dalam pemasaran media sosial ini juga, ada beberapa tools yang anda boleh gunakan bagi memudahkan kerja-kerja pemasaran. Ada fungsi fanpage, group, ecommerce dan banyak lagi.

 

(5) Email Marketing

Kaedah pemasaran menggunakan emel adalah satu lagi kaedah pemasaran yang cukup berkesan.

 

Syarikat-syarikat besar juga banyak yang menggunakan kaedah pemasaran emel untuk terus kekal berhubung dengan para pelanggannya.

 

Antara pihak penyedia servis sistem autoresponder yang memiliki reputasi yang baik adalah seperti

1. Aweber

2. Getresponse

3. Traffic Wave

4. Constant Contact

5. Mail Chimp

6. Kirim Email

 

Peringkat permulaan kita mula dengan melanggan servis dari syarikat penyedia sistem autoresponder.

 

Kemudian, kita mula membina kempen pemasaran emel dengan menyediakan hadiah untuk diberikan kepada bakal pelanggan. Hadiah ini biasanya dalam bentuk digital, sebab ianya mudah dihasilkan dan tidak memerlukan kos yang banyak.

 

Hadiah ini boleh jadi dalam bentuk ebook, rakaman video, kod diskaun dan sebagainya. Untuk menebus hadiah ini, bakal pelanggan perlulah berikan nama dan alamat emel mereka.

Kebanyakkan sistem autoresponder mampu untuk hasilkan borang seperti diatas. Prospek perlu berikan nama dan emel dan seterusnya barulah prospek itu tadi akan dapat hadiah yang dijanjikan.

 

Setelah anda mempunyai senarai emel, anda boleh hantar emel kepada prospek ini tadi secara berkala. Emel yang dihantar boleh jadi dalam bentuk pemberitahuan atau sekadar untuk bertanya khabar dan kekal berhubung.

 

Dalam pemasaran emel ini juga, ada masanya anda perlu gunakan strategi hard selling dan ada ketikanya perlu banyak buat soft selling.

 

(6) Pay Per Click Advertising

Konsep Pay Per Click Advertising ini sangat mudah. Anda akan dikenakan bayaran bagi setiap klik yang terhasil bagi iklan yang anda siarkan.

 

Katakanlah setiap satu klik anda dikenakan bayaran 10 sen, maka jika anda memerlukan 1,000 klik, anda perlu sediakan bajet sebanyak RM100 sekurang-kurangnya.

 

Iklan jenis pay per click ini boleh disiarkan sama ada di laman web google, laman blog dan juga di platform media sosial.

 

(7) Affiliate Marketing

Bagaimana menggunakan strategi affiliate marketing bagi tujuan menghasilkan lebih banyak jualan untuk syarikat dan juga perniagaan anda?

 

Lazimnya kalau kita sebut tentang affiliate marketing, perbincangannya lebih menjurus kearah bagaimana kita boleh buat duit dengan menjadi seorang ejen affiliate.

 

Tapi kalau anda sebagai pemilik perniagaan yang ingin tingkatkan jualan dan mengiklankan bisnes anda dengan kos yang lebih jimat, boleh pertimbangkan untuk lancarkan program affiliate anda sendiri.

 

Apabila anda sudah mempunyai ejen affiliate yang aktif membuat kerja-kerja pemasaran bagi pihak anda, pada masa itu anda sudah tidak perlu risau lagi untuk sediakan bajet bagi tujuan pengiklanan.

 

Anda hanya perlu bayar ejen affiliate setelah mereka berjaya hasilkan jualan. Bayaran itu pun lazimnya diambil daripada sebahagian keuntungan yang dihasilkan daripada jualan produk.

 

Sebagai contoh, jika keuntungan adalah RM40, anda berikan RM20 kepada ejen affiliate sebagai komisen, manakala bakinya sebanyak RM20 lagi adalah untuk anda.

 

Ada juga penganjur program affiliate yang berikan komisen yang lebih tinggi kepada ejen berbanding untuk dirinya. Mengambil contoh keuntungan sebanyak RM40, penganjur mungkin cuma ambil RM5 – RM10 sebagai keuntungan bisnesnya manakala selebihnya diberikan kepada ejen sebagai komisen.

 

Satu lagi strategi yang lebih ekstrem ialah dimana anda berikan 100% keuntungan kepada affiliate. Anda langsung tak ambil untung. Strategi ini sesuai jika bisnes anda ada menggunakan kaedah upsell.

 

Sebaik sahaja pelanggan beli produk yang pertama, selang beberapa hari, pelanggan ini akan ditawarkan beli produk yang berkaitan pula. Produk kedua sebagai upsell ini, anda ambil keuntungan 100%.

 

Bagaimana nak jadikan strategi affiliate marketing ini sebagai sebahagian daripada strategi bisnes kita?

Baiklah, sebenarnya ada dua cara untuk anda lakukan. Pertama, anda lancarkan sendiri program affiliate dan cara kedua adalah anda bekerjasama dengan affiliate network.

 

Lancarkan program affiliate sendiri

Anda perlu mempunyai laman web khas untuk buat jualan, dan laman tersebut perlu mempunyai ciri-ciri berikut.

1. Boleh menerima pendaftaran pengguna internet untuk jadi ejen

2. Mampu untuk merekod transaksi dan kenalpasti siapakah ejen yang bertanggungjawab membawa masuk trafik

 

Sekiranya anda tidak mempunyai kepakaran untuk bina laman web yang dilengkapi dengan sistem affiliate marketing, saya boleh syorkan untuk anda dapatkan khidmat dari kedaionlinez.

 

Boleh minta mereka binakan laman web yang dilengkapi sistem affiliate mimevo.

 

Jika anda nak bina sendiri laman web anda dengan berpandukan tutorial, servis yang disediakan oleh pihak-pihak berikut mungkin boleh bantu anda.

1. Order Sini

2. Onpay

 

Kelebihan melancarkan program affiliate sendiri

Anda mempunyai kawalan penuh terhadap program affiliate yang dijalankan.

 

Anda mudah untuk mengubah, menambah, mengurangkan atau membatalkan sebarang komisen yang dijana.

 

Sekiranya anda dapati ada ejen yang menjalankan kerja pemasaran menggunakan kaedah yang tidak beretika, anda boleh ambil tindakan serta-merta dan batalkan keahlian ejen tersebut.

 

Anda tak perlu sediakan modal sebagai jaminan untuk bayar komisen kepada ejen.

 

Hal ini berbeza dengan menggunakan khidmat affiliate network. Anda perlu sediakan sejumlah wang terlebih dahulu, sebagai jaminan bahawa anda akan bayar komisen setelah affiliate berjaya buat jualan.

 

Kekurangan apabila melancarkan program affiliate sendiri

Anda perlu ada kepakaran untuk membina laman web jualan yang mempunyai sistem affiliate. Tapi ini bukan isu besar sebab anda boleh dapatkan khidmat dari kedaionlinez untuk buatkan laman web untuk anda.

 

Anda perlukan masa untuk mengawalselia perjalanan program affiliate. Biasanya pasti akan ada individu yang guna kaedah yang tak beretika untuk dapatkan sales. Jadi anda perlu pantau dan pastikan individu tersebut tidak terus memberi masalah.

 

Anda perlu sediakan latihan dan juga bahan promosi untuk mereka yang masih baru dengan affiliate marketing

 

Lancarkan program affiliate melalui platform affiliate network

Diluar sana terdapat beberapa laman web affiliate network yang anda boleh pilih untuk jalinkan kerjasama. Walaubagaimanapun, syarat untuk anda diterima mungkin agak ketat.

 

Untuk terma dan syarat, sila berhubung terus dengan platform affiliate network yang anda berminat untuk jalinkan kerjasama.

 

Kelebihan menggunakan khidmat affiliate network

Kebiasaannya, affiliate network sudah mempunyai sejumlah ejen affiliate yang terlatih. Mereka ini memang sudah biasa dengan selok-belok affiliate marketing dan sudah biasa hasilkan jualan.

 

Andai kata semua affiliate ini mempromosikan produk anda, anda akan dapat peningkatan sales dalam masa yang singkat.

 

Kekurangan menggunakan affiliate network

Jika nama perniagaan dan jenama anda kurang dikenali, ia mungkin tidak berjaya menarik perhatian ejen affiliate berpengalaman untuk mempromosikan produk anda.

 

Anda perlu sediakan modal sebagai jaminan bahawa anda akan bayar komisen kepada affiliate yang berjaya buat sales.

 

(8) Dropship Marketing

Konsep dropship marketing hampir sama dengan affiliate marketing. Sebagai pemilik bisnes, anda tawarkan program dropship anda sendiri dan cuba dapatkan seberapa banyak ejen untuk bekerja untuk anda.

 

Kaedah dropship ini lebih sesuai dijalankan terutama sekali jika produknya ialah dalam kategori produk fizikal.

 

Walaubagaimanapun, saya berpendapat sekiranya anda ingin gunakan kaedah ini, anda perlu menetapkan peraturan yang tegas.

 

Andai kata harga jualan dipasaran ialah RM70.

Harga ejen dropship ialah RM50.

Untung untuk ejen dropship ialah RM20.

 

Anda perlu menetapkan peraturan supaya setiap orang tak boleh jual dibawah harga RM70. Jika ada ejen yang ingin berikan hadiah tambahan itu tak menjadi masalah.

 

Tapi kalau ada yang sampai jual dengan harga RM55, RM60 atau sebarang harga yang lebih rendah dari RM70, ini akan merosakkan pasaran.

 

Dengan adanya bantuan dari ejen, ini akan memudahkan anda untuk menjalankan kerja-kerja promosi secara online.

 

Jika anda mempunyai modal yang agak besar, boleh laburkan sedikit untuk mendapatkan sistem yang lebih tersusun bagi memudahkan ejen dropship dibawah anda. Boleh lihat contoh yang digunakan oleh syarikat PTS Bookcafe dalam menguruskan para ejen dropship mereka.

 

(9) Gunakan khidmat freelancer atau influencer untuk jalankan kerja pemasaran

Menggunakan khidmat yang ditawarkan oleh freelancer juga adalah satu lagi strategi pemasaran digital yang boleh anda terokai.

 

Kebiasaannya pemilik bisnes yang mendapatkan khidmat dari freelancer adalah mereka yang memang betul-betul faham, apa sebenarnya yang dia perlukan.

 

Kalau nak buat sendiri, mungkin dia tak ada masa ataupun tidak memiliki kepakaran.

 

Contohnya, kalau pemilik bisnes itu ingin menjadikan kaedah pemasaran search engine optimization, sebagai salah satu kaedah untuk dia dapatkan pelanggan.

 

Ini merupakan kaedah pemasaran jangka panjang. Apabila laman web telah berjaya masuk ke halaman pertama Google, pada masa itu akan dapat pelanggan walaupun sudah tidak buat sebarang promosi.

 

SEO ini mengambil masa yang agak lama untuk nampak hasilnya. Kalau anda nak buat sendiri, mungkin perlu tunggu 3 ke 6 bulan baru akan nampak hasilnya.

 

Justeru, lebih baik dapatkan khidmat dari freelancer. Selepas satu tempoh masa, apabila kempen anda telah berjaya, masa tu nanti anda akan dapat pulangan yang berkali ganda dari kerja-kerja SEO.

 

Alternatif bagi mendapatkan khidmat freelancer adalah social media influencer. Mereka ini adalah individu yang aktif di media sosial dan mempunyai jumlah pengikut aktif yang ramai.

Kata kunci untuk anda beri tumpuan adalah influencer tersebut perlu mempunyai pengikut aktif yang ramai, dan bukan sekadar memiliki banyak pengikut.

 

(10) Listing di Online Marketplace

Kaedah ini juga merupakan satu kaedah yang mampu untuk memberikan hasil yang bagus apabila dilakukan dengan betul.

 

Antara online marketplace yang anda boleh gunakan adalah seperti

1. Lazada

2. Shopee

3. PG Mall

4. Ebay

5. Lelong.my

 

Kesemua laman web ini sudah mempunyai pelawat dan pelanggannya yang tersendiri. Anda hanya perlu “tumpangkan” atau buat listing produk yang anda ingin jual.

 

Pemilik laman web marketplace ini juga aktif membuat kerja pemasaran dan mendapatkan pelanggan untuk berbelanja dengan mereka. Jika anda ada menyenaraikan produk anda di platform milik mereka, anda juga boleh dapat jualan.

 

Setakat waktu artikel ini ditulis, ada ramai usahawan yang berjaya dapat jualan apabila mula menjual produk mereka di platform Shopee.

Ini tidak menghairankan sebabnya diluar sana terdapat terlalu banyak panduan yang anda boleh jadikan rujukan untuk mula menjual di Shopee. Jumlah pelawat di Shopee memang sangat ramai, dan jika anda menggunakan strategi dan teknik yang betul, adalah hampir mustahil untuk anda gagal hasilkan jualan.

 

Kesimpulan

Bila kita bercerita tentang pemasaran online atau internet marketing atau digital marketing, kita sebenarnya mempunyai banyak pilihan dan pendekatan yang boleh digunakan.

 

Kadang-kadang saya pernah terdengar juga rungutan individu yang kononnya dah buat macam-macam untuk dapatkan jualan, tapi langsung tak nampak hasilnya.

 

Kita yang mendengar rungutan tersebut pun rasa kasihan. Kasihan bercampur pelik. Pelik sebab kalau dah buat macam-macam, tak kan tak ada satu pun yang mengena?

 

Rupa-rupanya yang dikatakan sebagai dah buat macam-macam tu sebenarnya cuma setakat buat online marketing menggunakan media sosial. Itupun cuma guna personal profile.

 

Bila update status, tak ada siapa yang layan. Tak ada yang like dan tak ada siapa yang sudi nak komen. Lama kelamaan dia sendiri putus asa, dan terus kata, “aku dah buat macam-macam, tapi satu apa pun tak ada hasil…”

 

Kalau pemasaran di media sosial kurang memberangsangkan, cubalah kaedah marketing yang lain. Misalnya cuba SEO ataupun buat sahaja kaedah iklan berbayar.

 

Setakat artikel ini ditulis, 10 kaedah yang saya senaraikan diatas adalah kaedah pemasaran online yang terbukti mampu untuk hasilkan jualan.

 

Dari 10 kaedah ini, saya sendiri lebih cenderung untuk gunakan kaedah content marketing. Anda pula, pilih yang mana?

 

 

Exit mobile version