Blog Sabree Hussin

Perbezaan antara homestay dengan guesthouse

Terdapat pelbagai jenis tempat penginapan yang kita boleh pilih apabila pergi bercuti.

 

Dewasa ini, penginapan dari jenis homestay dan guesthouse mula menjadi pilihan para pelancong. Kedua-dua jenis tempat penginapan ini menawarkan pengalaman penginapan dan percutian yang unik dan selesa.

 

Walaubagaimanapun, tahukah anda bahawa homestay dan guesthouse sebenarnya terdapat perbezaan?

 

Apa yang kita bakal bincangkan dalam posting ini mungkin ada yang berguna untuk anda. Terutama sekali kalau anda sedang mempertimbangkan sama ada ingin memulakan bisnes homestay ataupun bisnes guesthouse.

 

Katakanlah, anda memiliki sebidang tanah yang agak luas dengan pemandangan yang sangat cantik. Kita andaikan tanah tersebut berdekatan dengan pantai dan tidak jauh dari tempat tersebut ada kawasan yang sesuai untuk memancing.

Anda juga mempunyai modal yang mencukupi untuk jalankan bisnes tempat penginapan.

 

Persoalannya ialah, adakah anda akan menjalankan bisnes homestay ataupun bisnes guesthouse?

Sebelum nak menjawab persoalan ini, mungkin anda perlu fahami dahulu, adakah terdapat perbezaan antara homestay dengan guesthouse?

 

Bukankah homestay dan guesthouse sebenarnya merujuk kepada jenis tempat penginapan yang sama?

Pada mulanya saya juga mempunyai tanggapan yang sama.

 

Saya juga menyangkakan homestay dan guesthouse sebenarnya adalah merujuk kepada benda yang sama.

Tapi, selepas saya buat pembacaan dan mencuba beberapa jenis tempat penginapan, saya mula perasan yang sebenarnya ada perbezaan antara homestay dengan guesthouse.

 

Dalam artikel ini, kita akan bincangkan apakah ciri-ciri sebuah guesthouse dan bagaimana ia berbeza denagn sebuah homestay.

 

Jika anda tidak bercadang untuk memulakan bisnes tempat penginapan sekalipun, artikel ini mungkin berguna untuk anda, bagi tujuan mengetahui perbezaan antara kedua-dua jenis tempat penginapan ini. Tujuannya adalah supaya anda tak tersalah memilih tempat penginapan ketika membuat tempahan.

 

Guesthouse sebenarnya merujuk kepada tempat penginapan yang mana tetamu akan mendapat bilik persendirian beserta dengan bilik air. Sesetengah guesthouse ada yang tidak disediakan bilik air persendirian, sebaliknya tetamu perlu berkongsi bilik air.

 

Konsepnya hampir menyamai penginapan jenis hostel atau asrama. Penghuni hanya diberikan bilik yang lengkap dengan katil, kerusi, meja, dan almari. Manakala untuk mandi mereka perlu berkongsi bilik mandi yang disediakan.

 

Homestay ini sebenarnya ada dua maksud. Pertama sekali kita perlu tahu, adakah homestay tersebut merujuk kepada homestay tradisional atau konsep yang lebih moden?

 

Kalau konsep homestay tradisional, ia sebenarnya merujuk kepada satu bentuk penginapan dimana tetamu akan tinggal di kediaman peribadi milik tuan rumah.

 

Dalam konsep homestay tradisional, pelancong akan tinggal bersama dengan keluarga tuan rumah dan akan merasai pengalaman yang membolehkan mereka tinggal bersama keluarga serta merasai sendiri gaya hidup masyarakat tempatan, dan menghayati budaya mereka secara langsung.

 

Ini secara tak langsung dapat memberi tetamu peluang untuk berinteraksi dengan keluarga tuan rumah, belajar tentang cara hidup mereka, merasai sendiri menu masakan tradisi, dan menyertai aktviti harian mereka.

 

Namun kini konsep homestay mula berubah kepada konsep homestay moden, dimana tetamu akan menyewa sebuah rumah untuk jangka masa pendek dan mereka akan menggunakan keseluruhan rumah. Ia lebih mirip seperti menyewa rumah, namun bezanya adalah dari segi jangka masa sewaan.

 

Kalau sewa rumah, akan ada kontrak untuk menyewa selama 3 tahun atau beberapa tahun, sebaliknya sewa homestay hanya untuk beberapa hari atau beberapa minggu sahaja.

 

Untuk posting disini, istilah homestay yang saya maksudkan adalah penginapan keseluruhan rumah, dan bukannya konsep homestay tradisional yang mana tetamu akan tinggal bersama-sama dengan tuan rumah dan melakukan aktiviti harian bersama.

 

Perbezaan antara homestay dengan guesthouse

Tahukah anda, yang sebenarnya terdapat perbezaan antara sebuah homestay dengan sebuah guesthouse.

 

Perkongsian pada kali ini, saya akan membuat perbandingan antara homestay dan juga guesthouse. Kita akan bincangkan dekat mana homestay ini berbeza dengan guesthouse.

 

Aspek yang akan kita perhatikan adalah dari segi

1. Suasana (environment)

2. Harga atau kos penginapan

3. Keselamatan

4. Privasi

5. Kelengkapan dan kemudahan yang disediakan

 

Sekiranya topik ini menarik pada pandangan anda, sila teruskan pembacaan ya.

 

(1) Suasana

Kita akan mulakan dengan melihat kepada poin suasana percutian yang bakal dilalui apabila menginap di guesthouse mahupun di homestay. Suasana adalah penting untuk pelancong kerana ia memberi kesan kepada perasan, emosi dan juga kenangan yang bakal dibawa pulang.

 

Penginapan di guesthouse ini biasanya menawarkan pengalaman penginapan dengan suasana yang lebih selesa dan mempunyai perkhidmatan profesional ibarat seperti kita menginap di hotel atau resort.

 

Kita boleh lihat, biasanya akan ada barisan penyambut tetamu, customer service, perkhidmatan room service dan sebagainya.

Sekali imbas, perkhidmatan guesthouse ini hampir menyampai perkhidmatan hotel atau resort, namun dalam skala yang lebih kecil.

 

Ada kemudahan yang ditawarkan oleh hotel, yang turut ditawarkan oleh guesthouse. Namun, bukan semua kemudahan yang disediakan oleh hotel, dapat ditawarkan oleh guesthouse.

 

Sepanjang penginapan di guesthouse, tetamu akan bertembung dengan pelancong lain dan akan ada sedikit interaksi dengan mereka. Jika tetamu tersebut jenis yang suka berkenal-kenalan dan bersosial, mungkin boleh ambil peluang ini untuk berkenalan dengan pelancong lain.

 

Kalau bercerita dari konteks lokasi tempat penginapan, yang secara tak langsung boleh mempengaruhi suasana dan mood percutian, kita boleh katakan kebanyakkan guesthouse akan dibuka dikawasan yang berhampiran dengan tempat tumpuan pelancong atau berdekatan dengan tempat menarik.

 

Homestay pula menawarkan suasana penginapan yang selesa dan lebih mirip seperti berada dirumah kediaman sendiri. Tetamu yang memilih untuk menginap dihomestay akan dapat menikmati suasana percutian di tempat penginapan yang serba serbi lengkap dengan kemudahan dan kelengkapan dalam rumah.

 

Lazimnya, apa-apa kelengkapan yang biasanya terdapat dirumah milik tetamu, turut boleh diperolehi atau didapati dihomestay tersebut.

 

Tetamu akan menyewa keseluruhan ruang dalam homestay tanpa berkongsi dengan siapa-siapa, sama ada tetamu lain atau tuan rumah itu sendiri. Ibaratnya seperti kita menyewa sebuah rumah, tetapi untuk jangka masa pendek sahaja.

 

Sebab itu konsep homestay yang ada sekarang ini, turut dikenali dengan istilah Short term rental atau short term stay.

 

Interaksi yang bakal berlaku antara tetamu dengan tuan rumah, atau tetamu dengan pelancong lain biasanya sangat minima atau tiada langsung. Jika ada sebarang masalah, tetamu akan terus menghubungi tuan rumah sama ada melalui panggilan telefon atau whatsapp.

 

Homestay ini lebih sesuai untuk tetamu yang nak pergi bercuti tetapi mereka mahukan suasana penginapan yang familiar dan sama seperti berada dirumah sendiri.

 

Mereka tak perlu berkongsi ruang dan kemudahan dengan orang lain dan tak perlu ada interaksi dengan individu yang mereka tak kenali.

 

(2) Kos penginapan

Seterusnya kita akan bercerita pula dari aspek kos yang perlu dibayar untuk menginap di homestay ataupun di guesthouse.

 

Umumnya, kadar penginapan sama ada di homestay ataupun di guesthouse adalah jauh lebih menjimatkan berbanding kita menginap di hotel. Terutama sekali jika kita bercuti bersama dengan keluarga yang agak ramai.

 

Faktor kos juga sebenarnya penting untuk diambil kira untuk percutian memandangkan ia merupakan perbelanjaan yang paling besar, selepas kos perjalanan, seperti tiket kapal terbang untuk pergi bercuti.

 

Kos penginapan di guesthouse umumnya lebih murah berbanding kalau menginap di hotel untuk kualiti perkhidmatan yang lebih kurang sama. Walaubagaimanapun, harga untuk menginap di guesthouse boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti

1. Lokasi

2. Musim

3. Permintaan

4. Kualiti

5. Perkhidmatan tambahan yang disediakan

 

Harga untuk menginap di guesthouse biasanya tak termasuk kemudahan seperti complimentary breakfast, perkhidmatan dobi, pengangkutan, aktiviti dan sebagainya.

 

Namun, tetamu ada pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut dengan bayaran tambahan. Itupun kalau pemilik guesthouse bersedia untuk menyediakan khidmat-khidmat tersebut.

Kos penginapan di homestay juga umumnya lebih murah berbanding menginap di hotel. Tetamu akan dapat lebih merasai penjimatan itu, terutama sekali kalau mereka travel dalam kumpulan yang agak ramai.

 

Kebanyakkan homestay mempunyai 3 atau 4 buah bilik dan dilengkapi dengan katil jenis queen atau king size.

Selain bilangan bilik yang banyak, ruang tamu juga boleh digunakan untuk dijadikan tempat tidur.

 

Tetapi kalau menginap di hotel, peraturannya lebih ketat, dan satu bilik hanya boleh memuatkan 2 orang tetamu dewasa sahaja.

 

Harga homestay juga dipengaruhi oleh faktor seperti

1. Lokasi

2. Musim

3. Permintaan

4. Kualiti

5. Kemudahan dan kelengkapan yang disediakan

 

Bagi pelancong yang ingin merasai pengalaman seperti berada dirumah sendiri, lazimnya mereka akan lebih tertarik untuk menginap dihomestay.

 

Kemudahan dan kelengkapan yang disediakan oleh pemilik homestay membolehkan tetamu untuk menyediakan sendiri menu sarapan pagi dan makan tengahari.

 

Justeru, kita boleh katakan untuk tetamu yang inginkan penjimatan dari segi tempat penginapan, amat sesuai untuk mereka memilih untuk menginap di tempat penginapan jenis homestay.

 

(3) Keselamatan

Mana lebih selamat kalau kita bandingkan antara menginap di guesthouse dengan menginap di homestay?

 

Sebenarnya, mana-mana satu tempat penginapan pun, biasanya pemilik akan memastikan para tetamu mendapat tahap keselamatan yang paling baik.

 

Apabila tetamu memilih untuk menginap di guesthouse, mereka akan berinteraksi dengan tetamu lain yang turut menginap ditempat yang sama.

 

Justeru, tempat-tempat yang biasa akan dikongsi bersama, pemilik guesthouse akan pasang sistem kamera CCTV.

 

Selain itu, kebanyakkan guesthouse juga akan disediakan peti besi dalam setiap bilik untuk kegunaan para tetamu.

 

Kemudian, untuk tetamu yang membawa kenderaan sendiri pula, biasanya akan disediakan tempat parking kenderaan. Walaubagaimanapun, parking yang disediakan ini mungkin terhad dan ia menggunakan konsep first come first serve basis.

Bagaimana pula aspek keselamatan pada homestay?

Umumnya homestay ini dibuka dikawasan perumahan penduduk atau dikediaman jenis apartment.

 

Kalau projek perumahan yang baru, biasanya ia dilengkapi dengan pondok kawalan keselamatan. Hanya penduduk dan mereka yang menyewa homestay sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke kawasan kediaman.

 

Kalau kita ada bawa kenderaan sendiri, kita tak perlu risau tentang parking kereta memandangkan kita boleh parking dalam anjung rumah.

Jadi pada waktu malam, kita memang tak perlu bimbang tentang keselamatan harta benda dan kenderaan kita.

 

Tak kiralah sama ada homestay ataupun guesthouse, jika terdapat pengawal keselamatan yang ditugaskan, biasanya mereka akan buat rondaan secara berkala. Ini secara tak langsung akan dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan tempat tersebut.

 

(4) Privasi

Antara homestay dengan guesthouse, yang mana satu yang memberikan tahap privasi yang paling tinggi?

 

Guesthouse dan homestay memberikan tahap privasi yang berbeza.

Jom kita bincangkan.

 

Apabila kita memilih untuk menginap di homestay, terdapat ruang yang kita akan guna untuk peribadi dan ada ruang yang kita akan kongsi bersama dengan tetamu lain yang turut menginap disitu.

 

Ruangan peribadi kita adalah dalam bilik.

Manakala ruangan yang kita bakal kongsi dengan tetamu lain adalah seperti lobi, dewan makan dan sebagainya.

 

Sedikit sebanyak kita pasti akan ada interaksi dengan tetamu lain, yang turut menginap disitu.

Bagi pelancong yang inginkan suasana percutian, yang boleh bertemu dengan pelancong lain, maka pilihan guesthouse adalah baik untuk mereka.

 

Kalau dalam situasi penginapan di homestay pula, saya boleh katakan tahap privasi yang bakal kita terima memang betul-betul berada pada tahap yang sangat tinggi.

 

Dewasa ini kebanyakkan homestay banyak yang mula mengamalkan kaedah self check in.

 

Tuan rumah akan berikan maklumat password untuk buka kunci lock box seperti dibawah.

Kotak berkunci seperti diatas boleh diperolehi menerusi pautan ini.

 

Biasanya tetamu tak bertemu dengan pemilik rumah, dan jika ada sebarang masalah barulah tetamu akan hubungi tuan rumah.

 

Walaubagaimanapun, agak jarang untuk berlaku keadaan dimana penginapan tersebut bermasalah.

 

Situasi yang biasa berlaku adalah, tetamu memang tak akan bersua muka langsung dengan tuan rumah.

 

Kalau kita lihat dari aspek privasi, kita boleh katakan

1. Penginapan di guesthouse memberi tahap privasi yang sederhana dengan interaksi dengan tetamu lain dari masa ke masa.

 

2. Penginapan di homestay pula, tahap privasi yang bakal diperolehi memang tinggi, yang mana tetamu tidak bertemu dengan pemilik rumah dan juga pelancong lain yang datang bercuti dikawasan tersebut.

 

(5) Kemudahan

Untuk perbandingan seterusnya, kita akan bercerita dari sudut kemudahan dan kelengkapan yang bakal diperolehi oleh tetamu yang menginap.

 

Oleh kerana tetamu biasanya hanya akan membawa pakaian dan beberapa kelengkapan asas, maka memilih tempat penginapan yang banyak menyediakan kemudahan adalah sangat penting untuk keselesaan sepanjang tempoh percutian.

 

Guesthouse dan homestay mempunyai tahap yang berbeza dari segi bentuk kelengkapan dan kemudahan yang disediakan.

 

Guesthouse menawarkan kemudahan untuk tetamunya seperti sarapan pagi, perkhidmatan dobi, servis pengangkutan dan mungkin pakej aktiviti. Semua ini boleh diperolehi dengan bayaran tambahan, jika ianya tak dimasukkan dalam pakej penginapan.

 

Selain daripada itu, terdapat juga kemudahan tambahan seperti internet berkelajuan tinggi, televisyen dan sebagainya. Sesetengah guesthouse ada menyediakan kemudahan seperti kolam renang, spa dan juga gimnasium.

 

Walaubagaimanapun, bukan semua guesthouse berkeupayaan untuk menyediakan semua kemudahan ini. Ianya bergantung kepada keluasan tapak dan juga modal yang mampu dikeluarkan oleh pemilik guesthouse. Lazimnya, bisnes guesthouse ini dijalankan oleh orang perseorangan, keluarga, atau syarikat bersaiz kecil dan sederhana.

Kalau dalam konteks homestay pula kita boleh lihat kelengkapan yang disediakan didalam rumah adalah sama seperti kelengkapan yang biasanya terdapat dirumah kita.

 

Kita boleh jangkakan dalam homestay ada

1. Kelengkapan untuk memasak

2. Mesin basuh

3. Peti sejuk

4. Beberapa barangan untuk hiburan

5. Sambungan internet berkelajuan tinggi

… dan lain-lain senarai kelengkapan yang boleh memberikan pengalaman penginapan yang baik kepada tetamu.

 

Selain itu, terdapat juga beberapa kemudahan tambahan yang boleh kita gunakan, bergantung kepada dimana lokasi unit homestay tersebut.

 

Kalau homestay tersebut merupakan sebuah unit servis apartment, biasanya tetamu akan dapat menggunakan kemudahan seperti

1. Kolam renang

2. Gimnasium

3. Bilik rekreasi

4. Taman permainan untuk kanak-kanak

 

(6) Contoh guesthouse

Sebelum kita habiskan perbincangan tentang perbezaan antara guesthouse dengan homestay ini, saya rasa eloklah kiranya saya kongsikan beberapa contoh guesthouse yang ada diluar sana.

 

1. Labu Labi Residence, Tanjung Rhu Langkawi

Labu Labi Residence adalah sebuah penginapan jenis guesthouse yang terletak di Tanjung Rhu, Langkawi.

Guesthouse ini mempunyai kedudukan yang sangat strategik dan ia hanya beberapa langkah dari pantai. Pengunjung dapat menyaksikan panorama indah Laut Andaman hanya dari anjung rumah. Senang cerita, buka pintu terus boleh nampak pantai.

 

Kalau anda inginkan suasana percutian yang lebih tenang, dan tak sesibuk Pantai Chenang, mungkin boleh pertimbangkan untuk menginap di sekitar Tanjung Rhu.

Boleh ke halaman ini untuk buat tempahan Labu Labi Residence.

 

Kesimpulan

Guesthouse dan homestay adalah dua jenis penginapan yang berbeza yang menawarkan ciri-ciri dan kelebihan-kelebihan yang berbeza kepada para tetamu.

 

Mudah-mudahan selepas ini, anda tidak akan terkeliru lagi antara guesthouse dengan homestay.

 

Sebelum ini, saya juga pernah menulis mengenai perbezaan diantara hotel dengan resort. Andai kata ada pembaca yang mungkin merasa keliru dengan perbezaan antara hotel dengan resort, jemputlah baca artikel yang saya tulis tersebut.

 

Bila kita faham, apakah bentuk servis yang kita bayar semasa membuat tempahan tempat penginapan, ia secara tak langsung dapat mengelakkan kita dari rasa kecewa kerana apa yang kita bakal perolehi tak sama seperti yang kita harapkan.

 

Bukan apa, kita bimbanglah nanti ada antara kita yang buat booking guesthouse, tapi mengharapkan mutu dan kualiti perkhidmatan yang bakal diperolehi setara dengan resort. Itu sebenarnya tak berapa betul.

 

Artikel ini telah membincangkan beberapa aspek yang membezakan antara guesthouse dengan homestay. Kita telah pun bincangkan mengikut aspek seperti suasana, harga, keselamatan, privasi, dan kemudahan yang bakal dinikmati oleh tetamu.

 

Kalau ada antara pembaca yang merasakan guesthouse ini tak jauh beza dengan resort atau hotel, saya juga sebenarnya bersetuju dengan anda. At some point, saya pun pernah terkeliru antara guesthouse dengan resort.

 

Kalau kita bandingkan antara guesthouse dengan boutique hotel, lagilah kita akan nampak ada banyak betul persamaan.

 

Kemudian bila saya mula membaca beberapa artikel, yang membincangkan topik mengenai perbezaan antara guesthouse dengan hotel atau guesthouse dengan resort, barulah saya nampak apa bezanya.

 

Umumnya perbezaan yang paling ketara hanyalah dari segi saiz atau skala perkhidmatan sahaja. Guesthouse ini dikendalikan oleh orang perseorangan atau bisnes milik keluarga, manakala hotel pula dikendalikan oleh syarikat yang mempunyai modal yang lebih besar.

 

Lazimnya, untuk guesthouse, pemilik akan menggunakan tanda nama “guesthouse”, “lodge” atau mungkin “residence” pada nama guesthouse mereka.

 

Manakala untuk resort, biasanya mereka akan menggunakan perkataan “resort” itu sendiri pada nama tempat penginapan mereka.

 

Mudah-mudahan anda juga dapat membezakan jenis-jenis tempat penginapan yang ada diluar sana dengan lebih baik selepas ini.

 

Akhir sekali, jika anda mempunyai pendapat atau pandangan yang berbeza, dan anda ingin kongsikan pendapat tersebut, bolehlah berbuat demikian dibahagian komen ya.

 

Mungkin kita boleh tukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman.

 

So, antara guesthouse dengan homestay, mana satu yang lebih anda suka?

Boleh cerita sikit kenapa anda pilih homestay atau guesthouse?

 

 

Exit mobile version