Blog Sabree Hussin

Minat nak belajar bisnes homestay

Saya ada menerima pertanyaan melalui email dari seseorang yang berminat nak jalankan bisnes homestay. Berikut adalah soalan yang ditanyakan.

Assalamualaikum, saya berminat hendak buat homestay. Saya pernah menginap di homestay. Syarat saya kurang pengetahuan disitu, boss boleh tunjuk ajar. Terima kasih

 

Saya ni tak pandai sangat dalam bisnes homestay ini. Tapi ada sedikit pengetahuan, sebab sebelum ini saya banyak juga membaca tentang pelaburan hartanah, bisnes rumah sewa, bisnes sublet dan juga bisnes homestay. Pada masa yang sama, saya juga pernah beberapa kali bekerjasama dengan beberapa pemilik bisnes homestay. Jadi sedikit sebanyak saya ada pengetahuan mengenai bisnes ini.

 

Apa yang saya tahu tidaklah begitu banyak. Tapi kalau nak kata tak tahu langsung, pun tak berapa betul. Oleh yang demikian, izinkan saya berkongsi sedikit pengetahuan yang saya ada mengenai bisnes ini.

 

Konsep bisnes homestay secara ringkas

Bisnes homestay adalah sebuah bisnes yang menyediakan khidmat tempat penginapan yang selesa dan selamat kepada pelanggan. Lazimnya dalam bisnes ini, pemilik bisnes akan mensasarkan pelanggan yang ingin mencari tempat penginapan untuk jangka masa pendek, seperti satu malam ke beberapa malam sahaja.

Pihak yang terlibat dalam perniagaan jenis rumah penginapan

(1) Pemilik bisnes

Ya, andalah orangnya. Andalah insan yang bertanggungjawab terhadap perjalanan bisnes ini, sama ada ianya boleh berkembang dan menghasilkan pendapatan yang lumayan, ataupun ia akan terhenti ditengah jalan.

 

(2) Cleaner

Mereka ini akan mula bekerja apabila tetamu sudah check out. Tugas dia adalah mengemas rumah, membersihkan sebarang kekotoran, menggantikan cadar, dan sarung bantal dengan yang baru bagi kegunaan tetamu seterusnya.

 

Biasanya pada peringkat permulaan, pemilik bisnes anda lakukan semua kerja ini sendiri, namun setelah bisnes mula berkembang, barulah dia akan mengambil tukang cuci. Upah biasanya diambil daripada duit sewa yang dibayar oleh tetamu.

 

(3) Pembantu

Pembantu ini saya merujuk kepada individu yang akan sentiasa on standby kalau tetamu perlukan apa-apa, sepanjang tempoh dia menginap tersebut. Kadang-kadang tetamu akan tanya hal-hal yang agak remeh seperti kat mana tempat simpan mangkuk, ada tisu lebih tak, plastik sampah simpan dimana dan sebagainya.

 

Ataupun ada juga tetamu yang complaint seperti aircond tak sejuk dan sebagainya. Pada peringkat permulaan, mungkin anda akan handle semua ini sendiri, tapi bila bisnes anda semakin berkembang, anda mungkin patut dapatkan seseorang untuk bantu anda.

 

(4) Ejen pemasaran

Ini merupakan individu yang akan membantu anda menjalankan kerja-kerja pemasaran dan mendapatkan pelanggan bagi pihak anda. Ya, sekali lagi saya ulang, lazimnya pengusaha bisnes homestay secara kecil-kecilan akan lakukan kerja pemasaran sendiri. Semua benda dia yang lakukan sendiri.

 

Sebab tu bisnes homestay ini kadang-kadang akan terasa sangat memenatkan dan akan rasa tak berbaloi. Anda sendiri yang tak mempunyai sistem dan strategi yang betul.

 

Bercakap mengenai ejen pemasaran ini, anda sebenarnya mempunyai empat pilihan

i. Anda buat sendiri kerja-kerja pemasaran

Kerja akan jadi banyak, tapi anda tak perlu bayar kepada sesiapa. Kalau anda perlu berjimat, buat sendiri adalah salah satu kaedahnya. Sekiranya anda memang ada ilmu asas dalam bab pemasaran, ia satu kelebihan buat anda. Tapi kalau anda tak ada ilmu, suka atau tidak, anda perlu cari ilmu terlebih dahulu.

 

Mungkin boleh luangkan masa untuk baca buku-buku berkaitan dengan marketing, tonton video di youtube dan sebagainya.

 

ii. Anda dapatkan staff

Staff yang peranannya adalah untuk buat marketing sahaja. Kalau staf anda memang mahir, dia akan dapatkan banyak sales untuk anda. Kalau dia kurang cekap, anda terpaksa bayar gaji macam biasa walaupun tak ada tetamu datang menginap.

 

iii. Anda dapatkan khidmat dari freelancer

Cara ini mungkin lebih jimat untuk jangka masa panjang. Anda approach mana-mana individu yang bekerja sendiri secara freelance untuk buatkan satu tugasan yang spesifik. Sebagai contoh, anda minta saya untuk tulis artikel pemasaran untuk mengiklankan bisnes homestay anda.

 

Ataupun anda minta orang lain untuk buatkan video pemasaran berdurasi 10 – 15 minit untuk anda upload di Youtube dan lain-lain media sosial. Kalau nak buat sendiri bukannya tak boleh, cuma ia akan makan masa yang panjang, dan kalau anda memang tak pandai menulis, atau tak pandai buat video, anda akan buang banyak masa berbanding upah orang untuk tolong buatkan bagi pihak anda.

 

Anda hanya perlu bayar saya (atau individu seperti saya) sekali sahaja, dan seterusnya apabila ada jualan terhasil, ianya 100% milik anda.

 

iv. Iklankan homestay anda melalui laman web dan apps Online Travel Agency

Terdapat tiga laman web yang anda boleh fokuskan, iaitu

a. Airbnb.com

b. Agoda.com

c. Booking.com

 

Mereka ini akan bantu anda lakukan kerja pemasaran dan dapatkan tempahan untuk anda. Anda hanya perlu bayar mereka komisen apabila mereka berjaya dapatkan tempahan untuk anda.

 

(5) Tetamu

Ini merupakan individu yang anda berikan khidmat tersebut. Mereka inilah yang akan membayar kadar sewa yang anda tetapkan. Tanpa tetamu, homestay anda hanyalah sekadar sebuah rumah yang tak memberikan apa-apa hasil.

 

Dokumen dan lesen untuk perniagaan

Untuk ini anda perlu hubungi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditempat anda bakal menjalankan bisnes tersebut. Selain itu, anda juga perlu mendaftarkan tempat penginapan anda dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau nama lainnya MOTAC.

Bab ini saya tak akan ulas dengan panjang lebar, memandangkan ia mungkin akan berubah pada masa anda baca perkongsian ini. Saya syorkan anda berhubung terus dengan pihak yang berkaitan untuk mendapatkan info terkini.

 

Kenapa anda memilih untuk menjalankan bisnes homestay

Soalan ini saya pernah tenyakan kepada beberapa orang pengendali bisnes homestay yang pernah dapatkan khidmat pengiklanan dari saya.

“Tuan, boleh saya tanya kenapa tuan pilih untuk jalankan bisnes ni ya?

 

Biasanya dari jawapan balas yang diterima, kita dah boleh agak, setakat mana individu tersebut serius dengan perniagaan ini. Adakah dia memang nak jadikan ini sebagai satu bisnes hingga satu masa nanti dia mempunyai lebih dari 10 buah unit rumah untuk dijadikan homestay, atau dia sekadar nak buat duit tambahan.

 

Apa pun, dari soalan tersebut, ini antara jawapan yang saya pernah perolehi

(1) Rumah dah terlalu lama tak berpenghuni

Rumah yang dibiarkan terlalu lama tak berpenghuni, akan mengundang kehadiran makhluk yang kita tak nampak dengan mata kasar dan juga haiwan perosak. Jadi, ada baiknya kalau ia dijadikan rumah percutian ataupun homestay.

 

Sekurang-kurangnya akan ada orang yang tinggal dalam rumah tersebut dan kerja-kerja pembersihan dapat dijalankan secara berkala. Situasi ini biasanya berlaku kepada mereka yang memiliki lebih dari sebuah rumah dan yang mewarisi rumah pusaka.

 

(2) Minat dengan bisnes homestay

Ini juga jawapan yang pernah saya dengar sebelum ini. Mereka minat nak jalankan bisnes ini sebab mereka biasa pergi bercuti dan terinspirasi untuk jadikan homestay sebagai bisnes pilihan.

 

(3) Inginkan cash flow

Cash flow ini sudah tentunya datang daripada bayaran yang dibuat oleh tetamu untuk menginap dikediaman tersebut. Anda boleh buat kira-kira menggunakan laman web ini untuk mengetahui berapa potensi pendapatan yang anda bakal perolehi jika menjadikan kediaman anda sebagai sebuah homestay.

 

Sebagai contoh, ini ditempat saya.

Potensi pendapatan yang bakal diperolehi adalah sebanyak RM1,754 setiap bulan. Jumlah ini diperolehi dengan andaian dalam sebulan sebanyak 15 malam kediaman kita disewa, dan ia sebenarnya adalah satu anggaran dengan mengambil kira lokasi dan kediaman lain yang hampir sama jenis dengan kediaman yang kita miliki.

 

Of course, jumlah sebenar yang bakal diperolehi mungkin berbeza, sama ada lebih tinggi atau boleh jadi juga lebih rendah. Cuma yang pasti, kalau langsung tak buat bisnes ini, sudah tentu tiada sebarang income akan terhasil.

 

(4) Sebab nak orang lain bantu bayarkan loan

Ini juga merupakan satu point yang agak menarik. Bagi mereka yang suka mengumpul hartanah, mereka ini mungkin tak akan tinggal dikediaman tersebut sebab mereka sudah memiliki unit rumah lain. Justeru, dengan menjadikan unit yang jarang diduduki sebagai homestay, setidak-tidaknya dari duit sewa yang dikutip itu tadi boleh digunakan semula untuk bayar ansuran bank.

 

(5) Sayang nak jadikan rumah sewa

Mungkin sebab rumah tersebut memang dah lengkap dengan perabot dan banyak barang-barang milik tuan rumah, jadi terasa sayang untuk sewakan bagi jangka masa panjang. Bimbang nanti barang-barang yang ada dalam rumah akan habis rosak, dan anda susah nak masuk ke rumah tersebut selagi mana penyewa masih menyewa tempat anda.

 

Faktor kejayaan sebuah bisnes homestay

Masa depan sesebuah perniagaan tu kita boleh nampak apabila kita telahpun melakukan kajian pasaran dan permintaan. Ia mungkin tak akan berlaku sama seperti yang kita jangkakan, namun setidak-tidaknya ia dapat membantu kita buat keputusan, sama ada bisnes ini adalah bisnes yang tepat atau sebaliknya.

 

Dalam konteks bisnes penginapan seperti homestay ini, sebenarnya ada beberapa faktor yang dapat menyumbang kepada kejayaan bisnes tersebut. Antaranya ialah

 

(1) Lokasi homestay anda

Dalam perniagaan ini, lokasi yang strategik memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan sama ada bisnes tersebut dapat pergi jauh atau tidak.

 

Persoalannya ialah, bagaimana cara untuk kita ketahui sama ada property kita tu terletak dikawasan yang strategik ataupun tidak? Saya pernah tulis mengenai cara untuk kenalpasti sama ada lokasi yang kita pilih itu strategik ataupun tidak untuk dijalankan bisnes homestay sebelum ini. Untuk penerangan yang lebih panjang, anda boleh baca artikel saya yang berjudul pemilihan lokasi yang strategik untuk bisnes homestay.

 

Secara ringkasnya, kita lihat kepada beberapa point iaitu

i. Terdapat bangunan pejabat

ii. Ada kawasan industri

iii. Terdapat kawasan percutian dan tarikan pelancong

iv. Ada kolej, universiti, sekolah berasrama, dan lain-lain pusat pengajian

v. Berdekatan dengan hospital

vi. Ada lapangan terbang

vii. Ada lebuhraya

viii. Ada dewan orang ramai

ix. Mempunyai jaringan pengangkutan yang baik

x. Ada restoran, shopping mall, kedai serbaneka dan lain-lain premis perniagaan

 

Kesemua ini akan menjadikan lokasi homestay anda jadi lebih baik.

 

(2) Tempat menarik, aktiviti dan juga pengalaman unik

Adakalanya homestay anda mungkin berada dikawasan yang lokasinya kurang strategik. Namun, ini bukanlah penghalang untuk anda jalankan bisnes homestay. Peluang untuk berjaya itu masih ada, cuma bezanya anda perlu ubah sedikit pendekatan untuk dapatkan tetamu.

 

Kalau orang lain kata homestaynya terletak dikawasan yang strategik, anda pula berkata menginap di homestay milik anda tetamu akan dapat satu pengalaman menarik dan unik yang tak akan terdapat di lain-lain tempat.

 

Anda cuma kena kreatif sedikit. Saya berikan anda beberapa idea, dan sekiranya idea ini sesuai untuk dilaksanakan, cubalah. Tapi andaikata idea ini tak sesuai, harap dapat membantu anda untuk jadi lebih kreatif dalam memerah idea

 

i. Homestay anda terletak berdekatan dengan sungai atau laut

Apa kita boleh buat kalau berdekatan dengan sungai?

Saya terfikir beberapa perkara, antaranya

a. Anda tawarkan sesi bersiar-siar atas bot menyusuri sungai

b. Memancing ikan atau mungkin udang galah

c. Minum petang sambil melihat pemandangan matahari terbenam atas bot

 

Nak kena ofer semua ni secara percuma ke? Bergantung kepada kesesuaian. Kalau anda rasa boleh berikan percuma, berilah. Kalau anda rasa perlu bayar, maka letakkanlah harga. Cuma kena pastikan kesemua aktiviti yang anda tawarkan ini, dapat dijalankan dengan selamat.

 

ii. Dekat dengan sawah padi

Bukan semua orang ada pengalaman turun ke bendang dan melakukan aktiviti-aktiviti dikawasan seperti ini. Kadang-kadang bila saya memandu kearah utara, sesekali saya akan menjeling kearah kehijauan pemandangan sawah padi.

Ada juga tergerak dihati nak berhentikan kereta dan singgah sekejap untuk bergambar. Tapi, itukan tanah orang. Nanti dianggap sebagai menceroboh pulak.

 

Sebab itu, bila saya tahu dekat Sekinchan ada homestay yang dibina diatas tapak sawah pagi, saya terus buat booking. Semuanya semata-mata sebab nak rasa pengalaman unik tersebut.

Baca juga: Pengalaman menginap di Anjung Pool Villa, Sekinchan

 

iii. Anda ada kebun atau dusun buah

Ini merupakan satu lagi kelebihan yang patut anda highlight kepada bakal tetamu. Anda boleh tawarkan untuk setiap tetamu yang menginap di homestay anda, sesi lawatan atau trip ke dusun buah-buahan milik anda.

Kalau tiba musim buah, para tetamu boleh petik dan makan tanpa perlu bayar apa-apa. Cuma tak boleh bungkus dan bawa balik. Kalau nak bungkus juga, kena timbang dan letak harga.

 

iv. Ada kawasan air terjun yang tak ramai tahu kewujudannya

Something yang kita kata sebagai hidden gem, yang hanya penduduk setempat sahaja yang tahu. Kalau ada kawasan air terjun yang hanya penduduk situ sahaja yang tahu, biasanya airnya lebih jernih dan kawasan sekitar juga sangat bersih.

“Macam mana kalau tempat saya tak ada semua tu? Please help…. apa saya patut buat ni?”

Aiyooo… susah juga ni kalau semua benda ni anda tak ada. Maksud saya, dah la homestay anda tak terletak di lokasi yang strategik, lepas tu tak ada perkara menarik untuk dijadikan tarikan pula… hmm kalau macam tu, apa kata anda cuba sehabis baik untuk buat perkara seterusnya, iaitu

 

iii. Marketing tanpa henti dan tanpa jemu

Saya sebenarnya baru selesai baca sebuah buku berkaitan dengan jualan. Satu perkara yang memang betul-betul melekat dalam minda saya ialah, bila kita nak buat jualan yang banyak dan konsisten, aktiviti pemasaran memang perlu dilakukan setiap masa.

 

Tak boleh ada rasa malas, rasa jemu atau rasa nak berhenti buat kerja-kerja marketing. Walaupun pada waktu itu anda rasa bisnes tengah okay, tetamu sentiasa penuh, ini bukan alasan atau sebab kukuh untuk stop buat marketing.

 

Kita ambil pengajaran daripada perniagaan yang dah ramai orang kenal, seperti KFC, Mc Donald dan sebagainya.

Perniagaan mereka ini, walaupun orang ramai dah kenal jenama mereka bertahun lamanya, namun mereka tetap buat kerja-kerja pengiklanan dan pemasaran seperti biasa.

 

Seperti yang saya ada sebutkan sebelum ini, untuk kerja-kerja marketing ini anda boleh jalankan sendiri kalau anda nak jimatkan duit. Tapi, kalau anda merasakan kerja ini terlalu leceh dan teknik yang anda gunakan tak berkesan, bolehlah dapatkan khidmat dari freelancer dan juga gunakan laman web online travel agency (OTA) bagi mengiklankan perniagaan anda.

 

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda masih terus menjalankan aktiviti pengiklanan untuk bisnes homestay anda? Atau anda dah lama stop buat iklan, dan sekadar mengharapkan keajaiban… kalau ada pelanggan syukur Alhamdulillah, kalau tak ada orang nak datang, cukup dengan rasa reda.

 

Petanda bisnes homestay anda akan… atau telah gagal

Katakanlah, anda telah buat semua perkara yang anda tahu perlu dilakukan untuk berjaya dalam bisnes ini, dan pada masa yang sama, anda juga telah ikut beberapa cadangan yang saya pernah kongsikan dalam blog ini. Tapi… anda masih tak nampak sebarang perubahan. Bagaimana? Apa yang patut anda lakukan.

 

Tahukah anda, sebenarnya terdapat petanda yang kita boleh nampak, bahawa bisnes ini tak boleh pergi jauh. Antaranya

(1) Tiada sebarang tempahan walaupun ketika musim cuti

Cuti yang dimaksudkan ini termasuklah cuti hujung minggu, cuti umum, cuti sekolah dan sebagainya. Homestay anda tetap begitu. Tiada langsung sesiapa yang hubungi anda untuk buat tempahan! Ini satu petanda yang patut buat anda risau.

 

(2) Bilangan malam yang ditempah dalam sebulan terlalu sedikit

Boleh jadi dalam satu bulan hanya 2 malam sahaja homestay anda menerima tetamu. Selebihnya tiada sebarang sambutan.

 

Baiklah, saya faham situasi semua orang adalah berbeza. Ada sesetengah orang, dia tak ada masalah pun kalau homestaynya tidak menerima tetamu walau berbulan-bulan lamanya. Its not a big deal dan dia boleh teruskan kehidupan macam biasa.

 

Namun, saya sedia maklum, ada pengusaha yang mula garu kepala bila ada bulan-bulan tertentu yang langsung tak ada penginap. Kalau terlalu lama tiada pengunjung, suka ataupun tidak, dia terpaksa ubah cara hidup dan mula memotong perbelanjaan.

 

Pada waktu ini, anda boleh mula fikirkan kemungkinan… “adakah anda sebenarnya sudah tersalah pilih jenis perniagaan?”

 

Alternatif bagi perniagaan homestay

Bisnes homestay ini biasanya merujuk kepada penginapan jangka pendek. Lazimnya tetamu hanya menginap selama satu ke tiga malam sahaja. Kalau paling lama mungkin sehingga satu minggu, namun itu pun jarang-jarang berlaku, melainkan kalau tetamu anda datang dari tempat yang agak jauh.

 

Bagaimana kalau setelah anda menjalankan bisnes ini at least setahun, anda dapati bisnes anda agak sendu dan ada bulan-bulan tertentu yang langsung tak ada yang nak datang menginap ditempat anda, apa yang anda akan lakukan?

 

Mungkin kena lihat kepada alternatif, iaitu sewa untuk jangka masa panjang. Atau dengan kata lainnya, buat bisnes rumah sewa. Bisnes rumah sewa ini pun ada teknik dan strateginya yang tersendiri.

 

Ada ketikanya kita perlu terima hakikat, bahawa dilokasi tertentu lebih sesuai buat bisnes rumah sewa, berbanding bisnes homestay. Pendapatan melalui rumah sewa adalah lebih konsisten berbanding homestay yang ada naik turun, bergantung kepada permintaan.

 

In Shaa Allah jika ada kesempatan lain, saya akan bincangkan mengenai bisnes rumah sewa pula.

 

Minat nak belajar dengan lebih mendalam?

Saya amat mengesyorkan anda dapatkan seorang guru yang boleh anda sedut seberapa banyak yang boleh ilmu yang ada pada dirinya. Cuma sekarang ini kita kena banyak berhati-hati.

 

Maklumlah, ada individu yang berlagak pandai dan menawarkan kelas, bengkel, seminar dan sebagainya untuk mengajar individu yang minat nak buat bisnes. Namun hakikatnya mereka ini cuma berlagak pandai. Cuma tahu cakap sahaja, tapi ilmu yang ada pada dirinya tak seberapa.

 

Justeru, saya nak kongsikan beberapa ciri yang anda patut lihat yang perlu ada pada bakal guru anda.

 

Ciri-ciri guru yang bagus untuk ajar anda jalankan bisnes Homestay

Sekiranya anda serius nak berjaya dalam perniagaan ini, apa salahnya kalau anda luangkan masa, tenaga dan wang ringgit untuk dapatkan ilmu yang betul dari seorang guru yang betul dan boleh dipercayai. Cuma awas, diluar sana terdapat banyak juga so called guru yang sebenarnya palsu dan bukannya pandai sangat tentang selok-belok perniagaan ini.

 

Tapi dia berani buka kelas, bengkel, atau anjurkan seminar untuk mengajar peserta untuk belajar ilmu bisnes ini. Saya banyak kali terbaca di media sosial, so called guru ini, dalam iklan berlagak macam terlalu hebat dan tinggi ilmunya. Yuran penyertaan yang diletakkan juga agak tinggi.

 

Tapi bila peserta datang belajar, hasilnya mengecewakan. Individu tersebut banyak bercerita tentang kisah dirinya, betapa dulu dia susah tapi Alhamdulillah… sekarang dia senang setelah dia menggunakan teknik rahsia yang sangat hebat yang tak akan dijumpai dimana-mana. Selepas itu dia ajar pula para peserta untuk selalu hormat ibu bapa, minta doa yang baik-baik, banyakkan bersedekah, solat, zikir dan sebagainya.

 

Sentiasa bersihkan hati dari anasir jahat dan perkara-perkara negatif.

Eh… kejap-kejap…

Anda sebenarnya nak belajar tentang selok-belok perniagaan homestay, atau nak belajar agama, bab kerohanian dan motivasi? Maka terbongkarlah rahsia, rupanya guru ini cuma ada ilmu motivasi semata-mata. Itu pun sebab dia banyak membaca buku motivasi dan ikuti ceramah motivasi. Ilmu berkaitan dengan bisnes cuma ada sedikit sahaja, itu pun hanya yang asas.

(Semoga kita dijauhkan daripada bertemu dengan guru palsu seperti ini)

 

Saya nak kongsikan kepada anda, beberapa ciri atau kualiti yang anda perlu lihat, yang perlu ada pada bakal guru anda.

 

i. Guru tersebut mempunyai modul pembelajaran yang tersusun

Sebelum nak mula masuk kelas, bengkel latihan, online coaching atau join seminar, mungkin boleh luangkan sedikit masa untuk anda tanya soalan terlebih dahulu,

“Tuan, boleh saya tahu apa modul pembelajaran yang akan digunakan? Saya nak tau topik-topik yang akan tuan ajarkan nanti dalam kelas tuan, boleh?”  

 

Kalau dia memang ada modul pembelajaran yang memang tersusun, dia tak akan ada masalah untuk kongsikan kepada anda. Malah dia akan rasa seronok kerana anda adalah seorang yang memang serius nak belajar dari dia. Mungkin dia akan jawab macam ni

 

“Terima kasih kerana berminat dengan kelas saya. Bagus soalan tuan tu. Untuk makluman tuan, saya akan pecahkan modul pembelajaran kepada lima bahagian, dan berikut adalah perkara yang akan diajarkan…

 

Bahagian 1 – Pemilihan dan pemilikan homestay

Dalam bahagian satu, peserta akan didedahkan dengan ilmu-ilmu berikut, antaranya

i. Tips pemilihan jenis homestay dan 6 jenis hartanah yang sesuai dijadikan homestay

ii. 11 Faktor yang menjadikan homestay anda hot dan menjadi rebutan bakal tetamu

iii. Strategi mengenalpasti wujudnya permintaan untuk homestay disesuatu kawasan

iv. Kaedah memulakan bisnes homestay dengan modal yang rendah tanpa perlu beli hartanah

v. Kos permulaan dan kos operasi menjalankan bisnes homestay

vi. Kaedah menetapkan harga untuk menginap supaya anda buat untung atau sekurang-kurangnya pulang modal

 

Bahagian 2 – Penyediaan homestay

i. Cara untuk dekorasi homestay agar nampak mahal dan eksklusif. Tetamu pasti akan jatuh cinta pandang pertama dengan homestay anda, dan tak banyak soal akan terus buat booking

ii. Langkah-langkah mempersiapkan homestay mengikut bajet yang anda tetapkan

iii. Kelengkapan asas dan sampingan untuk homestay anda – Anda boleh letakkan harga yang tinggi kalau ada kelengkapan ini

iv. Tempat untuk shopping kelengkapan homestay anda – harga pastinya berpatutan

v. Formula menetapkan harga untuk sewaan

vi. Tips dan formula ambil gambar untuk dilihat bakal tetamu

vii. Dokumen yang anda perlu ada untuk menjalankan bisnes ini secara SAH

 

Bahagian 3 – Pemasaran homestay

i. 9 Cara praktikal untuk anda memperkenalkan bisnes homestay kepada bakal tetamu

ii. 30 website yang anda boleh gunakan untuk marketing homestay anda

iii. Cara gunakan 3 laman web utama untuk dapatkan tempahan homestay anda

iv. Cara bina dan urus sistem database prospek dan pelanggan

v. Cara dapatkan tempahan hanya menggunakan whatsapp – lengkap dengan ayat promosi hanya perlu copy and paste

Bahagian 4 – Menyambut tetamu check in

i. Cara efektif untuk sambut kehadiran tetamu dan serah kunci

ii. Kaedah self-check in untuk memudahkan urusan serahan kunci

iii. Menangani karenah dan ragam pelanggan

iv. Perbincangan mengenai mengambil deposit dari pelanggan – adakah perlu?

v. Meminta pelanggan memberi review positif menginap ditempat anda

vi. Cara menguruskan tetamu yang ingin menginap untuk tempoh yang lebih lama

 

Bahagian 5 – Selepas tetamu check out

i. Cuci dan selenggara homestay

ii. Kerosakkan kecil yang kerap berlaku yang tuan rumah terlepas pandang

iii. Proses pengurusan homestay step by step

 

Bahagian 6 – Mengembangkan bisnes homestay

i. Cukupkah hanya dengan satu unit rumah? Cara menambahkan lagi cawangan bisnes homestay anda

ii. Strategi kembangkan lagi bisnes homestay

 

Kalau anda jumpa cikgu yang macam ni, ok yang tu anda boleh hubungi dia dan belajar dari dia. Untuk makluman anda, modul pembelajaran seperti yang saya senaraikan diatas tu, anda boleh perolehi dari laman web ini.

 

Dengan adanya modul yang tersusun, anda boleh berbincang dengan lebih mendalam atau berdebat dengan guru anda, jika ada mana-mana point yang anda tak bersetuju. Anda boleh nyatakan sama ada anda setuju, tak setuju dan pada masa yang sama boleh bekerja bersama untuk come out with satu outcome yang mungkin lebih baik berbanding apa yang ada dalam modul pembelajaran.

 

Dalam situasi ini, kedua-dua pihak akan saling menang menang. Anda akan dapat solution yang lebih baik, manakala guru tersebut akan dapat kembangkan lagi modul pembelajaran dengan memasukkan input baru yang dia perolehi melalui perbincangan dan perbahasan dengan anda.

 

Seorang guru yang memang mempunyai modul pembelajaran yang tersusun, In Shaa Allah tak akan mengganggu fokus dan tumpuan anda dengan bercerita tentang siapa diri dia sebelum dia berjaya, pentingnya hormat dan menyayangi ibubapa, kewajipan solat dan sebagainya. Kalau sekadar selingan itu tak ada masalah. Yang jadi isu, bila sepanjang kuliah atau kelas, cuma cerita bab-bab kerohanian dan langsung tak sentuh perkara teknikal dan praktikal mengenai bisnes.

 

Bila kita tanya soalan yang berkaitan dengan bisnes, misalnya “macam mana kita nak tetapkan harga supaya tetamu tak rasa benda tu terlalu mahal and pada masa yang sama boleh ada lebihan untung untuk bayar loan rumah kepada bank?”

Guru tersebut tak mampu pun nak jawab, kemudian sambung berceramah bab halal haram conventional loan berbanding islamic loan.

 

Guru seperti ini sebenarnya lebih sesuai mengajar di surau-surau ataupun masjid dan beri tazkirah. Bukannya mengajar bisnes dan membuatkan peserta rasa menyesal sebab join kelas dia untuk konten pembelajaran yang langsung tak membantu.

 

Adakah anda bayar untuk belajar perkara-perkara itu semua?

 

ii. Ada pengalaman mengendalikan bisnes homestay

Memang berbeza cakap-cakap orang yang ada pengalaman dengan yang tak ada pengalaman. Biasanya orang yang tak pernah ada pengalaman ini, dia hanya akan bercakap dari sudut teori mahupun hanya mengulang apa yang orang lain pernah sebutkan sebelum ini.

 

Macam saya sendirilah. Saya tak ada pengalaman urus bisnes homestay. Justeru, kalau ada yang minta nasihat mengenai bisnes ini, saya hanya dapat kongsikan tips dan teknik yang saya pelajari melalui pembacaan dan temubual yang saya pernah lakukan. Pengalaman mengurus bisnes ini secara hands on memang saya belum pernah ada.

 

Kalau guru tersebut ada pengalaman berjaya, itu satu bonus buat anda. Anda boleh ikuti langkah-langkah yang dia lakukan untuk berjaya seperti guru anda. Namun, kalau guru tersebut ada pengalaman gagal, itu lebih baik. At least anda boleh belajar lebih banyak perkara dari dia, melalui pengalaman kegagalan dia itu tadi. Maklumlah, kita ni lebih banyak belajar dari pengalaman kita gagal berbanding pengalaman kita berjaya.

 

Dari situ kita boleh nampak, apa yang patut kita lakukan, dan apa yang patut kita elakkan dalam bisnes ini. Terbukti, benda yang patut kita elak itu, telah mengakibatkan kegagalan dalam bisnes homestay.

 

iii. Pernah bekerjasama dengan ramai pemilik bisnes yang sama

So what kalau dia tak pernah ada atau urus bisnes homestay? Ini tak bermakna dia merupakan seorang guru yang tak bagus.

 

Ya, betul tu. Sebenarnya apa yang kita perlukan adalah ilmu yang ada pada diri individu tersebut. Maka dekat sini, kita tengok pula kepada kualiti seterusnya, iaitu individu tersebut pernah bekerjasama dengan banyak pemilik homestay. Ini bermakna individu seperti ini ada banyak pengalaman bertindak sebagai seorang consultant yang memberi nasihat bisnes.

 

Pada masa yang sama, dia juga sangat arif mengenai perjalanan bisnes ini. Sekali imbas sahaja, dia boleh tahu apa yang tak kena dan apa masalah sebenar sesebuah perniagaan yang dijalankan. Orang macam ni pun sangat bagus. Rahsia kejayaan sebuah perniagaan semua ada dalam tangannya, dan dia betul-betul faham apa yang menyebabkan tetamu pilih untuk menginap disesuatu homestay.

 

iv. Biasa travel sama ada dalam mahupun luar negara

Individu seperti ini, ada banyak pengalaman menginap ditempat orang. Dia dah lihat, mana satu tempat yang sangat bagus, tempat yang unik, tempat yang biasa-biasa dan mungkin tempat penginapan yang sangat teruk.

 

v. Ada bisnes sendiri selain bisnes coaching, seminar dan sebagainya

Akhir sekali, anda mungkin nak pertimbangkan ciri ini ada dalam diri bakal guru anda kelak. Ya, dia adalah seorang yang buat duit atau make a living melalui bisnes yang dia jalankan, bukannya sekadar buat duit melalui seminar, coaching, kelas dan sebagainya.

 

Mungkin bukan bisnes homestay, tapi sekurang-kurangnya dia ada bisnes lain. Bisnes coaching, seminar ni semua tak masuk dalam senarai ya. Kita kalau boleh nak elakkan daripada bertembung dengan orang yang pandai cakap semata, sampai buat kita terpesona dan keluar air mata, namun hakikatnya dia sendiri tak pernah buat apa-apa bisnes.

 

Apa yang patut anda lakukan sekarang?

Ada sesetengah orang, dia akan pastikan dirinya penuh ilmu didada, barulah dia bertindak dan buat bisnes ini. Selagi dia merasakan yang ilmu belum cukup, selagi itu dia akan cari guru, belajar dari pelbagai sumber, sama ada dari youtube, buku, ebook mahupun blog seperti blog saya ini.

 

Lepas dah betul-betul yakin, barulah dia buat keputusan sama ada nak buat ataupun tidak. Falsafah yang dipegang, biar lambat asal untung berkali lipat! 

Lagipun bisnes ini tak akan kemana. Kalau memang betul, kita mempunyai segala kelebihan yang ada yang boleh membuatkan kita berjaya, tak kisahlah sama ada kita mula lambat atau cepat, In Shaa Allah akan tetap berjaya.

 

Itu lebih baik, berbanding kelam-kabut nak mula bisnes, akhirnya tersilap langkah, sebabnya persediaan dan perancangan masih belum cukup mantap.

 

Ada juga yang jenis langgar je. Mula je terus dengan apa yang ada. In Shaa Allah belajar dari pengalaman dan mana-mana yang kurang, dia akan perbaiki dari masa ke masa.

 

Anda berada dalam golongan yang mana satu agaknya?

Apa pun, kelompok yang pertama tidaklah lebih baik berbanding kelompok yang satu lagi. Semuanya terserah kepada strategi masing-masing.

 

Kesimpulan

Bisnes homestay adalah satu bisnes yang simple dan straight forward. Jika anda benar-benar tahu, apa yang anda lakukan, In Shaa Allah anda tak akan menghadapi masalah, dalam menjalankan bisnes ini.

 

Saya doakan semoga perniagaan anda akan berjaya, dan mudah-mudahan sedikit perkongsian saya ini membantu untuk anda.

 

 

Exit mobile version