Blog Sabree Hussin

Misi Bebas Hutang Zero Hutang 2.0

Setiap kali saya buka laman web PG Mall, saya akan ternampak buku berjudul Misi Bebas Hutang karya Mohd Zulkifli Shafie ini, sebagai salah satu produk yang recommended kepada pelawat web tersebut.

 

Saya telahpun membaca buku ini dari mula sampai habis, dan kali ini saya nak kongsikan sedikit ulasan mengenai buku berjudul Misi Bebas Hutang ini.

 

“Biarlah tidak nampak bergaya, asalkan poket kita kaya!”

 

Sebenarnya bila saya terjumpa buku Misi Bebas Hutang ini, ada beberapa persoalan muncul dalam fikiran saya.

(1) Berapa banyak jumlah hutang yang ditanggung oleh penulis buku ini?

Bila bercerita tentang bebas dari hutang, atau bebas hutang, saya membayangkan seseorang itu mestilah dibelenggu dengan hutang terlebih dahulu, kemudian dia berjaya menemui satu kaedah yang sangat berkesan, yang akhirnya berjaya membuatkan dia bebas dari hutang tersebut.

 

Make sense tak?

 

(2) Bagaimana cara atau strategi yang penulis buku ini gunakan untuk bebas dari masalah hutang?

Adakah hutang itu satu masalah? Bagi kebanyakkan orang, hutang itu merupakan satu masalah. Tapi, bagi mereka yang faham konsep hutang yang baik (good debt) dan hutang yang jahat (bad debt), mereka tak ada masalah untuk buat hutang yang baik. Bagi mereka, hutang yang baik itu bukanlah satu masalah, sebaliknya hutang itu adalah sesuatu yang boleh meningkatkan lagi kekayaan individu tersebut.

 

Bila kita membaca buku-buku berkaitan dengan kewangan, secara tak langsung kita juga akan dapat melihat dan menilai, mana satu hutang yang dalam kategori yang baik dan mana satu hutang yang dalam kategori tak baik. Buku ini ada membincangkan topik ini juga.

 

(3) Dari mana penulis dapatkan dana untuk membayar hutangnya?

Bagi mereka yang memang dah sedia menanggung hutang, pastinya kita nak tahu, dari mana sumber dana yang boleh kita gunakan bagi tujuan melangsaikan hutang. Adakah sumber dana tersebut sudah tersedia disekeliling kita? Jika ya, adakah kita boleh menggunakan sumber dana tersebut untuk tujuan yang sama.

 

(4) Berapa lama masa yang diambil untuk penulis berjaya bebas dari hutang?

Kemudian kita juga nak tahu, berapa lama masa yang diperuntukkan untuk bebas dari hutang? Kalau boleh selesaikan hutang dalam masa yang cepat, sebagai contoh dalam masa kurang dari lima tahun, sudah tentu kita nak tahu, apa rahsia yang dia gunakan.

 

(5) Apakah terdapat sebarang pengorbanan yang penulis perlu lakukan bagi tujuan mencapai matlamat bebas kewangan?

Cerita tentang pengorbanan ini adalah sesuatu yang orang tak berapa suka, tapi dalam konteks kewangan, ia memang perlu dilakukan. Sebagai contoh, pengorbanan yang kita perlu lakukan adalah dari segi downgrade lifestyle kita.

 

Ataupun kita korbankan masa lapang kita untuk buat kerja-kerja sambilan yang boleh mendatangkan pendapatan.

 

(6) Adakah terdapat perkara yang kita boleh pelajari dari kisah-kisah yang dimuatkan oleh penulis dalam buku ini?

Akhir sekali, dalam banyak-banyak bahan bacaan yang saya pernah dan akan baca, biasanya saya akan cuba cari, apa dia pengajaran atau ilmu baru, yang tak ada ditempat lain, tapi boleh dijumpai dalam buku tersebut.

 

Memang betul, kadang-kadang dalam beratus-ratus mukasurat yang kita baca, bukan semua relevan dengan situasi hidup kita. Bukan semua nasihat kita boleh ikuti.

 

Tetapi, bila kita jumpa nasihat yang kita boleh ikut, tapi kita sendiri memilih untuk tak nak ikut, kemudian kita masih lagi hidup susah seperti sebelum baca buku tersebut, agak-agaknya salah siapa?

 

Baiklah, jadi tanpa melengahkan masa, jom saya kongsikan antara pengisian yang dimuatkan dalam buku Misi Bebas Hutang karya Mohd Zulkifli Shafie ini.

 

Bab 1 Mengurus Simpanan

Buku Misi Bebas Hutang ini dimulakan dengan perbincangan mengenai mengurus wang simpanan. Dibawah ini pula antara topik-topik yang disentuh dalam bab tentang mengurus wang simpanan ini.

  1. Prinsip penting menyimpan wang
  2. Selamatkan duit cepat-cepat
  3. Minimumkan tunai dalam tangan
  4. Emas, simpanan untuk dilupakan
  5. Langkah pertama menyimpan RM1 juta
  6. Orang berniaga paling banyak menyimpan
  7. Selamatkan simpanan kepada Emas
  8. Simpan tiga bulan pendapatan, labur selebihnya

Apa kaitan antara bebas hutang dengan membuat simpanan?

Kalau anda ingin hidup bebas dari masalah hutang, anda perlu mula melatih diri anda dengan disiplin untuk membuat simpanan seawal yang mungkin.

 

Hari pertama anda menerima gaji anda yang pertama, anda sudah patut mulakan disiplin untuk menyimpan wang.

 

Bila saya baca buku ini, baru saya nampak naratif yang cuba dibawakan oleh penulis. Untuk hidup betul-betul bebas dari hutang, seseorang itu perlu mempunyai tekad dan matlamat tersebut sejak dari awal lagi dia membina kerjaya. Bukannya setelah terjerumus dalam lembah hutang, barulah sibuk nak cari jalan macam mana nak bebas dari belenggu tersebut.

 

Saya rasa bagi individu yang telahpun dibelenggu hutang, pada peringkat tersebut, jalan yang terbaik untuk hidup bebas hutang adalah dengan

1. Berhenti buat hutang yang baru

2. Downgrade lifestyle

3. Cari jalan untuk tambahkan pendapatan

4. Usaha untuk berjimat cermat dan gunakan duit lebihan untuk bayar hutang

 

Bila baca buku ini, ada satu perkara yang saya baru tersedar. Sebenarnya, kita semua bermula dengan tidak mempunyai sebarang hutang. Kemudian, satu hari kita diberi pilihan sama ada nak berhutang ataupun tidak.

 

Hutang pertama yang kita akan ambil biasanya adalah hutang pelajaran. Sebab apa kita ambik hutang? Jawapan mudahnya ialah, sebab kita tak ada duit yang cukup. Kita tak ada duit simpanan yang boleh kita gunakan bagi tujuan melanjutkan pelajaran.

 

Adakah salah untuk ambik hutang tersebut? Tak salahpun. Malahan hutang pelajaran ini boleh dikategorikan sebagai hutang yang baik, sebabnya bila kita habis belajar, kita akan mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk bekerja dalam industri atau sektor tertentu yang membolehkan kita menerima gaji yang lebih tinggi, berbanding orang yang tak melanjutkan pelajaran.

 

Soal sama ada peluang kerja itu ada ataupun tidak selepas tamat pengajian, itu perkara nombor dua. Tapi lazimnya, orang yang ada kelulusan yang baik, akan ada pekerjaan yang sesuai untuk dirinya yang membayar gaji yang tinggi.

 

Dalam bab pertama ini, penulis mengajak kita untuk melatih diri kita untuk menjadi seorang yang menyimpan duit. Kalau rasa susah sangat nak simpan duit, tukarkan duit yang kita ada dalam bentuk emas.

Strategi menyimpan emas ini pun ada pelbagai. Antara yang popular adalah

i. Strategi simpan (beli) 1 gram emas setiap bulan

ii. Strategi simpan (beli) 0.5 gram emas setiap bulan

iii. Strategi simpan (beli) emas bernilai RM100 setiap bulan

 

Kesemua strategi ini boleh dipraktikkan dengan cara anda membuka akaun simpanan emas. Salah satu syarikat yang menyediakan akaun simpanan emas yang saya boleh syorkan adalah Public Gold.

Baca: Pembelian emas Public Gold menerusi akaun Gold Accumulation Program (GAP)

 

Susah nak buat simpanan?

Kalau anda merasakan dalam keadaan anda sekarang, cukup susah nak buat simpanan, saya rasa anda memang patut baca buku ini. Penulis ada cadangkan beberapa strategi yang dapat anda ikuti, untuk membantu anda mula menyimpan duit.

 

Apa yang penting, mulakan untuk menyimpan. Biarlah kalau tak mampu nak simpan beratus-ratus atau beribu-ribu ringgit macam yang dilakukan oleh orang lain. In Shaa Allah, bila kita mulakan usaha untuk menyimpan, bermula dengan let say RM10 sebulan, lama kelamaan amaun tersebut pasti akan bertambah kepada RM50, RM100 dan seterusnya.

 

Nak mulakan habit menyimpan itu memang payah, tapi bila kita dah bermula, secara automatik kita akan mula naikkan jumlah simpanan.

 

Bab 2 Motivasi Kewangan

Bila anda baca buku ini, anda akan perasan yang penulis menerapkan elemen motivasi dalam penulisannya. Saya boleh faham, kenapa penulis menggunakan pendekatan menaikkan motivasi kepada para pembaca.

 

Ini antara topik yang dibincangkan dalam bab kedua ini.

  1. Duit, rumah tangga dan bahagia
  2. Repeat paper sampai lulus ujian kewangan
  3. Senang atau sempit, kita memilihnya
  4. Kemiskinan menghakis keyakinan diri
  5. Hidup dibawah kemampuan
  6. Berkereta biasa tapi dia seorang jutawan
  7. Gandakan kekayaan dengan bersedekah
  8. Miskin dan kaya: Mana lebih baik?
  9. Kekayaan, kemewahan dan tanggungjawab
  10. Seronok hidup tanpa hutang

Topik mengenai pengurusan kewangan, sebenarnya ia merupakan satu topik yang agak membosankan.

 

Siapa yang suka menyimpan duit bila dapat gaji, sedangkan lebih seronok bila kita dapat belanjakan duit mengikut kemahuan kita.

Siapa yang suka membuat kira-kira dan menyediakan bajet perbelanjaan, sedangkan kita boleh berbelanja ikut suka.

Siapa yang suka mendalami ilmu tentang pelaburan sedangkan lebih seronok kita beli kereta, melancong, shopping dan sebagainya.

Siapa yang suka buat kerja part time atau memulakan bisnes sampingan, sedangkan lebih seronok kalau kita layan movie, netflix ataupun sekadar habiskan masa untuk tidur. 

 

Kita ni bukannya pemalas.

Cuma kadang-kadang kita tak ada sokongan, atau motivasi untuk bertindak dan melakukan sesuatu yang betul.

 

Atas sebab tu, disamping kita baca buku-buku kewangan untuk memantapkan pengetahuan dan skil pengurusan kewangan peribadi kita, kita juga perlu baca buku dalam genre motivasi.

 

Tapi kalau jumpa buku yang dapat menggabungkan bab motivasi dengan kewangan, itu lagi baik. Macam dua dalam satu.

 

Perbincangan dalam bab ini, pembaca akan diperkenalkan dengan idea-idea yang mungkin bertentangan dengan keinginan hidup orang kebanyakkan.

 

Contohnya dalam topik pemilihan kereta pertama.

Kalau ikut pada keinginan nafsu, sudah tentu kereta pertama kita nak beli yang paling canggih dan paling hebat. Tapi, adakah tindakan tersebut adalah tindakan yang paling tepat dari segi kewangan?

 

Jawapannya berbalik kepada berapa besar pendapatan kita. Kalau income kita memang besar, tak ada masalah kalau nak beli kereta yang hebat. Sebaik-baiknya pilihlah model kereta yang bersesuaian dengan pendapatan kita.

 

Kita cuba pilih kereta yang menepati ciri-ciri berikut

i. Harganya tak melebihi gaji tahunan kita

ii. Jumlah ansuran bulanan tak melebihi 15% atau 20% pendapatan bulanan

 

Apa rasionalnya?

Jawapannya adalah supaya kos untuk membela kereta ini tak akan menjadi satu kos yang terlalu membebankan. Sebab itu, ada topik dalam bab ini, yang mana penulis bercerita mengenai seorang individu yang berkereta biasa sahaja tapi sebenarnya individu tersebut merupakan seorang jutawan.

 

Doa spiritual dan doa praktikal

Ini topik yang pada saya cukup menarik dan agak jarang dibincangkan dalam lain-lain buku tentang kewangan yang saya pernah baca sebelum ini.

 

Persoalan tentang doa. Ada beberapa dalil yang saya temui berhubung dengan perbuatan berdoa.

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” al-Ghafir:60

 

Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” [Riwayat Ahmad (11133)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah baik]

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.” [Riwayat al-Tirmizi (3479)][Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif]

 

Ketiga-tiga dalil ini saya petik dari laman web

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3174-irsyad-al-hadith-siri-ke-349-cara-penerimaan-doa

 

Doa seperti yang kita semua sedia maklum adalah merupakan salah satu usaha untuk kita memohon sesuatu kepada Allah SWT. Kita mengangkat lalu menadah tangan memohon petunjuk, keampunan, kekuatan dan diberikan jalan untuk bebas dari hutang disamping memperoleh rezeki yang melimpah ruah.

 

Ini adalah usaha yang kita perlu lakukan dari aspek spiritual.

 

Pada masa yang sama, doa spiritual ini perlu juga digandingkan dengan doa praktikal. Doa praktikal ni macam mana pula? Doa praktikal ini merujuk kepada perbuatan dan usaha yang kita lakukan menggunakan idea, tenaga, kudrat dan tulang empat kerat yang ada pada kita.

 

Terpulanglah pada anda untuk lakukan perkara-perkara yang dapat menambahkan pendapatan, antaranya seperti

i. Buat bisnes sambilan sama ada bisnes MLM, bisnes dropship, bisnes affiliate dan sebagainya

ii. Jadi ejen insurans, takaful, unit trust, ejen hartanah dan sebagainya

iii. Jadi content creator untuk Youtube, Tiktok, Facebook atau blog

iv. Jadi social media influencer

v. Buat kerja sambilan seperti buat delivery dan sebagainya

 

Kalau doa semata-mata siang dan malam, tapi tak ada usaha untuk bekerja, saya rasa agak sukar untuk anda bebas dari hutang. Tapi kalau anda memilih untuk berdoa semata-mata, tanpa ada usaha, hmm terpulanglah pada anda. Lagipun, yang nak mengadap semua ini adalah anda.

 

Bab 3 Pengurusan Hutang

Perbincangan dalam bab ini, fokus kepada bagaimana seseorang itu boleh melakukan suatu tindakan yang bersesuaian bagi tujuan menguruskan hutang.

  1. Awas! Taktik penipuan kad kredit
  2. Hutang perlu atau hutang mahu
  3. Hutang positif, hutang negatif
  4. Beli rumah tanpa menanggung hutang
  5. Cara menggandakan kekayaan dengan hutang
  6. Beri hutang: Antara gagal dan berjaya
  7. Beri hutang: Bukan jalan membuat untung
  8. Langsaikan hutang cara nabi
  9. Awas, perangkap masa untuk duit
  10. Strategi saya bebas daripada hutang

Hutang ini, kalau tak diuruskan dengan betul, ia akan menyusahkan kita dimasa akan datang. Saya rasa semua orang sedar akan hakikat ini. Bila anda ambil buku ini dan baca, ia juga sebenarnya termasuk dalam kategori satu usaha untuk anda bebaskan diri dari masalah hutang.

 

In Shaa Allah, perjalanan anda untuk melangsaikan hutang akan lebih baik, berbanding mereka yang ada hutang, tapi tak pernah baca buku seumpama ini. Harap-harap mereka yang tak baca buku ini, ada baca buku lain yang ditulis oleh penulis lain.

 

Hutang kad kredit

Menurut penulis buku ini, kad kredit ini sebenarnya bukanlah satu keperluan. Buktinya? Ada banyak orang yang boleh hidup walaupun tak mempunyai kad kredit. Kad kredit ini hanyalah satu alat yang memudahkan kita untuk membuat pinjaman pantas dengan syarikat pengeluar kad.

 

Mungkin tak salah kalau kita katakan yang kad kredit ini sebenarnya hanyalah satu kemahuan, dan bukannya satu keperluan. Namun, janganlah salah anggap. Tak salahpun kalau anda memilih untuk mempunyai kad kredit.

 

Asalkan anda betul-betul mahir dalam aspek pengurusan kewangan dan pengurusan diri, serta tahu cara untuk menggunakan kad kredit tersebut. In Shaa Allah jika anda mempunyai ilmu yang betul, anda tak akan dilanda masalah hutang kad kredit pula.

 

Dalam bab tiga ini, baru kita tahu, apa senarai hutang yang ditanggung oleh penulis, antaranya

i. Hutang belajar dengan Yayasan Pelajaran Johor

ii. Hutang pelajaran PTPTN

iii. Hutang beli kereta terpakai

iv. Hutang beli laptop

v. Hutang PTPTN isteri

 

Kalau kita perhatikan dari senarai hutang tersebut, hutang yang dibuat bukanlah hutang yang bertujuan untuk memenuhi kemahuan diri, tapi lebih kepada untuk keperluan.

 

In fact, untuk beli kereta pun, penulis memilih untuk beli kereta terpakai, dan bukannya kereta baru. Bila beli kereta terpakai ini, sudah tentu monthly installment lebih rendah berbanding kalau beli kereta baru.

 

Kemudian, hutang pelajaran. Penulis berhutang bagi tujuan melanjutkan pelajaran. Disitu juga terdapat hutang untuk beli laptop, bagi tujuan memudahkan kerja. Jadi kita boleh katakan kebanyakkan hutang yang dibuat oleh penulis adalah dalam kategori hutang yang baik.

 

Hutang Baik (good debt) lawan Hutang Jahat (bad debt)

Buku ini turut membincangkan konsep good debt dengan bad debt.

 

Apa yang membezakan antara hutang yang baik dengan hutang yang jahat?

Kalau anda masih kurang familiar dengan konsep hutang baik dengan hutang jahat ini, bermakna anda masih kurang mendapat pendedahan tentang topik pengurusan kewangan. Sebenarnya kemahiran membezakan antara dua bentuk hutang ini sangat penting, bagi tujuan membina kekayaan.

 

Hutang yang baik

Hutang yang baik ini selalunya merujuk kepada berhutang untuk membeli sesuatu yang semakin hari semakin meningkatkan nilai kekayaan kita.

 

Sebagai contoh, kita berhutang untuk membeli hartanah.

Rumah yang kita beli itu, kemudian disewakan semula pada satu nilai yang lebih tinggi berbanding bayaran bulanan yang perlu kita lakukan kepada bank.

Akhirnya, rumah tersebut akan menjadi milik kita, tapi dari segi bayaran, hutang tersebut akan dibayar oleh penyewa sampailah akhirnya hutang tersebut habis.

 

Hutang yang tak baik

Ini pula merujuk kepada hutang yang tak menambahkan kekayaan kita, malahan akan membuatkan duit kita keluar lebih banyak.

 

Kalau dari segi contoh, mungkin boleh dikatakan hutang untuk beli kereta baru. Bila kita beli kereta baru pada hari ini, keesokkan harinya nilai kereta tersebut boleh jatuh hingga 20%. Nilai kereta tersebut akan semakin menyusut dan pihak bank pula akan mengenakan faedah atas pinjaman yang kita lakukan bagi tujuan pembelian kereta tersebut.

 

Tahukah anda, sebenarnya penulis buku ini turut menggalakkan pembaca untuk membuat hutang!

Agak ironi bila tajuk buku ini adalah mengenai bebas hutang, tapi penulis sendiri menggalakkan pembaca untuk berhutang. Tunggu dulu, sebelum itu, kita kena fahamkan dulu, maksud hutang baik dengan hutang yang tak baik ini.

 

Penulis hanya menggalakkan kita melakukan hutang yang baik sahaja, bukannya hutang yang tak baik (bad debt). Hutang yang baik ini adalah merujuk kepada hutang yang kita buat, bagi tujuan meningkatkan lagi kekayaan kita, dengan membuat pembelian aset berupa hartanah yang akan meningkat dari segi nilainya.

 

Beli rumah tanpa menanggung hutang

Perkara ini dapat dilakukan apabila kita beli rumah bagi tujuan untuk disewakan kembali. Buku ini tak membincangkan secara terperinci perihal mengenai buat duit melalui bisnes rumah sewa.

 

Anda perlu baca buku lain, berkaitan dengan pelaburan hartanah.

Walaubagaimanapun penulis ada menyentuh serba sedikit idea mengenai bagaimana untuk menjadikan rumah yang kita beli itu nanti, akhirnya akan dibayar oleh orang lain (merujuk kepada penyewa) bagi pihak kita.

Sampai satu masa, kita akan dapat aliran tunai positif dari rumah tersebut, hutang dengan bank akan dibayar menggunakan duit penyewa, dan akhirnya rumah tersebut akan jadi hak milik kita.

 

Menarik bukan konsep seperti ini? Itulah sebabnya kita kena pelajari, banyak lagi teknik-teknik buat duit cara orang kaya, dan yang menariknya teknik ini memang sah disisi undang-undang. Cuma mungkin sebab kurang pendedahan kepada kita, jadi kita tak familiar dengan teknik seumpama ini, dan akhirnya kita bazirkan duit gaji dengan membeli perkara-perkara yang tak menambahkan kekayaan kita.

 

Menurut penulis Misi Bebas Hutang ini, “… hidup tanpa hutang itu bagus, namun kita akan terlepas peluang untuk menggandakan kekayaan…”

Apabila nak berhutang, pilihlah hutang yang boleh menambahkan kekayaan kita.

 

Strategi bebas dari hutang

Topik terakhir yang dibincangkan dalam bab 3 ini adalah topik mengenai strategi yang digunakan oleh penulis bagi tujuan untuk bebas dari hutang.

 

Penulis kongsikan 7 langkah untuk bebas dari hutang.

(1) Jangan buat hutang lagi

Obviously, kalau kita nak bebas dari belenggu hutang, kita tak sepatutnya buat hutang baru. Kalau kita asyik buat hutang baru, macam mana hutang tu nak habis bayar?

 

Bayar RM1,000

Kemudian buat hutang baru RM800

 

Kita rasa macam dah bayar banyak, RM1,000. Tapi bila kita buat hutang baru, kita sebenarnya hanya bayar RM200 dan hutang kita tak akan surut sampai bila-bila disebabkan adanya kadar faedah yang dikenakan terhadap baki hutang.

 

(2) Bayar hutang secara automatik

Ini bagi mengelakkan kita terlupa, terlewat, atau terguna duit yang sepatutnya kita guna untuk bayar hutang. Bila kita terlewat bayar, bank akan kenakan kadar faedah yang akan menyebabkan hutang kita bertambah. Kita nak kurangkan hutang, bukannya nak tambahkan hutang dalam bentuk denda atau penalti sebab lambat bayar.

 

(3) Potong perbelanjaan, tambahkan bayaran hutang

Kita semak semula perbelanjaan yang kita lakukan setiap hari. Cuba potong mana-mana yang tak perlu, atau potong untuk sementara waktu. Sebagai contoh, kita potong bayaran untuk langganan Netflix, Astro, Disney+ dan sebagainya.

 

Duit yang kita gunakan untuk membayar yuran langganan ini, boleh digunakan untuk bayar hutang. Nanti bila kedudukan kewangan dah mula stabil, boleh langgan semula. Bukannya kita nak berhenti membuat langganan terus.

 

(4) Langsaikan hutang paling kecil dahulu

Kita settlekan hutang paling kecil sebab kita nak rasa suatu kejayaan membayar hutang yang mana ia akan memberi kesan psikologi yang sangat positif. Bila kita berjaya bebaskan diri dari hutang, kita akan rasa sangat seronok dan akan makin bersemangat untuk teruskan dengan langkah seterusnya untuk selesaikan hutang yang lain pula.

 

(5) Selesaikan satu hutang terlebih dahulu

Fokus untuk selesaikan satu hutang terlebih dahulu. Jika ada duit lebih, gunakan duit lebihan tersebut untuk bayar hutang tersebut dulu, dan maintain bayar hutang-hutang lain seperti biasa.

 

(6) Guna duit durian runtuh untuk tutup hutang

Untuk golongan pekerja yang mana syarikat ada memberikan duit bonus, gunakan duit tersebut untuk selesaikan hutang.

 

Tapi… bukan ke duit bonus ini untuk kita reward diri sendiri, hasil kita berpenat lelah bekerja?

Actually terpulanglah pada anda. Kalau matlamat dan tekad anda untuk bebas dari hutang cukup kuat, anda pasti akan meletakkan prioriti kepada penyelesaian hutang.

 

(7) Simpan dan laburkan penjimatan hutang 100%

Ya, satu hari nanti hutang-hutang anda pasti akan selesai. Kalau sebelum ini, anda perlu bayar RM1,980 untuk tujuan bayar hutang sahaja, kali ini anda akan mempunyai wang sebanyak itu yang anda boleh guna untuk diri anda sendiri.

 

Persoalannya, apa nak buat dengan duit tersebut?

Penulis mencadangkan anda simpan dan laburkan duit tersebut.

 

Kalau pembaca masih belum berpuas hati dengan perkongsian tentang strategi untuk bebas hutang ini, dan minat nak baca tips tambahan, boleh baca juga artikel yang saya pernah tulis sebelum ini.

Baca: Tips bayar hutang kad kredit cara orang tak ada duit 

 

Bab 4 Strategi kekayaan

Kekayaan atau menjadi kaya bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Kebiasaannya untuk jadi kaya, seseorang itu perlu mempunyai satu strategi.

 

Ini pula merupakan topik yang dibincangkan dalam bab keempat buku ini.

  1. Nasihat penting buat siswazah baharu
  2. Beli kereta, kesilapan biasa siswazah baharu
  3. Kerugian beli rumah paling mampu
  4. Beli rumah atau menyewa, yang mana lebih baik?
  5. Persiapan penting menghadapi kegawatan ekonomi
  6. Bagaimana orang kaya jadi kaya?
  7. Nak beli emas, tetapi modal kecil
  8. Kumpul emas, miliki hartanah
  9. Jalan sebenar bebas kewangan

Secara keseluruhannya, dalam bab ini membincangkan beberapa kaedah untuk membina kekayaan.

 

Setiap orang ada peluang untuk membina kekayaan dan jadi kaya. Asalkan, seseorang itu tak melakukan kesalahan kewangan yang akhirnya akan memberi impak negatif sepanjang hidup.

 

Antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh siswazah dan mereka yang baru melangkah ke alam pekerjaan, antaranya adalah seperti

i. Tidak mempunyai tabung simpanan 

Duit gaji dihabiskan tanpa ada baki untuk simpanan. Sepatutnya, kita simpan dahulu, barulah berbelanja.

 

ii. Memohon kad kredit

Seterusnya, kita mula menggunakan dan bergantung kepada kad kredit. Ya, dari segi pendapatan anda mungkin layak untuk menjadi pengguna kad kredit, tapi dari segi disiplin penggunaan, anda sebenarnya belum layak menggunakan kad kredit.

 

Akhirnya, anda akan terjebak dengan masalah kad kredit yang tak berpenghujung. Gaji anda akan habis untuk komitmen hutang sahaja.

 

iii. Beli kereta

Beli kereta untuk memudahkan anda pergi kerja.

Tapi anda pergi kerja sebab perlu cari duit untuk bela kereta baru anda.

 

Sebenarnya keputusan untuk beli kereta ini perlu diteliti dan diperhalusi. Boleh jadi, anda sebenarnya tak perlu beli kereta pada permulaan anda mula bekerja. Anda boleh menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, dan ia lebih menjimatkan.

 

Sekiranya anda memerlukan kereta, sama ada untuk pergi bercuti, balik kampung sempena musim perayaan dan sebagainya, anda boleh sewa sahaja kereta yang anda mahukan. Kos untuk sewa kereta lebih murah berbanding kos untuk anda membela kereta.

 

iv. Beli rumah idaman

Rumah pertama tak perlu beli yang paling kita suka atau yang paling kita mampu, melainkan kalau kita memang dah buat keputusan untuk terus menetap (settle down) dilokasi tersebut.

 

Sesetengah orang yang bekerja, dia mungkin akan dinaikkan pangkat, diminta untuk berpindah cawangan dan sebagainya. Jika seseorang itu sudah memiliki rumah idaman, ini akan menyusahkan dia buat keputusan sama ada nak berpindah ataupun berulang alik, walaupun jarak perjalanan yang jauh.

 

Besar kemungkinan dia akan buat keputusan untuk stay ditempat kerja sekarang dan menolak sebarang kenaikkan pangkat.

 

Bagaimana orang kaya jadi kaya

Topik ini sebenarnya salah satu topik yang saya kira penting dalam buku ini. Namun, dalam ruang yang agak terbatas, penulis tak menyentuh topik ini dengan terperinci.

 

Pada saya, setiap satu idea yang dikemukan oleh penulis, idea tersebut memang layak untuk dikembangkan menjadi sebuah buku yang berasingan.

 

Sebagai contoh, topik mengenai

i. Bina kekayaan melalui emas

Tahukah anda, bahawa pelabur dan peniaga emas boleh menjana keuntungan ketika harga emas naik dan juga ketika harga emas turun?

Bukan itu sahaja, malahan pelabur dan peniaga emas boleh buat untung ketika beli emas, dan ketika jual emas. Beli emas boleh buat duit, jual emas lagilah boleh buat duit.

 

Macam mana caranya beli emas boleh buat untung, jual emas boleh untung?

Panjang cara dan tekniknya.

 

Tapi jawapan bagi persoalan ini boleh ditemui dalam buku-buku yang membincangkan topik pelaburan emas. In Shaa Allah, dimasa akan datang, jika berkesempatan saya juga akan menulis tentang topik ini dalam blog ini.

 

ii. Bina kekayaan melalui pelaburan hartanah

Pelaburan hartanah dilihat kurang menarik bagi golongan muda kerana modal yang diperlukan untuk masuk dalam bidang agak tinggi. Sebenarnya, kita tak seharusnya buat keputusan hanya berpandukan kepada aspek modal semata-mata.

 

Kalau kita beranggapan, modal rendah barulah pelaburan tersebut menarik untuk dilakukan, atau hanya melihat aspek modal semata, bermakna kita dah melakukan kesilapan dalam bab pelaburan.

 

Sebaik-baiknya, kita perlu dapatkan gambaran penuh, ketahui teknik, strategi dan sebagainya. Dari situ kita akan nampak, walaupun perlu modal besar, namun masih ada cara bagaimana kita boleh lakukannya.

 

Dan ya… perbincangan bagi persoalan membina kekayaan melalui pelaburan hartanah tak cukup dikupas melalui beberapa helaian mukasurat. Ada masanya, kita perlu baca banyak buku tentang pelaburan hartanah barulah kita akan lebih berkeyakinan untuk mula melabur.

 

iii. Bina kekayaan melalui kutipan sewa rumah

Ada bisnes rumah sewa ibarat kita mempunyai pendapatan pasif kita sendiri. Bayangkan kalau anda ada 10 buah rumah sewa dan setiap rumah mempunyai penyewa. Pada waktu ini, anda sudah tak perlu risau dengan isu kewangan.

 

Bayangkan sahaja. Bukannya nak suruh bayar pun.

 

Penutup

  1. Bekerja untuk hidup yang lebih bermakna
  2. Urus harta untuk hari kematian
  3. Misi 1 juta celik kewangan

Buku Misi Bebas Hutang Zero Hutang 2.0 ini mengandungi 213 muka surat sahaja.

 

Dekat mana boleh dapatkan buku Misi Bebas Hutang ini?

Buku ini boleh diperolehi dikebanyakkan kedai-kedai buku seperti MPH, Popular dan sebagainya.

 

Kalau nak pinjam diperpustakaan pun boleh.

Ataupun kalau anda nak beli secara online, boleh dapatkan menerusi laman web PG Mall.

Buku ini dijual dengan harga RM20.00 sahaja.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai buku ini, boleh ke pautan ini.

 

 

Exit mobile version