Blog Sabree Hussin

Pengalaman bercuti di Sabah (6) – Aktiviti menarik di Kundasang

Suasana disini tenang.

 

Udaranya nyaman. Cukup mudah untuk melihat kabus bergerak ditiup angin. Sesekali akan terasa sejuk apabila angin bayu bertiup mengenai kulit.

Terasa tenang dan damai apabila berada di kawasan pergunungan seperti ini.

 

Kadang-kadang saya rasa pelik. Ada sesetengah orang, dia tak suka tempat-tempat macam ni. Nampak macam tak ada benda katanya.

 

Bagi dia, kalau bercuti, lebih seronok pergi ke tempat-tempat yang boleh shopping. Ada shopping mall dan sebagainya.

 

Siapa kata kat Kundasang tak boleh shopping? Ada je tempat kita boleh shopping. Cuma barang apa yang anda nak shopping tu je mungkin tak sama macam apa yang anda bayangkan.

.

..

Masa di Kundasang

Kita tak perlu nak ubah masa pada jam yang kita pakai. Masa di Kundasang sama sahaja dengan masa kita di Kuala Lumpur. Bezanya ialah, disini cepat gelap. Waktu solat juga lebih awal disini. Jadi kena sentiasa alert, dan satu lagi, Subuh di Kundasang masuk awal.

 

Masa saya datang sini, Subuh masuk pada jam 4.41 pagi. Punyalah sejuk nak ambil wudhu’ waktu-waktu macam ni.

 

Kalau nak cari tempat makan, boleh pergi ke Pekan Kundasang. Kat situ ada beberapa kedai makan. Restoran KFC pun ada kat situ.

 

Biasa kalau di KL, pukul 8 baru nak cari makan malam. Tapi di Kundasang, pukul 8 dah macam pukul 10 rasanya. Jadi, sebaik-baiknya keluarlah makan awal sikit, sebab bimbang kedai dah banyak yang tutup pada waktu tu.

 

Kundasang War Memorial

Letaknya di Pekan Kundasang. Saya tak sempat nak singgah ke sini. Mungkin lain masa, In Shaa Allah.



Desa Dairy Farm

Rasanya tak salah kalau saya katakan inii merupakan tempat wajib pergi jika bercuti ke Kundasang buat pertama kali.

Jalan nak pergi ke Dairy Farm memang agak kecil. Boleh muat dua buah kereta sahaja.

 

Lagi satu, jalannya perlu melalui kawasan berbukit yang agak tinggi. Sepanjang perjalanan tu memang perlu guna gear rendah setiap masa.

 

Kat sekitar sini, kita akan lihat pemandangan rumah-rumah penduduk setempat dan kawasan-kawasan yang ditanam dengan hasil pertanian. Lepas tu macam biasa, akan kelihatan juga pemandangan kawasan pergunungan.

 

Bayaran masuk ke Desa Dairy Farm adalah RM5.00 sahaja untuk dewasa, manakala bagi kanak-kanak, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM4.00 sahaja. Boleh lihat pada gambar dibawah ini.

Desa Dairy Farm ni dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi sampai 5.00 petang sahaja. Lebih baik datang awal pagi, sebabnya waktu saya datang tu, bila dah masuk pukul 10 macam tu, tempat ni agak panas.

 

Apa yang menarik kat tempat ni ialah pemandangannya yang nampak seolah-olah berada di luar negara. Memang cantik.

Dengan adanya lembu-lembu hitam dan putih, nampak macam berada di New Zealand, kan?

 

Bila dah ada di Desa Dairy Farm, bolehlah beli produk-produk dairy yang dijual disini. Anda boleh beli Gelato Coklat & Gelato Yogurtm (aiskrim), susu, cheese, yogurt dan sebagainya.

Produk-produk ni semua, tak sesuai untuk beli banyak-banyak, melainkan anda ada peti sejuk untuk memastikan produk-produk ni semua tidak rosak.

 

Lembu-lembu yang ada disini adalah terdiri dari jenis Holstien-Friesian yang mana lembu jenis ini berasal dari Netherlands, sekitar 2000 tahun dahulu.

 

Ada satu tempat di Desa Dairy Farm ni, kita boleh bagi makan dan susu kepada anak-anak lembu dan kambing.

 

Kalau nak rasa pengalaman bagi susu kepada anak lembu, bolehlah beli susu dengan harga RM1.50 sahaja. Kalau nak bagi makan rumput, murah sahaja, iaitu RM1 sahaja.

Ringkasnya, di Desa Dairy Farm ni, saya boleh simpulkan aktiviti menarik dalam ini adalah

(1) Bergambar

(2) Nikmati produk dairy yang segar

(3) Bagi makan anak lembu dan kambing

(4) Lihat secara live bagaimana cara perahan susu dilakukan

(5) Lihat cara hidup lembu

 

Kalau tak silap saya, saya luangkan masa lebih kurang 2 – 3 jam dalam ni. Lepas tu, kami keluar dari Dairy Farm dan drive di kawasan kat sekitar.

 

Tengok kawasan Rocky Mountain, Golf Course, dan sebagainya. Disekitar sini juga ada banyak resort.

 

Drive je tanpa tujuan. Tak perlu takut sesat. Selagi nampak ada jalan yang boleh dilalui oleh kenderaan, selagi tu kita redah je. Agak-agak jalan terlalu sempit dan mustahil untuk kereta masuk, just patah balik sahaja.

 

Bila dah sampai ke tempat orang, rugilah rasanya kalau kita tak explore semua sekali. Perjalanan di sekitar Kundasang, kita akan melalui kawasan tanah tinggi dan pergunungan.

Sebaik-baiknya, anda pastikan kereta yang anda bakal sewa tu nanti, adalah sesuai untuk perjalanan anda. Kalau anda masih belum ada kereta sewa lagi, bolehlah dapatkan dari laman web ini. Saya pernah tulis cara-cara nak buat tempahan dan trik untuk dapatkan diskaun tambahan sekiranya buat tempahan dari laman web tersebut.

Baca: Perkhidmatan kereta sewa di Kota Kinabalu yang anda patut cuba beserta dengan DISKAUN Eksklusif

 

Baiklah lepas ni saya akan cerita tentang Kinabalu Park pula. In Shaa Allah. 

 

 

Exit mobile version