Blog Sabree Hussin

8 Cara menjual buku secara online

Bagaimana cara untuk menjual buku secara dalam talian?

Pada era digital kini, memiliki kemahiran menjual buku secara online adalah merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh mereka yang terlibat dalam perniagaan menjual buku.

 

Tak kiralah sama ada perniagaan tersebut dijalankan secara individu ataupun melalui sebuah syarikat.

 

Pada hari ini semakin ramai pembaca dan pencinta buku yang memilih untuk membeli dan mendapatkan buku yang mereka perlukan secara dalam talian. Lagipun, proses untuk mencari dan membeli buku kini sudah berkali ganda lebih mudah berbanding suatu masa dulu.

 

Jika anda ada perancangan untuk menjual buku secara atas talian, dan memerlukan pandangan kedua tentang perkara ini, anda berada ditempat yang betul.

 

Dalam perbincangan kali ini, kita akan cuba menelusuri beberapa kaedah dan strategi yang anda boleh gunakan bagi tujuan menjual buku secara online melalui pendekatan yang lebih berkesan.

 

Sama ada anda merupakan usahawan buku yang sudah mempunyai banyak pengalaman, atau baru sahaja nak mula menceburi bidang ini, saya jemput anda untuk baca perkongsian ini.

 

Saya percaya, ada beberapa perkara yang bakal saya kongsikan disini akan memberi manfaat dan idea baru buat anda.

Kita juga akan bincangkan beberapa cara yang biasa digunakan oleh usahawan buku diluar sana, dalam usaha mereka untuk mendapatkan jualan secara online.

 

Ada antara cara yang selama ini mereka gunakan itu sebenarnya kurang efektif. Mereka yang masih lagi menggunakan cara yang kurang efektif ini perlu cepat-cepat sedar dan jangan hanya bergantung pada satu kaedah tersebut semata-mata.

 

Kemudian saya juga akan cadangkan beberapa kaedah tambahan untuk anda pertimbangkan dan cuba. Jika anda merasakan kaedah yang bakal saya syorkan itu sesuai untuk anda, bolehlah anda praktikkan sendiri dalam bisnes buku anda.

 

Strategi yang biasa digunakan untuk jual buku secara online dan kenapa ia kurang berkesan

Mari kita bincangkan terlebih dahulu, apakah strategi menjual buku yang biasa dipraktikkan oleh usahawan buku diluar sana.

 

Boleh jadi, anda juga ada menggunakan kaedah atau strategi menjual seperti yang saya senaraikan dibawah ini.

 

(1) Jual buku melalui platform e-commerce dan marketplace pihak ketiga

Apakah contoh platform online marketplace?

Contohnya adalah seperti

i. Lazada

ii. Shopee

iii. PG Mall

 

Cara ini sebenarnya pernah memberikan pulangan yang sangat baik, terutama sekali pada peringkat permulaan. Ketika itu masih belum ramai peniaga dan usahawan yang menjual buku, menyenaraikan buku-buku yang mereka jual di platform marketplace yang saya sebutkan diatas.

 

Walaubagaimanapun, setelah orang ramai mula nampak peluang untuk buat duit melalui platform e-commerce atau marketplace ini, orang mula beralih untuk menjual produk dan perkhidmatan mereka di platform ini.

 

Kita lihat contoh yang saya maksudkan.

 

Untuk buku bertajuk “buat untung dengan rumah sewa” ini sahaja, ada lebih 10 seller yang turut menjual diplatform yang sama.

Cuba letakkan diri anda dipihak pelanggan. Apabila anda disajikan dengan pilihan seller yang begini banyak, apakah kriteria yang bakal anda lihat untuk memilih seller mana satu yang anda akan beli?

 

Boleh jadi anda akan pilih

i. Seller yang tawarkan harga paling murah

ii. Seller yang mempunyai rekod jualan yang paling tinggi

iii. Seller yang lokasinya paling dekat dengan anda

iv. Seller yang offer free shipping

 

Seperti yang anda boleh lihat, jika hanya bergantung pada platfrom marketplace sahaja sebagai satu-satunya strategi jualan, anda terpaksa berdepan dengan isu-isu berikut

 

i. Persaingan yang sengit

Oleh kerana buku tersebut mempunyai permintaan, maka tak hairan kalau ada penjual lain yang turut menjual buku yang sama tajuknya. Tapi kalau sampai ada berpuluh seller jual produk yang sama, ini sedikit merisaukan.

 

Pernah tak anda terfikir, dari mana munculnya banyak persaingan dalam perniagaan menjual buku ini?

Bisnes buku adalah salah satu bisnes yang boleh dilakukan melalui sistem dropship. Peniaga ini tak perlu keluar modal yang besar untuk mulakan bisnes ini.

 

Jika anda berminat dengan bisnes menjual buku, namun anda tak memiliki modal yang besar untuk menyimpan stok buku, anda juga boleh mula sebagai ejen dropship.

Pendaftaran untuk jadi ejen dropship boleh buat disini.

 

ii. Perang harga

Situasi perang harga ini boleh berlaku dan biasa berlaku dalam persekitaran dimana terdapat persaingan yang begitu sengit. Biasanya, mereka yang mempunyai modal yang besar, mampu untuk buang harga dan boleh tawarkan harga yang lebih murah.

 

Boleh jadi matlamatnya adalah untuk habiskan stok dalam tangan, dan dia mahu fokus untuk jual buku lain pula.

 

iii. Anda perlu bayar komisen kepada platform

Platform marketplace seperti Lazada, Shopee, Pg Mall dan sebagainya ini akan mengenakan bayaran komisen bagi setiap produk yang terjual melalui platform milik mereka. Lazimnya, untuk menyenaraikan produk, tiada sebarang bayaran akan dikenakan.

 

Anda hanya perlu bayar sedikit komisen, hanya apabila produk yang anda senaraikan diplatform tersebut berjaya dijual.

Apa rasionalnya, platform ini mengenakan bayaran komisen untuk produk yang terjual?

Sebenarnya platform ini akan bantu usahawan mendapatkan jualan dengan cara membuat iklan berbayar, kempen pemasaran emel dan banyak lagi.

 

iv. Peniaga baru agak sukar untuk mendapat jualan

Trend pembeli yang gemar shopping secara online pada hari ini banyak bergantung kepada review dan juga feedback dari pelanggan terdahulu.

 

Kalau ada banyak review positif, bermakna peniaga tersebut boleh dipercayai dan produk yang dijual juga pastinya lebih berkualiti. Sebaliknya, bagaimana pula kalau peniaga tersebut masih baru, dan tak ada langsung review?

 

Sebagai langkah keselamatan, kita elakkan untuk berurusan dengan peniaga seperti ini lebih-lebih lagi kalau memang ada alternatif lain.

 

v. Customization yang agak terhad

Fungsi ini sangat penting, jika anda merupakan seorang yang kreatif. Anda pasti mahukan laman jualan untuk buku-buku anda boleh dipersembahkan dengan gaya yang unik.

 

Misalnya, dalam satu halaman anda ingin masukkan review dalam bentuk video, poster, screenshot testimoni dan sebagainya. Walaubagaimanapun, bukan semua platform membenarkan anda berbuat demikian.

 

Kaedah Alternatif – Bina dan bangunkan platform e-commerce anda sendiri

Ya, penyelesaian bagi isu-isu yang saya bangkitkan ini sebenarnya adalah bina dan bangunkan laman web jualan anda sendiri.

 

Satu ketika dulu, sewaktu platform marketplace seperti Lazada dan Shopee ini baru nak bertapak di negara kita, ia memang merupakan satu idea yang bagus untuk turut menjual di platform tersebut.

 

Masa tu, belum ramai penjual buku yang turut menggunakan platform itu.

Tapi lama-kelamaan, bila orang dah nampak peluang untuk buat duit dengan menjual di platform tersebut, akhirnya platform tersebut penuh dibanjiri dengan pilihan produk yang sama.

 

Ada banyak seller yang berbeza, menjual produk yang sama.

 

Jadi dekat sini, anda ada pilihan sama ada nak terus menghadap persaingan yang sengit itu, ataupun nak ambil langkah tambahan dan bina platform jualan anda sendiri.

 

Memang betul, membina dan membangunkan platform sendiri ini mengambil masa yang agak lama. Ia melibatkan proses membina jenama dan reputasi.

 

Namun, ianya berbaloi kerana di akhirnya anda tak perlu sentiasa bergantung harap pada pihak ketiga untuk jalankan bisnes anda sendiri.

 

(2) Guna iklan berbayar seperti FB Ads, Google Ads

Platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter membolehkan penggunanya untuk membuat iklan berbayar bagi tujuan mendapatkan capaian yang lebih luas. Melalui iklan berbayar ini, iklan anda boleh dilihat oleh kelompok audiens yang lebih besar.

 

Walaubagaimanapun, membuat iklan berbayar melalui platform media sosial ini boleh memakan kos yang agak besar dan dari segi pulangannya pula, ia mungkin tak memberikan hasil yang memberangsangkan.

 

Bila kita buat iklan di media sosial, kita perlu ambil kira pelbagai faktor.

Pertamanya, pengguna media sosial ini, mereka ingin bersosial. Mood mereka bukannya mood untuk membeli.

 

Selain itu, pengguna media sosial ini juga selalu dijadikan target untuk pelbagai jenis iklan. Ini menjadikan mereka semakin imun dengan iklan-iklan yang disasarkan kepada mereka.

Saya bukanlah nak kata iklan di media sosial langsung tak bagus. Sebaliknya, anda perlu tahu bagaimana gaya penyampaian dan penulisan iklan di media sosial, untuk dapatkan hasil yang lebih baik.

 

Kaedah Alternatif – Gunakan strategi kolaborasi dengan influencer

Sebelum anda nak terus bakar duit untuk buat iklan berbayar di platform media sosial, mungkin anda perlu tahu kewujudan kaedah pengiklanan melalui kolaborasi dengan influencer atau individu yang mempunyai pengikut setia yang ramai di media sosial.

 

Influencer ini biasanya mempunyai pengikut setia, yang percaya pada dia. Dengan menjalankan kolaborasi dengan influencer, anda juga boleh memanfaatkan kelompok audiens yang menjadi pengikut setia influencer tersebut.

 

Kaedah ini, walaupun mungkin ada kos yang terlibat namun jika ia dibuat dengan strategi yang betul, ia dapat memberikan pulangan yang lebih baik berbanding menggunakan kaedah iklan berbayar semata-mata. Lagipun, iklan dengan cara ini ianya lebih targeted.

 

(3) Guna pemasaran emel

Satu lagi kaedah pemasaran yang biasa digunakan oleh perniagaan diluar sana adalah kaedah pemasaran melalui emel. Kaedah ini memang biasa yang digunakan oleh pemilik bisnes bagi tujuan kekal berhubung dengan para pelanggan.

 

Cuba anda buka inbox email anda.

Mungkin anda juga sebenarnya biasa menerima emel-emel promosi dari perniagaan yang berbeza, misalnya dari Lazada, Shopee, PG Mall dan lain-lain.

 

Emel ini dihantar secara pukal.

Cuba bayangkan, untuk syarikat yang mempunyai database pelanggan yang besar, mungkin satu emel yang dihantar bakal diterima oleh 2 juta penerima.

 

Apabila emel tersebut sampai di inbox penerima, apa yang akan dilakukan oleh penerima emel tersebut?

Ada beberapa senario.

i. Emel tersebut akan dibaca dan penerima buat pembelian produk.

ii. Emel tersebut dibaca kemudian ditutup

iii. Emel tersebut dibaca kemudian delete

iv. Emel tersebut tak dibaca dan terus delete

 

Pemasaran emel ini sebenarnya adalah startegi yang sangat berkesan.

Namun, ia bukannya semudah tulis emel, hantar dan tunggu tempahan.

 

Alternatif – Hantar mesej yang personalized

Hantar emel atau mesej secara pukal, walaupun ianya lebih mudah dan menjimatkan masa, namun ianya kurang efektif.

 

Sebaliknya kaedah yang lebih baik adalah menghantar emel yang bersifat personalized kepada bakal dan juga pelanggan sedia ada.

 

Bagi pemilik bisnes yang memang betul-betul menyimpan database pelanggan, sepatutnya maklumat-maklumat seperti berikut sudah ada dalam tangan

i. Produk yang pelanggan pernah beli

ii. Produk yang pelanggan letak dalam shopping cart tapi masih belum bayar

 

Justeru mesej pemasaran yang bakal dihantar sepatutnya adalah sesuatu yang betul-betul relevan dan bersifat personalize dengan pelanggan tersebut sahaja.

 

Tiga cara yang saya kongsikan ini, adalah cara yang biasa digunakan oleh usahawan buku diluar sana, namun cara tersebut kurang efektif.

Walaubagaimanapun, apabila saya menulis posting ini, bukanlah niat saya untuk menyuruh anda berhenti menggunakan cara tersebut.

Bukan.

Bukan begitu matlamat saya.

 

Apa yang saya cuba sampaikan ialah, saya ingin anda nampak cara tersebut kurang efektif, ada sedikit kelemahan dan anda mungkin perlu terokai kaedah lain untuk memastikan buku-buku yang anda jual secara online sentiasa mendapat permintaan.

 

Kalau boleh saya nak elakkan situasi seperti ini berlaku kepada anda.

Anda hanya bergantung pada satu strategi semata-mata. Kemudian anda menunggu dan terus menunggu, tapi jualan masih tetap suam-suam kuku. Bisnes anda jadi seperti hidup segan mati tak mahu.

 

Sedangkan diluar sana, masih terdapat banyak lagi kaedah atau strategi jualan buku yang anda boleh praktikkan.

Tapi mungkin sebab tak ramai yang bercerita mengenai hal ini, jadi anda tak perasan atau tak tau kewujudan strategi tersebut.

 

Baiklah, kali ini kita nak tengok kaedah atau strategi lain, yang jarang orang gunakan, tapi tetap berkesan dalam membantu usahawan buku untuk buat jualan buku di internet.

 

Nak tahu apa kaedah tersebut?

Ha… kenalah teruskan pembacaan.

 

Kaedah yang lebih berkesan untuk jual buku secara online

Sebelum ini saya telahpun bercerita tentang strategi menjual buku yang memang biasa digunakan oleh usahawan buku. Kali ini, saya akan kongsikan pula beberapa cara atau strategi tambahan yang jarang orang guna, yang boleh jadi dapat membantu anda mendapatkan hasil yang lebih baik.

 

(4) Bina komuniti online

Satu cara yang sangat efektif yang boleh membantu anda untuk menjual lebih banyak buku secara dalam talian adalah dengan membina komuniti online yang mempunyai minat yang sama.

 

Dengan membina sebuah komuniti yang mempunyai minat yang sama, anda mempunyai peluang yang cerah untuk mempunyai pengikut yang setia dengan perkongsian yang bakal anda hasilkan dimasa hadapan. Jika anda membuat reccomendation tajuk buku, anda juga ada peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan jualan.

 

Bagi tujuan membina komuniti online ini, anda boleh pertimbangkan untuk wujudkan facebook group yang berfokus kepada niche tertentu.

 

Kenapa pilih untuk bina komuniti melalui Facebook Group dan bukannya Facebook Fanpage?

Ini merupakan satu perbincangan yang agak menarik dan agak panjang.

 

Saya juga sebenarnya lebih suka untuk bina komuniti melalui platform group atas beberapa sebab iaitu

i. FB group memberikan persekitaran yang lebih bersifat personal berbanding fanpage yang lebih terbuka

ii. Orang join group kerana minat dengan perbincangan dan konten yang bersifat eksklusif

iii. Fungsi group itu sendiri ada pelbagai dan memudahkan untuk proses membina komuniti

 

Saya berikan anda contoh beberapa komuniti atau group yang ada di facebook. Untuk makluman anda, group yang saya tunjukkan dibawah ini adalah group mengenai aktiviti camping di Malaysia.

Jadi, bagi mereka yang memang meminati aktiviti sedemikian, pasti akan turut minat untuk join group seumpama ini.

 

Adakah proses membina komuniti online ini mudah?

Sudah tentu jawapannya tidak.

 

Walaupun pemasaran menerusi kaedah membina komuniti ini sangat efektif, namun untuk peringkat awal, ia boleh jadi satu cabaran yang agak besar bagi mencari individu yang mempunyai minat yang sama.

 

Kalau anda rasa sukar untuk bina sendiri komuniti anda, mungkin anda patut pertimbangkan untuk menjalankan kolaborasi dengan mereka yang anda kenali, dan memiliki minat yang sama.

 

Biasanya group yang besar ini juga bermula dengan hanya ada beberapa orang ahli.

Tapi dengan bertambahnya ahli, serta dengan adanya perkongsian yang berkala, ia boleh menjadi besar dan menarik lebih ramai orang untuk menyertai group komuniti tersebut.

 

Alternatif – Manfaatkan group sedia ada

Tapi anda mungkin tak ada masa nak tunggu lama, nak bina komuniti anda sendiri, semata-mata untuk jual buku di internet. Betul tak?

 

Jika anda tak minat nak bina group anda sendiri, masih ada lagi cara lain yang anda boleh lakukan, iaitu anda manfaatkan group sedia ada. Strategi ini masih lagi berlegar dalam ruang lingkup membina kolaborasi dengan pemilik atau admin group yang anda rasakan sesuai.

 

Anda hubungi pemilik group tersebut, dan nyatakan hasrat anda untuk bekerjasama.

Tanya admin jika mereka minat nak bantu anda jual buku.

 

Admin ini sudah ada audiens yang besar. Sesetengah group ahlinya sampai mencecah puluhan malahan ada yang mencecah ratusan ribu ahli.

 

Kalau admin berminat, dia boleh bantu promosikan buku yang anda jual di group kendaliannya. Bukannya semua buku, tetapi buku yang betul-betul relevan dengan group itu sahaja.

 

Ahli group yang minat nak beli buku, dia boleh berurusan dengan admin untuk tempahan.

Katakanlah harga buku ialah RM30 + RM7 penghantaran. Total kena bayar ialah RM37.

 

Anda boleh tawarkan dekat admin mungkin harga RM27 + RM7 penghantaran. Total ialah RM34.

Ini bermakna untuk satu buku, keuntungan yang boleh dihasilkan oleh admin group adalah RM3.

 

Ya, jual buku ini untungnya bukanlah tinggi sangat.

Kadang-kadang untuk sebuah buku, kadar untungnya adalah sekitar 10% – 20% sahaja.

 

(5) Cipta konten yang menarik

Strategi content marketing ini juga sebenarnya adalah satu strategi yang sangat efektif dalam menghasilkan jualan buku dan menarik minat pelanggan baru.

 

Menerusi kaedah ini, kita akan hasilkan konten yang mempunyai nilai, bermanfaat dan relevan dengan audiens yang kita sasarkan untuk menjadi pembeli buku kita. Konten yang dihasilkan boleh disiarkan sama ada di platform blog, media sosial ataupun platform perkongsian video seperti Youtube dan juga tiktok.

 

Dalam strategi content marketing khusus untuk jual buku ini, ada beberapa yang anda boleh lakukan.

(1) Hasilkan review buku

Pembaca boleh membuat penilaian sama ada sesebuah buku itu bagus atau tidak, menarik atau sebaliknya, berdasarkan pada review yang dia baca dari pihak ketiga.

 

Menulis review atau ulasan buku ini juga ada skilnya yang tersendiri. Biasanya kalau penulis review itu ikhlas dan memang menulis dari hati, pembaca akan jadi tertarik untuk beli dan baca buku yang direview tersebut.

 

Sebaliknya kalau review pun matlamatnya seolah-olah nak menjual semata-mata, maka agak sukar untuk review tersebut membantu untuk dapatkan jualan.

 

Saya berpendapat, review yang bagus perlulah ditulis oleh orang yang dah baca dan faham kandungan buku tersebut. Kemudian, tulislah review tersebut dari hati. Kalau bagus katakan bagus, kalau ada kekurangan katakan sahaja ianya ada kekurangan.

 

Setiap buku yang ditulis lazimnya ada target audiens yang tersendiri. Mungkin kurang bagus buat kita, sebab ilmu kita lebih tinggi berbanding konten yang dimuatkan dalam buku tersebut. Sebaliknya, buku yang sama sebenarnya bagus untuk mereka yang baru nak mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut.

 

(2) Story selling

Story selling ini sebenarnya adalah satu kaedah menjual menggunakan suatu cerita. Cerita yang bakal digunakan adalah sama ada kisah betul, berdasarkan kisah betul atau sekadar rekaan.

 

Apa yang lebih utama adalah kisah yang diceritakan itu benar-benar menarik minat audiens sehinggakan ia mampu untuk membuatkan audiens anda rasa tersentuh dan ingin membeli buku yang anda jual.

 

(3) Interview bersama penulis

Siapakah individu yang paling tahu dan paling faham tentang suatu karya atau buku yang diterbitkan?

Pada saya, individu tersebut adalah penulis buku tersebut.

 

Saya ada tabiat beli buku sebab saya kenal siapa penulisnya. Bukan itu sahaja, saya juga ada kecenderungan untuk jadikan buku yang ditulis oleh penulis yang saya kenal sebagai koleksi. Bagi saya, itu merupakan satu kepuasan apabila dapat mengumpul kesemua buku hasil tulisan penulis yang saya minat.

 

Maka dekat sini, jika anda mampu untuk dapatkan satu sesi interview bersama dengan penulis asal buku yang anda jual, ini juga boleh dijadikan sebagai satu konten yang baik.

 

Interview ini boleh jadi dalam bentuk secara bersemuka, secara video call atau hanya melalui panggilan telefon.

Manakala konten yang boleh anda hasilkan nanti, boleh jadi dalam bentuk video ataupun artikel.

 

Mana-mana bentuk konten pun bagus, asalkan sesi interview itu memang benar-benar berlaku dan bukannya rekaan atau hasil imaginasi anda semata-mata.

 

(4) Buat blog khusus untuk mempromosikan buku

Adakah buat blog bagi tujuan untuk dapatkan jualan buku diinternet ini merupakan idea yang bagus?

 

Pertama sekali kita perlu tahu, apakah fungsi blog?

Kemudian kita perlu tahu bagaimana platform blog itu sendiri boleh mainkan peranan untuk menyumbangkan jualan kepada produk yang anda jual.

 

Saya faham, bukan semua orang ada kesempatan untuk guna semua kaedah yang saya syorkan dalam posting ini. Tapi, andai kata anda memang ada kemampuan untuk lakukan apa yang sarankan, saya galakkan anda juga cuba gunakan blog sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran anda.

 

Platform blog ini sangat bagus dari segi mendapatkan pelawat atau trafik yang berpunca dari laman search engine, seperti Google, Yahoo dan juga Bing. Kaedah pemasaran ini kita namakan sebagai Search Engine Optimization (SEO).

 

Melalui kaedah SEO ini, blog anda akan terus menerus menerima pelawat apabila konten yang anda hasilkan telah berjaya masuk ke halaman pertama google bagi kata kunci tertentu. Dalam keadaan ini, anda akan terus dapat trafik (pelawat) walaupun anda dah agak jarang buat kerja-kerja pemasaran.

(6) Tawaran promosi diskaun

Strategi diskaun ini merupakan satu lagi cara yang berkesan untuk menarik pelanggan baru untuk membeli dari bisnes online anda.

 

Strategi memberi diskaun ini memang bagus, namun ia tak boleh digunakan selalu. Kalau anda selalu beri diskaun ia boleh memberikan implikasi yang kurang baik, misalnya pelanggan hanya akan menunggu anda buat diskaun dulu, baru mereka ini akan buat pembelian.

 

Sebaliknya strategi beri diskaun ini sesuai kalau kita tawarkan hanya kepada pelanggan baru sahaja.

 

Selain itu, diskaun ini jika anda ingin lakukan, boleh lakukan hanya bersempena dengan acara tertentu. Bukannya dilakukan setiap masa.

i. Diskaun sempena musim cuti sekolah

Diskaun ini kita target kategori pembaca yang masih bersekolah. Buku-buku baru ini boleh dijadikan bahan bacaan sepanjang mereka bercuti. Pastikan juga judul buku yang bakal kita berikan diskaun itu nanti sesuai dengan target pembaca kita.

 

ii. Diskaun untuk pembelian secara pukal

Diskaun ini hanya boleh dinikmati jika pelanggan beli buku secara pukal. Lagi banyak pelanggan beli, lagi banyak diskaun yang dia boleh nikmati.

 

iii. Servis penghantaran percuma

Kadang-kala, caj penghantaran ini boleh membuatkan pelanggan jadi berat hati untuk buat pembelian buku. Jika anda boleh berikan servis penghantaran percuma, mungkin pelanggan anda akan lebih senang untuk buat pembelian.

 

Tapi bagaimana pula kalau anda tak mampu nak tawarkan servis free delivery ini?

Saya cadangkan anda turut menjual melalui platform yang biasa tawarkan promosi free delivery seperti Lazada, PG Mall, dan juga Shopee. Kos penghantaran akan diserap oleh pemilik platform sepanjang tempoh promosi.

 

iv. Diskaun untuk masa terhad

Diskaun ini anda hanya tawarkan untuk masa terhad seperti hanya sah untuk tempoh 48 jam sahaja. Letakkan juga timer pada halaman jualan untuk rujukan pelanggan berapa lama masa yang masih berbaki.

 

(7) Peka dengan trend semasa

Dalam dunia perniagaan hari ini, anda perlu siap-sedia untuk berperang bagi merebut perhatian bakal pelanggan. Sebab itu kalau anda perasan, kita perlu susun strategi yang benar-benar mantap seolah-olah kita ingin memenangi suatu pertempuran.

 

Apakah trend penggunaan smartphone atau gadget pada hari ini?

Laman web atau platform apakah yang sering menjadi pilihan pengguna?

 

Katakanlah, pada hari ini pengguna smartphone banyak habiskan masa untuk menonton video-video yang dimuat naik di platform Tiktok.

Mereka yang berpotensi untuk jadi pelanggan anda juga tergolong dalam kelompok ini.

 

Setelah mengetahui hakikat ini, adakah anda memilih untuk tak buat apa-apa, atau anda juga akan mula mencipta konten bagi tujuan mendapatkan pelanggan dari segmen pengguna Tiktok?

Biasanya pengguna terawal (early adopter) ada peluang yang lebih cerah untuk raih perhatian dan dapatkan lebih banyak pengikut, berbanding orang yang lambat bertindak.

 

(8) Gunakan strategi pemasaran yang efektif

Mungkin setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai strategi pemasaran yang efektif ini. Kemudian, ia juga mungkin ada sedikit bias mengikut kecenderungan dan minat individu tersebut.

 

Kalau dalam situasi saya sendiri, saya suka gunakan kaedah content marketing dalam pemasaran. Tapi pada orang lain, mungkin dia merasakan kaedah ini kurang berkesan dan ambil masa yang sangat lama untuk nampak hasilnya.

 

Pada saya, aktiviti pemasaran itu perlu dilakukan setiap hari tanpa henti.

Jika anda merasakan menjalankan aktiviti pemasaran setiap hari itu agak memenatkan, bermakna anda perlu cari alternatif.

 

Apakah alternatif bagi perlu buat kerja marketing setiap hari?

Jawapannya adalah gunakan strategi pemasaran yang memerlukan anda buat marketing sekali, tapi kesannya boleh dilihat setiap hari.

 

Tapi persoalannya, apakah strategi marketing yang memenuhi kriteria seumpama ini?

Saya berpendapat, ada dua strategi, iaitu

i. Strategi content Marketing

ii. SEO

 

Kalau anda boleh lakukan pemasaran seperti ini, bisnes menjual buku yang anda jalankan pasti akan terus menerus menerima pelawat.

 

Kesimpulan

Bisnes menjual buku adalah satu bentuk perniagaan yang boleh memberikan pulangan dan keuntngan yang lumayan. Sudah tentu, ia perlu dilakukan dengan betul dan berstrategi.

 

Bagi usahawan buku, yang mempunyai stok buku dalam tangan, mereka mempunyai lebih flexibility untuk mempelbagaikan kaedah jualan. Ya, dia boleh pilih untuk fokus pada kaedah offline atau gabungkan dengan kaedah online.

 

Dalam era digital sekarang, saya berpandangan semua orang perlu ada kemahiran untuk membuat jualan secara online.

Tak kiralah sama ada anda menggunakan media sosial, blog, laman web jualan ataupun platform e-commerce marketplace.

 

Apa yang penting, anda tidak hanya mengharapkan pada pelanggan yang melangkah masuk ke premis perniagaan anda semata-mata. Kalau kebetulan pada hari tertentu, jumlah pelanggan yang masuk agak kurang, maka jualan anda pada hari tersebut juga agak rendah.

 

Walaupun bila kita buat jualan diinternet, akan ada hari-hari tertentu yang jualan kita agak perlahan, namun setidak-tidaknya, kita bukan hanya bergantung kepada pelanggan yang keluar masuk ke premis perniagaan kita sahaja. Sasaran pelanggan kita lebih luas.

 

Tapi kalau kita boleh gabungkan, jualan dari pelanggan yang masuk ke premis kedai dengan jualan dari tempahan online, ia mungkin boleh berikan pendapatan yang lebih baik, berbanding hanya bergantung harap pada satu kaedah semata-mata.

 

Untuk membina perniagaan yang kukuh, ia perlukan masa. Begitulah juga dengan perniagaan buku. Namun, dengan menggunakan strategi yang betul beserta dengan komitmen yang tak berbelah bahagi untuk berjaya dalam bisnes ini, In Shaa Allah anda juga pasti boleh hasilkan kejayaan.

 

Saya harapkan apa yang saya kongsikan menerusi posting ini bermanfaat dan membantu dan memberi impak positif terhadap perniagaan buku yang anda jalankan.

 

 

 

Exit mobile version