Blog Sabree Hussin

Dapatkan idea topik popular menerusi aktiviti kajian kata kunci

Apakah topik yang sangat popular dalam kalangan pengguna internet di dunia? Bagaimana pula dengan topik yang popular dalam kalangan pengguna internet di Malaysia?

 

Kita fokus pada pasaran Malaysia sahaja dulu ya. Saya rasa, kalau kita buat dengan cara yang betul, walaupun kita hanya fokus pada pasaran tempatan, In Shaa Allah kita masih lagi akan dapat hasilkan pendapatan yang agak lumayan menerusi projek blogging yang bakal dilancarkan nanti.

 

Diluar sana, terdapat macam-macam kategori blogger. Mereka ini menulis blog atas sebab yang berbeza. Pada kesempatan ini, saya tak berapa minat nak ulas tentang kategori blogger yang ada di Malaysia. Sebaliknya, perkongsian yang saya ingin hasilkan adalah lebih kepada untuk membantu anda menjadi seorang penulis blog yang mampu hasilkan pendapatan menerusi blog yang bakal anda hasilkan.

 

Ya, kita buat blog bagi tujuan menjana pendapatan.

Baca juga: Panduan buat duit dengan blog dari pengalaman sebenar

Artikel ini adalah kesinambungan daripada artikel saya sebelum ini yang bertajuk memilih topik yang sesuai bagi memulakan projek buat duit dengan blog“.

 

Setelah anda mempunyai senarai topik yang ingin ditulis dalam blog, saya sarankan anda berhenti dan fikir sejenak. Tanyakan soalan ini kepada diri anda sendiri, “adakah topik tentang … ini akan memberi sebarang keuntungan kepada diri anda nanti?” 

 

Pada pandangan saya, sesuatu topik itu dikira menguntungkan, sekiranya ia menepati beberapa kriteria ini, iaitu

  1. Ada produk atau servis yang berkaitan dengan topik yang boleh kita promosikan. Contohnya, kalau blog tentang bercuti, kita boleh promosikan bilik hotel, homestay dan lain-lain tempat penginapan.
  2. Topik tersebut mempunyai jumlah carian yang tinggi di laman web Google.
  3. Ada ramai orang yang mempunyai masalah berkaitan topik tersebut.

 

Apa maksud topik tersebut ada jumlah carian yang tinggi di laman web Google? Mungkin ada yang kurang jelas, apa yang saya cuba sampaikan.

 

Cuba fikirkan, “ada tak orang yang akan google topik yang bakal saya pilih nanti, kalau saya nak buat blog fokus kepada topik tersebut…”

 

Bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan tersebut, saya akan jalankan kajian kata kunci atau juga dikenali dengan istilah keyword research.

 

Kajian kata kunci menggunakan Google Keyword Planner

 

Bagi membuat kajian kata kunci, saya akan menggunakan laman web Google Keyword Planner. Berikut adalah paparan muka hadapan Google Keyword Planner.

Anda boleh gunakan pautan ini https://ads.google.com/intl/en_my/home/tools/keyword-planner/ untuk ke laman web tersebut. Sekiranya alamat url tersebut tidak boleh digunakan lagi, sila google sahaja “google keyword planner”.

 

Saya nak share pengalaman saya sedikit ya.

 

Dulu, selepas saya berhenti kerja, saya balik ke kampung dan mula menguruskan perniagaan kedai runcit milik keluarga. Sambil saya jaga kedai, saya masih lagi meneruskan kerja-kerja penulisan di blog saya.

 

Satu hari, saya rasa saya nak tulis tentang bisnes kedai runcit dalam blog saya. Waktu saya baru mula nak berniaga, saya memang tercari-cari perkongsian pengalaman, idea dan strategi menjalankan bisnes ini. Saya cuba google topik tersebut, namun agak hampa sebabnya tak banyak laman web yang berkongsi kisah perjalanan bisnes kedai runcit.

 

Jadi saya bercadang untuk jadi antara yang terawal kongsi kisah perjalanan perniagaan kedai runcit yang saya uruskan.

 

Tapi sebelum itu, saya juga perlu tahu, adakah topik ini benar-benar menguntungkan? Jika tak banyak yang cari info tentang kedai runcit, saya kira, ianya akan jadi agak buang masa kalau nak tulis blog berkenaan topik tersebut.

 

Ini hasil kajian kata kunci yang saya buat bagi keyword “kedai runcit”.

Antara keyword yang relevan dan berkaitan dengan keyword utama adalah seperti diatas

  1. Kedai Runcit dengan carian 1,000 – 10,000 purata setiap bulan
  2. Perniagaan Kedai Runcit 100 – 1,000 purata setiap bulan
  3. Perniagaan Runcit 10 – 100 carian purata setiap bulan
  4. Bisnes Kedai Runcit 10 – 100 carian
  5. Senarai Barang Kedai Runcit dengan 100 – 1,000 purata carian setiap bulan

 

Ini bermakna, sekiranya saya hasilkan sebuah blog, yang bercerita tentang topik kedai runcit dan perniagaan kedai runcit, saya berpotensi untuk dapatkan pengunjung sebanyak 1,000 ke 10,000 setiap bulan, kerana itulah dia purata jumlah carian oleh pengguna internet melalui laman web google search.

 

Kalau tak dapat jumlah tersebut sepenuhnya, saya kira kalau cuma dapat dalam 50% itupun memadai. Walaubagaimanapun, tak banyak produk atau servis yang sesuai untuk saya promosikan bersama dengan topik kedai runcit ini.

 

Kalau ada sekalipun, mungkin produk template kertas kerja perniagaan ini sesuai untuk saya promosikan, apabila bercerita mengenai topik kedai runcit. Orang yang akan beli template tersebut, pastinya adalah bakal usahawan yang perlukan contoh kertas kerja perniagaan, bagi tujuan membuat pinjaman perniagaan dengan institusi kewangan.

 

Kemudian pada satu hari, saya perhatikan, dengan cara kerja saya yang dah mula berubah berbanding sebelum ini, saya bercadang untuk explore satu lagi kata kunci yang baru.

 

Sebelum ini, saya kerja di pejabat. Kali ini, sejak saya mula fokus pada perniagaan kedai runcit saya sendiri, saya lebih banyak luangkan masa untuk kerja dari rumah. Jadi, keyword kerja dari rumah adalah satu lagi keyword yang dekat dengan diri saya.

 

Mari saya tunjukkan potensi kata kunci “kerja dari rumah” melalui kajian kata kunci yang saya lakukan sebelum ini.

Bila saya semak kata kunci kerja dari rumah ini, ia juga relevan dengan kata kunci seperti

  1. Kerja sambilan di rumah
  2. Kerja sambilan
  3. Bekerja dari rumah
  4. Kerja dari rumah yang boleh dipercayai

 

Secara peribadi, saya lebih suka topik kerja dari rumah ini, kalau nak bandingkan dengan topik tentang bisnes kedai runcit. Saya mengambil kira keadaan semasa, dimana masyarakat kita di Malaysia umumnya, memang ramai yang mencari-cari peluang untuk jana pendapatan tambahan, selain daripada pendapatan yang diperolehi dari gaji masing-masing.

 

Golongan yang bekerjaya, nak tambah pendapatan dari rumah.

Golongan surirumah juga begitu, mereka juga ingin menyumbang kepada pertambahan pendapatan isi rumah.

Golongan pelajar juga memerlukan pendapatan tambahan, kerana ada antara para pelajar yang tidak mendapat pinjaman pendidikan ataupun tajaan biasiswa.

Justeru, mereka memerlukan cara untuk cari duit lebih, dan salah satu caranya adalah dengan bekerja dari rumah. Apabila saya pilih untuk bincangkan topik bekerja dari rumah melalui blog ini, saya boleh promosikan beberapa produk yang berkaitan, misalnya panduan Jobdirumah dan juga program affiliate Involve Asia.

 

Panduan Jobdirumah adalah panduan yang akan mengajar para peserta cara-cara, dan teknik yang betul untuk bekerja dari rumah sebagai seorang pekerja bebas. Anda boleh pilih sama ada nak bekerja sebagai penterjemah, penulis, pereka grafik dan sebagainya.

 

Manakala program affiliate Involve Asia ini pula sesuai untuk mereka yang ingin ceburkan diri dalam bidang jualan dan pemasaran. Melalui platform Involve Asia itu, ada banyak laman web milik syarikat terkemuka yang kita boleh promosikan dan mendapat ganjaran komisen apabila hasil promosi kita berjaya menghasilkan jualan.

 

Memilih topik yang popular dan tinggi trafik

Saya memilih untuk menggunakan strategi ini, sebab saya tak berapa suka nak promosikan blog saya sendiri. Kerja-kerja promosi, sangat mengambil masa.

 

Saya kira, masa yang bakal saya gunakan untuk buat marketing tu, lebih baik saya gunakan untuk tulis artikel bagi blog-blog yang saya miliki. Kemudian, biarlah setiap blog yang saya punyai, saling mempromosikan blog yang saya ada. (itupun satu bentuk promosi juga)

 

Kaedah yang saya gunakan dalam mempromosikan blog saya, adalah kaedah search engine optimization. Topik ini saya akan sentuh kemudian. Walaupun begitu, saya pernah cerita tentang topik search engine optimization dalam blog ini sebelum ini.

Baca juga: Panduan ASAS SEO Untuk Blog

 

Topik mengenai search engine optimization untuk blog, atau teknik SEO ini juga merupakan satu topik yang agak luas, dan In Shaa Allah, saya akan tulis sekali lagi dimasa akan datang dalam siri artikel projek buat duit dengan blog ini.

 

Buat masa ini, pegang dulu formula ini, jika anda betul-betul serius ingin menjana pendapatan dari blog yang bakal anda hasilkan.

  1. Pilih topik
  2. Buat kajian kata kunci bagi mengenalpasti keyword yang ada potensi
  3. Tulis artikel
  4. Pastikan artikel tersebut masuk ke halaman pertama hasil carian google bagi kata kunci yang disasarkan

 

Ya, penulisan kita, walaupun hanya di blog, perlu ada strategi. Walaupun orang akan nampak apa yang kita hasilkan dan siarkan dalam blog kita tu, nampak macam benda cincai, tapi sebenarnya, ia tak seperti yang dia fikirkan. Ada sebab kenapa sesuatu perkara itu kita lakukan.

 

Tulis blog bukan aktiviti hentam keromo

Setiap kata kunci, mencerminkan keadaan dan karekter si pencari. Misalnya, orang yang cari kata kunci “bercuti ke Sabah” mungkin sedang merancang untuk bercuti ke Sabah dalam masa terdekat.

 

Jika laman blog anda, adalah antara laman web yang masuk ke halaman pertama google bagi kata kunci tersebut, kebarangkalian untuk pengguna internet tersebut masuk ke laman blog anda adalah sangat tinggi.

 

Apabila mereka dah masuk ke laman blog kita, macam-macam kebarangkalian yang bakal berlaku. Kita boleh minta mereka klik pada link affiliate kita yang mempromosikan bilik hotel tertentu, atau kita boleh minta dia untuk daftarkan nama dan alamat emel mereka untuk mereka tebus kupon diskaun dan sebagainya.

 

Saya akan berhenti dulu dari terus bincangkan tentang kaedah mencari topik yang sesuai untuk projek blogging kita nanti. Seterusnya, saya serahkan kepada anda untuk bertindak dan mula kenalpasti, apa topik yang bakal anda tulis dalam blog anda nanti.

 

Ada sebarang soalan? Boleh tinggalkan dibahagian komen.

 

 

Exit mobile version