Blog Sabree Hussin

Ringkasan Riyadhus Solihin: Kelebihan menuntut ilmu

Kelebihan menuntut Ilmu

 

Allah berfirman:

Maksudnya:

Katakanlah lagi (kepadanya). “Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?” (Surah al-Zumar 39:9)

 

Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. (Surah al-Mujaadalah 58:11)

 

Sesungguhnya yang takut (melanggar perintah) Allah di antara para hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. (Surah Fatir 35:28)

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Mu’awiyah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda

“Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya diberi pemahaman agama yang mendalam oleh-Nya.” (Riwayat al-Bukhari no.71 dan Muslim no.1037)

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa r.a, ia berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang Allah utuskan kepadaku untuk mengembangkannya adalah bagaikan hujan yang jatuh ke tanah. Diantara tanah tersebut terdapat bahagian yang subur, yang mampu menyerap air dengan baik, lalu menumbuhkan pepohonan dan rerumputan yang banyak. Di antaranya ada yang keras, mampu menampung air sehingga manusia boleh mengambil air daripadanya untuk keperluan minuman, menyirami tanaman, dan untuk menyalurkan air. Dan di antaranya pula ada yang tidak mampu menampung air dan tidak mampu menumbuhkan pepohonan dan rerumputan. Demikian jugalah perumpamaan orang yang diberi pemahaman agama yang diutuskan kepadaku untuk mengembangkannya: di antara mereka ada yang mampu mendalaminya, lalu mengajarkannya kepada orang lain, dan ada juga diantaranya yang sama sekali tidak mahu menerima petunjuk.” (Riwayat al-Bukhari no.79 dan Muslim no.2282)

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a, bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepada Ali:

Maksudnya: “Demi Tuhan, jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang itu melalui perantaraan dirimu, hal itu jauh lebih baik bagi dirimu daripada kekayaan yang sangat berharga.” (Riwayat al-Bukhari no. 3498 dan Muslim no. 2406)

 

Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Kamu boleh menyampaikan riwayat (yang benar) daripada kalangan Bani Israil, namun juga tidak berdosa (jika kamu tidak menyampaikannya). Sesiapa yang sengaja berdusta dengan namaku, maka bersedialah dia untuk dimasuk ke dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari no.3274)

 

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh perjalanan dengan tujuan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.” (Riwayat Muslim no. 2699)

 

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang mengajak orang lain untuk mengikuti petunjuk, nescaya dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan pahala mereka walau sedikit pun.” (Riwayat Muslim no. 2674)

 

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka semua(pahala) amalnya terputus, kecuali (pahala) sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang selalu memanjatkan doa untuknya.” (Riwayat Muslim no.949)

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr r.a, beliau berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Allah tidak akan menghilangkan ilmu secara langsung daripada manusia, melainkan dengan cara mewafatkan para ulama, sehingga jika sudah tidak ada lagi seseorang yang berilmu, manusia akan melantik para pemimpin yang jahil, lalu mengeluarkan fatwa tanpa berlandaskan ilmu, sehingga mereka semuanya sesat dan menyesatkan.” (Riwayat Al-Bukhari no.100 dan Muslim no. 2673)

 

Dipetik daripada kitab Ringkasan Riyadhus Solihin yang disusun oleh Imam Nawawi dan diringkaskan oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani. Ini adalah salah satu kitab rujukan hadis yang patut anda miliki.

 

 

 

Exit mobile version