Blog Sabree Hussin

Panduan mencari pembekal yang boleh dipercayai untuk bisnes dropship di Shopee

Melalui konsep dropship, anda boleh memulakan bisnes di Shopee pada hari ini juga tanpa perlu risau tentang bab modal.

 

Adakah ini bermaksud anda boleh berbisnes di Shopee tanpa perlu menyediakan modal langsung? Jawapannya boleh jadi ya dan juga tidak.

 

Realitinya, kalau dah nama bisnes, pasti kena ada modal. Sama ada modal tu dalam bentuk wang ringgit, masa mahupun tenaga.

 

Kita masih kena bersedia dengan duit untuk menampung perbelanjaan seperti bil elektrik, internet service dan sebagainya.

 

Berkenaan dengan konsep buat bisnes di Shopee tanpa modal, ia bergantung kepada bagaimana cara anda melihat konteksnya.

 

Maksud tanpa modal disini, lebih kepada anda tak perlu keluar duit untuk sewa kedai, beli stok produk, upah pekerja, bayar kos utiliti, daftar syarikat menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebagainya. Tanpa buat semua ini, anda dah boleh mula berniaga di Shopee.

 

Menggunakan konsep dropship, anda hanya perlu keluar duit untuk beli produk hanya apabila anda sudah menerima tempahan dari pelanggan. Secara teknikal, barang yang anda beli dari supplier, sudah ada pemiliknya.

 

Anda akan dapat untung beserta dengan duit modal beli barang, setelah pelanggan tadi menerima barangan yang ditempah dan pihak Shopee melepaskan bayaran ke akaun bank anda.

 

Mungkin ada dalam kalangan pembaca dan pelawat blog ini, yang berminat nak mencuba berniaga di Shopee, tapi masih belum mempunyai senarai pembekal yang boleh dipercayai.

 

Dalam posting ini, saya akan tunjukkan anda beberapa cara yang anda boleh praktikkan untuk dapatkan pembekal bagi bisnes online di platform Shopee atau mana-mana laman web ecommerce pilihan anda.

 

(1) Gunakan laman web carian Google

Ini adalah cara paling senang untuk dapatkan pembekal. Gunakan sahaja perkhidmatan Google.

 

Mula-mula sekali, anda perlu tahu apakah produk yang anda berminat untuk jual? Untuk penerangan, saya andaikan yang anda ingin menjual tudung.

 

Kaedahnya ialah, buka laman web google.com atau google.com.my dan taip kata kunci mengikut format berikut

Nama Produk + Dropship 

 

Contoh

Tudung + Dropship

 

Menggunakan kaedah carian seperti diatas, saya memperolehi senarai carian seperti dibawah ini.

Semua sekali terdapat 1,450,000 hasil carian.

 

Kalau dekat mukasurat hadapan, ada pilihan tudung seperti

  1. Jelitasara
  2. Tudung Si Comel
  3. Tudung Store

 

Saya ada buat pembacaan dari sebuah laman web berbahasa Inggeris sebelum menulis artikel ini tadi. Kata penulis, apabila anda ingin mencari maklumat pembekal, teruskan mencari walaupun perlu membelek hingga ke muka surat 20. 

 

Rasionalnya? Sesetengah syarikat pembekal mereka tak ada masa untuk bina website cantik-cantik. In fact mereka tak perlukan website yang cantik, dan sesetengahnya tidak mempunyai website sendiri.

 

Jualan mereka kebanyakkannya disumbangkan oleh ejen dropship, dan ada banyak peniaga-peniaga yang memang memilih mereka sebagai pembekal. Nampak disitu ada logiknya, dan kalau mereka tak ada website pun tak ada masalah.

 

Alright, cara pertama yang anda boleh gunakan untuk dapatkan pembekal adalah melalui fungsi carian google.

 

(2) Dapatkan maklumat pembekal yang menawarkan sistem dropship melalui Facebook

Applikasi facebook atau lain-lain media sosial juga boleh digunakan bagi tujuan mendapatkan pembekal dropship.

 

Cara buat carian lebih kurang sama macam guna Google. Lihat screenshot dibawah.

Saya search perkataan “tudung dropship” sama macam guna Google.

 

Bila guna facebook ini, anda perlu tukar-tukar penggunaan tab untuk fokus kepada People, Pages, dan Groups.

 

Cuba perhatikan, ada atau tidak nama yang sama macam yang kita buat carian melalui Google sebelum ini? Jika ada yang sama, ini memudahkan kita untuk hubungi supplier tersebut.

 

(3) Gunakan penjual di laman web Shopee sebagai pembekal dropship kita

Kalau anda biasa beli di Shopee, anda mungkin perasan ada iklan seperti dibawah ini.

Penggunaan applikasi Shopee bukan setakat memudahkan orang ramai untuk membeli, pada masa yang sama, ia juga memudahkan untuk menjadi penjual.

 

Satu akaun Shopee, kita boleh gunakan ia sama ada untuk jadi penjual ataupun pembeli. Jadi tak pelik kalau ada supplier besar yang iklankan peluang untuk jadi ejen dropship melalui Shopee itu sendiri.

 

Cara nak cari pun lebih kurang sama macam buat carian di Google. Gunakan format “Nama produk + drosphip” nanti akan keluarlah macam-macam iklan dropship.

 

Kalau anda tak nak join sebagai ejen dropship dengan seller di Shopee juga tak ada masalah. Apa yang anda boleh lakukan adalah seperti berikut.

(1) Anda pilih barang yang anda nak jual. 

 

(2) Kenalpasti beberapa seller yang ada di Shopee yang jual barang yang sama.

 

(3) Anda naikkan harga. 

 

(4) Untuk membuatkan pelawat tertarik untuk beli dengan anda, gunakan ayat copywriting yang lebih baik berbanding penjual lain.

 

(5) Gunakan juga fungsi MyAds supaya pelawat nampak iklan anda terlebih dulu berbanding iklan seller lain

 

(6) Bila dah dapat order, anda order dari seller lain yang jual dengan harga lebih murah berbanding anda. Isikan alamat pembeli anda untuk tujuan penghantaran. 

 

(7) Perbezaan harga itu adalah keuntungan anda.

 

Kalau anda nak gunakan teknik seperti diatas ini, kena ada sedikit keberanian dan kena cari masa untuk buat research.

 

Bukan semua orang akan tertarik dengan harga yang murah semata-mata. Kalau terlalu murah, orang takut juga nak beli. Kalau mahal sangat, pembeli akan cari opsyen yang lebih murah. Tapi kalau letak harga mahal dan pada masa yang sama, anda mampu yakinkan pembeli bahawa beli dengan anda adalah lebih baik, tak pelik kalau anda dapat lebih banyak sales berbanding orang lain.

 

(4) Gunakan laman web ecommerce yang banyak di Internet sebagai kita punya pembekal

Pada asasnya, semua laman web ecommerce boleh jadi pembekal kita.

 

Tapi, kalau nak pilih tu, saya syorkan pilihlah laman ecommerce yang terkenal, yang ada reputasi dan mempunyai jaminan perlindungan yang baik.

 

Contohnya macam Lazada Malaysia.

Penjual tak akan terus dapat duit kita, selagi mana kita belum terima barang atau puas hati dengan barang yang ditempah.

 

Selain Lazada anda boleh explore lain-lain web ecommerce, misalnya seperti

  1. Prestomall (dulu dikenali sebagai 11 Street)
  2. Qoo10
  3. EzBuy
  4. Zalora
  5. MrDIY
  6. … dan banyak lagi la.

 

Kalau anda rasa senarai ecommerce yang ada di Malaysia ni tak cukup banyak, boleh pergi ke peringkat antarabangsa.

 

Laman web AliExpress ini adalah antara laman web pembekal yang popular kalau nak buat dropship di peringkat antarabangsa.

Ada banyak panduan buat duit dengan eBay yang mengajar untuk menggunakan web AliExpress sebagai pembekal dropship.

 

(5) Program dropship dari bookcafe untuk yang minat jual buku

Bila cerita tentang pembekal untuk buat bisnes online secara dropship, saya teringat laman web bookcafe.

Bookcafe dimiliki oleh syarikat penerbitan buku PTS Publication.

 

Andai kata anda minat nak jadi penjual buku, boleh lihat tawaran yang disediakan oleh pihak PTS ini. Kebanyakkan buku-buku terbitan PTS boleh diperolehi melalui program dropship Bookcafe.

 

(6) Dapatkan senarai pembekal dropship dengan membeli senarai nama pembekal dari penjual ebook

Ini benda yang saya biasa buat.

 

Maklumlah, saya memang tak ada masa nak buat kajian satu per satu, nak semak sama ada pembekal yang kita temui sama ada melalui google mahupun melalui media sosial boleh dipercayai atau sebaliknya.

 

Saya lebih suka beli senarai nama pembekal dari penjual ebook. Bukan main beli sesuka hati, sebaliknya saya akan beli dari penjual yang saya yakin, dia juga adalah pengguna perkhidmatan pembekal tersebut.

 

Saya ambil contoh misalnya, saudara John Jenin yang merupakan penulis ebook Bisnes Shopee. Dalam ebook beliau turut dimuatkan senarai pembekal dropship yang beliau sendiri pernah ada pengalaman gunakan khidmat mereka.

 

Dibawah ini adalah mukasurat dari ebook Bisnes Shopee yang menceritakan tentang senarai pembekal dropship. Ada macam-macam kategori produk disini.

Senarai pembekal yang dikongsikan dalam ebook ini agak panjang. Anda boleh skip baca posting ini, dan fokus sahaja pada senarai yang diberikan.

 

Kalau anda pernah baca ebook Bisnes Tudung dari rumah, penulis ebook juga ada jual senarai pembekal. Senarai pembekal yang beliau jual, adalah pembekal yang dia sendiri gunakan. Jadi dari segi kredibiliti pembekal memang kita boleh percayai.

 

(7) Tanya pesaing anda, siapa pembekal mereka

Benda ni saya baru baca di sebuah laman web berbahasa Inggeris.

 

Biasanya kalau kita tanya direct kepada peniaga yang jual barang yang kita minat nak jual, sudah tentu dia tak akan jawab. Tapi ada satu keadaan yang mana peniaga tersebut akan “terpaksa” jawab.

 

Situasinya begini.

 

Mula-mula kita buat tempahan dari peniaga tu. Bila barang dah sampai, kita bagitahu yang barang tersebut terdapat kerosakan, atau tak berfungsi seperti yang kita kehendaki. Kita minta untuk dapatkan barang yang lain sebagai ganti.

 

Sesetengah seller akan minta kita untuk return barang tersebut. Alamat yang diberikan itu biasanya adalah alamat pembekal mereka, jika mereka guna kaedah dropship.

 

Bila dah dapat alamat tu, bolehlah pergi ke tempat tersebut untuk urusan selanjutnya. Cara ini agak licik, tapi saya sendiri kurang yakin dengan teknik ini. Boleh jadi, pembekal yang kita bakal berurusan nanti, hanya mahu menerima pendaftaran secara online sahaja.

 

Alamat yang kita pergi nanti, mungkin hanya sebuah gudang dengan beberapa orang pekerja. Tiada bos disitu, jadi tiada siapa yang berani buat keputusan untuk terima pendaftaran ejen dropship baru (andalah).

 

Saya suka dengan idea yang diberikan, namun tak bermakna saya akan praktikkan.

 

Perkara yang anda perlu beri perhatian apabila mencari pembekal untuk bisnes online anda

Kebiasaannya proses untuk mendapatkan pembekal yang menawarkan sistem dropship boleh dilakukan secara online sahaja.

 

Kita tak perlu susah payah, nak pergi berjumpa dengan pembekal, lihat gudang miliknya, buat semakan senarai inventori yang dia miliki. Itu semua tak perlu.

 

Kalau nak berkomunikasi, semuanya secara online. Saya nak berikan beberapa guideline untuk bantu anda buat keputusan sama ada pembekal tersebut boleh diharapkan ataupun tidak dimasa akan datang.

 

(1) Bersiap sedia dengan lebih dari seorang pembekal

Berharap pada seorang pembekal semata, bukanlah satu langkah yang bijak. Sebaik-baiknya kita siap sedia dengan dua atau lebih pembekal.

 

Setidak-tidaknya kalau pembekal utama kita menghadapi masalah, kita boleh segera cari pengganti.

 

(2) Cari pembekal yang menyediakan sistem tempahan yang teratur

Bagaimana cara anda akan berurusan dengan pembekal anda dikemudian hari? Kalau boleh elakkan berurusan dengan pembekal yang tidak mempunyai sistem yang teratur.

 

Kalau everything menggunakan whatsapp, atau FB mesengger semata-mata, kalau boleh elakkan. Pada zaman seperti sekarang ini, perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku. Ia bakal menyusahkan kedua-dua belah pihak sahaja nanti.

 

Sekarang ini, saya dah mula jumpa banyak pembekal dropship yang mempunyai sistem ecommerce mereka sendiri. Kita perlu login ke dalam sistem mereka, dari situ barulah kita boleh nampak berapa sebenarnya harga untuk ejen.

 

Kalau kita tidak login dan layari laman web mereka seperti pelawat-pelawat internet yang lain, kita hanya akan nampak harga biasa.

 

Bila pembekal dropship kita menyediakan sistem web ecommerce untuk para ejen dropship, dari situ kita boleh dapatkan maklumat-maklumat penting seperti

  1. Berapa unit stok produk yang masih available
  2. Produk yang ada banyak design kita tahu berapa unit yang masih ada
  3. Pembekal boleh update maklumat tracking number pada sistem tanpa kita perlu follow up satu per satu

 

Pembekal yang masih lagi menggunakan sistem yang cincai, kalau boleh elakkan je la. Buat pening kepala kita je nanti. Saya berpendapat sekarang ini tak sepatutnya berlaku, bagi pihak pembekal dropship masih guna kaedah tempahan yang hanya berpandukan whatsapp atau mesej semata-mata.

 

Sekarang ni, bukannya mahal sangat kalau nak guna sistem ecommerce. Laman web seperti Kedai Onlinez boleh bantu untuk pasangkan sistem ecommerce bagi pihak anda, kalau betul langsung tak ada pengetahuan dan kemahiran untuk pasang sendiri sistem ecommerce.

 

(3) Kadar peratusan untung

Dalam posting sebelum ini yang bertajuk Program Affiliate Shopee, saya ada sentuh serba sedikit mengenai struktur komisen.

Komisen sebagai affiliate Shopee adalah bermula dari 2.10% hinggalah 7%.

 

Kiranya ok la. Kerja sebagai affiliate hanyalah bawa masuk trafik dan buat kerja marketing. Berbeza dengan ejen dropship. Anda sebagai ejen dropship kena anggap ia sebagai bisnes anda.

 

Peranan kita bermula dari mendapatkan pelanggan, memastikan barangan yang ditempah sampai ke tangan pelanggan dan pelanggan itu tadi benar-benar puas hati dengan barangan yang dibeli.

 

Kalau kadar keuntungan yang diberikan sekitar 15% dan keatas, kiranya masih ok lagi. Tapi kalau terlalu rendah, ia mungkin tak berbaloi dengan usaha dan susah payah yang perlu anda hadapi.

 

(4) Personaliti pembekal anda

Adakah anda akan berurusan dengan orang perseorangan ataupun dengan syarikat yang terdiri daripada beberapa pekerja?

Kalau bakal berurusan dengan individu, cubalah berbaik dan berkenalan dengan individu tersebut. Kadang-kadang pembekal ini pun ada mood juga.

 

Andai kata mood tengah tak berapa elok, dia layan kita nak tak nak je. Tapi perkara ini jarang berlaku kalau kita berurusan dengan syarikat yang ada staf ataupun pembekal yang menyediakan sistem tempahan macam sistem ecommerce untuk ejen dropship.

 

(5) Adakah anda bersaing dengan pembekal anda?

Benda paling tak best, bila pembekal kita turut meniaga di Shopee.

 

Lepas tu, dia jual barang dia dengan harga yang sangat murah. Kalau kita follow harga dia, untung yang bakal kita dapat jadi sangat rendah.

 

Sesetengah orang tak kisah perkara ini. Asalkan masih ada untung. Apapun terpulang pada keputusan anda.

 

(6) Jadual penghantaran

Adakah supplier anda akan buat penghantaran setiap hari? Jika ya, pada pukul berapa penghantaran akan dilakukan?

 

Kalau anda perasan, ada banyak seller yang akan nyatakan dalam iklan mereka, penghantaran akan dihantar pada hari yang sama jika tempahan dilakukan sebelum jam sekian sekian. Contohnya sebelum jam 1 petang.

 

Bab penghantaran ini adalah satu bab yang serius. Pembeli dah excited beli barang, dah tentu dia nak barang yang ditempah sampai dengan cepat. Kalau boleh, hari ini beli, hari ini juga dapat tracking number dan esok barang dah boleh sampai.

 

Tapi kalau segala-galanya lambat, dan kelewatan itu pula bukannya disebabkan oleh syarikat kurier, sebaliknya disebabkan pihak supplier, ini akan membuatkan pelanggan jadi kurang sabar dan berikan review yang negatif.

 

Pembeli tak peduli, siapa pembekal anda. Apa yang pembeli tahu, dia beli dari anda, jadi andalah yang kena bertanggungjawab sepenuhnya.

 

(7) Polisi pemulangan barang (return) dan pemulangan duit (refund)

Perkara ini juga perlu diberikan perhatian. Bagaimana kalau barang yang diterima oleh pembeli rosak semasa penghantaran ataupun tersalah hantar barang.

 

Siapakah yang bakal menanggung ganti rugi?

 

Adakah pelanggan ini perlu pulangkan barang, dan lepas tu baru akan dapat barang ganti, ataupun pembeli ini tak perlu hantar balik barang yang rosak/ tersilap sebaliknya pihak pembekal akan pos barang ganti?

 

Saya masih ingat lagi, awal-awal shopping dengan Lazada, beberapa kali dapat barang yang salah atau tak cukup sifat. Kesilapan ini mungkin bukannya datang dari Lazada, sebaliknya dari penjual yang tak berhati-hati.

 

Bila dapat barang yang salah, kita diminta untuk pulangkan semula. Tak pasal-pasal kena cari masa untuk pergi ke pejabat pos, bawa barang yang silap tu untuk dipulangkan.

 

Sekarang ni, bila fikir semula, benda ni mengarut je. Kita beli online sebab nak mudah. Bukannya nak susah. Pihak yang salah hantar tu, patut tanggung semua kerugian. Siapa suruh tak berhati-hati semasa buat penghantaran.

 

Disebabkan mereka buat salah, pembeli jadi susah. Pertama, kena tunggu lama sebab barang akan dihantar oleh syarikat kurier. Bila dah dapat barang, barang tu salah hantar pula. Pembeli diminta untuk pos semula kepada seller, sebagai syarat untuk dapatkan barang ganti.

 

Kalau macam ini, proses pembelian online jadi sangat berisiko untuk pembeli, dan lebih baik beli dekat kedai. Puas hati. Kita boleh semak kualiti dan kuantiti barang sampai puas hati lepas tu baru bayar.

 

Baiklah, saya rasa dah agak panjang perkongsian kali ini.

 

Saya harapkan, apa yang saya bincangkan dalam artikel ini, dapat membantu anda mengenalpasti dan mencari pembekal yang boleh dipercayai untuk bisnes dropship di Shopee kelak.

 

 

Exit mobile version