Blog Sabree Hussin

Pengenalan kepada Ekonomi Perkongsian

Apakah yang dimaksudkan dengan Ekonomi Perkongsian?

Pernahkah anda mendengar istilah ekonomi perkongsian sebelum ini?

 

Sama ada sedar ataupun tidak, konsep ekonomi perkongsian sebenarnya sudah lama wujud disekeliling kita.

 

Boleh jadi, anda juga pernah terlibat dalam ekosistem ekonomi perkongsian, sama ada sebagai pengguna ataupun sebagai individu yang memberikan perkhidmatan.

Dalam dunia yang semakin canggih dari segi teknologinya, ekonomi perkongsian semakin mula diterima dan muncul sebagai suatu penyelesaian kepada beberapa masalah yang kita hadapi bersama.

 

Ekonomi perkongsian mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan ia sedang memberi pengaruh terhadap cara kebiasaan kita semua dalam mengakses, mengurus dan menggunakan sumber, barangan ataupun perkhidmatan.

 

Perbincangan kali ini, kita akan menyentuh mengenai konsep perkongsian ekonomi, ciri utamanya, faedah, cabaran dan kesannya yang dilihat berupaya untuk mengganggu-gugat (disruptive) terhadap industri tradisional.

 

Bukan semua orang suka dengan konsep yang dibawakan dalam semangat perkongsian ekonomi ini. Ada pihak yang tak suka, dan antara sebabnya adalah konsep perkongsian ini mampu untuk memberi implikasi negatif terhadap operasi perniagaan mereka.

 

Konsep Ekonomi Perkongsian

Ekonomi perkongsian sebenarnya bukanlah suatu konsep yang baru.

 

Konsep ini telahpun wujud sejak bertahun-tahun dahulu, namun ianya mungkin tidak dipopularkan atau digelar dengan istilah ekonomi perkongsian.

 

Walaubagaimanapun, dengan berkembangnya teknologi dan terciptanya beberapa platform, ini secara tak langsung telah membantu mempopularkan lagi konsep ekonomi perkongsian dalam bentuk yang mudah difahami.

 

Ekonomi perkongsian adalah mengenai cara kita mengakses dan memanfaatkan aset terbiar, barangan dan kemahiran individu, yang dihubungkan atau dikuasakan melalui platform digital.

 

Ada tiga ciri yang dilihat ada pada konsep ekonomi ini.

(1) Peer-to-peer interaction

Pengguna berinteraksi secara terus dengan pemilik aset tanpa melalui orang tengah.

 

Namun cara ini ada sedikit kelemahan kerana kebiasaanya kita hanya akan berinteraksi dengan orang yang kita kenali atau kawan rapat sahaja.

 

Kalau untuk berurusan dengan individu lain yang kita tak kenali, dan individu tersebut mempunyai aset yang kita perlukan, ianya agak terbatas, kerana wujudnya halangan seperti kepercayaan dan sebagainya.

 

(2) Kemudahan teknologi

Platform sama ada dalam bentuk website atau mobile apps yang dibangunkan oleh syarikat tertentu, mampu untuk menghubungkan pengguna dengan pemilik aset dengan begitu efisien.

 

Platform yang dibangunkan ini mampu untuk memproses pembayaran, reputasi setiap ahli, perkongsian maklumat, peluang buat duit melalui penyertaan sebagai ejen pemasaran dan sebagainya.

 

(3) Penggunaan sumber

Sesuatu aset, atau kemahiran (kepakaran individu) boleh digunakan dan dimanfaatkan secara optimum.

 

Sebagai contoh, pemilik kereta boleh menyewakan kereta miliknya jika pada sesuatu masa itu, dia tidak menggunakan kenderaan tersebut.

 

Manakala bagi individu yang memang jarang menggunakan kereta sebagai pengangkutan, mereka tak perlu beli kereta dan menanggung hutang bank untuk jangka masa yang lama. Jika ada keperluan untuk memandu kereta, mereka boleh sewa sahaja.

 

Individu yang mempunyai kepakaran tertentu, boleh menjual kepakaran yang ada pada dirinya kepada sesiapa sahaja, tanpa perlu bekerja untuk sesebuah syarikat untuk jangka masa lama.

 

Sektor terlibat dalam perkongsian ekonomi

Ada beberapa sektor yang kita boleh lihat terlibat secara langsung dan beroperasi menerusi konsep perkongsian ekonomi. Antaranya adalah seperti

 

(1) Pengangkutan

Konsep perkongsian kenderaan telahpun wujud melalui syarikat seperti Uber, Grab dan lain-lain program ride-sharing diluar sana.

 

(2) Penginapan & Percutian

Perkongsian rumah seperti yang dilakukan oleh syarikat seperti Airbnb.

 

(3) Platform jualan

Para usahawan tidak perlu lagi membina laman web atau platform perniagaan. Sebaliknya mereka boleh menggunakan platform sedia ada yang lebih popular, misalnya seperti

i. Lazada

ii. Shopee

iii. PG Mall

Baca juga: Pengenalan kepada bisnes PG Mall 

 

(4) Perkhidmatan 

Individu yang mempunyai kemahiran atau skil tertentu, misalnya seperti

i. Kemahiran baik pulih

ii. Kemahiran pemasaran

iii. Kemahiran design

iv. Kemahiran menulis

 

Boleh menawarkan kepakaran mereka sebagai satu bentuk perkhidmatan kepada individu atau syarikat lain yang mungkin berminat untuk dapatkan khidmat tersebut.

 

Kalau satu masa dulu, mana-mana syarikat atau individu yang memerlukan tenaga kerja dan kepakaran tertentu, perlu mengupah seorang pekerja untuk bekerja dengan mereka secara sepenuh masa.

 

Namun, dengan berkembangnya teknologi seperti sekarang ini, kita boleh mengupah orang lain untuk bekerja dengan kita on job basis. Siap sahaja job tersebut, kita dah tak perlukan khidmat dan kepakaran individu tersebut lagi.

 

(5) Perkongsian ilmu

Kalau dalam konteks perkongsian ilmu pula, pada hari ini kita boleh menimba dan mendapatkan ilmu dari pelbagai sumber.

 

Kita sedia maklum, bukan semua orang mempelajari sesuatu ilmu itu inginkan pengiktirafan, persijilan dan sebagainya. Mereka ini mungkin perlukan ilmu tersebut kerana ingin terus praktikkan perkara tersebut.

 

Individu seperti ini tak perlu melalui kaedah yang biasa dilakukan sebelum ini, contohnya seperti ikuti kelas, masuk ke kolej dan universiti. Mereka ini boleh langkau langkah untuk dapatkan sijil, diploma dan juga ijazah.

Ini dapat menjimatkan banyak masa dan tak perlu ikuti sesi pembelajaran secara formal yang boleh memakan masa bertahun-tahun lamanya.

 

Selain dari itu, dari segi kos, ia juga lebih murah.

 

Kelebihan ekonomi perkongsian

Seterusnya kita akan lihat apakah manfaat yang boleh diperolehi menerusi konsep ekonomi ini. Bagi tujuan tersebut, kita akan cuba melihat dari sudut pandang seorang pengguna, dan juga melalui perspektif pemilik aset.

 

Dari perspektif pengguna

Kita akan mulakan dari sudut pandang seorang pengguna terlebih dahulu.

 

(1) Penjimatan dari segi kos

Pengguna mendapat manfaat dalam bentuk penjimatan. Perkongsian kenderaan adalah lebih murah berbanding kos untuk memiliki sebuah kenderaan.

 

Menyewa sesuatu aset atau barangan yang ingin digunakan, itu lebih murah berbanding beli baru. Lagipun, belum tentu barangan yang dibeli itu akan digunakan untuk tempoh masa yang lama.

 

Kadang-kadang kita hanya akan gunakan ia sekali sahaja dan selepas itu ianya akan disimpan dalam stor.

 

(2) Memudahkan urusan

Pengguna mudah untuk mendapat akses kepada perkhidmatan yang mereka perlukan.

 

Pengguna boleh membuat tempahan untuk mendapatkan pengangkutan ke destinasi tertentu, menempah tempat penginapan dan mendapatkan perkhidmatan tertentu dari individu lain yang lebih pakar melalui penggunaan mobile apps sahaja.

 

Dekat sini, teknologi amat memainkan peranan untuk menghubungkan antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan.

 

(3) Akses penggunaan tanpa perlu membeli

Pengguna boleh mendapatkan dan menggunakan servis tertentu tanpa perlu menanggung beban komitmen jangka panjang untuk menjadi pemilik aset tersebut.

 

Perspektif Penyedia perkhidmatan

Seterusnya kita akan lihat dari sudut pandang individu yang bertindak sebagai penyedia perkhidmatan. Mereka ini juga adalah individu yang merupakan pemilik kepada aset yang bakal dikongsikan.

 

(1) Peluang untuk menjana pendapatan

Individu yang mempunyai aset yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna lain, berpeluang untuk mencipta sumber pendapatan baru dengan menyewakan aset tersebut.

 

Kalau sebelum ini, aset tersebut hanya terbiar dan ada kebarangkalian untuk jadi reput, rosak dan sebagainya. Kini aset yang sama, boleh menjana pendapatan kepada pemiliknya.

 

(2) Manfaatkan aset terbiar

Pemilik aset boleh jana pendapatan melalui aset tersebut.

 

Pengguna lain yang mungkin hanya akan menggunakan sesuatu aset untuk sekali kegunaan sahaja, tak perlu berbelanja besar untuk memiliki aset yang sama.

 

Individu ini terlepas daripada menjadi salah seorang yang mempunyai aset terbiar.

 

(3) Keusahawanan

Ekonomi perkongsian ini juga membuka ruang untuk pemilik aset membina perniagaan bersaiz kecil. Konsep yang digunakan adalah konsep sewaan terhadap aset yang dimiliki.

 

Kalau sebelum ini, dia mungkin hanya sewakan satu jenis aset sahaja.

 

Tapi lama kelamaan jumlah aset yang dia boleh sewakan boleh dipelbagaikan, bergantung kepada permintaan yang diterima.

 

Cabaran ekonomi perkongsian

Ekonomi perkongsian juga berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum ia benar-benar diterima secara menyeluruh.

 

(1) Isu kawal selia dan penguatkuasaan

Ekonomi perkongsian ini sebenarnya berkembang melalui konsep permintaan dan penawaran (demand & supply).

 

Apabila permintaan itu tinggi, manakala penawaran pula rendah, maka kos untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut akan jadi lebih mahal.

 

Namun demikian, bagaimana kalau satu hari nanti, ada banyak orang mula menawarkan perkhidmatan yang sama, menjadikan tawaran lebih banyak berbanding permintaan?

 

Ya, jawapannya ialah kos untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut akan jatuh lebih rendah.

Atau dalam kata lain, kadar upah yang bakal diperolehi oleh penyedia perkhidmatan jadi makin rendah.

 

Disebabkan itu, beberapa kali berlaku keadaan dimana wujud tekanan dan gesaan kepada pihak kerajaan untuk memantau, mengawalselia dan campur tangan.

 

Saya pula berpendapat, sebarang bentuk campur tangan, akan mengganggu keseimbangan dari segi demand and supply. Ia mungkin menguntungkan kelompok tertentu untuk jangka masa pendek, namun untuk jangka masa panjang, ia mungkin menyebabkan kesan yang kurang baik.

 

(2) Status pekerja

Individu yang bekerja dalam ekosistem ekonomi perkongsian, atau ekonomi gig, sama ada sebagai pemandu, penghantar makanan dan sebagainya, adakah mereka ini dikira sebagai seorang kontraktor bebas ataupun pekerja bagi syarikat tersebut?

 

Jika dianggap sebagai pekerja, maka pihak syarikat perlu memberikan benefit yang sama seperti mana yang dinikmati oleh pekerja syarikat mereka yang lain.

 

Tapi jika mereka ini dianggap sebagai kontraktor, maka mereka ini tak perlu diberi layanan dan manfaat yang sama seperti mana yang dinikmati oleh pekerja sepenuh masa.

 

Kenapa orang nak masuk dalam ekonomi gig dan bekerja sebagai freelancer?

Saya percaya, jawapan yang paling popular adalah disebabkan seseorang itu inginkan kebebasan bekerja dan tak terikat dengan satu majikan.

 

Dia mahukan kebebasan untuk bekerja dimana-mana sahaja.

Dia mahu kebebasan untuk bekerja mengikut masa yang ditetapkan.

Dia mahu kebebasan untuk memilih jenis kerja yang dia mahu lakukan.

 

Sebaliknya, kalau dia jadi pekerja sepenuh masa, kebebasan itu semakin berkurangan dan dia perlu ikut sahaja apa yang diminta oleh pihak majikan.

 

Atas sebab inginkan kebebasan, maka dia memilih untuk menjadi pekerja bebas dan menjadi freelancer.

 

Agak janggal, bila seseorang itu memilih kebebasan, tapi pada masa yang sama mengharapkan manfaat yang sama, yang diperolehi oleh golongan yang bekerja sepenuh masa.

 

(3) Kepercayaan dan keselamatan

Masalah kepercayaan dan penipuan juga antara perkara yang menjadi pertikaian dalam konsep ekonomi perkongsian ini.

 

Bagaimana kalau individu yang bakal memberikan perkhidmatan itu nanti menipu?

Bagaimana kalau individu yang bakal memberikan khidmat itu nanti, tidak mempunyai kepakaran yang bagus?

 

Mujurlah dalam platform yang dibangunkan oleh syarikat, yang menghubungkan antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan ini, lazimnya ada sistem rating dan review.

 

Kita boleh baca apakah rating penyedia perkhidmatan. Kalau baik reviewnya, maka kita lebih yakin untuk berurusan dengan individu tersebut.

 

(4) Gangguan terhadap ekonomi tradisional 

Kewujudan perniagaan yang berteraskan ekonomi perkongsian dilihat mampu untuk mengganggu gugat aktiviti ekonomi pemain semasa.

 

Sebagai contoh, konsep GRAB atau lain-lain syarikat ride-sharing memberi ancaman yang sangat besar terhadap industri teksi.

Konsep Airbnb juga sebenarnya memberi saingan dan impak yang negatif terhadap pengusaha bisnes hotel dan juga resort.

 

(5) Akses terhad

Seperti lain-lain konsep ekonomi, saya kira tak salah rasanya kalau kita katakan yang sebenarnya konsep ekonomi perkongsian ini juga sebenarnya bukanlah suatu konsep yang sempurna.

 

Walaupun satu masa nanti, konsep ini akan berkembang, pasti akan wujud kelompok yang tak menerima manfaat dari perkembangan konsep ini.

 

Oleh kerana konsep ini sebenarnya sangat bergantung kepada teknologi, maka golongan yang

1. Tidak mempunyai akses yang baik terhadap sambungan internet

2. Mereka yang tidak mempunyai peranti dan peralatan yang bersesuaian

3. Mereka yang tidak mempunyai skil berkaitan bidang digital

 

Mereka ini akan jadi golongan yang tercicir dan tak dapat memanfaatkan konsep perkongsian ekonomi ini dengan sepenuhnya.

 

Kesan dari segi sosial

Kita ingin lihat, apakah kesan yang kita boleh lihat daripada kewujudan ekonomi perkongsian ini.

 

(1) Peluang penjanaan pendapatan

Ekonomi perkongsian memperkasakan individu dengan menyediakan peluang untuk menjana pendapatan.

 

Kalau sebelum ini, orang kata susah nak cari kerja, susah nak jana pendapatan… Kini dengan adanya konsep ekonomi perkongsian, kerja ada sangat banyak.

 

Terpulang pada individu sama ada sanggup ataupun tidak untuk mula bekerja.

Walaubagaimanapun, setiap orang akan menikmati pendapatan yang berbeza-beza, kerana tidak semua orang mendapat manfaat yang sama.

 

Sebagai contoh, pendapatan seorang rider misalnya adalah berbeza dikawasan bandar berbanding di kawasan kampung atau pedalaman.

 

Ia berkait rapat dengan tabiat pengguna, sama ada mereka ini lebih cenderung untuk memesan makanan dari luar atau masak sendiri dirumah.

 

(2) Mengubah tanggapan terhadap pekerjaan

Dengan berkembangnya ekonomi gig, ia mengubah tanggapan sesetengah golongan terhadap pekerjaan sepenuh masa.

 

Mereka akan melihat kerja dalam bidang gig ekonomi adalah lebih baik atas beberapa pandangan, iaitu

i. Boleh buat lebih banyak duit

ii. Tak perlu melalui proses temuduga yang terlalu lama

iii. Tak perlu masuk kolej atau universiti untuk dapat gaji ribuan ringgit

iv. Tak perlu ada sijil

Sudah tentu tanggapan seperti ini ada kesan negatifnya.

 

Untuk jangka masa panjang, negara kita akan kekurangan generasi muda yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi, jika situasinya menunjukkan anak muda lebih cenderung untuk memasuki ekonomi gig berbanding menjadi golongan profesional.

 

Apa sebenarnya yang dikongsikan?

Sebelum kita tutup perbincangan disini, mungkin kita patut berhenti sejenak dan fikirkan jawapan bagi persoalan iaitu

“Dalam konteks ekonomi perkongsian, apakah sebenarnya yang dikongsikan dalam ekosistem tersebut?”

 

Kalau dalam konteks Airbnb, Uber, Grab dan sebagainya, apa yang dikongsikan sebenarnya adalah manfaat yang diperolehi hasil daripada menggunakan aset tersebut.

 

Kalau perkongsian kenderaan, kita boleh dapat manfaat pengangkutan yang selamat yang membawa kita dari point A ke point B.

 

Kalau perkongsian tempat kediaman melalui Airbnb, kita dapat manfaat menginap dilokasi yang strategik dan merasai pengalaman percutian yang menarik.

 

Kalau dilihat dari sudut penawaran perkhidmatan atau kepakaran, apa yang dikongsikan sebenarnya adalah kepakaran individu tersebut.

 

Jadi pada asasnya, dalam ekonomi perkongsian ini, apa yang dikongsikan sebenarnya adalah manfaat dari penggunaan sesuatu aset, dan juga skil yang dimiliki oleh seseorang individu yang sebelum ini mungkin terbiar.

 

Walaubagaimanapun, saya percaya ekonomi perkongsian ini sebenarnya masih ada ruang untuk melalui banyak lagi proses inovasi. Mungkin satu hari nanti, kita boleh lihat akan ada banyak lagi syarikat dan perniagaan baru yang diperkenalkan yang membawa semangat perkongsian dalam operasi perniagaan mereka.

 

Bila bercakap mengenai topik ini, saya rasa tak lengkap kalau saya tak sebut mengenai syarikat PG Mall Sdn Bhd yang sebenarnya ada menggunakan konsep ekonomi perkongsian dalam perniagaan yang mereka jalankan.

 

Satu kelainan yang mereka bawakan ialah, mereka bukan semata-mata menawarkan orang ramai untuk menggunakan teknologi platform jualan yang mereka bangunkan, malahan mereka turut berkongsi peluang kepada orang ramai untuk berkongsi keuntungan dengan mereka.

 

Program ini dinamakan sebagai PG Mall Consumerchant.

[Anda boleh daftar melalui pautan ini]

Setiap pengguna dan pelanggan yang menggunakan platform ini, secara automatik boleh menyertai program consumerchant.

 

Peranan anda hanyalah kongsikan link referral dan ajak seberapa banyak individu yang belum pernah jadi ahli, untuk mendaftar dan mula menggunakan platform PG Mall untuk membeli belah.

 

Menariknya dengan program ini ialah, pihak PG Mall akan berkongsi setiap keuntungan yang terhasil daripada pembelian yang dilakukan oleh setiap ahli yang kita ajak untuk jadi pengguna.

 

Perkongsian keuntungan ini akan terus berlaku sampai bila-bila.

Kalau pengguna tersebut buat pembelian setiap bulan, maka setiap bulan itu jugalah pihak PG Mall akan kongsikan keuntungan dengan kita.

 

Pada saya, ini merupakan suatu konsep perkongsian yang sangat menarik.

 

Setakat waktu catatan ini saya tulis, tak ada lagi syarikat lain yang berani tawarkan perkongsian keuntungan seumur hidup seperti yang dipraktikkan oleh PG Mall.

 

Namun saya percaya, jika konsep perkongsian keuntungan untuk seumur hidup ini dilihat berjaya, pasti akan ada syarikat atau perniagaan lain yang akan mula menjadikan syarikat ini sebagai contoh dan akan mula menawarkan struktur komisen yang lebih kurang sama.

 

Setakat ini, apa yang saya perhatikan ada banyak syarikat mula mempraktikkan struktur komisen berperingkat, ala-ala bisnes Multi Level Marketing (MLM).

 

Struktur komisen berbilang peringkat ini secara tak langsung dapat memikat orang ramai untuk turut serta dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak syarikat.

 

Apabila banyak orang mula turun padang dan mempromosikan syarikat, maka syarikat tersebut juga akan mula berkembang dengan lebih pantas.

 

Adakah anda akan jadi sebahagian dari ekonomi perkongsian?

Persoalannya ialah, adakah anda akan ambil bahagian dan menjadi salah seorang yang terlibat dalam ekonomi ini?

 

Ada banyak perkara baru yang diperkenalkan dibawah payung ekonomi perkongsian ini.

 

Namun jika anda tidak rebut peluang dan manfaatkannya, konsep ini hanya akan jadi satu lagi teori ekonomi yang langsung tak memberi impak positif kepada anda.

 

Satu ketika dulu, untuk orang biasa masuk dalam industri tertentu, dia memerlukan modal yang sangat besar.

 

Sebagai contoh, nak masuk dalam industri pelancongan, nak masuk dalam bidang jualan e-commerce dan sebagainya. Semua ini memerlukan modal yang besar.

 

Tapi dengan adanya konsep perkongsian ekonomi ini, semua ini jadi lebih mudah untuk orang biasa yang tak mempunyai modal yang besar untuk turut serta dan dapatkan sedikit manfaat.

 

Kesimpulan

Ekonomi perkongsian membawa perubahan yang begitu ketara dalam cara kita mengakses dan menggunakan sesuatu sumber.

 

Konsep ekonomi ini sebenarnya membawa banyak faedah, dalam bentuk penjimatan dari segi kos dan banyak lagi. Namun pada masa yang sama, ia juga menimbulkan cabaran dan rasa kurang senang terhadap pemain semasa dan ini memerlukan peraturan dan penyelesaian yang bijak.

 

Memandangkan konsep ekonomi perkongsian ini akan terus berkembang, dan pada satu masa nanti tak mustahil untuk kita dapat lihat banyak lagi bentuk perkongsian akan diwujudkan.

 

Namun, apa yang lebih penting adalah untuk kita memastikan ia memberi manfaat kepada keseluruhan dan bukannya hanya untuk mengkayakan lagi sekelompok kecil golongan kaya dan elit semata.

 

Peluang seperti ini sepatutnya memberi peluang kepada orang ramai dan masyarakat kebanyakkan untuk turut membina kekayaan dan memperbaiki kualiti hidup.

 

 

Exit mobile version