Blog Sabree Hussin

Kelebihan datang awal ke masjid pada hari Jumaat

Saya nak kongsikan sebuah hadis yang saya baca dari Kitab Ringkasan Riyadhus Solihin yang disusun oleh Imam Nawawi berkenaan dengan hari Jumaat.

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mandi pada hari jumaat sebagaimana mandi junub, lalu berangkat ke masjid lebih awal (sehingga mendapat saf yang pertama), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor unta.

Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang kedua), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor lembu.

Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang ketiga), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing.

Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang keempat), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor ayam.

Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang kelima), maka seolah-olah dia telah berkorban sebutir telur.

Jika imam telah datang, para malaikat pun masuk untuk mendengarkan bacaan khutbah.” (Riwayat Al-Bukhari no. 841 dan Muslim no. 850)

Semasa saya masih bersekolah di sekolah rendah dulu, setiap kali sebelum memulakan bacaan khutbah, khatib akan membacakan hadis ini terlebih dahulu kepada para jemaah yang hadir.

 

Boleh dikatakan setiap minggu hadis ini akan dibacakan. Walaupun pada waktu tu, saya tak dapat nak hafal keseluruhan isi hadis, namun saya dapat tangkap maksud hadis tersebut iaitu untuk menggalakkan para jemaah untuk datang awal ke masjid pada hari jumaat. Tapi sekarang ni saya rasa macam jarang pula dengar khatib baca hadis ni.

 

Bila dah datang awal tu, terus duduk di saf yang paling hadapan. Bayangkanlah, jika kita dapat saf yang pertama, kita akan dapat pahala seolah-olah kita telah mengorbankan seekor unta.

 

Jadi menerusi hadis ini juga, kita dapat mengetahui bahawa setiap saf itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Sepatutnya kita berebut-rebut dan berusaha sehabis baik untuk datang awal bagi merebut saf yang paling hadapan. Bukannya sebaliknya, iaitu bertolak-tolak untuk menyuruh orang lain yang bergerak dan menganjakkan diri supaya bergerak ke depan. Dia sendiri tak nak bergerak sebabnya lebih selesa duduk tepi tiang, tepi dinding, atau bawah kipas.

 

Realitinya, kalau di hari jumaat, kita boleh saksikan macam-macam perangai dan gelagat para jemaah. Ada yang datang awal, tapi lepak kat bawah pokok. Ketika khatib sedang membacakan khutbah, dia masih sedang asyik dan leka bersembang sesama kawan-kawan. Hanya apabila mereka dengar bacaan iqamat dilaungkan, baru kelam kabut nak masuk ke dalam masjid.

 

Ada pula segelintir jemaah, yang datang sangat lewat ke masjid. Ketika imam dah mengangkat takbiratul ihram, dia baru sampai ke masjid. Masa tu baru kelam kabut nak ambil wudhu dan nak cari saf. Maka akan kedengaranlah bunyi orang berlari-lari untuk mendapatkan saf.

 

Mungkin dia datang dari jauh. Mungkin dia ada urusan yang sangat penting hingga menyebabkan dia terpaksa datang lewat. Wallahua’lam.

 

Apa pun, sekarang ni selepas anda membaca hadis ini, anda patut dah tahu bahawa ada banyak kelebihan yang akan anda perolehi jika datang awal ke masjid lalu mendapatkan saf pertama. Semoga selepas ini, kita sama-sama usahakan yang terbaik untuk dapatkan saf yang paling hadapan sekali.

 

In Shaa Allah.

 

 

Exit mobile version